Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Isu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Isu. Papar semua catatan

Filariasis & Hepatitis C bawaan pekerja asing

by


 Jumlah penghidap penyakit Filariasis (untut) dan Hepatitis C menunjukkan peningkatan di seluruh negara sejak empat tahun lalu, khususnya dalam kalangan pekerja asing.

Filariasis adalah penyakit bawaan cacing filaria yang menular daripada pelbagai jenis nyamuk dan sukar sembuh jika tidak ditangani dengan cepat, selain mengakibatkan risiko cacat kekal, terutama pada pembesaran kaki, lengan dan beberapa anggota lain.

Penyakit Filariasis atau penyakit kaki gajah berpunca daripada cacing berbentuk benang (pita) yang dipanggil filaria. Nyamuk yang menggigit pesakit dijangkiti filariasis limfatik (penyakit untut) akan menyebarkan penyakit itu melalui gigitan kepada individu lain.

Hepatitis C pula adalah penyakit berjangkit yang menjejaskan kesihatan terutama hati, yang disebabkan oleh virus Hepatitis C. Jangkitan ini sering kali tidak kelihatan/asimptomatik, tetapi boleh menyebabkan parut pada hati dan akhirnya sirosis.

Sirosis akan menyebabkan kegagalan hati dan barah hati yang mengancam nyawa.

Dapatan pemantauan Kementerian Kesihatan (KKM) sejak 2020 juga mendapati, trend penyalahgunaan dadah dalam kalangan pekerja asing di negara ini juga meningkat.

Peningkatan kedua-dua penyakit itu mendorong FOMEMA Sdn Bhd (FOMEMA) selaku agensi pemantau dan pemeriksaan perubatan pekerja asing, menetapkan tiga syarat baharu bagi saringan kesihatan terhadap mereka untuk terus bekerja di negara ini.

Menjelaskan tindakan itu, Ketua Pegawai Eksekutif FOMEMA, Dr Mohd Afiq Farhan Md Hanif, berkata penetapan tiga ujian tambahan bagi mengesan penyakit Filariasis dan Hepatitis C serta penyalahgunaan Methamphetamine dalam kalangan pekerja asing adalah pendekatan proaktif bagi mengawal penularan penyakit berkenaan di negara ini.

Langkah itu juga katanya, dapat membantu mengawal bebanan kos yang terpaksa ditanggung sistem penjagaan kesihatan awam negara.

Atas sebab itu, beliau berkata, penetapan kadar penyelarasan fi serta kekerapan pemeriksaan pekerja asing baharu dibuat selaras dengan penambahan tiga ujian saringan terbabit.

Ia termasuk pelaksanaan perkhidmatan masa pemprosesan yang lebih pantas (TAT), yang beliau jamin keputusan pemeriksaan perubatan boleh dikeluarkan dalam tempoh tujuh hari bekerja daripada tarikh pemeriksaan perubatan dibuat.

"Selaras garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), KKM menetapkan matlamat menghapuskan Filariasis sebagai masalah kesihatan awam menjelang 2025 dan HCV pada 2030. Tambahan dalam ujian pemeriksaan kesihatan adalah antara usaha diambil untuk mencapai matlamat itu.

"Malaysia antara negara yang mempunyai sistem kesihatan awam terbaik di Asia Tenggara. Justeru, aspek penjagaan kesihatan awam memperoleh subsidi yang besar dalam belanjawan dan ini adalah beban yang ditanggung rakyat Malaysia.

"Adalah tidak adil bagi rakyat Malaysia menanggung beban penjagaan kesihatan pekerja asing di pusat kesihatan awam, walaupun kadar dibayar warga asing lebih tinggi, tetapi masih lagi mendapat subsidi tinggi.

"Justeru, keputusan FOMEMA menambah tiga ujian kesihatan setiap tahun ini dibuat dengan mengambil kira kos beban penjagaan kesihatan dan keselamatan kepada negara dan rakyat Malaysia, " katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian mengulas kritikan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang membantah tindakan FOMEMA menaikkan kadar yuran dan kekerapan pemeriksaan perubatan pekerja asing tanpa sebarang perbincangan dengan pihak berkepentingan.


Yuran pemeriksaan kesihatan naik hingga 14 peratus

Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Yusman dilaporkan berkata, FOMEMA menaikkan yuran pemeriksaan kesihatan antara 10 hingga 14 peratus dan dengan anggaran dua juta pekerja asing di negara ini, majikan perlu menanggung kira-kira RM414 juta setahun untuk pemeriksaan kesihatan pekerja asing.

Berdasarkan rekod, lapan negeri diklasifikasikan sebagai endemik penyakit Filariasis, iaitu Kedah, Perak, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Pahang.

Sepanjang empat tahun lalu, data menunjukkan kes Filariasis dihidapi pekerja asing di negara ini meningkat daripada 32.4 peratus dan mencecah 43.9 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan.

Bagi Virus Hepatitis C (HCV), kes membabitkan pekerja asing di negara ini melonjak hampir lima kali ganda, daripada 34 kes pada 2020 kepada 167 kes tahun lalu.

Dengan perangkaan itu sekali gus menunjukkan kemungkinan terdapat jangkitan pada pekerja dari negara asal mereka, menyaksikan bebanan penyakit ini terhadap sistem kesihatan negara adalah signifikan.

Sebagai contoh, kos rawatan selama 12 minggu untuk Hepatitis C di negara ini, boleh mencecah sehingga RM356,000.

Kes penyalahgunaan dadah di negara ini turut dikesan semakin meningkat setiap tahun apabila data menunjukkan peningkatan sebanyak 11.4 peratus kepada 137,176 kes dilaporkan pada 2022.

Mengulas lanjut syarat baharu dikenakan kepada pekerja asing, Dr Mohd Afiq berkata, pemeriksaan perubatan tahunan memastikan status kesihatan pekerja asing dapat dipantau secara berkala.

Beliau berkata, dengan mengesan dan merawat penyakit pada peringkat awal, beliau optimis pihak berkuasa dapat mengambil langkah pencegahan untuk melindungi pekerja asing dan penduduk tempatan.

Sumber : Berita Harian

Pengurusan Menara Petronas mohon maaf insiden utamakan 'mat salih'

by

 




Pihak pengurusan operasi lawatan Menara Berkembar Petronas memohon maaf susulan dakwaan seorang lelaki diberi layanan tidak adil oleh kakitangannya ketika menunggu giliran untuk ke Skybridge pada Jumaat.

Menurut syarikat itu, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan akan menjalankan siasatan dengan segera.

“Kami memandang berat perkara ini dan sedang menjalankan siasatan dengan kadar segera, kami akan memastikan ia tidak berulang lagi.

“Segala kesulitan amat kami kesali,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Sabtu.

Sebelum ini, seorang peguam, Datuk Shamsuddin Nawawi mendakwa dilayan secara ‘berat sebelah’ oleh pekerja Skybridge yang mengutamakan warga asing ketika menunggu giliran ke kawasan tarikan umum itu.

Beliau yang juga penganalisis politik berkata, kejadian tersebut berlaku apabila seorang pegawai muncul bertanyakan kepada pasangan ‘mat salih’ mengenai jadual tiket, kemudian membenarkan mereka menaiki Skybridge terlebih dahulu.

“Dia (pegawai) kenyit mata dan beri isyarat suruh mereka (pasangan mat salih) ke depan supaya boleh naik awal. Mula lah tertanya-tanya apa hal pula mereka boleh naik dulu, saya yang dah tunggu lebih awal tidak pula dilayan begitu.

“Bila ditanya, jawapannya mereka ada kuasa untuk dahulukan sesiapa yang difikirkan perlu, ‘mat salih’ itu baru sampai, badan bertatu segar bugar dan pasangan perempuannya tak nampak cacat pun,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Sumber : Sinar Harian

Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan bersidang 17 Oktober 2022 - Ketua Pengarah Pendidikan

by


 Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan dijadualkan bersidang esok selepas menerima surat representasi yang dikemukakan guru Matematik, Mohd Fadli Mohamed Salleh pada 14 Oktober.

Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini turut menjelaskan surat yang dihantar kepada Mohd Fadli bukan surat jatuh hukum seperti tular di media sosial.

Ketua Pengarah KPM, Datuk Pkharuddin Ghazali, berkata surat terbabit adalah pemakluman kepada Mohd Fadli supaya memberi penjelasan bertulis mengenai dakwaan yang diterima Lembaga Tatatertib serta keperluan guru berkenaan mengemukakan representasi.

Katanya prosedur tatatertib dibuat di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam, Kelakuan dan Tatatertib 1993 yang mana ia digunakan untuk semua penjawat awam dalam perkhidmatan termasuk dirinya sendiri.

"KPM mengambil maklum perkara yang dibangkitkan di media sosial berkait cikgu Mohd Fadli Mohamed Salleh. Untuk makluman, surat yang dihantar kepada cikgu tersebut bukanlah suatu surat yang membawa maksud bahawa hukuman telah dijatuhkan oleh Lembaga Tatatertib.

"Sebaliknya, surat tersebut bertujuan memaklumkan cikgu berkenaan mengenai dakwaan yang telah diterima oleh pihak berkuasa tatatertib serta keperluan untuk cikgu Fadli mengemukakan representasi ataupun penjelasan bertulis," katanya menerusi video penjelasan yang dimuatnaik di Facebook rasmi KPM hari ini.

Terdahulu, Mohd Fadli mendakwa akan dikenakan tindakan buang kerja atau diturunkan pangkat kerana alasan menyuarakan isu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) membabitkan sistem pendidikan, beg sekolah, silibus subjek, masa belajar dan bilangan murid di dalam kelas.

Mohd Fadli menerusi Facebooknya berkata, tindakan itu tidak sepatutnya berlaku kerana beliau tidak pernah terbabit dalam sebarang masalah disiplin atau menghadapi masalah dengan ibu bapa murid.

Beliau yang juga guru Matematik di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak turut berkongsi gambar surat bertarikh 22 September lalu yang menyatakan, beliau boleh dikenakan tindakan tatatertib buang kerja atau turun pangkat kerana berdepan tiga pertuduhan.

Pertuduhan itu ialah kerana memuat naik hantaran di platform media sosial Facebook mengenai jadual waktu serta mata pelajaran yang diajar di sekolah rendah.

Beliau juga dituduh memuat naik hantaran di Facebook mengenai subjek yang diajar pada murid Tahun Satu dan menerusi pertuduhan ketiga, beliau didakwa mengadakan sesi Facebook Live untuk bercakap mengenai masalah pendidikan di Malaysia khususnya subjek yang terlalu banyak.

Sumber : Berita Harian


CIMB jamin pelanggan tidak kehilangan sebarang dana

by

 

CIMB Bank Bhd (CIMB) memberi jaminan pelanggannya tidak akan kehilangan sebarang dana serta tiada sebarang kesan terhadap sistem bank berhubung kesilapan pemprosesan yang menyebabkan sebilangan kecil pelanggan menerima kredit pendua dalam akaun mereka minggu lalu.

CIMB berkata, pihaknya juga sudah mengambil langkah untuk menahan atau lebih dikenali sebagai 'earmark' amaun kredit pendua itu.

Ini kerana katanya, jumlah itu bukan milik pelanggan dan bank mempunyai kewajipan untuk memastikan wang dipulangkan.

"CIMB ingin menjelaskan sumber dana terlebih bagi transaksi pendua itu adalah diambil daripada wang pihak bank, dan bukannya daripada pengirim mahupun pelanggan penerima.

"Akaun pelanggan juga tidak dibekukan dan mereka masih boleh menggunakan baki dana melebihi amaun yang terkesan.

"Sehingga hari ini, tiada wang yang telah didebitkan daripada akaun pelanggan yang terkesan," katanya dalam satu kenyataa.

Kumpulan perbankan kedua terbesar di Malaysia dari segi aset itu berkata, insiden yang berlaku itu adalah berkaitan dengan ralat pemprosesan perkhidmatan kiriman wang pihak ketiga tertentu, yang menyebabkan pemindahan transaksi yang dibuat kepada pelanggan kami diproses dua kali secara tidak sengaja.

Ini katanya mengakibatkan sebilangan terhad pelanggan CIMB terkesan kerana menerima kredit pendua ke dalam akaun mereka, iaitu jumlah diterima adalah dua kali ganda yang sepatut diterima.

Bank juga katanya sedang dalam perbincangan dan sedia bekerjasama rapat dengan pelanggan yang terkesan untuk memastikan penyelesaian yang adil dan terurus.

"Ini termasuk memberikan bukti dan dokumentasi yang jelas mengenai duplikasi kredit yang tercatat di penyata bank dan menyediakan skim pembayaran balik yang fleksibel berdasarkan keadaan individu pelanggan.

"Kami telah menyediakan talian hotline khusus untuk pelanggan di talian 03 2295 6188. Pelanggan juga boleh menghubungi pusat panggilan pelanggan kami di talian 03 6204 7788 untuk mendapatkan bantuan," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

Isu MyUbat ekoran kekeliruan pelanggan, pegawai

by

 

Isu tular melibatkan perkhidmatan farmasi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini hanya merupakan satu kekeliruan yang timbul di antara pihak pengadu dan pegawai bertugas.

Pengarah HKL, Dr. Rohana Johan berkata, kekeliruan itu timbul apabila perkhidmatan MyUbat tidak dapat dilaksanakan berikutan masalah bekalan stok yang terhad.

“Bagi melaksanakan aplikasi MyUbat dan penghantaran melalui pos, ia memerlukan pembungkusan dua minggu lebih awal dari tarikh pesakit menerima ubat tersebut.

“Bagaimanapun, perkhidmatan itu akan dilaksanakan seperti biasa selepas stok bekalan ubat kembali normal,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Katanya, HKL turut mengenal pasti pegawai terlibat dengan isu itu selain mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan insiden berkenaan tidak berulang.

“Pihak HKL akan mengambil tindakan untuk penambahbaikan perkhidmatan di semua kaunter perkhidmatan yang disediakan,” jelasnya. 

Sumber : Kosmo!

 


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90