Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Jenayah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jenayah. Papar semua catatan

Mahkamah kekalkan hukuman pembunuh pelajar tahfiz yang dibakar hidup-hidup

by

 


Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu kejadian kebakaran Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat, dekat sini, tujuh tahun lalu adalah jenayah terancang sehingga mengorbankan nyawa 23 anak tahfiz yang ditemui rentung sehingga tidak dapat dicam pihak bomba.

-ADVERTISEMENT-
Ads by

Timbalan Pendakwa Raya How Mei Ling berhujah, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz itu adalah mangsa kekejaman yang sangat serius kerana dibakar hidup-hidup, manakala sebahagiannya lemas akibat asap.

Katanya, keterangan menunjukkan dua tong gas masing-masing seberat 14 kilogram (kg) diletakkan di depan pintu bilik asrama adalah satu-satunya jalan keluar, sebelum melepaskan gas ketika penghuni-penghuninya sedang nyenyak tidur.

"Pelakunya memilih untuk meletakkan kedua-dua tong gas di tingkat dua, bukan di bahagian halaman tingkat bawah kerana menyedari aras berkenaan menempatkan bilik asrama.

"Perbuatan pelaku adalah satu jenayah terancang yang mengorbankan penghuni pusat tahfiz itu dalam satu malam," katanya ketika berhujah dalam rayuan seorang pemuda berusia 22 tahun yang disabitkan membunuh 23 penghuni pusat tahfiz itu.

Lelaki berkenaan merayu perintah dan sabitan ditahan dipenjara selama mana yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong diketepikan.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan akhir pemuda itu dan dia kekal ditahan dipenjara selama mana yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

Dalam penghujahannya, Mei Ling memohon perintah itu dikekalkan dengan mengambil kira faktor kepentingan awam serta kepentingan keluarga yang menghantar anak-anak mereka berusia antara enam dan 16 tahun ke pusat tahfiz berkenaan.

Beliau turut menggambarkan rentetan kejadian berhubung penemuan mayat semua mangsa dalam keadaan rentung dan mengekot sambil berpelukan kerana dibakar hidup-hidup, serta tidak boleh keluar dan hanya menunggu untuk diselamatkan.

Katanya, keadaan mayat mangsa sangat menyayat hati sehingga menggagalkan usaha pengecaman oleh pihak bomba dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terpaksa dilakukan.

"Ketika pihak bomba tiba, tiada lagi bunyi teriakan... yang tinggal hanya suasana sepi yang menyeramkan," katanya.

Terdahulu, Mei Ling berhujah, pihak pendakwaan mengemukakan keterangan ikut keadaan yang kukuh bahawa pemuda itu bertanggungjawab menyebabkan kebakaran itu.

Hujah beliau, perayu adalah pihak yang bertanggungjawab memanjat pagar belakang tahfiz untuk memulakan kebakaran dan perbuatan itu dilihat oleh dua saksi penting pendakwaan iaitu SP68 dan SP69.

Katanya, tiada asas bahawa kedua-dua saksi itu berniat memerangkap perayu dengan memberi keterangan sedemikian kerana mereka bersahabat baik.

Sementara itu, peguam Haijan Omar yang mewakili perayu berhujah, keterangan ikut keadaan dikemukakan pihak pendakwaan tidak cukup kuat untuk mensabitkan anak guamnya terhadap kesalahan itu.

Hujah Haijan, rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) tidak menunjukkan anak guamnya yang membawa botol mineral mengandungi petrol ke tingkat dua asrama itu.

Malah, beliau berkata, ketika berbual di kedai makan berdekatan tempat kejadian, semua saksi mengesahkan tiada perbualan untuk membakar tahfiz dibuat.

"Mereka hanya berbual untuk main 'snuker' dan tiada niat untuk membakar, kecuali timbul perkataan 'belilah petrol' daripada seorang individu yang tidak dapat dikenal pasti.

"Seorang saksi pakar forensik juga menyatakan kebakaran mula berlaku pada jam 5.25 pagi sedangkan rakaman CCTV (kamera litar tertutup) menunjukkan anak guam saya beredar daripada kawasan itu pada jam 4.48 atau 4.49 pagi," katanya.

Sumber : Berita Harian

Zayn Rayyan mati dibunuh

by


 Kematian seorang kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang ditemui semalam di sebuah anak sungai berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai disahkan dibunuh.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut kerana terdapat unsur jenayah pada tubuh mangsa.

Katanya, hasil bedah menemui kesan kecederaan pada leher dan badan.

“Kita buka kertas 302 Kanun Keseksaan. Kecederaan dikesan pada leher dan badan,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Malam tadi, Kosmo! melaporkan mayat kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di sebatang anak sungai kira-kira 200 meter dari kediamannya, pada pukul 10 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid dilaporkan berkata kes diklasifikasikan sebagai Kematian Mengejut (SDR) sebelum sebarang keputusan diperoleh.

Kanak-kanak tersebut dilaporkan hilang sejak tengah hari kelmarin dan kali terakhir ditemui adalah ketika memasuki kawasan belukar berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya.

Penemuan tersebut hasil kerjasama 40 anggota polis Petaling Jaya serta 60 wakil penduduk Apartment Idaman melakukan misi pencarian kanak-kanak tersebut di kawasan sekitar kelibat kanak-kanak itu dilihat.

Sumber : KOSMO! 

Bekas penyampai radio Ismahalil Hamzah bebas, lepas hukuman gantung

by

 


Bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi hari ini daripada tuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 374.6 gram dua tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah.

Sebaik keputusan dibacakan Muhammad Jamil, Ismahalil yang berada dalam kandang tertuduh melaungkan 'Allahuakbar' sambil menangis dan melakukan sujud syukur manakala keluarganya yang berada di galeri awam turut berpelukan dan menangis tanda kesyukuran.

Dalam penghakiman ringkasnya, Muhammad Jamil berkata, beliau menerima keterangan Ismahalil bahawa bilik di rumah sewanya di mana beg mengandungi dadah itu ditemui, boleh diakses oleh penyampai radio lain, kru, pengurusan kedai dan tetamu stesen radio Bapakku FM (yang beroperasi di rumah sewa berkenaan).

Menurut hakim itu, keterangan Ismahalil disokong oleh keterangan empat saksi pembelaan lain termasuk isterinya yang tidak menunjukkan hanya dia seorang mempunyai akses kepada bilik berkenaan.

Keterangan saksi pembelaan juga menunjukkan bahawa beg berkenaan juga tidak mengandungi barang peribadi tertuduh, bermakna tidak ada kaitan antaranya dan beg terbabit.

"Begitu juga tiada keterangan yang menunjukkan kaitan tertuduh dengan beg terbabit, dengan itu tertuduh sudah menimbulkan keraguan munasabah berhubung jagaan dan kawalannya terhadap dadah berkenaan.

"Pihak pendakwaan juga gagal membuktikan melampaui keraguan munasabah bahawa dadah itu dalam jagaan dan kawalan tertuduh, dengan itu, milikan tertuduh ke atas dadah terbabit gagal dibuktikan melampaui keraguan munasabah. Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan.

Pada 21 Februari lalu, Ismahalil, 50, mengaku tidak bersalah di atas dakwaan mengedar dadah jenis kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, di sini, pada jam 5.35 petang 27 Ogos 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan minimum 12 sebatan.

Sumber : Berita Harian

Bapa bayar wang jaminan RM10,000 untuk kakak

by

 


Seorang remaja perempuan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kanak-kanak, di sini, hari ini, atas tuduhan tanpa niat menyebabkan kematian adiknya, minggu lalu.

Tertuduh yang berusia 17 tahun 11 bulan itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Zuhainie Zull Kafli.

Berdasarkan kertas pertuduhan, remaja berkenaan didakwa menyebabkan kematian adik lelakinya, yang berusia 16 tahun, yang mana dia tahu perbuatannya mungkin menyebabkan kematian di rumah mereka di Jalan Mini Stadium, Kampung Ulu Pulai di Johor Bahru, jam 1.50 tengah hari, 19 Oktober 2022.

Anak sulung daripada lima beradik itu didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos, mencadangkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, barisan pembelaan yang mewakili tertuduh, iaitu peguam, Abd Rahim Ali, Jihad Syahida Nadia Zakaria dan Nur Zafirah Norizan, memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh adalah kanak-kanak.

"Tertuduh adalah seorang kanak-kanak dan tiada sebab dia melarikan diri. Selain itu, kita mengambil kira juga pendapatan keluarga dan latar belakang persekolahan, yang mana pada tahun hadapan, tertuduh akan mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)," katanya.

Mahkamah kemudian memutuskan tertuduh diikat jamin RM10,000, dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di Balai Polis Gelang Patah setiap bulan sekali.

Difahamkan, bapa tertuduh membayar ikat jamin berkenaan. Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi laporan bedah siasat pada 5 Disember ini.

Pada 19 Oktober lalu, media melaporkan, seorang kakak membaling pisau ke arah adiknya sehingga menyebabkan remaja lelaki itu meninggal dunia.

Dua beradik itu terlebih dahulu dilaporkan bergaduh akibat berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah, sebelum si kakak bertindak membaling pisau ke arah adiknya selepas dipersenda ketika masuk ke dalam rumah.

Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian si adik disebabkan tusukan hujung pisau pemotong sayur, yang terkena pada saluran darah utama (arteri) di bahagian kanan lehernya, sekali gus menyebabkan pendarahan yang banyak.

Sumber : Berita Harian

Ejen kosmetik mangsa culik diselamatkan di Thailand

by

 


Ejen jualan produk kosmetik wanita Rosnazirah Mohd Naim, yang diculik sekumpulan lelaki dari kediamannya di Tumpat, Kelantan pada 13 September lalu berjaya diselamatkan.

Lokasi kedudukan mangsa berusia 36 tahun itu berjaya dikesan hasil bantuan dan kerjasama erat antara pihak berkuasa Thailand dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata melalui kerjasama erat ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Diraja Thailand serta perkongsian maklumat dan perisikan berjaya mengenalpasti lokasi keberadaan wanita itu di Thailand.

Mangsa kemudiannya berjaya ditemui dan diselamatkan sebelum dibawa pulang ke tanah air.

Dalam kes ini juga seramai tujuh lelaki tempatan ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur, katanya dalam satu kenyataan.

Acryl Sani berkata, pihaknya juga turut merampas sebuah kenderaan yang digunakan untuk melarikan mangsa dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, di sini.

PDRM menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Polis Diraja Thailand dan Kedutaan Besar Malaysia di sana atas kerjasama dan bantuan dalam usaha yang dilaksanakan bagi membantu menyelamatkan mangsa.

PDRM juga meminta kepada masyarakat supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian yang menyalahi undang-undang dalam usaha membanteras kegiatan jenayah dan memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara," katanya.

BH sebelum ini melaporkan mangsa dilarikan pada jam 5.10 petang, 13 September lalu dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios dan terdapat penduduk mendakwa melihat mangsa menaiki bot ke Thailand.

Kereta sama kemudiannya ditemui jam 10 malam hari yang sama di Kampung Kuala Jambu, Pengkalan Kubor.

Penculikan mangsa dipercayai ada kaitan dengan sindiket dadah dan susulan itu polis menahan tiga individu termasuk suami mangsa dan seorang wanita berusia antara 35 hingga 47 tahun bagi membantu siasatan.

Sumber : Berita Harian


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90