Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Kajian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kajian. Papar semua catatan

Wanita kurang tuntut naik gaji - Kajian

by
Kaum Wanita kurang tuntut naik gaji

Pekerja wanita didapati kurang berminat membuat rundingan gaji atau menuntut kenaikan gaji berbanding lelaki, lapor satu penyelidikan.

Kajian yang dijalankan Biro Penyelidikan Ekonomi Kebangsaan Amerika Syarikat mendapati, berbeza dengan wanita, lelaki lebih menyenangi persekitaran kerja dengan rundingan gaji dan harapan mendapat kenaikan dari semasa ke semasa.

Kajian yang bertajuk, ‘Adakah Wanita Mengelak Rundingan Gaji’ diketuai Andreas Leibbrandt dan John A List, mendapati wanita yang berkemahiran dan bijak sekali pun biasanya gagal di meja rundingan untuk kenaikan gaji.

Ia juga mendapati bahawa wanita lebih kerap memandang rendah akan kebolehan diri sendiri, berbanding lelaki yang sering memberi anggapan lebih tinggi terhadap keupayaan mereka.

“Wanita kerap menjadi pasif dan biasanya cuba menunjukkan sikap bahawa mereka seorang yang mengenang budi apabila bertemu majikan untuk menuntut kenaikan gaji,” kata Leibbrandt.

Beliau berkata, dalam jangka masa panjang, wanita boleh terperangkap dalam kitaran kerja yang menjengkelkan, terpaksa bekerja lebih kuat tetapi dibayar gaji kurang daripada yang sepatutnya.

Pakar perunding psikiatri, Dr Ashish Dewan, berkata perkara ini berkait dengan sikap wanita sendiri yang seringkali mahu mengekalkan keseimbangan di dalam pelbagai perkara.

“Mereka mahu disukai dan dianggap sebagai rakan sepasukan. Mereka lebih rela tidak mendapat kenaikan gaji atau menuntut lebih banyak faedah asalkan dapat terus bersama dalam pasukan,” katanya.

- AGENSI


Pekerja sibuk, kurang masa untuk keluarga - Kajiselidik

by
Lebih 63 peratus pekerja di negara ini dikatakan tidak mempunyai masa yang cukup untuk bersama keluarga, ekoran tempoh waktu bekerja yang panjang.

Maklumat itu diperoleh melalui hasil kajian yang dilakukan oleh enjin pencarian pekerjaan dalam talian, JobStreet.com.

Kajian itu seterusnya menyatakan, hampir 70 peratus daripada responden yang terlibat di dalam kajian itu mendakwa, mereka terpaksa bekerja antara dua hingga lima jam lebih daripada waktu kerja yang sepatutnya kerana keperluan pekerjaan.

Kajian itu dijalankan dengan membabitkan 954 responden dan dilaksanakan pada bulan lepas.

Antara alasan yang diberikan ialah mereka terpaksa kerja lebih masa kerana kuantiti kerja yang banyak serta mempunyai batas waktu yang singkat.

Selain itu, 75 peratus responden menjawab mereka terpaksa berada di pejabat lebih lama kerana perlu menghabiskan tugasan yang banyak dan mendakwa tidak dibayar untuk tujuan tersebut.

Walaupun kebanyakan daripada mereka menjelaskan majikan masing-masing ada menyediakan kemudahan seperti gim atau tempat beristirehat di pejabat, namun kesemuanya tidak digunakan secara optimum kerana kesuntukan masa.

Hasil kajian itu juga mendapati 54 peratus daripada pekerja terbabit masih menerima arahan daripada ketua masing-masing meskipun sedang bercuti.

Pegurus JobStreet Malaysia, Chook Yu Yng menegaskan sesebuah syarikat perlu memastikan wujud keseimbangan antara kerja dan kehidupan bagi mengelakkan pekerja berdepan tekanan sehingga akan mengganggu produktiviti kerja mereka.

- UTUSAN





Jangka hayat Wanita Malaysia kini 79 tahun - Kajian

by
Kajian akademik terbaharu mendapati purata jangka hayat wanita Malaysia kini meningkat kepada 79 tahun berbanding 77 tahun yang dilaporkan dua tahun lalu manakala jangka hayat lelaki pula kekal di paras 77 tahun.

Dekan Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Khalid Yusof berkata, jangka hayat lelaki yang lebih pendek berpunca daripada kegagalan mereka mengamalkan cara hidup lebih sihat dan mudah terdedah kepada risiko pelbagai jenis penyakit.

"Perbezaan ini berlaku kerana golongan lelaki adalah individu yang lebih terdedah kepada risiko mendapat pelbagai jenis penyakit seperti sakit jantung, strok, buah pinggang, diabetes, kanser dan banyak lagi.

"Kurangnya amalan menjaga kesihatan kerana lebih mementingkan urusan kerja seharian menyebabkan golongan lelaki lebih berisiko berbanding wanita," katanya ketika ditemui selepas sambutan Hari Hipertensi Sedunia di Balai Rukun Tetangga Ketereh di Kota Bharu, Kelantan.

Laporan Taburan Penduduk Mengikut Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Mukim 2010 dan Produk Statistik 2011/2012 dikeluarkan pada tahun 2011 mendapati, jangka hayat lelaki Malaysia ketika itu adalah secara purata 71.9 tahun manakala golongan wanita ialah 77 tahun.

Dr. Khalid berkata, golongan wanita di negara ini lebih peka kepada penjagaan kesihatan malah kesedaran untuk berjumpa dan mendapatkan rawatan daripada pakar perubatan amat tinggi berbanding lelaki yang lebih gemar bergantung kepada ubat-ubatan tanpa rawatan susulan.

"Inilah yang berlaku iaitu wanita sanggup menerima rawatan tetapi lelaki lebih gemar ambil ubat tanpa berjumpa pakar dan disebabkan terlalu bergantung pada ubat inilah pelbagai jenis penyakit lebih banyak menyerang orang lelaki," katanya.

- UTUSAN


Makanan ringan meningkatkan kemurungan

by
Amalan memakan makanan ringan ketika seseorang di dalam keadaan sedih tidak akan membantu membaiki perasaan seseorang sebaliknya semakin meningkatkan kemurungan mereka, lapor satu kajian baru.

Hasil kajian dibentangkan oleh pasukan penyelidik Universiti Penn State di persidangan Persatuan Psikosomatik Amerika di Miami.

Kami berminat mengkaji wanita dalam kehidupan seharian untuk melihat sama ada mood berubah sebelum atau selepas mereka menikmati makanan tidak sihat," Kristin Heron, Penyelidik Universiti Penn State

Pasukan berkenaan meminta 131 wanita muda membawa komputer riba, yang akan mengingatkan mereka sepanjang hari untuk memberi reaksi kepada persoalan apa yang mereka rasakan dan apa yang dimakan.

“Kami berminat mengkaji wanita dalam kehidupan seharian untuk melihat sama ada mood berubah sebelum atau selepas mereka menikmati makanan tidak sihat dan tindak tanduk mengawal berat,” kata salah seorang penyelidik, Kristin Heron.

Tanpa dijangka, wanita tidak melaporkan mengalami banyak perubahan sebelum mood mereka berubah walaupun mengambil makanan rapu.

Bagaimanapun, jika dalam keadaan mood yang tidak baik, mereka akan berasa lebih teruk selepas makan makanan tidak berkhasiat. Dalam erti kata lain, makanan menenangkan tidak membantu langsung.

Walaupun banyak apa yang dikatakan bukti adalah anekdot, saintis mengetahui memakan makanan sihat boleh memberi impak kepada mood. Sebagai contoh, minyak Omega-3 dalam ikan seperti salmon boleh membantu memerangi kemurungan.

Bagaimanapun, kebanyakan orang percaya pemilihan makanan kurang sihat seperti coklat boleh menggembirakan seseorang. Tambahan pula kajian pada 2007 mengiyakan coklat boleh membuatkan seseorang berasa lebih baik tetapi cuma tiga minit.

Lebih teruk berbanding tidak boleh menaikkan mood, sebahagian makanan sebenarnya berkesan dalam tubuh menjadikan seseorang berasa lebih teruk.

Dr Jennifer Landa, yang menulis untuk Fox News, berkata kerepek kentang digoreng dalam asid lemak Omega-6 yang menghalang kemampuan tubuh memproses lemak Omega-3 yang sebenarnya membuat seseorang lebih gembira.

Sumber : Agensi


Tinjauan - Rakyat Malaysia paling percaya maklumat dalam internet

by
Masyarakat awam di Malaysia paling percayakan maklumat yang diperoleh daripada enjin carian dalam talian internet, diikuti oleh media tradisional dan sosial, demikian menurut hasil 'Tinjauan Pengukur Kepercayaan 2013' Edelman Malaysia.

"Apa yang ternyata di sini ialah ruang dalam talian yang merangkumi media digital dan sosial, tidak boleh dipandang remeh sebagai sumber maklumat yang dipercayai.

"Skor kepercayaan yang tinggi terhadap "media dimiliki" ini menunjukkan keperluan mendesak bagi semua pertubuhan mengemas kini dan menggunakan sepenuhnya aset korporat mereka seperti portal sesawang, surat berita, YouTube, malah juga Twitter untuk menyebarkan maklumat," kata Pengarah Urusan Edelman Asia Tenggara, Bob Grove.

Walaupun skor kepercayaan pada umumnya lebih tinggi dalam kaji selidik ini, namun perlu dimaklumi bahawa jurang kepercayaan antara institusi penting dan pucuk pimpinan, yang membayangkan krisis yang mungkin berlaku dalam kepimpinan.

Hasil kaji selidik ini juga menunjukkan bahawa meskipun responden umum mempercayai perniagaan, hanya 26 peratus mempercayai pemimpin perniagaan bercakap benar, dan hanya 21 peratus mempercayai pemimpin kerajaan bercakap benar.

Pengarah Urusan Edelman Malaysia, Raymond Siva, berkata hasil kaji selidik Pengukur Kepercayaan Edelman 2013 di Malaysia, jelas menunjukkan bahawa warga Malaysia mengharapkan pertubuhan-pertubuhan lebih memperlihatkan sifat-sifat kemasyarakatan berbanding kebolehan mengendali, untuk mendapatkan kepercayaan mereka.

"Jelaslah bahawa pengaruh dan kuasa beralih daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pemimpin kerajaan kepada pakar dan rakan sebaya," katanya.

Ketika membentangkan hasil kaji selidik itu, beliau berkata, pemimpin kerajaan dan perniagaan mestilah mengubah pendekatan pengurusan mereka untuk meningkatkan penglibatan mereka dengan mendapatkan input pekerja, pengguna, penggiat dan pakar-pakar seperti ahli akademik, dan menyesuaikan diri mengikut maklum balas mereka.

Beliau berkata dinamik kepercayaan telah berevolusi daripada Piramid Pengaruh tradisi, yang menonjolkan maklumat dalam bentuk monolog, serta dikawal dan diarahkan oleh hanya segelintir, kepada Diamond Pengaruh, yang menampilkan maklumat dalam bentuk dialog.

"Dalam persekitaran di mana kepercayaan masih amat rapuh, ini adalah peluang yang ketara bagi perniagaan dan kerajaan mendapatkan semula 'lesen' untuk memimpin," tegasnya.

Tinjauan itu juga menunjukkan bahawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terus menjadi institusi paling dipercayai di Malaysia, dengan kadar yang meningkat daripada 68 peratus kepada 76 peratus tahun ini.

Edelman ialah firma perhubungan awam bebas terbesar di dunia, yang mempunyai 66 pejabat dan lebih 4,500 pekerja di seluruh dunia, serta ahli gabungan di lebih 30 bandar.

Antara hasil lain yang diperoleh daripada orang awam di Malaysia menunjukkan sektor industri yang paling dipercayai ialah teknologi (85 peratus), bank (82 peratus) dan industri tenaga (81 peratus).

Sektor yang paling kurang dipercayai ialah arak dan spirit (56 peratus) dan media (66 peratus), meskipun kedua-duanya menyaksikan peningkatan dua angka.

Di peringkat global, tinjauan itu mendapati bahawa rasuah dan insentif salah yang memacu perniagaan serta keputusan dasar disebut sebagai sebab-sebab utama bagi rasa tidak percaya terhadap perniagaan dan kerajaan.

Katanya prestasi lemah dan ketidakcekapan juga merupakan faktor utama bagi kurangnya kepercayaan terhadap kerajaan.

Dari segi syarikat multinasional, warga Malaysia meletakkan kepercayaan yang lebih tinggi terhadap syarikat-syarikat yang beribu pejabat di Jerman, Kanada dan Sweden berbanding syarikat yang berpangkalan di Brazil, China dan India.

Sama seperti trend di seluruh Asia Pasifik, warga Malaysia juga lebih mempercayai perniagaan besar berbanding perniagaan kecil.

Pengukur Kepercayaan Edelman 2013 di Malaysia dihasilkan oleh firma penyelidikan Edelman Berland dan melibatkan temu bual dalam talian selama 20 minit yang dikendalikan dari 16 Okt hingga 29 Nov, 2012.

- BERNAMA


Gula-gula getah mampu tingkat tahap kecerdasan

by
Satu kajian terbaru di London menemui bukti saintifik yang menyokong slogan iklan mendakwa bahawa gula-gula getah mampu mempercepatkan tindak balas dan meningkatkan kecerdasan.

Penyelidik dari Institut Kebangsaan Radiologi Sains di Jepun dan beberapa pusat lain mendapati bahawa masa tindak balas meningkat 10 kali lebih cepat ketika mengunyah gula-gula getah manakala sekurang-kurangnya lapan kawasan berlainan di dalam otak akan terbabit aktif, lapor The Independent.

Satu teori mendapati bahawa mengunyah akan meningkatkan rangsangan dan membawa kepada peningkatan sementara aliran darah ke otak, yang membantu menerangkan mengapa ia digunakan secara meluas di kalangan pengurus pasukan bola sepak yang berjaya antaranya termasuk pengurus pasukan Manchester United, Sir Alex Ferguson.

Sukarelawan di dalam uji kaji terbabit diuji ketika mereka mengunyah dan tidak mengunyah gula-gula getah. Gula-gula getah yang digunakan tidak berperisa untuk mengelak daripada gangguan.

Otak lelaki dan wanita turut diimbas dengan Pengimejan Resonans Magnetik fungsi (fMRI) untuk melihat kawasan mana yang paling aktif.

Dalam ujian 30 minit membabitkan sukarelawan menekan satu butang pada ibu jari kanan atau kiri mereka berdasarkan arah satu anak panah pada skrin di hadapan mereka. Satu ujian lebih sukar berbanding yang lain. Ketika kedua-dua ujian, kadar kecerdasan dan masa tindak balas diukur.

- Agensi

Hanya 25% rakyat beli produk baru lancar - Kajian

by
Hanya suku atau 25 peratus dari pengguna dalam talian di Malaysia menganggap diri mereka sebagai pembeli peringkat awal bagi sesuatu produk inovasi terbaharu, menurut kajian Nielsen.

Daripada jumlah itu, lima peratus daripadanya bersetuju sepenuhnya bahawa mereka menyokong kuat inovasi terbaharu.

Menurut kenyataan Nielson, peratusan itu adalah lebih rendah berbanding peratusan di rantau Asia Pasifik dan purata di peringkat antarabangsa iaitu masing-masing 38 dan 34 peratus.

Kajian Nielsen Global Survey of New Product Purchase Sentiment melibatkan 29,000 responden internet daripada 51 negara telah menunjukkan bahawa 'konsep yang terbukti' (proof of concept) memberi pengaruh besar dalam membeli inovasi baharu.

Hampir 65 peratus responden di negara ini menyatakan bahawa mereka akan menunggu sehingga inovasi baharu itu terbukti bagus sebelum membelinya.

Bagi keutamaan jenama pula, 65 peratus pengguna negara ini memilih untuk membeli produk baharu yang dikeluarkan oleh jenama yang sudah dikenali iaitu lebih tinggi berbanding jumlah purata bagi Asia Pasifik dengan 55 peratus.

Pengarah Urusan Nielsen Malaysia, Richard Hall berkata, walaupun pengguna gemar melihat produk baharu, tetapi untuk menjadi pembeli pertama, pengguna akan memikirkan mengenai apa yang akan terjadi kepada produk berkenaan selepas dibeli.

Katanya, perkara tersebut termasuk penjagaan selepas membelinya bagi jangka masa pendek dan pertengahan.

"Walaupun kepercayaan terhadap jenama yang sudah terkenal dan dipercayai membantu menarik perhatian bila produk baharu dilancarkan, namun budaya 'tunggu dan lihat' rakyat Malaysia sudah menjadi norma dalam membuat pembelian.

"Apa yang penting, harga untuk persamaan nilai kekal menjadi faktor utama dalam kejayaan sesuatu produk, begitu juga pengalaman peribadi yang positif dan juga pengesahan secara lisan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Berbanding 64 peratus di Asia Pasifik, 49 peratus pengguna Malaysia didapati akan memberitahu orang lain mengenai produk yang mereka beli.

Menurut kajian itu juga, pengiklanan secara tradisional dan komunikasi secara lisan adalah cara pemujukkan yang paling berkesan untuk memperkenalkan produk baharu di Malaysia.

Katanya, 69 peratus pengguna akan yang mendapat sampel percuma adalah lebih tertarik untuk membeli produk baharu itu.

Teknik yang sama juga diikuti dengan mendengar nasihat dari keluarga dan rakan dengan 69 peratus dan nasihat pakar (67 peratus).

Selain itu, kesedaran meyakinkan mengenai produk juga diperolehi dengan melihat produk di kedai dengan 67 peratus, iklan televisyen (56 peratus) dan internet (56 peratus).

- UTUSAN

Orang Kelantan adalah Melayu terawal

by
SIAPAKAH yang dikatakan Melayu dan paling Melayu? Sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) menggunakan kaedah analisis genetik atau ciri pewarisan untuk merungkai masalah bahawa siapakah yang paling Melayu. Sekumpulan penyelidik Universiti Teknologi Mara pula (UiTM) menggunakan kaedah yang sama untuk membantu dalam rawatan penyakit.

Bagi saintis, kajian mengenai genetik melibatkan aspek teknikal. Tetapi dari satu sudut lain ia membongkar banyak perkara baru mengenai benda hidup, termasuk asal-usulnya.

Lebih daripada itu, saintis boleh menemui kaedah baru dalam rawatan penyakit manusia berdasarkan profil gen yang dimiliki.

Secara mudahnya, genetik merupakan bidang sains yang mengkaji fenomena pewarisan dan variasi benda hidup.

Unit asas untuk semua benda hidup ialah sel yang mengandungi nukleus.

Di dalam nukleus, terdapat kromosom yang di dalamnya tersimpan maklumat pewarisan atau keturunan.

Kromosom ialah makro-molekul yang terdiri daripada asid deoksiribonukleik (DNA) yang memberi maklumat kod pewarisan atau keturunan dalam bentuk gelungan dua bebenang yang terdiri daripada ulangan jujukan empat nukleotida iaitu A (Adenine), T (Thymine) , C (Cytosine) dan G (Guanine) sahaja.

Setiap kromosom mengandungi beberapa ratus hingga beberapa ribu gen.

Setiap gen terbentuk daripada jujukan DNA yang spesifik dan boleh ditafsir untuk pembinaan protein. Manusia mempunyai 23 pasang kromosom yang terdiri daripada lebih kurang 25,000 gen.

Bagaimanapun, terdapat variasi mutasi genomik antaranya polimorfisma nukleotida tunggal atau SNP iaitu apabila nukleotida (A,C,T atau G) dalam jujukan DNA berbeza dalam individu berkenaan.

Berdasarkan maklumat-maklumat ini, saintis kini memfokuskan kepada kerja-kerja penjujukan DNA bagi mencari variasi yang berbeza pada manusia.

Berlandaskan latarbelakang itu juga, sekumpulan saintis dan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) diketuai pensyarah Pusat Pengajian Sains Perubatan Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr. Zilfalil Alwi melancarkan Malaysian Node bagi Projek Variome Manusia (Human Variome Project).

Ia bertujuan mengenal pasti variasi SNP yang terdapat pada pelbagai subetnik Melayu di negara ini.

Projek berkenaan melibatkan pengambilan sampel darah subetnik Melayu iaitu Melayu Kelantan, Jawa, Bugis, Minang, Kedah, Pattani, Champa dan Banjar yang telah bermula pada 2006.

‘‘Kajian ini dilaksanakan bagi membandingkan profil DNA antara pelbagai sampel daripada subetnik Melayu berkenaan seterusnya menghasilkan pangkalan data variasi SNP ini untuk menjadi rujukan kepada penyelidik lain amnya," ujarnya ketika ditemui di ibu negara baru-baru ini

Beliau berkata , SNP berlaku apabila terdapat satu nukleotida dalam DNA manusia (sama ada A,C,T atau G) yang berbeza daripada individu-individu lain. Perbezaan itu berlaku pada sekurang-kurangnya dua peratus individu dari populasi atau kumpulan etnik berkenaan.

Sebarang variasi dalam DNA seperti SNP boleh menyumbang kepada kemungkinan berlakunya penyakit pada individu berkenaan termasuk penyakit yang diwarisi atau penyakit yang disebabkan oleh gabungan faktor genetik dan faktor-faktor persekitaran seperti pendedahan kepada radiasi bahan kimia dan sebagainya.

Kajian beliau tertumpu kepada mencari jenis variasi atau kepelbagaian yang berlaku dalam gen manusia dan dibuktikan kemudiannya bagi meramal penyakit dan asal usul subetnik Melayu di samping penghasilan pangkalan data SNP.

Menurut beliau, pelbagai kumpulan etnik yang terdapat di negara ini boleh memberi gambaran corak sejarah penghijrahan dan cabang bahasa yang berbeza.

Pelbagai budaya telah bercampur di Malaysia sejak sejarah awal lagi.

Katanya, lebih daripada 1,500 tahun yang lalu, kerajaan Melayu yang ada mengalu-alukan semua pedagang antaranya dari China, India dan Arab dan dengan ketibaan mereka membawa bersama budaya serta agama berlainan seperti Islam, Buddha dan Hindu.

Keunikan budaya Malaysia dipengaruhi oleh pelbagai budaya yang berbeza, namun hanya segelintir yang mempunyai pengaruh yang berkekalan terutamanya pada negara.

Walaupun setiap budaya ini telah bersungguh-sungguh mengekalkan tradisi dan struktur masyarakat, percampuran antara mereka juga telah mencipta pelbagai warisan kontemporari Malaysia yang unik.

‘‘Pemetaan genom kumpulan subetnik Melayu ini akan memberikan kita peta genetik bagi menghuraikan sejarah penghijrahan negara serta mendedahkan sejauh mana persamaan genetik antara pelbagai populasi.

‘‘Ia juga dapat menjelaskan teka-teki sejarah dan latar belakang demografi setiap etnik yang mungkin mengalami faktor evolusi yang berbeza.

‘‘Dengan penubuhan pangkalan data genetik ini, pelbagai kajian penyelidikan ke arah kelestarian manusia sejagat dapat dilaksanakan. Ia termasuk kajian forensik dan implikasi etika, undang-undang dan sosial pada masyarakat,’’katanya,

Beliau bersama pelajarnya Wan Nur Hatin Wan Isa dan Nur Shafawati Ab. Rajab beserta penyelidik lain dari pelbagai institusi telah memulakan kajian dengan mengambil sampel di beberapa tempat di Semenanjung Malaysia.

Mereka dibantu oleh orang kampung terutama ketua-ketua kampung yang terlibat.

Kajian dibiayai menerusi geran dari Kementerian Pengajian Tinggi dan Universiti Sains Malaysia (USM) yang dibahagi bersama penyelidik lain dari USM dari Pusat Pengajian Sains Perubatan, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Pusat Pengajian Sains Kesihatan dan juga Pusat Pengajian Sains Kemanusiaan.

Kajian tersebut bertujuan memeta genom kumpulan etnik berkenaan bagi menghuraikan sejarah penghijrahan dan kajian latar belakang mereka.

Kajian ini menggunakan kaedah berteknologi tinggi iaitu cip microarray yang mampu melaksanakan kerja-kerja penjujukan SNP dalam masa yang pantas.

Kajian tersebut yang tamat tahun lalu mendapati beberapa kesimpulan menarik dapat dibuat berdasarkan kepada perbandingan pemetaan genom yang dilakukan.

Antara hasil penyelidikan tersebut menunjukkan perkaitan beberapa subetnik Melayu kepada masyarakat Indonesia serta persamaan masyarakat di Selatan Thailand dengan Melayu Kedah dan Melayu Kelantan di samping mengandungi komponen Cina dan India dalam genom mereka.

Daripada tujuh kumpulan atau subetnik tersebut, hasil kajian beliau dan kumpulannya juga mendapati setiap kumpulan sub-etnik Melayu mempunyai genom campuran dan Melayu Kelantan dan Melayu Kedah mungkin dipengaruhi oleh tamadun Langkasuka pada era sejarah dulu.

Ini menunjukkan bahawa Melayu Kelantan terawal di Semenanjung Tanah Melayu berdasarkan perbandingan profil genetik yang diperoleh. Ini kerana sampel Melayu Kelantan tidak mempunyai persamaan atau unsur yang sama dengan semua sampel subetnik Melayu yang dianalisis kecuali dengan subetnik Melayu Pattani dan Melayu Kedah yang mana apabila dikaitkan dengan sejarah, era Langkasuka mennjukkan adanya kaitan Melayu, Kedah dan Pattani.

- UTUSAN

BH, Harian Metro kekal akhbar pilihan pembaca 2012

by

BH dan Harian Metro kekal sebagai akhbar pilihan pembaca bagi segmen bahasa Melayu bagi tempoh Julai tahun lalu hingga Jun tahun 2012 ini.

Mengikut kajian terbaru Indeks Media Nielsen, jumlah pembaca akhbar bahasa Melayu di negara ini terus meningkat daripada 35.1 peratus kepada 36.1 peratus, mencecah 5.74 juta pembaca.

Akhbar BH yang berwajah baru mulai 1 Julai lalu, mengekalkan 6.9 peratus membabitkan 1.1 juta pembaca, menurut kajian itu.

Harian Metro pula merekodkan 23.2 peratus mewakili 3.69 juta pembaca sekali gus kekal sebagai akhbar paling ramai pembaca di negara ini.

Jumlah pembaca akhbar Utusan Malaysia pula, mengikut kajian itu, kekal pada 696,000.

Satu lagi akhbar terbitan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), New Straits Times, mencatatkan 277,000 pembaca.

Kajian itu juga menyebut jumlah pembaca akhbar berbahasa Inggeris meningkat daripada 7.8 peratus kepada 9.5 peratus membabitkan 1.51 juta pembaca berbanding tempoh sama sebelumnya.

Kajian itu dilakukan terhadap lima akhbar berbahasa Melayu dan dua berbahasa Inggeris utama negara.

Hanya 38 peratus pekerja puas hati dengan pengurusan

by
Gaya kepimpinan dan pengurusan memainkan peranan penting di tempat kerja dan 38 peratus responden puas hati dengan gaya kepimpinan pengurusan mereka sekarang, kata Kajian Tenaga Kerja Global Kelly Services Inc.

Menurut kajian itu, penilaian yang paling memberangsangkan adalah dari Amerika, yang mana 45 peratus berkata mereka puas hati dengan kepimpinan pihak pengurusan mereka sekarang, jauh mendahului kedua-dua Eropah, Timur Tengah dan Afrika (EMEA) pada 34 peratus dan Asia-Pasifik pada 39 peratus.

Hampir 170,000 pekerja di 30 negara mengambil bahagian dalam kajian itu, termasuk lebih 2,000 di Malaysia, kata Kelly Services dalam satu kenyataan.

"Berbanding dengan negara-negara lain, rantau Asia-Pasifik berada pada kedudukan yang agak baik bagi kepimpinan pengurusan dengan India (65 peratus), Indonesia (58 peratus), Malaysia (58 peratus), New Zealand (52 peratus), Singapura (52 peratus) berada di tempat-tempat teratas.

"Thailand, China, dan Hong Kong menerima markah yang rendah pada masing-masing 44 peratus, 40 peratus dan 38 peratus daripada pekerja," katanya.

Kelly Services berkata pekerka di Asia-Pasifik didapati paling kurang untuk memuji majikan mereka berbanding responden dari wilayah Amerika dan EMEA.

"Bagaimanapun, 60 peratus pekerja di China, Thailand, India dan New Zealand berkata positif tentang majikan mereka, manakala di Malaysia dan Singapura adalah pada 52 peratus dan Indonesia 50 peratus," katanya.

Pengarah urusan Kelly Services, Malaysia, Melissa Norman berkata, salah satu daripada sasaran utama ketua yang efektif adalah untuk menggalakkan pekerja mencapai kecemerlangan.

"Kurang daripada separuh yang dikaji (48 peratus) berkata mereka terinspirasi oleh pihak pengurusan mereka untuk memberikan prestasi terbaik di tempat kerja," kata beliau.

- BERNAMA

Wanita Malaysia paling ramai curang

by
Wanita Malaysia adalah yang ketiga paling ramai curang di dunia, menurut akhbar laman berita GhanaWeb kelmarin yang memetik laporan akhbar China Press.

Penemuan mengejutkan itu dibuat berdasarkan satu kaji selidik yang mendapati 39 peratus wanita Malaysia mengaku mencurangi pasangan mereka.

Senarai tersebut diungguli oleh Ghana apabila 62 peratus wanitanya mengaku curang diikuti oleh Thailand sebanyak 59 peratus.

Wanita Rusia pula dianggap keempat paling curang di dunia dengan angka 33 peratus diikuti Singapura di tempat kelima dengan 19 peratus.

Kaji selidik sama turut mendapati pasangan di Thailand adalah paling curang di dunia dengan 54 peratus manakala Korea Selatan berada di tempat kedua apabila 34 peratus rakyatnya dilaporkan bermain kayu tiga.

- KOSMO!

Cara suami dan isteri tunjuk cinta berbeza

by
Satu kajian Universiti Texas mendapati suami dan isteri sama romantik, namun mereka melahirkan perasaan dengan cara berbeza.

Penyelidik di universiti itu menemuramah 168 pasangan berkaitan empat perkara dalam perkahwinan mereka, lapor akhbar The Daily Telegraph Britain kelmarin.
Suami dan isteri disoal secara berasingan mengenai
Dunia
Cara suami, isteri tunjuk cinta berbeza
15/08/2012 - 03:16:03 AM Cetak Emel Kawan
Texas: Satu kajian Universiti Texas mendapati suami dan isteri sama romantik, namun mereka melahirkan perasaan dengan cara berbeza.

Penyelidik di universiti itu menemuramah 168 pasangan berkaitan empat perkara dalam perkahwinan mereka, lapor akhbar The Daily Telegraph Britain kelmarin.
Suami dan isteri disoal secara berasingan mengenai bagaimana rapat dan dekatnya mereka terhadap pasangan selain beberapa soalan berhubung tabiat setiap seorang sejak 24 jam lalu.

Penyelidik mendapati isteri “kelihatan mempamerkan perasaan cinta dengan cenderung menjaga suasana emosi perkahwinan mereka” sementara cinta suami “jelas mencetuskan satu persekitaran yang menarik pasangan bersama-sama dalam aktiviti.”

“Bertentangan dengan tanggapan bahawa wanita lebih cenderung berbanding lelaki menunjukkan kasih sayang menerusi perasaan, suami bertindak sama seperti isteri melahirkan kecintaan mereka dengan melakukannya menerusi tingkah laku hangat dan intim,” tulis penyelidik dalam Buletin Personaliti dan Psikologi Sosial.

- Agensi

Kajian - Bunyi enjin jet boleh gugat jantung

by
MEREKA yang tinggal di kawasan yang mempunyai kepadatan kenderaan tinggi dan sering mengalami kesesakan lalu lintas bukan sahaja berdepan masalah tekanan akibat bunyi bising, malah berisiko menghidap sakit jantung.

Kajian yang dijalankan di Denmark selama 10 tahun mendapati perkara tersebut meningkatkan risiko sakit jantung sebanyak 12 peratus.

"Kita mungkin menganggap bunyi bising kenderaan sekadar mengganggu tidur. Tetapi apabila pada setiap masa anda terdedah kepada bunyi yang sangat bising, anda sebenarnya secara tidak langsung meningkatkan kandungan hormon stres di dalam badan.

"Ia mempunyai kaitan dengan risiko serangan jantung," kata ketua pengkaji daripada Persatuan Kanser Denmark, Mette Sorenson.

Sorenson dan pengkaji lain bersetuju bahawa terdapat hubung kait yang signifikan antara serangan jantung dan lokasi kediaman di kawasan trafik sesak selepas mengambil kira faktor pencemaran udara.

Dalam pada itu, Sorenson menasihatkan orang ramai agar memilih bilik tidur yang tidak terdedah kepada bunyi bising kenderaan atau elakkan daripada mendiami kawasan seperti itu.

Kajian ke atas 50,000 responden itu disiarkan dalam jurnal PLoS ONE.

- KOSMO!

10,000 spesies bakteria dalam tubuh manusia sihat

by


Percaya atau tidak terdapat lebih 10,000 spesies bakteria hidup di dalam tubuh manusia sihat.

Seorang penyelidik dari Universiti Washington di St Louis, Amerika Syarikat, Dr Phillip Tarr membuktikan, bakteria itu hidup pada kulit, usus, hidung dan beberapa bahagian lain dalam anggota badan manusia.

"Saintis membuktikan badan sihat berupaya berkongsi hidup dengan berpuluh ribu bakteria dan kulat dalam satu masa.

"Kebanyakan organisma ini berfungsi sebagai mengekalkan kesihatan manusia bersama tindak balas positif daripada air di dalam badan manusia," katanya.

Kajian bernilai AS$173 juta(RM547 juta) ini telah dibiayai oleh Institut Kesihatan Amerika Syarikat dengan melibatkan lebih 200 orang pelbagai peringkat usia.

- SINAR HARIAN

Kebanyakan Belia 'Semakin Bermoral' – Kaji Selidik

by
Satu kajian mendapati golongan belia Malaysia adalah bermoral di mana kebanyakan mereka tidak melibatkan diri dengan aktiviti maksiat seperti judi dan lumba haram.

Tetapi pakar mempersoalkan mengenai ketetapan hasil kajian Indeks Belia Malaysia 2011 oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Laporan kaji selidik itu sendiri menasihatkan supaya berhati-hati untuk menerima hasil itu dalam kategori Salah Laku.

Laporan yang berdasarkan jawapan 6,267 responden dari 13 negeri dan wilayah persekutuan berkata, belia berkata, belia secara konsisten mencatatkan atas daripada 96 mata (bagi skala 0 sehingga 100) dalam enam sub-petunjuk di bawah kategori Salah Laku, menunjukkan perubahan positif berbanding dua kaji selidik sebelumnya pada 2006 dan 2008.

Perubahan paling postif adalah dalam sub-petunjuk “tidak berjudi / tidak terlibat dalam perjudian sehingga terpaksa berhutang”, dengan catatan responden iaitu 99.0 mata – hampir 11 mata meningkat daripada catatan pada 2008 iaitu 88.7 dan lebih tinggi berbanding 2006 dengan 86.6.

Responden turut mencatatkan hampir sempurna dengan 99.0 mata dalam sub-kategori “tidak terlibat dalam lumba haram, satu peningkatan yang mantap daripada 96.3 mata pada 2008 dan 95.4 mata pada 2006.

Turut terdapat peningkatan yang mendadak bagi belia yang mengelakkan seks luar nikah.

Ia juga terdapat peningkatan yang ketara dalam pemarkahan tiga sub-petunjuk lain iaitu tidak minum alkohol, tidak minum alkohol sehingga mencetuskan huru-hara, tidak merosakkan harta benda awam dan tidak mengambil dadah atau bahan larangan.

Bagaimanapun, laporan itu berkata, kajian itu menggunakan penarafan diri, yang mendorong kepada kecenderungan memberikan maklum balas yang diingini orang ramai untuk melihat mereka lebih baik meskipun maklumat responden akan dirahsiakan.

Seorang perunding media, yang enggan dikenali berkata, vandalisme dan lukisan grafiti tidak menular seperti di kebanyakan negara lain.

“Dan tidak seperti belia di Britain yang pergi minum di pesta-pesta, dan belia kita tidak minum sehingga mencetuskan kekacauan,” katanya.

- MSTAR

Kajian - Masa kerja panjang punca tidak aktif

by
Kesibukan tugasan harian yang melampau dan waktu kerja terlalu panjang menjadi punca seseorang malas untuk bergerak atau menghabiskan aktiviti di luar rumah selepas seharian sibuk di pejabat.

Satu kajian yang dijalankan Weight Watchers mendapati satu pertiga peserta kajian mengakui mereka lebih suka tidak keluar pada waktu malam bersama keluarga atau kawan-kawan kerana merasakan ia mengambil terlalu banyak masa.

Malah, hampir satu perlima daripada mereka mengatakan terlalu letih untuk hubungan intim bersama pasangan masing-masing pada waktu malam, lapor Daily Mail.

Kajian membabitkan 2,638 orang dewasa itu mendapati tiada waktu, masa bekerja yang terlalu panjang dan terlalu sibuk menjadi punca utama mereka memilih gaya hidup yang lebih banyak terperap di rumah.

Peserta juga mendedahkan, hubungan dengan pasangan terjejas berikutan kepenatan menyebabkan mereka lebih memilih sekadar menghantar mesej kepada pasangan berbanding mengambil masa untuk menghubungi mereka.

Berdasarkan keputusan itu, secara purata seseorang tidak melakukan apa-apa kecuali sekadar duduk pada hujung minggu malah tidak melakukan sebarang senaman pada sepanjang minggu.

Kira-kira 21 peratus menyalahkan terlalu sibuk untuk mengimbangi tugas dan kehidupan berkeluarga sehingga tiada masa untuk bersenam manakala 32 peratus mendakwa mereka terlalu penat selepas seharian bekerja.

“Tiada masa adalah kenyataan yang biasa untuk tidak melakukan sebarang aktiviti fizikal,” kata profesor aktiviti fizikal di Loughborough Universiti, Stuart Biddle.

“Bagaimanapun penyelidik menyatakan ia hanya sekadar persepsi berbanding realiti. Ia sebenarnya lebih kepada motivasi dan keutamaan berbanding tiada masa.”

Ketua kesihatan di Weight Watcher, Zoe Hellman berkata bahawa kurangnya motivasi dalam diri boleh meletakkan diri dalam risiko kesihatan.

– Agensi

Kajian jaringan sosial di Internet

by
Firma penyelidikan, Universal McCann Malaysia (UniMc) mendapati rakyat Malaysia terutamanya golongan berumur 45 hingga 54 tahun semakin selesa berkongsi data peribadi masing-masing menggunakan jaringan sosial.

Menurut kajian itu, jaringan sosial kini telah menjadi sebahagian yang penting dalam kehidupan mereka.

Kajian itu turut mendapati rakyat Malaysia merupakan antara yang mempunyai rangkaian kenalan terbesar di dunia dan sering memanfaatkan media sosial untuk berhubung dengan rakan dan keluarga.

“Malaysia, dengan kadar penembusan Internet sebanyak 22 peratus adalah juga antara negara yang paling pantas menerima pakai teknologi tablet," kata McCann.

Hasil kajian itu didedahkan baru-baru ini melalui hasil kajian Wave yang keenam, yang mengukur skala dan impak media sosial seluruh dunia.

Hasil kajian itu membawa kepada penemuan beberapa mesej kritikal untuk komuniti perniagaan kini.

Menurut kajian Wave itu lagi, pengguna dari semua golongan usia melihat laman web jenama sebagai bersifat satu dimensi dan sebaliknya lebih menyukai interaksi yang memberikan maklum balas terhadap isu jenama serta menjawab aduan pelanggan.

“Jaringan sosial bukan lagi terbatas kepada media sahaja, malah merangkumi pemasaran dan perniagaan.

“Jaringan sosial juga membawa transformasi kepada cara jenama membuat inovasi produk, meningkatkan kefahaman, meluaskan komunikasi, mengumpul maklum balas serta melibatkan komuniti," ujarnya.

Sementara itu, Presiden Serantau World Markets Asia dan Ketua Pegawai Eksekutif UniMc Malaysia, Prashant Kumar berkata, jaringan sosial baharu, Facebook kini menjadi tempat berbual yang popular.

Katanya, YouTube pula boleh diibaratkan sebagai dataran bandar yang baharu.

Kajian Wave itu katanya, meneroka segala yang berkaitan sosial, mendedahkan bahawa syarikat perlu membangunkan strategi media sosial yang lebih canggih bagi mencapai objektif komersial khusus untuk mendekati komuniti jaringan sosial yang semakin berkembang luas.

Jelasnya, jenama juga boleh meraih rasa hormat dan kesetiaan pengguna sekiranya mereka menawarkan maklum balas peribadi kepada aduan pengguna.

Kajian tersebut turut meneroka bagaimana pengguna dari 62 negara menggunakan jaringan sosial seperti Facebook dan Twitter untuk berinteraksi dengan jenama.

Kajian itu turut mengkaji apa yang pengguna ingin dan harapkan daripada pengalaman mereka menggunakan jaringan sosial tersebut.

Kajian juga menunjukkan mengapa mereka gemar meluangkan lebih masa dengan jenama tertentu, apa yang membuatkan mereka rasa dihargai sebagai pelanggan dan insentif yang menggalakkan mereka untuk mengesyorkan jenama tersebut kepada orang lain.

- UTUSAN

Pemandu Di Malaysia Kurang Peka Terhadap Soal Keselamatan Kenderaan

by
Satu kajian menunjukkan pemandu di Malaysia kurang peka terhadap soal keselamatan untuk diri sendiri, khususnya anak-anak mereka.

Berdasarkan penemuan awal, 90 peratus daripada 236 kanak-kanak berumur empat tahun dan ke bawah tidak diletakkkan di kerusi keselamatan ketika di dalam kenderaan.

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) turut mendapati kira-kira 11 peratus daripada 131 pemandu memandu dengan memangku anak mereka.

Walaupun satu kajian akan dijalankan, penemuan tersebut dipercayai mencerminkan tahap kesedaraan pemandu mengenai keselamatan kenderaan di seluruh negara.

Penemuan itu menunjukkan kesedaran mengenai tahap keselamatan kenderaan merosot sejak kajian dilakukan pada 2004 oleh penyelidik keselamatan jalan raya, Universiti Putra Malaysia, Dr S. Kulanthayan.

Kajian selama lapan tahun itu mendapati 27.4 peratus pemandu menggunakan sekurang-kurangnya satu kerusi keselamatan kanak-kanak berbanding 10 peratus yang diperhatikan pada ketika ini.

Ketua Unit Reka Bentuk dan Instrumentasi Miros, Muammar Quadaffi Mohd Ariffin berkata, kajian terbaru yang dijalankan ke atas 400 kanak-kanak menumpukan cara mereka dihantar ke pra-sekolah.

"Saya terkejut bahawa ibu bapa mendedahkan anak-anak mereka kepada bahaya seperti itu," katanya yang memberitahu pasukan penyelidik melakukan kajian ke atas sembilan pra-sekolah di Kajang sejak awal bulan lalu.

Muammar Quadaffi berkata, pasukan itu mendapati hanya 22 daripada 131 pemandu memakai tali pinggang keselamatan.

Sementara itu, 23 daripada 43 ibu bapa didapati meninggalkan anak-anak mereka di dalam kenderaan lebih dua minit dengan keadaan enjin kereta dihidupkan.

"Mereka menyerahkan barang-barang persekolahan kepada guru terlebih dahulu sebelum mengeluarkan anak-anak mereka," katanya.

Beliau berkata, pasukan itu mendapati 26 daripada 36 penunggang motosikal tidak memakaikan topi keledar untuk anak-anak mereka.

Malah, katanya, hanya empat daripada 41 kanak-kanak menggunakan topi keledar.

Muammar Quadaffi berkata, salah satu sebab kurangnya penekanan terhadap tahap keselamatan adalah sikap pemandu yang percaya kemalangan tidak akan berlaku di kawasan perumahan iaitu lokasi kebanyakan pra-sekolah.

Statistik polis bagaimanapun menunjukkan kadar kemalangan di kawasan perumahan mencatatkan rekod tertinggi pada 2010.

Kira-kira 156 kematian direkodkan, 209 mangsa mengalami kecederaan serius dan 302 hanya cedera ringan.

Kawasan lain seperti kawasan perindustrian, jambatan dan sekolah mencatatkan rekod kematian dan kecederaan terendah.

"Banyak pihak percaya beg udara di dalam kenderaan akan menjamin keselamatan mereka ketika kemalangan.

"Ya, beg udara direka khas untuk melindungi nyawa tetapi jika hanya pemandu dapat mengawal keadaan," katanya.

Mengulas mengenai kerusi keselamatan kanak-kanak, Muammar Quadaffi berkata," segelintir ibu bapa mengadu bahawa anak-anak mereka tidak akan berhenti menangis apabila diletakkan di dalam kerusi tersebut.

"Saya memberitahu mereka bahawa sekurang-kurangnya anda boleh mendengar mereka menangis. Adakah anda memilih untuk tidak mendengar tangisan mereka lagi," katanya.

- MSTAR

Khidmat Honda Penuhi Kehendak Pelanggan terbaik

by

MASA penghantaran yang pendek dan hubungan di antara peniaga dan pelanggan selepas jualan telah menyumbangkan kepada peningkatan keseluruhan kepuasan jualan kenderaan-kenderaan baru di Malaysia.

Menurut Pengarah Eksekutif di J.D. Power Asia Pacific, Singapura, Mohit Arora, walaupun jualan kenderaan baru di Malaysia semakin meningkat, para pengilang dan pengedar di negara ini telah melaksanakan tugas yang cemerlang dalam pengurusan masa penghantaran untuk pelanggan baru mereka.

Antara sembilan jenama yang termasuk dalam tinjauan ini, Honda berada di kedudukan teratas dengan markah sebanyak 815 selain mencatat prestasi yang cemerlang dalam empat daripada tujuh faktor iaitu inisiatif jualan, fasiliti pengedar, jurujual dan proses penghantaran.

Kedudukan kedua adalah Nissan (813), Suzuki (806) dan Toyota (803). Nissan mencatat prestasi baik dalam faktor kertas kerja dan waktu penghantaran.

Nissan meningkat sebanyak 29 mata pada 2011, berbanding tahun 2010, lebih daripada jenama-jenama lain.

Menurut Tinjauan Indeks Kepuasan Jualan (SSI) melalui SM J.D. Power Asia Pacific 2011 Malaysia yang diterbitkan baru-baru ini, ia mengukur kepuasan pemilik kenderaan baru terhadap jualan dan pengalaman penghantaran serta menilai tujuh faktor yang menyumbang kepada kepuasan keseluruhan.

Prestasi SSI dilaporkan dalam markah indeks berdasarkan skala 1,000 mata, di mana markah keseluruhan SSI yang lebih tinggi menunjukkan kepuasan lebih tinggi terhadap jualan kenderaan baru dan proses penghantaran.

Purata kepuasan jualan untuk tahun 2011 ialah 799 markah, meningkat sebanyak 18 mata berbanding 781 markah pada tahun 2010.Tinjauan juga mendapati bahawa purata masa penghantaran kenderaan baru telah menurun kepada 16.3 hari pada tahun 2011, iaitu penurunan hampir empat hari berbanding tahun 2010.

Kira-kira 38 peratus pelanggan menyatakan bahawa mereka menerima kenderaan dalam tempoh seminggu atau kurang daripada seminggu. Di kalangan pelanggan ini, kepuasan terhadap waktu penghantaran purata 24 markah lebih tinggi daripada purata industri.

Sementara itu, bilangan pelanggan yang menyatakan bahawa penghantaran kenderaan baru mereka mengambil masa lebih daripada sebulan telah menurun daripada 13 peratus pada 2010 kepada 7 peratus pada 2011.

Namun di kalangan pelanggan ini, kepuasan terhadap waktu penghantaran adalah 100 markah lebih rendah daripada purata industri.

Tinjauan ini juga mendapati bahawa peratusan pemilik kenderaan baru yang mengatakan bahawa pengedar menghubungi mereka selepas penghantaran kenderaan telah meningkat daripada 65 peratus (2010) ke 70 peratus pada 2011.

Di kalangan pelanggan yang menyatakan bahawa mereka dihubungi oleh pengedar selepas penghantaran kenderaan telah mencatat purata markah kepuasan sebanyak 812, 13 mata.

Sebaliknya, mereka yang tidak dihubungi selepas penghantaran kenderaan telah mencatatkan 30 markah lebih rendah daripada purata industri.

“Semakin banyak pengedar telah mengambil langkah untuk menghubungi pemilik kenderaan selepas penghantaran untuk mengetahui sama ada kenderaan mereka memuaskan ataupun tidak.

“Usaha ini bukan sahaja membolehkan pengedar jualan mengekalkan hubungan dengan pelanggan serta membantu membina kesetiaan, ia juga membolehkan pengedar untuk mengambil tindakan segera sekiranya masalah atau aduan mengenai proses jualan dilaporkan,” jelas Arora.

Kajian SSI Malaysia 2011 adalah berdasarkan maklum balas daripada 2,478 pemilik kenderaan baru yang membeli kenderaan mereka di antara September 2010 dan April 2011.

Kajian itu dilakukan antara Mac dan Jun 2011.

- MSTAR

Balu boleh sewel jika tiada kekasih

by
STOCKHOLM: Satu kajian baru menunjukkan golongan balu yang hidup sebatang kara selama bertahun-tahun selepas kematian pasangan mereka lebih berkemungkinan berdepan masalah mental.

Berikutan itu, saintis menggalakkan golongan berkenaan untuk kembali mencari cinta selepas kematian pasangan kerana ia dapat merawat kesedihan dan menghalang masalah mental.

Penyelidik Sweden berkata, lelaki yang berupaya mencari pasangan baru lebih mudah meneruskan hidup dan pulih daripada kesedihan. Bagaimanapun, mereka yang terus bersendirian berada pada risiko paling tinggi berdepan keadaan seperti kemurungan, kebimbangan atau insomnia, dan juga lebih berkemungkinan menggunakan ubat antikemurungan atau ubat tidur.
Kajian yang pertama seumpama itu dibuat untuk meneliti bagaimana kehilangan pasangan memberi kesan ke atas lelaki, dengan penyelidikan terdahulu ke atas balu menunjukkan peningkatan risiko masalah mental dan fizikal di kalangan mereka yang masih gagal meneruskan hidup.

Penyelidik dari Universiti Gothenburg menyoal hampir 700 lelaki yang kematian isteri akibat barah. Hasil kajian menunjukkan duda yang menemui pengganti empat atau lima tahun selepas kematian isteri mereka dapat menangani kehilangan itu dengan lebih baik.

Penulis kajian, Profesor Gunnar Steineck, yang hasil kerjanya disokong oleh Persatuan Barah Sweden, berkata: “Kajian terdahulu menunjukkan orang yang kehilangan pasangan berisiko tinggi berdepan masalah mental jangka pendek.

“Kajian kami ialah yang pertama menunjukkan risiko masalah mental berlanjutan beberapa tahun, secara purata, ia terhad kepada mereka yang tidak mencari pasangan baru.”
Ditanya jika hasil kajian membuktikan cinta itu memberi kesan seperti ‘menyembuhkan penyakit’, dia berkata: “Kami perlu lakukan lebih banyak penyelidikan tetapi memang benar sokongan emosi pasangan baru mungkin membantu menghilangkan kesedihan dan melindungi daripada masalah mental.

“Pada masa sama, ada juga lelaki yang dapat meneruskan kehidupan dengan baik selepas kehilangan pasangan adalah yang paling berkemungkinan menunjukkan minat mencari kekasih baru.”

– Agensi

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90