Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Kajian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kajian. Papar semua catatan

Wanita kurang tuntut naik gaji - Kajian

by
Kaum Wanita kurang tuntut naik gaji

Pekerja wanita didapati kurang berminat membuat rundingan gaji atau menuntut kenaikan gaji berbanding lelaki, lapor satu penyelidikan.

Kajian yang dijalankan Biro Penyelidikan Ekonomi Kebangsaan Amerika Syarikat mendapati, berbeza dengan wanita, lelaki lebih menyenangi persekitaran kerja dengan rundingan gaji dan harapan mendapat kenaikan dari semasa ke semasa.

Kajian yang bertajuk, ‘Adakah Wanita Mengelak Rundingan Gaji’ diketuai Andreas Leibbrandt dan John A List, mendapati wanita yang berkemahiran dan bijak sekali pun biasanya gagal di meja rundingan untuk kenaikan gaji.

Ia juga mendapati bahawa wanita lebih kerap memandang rendah akan kebolehan diri sendiri, berbanding lelaki yang sering memberi anggapan lebih tinggi terhadap keupayaan mereka.

“Wanita kerap menjadi pasif dan biasanya cuba menunjukkan sikap bahawa mereka seorang yang mengenang budi apabila bertemu majikan untuk menuntut kenaikan gaji,” kata Leibbrandt.

Beliau berkata, dalam jangka masa panjang, wanita boleh terperangkap dalam kitaran kerja yang menjengkelkan, terpaksa bekerja lebih kuat tetapi dibayar gaji kurang daripada yang sepatutnya.

Pakar perunding psikiatri, Dr Ashish Dewan, berkata perkara ini berkait dengan sikap wanita sendiri yang seringkali mahu mengekalkan keseimbangan di dalam pelbagai perkara.

“Mereka mahu disukai dan dianggap sebagai rakan sepasukan. Mereka lebih rela tidak mendapat kenaikan gaji atau menuntut lebih banyak faedah asalkan dapat terus bersama dalam pasukan,” katanya.

- AGENSI


Pekerja sibuk, kurang masa untuk keluarga - Kajiselidik

by
Lebih 63 peratus pekerja di negara ini dikatakan tidak mempunyai masa yang cukup untuk bersama keluarga, ekoran tempoh waktu bekerja yang panjang.

Maklumat itu diperoleh melalui hasil kajian yang dilakukan oleh enjin pencarian pekerjaan dalam talian, JobStreet.com.

Kajian itu seterusnya menyatakan, hampir 70 peratus daripada responden yang terlibat di dalam kajian itu mendakwa, mereka terpaksa bekerja antara dua hingga lima jam lebih daripada waktu kerja yang sepatutnya kerana keperluan pekerjaan.

Kajian itu dijalankan dengan membabitkan 954 responden dan dilaksanakan pada bulan lepas.

Antara alasan yang diberikan ialah mereka terpaksa kerja lebih masa kerana kuantiti kerja yang banyak serta mempunyai batas waktu yang singkat.

Selain itu, 75 peratus responden menjawab mereka terpaksa berada di pejabat lebih lama kerana perlu menghabiskan tugasan yang banyak dan mendakwa tidak dibayar untuk tujuan tersebut.

Walaupun kebanyakan daripada mereka menjelaskan majikan masing-masing ada menyediakan kemudahan seperti gim atau tempat beristirehat di pejabat, namun kesemuanya tidak digunakan secara optimum kerana kesuntukan masa.

Hasil kajian itu juga mendapati 54 peratus daripada pekerja terbabit masih menerima arahan daripada ketua masing-masing meskipun sedang bercuti.

Pegurus JobStreet Malaysia, Chook Yu Yng menegaskan sesebuah syarikat perlu memastikan wujud keseimbangan antara kerja dan kehidupan bagi mengelakkan pekerja berdepan tekanan sehingga akan mengganggu produktiviti kerja mereka.

- UTUSAN





Jangka hayat Wanita Malaysia kini 79 tahun - Kajian

by
Kajian akademik terbaharu mendapati purata jangka hayat wanita Malaysia kini meningkat kepada 79 tahun berbanding 77 tahun yang dilaporkan dua tahun lalu manakala jangka hayat lelaki pula kekal di paras 77 tahun.

Dekan Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Khalid Yusof berkata, jangka hayat lelaki yang lebih pendek berpunca daripada kegagalan mereka mengamalkan cara hidup lebih sihat dan mudah terdedah kepada risiko pelbagai jenis penyakit.

"Perbezaan ini berlaku kerana golongan lelaki adalah individu yang lebih terdedah kepada risiko mendapat pelbagai jenis penyakit seperti sakit jantung, strok, buah pinggang, diabetes, kanser dan banyak lagi.

"Kurangnya amalan menjaga kesihatan kerana lebih mementingkan urusan kerja seharian menyebabkan golongan lelaki lebih berisiko berbanding wanita," katanya ketika ditemui selepas sambutan Hari Hipertensi Sedunia di Balai Rukun Tetangga Ketereh di Kota Bharu, Kelantan.

Laporan Taburan Penduduk Mengikut Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Mukim 2010 dan Produk Statistik 2011/2012 dikeluarkan pada tahun 2011 mendapati, jangka hayat lelaki Malaysia ketika itu adalah secara purata 71.9 tahun manakala golongan wanita ialah 77 tahun.

Dr. Khalid berkata, golongan wanita di negara ini lebih peka kepada penjagaan kesihatan malah kesedaran untuk berjumpa dan mendapatkan rawatan daripada pakar perubatan amat tinggi berbanding lelaki yang lebih gemar bergantung kepada ubat-ubatan tanpa rawatan susulan.

"Inilah yang berlaku iaitu wanita sanggup menerima rawatan tetapi lelaki lebih gemar ambil ubat tanpa berjumpa pakar dan disebabkan terlalu bergantung pada ubat inilah pelbagai jenis penyakit lebih banyak menyerang orang lelaki," katanya.

- UTUSAN


Makanan ringan meningkatkan kemurungan

by
Amalan memakan makanan ringan ketika seseorang di dalam keadaan sedih tidak akan membantu membaiki perasaan seseorang sebaliknya semakin meningkatkan kemurungan mereka, lapor satu kajian baru.

Hasil kajian dibentangkan oleh pasukan penyelidik Universiti Penn State di persidangan Persatuan Psikosomatik Amerika di Miami.

Kami berminat mengkaji wanita dalam kehidupan seharian untuk melihat sama ada mood berubah sebelum atau selepas mereka menikmati makanan tidak sihat," Kristin Heron, Penyelidik Universiti Penn State

Pasukan berkenaan meminta 131 wanita muda membawa komputer riba, yang akan mengingatkan mereka sepanjang hari untuk memberi reaksi kepada persoalan apa yang mereka rasakan dan apa yang dimakan.

“Kami berminat mengkaji wanita dalam kehidupan seharian untuk melihat sama ada mood berubah sebelum atau selepas mereka menikmati makanan tidak sihat dan tindak tanduk mengawal berat,” kata salah seorang penyelidik, Kristin Heron.

Tanpa dijangka, wanita tidak melaporkan mengalami banyak perubahan sebelum mood mereka berubah walaupun mengambil makanan rapu.

Bagaimanapun, jika dalam keadaan mood yang tidak baik, mereka akan berasa lebih teruk selepas makan makanan tidak berkhasiat. Dalam erti kata lain, makanan menenangkan tidak membantu langsung.

Walaupun banyak apa yang dikatakan bukti adalah anekdot, saintis mengetahui memakan makanan sihat boleh memberi impak kepada mood. Sebagai contoh, minyak Omega-3 dalam ikan seperti salmon boleh membantu memerangi kemurungan.

Bagaimanapun, kebanyakan orang percaya pemilihan makanan kurang sihat seperti coklat boleh menggembirakan seseorang. Tambahan pula kajian pada 2007 mengiyakan coklat boleh membuatkan seseorang berasa lebih baik tetapi cuma tiga minit.

Lebih teruk berbanding tidak boleh menaikkan mood, sebahagian makanan sebenarnya berkesan dalam tubuh menjadikan seseorang berasa lebih teruk.

Dr Jennifer Landa, yang menulis untuk Fox News, berkata kerepek kentang digoreng dalam asid lemak Omega-6 yang menghalang kemampuan tubuh memproses lemak Omega-3 yang sebenarnya membuat seseorang lebih gembira.

Sumber : Agensi


Tinjauan - Rakyat Malaysia paling percaya maklumat dalam internet

by
Masyarakat awam di Malaysia paling percayakan maklumat yang diperoleh daripada enjin carian dalam talian internet, diikuti oleh media tradisional dan sosial, demikian menurut hasil 'Tinjauan Pengukur Kepercayaan 2013' Edelman Malaysia.

"Apa yang ternyata di sini ialah ruang dalam talian yang merangkumi media digital dan sosial, tidak boleh dipandang remeh sebagai sumber maklumat yang dipercayai.

"Skor kepercayaan yang tinggi terhadap "media dimiliki" ini menunjukkan keperluan mendesak bagi semua pertubuhan mengemas kini dan menggunakan sepenuhnya aset korporat mereka seperti portal sesawang, surat berita, YouTube, malah juga Twitter untuk menyebarkan maklumat," kata Pengarah Urusan Edelman Asia Tenggara, Bob Grove.

Walaupun skor kepercayaan pada umumnya lebih tinggi dalam kaji selidik ini, namun perlu dimaklumi bahawa jurang kepercayaan antara institusi penting dan pucuk pimpinan, yang membayangkan krisis yang mungkin berlaku dalam kepimpinan.

Hasil kaji selidik ini juga menunjukkan bahawa meskipun responden umum mempercayai perniagaan, hanya 26 peratus mempercayai pemimpin perniagaan bercakap benar, dan hanya 21 peratus mempercayai pemimpin kerajaan bercakap benar.

Pengarah Urusan Edelman Malaysia, Raymond Siva, berkata hasil kaji selidik Pengukur Kepercayaan Edelman 2013 di Malaysia, jelas menunjukkan bahawa warga Malaysia mengharapkan pertubuhan-pertubuhan lebih memperlihatkan sifat-sifat kemasyarakatan berbanding kebolehan mengendali, untuk mendapatkan kepercayaan mereka.

"Jelaslah bahawa pengaruh dan kuasa beralih daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pemimpin kerajaan kepada pakar dan rakan sebaya," katanya.

Ketika membentangkan hasil kaji selidik itu, beliau berkata, pemimpin kerajaan dan perniagaan mestilah mengubah pendekatan pengurusan mereka untuk meningkatkan penglibatan mereka dengan mendapatkan input pekerja, pengguna, penggiat dan pakar-pakar seperti ahli akademik, dan menyesuaikan diri mengikut maklum balas mereka.

Beliau berkata dinamik kepercayaan telah berevolusi daripada Piramid Pengaruh tradisi, yang menonjolkan maklumat dalam bentuk monolog, serta dikawal dan diarahkan oleh hanya segelintir, kepada Diamond Pengaruh, yang menampilkan maklumat dalam bentuk dialog.

"Dalam persekitaran di mana kepercayaan masih amat rapuh, ini adalah peluang yang ketara bagi perniagaan dan kerajaan mendapatkan semula 'lesen' untuk memimpin," tegasnya.

Tinjauan itu juga menunjukkan bahawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terus menjadi institusi paling dipercayai di Malaysia, dengan kadar yang meningkat daripada 68 peratus kepada 76 peratus tahun ini.

Edelman ialah firma perhubungan awam bebas terbesar di dunia, yang mempunyai 66 pejabat dan lebih 4,500 pekerja di seluruh dunia, serta ahli gabungan di lebih 30 bandar.

Antara hasil lain yang diperoleh daripada orang awam di Malaysia menunjukkan sektor industri yang paling dipercayai ialah teknologi (85 peratus), bank (82 peratus) dan industri tenaga (81 peratus).

Sektor yang paling kurang dipercayai ialah arak dan spirit (56 peratus) dan media (66 peratus), meskipun kedua-duanya menyaksikan peningkatan dua angka.

Di peringkat global, tinjauan itu mendapati bahawa rasuah dan insentif salah yang memacu perniagaan serta keputusan dasar disebut sebagai sebab-sebab utama bagi rasa tidak percaya terhadap perniagaan dan kerajaan.

Katanya prestasi lemah dan ketidakcekapan juga merupakan faktor utama bagi kurangnya kepercayaan terhadap kerajaan.

Dari segi syarikat multinasional, warga Malaysia meletakkan kepercayaan yang lebih tinggi terhadap syarikat-syarikat yang beribu pejabat di Jerman, Kanada dan Sweden berbanding syarikat yang berpangkalan di Brazil, China dan India.

Sama seperti trend di seluruh Asia Pasifik, warga Malaysia juga lebih mempercayai perniagaan besar berbanding perniagaan kecil.

Pengukur Kepercayaan Edelman 2013 di Malaysia dihasilkan oleh firma penyelidikan Edelman Berland dan melibatkan temu bual dalam talian selama 20 minit yang dikendalikan dari 16 Okt hingga 29 Nov, 2012.

- BERNAMA



Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90