Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Keluarga. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Keluarga. Papar semua catatan

Kehadiran orang ketiga punca perceraian meningkat di Kedah

by

 


Kehadiran dan campur tangan orang ketiga menjadi antara punca berlaku peningkatan sehingga 23 peratus jumlah kes cerai dalam kalangan pasangan beragama Islam pada tahun lalu di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Halimaton Shaadiah Saad, berkata peningkatan 23 peratus itu didapati apabila sebanyak 3,245 kes cerai direkod pada tahun lalu, berbanding hanya 2,586 pada 2021.

"Antara punca perceraian ini berlaku adalah disebabkan faktor kewangan, tidak bertanggungjawab, kurang ilmu mengenai peranan suami dan isteri, tidak kuat pegangan agama, kehadiran dan campur tangan orang ketiga.

"Sebagai usaha membantu pasangan ini, kita mewujudkan Program Raikan Cinta khusus kepada pasangan yang menghadapi krisis rumah tangga bertujuan mengeratkan semula tautan kasih sayang antara suami dan isteri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Halimaton yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, berkata program itu didapati dapat memberi pendedahan kepada pasangan mengenai ilmu perkahwinan, keagamaan dan tanggungjawab yang perlu dipikul pasangan.

"Program Raikan Cinta ini juga sudah dilaksana dua kali dan akan diteruskan lagi berikutan sambutan penyertaan yang diterima adalah tinggi dalam kalangan pasangan.

"Ini menunjukkan matlamat program ini tercapai dalam membantu pasangan membina keluarga sakinah, warahmah dan mawaddah. Pada masa sama, Pejabat Pembangunan Wanita Kedah sentiasa mengadakan program advokasi bagi meningkatkan pengetahuan wanita berkenaan hak pembelaan dalam undang-undang," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) melalui Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam juga menawarkan khidmat nasihat, sesi kaunseling dan motivasi untuk membantu wanita yang terkesan akibat masalah perceraian.

Sumber : Berita Harian

Isteri boleh minta cerai jika suami mati pucuk

by

 


Seorang isteri boleh memfailkan penceraian di mahkamah sekiranya suami didapati mati pucuk dan gagal memberikan nafkah batin.

Menjelaskan perkara itu, Peguam Syarie dan Konsultan Perundangan Islam, Fahmi Ramli berkata, nafkah batin adalah satu nafkah yang wajib ditunaikan oleh seorang suami.

Katanya, sekiranya suami tersebut sudah tidak boleh memberikan nafkah batin sedangkan isteri mampu lagi bersetubuh, maka adalah menjadi kewajaran isteri memohon penceraian.

“Tidak menjadi kesalahan (meminta cerai) kerana nafkah batin adalah wajib diberi oleh suami ke atas isteri sama seperti nafkah zahir,”katanya.

Fahmi berkata, sekiranya suami tidak mahu menceraikan isterinya, wanita tersebut boleh memfailkan fasakh di mahkamah untuk proses penceraian oleh hakim.

Bagaimanapun katanya, proses berkenaan perlu disertakan bukti yang menunjukkan bahawa suami itu mati pucuk.

“Proses ini bukan mudah, kalau tiada laporan perubatan atau sebagainya, bagaimana kita (isteri) nak buktikan pada mahkamah?

“Beban pembuktian terletak kepada penuntut (isteri), kalau isteri dakwa kata nak cerai kerana suami mati pucuk, dia perlu buktikan bahawa suami pernah berubat atau mendapat rawatan sebelum ini.

“Proses ini pula perlu dibuktikan kepada mahkamah serta diyakini yang nafkah batin ini tidak dapat diberi atau tidak berkemampuan oleh suami,” jelasnya.

Sumber : KOSMO!

Kerap lakukan hubungan intim tingkat imuniti badan

by

 

Seorang psikologi dan pakar terapi seks dari Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) mendedahkan kekerapan melakukan hubungan intim mampu meningkatkan tahap imuniti badan seseorang.

Menurut laporan Suara.com, pakar tersebut, Shanon Chavez hubungan intim yang dilakukan sekurang-kurangnya dua kali seminggu meningkatkan antibodi immunoglobulin A (IgA) yang terdapat dalam mukus atau cecair di mulut, hidung dan bahagian sulit lebih tinggi.

“IgA secara dasarnya mampu melawan virus dan meningkatkan kekebalan tubuh badan anda. Pasangan suami isteri yang rajin melakukan hubungan intim mampu meningkat mukus itu sebanyak 30 peratus berbanding biasa.

“Hubungan seksual secara teratur juga baik untuk menambah daik degupan jantung, tekanan dan edaran darah. Ini semua proses menjaga tubuh badan anda agar kekal sihat, melepaskan tekanan dan ketegangan dalam badan,” kata Chavez.

Hal sama disokong oleh pakar seksologi dari Indonesia, Dr. Boyke Dyan Nugraha yang memberitahu hubungan intim mampu merembeskan endorfin iaitu enzim yang mencetuskan rasa gembira.

“Aktiviti seks sihat mampu mengurangkan stress dan membantu memastikan kecergasan tubuh badan terutama dalam musim pandemik seperti sekarang.

“Apa yang penting, kedua-dua pasangan perlu sentiasa menjaga kebersihan dan memastikan diri masing-masing bebas jangkitan terlebih dahulu,”ujar Nugraha. 

Sumber : Agensi

 

'Ujian keserasian' pasangan sebelum kahwin

by

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan memberi pertimbangan untuk menawarkan 'ujian keserasian' (compatibility test) yang boleh digunakan secara sukarela untuk pasangan sebelum mereka berkahwin.

Menurut timbalan menterinya Hannah Yeoh, yang memetik statistik Kajian Penduduk dan Keluarga Kelima (KPKM-5), punca utama perceraian dalam kalangan pasangan muda di seluruh Malaysia dalam tempoh lima tahun perkahwinan adalah kerana "tiada persefahaman".

“Tiada persefahaman ini dalam tempoh lima tahun perkahwinan. Kita lihat selalunya orang terburu-buru untuk berkahwin tetapi mereka tidak mengenali diri sendiri dan tidak mengenali pasangan.

“Jadi kita juga sedang pertimbangkan sama ada kita nak wujudkan compatibility test untuk orang yang bujang sebelum mereka berkahwin supaya mereka boleh datang (buat ujian keserasian).

“Orang yang nak kahwin, masa dating (bercinta) kalau mereka nak tahu sama ada orang ini (pasangan) sesuai atau tidak mereka boleh buat compatibility test dulu kerana selalunya selepas berkahwin baru kita tahu yang orang ini ada sasaran seperti ini (jangkaan tersendiri) dan masa tu sudah terlalu lambat,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut statistik KPKM-5, satu pertiga wanita menyatakan punca utama mereka bercerai adalah kerana "tiada persefahaman", diikuti dengan "suami curang" dan "suami tidak bertanggungjawab".

Manakala bagi lelaki pula, lebih separuh menyatakan punca utama mereka bercerai adalah kerana "tiada persefahaman", diikuti dengan "campur tangan mertua" dan "isteri curang".

Kursus praperkahwinan atas talian

Yeoh berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada ahli parlimen Beaufort Azizah Mohd Dun yang bertanya sama ada tempoh kursus praperkahwinan yang berlangsung selama dua hari bagi pasangan perlu ditambah atau ditambahbaik, bagi mengatasi punca penceraian tersebut.

Bagaimanapun, Yeoh menjelaskan bahawa kementeriannya sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan kandungan kursus program praperkahwinan tersebut melalui atas talian.

“Ini kerana, walaupun mereka hadiri kursus dua hari, tapi dalam dua hari itu, mereka hanya main telefon saja dan tidak mendengar nasihat,” katanya.

Antara usaha lain, kata Yeoh, kementeriannya mengadakan sesi libat urus dengan beebrapa agensi dan NGO untuk kursus praperkahwinan bukan Islam dan Islam bagi mengenal pasti elemen atau topik yang perlu ditambah nilai, serta perbincangan bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sama ada kursus praperkahwinan akan turut diwajibkan untuk pasangan bukan Islam.

Berdasarkan Penerbitan Perangkaan Perkahwinan dan Penceraian 2018 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, peratusan tertinggi perkahwinan berlaku dalam kumpulan umur 25 hingga 29 tahun bagi kedua-dua jantina.

Manakala, bilangan perceraian juga menurun kepada 3.2 peratus daripada 51,642 orang pada tahun 2016 kepada 49,965 orang pada tahun 2017.

Peratusan tertinggi perceraian berlaku dalam kumpulan umur 30 hingga 34 tahun bagi kedua- dua jantina.

Kes perceraian tertinggi bagi orang Islam mengikut negeri adalah di Selangor, diikuti Johor dan seterusnya Kedah.

Manakala kes penceraian tertinggi bagi orang bukan Islam mengikut negeri adalah di Selangor, diikuti Johor dan seterusnya negeri Perak.

- Malaysiakini

ikahwin.my - Khidmat persiapan kahwin di internet

by

Setiap wanita mengidamkan satu majlis perkahwinan yang lancar dan meriah dengan menyarungkan busana anggun sari sang pereka, pelamin dihias indah dengan kuntuman bunga segar dan disempurnakan dengan kehadiran tetamu yang dijamu santapan menyelerakan.

Kesemua persiapan bagi hari bersejarah itu perlu dilakukan secara teliti kerana kelalaian kecil mungkin mampu mencacatkan kelangsungan majlis idaman tersebut.

Bayangkan, beberapa jam sebelum acara bersanding diadakan, pengantin dikejutkan dengan berita perkhidmatan katering terlupa ditempah. Pasti kalut jadinya.

Jika dahulu, segala persediaan tersebut dilakukan secara gotong-royong bersama ahli keluarga dan bantuan jiran tetangga, namun situasi berbeza pada hari ini ekoran kekangan masa dan lokasi bersesuaian yang terhad, khususnya di kawasan-kawasan bandar.

Disebabkan itu, agak sukar bagi bakal pengantin melakukan sendiri segala persiapan. Malah, ada antara keperluan pada hari bersejarah itu perlu dilakukan sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun lebih awal seperti tempahan dewan majlis.

“Perkara paling kritikal untuk ditempah adalah dewan besar untuk majlis persandingan. Saya mengambil masa yang lama untuk mencari lokasi yang sesuai,” ujar bakal pengantin, Nuratieqah Muhammad, 22, yang akan melangsungkan perkahwinan pada Mac tahun depan.

Dia menambah, segala persiapan perlu dilakukan awal bagi mengelakkan tidak mendapat lokasi atau khidmat katering yang dimahukan.

Maklumat lengkap

Selaras dengan kemajuan teknologi hari ini, kebanyakan bakal pengantin mengambil jalan mudah dengan mencari maklumat di laman web dan sosial memandangkan penggiat industri perkahwinan menggunakan internet sebagai salah satu medium promosi.

“Tidak dinafikan, penggunaan internet memudahkan saya dalam persiapan perkahwinan. Sebagai contoh, dalam laman Facebook terdapat banyak akaun yang diwujudkan oleh jurusolek, syarikat katering, pengusaha butik dan perkara-perkara lain yang berkaitan,” ujar Nuratieqah.

Kesedaran terhadap kepentingan teknologi maklumat masa kini telah memberi idea kepada Azmierul Che Mat, 22, untuk mewujudkan satu laman web yang membantu pasangan pengantin membuat persiapan majlis berkahwinan mereka iaitu iKahwin.my.

Laman web itu mengumpulkan semua kategori penting sesuatu majlis perkahwinan secara percuma kepada pengunjung.

“Jika sebelum ini pasangan pengantin perlu mencari satu per satu maklumat perniagaan berkaitan di laman web atau sosial berbeza tetapi menerusi iKahwin.my, kesemua maklumat tersedia dalam satu portal,” ujar Azmierul ketika ditemui Infiniti baru- baru ini.

Portal iKahwin.my memberikan maklumat terperinci kepada pengguna, terutamanya dari segi harga pakej-pakej yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat berkaitan.

“Melalui senarai harga-harga yang terdapat dalam portal ini, pengguna dapat melakukan perbandingan sebelum melakukan tempahan. Ini dapat membantu mereka menguruskan perbelanjaan bagi majlis tersebut dengan lebih baik,” katanya.

Demi terus menarik perhatian pengguna, portal tersebut turut menyediakan satu blog khas dalam pautan laman utama yang berkongsi pelbagai maklumat berguna kepada bakal pengantin seperti petua dan nasihat rumah tangga daripada pakar-pakar motivasi.

“Terdapat juga pautan yang memberikan panduan perbelanjaan perkahwinan. Ia turut disertakan kalkulator elektronik bagi memudahkan bakal pengantin mengatur perbelanjaan mereka,” jelas Pengarang Urusan iKahwin.my, Charmaine Nash.

Tambahnya, kalkulator elektronik itu direka khas dengan senarai semak keperluan yang wajib dalam sesebuah perkahwinan. Bakal pengantin hanya perlu memasukkan amaun yang ditetapkan dan kalkulator itu akan menjumlahkan semua perbelanjaan terlibat.

Kesahihan maklumat

Bagi pengiklan di iKahwin.my, mereka diberikan platform perniagaan yang lebih meluas. Ia berikutan daripada permintaan pengguna muda yang mencari maklumat menerusi laman web.

“Kebanyakan bakal pengantin adalah dalam lingkungan usia 20-an yang aktif dalam penggunaan internet. Disebabkan itu, penggiat industri perkahwinan perlu mengambil peluang ini, khususnya bagi individu atau syarikat-syarikat baharu,” kata Azmierul.

Bagi memastikan pengguna mendapatkan maklumat tepat, pihak pengurusan pemasaran iKahwin.my akan bertemu sendiri para pengiklan.

“Kami akan meminta mereka untuk memberikan maklumat tepat seperti alamat lengkap, nombor telefon dan pautan laman sosial, Facebook atau laman web rasmi,” jelasnya.

Selain itu, harga-harga bagi setiap pakej juga perlu disertakan bagi memudahkan pengguna membuat perancangan perbelanjaan perkahwinan mereka.

“Namun, terdapat pengiklan yang tidak mahu berkongsi harga bagi pakej-pakej tersebut tetapi kami menasihatkan mereka untuk meletakkan anggaran kos sebagai rujukan pengguna,” katanya.

Setiap pengiklan juga perlu menyediakan sekurang-kurangnya lima keping gambar berkualiti. Jika tiada gambar tersebut, pihak penyedia portal akan membantu menyediakan foto-foto menarik kepada mereka.

“Ia menjadi kemestian dalam portal kami memandangkan terdapat pengiklan yang tidak mempunyai foto berkualiti. Ia menyulitkan pengguna untuk mendapat gambaran awal perkhidmatan yang diberikan pengiklan,” jelasnya.

Selain mengambil foto, pihak portal juga membantu pengiklan dalam membuat laman sosial atau web mengikut keperluan pakej.

Sejak diwujudkan pada Januari 2013, iKahwin.my mempunyai lebih 500 pengiklan dan bakal meningkat dua kali ganda pada tahun depan berdasarkan peningkatan trafik pengunjung setiap bulan.

“Lima bulan sebelum ini, kami hanya menerima sekitar 100 sehingga 200 kunjungan sahaja. Sekarang, jumlah trafik meningkat kepada 15,000 sebulan,” jelas Azmierul.

Rancangan

Setakat ini, kebanyakan pengiklan adalah sekitar Lembah Klang tetapi terdapat juga pengusaha dari Kedah dan Johor.

Perkembangan positif tersebut memberi peluang kepada iKahwin.my untuk mencari pengiklan dari seluruh Malaysia.

“Selain itu, kami bercadang untuk menerbitkan majalah dalam talian yang memberi fokus kepada dunia perkahwinan. Intipati majalah itu dapat dijadikan panduan kepada pengguna tanpa perlu membeli naskhah dalam bentuk salinan keras,” katanya dengan penuh optimis.

Dalam masa terdekat, ujarnya, iKahwin.my merancang untuk mengadakan festival perkahwinan di lokasi-lokasi strategik yang bakal disertai oleh pengiklan-pengiklan portal tersebut.

- KOSMO!


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90