Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Kemalangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kemalangan. Papar semua catatan

Tragedi Halloween di Seoul seperti 'permainan domino'

by

 


Sekurang-kurangnya 151 orang terbunuh dan 156 lain cedera dalam rempuhan maut di Itaewon, Seoul, selepas sekumpulan besar anak muda yang menyambut pesta Halloween terperangkap dan tersepit di lorong sempit.

Pekerja kecemasan dan pejalan kaki dilihat giat melakukan bantuan pernafasan ke atas mangsa yang terbaring selepas dihempap ​​di daerah ibu kota Itaewon, malam tadi.

Ketua jabatan bomba Yongsan Seoul, Choi Seong-beom, berkata angka kematian mungkin meningkat dan jumlah mangsa yang cedera dan berada dalam keadaan kritikal masih belum dapat dipastikan.

Dianggarkan seramai 100,000 orang berkumpul di Itaewon untuk sambutan Halloween yang terbesar dan diadakan di kawasan terbuka sejak pandemik bermula.

Ia selepas kerajaan Korea Selatan melonggarkan sekatan COVID-19 dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Itaewon adalah kawasan berhampiran bekas ibu pejabat tentera Amerika Syarikat (AS) di Korea Selatan sebelum berpindah pada 2018 dan merupakan kawasan mesra ekspatriat yang terkenal dengan bar, kelab dan restoran terkini.

Setakat ini, masih belum dapat dipastikan apa yang menyebabkan orang ramai memasuki lorong menuruni bukit yang sempit berhampiran Hotel Hamilton.

Seorang mangsa yang terselamat berkata orang ramai mula jatuh dan menghempap satu sama lain "seperti permainan domino" selepas ditolak.

Mangsa yang terselamat dan dikenali sebagai Kim, berkata mereka terperangkap selama kira-kira satu setengah jam sebelum diselamatkan.

Kebanyakan mereka mula menjerit meminta pertolongan, manakala sebahagian lain mengalami sesak nafas, menurut akhbar Hankyoreh.

Seorang lagi mangsa yang terselamat, Lee Chang-kyu, berkata beliau melihat kira-kira lima hingga enam lelaki saling menolak antara satu sama lain sebelum seorang atau dua mula terjatuh.

Menurut seorang pengunjung ke Itaewon, Hwang Min-hyeok, beliau terkejut melihat deretan mayat berhampiran hotel.

Katanya, pekerja kecemasan pada mulanya panik, menyebabkan pejalan kaki yang berada di kawasan itu bergelut untuk memberikan bantuan pernafasan kepada mangsa yang cedera.

Seorang lagi mangsa yang terselamat, berkata beliau berjaya mengelak daripada dipijak dengan bertindak masuk ke dalam sebuah bar yang pintunya terbuka di lorong itu.

Seorang wanita berusia 20-an dikenali sebagai Park, berkata beliau dan yang lain berdiri di tepi lorong manakala mereka yang terperangkap di tengah lorong tidak dapat melarikan diri.

Ketua bomba, Choi, berkata mayat dihantar ke hospital atau gim, di mana ahli keluarga dapat mengenal pasti mangsa.

Katanya, kebanyakan mangsa yang maut dan cedera berusia dalam lingkungan 20-anPerdana Menteri Britain, Rishi Sunak dalam ciapannya di Twitter, berkata "berita mengerikan dari Seoul malam ini.

"Ingatan kami bersama mereka yang sedang memberi tindak balas kepada situasi itu dan semua rakyat Korea Selatan pada saat yang menyedihkan ini," katanya.

Kali terakhir Korea Selatan berdepan insiden maut membabitkan golongan muda adalah pada April 2014.

Seramai 304 orang, kebanyakannya pelajar sekolah menengah, maut dalam insiden feri karam.

Insiden mendedahkan kegagalan dan kelonggaran peraturan keselamatan dan sebahagiannya disalahkan kepada kargo yang berlebihan dan diikat dengan teruk selain kru yang kurang terlatih untuk berdepan situasi kecemasan.

Ia juga adalah bencana besar kedua di Asia dalam tempoh sebulan.

Pada 1 Oktober lalu, polis di Indonesia melepaskan gas pemedih mata pada perlawanan bola sepak, menyebabkan rempuhan yang mengorbankan 132 orang ketika penonton cuba melarikan diri.

Tragedi malam tadi juga adalah bencana paling dahsyat dalam sejarah Korea Selatan. Pada 2005, 11 orang terbunuh dan kira-kira 60 yang lain cedera dalam konsert pop di selatan bandar Sangju. 

Sumber : AP

Bangkai helikopter ditemui di Bidor, Perak

by

 


Mayat juruterbang dan bangkai helikopter Eurocopter EC120B yang terhempas di Bidor, Perak, semalam, ditemui berhampiran Kampung Kenangan jam 8.18 pagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Chester Voo, berkata pesawat pendaftaran N409HH itu ditemui oleh helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), RESCUE01.

"Combat Air Rescue (CAR) TUDM berada di darat untuk membantu membawa mangsa dari lokasi kejadian.

RESCUE01 membawa mangsa dan mendarat di Padang Sekolah Anderson jam 10.30 pagi sebelum dibawa ambulans ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak.

"Bagaimanapun, mangsa tidak sedarkan diri ketika misi menyelamat dijalankan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Voo berkata, penyelarasan mencari dan menyelamat (SAR) di Kuala Lumpur Aeronautical Rescue Coordination Centre (KLARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) tamat sebaik semua unit SAR kembali ke pangkalan dengan selamat.

"Siasatan lanjut akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

"CAAM ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua anggota pasukan SAR daripada TUDM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Terima kasih juga kepada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan semua organisasi yang terbabit dalam misi SAR ini," katanya.

Juruterbang helikopter yang terputus hubungan dengan KLATCC di Bidor, semalam ditemui maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, dipetik berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Tsz Kin Richard Chan, 58, warga Hong Kong.

Semalam, sebuah helikopter jenis Eurocopter hilang selepas terputus hubungan dengan KLATCC jam 12.16 tengah hari.

Helikopter milik syarikat swasta itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang pada jam 11.37 pagi dengan seorang juruterbang.

Helikopter berkenaan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh pada jam 12.37 tengah hari tetapi dilaporkan hilang dan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur pada jam 12.16 tengah hari.

Sumber : Berita Harian

4 sekeluarga maut dirempuh pemandu positif dadah

by

 

Empat daripada lima sekeluarga maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki dirempuh sebuah pacuan empat roda dipandu seorang lelaki disyaki positif dadah di Kilometer 2, Jalan Lebu-Mempaga, Bentong, di sini, petang tadi.

Mangsa yang meninggal dunia adalah Raihan Muhammad, 43, dan tiga anaknya, Ahda Dalili Mohd Nazri, 14, Ahmad Muaz Mohd Nazri, 7, dan Ahda Imtinan Mohd Nazri, 4.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, lima sekeluarga berkenaan dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Kuala Lumpur, sebelum MPV Toyota Vellfire dinaiki mereka dirempuh pacuan empat roda jenis Nissan Navara di persimpangan lampu isyarat.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata kemalangan mengakibatkan Raihan dan tiga anaknya meninggal dunia di tempat kejadian.

"Siasatan awal berdasarkan maklumat saksi kejadian mendapati, pemandu Nissan Navara berusia 44 tahun itu dipercayai melanggar lampu isyarat sebelum merempuh kenderaan mangsa dari hadapan.

"Selain itu, siasatan juga mendapati pemandu Nissan Navara berkenaan memiliki tujuh rekod jenayah lalu berkaitan dadah dan polis akan mendapatkan perintah reman ke atasnya esok," katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Katanya, mayat mangsa yang terbunuh dihantar ke Hospital Raub, manakala pemandu Nissan Navara pula dihantar ke Hospital Bentong, sebelum dirujuk ke Hospital Temerloh.

"Pihak polis meminta mana-mana saksi yang melihat kejadian ini untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

 Sumber : Berita Harian

 

Pesawat mendarat cemas di lebuh raya akibat masalah teknikal - PLUS

by

 

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengesahkan sebuah pesawat ringan telah melakukan pendaratan cemas di lebuh raya kendaliannya berhampiran Sedenak, Johor, pagi tadi.

Menurut PLUS dalam satu kenyataan, hari ini, pendaratan itu dibuat berikutan pesawat terbabit mengalami masalah teknikal.

Bagaimanapun, PLUS memaklumkan, tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian itu.

Selain itu, katanya, pesawat terbabit berjaya dialihkan ke kawasan selamat berdekatan lokasi kejadian dengan kebenaran Jabatan Penerbangan Awam (DCA), dan keadaan trafik lancar serta terkawal.

"Pusat Kawalan Trafik (TMC) PLUS mendapat maklumat mengenai kapal terbang hilang dari radar di Pusat Kawalan Trafik Udara (ATC) Senai pada jam 10.55 pagi tadi dan memohon PLUS memantau kawasan lebuh raya untuk memberikan bantuan sekiranya perlu.

"Pada jam 10.56 pagi, TMC mendapat panggilan daripada pengguna lebuh raya mengenai kehadiran sebuah pesawat ringan di lebuh raya di Kilometer 47.8 (arah selatan).

"Susulan itu, pasukan PLUSRonda dihantar bagi memberi bantuan, manakala pasukan bomba dan penyelamat serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dihubungi untuk tindakan lanjut.

"Sejurus tiba di lokasi, pasukan PLUSRonda membantu menguruskan trafik serta menyediakan zon selamat, dan bekerjasama dengan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) serta pihak polis," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Kereta remuk dihempap batu konkrit di MRR2

by

 

Seorang wanita nyaris maut apabila keretanya ditimpa batu konkrit dari struktur pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang jatuh di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), di Kuala Lumpur.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menghala Ampang itu, mangsa dilaporkan hanya cedera pada tangan dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUM) untuk rawatan.

Insiden menyebabkan wanita berkenaan terperangkap dalam kereta PROTON Saga FLX dipandunya yang remuk pada bahagian bumbung selepas ditimpa kepingan konkrit dianggarkan bersaiz 1 meter persegi.

Mangsa bagaimanapun berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam yang berada di tempat kejadian, tidak lama selepas itu sebelum dihantar ke PPUKM.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifly Yahya, berkata identiti wanita terbabit masih belum diperolehi setakat ini.

"Wanita berkenaan cedera pada tangan dan dihantar ke PPUKM untuk rawatan. Tiada mangsa atau kenderaan lain terbabit dalam kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kejadian juga menyebabkan gangguan lalu lintas sehingga ke Lebuhraya Shah Alam (KESAS).

Katanya, kerja mengalihkan kenderaan terbabit mengambil masa kira-kira dua jam sebelum satu lorong di laluan itu yang terjejas akibat kejadian, dapat dibuka semula.

"Siasatan lanjut berhubung punca kejadian masih dijalankan oleh polis," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

 

 


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90