Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Kewangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kewangan. Papar semua catatan

BNM perkenal Akta Kredit Pengguna (CCA) kawal kredit bukan bank

by

Penyedia produk kredit baharu seperti perkhidmatan 'Beli Sekarang Bayar Kemudian' yang semakin popular dalam kalangan anak muda, terutama yang baru bekerja, dijangka dikawal lebih ketat melalui Akta Kredit Pengguna (CCA) yang sedang digubal.

-ADVERTISEMENT-

Di bawah CCA, kerajaan menerusi Bank Negara Malaysia (BNM) akan memastikan entiti bukan bank yang ketika ini tidak dikawal selia oleh mana-mana pihak berkuasa, mematuhi peraturan dan amalan penyediaan kredit yang ditetapkan.

Pengarah Jabatan Rangkuman Kewangan BNM, Nor Rafidz Nazri, berkata untuk itu, satu badan berwibawa akan ditubuhkan pada peringkat awal yang bertanggungjawab melakukan kawal selia entiti yang menawarkan produk perkhidmatan berkenaan.

"Bagi memperkukuhkan lagi perlindungan pengguna kredit di Malaysia, kerajaan juga menggubal Akta Kredit Pengguna.

"Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna yang diterajui Kementerian Kewangan (MoF) dan dua agensi iaitu BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, bertanggungjawab menyediakan rangka kerja komprehensif mengenainya.

"Ia bertujuan mengawal selia amalan entiti bukan bank yang menyediakan perkhidmatan kredit kepada pengguna, selain pengawalseliaan penyedia produk kredit baharu seperti perkhidmatan 'Beli Sekarang Bayar Kemudian'," katanya

Sebelum ini, BH melaporkan semakin ramai anak muda berusia seawal 19 tahun dikesan menjadi 'hamba' hutang dengan kebanyakan mereka mula terbeban apabila melakukan pembiayaan motosikal melalui agensi kredit.

Perkara ini didedahkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) apabila ada belia yang baharu bekerja tampil membuat penstrukturan semula hutang akibat terbeban dengan masalah itu.

Susulan itu, terdapat cadangan daripada pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan pengguna supaya syarat pinjaman dari pemberi kredit diketatkan.

Menerusi produk 'Beli Sekarang Bayar Kemudian', pengguna antaranya ditawarkan platform kredit secara online dengan pembayaran balik ansuran bulanan tanpa faedah serta had pinjaman.

BH difahamkan, platform bukan bank berkenaan dikatakan beroperasi di luar negara, juga tidak mensyaratkan peminjam mengemukakan penjamin seperti pinjaman menerusi bank.

Nor Rafidz berkata, bagi tujuan penggubalan undang-undang itu, kerjasama turut dijalinkan dengan beberapa kementerian antaranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Beliau berkata, BNM sentiasa memantau dan memastikan institusi kewangan mengambil langkah bertanggungjawab ketika menawarkan perkhidmatan dan produk kewangan.

"Sebarang amalan pasaran yang tidak adil dan boleh menyebabkan kemudaratan besar kepada pengguna, pengendali boleh dikenakan tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan oleh BNM," katanya.

Program FEN PROAKTIF

Nor Rafidz yang juga Pengerusi Bersama Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) berkata, FEN sentiasa mengalu-alukan usaha memperkukuh perlindungan pengguna kredit serta usaha memperkasakan komuniti 'cerdik kewangan' dalam kalangan rakyat Malaysia.

FEN adalah platform antara agensi yang dipengerusikan bersama oleh BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Nor Rafidz berkata, dalam menawarkan produk pembiayaan, semua institusi kewangan yang dikawal selia BNM dikehendaki mematuhi keperluan pembiayaan secara berhemat bagi memastikan peminjam mempunyai penampan kewangan mencukupi untuk perbelanjaan harian.

Beliau berkata, ia juga bagi melindungi pengguna daripada beban hutang berlebihan, sekali gus memerlukan institusi kewangan menjalankan penilaian kemampuan dan mematuhi nisbah khidmat hutang yang berhemat supaya peminjam mampu membayar balik pembiayaan sepanjang tempoh pembiayaan.

Dalam usaha meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan pengurusan kewangan yang berhemat termasuk belia, FEN turut memperkenalkan modul pendidikan kewangan sebagai subjek elektif di beberapa institusi pengajian tinggi.

"Bagi melengkapkan lagi proses ini, program pendidikan kewangan secara dalam talian yang dikenali sebagai FEN PROAKTIF, turut direka khas untuk pelajar tahun akhir.

"Selain itu, melalui Bulan Literasi Kewangan 2023 (FLM2023) yang dianjurkan FEN, ia berjaya menjana lebih 6.3 juta interaksi selain menjelajah ke 71 lokasi di seluruh negara dan menyantuni lebih 31,000 rakyat, termasuk pelajar universiti," katanya

Sumber : Berita Harian

Akaun Fleksibel ganti pengeluaran bersasar KWSP mulai tahun 2024

by


      Kerajaan tidak bercadang melaksanakan sekali lagi pengeluaran bersasar daripada dana       Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata sebaliknya tumpuan kerajaan ketika ini adalah untuk membuka satu lagi akaun kepada pencarum KWSP iaitu Akaun Fleksibel mulai tahun depan.

"Mulai tahun depan, sudah diumumkan dalam Belanjawan 2024 kita akan membuka satu lagi akaun untuk pencarum KWSP. Buat masa ini, akaun KWSP adalah terdiri daripada Akaun I dan Akaun II. Apa yang diumumkan adalah Akaun Fleksibel.

"Kita akan mengumumkan mengenai apa maksud Akaun Fleksibel ini. Akaun III yang mana boleh diakses oleh semua ahli tanpa mengira mereka daripada kumpulan B40, M40 atau T20 pada bila-bila masa, khususnya ketika kecemasan.

"Ini adalah untuk memanfaatkan dan meringankan beban kewangan ketika menghadapi keperluan di luar jangkaan. Sekarang ini sedang dimuktamadkan," katanya menjawab soalan tambahan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Ahmad berkata, mekanisme dan peratus dana yang akan dimasukkan dalam Akaun Fleksibel KWSP masih belum diputuskan.

Sebelum ini, pelbagai pihak menuntut kerajaan melaksana sekali lagi pengeluaran bersasar KWSP berikutan kenaikan kos sara hidup susulan peningkatan harga barangan serta kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Menjawab soalan asal Kalam sama ada kerajaan bercadang meningkatkan pelaburan tempatan KWSP, beliau berkata, setakat Jun lalu jumlah keseluruhan pelaburan KWSP dalam pasaran domestik adalah sebanyak RM665 bilion.

Katanya, jumlah pelaburan itu dijangka akan meningkat kepada RM700 bilion pada akhir 2023 iaitu peningkatan sebanyak sembilan peratus berbanding 2022.

"Pelaburan KWSP adalah berpandukan alokasi dana yang ditetapkan oleh Panel Pelaburan KWSP pada setiap tahun. Untuk tempoh 2018 hingga 2022, KWSP sudah memperuntukkan purata melebihi 80 peratus daripada jumlah alokasi dana tahunan untuk dilaburkan dalam pasaran domestik.

"Bagi 2023, sebanyak RM97 bilion atau 83 peratus daripada jumlah alokasi dana tahunan sudah diperuntukkan. KWSP akan terus memberi keutamaan kepada pelaburan domestik dengan membahagikan sebahagian besar daripada dana tahunannya kepada pasaran tempatan untuk pelaburan domestik, termasuk dalam bentuk pasaran wang di bank-bank tempatan," katanya.

Sumber : Berita Harian

Tukar syiling di Pos Malaysia

by

 


Orang ramai kini boleh menukar syiling mereka di pejabat pos menerusi pelancaran Perkhidmatan Pertukaran Syiling KOCEK (KOCEK) hasil kerjasama Pertama Digital Berhad (Pertama Digital) dan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia).

Perkhidmatan berkenaan kini tersedia di Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur, Pejabat Pos Besar Shah Alam, Pejabat Pos Kajang 2020 dan Pejabat Pos Bandar Baru Bangi, sebelum diperluaskan kepada kira-kira 30 cawangan menjelang akhir tahun.

Ia turut ditawarkan di Subang Parade, Berjaya Times Square dan NSK Trade City di Kuchai Lama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer berkata, KOCEK memanfaatkan jejak runcit Pos Malaysia yang meluas.

“Pada masa yang sama, kami memanfaatkan KOCEK untuk menyediakan nilai kepada rakyat Malaysia. Setiap bulan kami mempunyai kira-kira 1.5 juta pelanggan yang hadir ke 632 lokasi kami dan ia akan membantu meningkatkan kesedaran tentang KOCEK.

“KOCEK menyediakan akses mudah dan perkhidmatan yang cepat untuk membantu rakyat menukarkan syiling mereka yang tidak digunakan kepada nilai tunai digital, yang seterusnya dipindahkan ke akaun bank mereka.

“Ini seterusnya akan mengurangkan keperluan untuk mencetak dan mengedarkan syiling baharu dan membantu menurunkan kos pengeluaran mata wang bagi bank pusat,” katanya pada pemberita selepas majlis pelancaran KOCEK di sini, semalam, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Abd. Rahman Abu Bakar.

Perkhidmatan KOCEK akan berkembang ke negeri-negeri lain secara berperingkat pada 2024, dengan pelan untuk melancarkan perkhidmatannya ke 100 lokasi.

KOCEK, sebelum ini dikenali sebagai MyPay Coin Conversion, dimulakan oleh Pertama Digital untuk merangsang pengedaran semula syiling yang tidak digunakan.

Setiap tahun, sejumlah besar syiling dikeluarkan oleh BNM tidak dikembalikan untuk pengedaran semula dengan anggaran sehingga 30 peratus, atau 240 juta keping syiling yang dikeluarkan setiap tahun berakhir sebagai syiling tidak digunakan yang disimpan di rumah, dalam balang dan laci. 

Sumber : KOSMO! 

Trend penurunan inflasi

by

 


Penurunan inflasi di Malaysia berkemungkinan berterusan sehingga separuh kedua 2023 kerana harga dalam pasaran menyederhana, kata Profesor Ekonomi Malaysia University of Science and Technology (MUST) Geoffrey Williams.

Beliau berkata, inflasi dijangka kekal rendah, mungkin antara dua dan 2.5 peratus pada separuh kedua 2023.

"Kenaikan harga telah mula bergerak perlahan merentasi hampir semua kategori terutamanya restoran dan produk makanan, kos internet dan telefon mudah alih sebenarnya sudah semakin murah.

"Ini adalah kelembapan dalam inflasi merentasi banyak sektor yang merupakan petunjuk baik bahawa harga menjadi sederhana," katanya

Indeks Harga Pengguna (IHP) keseluruhan di Malaysia menunjukkan momentum menurun, di mana ia berada pada 2.4 peratus pada Jun 2023, paras terendah yang dicatatkan setakat ini iatu pada 2023, berbanding 2.8 peratus pada Mei, 3.3 peratus pada April, 3.4 peratus pada Mac dan 3.7 peratus masing-masing pada Februari dan Januari.

Mengenai angka inflasi Jun, Williams berkata angka itu yang jauh lebih rendah berbanding rakan serantau dan global, merupakan berita baik kepada negara dan ia seiring dengan apa yang dijangkakan oleh konsensus sejak Januari.

Sumber dari Bernama

Aeon Credit mula perniagaan perbankan digital Islam

by

 


Aeon Credit Service (M) Bhd memeterai perjanjian pemegang saham dengan Aeon Financial Service Co Ltd untuk memulakan perniagaan perbankan Islam digital.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat perkhidmatan kewangan itu berkata langkah itu akan dilaksanakan menerusi ACS Digital Bhd (ACSD) yang bersedia untuk dilesenkan sebagai bank Islam digital di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSA) 2013.

Aeon Credit akan melanggan sehingga 175 juta saham biasa dalam ACSD pada harga RM1.00 sesaham dan apabila selesai, ACSD akan menjadi sebuah syarikat bersekutu, katanya.

Katanya jumlah perbelanjaan pelaburan dan modal saham akhir untuk ACSD dianggarkan berjumlah RM550 juta dalam tempoh lima tahun awal apabila perniagaan perbankan Islam digital itu dimulakan.

Struktur ekuiti akhir dalam ACSD dijangka 35 peratus bagi Aeon Credit, Aeon Financial Service (35 peratus) dan pemegang saham Malaysia (30 peratus), menurut Aeon Credit.

Perkara itu akan dimuktamadkan dalam tempoh lima tahun daripada operasi bank Islam digital itu dimulakan, manakala usaha sama yang dicadangkan itu akan dibiayai sepenuhnya menerusi penjanaan dana dalaman.

Pengarah Urusan Aeon Credit, Daisuke Maeda, berkata perintegrasian perniagaan perbankan Islam digital itu akan membolehkannya memenuhi keperluan kitaran hidup pelanggan dan mengembangkan asas keahliannya menerusi aktiviti penjualan silang.

Katanya, langkah ini akan mendorong jumlah urus niaga dan bahagian pasaran untuk kesemua perniagaannya.

"Bank digital akan berada pada kedudukan yang lebih baik berbanding saluran tradisional untuk memberikan perkhidmatan kepada segmen yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan," kata Aeon Credit.

Sumber dari Bernama.



OCBC perkenal logo baharu

by

 


Logo OCBC Bank (Malaysia) Bhd (OCBC Bank) dan OCBC Al-Amin Bank Bhd (OCBC Al-Amin) diperbaharui sebagai sebahagian usaha seluruh Kumpulan OCBC untuk menyatukan jenama di semua pasaran terasnya.

Langkah itu bertujuan mengukuhkan pendekatan 'One Group' atau 'Satu Kumpulan' yang disusun OCBC untuk memanfaatkan peluang besar di rantau ASEAN-Greater China.

Dengan tumpuan lebih khusus terhadap ASEAN-Greater China, Kumpulan OCBC yang berpangkalan di Singapura bercadang menggiatkan pertumbuhan dan menjana hasil tambahan bernilai S$3 bilion menjelang 2025, selain daripada pertumbuhan semasa yang dicatatkannya.Kali terakhir logo OCBC diperbaharui adalah pada 1998.

Kali terakhir logo OCBC diperbaharui adalah pada 1998.

"Walaupun dimodenkan, logo itu mengekalkan ikon kapal layar Cina klasik terkenal yang melambangkan jenama OCBC.

"Logo ini mencerminkan semangat keusahawanan pengasas OCBC dalam usaha gigih mereka menceburi pasaran ASEAN untuk membina rumah dan perniagaan yang membawa manfaat kepada insan dari generasi ke generasi.

"Simbol mercu jaya ini telah dipaparkan dalam setiap versi logo sejak bank diasaskan pada 1932," kata bank itu dalam satu kenyataan.

Sejajar dengan logo diperbaharui itu, satu cogankata baharu juga telah dilancarkan, iaitu 'For now, and beyond' atau 'Untuk masa kini dan selanjutnya'.

Cogankata baharu itu mencerminkan tunjang OCBC untuk sentiasa mengambil pendekatan jangka panjang dalam semua urusan dan pelaburannya, dan komitmen bukan saja kepada masa kini tetapi juga masa depan dengan impak berpanjangan demi dunia yang lebih baik.

Jenama disatukan itu mencerminkan komitmen OCBC untuk memanfaatkan kekuatan bersama rangkaian menyeluruhnya, dan juga keupayaan 'One Group' dalam bidang perbankan, pengurusan kekayaan dan insurans, bagi menyokong aspirasinya yang kini merentasi sempadan dan juga mendorong pertumbuhan perniagaan dan individu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan OCBC, Helen Wong, berkata aliran perniagaan antara ASEAN dan Greater China bukan sesuatu yang baharu, sesungguhnya kumpulan perbankan itu mengiktiraf potensinya.

Beliau berkata, selama ini, pihaknya telah membina francais yang kukuh dan memantapkan kedudukan bank untuk memanfaatkan alirannya.

Katanya, kesan pembukaan semula China selepas pandemik, dan kebangkitan ASEAN bagi melaksanakan strategi China campur satu dan faktor geopolitik lain telah mengukuhkan lagi potensi berkenaan.

"Jenama disatukan yang kami lancarkan hari ini menandakan satu lagi langkah strategik yang mengukuhkan pendekatan 'One Group' kami, sebagai satu daripada lapan tunggak teras strategi korporat yang diperbaharui pada 2022.

"Malah, usaha ini juga mengukuhkan komitmen kami kepada pelanggan apabila mereka berurusan dengan bank kami, mereka memanfaatkan kekuatan tergabung Kumpulan OCBC untuk menyokong mereka dengan lancar merentasi pasaran," katanya.

Wong berkata, dengan pendekatan 'One Group' itu, francais komprehensif ASEAN-Greater China dan juga tawaran dwipusat yang terdiri daripada Singapura dan Hong Kong kini semakin menarik.

Beliau berkata, di ASEAN, OCBC berkhidmat kepada tujuh pasaran utama menerusi anak-anak syarikat perbankan dan insurans yang ditubuhkan di dalam negara, dan cawangan dan pejabat bank, yang menyumbang kepada 98 peratus daripada pertumbuhan ekonominya di rantau ini.

"Di Greater China, kami mempunyai kira-kira 4,500 kakitangan yang berkhidmat di 67 cawangan meliputi 17 bandar raya di China, Hong Kong, Macau dan Taiwan yang disokong oleh pakatan kukuh kami dengan Bank of Ningbo.

"Justeru, kami yakin bahawa kami dapat menjana hasil tambahan berjumlah S$3 bilion menjelang 2025 menerusi tumpuan kami terhadap ASEAN-Greater China," katanya.

Mengenai pembaharuan jenama itu, Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank, Tan Chor Sen, berkata langkah itu menekankan lagi kelancaran operasi OCBC Group di semua pasaran termasuk Malaysia.

"Sejarah kami beroperasi selama ini di Malaysia, iaitu sejak 1917, telah membolehkan kami mengukuhkan kedudukan kami sebagai rakan kerjasama yang dipercayai kepada komuniti di sekeliling kami.

"Sejak dulu lagi, kami menghargai nilai yang dilihat oleh orang ramai dalam jenama kami, tujuan mereka berurusan dengan bank kami dan kepercayaan yang mereka letakkan dalam nama kami.

"Kami ingin meneruskan dan membina kepercayaan yang diberikan kepada kami pada masa kini dan masa depan," katanya.

Sumber : Berita Harian

Pengasas Public Bank meninggal dunia

by


Tokoh perbankan yang juga Pengasas dan Emeritus Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow meninggal dunia 10.20 pagi tadi pada usia 92 tahun.

Mendiang adalah antara individu penting dalam pembangunan institusi kewangan di Malaysia dan individu keempat terkaya di Malaysia berdasarkan senarai Forbes dengan nilai kekayaan sebanyak RM26 bilion.

Hong Piow memulakan kerjaya perbankannya pada tahun 1950 sebagai kerani bank di Overseas-Chinese Banking Corporation Ltd sebelum dinaikkan pangkat kepada pegawai dalam tempoh lima tahun. 

Kemudian beliau menyertai Malayan Banking Bhd sebagai pengurus pada 1960 sebelum pada 1964 dinaikkan pangkat ke jawatan Pengurus Besar pada usia 34 tahun.

Hong Piow kemudian meninggalkan Malayan Banking untuk menubuhkan Public Bank pada 1965. 

Sejak itu, beliau telah menyelia evolusinya menjadi sebuah institusi kewangan moden dan bersepadu dengan rangkaian luas lebih 200 cawangan domestik dan di luar negara.

Mendiang kini merupakan Pengerusi Emeritus, Pengarah dan Penasihat Kumpulan Public Bank. 

Beliau juga memegang jawatan utama dalam pelbagai organisasi seperti Yayasan Awam, Malaysia dan LPI Capital Bhd.

Hong Piow dilahirkan di Singapura pada 14 Mac 1930 dan mengikuti pendidikan formal rendah dan menengah di Sekolah Cina Anglo di Singapura. 

Beliau berkahwin dengan Puan Sri Datin Sri Tay Sock Noy sejak 1956 dan mereka dikurniakan empat orang anak.

Public Bank antara bank utama di Malaysia dengan mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM1.59 bilion bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022, meningkat 16.8 peratus daripada RM1.36 bilion setahun sebelumnya.

Prestasi yang bertambah baik ini didorong terutamanya oleh pendapatan faedah bersih yang lebih tinggi sebanyak RM338.1 juta dan elaun rosot nilai pinjaman yang rendah sebanyak RM228.5 juta, sebahagiannya diimbangi oleh perbelanjaan operasi lain yang lebih tinggi berjumlah RM101.5 juta.

Hasil turut meningkat kepada RM5.50 bilion daripada RM4.81 bilion sebelumnya.

Untuk tempoh sembilan bulan, keuntungan bersih bank itu meningkat 3.0 peratus kepada RM4.40 bilion daripada RM4.27 bilion disebabkan caj cukai tambahan daripada cukai kemakmuran sekali sahaja dalam tempoh semasa, manakala hasil melonjak kepada RM15.36 bilion daripada RM14.76 bilion.

Sumber : Berita Harian

Bajet 2023 perlu dibentang semula

by

 


Kerajaan yang baharu dibentuk perlu meneruskan agenda Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan membentangkan Bajet 2023 sekali lagi untuk diluluskan dengan segera sebagai persiapan menghadapi situasi ekonomi yang dijangka mencabar tahun depan.

Penganalisis Politik, Prof. Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, Kerajaan Perpaduan yang dibentuk dijangka tetap memastikan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat akan diutamakan kerana semua pihak mempunyai pengalaman mentadbir negara.

“Kerajaan baharu mempunyai tugas yang mencabar untuk terus mempertahankan momentum pemulihan ekonomi negara, ia tidak boleh dibiarkan perlahan memandangkan ekonomi global yang diramalkan amat mencabar pada 2023 dan tahun-tahun akan datang.

“Dengan tiada parti politik yang berjaya meraih majoriti mudah membentuk kerajaan, saya melihat selepas pilihan raya ini akan berlaku kurangnya permainan politik dan usaha akan lebih kepada pemulihan ekonomi dan menarik lebih ramai pelabur ke negara kita,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut beliau, rakyat Malaysia merupakan rakyat terbaik, tidak ada sebarang provokasi walaupun keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak dapat membentuk kerajaan dengan mudah kerana tiada mana-mana gabungan memperoleh majoriti mudah.

“Ini menyebabkan keyakinan pelabur sentiasa tinggi untuk melabur di negara ini. Selain itu, semua pihak yang bertanding sudah ada pengalaman mentadbir negara, maka ini juga menambah keyakinan pelabur,” katanya.

Tambahnya, Malaysia memerlukan kerajaan yang stabil dan kuat untuk membetulkan struktur ekonomi negara yang pincang sekarang dengan pelbagai isu seperti inflasi, sekuriti makanan, graduan ‘underemployment’, kebergantungan kepada pekerja asing serta kurangnya budaya penyelidikan dan pembangunan dalam industri pembuatan Malaysia.

“Parlimen tergantung memberi kesan kepada kita terutamanya Bajet 2023 yang tidak sempat diluluskan yang mana ini membuatkan segala perancangan mungkin perlu dilakukan semula,” katanya.

Sumber : Kosmo!


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90