Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Misteri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Misteri. Papar semua catatan

UFO dirakam mengelilingi letusan gunung berapi

by

 

Sebuah video menjadi tular di media sosial kerana memaparkan rakaman beberapa cahaya aneh daripada objek terbang tidak dikenali (UFO) yang sedang terbang menghampiri letusan gunung berapi, lapor akhbar Daily Star semalam.

Dalam klip video yang dikongsikan di laman perkongsian Reddit, gunung berapi Cumbre Vieja di La Palma, Sepanyol pada ketika itu sedang meletus sehingga memuntahkan lahar ke arah langit.

Beberapa titik cahaya berwarna terang kemudiannya muncul di bahagian kanan langit serta melintasi skrin video tersebut.

Ia kemudiannya berpusing di udara sebelum kembali menuju ke arah gunung berapi.

Video yang didakwa dirakam pada 30 September itu menerima tontonan lebih 1,000 kali dengan ramai pengguna cuba memberikan pendapat masing-masing mengenai kejadian itu.

“Dron? Sama ada itu atau makhluk asing mahukan rakaman gunung berapi yang cantik,” komen seorang pengguna.

Seorang lagi pengguna kemudiannya menjelaskan bahawa objek itu tidak mungkin sebuah ‘dron biasa’ kerana haba daripada lahar gunung berapi akan mencairkan dron dan bidang magnetik yang kuat akan mengganggu isyarat alat kawalan jauh.

Sumber : Agensi

'Siapa ketuk pintu, jadi misteri penduduk kampung di Sabak Bernam'

by

 

Bunyi ketukan pintu yang kuat hingga mengejutkan penghuni rumah, mencetuskan tanda tanya dan menjadi misteri dalam kalangan penduduk beberapa kampung sekitar daerah ini sejak kelmarin.

Ketukan itu menimbulkan persoalan dengan pelbagai ulasan daripada netizen, antaranya mendakwa ada individu tidak bertanggungjawab sengaja melakukan perbuatan itu hingga tular menerusi aplikasi WhatsApp dan laman sosial Facebook.

Difahamkan, gangguan ketukan itu berlaku pada waktu malam hingga awal pagi itu dan membabitkan beberapa kampung lain, antaranya Batu 38, Kampung Tengah dan Kampung Banting. 

Penduduk Kampung Tengah, Nor Zaihana Yaakob, 38, mendakwa turut mengalami pengalaman sama ketika berada dua anak dan ibunya ketika berada di rumah.

"Mulanya saya ingatkan dua anak saudara pulang dari kerja. Namun, sangkaan itu meleset apabila tiada siapa di luar rumah sewaktu saya menjenguk menerusi tingkap.

"Seram jugalah dengan peristiwa ini. Tambahan pula, suami tiada di rumah kerana bekerja malam," katanya.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Batu 37 Darat, Muhammad Nazri Saiman, memaklumkan pihaknya menerima aduan berhubung perkara itu.

Muhammad Nazri berkata, gangguan itu turut berlaku kepada dirinya ketika berada di rumah kira-kira 11 malam kelmarin.

"Difahamkan, hampir separuh penduduk kampung ini mengadu berkenaan kejadian (ketukan pintu) itu.

"Saya menasihatkan mereka agar berhati-hati dan tidak membuka pintu sekiranya terdengar bunyi mencurigakan," katanya.

Beliau berkata, penduduk dinasihatkan menghubungi polis atau pihaknya, selain jiran terdekat sekiranya ternampak individu mencurigakan.

"Kami kini mengambil tindakan dengan melakukan rondaan membabitkan sukarelawan MPKK bermula 10 malam hingga 3 pagi di sekitar kampung ini," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Misteri hantu ular sawa di Tanjung Jaga

by

 

Banglo putih di tengah hutan ini terbiar sehingga kini.

Masyarakat yang tinggal di sekitar Kuala Muda dan Yan, Kedah pasti pernah melalui laluan Tanjung Jaga yang menjadi salah satu jalan penghubung antara kedua-dua daerah itu.

Jalan sejauh 10 kilometer yang merentasi kawasan sekitar lereng Gunung Jerai itu menyajikan panorama lautan membiru Selat Melaka yang indah terbentang.

Justeru tidak hairanlah, Tanjung Jaga sering menjadi pilihan para pengunjung yang berhasrat untuk menikmati pemandangan laut.
Di satu sudut bertentangan, laluan tersebut dipenuhi dengan dusun buah-buahan seperti pokok durian, rambutan, manggis dan tumbuhan hutan.

Nama Tanjung Jaga asalnya dipanggil Teluk Air. Kawasan tersebut sering menjadi pilihan kaki pancing dan pencari sumber laut seperti lala, kepah dan lokan.

Sejak kebelakangan ini, laluan yang mempunyai banyak selekoh berliku itu semakin menjadi pilihan masyarakat setempat terutamanya mereka yang berulang-alik dari Yan ke Sungai Petani.

Bagaimanapun, ramai tidak mengetahui Tanjung Jaga menyimpan pelbagai misteri yang masih belum terungkai oleh sesiapa termasuk pengkaji sejarah.

Menyingkap antara misteri di situ adalah sebuah banglo usang yang tersergam indah di dalam hutan terletak tidak berapa jauh dari jalan utama Tanjung Jaga.

Banglo terbiar tersebut yang dipercayai telah wujud sebelum 1950-an lagi didakwa milik seorang gabenor dari Pulau Pinang, namun selepas pemiliknya meninggal dunia, ia dibiarkan begitu sahaja.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu anak gabenor berkenaan menetap di situ. Selepas beberapa tahun, rumah banglo itu dibiar kosong kembali oleh anaknya.

Banglo putih itu dibiarkan tidak berpenghuni untuk tempoh sekian lama sehinggalah kini.

Selain banglo terbiar, Tanjung Jaga juga mempunyai sebuah telaga lama yang dikatakan menyimpan pelbagai misteri.

Dikatakan, air telaga tersebut tidak pernah kering meskipun pada musim kemarau. Namun, begitu laluan untuk ke telaga tersebut ketika ini dipenuhi semak yang tebal.

Bagi penduduk setempat, pelbagai kisah misteri didengari oleh mereka sejak sekian lama, malah ada yang mengalami sendiri pengalaman aneh tersebut di depan mata.

Satu lagi cerita misteri yang popular dalam kalangan penduduk setempat adalah hantu menyerupai ular sawa bersaiz gergasi.
Pada satu malam, seorang pemuda memandu bersendirian melalui kawasan Tanjung Jaga pada waktu tengah malam untuk pulang ke rumahnya di Yan.

Selepas melewati satu selekoh, dia terlihat ular sawa bersaiz gergasi sedang melintas jalan. Malangnya, dia tidak sempat menghentikan kenderaan lalu melanggar haiwan tersebut.

Dia memilih keluar daripada kenderaan untuk melihat keadaan ular tersebut. Dalam keadaan gelap itu dia tidak menjumpai susuk ular berkenaan. Kemudian, dia masuk kembali ke dalam kenderaannya untuk meneruskan perjalanan.

Bagaimanapun, selepas tiba di kawasan bercahaya, lelaki itu memandang cermin pandang belakang keretanya sebelum terlihat seorang wanita berambut panjang duduk di bahagian kerusi belakang.

Salah seorang penduduk tempatan, Shahrul Ahmad, 31 berkata, laluan tersebut agak gelap dan sunyi pada waktu malam sehingga mewujudkan suasana seram kepada pengguna jalan raya.

“Lagipun, pada waktu malam tidak banyak kenderaan yang lalui kawasan ini. Jika ada pun, jarang-jarang. Saya sendiri pun meremang bulu roma kalau memandu seorang diri di laluan itu,” katanya.

Kawasan itu menjadi bertambah misteri apabila seorang lelaki telah membunuh tunangnya di sekitar Tanjung Jaga antara pukul 12 tengah malam hingga 4 pagi pada 2006.

Mengikut fakta kes, mangsa telah ditemui mati dalam keadaan separuh bogel serta berlumuran darah dipercayai dipukul objek keras dan cedera parah di bahagian kepala.

Suspek dipercayai marah besar dan bertindak di luar batasan apabila mengetahui tunangnya hamil sedangkan mereka tidak pernah melakukan hubungan intim bersama.

Menurut Shahrul, pihak berwajib perlu memastikan lampu di kawasan itu sentiasa berada dalam keadaan baik bagi mengurangkan ketakutan orang ramai.

“Saya tengok sekarang pihak berwajib sudah mula membuang pokok-pokok di laluan ini. Ia satu langkah baik bagi mengurangkan rasa takut pengguna jalan raya,” katanya.

Shahrul percaya, kisah-kisah misteri yang diperkatakan di kawasan itu berlaku ekoran keadaan laluannya kelihatan agak menyeramkan kerana dipenuhi hutan.

Katanya, keadaan tersebut membuka ruang kepada orang ramai untuk mereka pelbagai cerita seram yang tidak dipastikan sejauh mana kebenarannya.

 


Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.

Sumber : Kosmo!

 

Misteri Puteri Santan Bertapis di Johor

by

 

SEGAMAT, antara 10 daerah yang terletak di Johor Darul Takzim menyimpan 1,001 misteri dan kisah teladan yang menjadi sebutan dalam kalangan penduduk tempatan.

Legenda Puteri Gunung Ledang, antara kisah yang menjadi bualan di bibir masyarakat di negara ini sehingga ceritera tersebut di angkat ke layar perak.

Namun, terdapat kisah mitos yang tidak kurang hebatnya iaitu kisah Puteri Santan Bertapis. Ada antara penduduk tempatan sendiri tidak mengetahui mitos ini kerana kedudukan kampung yang dikaitkan dengannya agak terpencil iaitu di Kampung Bumbun, Pekan Jabi.

Penduduk Kampung Bumbun, Fuad Sudin, 55, berkata, ibunya Zaiton Harun, 87, sering berkongsi cerita mengenai hikayat Puteri Santan Bertapis sewaktu dia kecil.

Puteri Santan Bertapis dikatakan mendapat namanya apabila pergi ke tepi Sungai Kapeh di Kampung Bumbun untuk memerah santan kelapa bagi membuat persiapan kenduri bersama-sama penduduk.

Malangnya, ketika memerah santan, alat penapis kelapa dipegangnya terjatuh, lalu santan diperah tertumpah ke dalam sungai.

Air sungai menjadi keruh serta-merta kerana tumpahan santan kelapa itu. Sejak itu dikatakan air Sungai Kapeh sentiasa keruh.

“Segelintir penduduk kampung percaya ia ada kaitan dengan peristiwa tertumpahnya santan kelapa oleh sang puteri,” katanya.

Fuad berkata, kisah mitos Puteri Santan Bertapis tidak berakhir di situ.

Pada waktu itu, Raja Malim Deman, putera kepada Raja Malim Dewa yang memerintah pada ketika itu dikatakan tertawan dengan kecantikan Puteri Santan Bertapis.

Putera raja itu memberanikan diri untuk melamar puteri yang cantik rupawan itu.

Puteri Santan Bertapis pada mulanya enggan menerima lamaran dan ingin menguji kesungguhannya, meminta anak raja itu untuk memanah gelang yang dipakainya dengan memegangnya dari dalam rumahnya.

Syaratnya, Raja Malim Deman perlu berdiri memegang anak panah dan busur dari atas Bukit Bumbun.

Jarak antara rumah sang puteri dan bukit itu kira-kira 10 kilometer.

Dengan izin Yang Maha Esa, putera tersebut berjaya memanah tepat ke dalam gelang yang dipegang Puteri Santan Bertapis.

“Puteri yang masih was-was dan tidak percaya dengan kehandalan putera itu sekali lagi mencabar supaya memanah sebentuk cincin ang dipegangnya dari lokasi sama.”

“Kalau nak diikutkan cerita, Puteri Santan Bertapis enggan berkahwin dengan Raja Malim Deman. Itu yang membuatkan dia mencabar putera itu lagi dengan perkara tidak masuk akal,” jelas Fuad sambil ketawa kecil.

Apa yang mengejutkan, perkara sama juga terjadi. Putera raja itu berjaya memanah tepat ke dalam cincin di pegang puteri tersebut.

Disebabkan tewas dalam cabaran itu, Puteri Santan Bertapis tahu dia terpaksa mengotakan janjinya mengahwini Raja Malim Deman.

Bagaimanapun, Puteri Santan Bertapis mengambil keputusan melarikan diri ke Terengganu. Ada khabar angin yang mengatakan puteri itu melarikan diri bersama seorang putera kayangan.

Setibanya di Terengganu, Puteri Santan Bertapis menukar nama kepada Puteri Cahaya Bulan untuk mengelakkan dirinya dikenali. 

Untuk mengingati kisah mitos ini, kampung tempat Puteri Santan Bertapis memegang gelang serta cincin itu dikenali sebagai Kampung Gelang Chinchin.

Kampung Bumbun pula mendapat nama daripada kisah Raja Malim Deman yang menyusun tinggi kayu bubu di tebing sungai untuk mengintai Puteri Santan Bertapis bersiram. Daripada kayu bubu itulah tercetusnya ilham menamakan Kampung Bumbun oleh penduduk kampung.

Dalam pada itu, Md. Rais Razak, 47, berkata, Segamat turut dikaitkan dengan kehebatan kerajaan Malim Dewa yang kononnya pernah wujud di satu kawasan luas merintangi Kuala Muar hingga ke hulu Segamat.

“Disebabkan murka pinangan puteranya, Raja Malim Deman di tolak Puteri Santan Bertapis, Raja Malim Dewa menyumpah daerah Segamat di landa banjir setiap tahun.

“Sebab zaman dahulu, kalau pinangan keluarga diraja ditolak, ia seperti penghinaan yang maha hebat. Marahnya boleh sampai sanggup jatuhkan sumpah,” jelasnya Md. Rais.

Sumber : Kosmo!

 

Jelmaan misteri di Bukit Salbiah

by

 

Wanita berpakaian putih dilihat berjalan perlahan-lahan sambil mengendong bayi. Dia kemudian berhenti di tepi selekoh tajam seolah-olah menunggu seseorang sambil memerhatikan gaung curam di laluan itu.

Kadang-kadang wanita itu dilihat melambai-lambai pengguna jalan raya di tepi gaung pada waktu malam, meminta mereka menumpangkannya untuk mencari kekasih hati yang dikatakan menjadi peragut nyawanya.

Wanita berkenaan hanya dapat dilihat pengguna jalan raya yang ‘bertuah’ apabila melalui Jalan Bukit Fettes, Tanjung Bungah selepas waktu senja hingga tengah malam.

Kelibat wanita dikenali sebagai Salbiah dikatakan mula menghantui pengguna jalan raya di Jalan Bukit Fettes selepas mayatnya ditemui di dalam gaung di laluan berkenaan pada 15 November 1980.

Sekitar tahun 1980-an hingga 1990-an terdapat peringatan supaya pengguna jalan raya berhati-hati jika melalui laluan alternatif berkenaan yang menghubungkan Jalan Tanjong Tokong ke Batu Feringghi itu.

Ketika itu, Jalan Bukit Fettes digeruni bukan sahaja kerana laluannya yang berbukit dan mempunyai selekoh sempit yang tajam, namun namanya turut dikenali sebagai Bukit Salbiah menyimpan misteri pembunuhan membabitkan seorang wanita.

Bukit Salbiah mendapat namanya apabila mayat seorang pekerja kilang, Salbiah Yeop Abdul Rahman, 27, ditemui di dalam gaung di Jalan Bukit Fettes itu.

Salbiah, seorang pekerja kilang di Bayan Lepas dikatakan dibunuh kekasihnya, seorang anggota polis dan mayatnya dibuang di dalam gaung di situ bagi menghapuskan bukti percintaan terlarang mereka.

Dia dikatakan menjadi mangsa selepas terlibat dalam cinta tiga segi. Kekasihnya membunuh wanita cantik itu bagi mengelakkan hubungan mereka diketahui tunangnya yang tinggal di Melaka.

Pembunuh Salbiah akhirnya ditangkap dan telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati pada 1984 selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan lelaki berkenaan membunuh Salbiah dan bukannya mati akibat membunuh diri seperti didakwa.

Cerita misteri mengenai entiti jelmaan Salbiah turut terkenal dalam kalangan pelajar sebuah sekolah menengah yang terletak kira-kira 500 meter dari kawasan gaung lokasi mayat wanita itu dibuang.

Berkongsi pengalaman, bekas pelajar sekolah berkenaan, Azmi Ibrahim, 38, menceritakan, dia mempunyai pengalaman seram yang sukar dilupakan.

Azmi yang kini menetap di Kulim, Kedah menceritakan, sekitar tahun 1998 dia pernah tersesat di kawasan hutan dan gaung di situ.

Semuanya gara-gara seorang rakannya celupar mempersendakan kisah Salbiah yang menjadi buah mulut di sekolah itu.

“Ketika itu saya menjadi Ketua Pengawas, tugas saya mencari pelajar ponteng di dalam hutan di belakang sekolah.

“Kami berpecah kepada beberapa kumpulan untuk menjejaki pelajar yang sering ponteng, namun tersesat hingga lebih lima jam di gaung berkenaan,” katanya baru-baru ini.

Azmi berkata, ketika itu kawasan hutan yang kecil dan biasa dimasuki terasa begitu gelap, sunyi serta menyeramkan.

“Sebelum masuk ke dalam hutan pada pukul 8 pagi, ada rakan saya yang mempermainkan nama Salbiah. Dia kata nanti masuk mesti jumpa hantu Salbiah.

“Kami yang mendengar hanya mendiamkan diri dan akhirnya gagal mencari jalan keluar dari gaung tersebut walaupun jaraknya dengan jalan utama hanya 500 meter. Hanya selepas lima jam dan pelbagai surah al-Quran dibaca, baru dapat mencari jalan keluar,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk tempatan, Azim Mohd. Naim, 29, berkata, dia baru dua bulan bekerja di kawasan berhampiran Bukit Salbiah itu.

“Sebelum ini, memang saya tahu mengenai kisah Salbiah daripada rakan-rakan tetapi sejak bekerja di situ tidak pula saya berjumpa dengan entiti yang pelik dan menyeramkan.

“Ada yang kata Salbiah akan tunggu di selekoh, tepi gaung dan sebagainya, namun apabila saya jalankan rondaan pada waktu malam tidak pula saya diganggu,” katanya.

Azim berkata, kawasan Bukit Salbiah itu yang dahulunya digeruni tidak lagi sunyi apabila kawasan itu kini menjadi kawasan perumahan mewah.

“Ramai yang telah melupakan kisah Salbiah, kawasan ini juga telah dihuni ramai dan tidak sunyi seperti dahulu.

“Kisah Salbiah telah dilupakan, namun Bukit Salbiah akan tetap diingati penduduk setempat sebagai salah satu lokasi paling menyeramkan di negeri ini,’’ katanya.

 - Kosmo!

Suara Aneh Dari Kubur di Tumpat

by


Penduduk kampung Cherang Melintang dan beberapa kampung sekitar hadir menunaikan solat hajat dan tahlil di Tanah Perkuburan Islam Mukim Jal memohon kerahmatan dan keampunan Allah susulan kejadian penduduk mendengar suara aneh dari kubur.

Kira-kira 200 penduduk kampung Cherang Melintang, Kampung Ana, Kampung Jal Besar, Kampung Padang Mandol dan Tok Oh hadir solat hajat itu yang diimamkan oleh Guru Pondok Jal Besar, Fadhil Zakaria.

Pengerusi Tanah Perkuburan Islam Mukim Jal Besar, Che Husien Che Soh berkata, tahlil, solat hajat dan diadakan juga  solat dhuha ini sudah lama dirancangkan dan ianya dapat dilaksanakan dengan sempurna pagi Jumaat.

"Tentang suara ghaib yg didengari penduduk itu, jika benar itu semua kuasa dan hikmah Allah.
"Ianya boleh ditafsirkan sebagai satu mesej dan peringatan kepada hamba Allah yang masih hidup agar mencari keredhaan, menggandakan amal soleh serta sentiasa mendoakan keampunan ibu bapa dan ahli keluarga yang telah kembali kerahmatullah," katanya kepada Sinar Online.

Menurutnya, apa yang berlaku itu ada hikmah kerana pagi ini ramai ahli keluarga menziarahi pusara,  luar biasa pada kelazimannya.

"Saya juga ada umumkan tentang tapak perkuburan yang baru, ianya nanti dapat memuatkan lebih banyak jenazah dan lebih tersusun untuk urusan pengkebumian jenazah di tanah perkuburan ini," katanya.

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menjelaskan, suara aneh seperti lelaki bertempik dari kubur yang didakwa didengar seorang pekerja Majlis Daerah Tumpat dua minggu lalu, berkemungkinan besar adalah gangguan daripada iblis dan syaitan.

Menurutnya, iblis dan syaitan mengganggu anak-anak Adam dan tujuannya tiada syak lagi mahu menakut-nakutkan manusia.

“Tidak boleh menolak kewujudan makhluk halus ini. Mereka boleh meniru suara atau menyerupai sesiapa sahaja yang masih hidup mahupun yang sudah meninggal dunia.

“Begitu pun keadaannya, manusia tidak seharusnya takut, sebaliknya hantu yang perlu takut pada manusia kerana iblis adalah ‘kuli’ manusia. Jika kita takut, macam kita pula ‘kuli’ mereka,” katanya ketika mengulas mengenai dakwaan Mahadi Mat Salleh, 45, yang mengakui mendengar suara aneh dari kubur yang terletak tidak jauh dari rumahnya.

Mohamad Shukri berkata, sebagaimana disebutkan dalam Surat Al-Baqarah ayat 30, Allah memilih manusia sebagai tuan di muka bumi dan bukan pula malaikat mahupun iblis atau syaitan.

Tuan atau khalifah bermaksud penguasa yang mengatur segala isi di bumi, seperti tumbuh-tumbuhan, haiwan, hutan, air, sungai, gunung-ganang, lautan dan sebagainya untuk kesejahteraan semua.

Merujuk kepada firman Allah itu, manusia diangkat darjatnya melebihi makhluk lain dan seharusnya tidak perlu takut kepada perkara ghaib di sekeliling terutama pada iblis serta kaum kerbatnya.

"Suara itu pula janganlah dikaitkan dengan sesiapa yang sudah meninggal dunia kerana bimbang akan menimbulkan perbalahan sesama manusia. Tugas manusia yang masih hidup ini adalah mendoakan perkara yang baik-baik kepada Allahyarham.

“Gunakan kaedah dalam Islam yang mewajibkan kita menyelidik kesahihan sesuatu berita, tidak cukup hanya satu saksi, paling kurang perlu dua yang mengalami perkara sama dan jangan kita terima bulat-bulat sahaja perkara yang disampaikan.

“Sekiranya mahu mengaitkan suara itu dengan seksa kubur, memang wujud, namun taraf nabi sahaja yang boleh mendengarnya dan setara mana sekalipun kekuatan orang biasa, tidak akan boleh hingga dapat mendengar jeritan seksaan kubur,” katanya.

- mSTAR

Misteri cahaya berbentuk bulat di Amerika Syarikat

by

Sejak lebih satu abad lalu, satu cahaya misteri yang berbentuk bulat kelihatan di banjaran gunung Ozark di tengah Amerika Syarikat (AS).

Kawasan pergunungan itu terletak di selatan negeri Missouri dan timur laut negeri Oklahoma di AS.

Fenomena itu dikenali sebagai lampu hantu telah menyebabkan ramai penduduk tempatan bingung kerana mereka tidak tahu punca yang menyebabkan kemunculan cahaya tersebut pada waktu malam.

Cahaya tersebut kelihatan terapung-apung di kawasan hutan di kawasan pergunungan itu yang dikenali sebagai Devils's Promenade yang terlepas di sempadan barat daya Missouri dengan timur laut Oklahoma.

Kawasan itu terletak tidak jauh dari bandar Hornet, Missouri.

Cahaya lampu ganjil itu dikenali dengan pelbagai nama seperti Ozark Spook Light, Hollis Light, Hornet Spook Light, Hornet Ghost Light, Joplin Ghost Light, Devil's Jack-O'Lantern dan Tri-State Spook Light.

Menurut portal berita Examiner.com kelmarin, pada tahun 1948, Kor Jurutera Tentera AS telah menyiasat tentang cahaya misteri itu.

Bagaimanapun, pihak tentera itu gagal menemui punca yang menyebabkan cahaya tersebut muncul.

Pihak kerajaan AS memutuskan punca kemunculan cahaya itu masih tidak diketahui.

Baru-baru ini, kumpulan Pemburu Hantu Missouri berjaya merakamkan gambar cahaya misteri itu bagi membuktikan tentang kewujudannya.

Berdasarkan rakaman itu yang turut disiarkan di laman YouTube, terdapat dua cahaya ganjil di atas kawasan pergunungan tersebut.

Satu cahaya bulat itu kelihatan berkelip-kelip.

Terdapat satu lagi cahaya kecil yang berbentuk hampir bulat bersinar-sinar di langit.

Namun, bentuk cahaya itu tidak dapat dilihat dengan sepenuhnya kerana ia dihalang dengan ketinggian banjaran gunung tersebut.

Cahaya yang kecil itu kadangkala membesar dengan tiba-tiba.

Klip video yang menunjukkan cahaya itu dimuat naik sejak 29 September lalu.

Antara teori lain yang mengaitkan kewujudan cahaya itu adalah ia disebabkan pembiasan lampu kereta dan papan tanda iklan.

Namun, teori itu tidak boleh digunakan kerana cahaya lampu itu wujud sejak sebelum adanya papan tanda iklan.

Cahaya itu juga telah muncul sebelum kereta dicipta.

Ia telah wujud sejak tahun 1866 yang dapat dilihat dari sebatang jalan raya di kawasan luar bandar di kawasan berdekatan cahaya misteri itu muncul.

Terdapat cerita legenda yang menyatakan dua cahaya itu adalah roh dua Orang Asli Quapaw yang meninggal dunia di kawasan tersebut.

Ada juga cerita legenda yang menyatakan bahawa lampu itu merupakan roh seorang ketua Orang Asli Osage yang kepalanya dipenggal di kawasan tersebut.

Roh tersebut dikatakan mencari kepalanya yang hilang menyebabkan cahaya itu muncul.

Cahaya itu muncul pada pukul 10 malam waktu tempatan walaupun terdapat angin kuat dan hujan.

Cahaya misteri yang berbentuk seperti bulan juga dapat dilihat oleh sejumlah penduduk di Zimbabwe pada 29 September lalu.

Ia kelihatan bergerak di langit di antara pukul 7 dan 7.15 malam waktu tempatan.

Sejumlah penduduk di Karoi, Mashonaland Barat, Gunung Darwin di Mashonaland dan Mutoko dan Mashonaland Timur mendakwa mereka melihat cahaya tersebut.

Cahaya tersebut berjaya dirakamkan oleh penduduk dan disiarkan di YouTube.

Sebahagian penduduk juga menyaksikan cahaya ganjil itu di Botswana, Afrika Selatan dan Malawi di Afrika.

Ada beberapa penduduk mendakwa ia merupakan objek terbang tidak dikenali (UFO). Cahaya itu muncul selama dua minit.

Menurut portal berita New Zimbabwe.com pada 1 Oktober lalu, seorang pensyarah sains dan pemerhatian bumi di Universiti Zimbabwe, Prof. Amon Murwira berkata, cahaya itu mungkin berasal daripada serpihan satelit yang sedang mereput atau daripada sebuah peralatan untuk melonjakkan ketinggian roket ke angkasa lepas.

- KOSMO!




 

Pontianak - Benar-benar wujud atau sekadar mitos?

by


Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

JIKA anda menganggap puntianak hanya mitos atau kisah seram dalam filem, fikirkanlah semula. Ahli arkeologi Bulgaria baru-baru ini menemui dua rangka manusia daripada Zaman Pertengahan dengan sebatang besi menikam dadanya, dipercayai bagi menghalang si mati daripada hidup semula sebagai puntianak.

Dua rangka itu, dikatakan berusia 800 tahun, ditemui dalam satu ekskavasi berhampiran sebuah biara di bandar Laut Hitam Bulgaria, Sozopol.

Ketua Muzium Sejarah negara itu, Bozhidar Dimitrov berkata, dua rangka yang ditikam itu menyamai amalan penduduk kampung di Bulgaria sehingga dekad pertama abad ke-20.

Bomoh-bomoh di Eropah percaya orang yang berkelakuan jahat semasa hidup akan bertukar menjadi puntianak selepas mati melainkan dadanya ditusuk batang besi atau kayu sebelum dikebumikan.

Mereka yakin batang besi itu dapat menghalang si mati daripada merayau-rayau pada waktu tengah malam dan mengganggu penduduk. Menurut Dimitrov, lebih 100 rangka dengan tikaman besi ditemui di Bulgaria dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

“Saya tidak tahu kenapa penemuan rangka seperti itu menjadi begitu popular. Mungkin ia disebabkan misteri perkataan puntianak,” katanya.

Puntianak Eropah kebiasaannya adalah lelaki tetapi bulan lalu, penyelidik Itali menemui rangka puntianak wanita di Venice - ditanam dengan seketul bata disumbat ke dalam mulutnya bagi menghalangnya daripada memburu mangsa di bandar itu. Puntianak wanita itu dipercayai daripada abad ke-16.

Ahli antropologi Universiti Florence, Matteo Borrini berkata, penemuan di sebuah pulau kecil, Lazzaretto Nuovo di lagun Venice itu menyokong kepercayaan lama bahawa puntianak menjadi dalang di sebalik kejadian huru-hara seperti Black Death pada abad berkenaan.

“Untuk membunuh puntianak itu, anda terpaksa membuang kain yang menutup mulutnya. Kain itu umpama makanan sama seperti susu bayi. Sebagai ganti, letakkan benda yang tidak boleh dimakan,” jelas Borrini.

Kisah puntianak ternyata bukan sahaja terkenal dalam kalangan penduduk kampung di Malaysia bahkan di negara-negara maju di Eropah.

Cerita itu juga popular di Indonesia hinggakan sebuah wilayah di Kalimantan Barat dinamakan Pontianak. Menurut cerita orang tua-tua, pengasas Pontianak iaitu seorang ulama bernama Syarif Abdurrahman Al-Qadri sering diganggu oleh hantu itu ketika menyusuri Sungai Kapuas yang merupakan pintu masuk ke bandar itu dari Laut China Selatan.

Ulama itu dikatakan menggunakan meriam karbaid untuk menghalau atau membunuh makhluk tersebut.

Halia

Sehingga hari ini, meriam yang digunakan itu menjadi satu instrumen untuk menarik pelancong ke situ.

Menurut Datuk Bandar Pontianak, Paryadi, meriam karbaid digunakan untuk menghalau puntianak semasa pemerintahan sultan di Pontianak.

“Kini ia digunakan untuk memaklumkan penduduk di sini waktu solat Maghrib, berbuka puasa dan pengumuman Hari Raya Aidilfitri,” beritahu beliau.

Di Eropah, mitos puntianak memiliki banyak versi. Di Greece ia dikenali dengan nama vrykolakas manakala di Romania, symengol.

Kisah puntianak turut diangkat oleh penulis Britain, John Polidori yang menghasilkan novel bertajuk The Vampyre pada tahun 1819. Cerita hantu penghisap darah itu sangat digeruni hingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang ramai pada masa itu.

Di Croatia pada tahun 1672, penduduk sebuah kampung diceritakan gempar apabila seorang penduduk yang mati pada tahun 1656 hidup semula dan menghisap darah penduduk selain merogol wanita janda.

Serangan puntianak turut menggemparkan Britain pada tahun 1970 apabila beberapa akhbar tempatan melaporkan berita kononnya hantu itu telah menyerang kawasan Perkuburan Highgate di London.

Ia menyebabkan ramai pemburu puntianak berkumpul di situ. Sesetengah daripada mereka sempat menulis buku mengenainya hingga memperoleh keuntungan.

Seorang penulis buku dan juga pemburu hantu, Sean Manchester mendakwa telah menghapuskan semua puntianak di kawasan itu. Tetapi tiada bukti jelas mengenai kewujudan hantu itu.

Pada Januari 2005 pula, penduduk Birmingham terkejut dengan kemunculan seorang penyerang yang berkelakuan seperti puntianak iaitu menghisap darah mangsa sebelum membunuhnya. Bagaimanapun, polis yang menyiasat kes itu mengatakan andaian puntianak itu hanya khabar angin

Seorang pakar teologi Perancis, Dom Augustine Calmet pernah membuat kajian komprehensif berdasarkan kes serangan puntianak tetapi tidak menemui bukti tentang kewujudan makhluk itu.

Mitos

Pemerintah Austria pada kurun ke-17, Maria Theresa Walburga Amalia Christina pula meminta doktor peribadinya, Gerard Van Swieten menyiasat entiti puntianak tetapi ia juga berakhir dengan kegagalan.

Kata Swieten, kisah puntianak itu sekadar menggalakkan pengamal ilmu hitam menggali kubur untuk memantapkan ilmu serta mencuri organ manusia untuk dijual.

Pengkaji alam misteri dan sejarah purba Nusantara, Mohammad Idrus Abu Hanifah berpendapat, puntianak sebenarnya ialah jin dan hantu yang ingin mengganggu manusia.

Katanya, tidak mungkin jin serta hantu dapat meragut nyawa manusia.

“Pelbagai teori telah dikemukakan tetapi tidak ada sekeping gambar atau kajian saintifik yang mengesahkan perkara tersebut.

“Malah, cara menghapuskan puntianak mempunyai pelbagai versi seperti mencurahkan air panas pada muka atau abu mayat, melemaskan hantu itu, menusuk paku ke tengkuknya dan menyumbat halia ke dalam mulutnya,” katanya kepada Jurnal.

Merujuk kepada negara ini, puntianak dikatakan hantu wanita yang berwajah cantik selepas dipantak paku di tengkuknya tetapi akan kembali hodoh jika paku itu dicabut.

Mohammad Idrus mengaku pernah membuat kajian dengan pergi ke sebuah lokasi yang dikatakan ada puntianak di Hulu Selangor.

“Di situ, saya berjumpa dengan hantu puntianak yang hodoh. Sebaik sahaja saya mencucuk paku sepanjang 10 sentimeter di tengkuknya, tidak berlaku apa-apa perubahan sebaliknya hantu itu memarahi saya.

“Hantu itu memakai pakaian berwarna putih manakala matanya merah menyala. Ia mempunyai gigi yang tajam, memang tak cantik langsung,” dakwa Mohammad Idrus sambil ketawa.

- KOSMO!

Misteri kejadian histeria

by
Seringkali kita tertanya-tanya, apakah sebenarnya histeria dan mengapa pula hanya terjadi kepada kaum wanita? Mengapa pula histeria terjadi kepada sekumpulan orang dan berjangkit daripada satu individu kepada individu lain.

Hakikat yang perlu diketahui, histeria juga boleh berlaku kepada kaum lelaki. Kajian-kajian awal mengenai histeria sebenarnya melibatkan kaum lelaki, khususnya tentera yang terlibat dengan Perang Dunia Pertama.

Kebanyakan tentera ini mengalami trauma dalam peperangan. Histeria juga tidak semestinya berlaku kepada banyak orang. Ia juga boleh berlaku kepada individu.

Walaupun terdapat banyak tanggapan berdasarkan disiplin ilmu masing-masing, ilmu psikologi cuba menerangkan hal ini dari perspektif yang lain. Ia tidak disebabkan oleh makhluk asing seperti dalam perspektif perubatan tradisional. Sebaliknya ia dianggap sebagai perpindahan emosi manusia, atau dalam istilah bahasa Inggeris sebagai contagion effects. Emosi ini dikatakan boleh berpindah daripada satu individu kepada individu lain.

Pengaruh persekitaran

Proses contagion effects atau perpindahan emosi ini sering terjadi kepada kita semua. Misalnya, apabila kita menziarahi orang sakit di hospital, atau seseorang yang meninggal dunia, kita akan berasa sedih.

Kesedihan ini adakalanya bukanlah disebabkan melihat mangsa yang sakit atau orang yang mati tadi, tetapi kita bersedih kerana melihat orang di sekelilingnya juga bersedih. Inilah yang dikatakan perpindahan emosi.

Pada Julai 1518, di Strasbourg, Perancis, orang ramai tiba-tiba menari tanpa henti dan tanpa rehat selama sebulan. Ia bermula dengan seorang wanita sebelum merebak kepada 34 orang. Kemudian, jumlah itu bertambah kepada 400 orang. Beberapa orang telah mati kerana kepenatan dan sakit jantung. Sampai sekarang, punca histeria itu masih menjadi misteri.

Di India, pada tahun 2001 telah berlaku histeria yang besar. Ia melibatkan lebih 397 orang. Ia bermula di negeri Uttar Pradesh dan kemudian merebak hingga ke kawasan Delhi Timur. Mangsa melaporkan kononnya telah melihat 'monyet jelmaan'.

Berita sensasi itu mencetus ketakutan kepada orang ramai. Mereka yang tahu tentang berita itu dilaporkan terus diserang histeria dan ramai daripada mangsanya ialah lelaki.

Pada akhir tahun 1970-an pula, telah berlaku lebih 40 kali kes 'histeria' di sebuah kilang di Melaka. Semua mangsanya ialah pekerja wanita Melayu. Seperti dalam banyak kes, apabila seorang dirasuk histeria, ia merebak kepada orang lain.

Punca histeria

Ada dua pandangan. Dalam kalangan pakar perubatan, puncanya disebabkan oleh sistem saraf. Sebab itulah, pada masa silam, pesakit histeria dikenakan kejutan elektrik, atau disuntik dengan ubat tertentu.

Dalam kalangan ahli psikologi, mereka mengaitkan histeria dengan faktor psikologikal. Bagi tentera yang berperang misalnya, trauma perang itu dianggap puncanya.

Dalam kejadian di Melaka tersebut, ramai pesakit kemudiannya mengadu bahawa mereka mengalami tekanan kerja kerana layanan buruk majikan dan gaji yang rendah. Dalam kes di India itu pula, ia berlaku dalam kalangan mereka yang miskin, berpendapatan rendah dan hidup di kawasan padat penduduk.

Kajian-kajian yang dilakukan di Barat mendapati beberapa pesakit yang kerap diserang histeria ini bermula dengan alam anak-anak yang tidak membahagiakan, ibu bapa bercerai dan insiden tragis lain.

Dalam masyarakat kita pula, kita percaya remaja wanita yang haid lebih mudah diserang kerana makhluk halus suka dengan darah haid. Hakikatnya mungkin berbeza dari perspektif psikologi. Mereka yang haid mungkin berada dalam emosi yang tidak stabil, menyebabkan fikiran mereka lebih mudah terganggu.

Individu yang tertekan secara psikologinya lebih mudah dilanda halusinasi dengan melihat 'makhluk' yang menakutkan. Ketakutan yang melampau ini kemudiannya dipindahkan pula kepada orang lain.

Contagion effects ini berlaku kerana orang yang melihat pesakit histeria turut panik. Ia kemudiannya merebak kepada individu lain di sekitarnya. Biasanya terhadap rakan-rakan karib yang berkongsi pengalaman dan emosi dalam aktiviti seharian. Disebabkan semua orang menjerit ketakutan, ia telah menyebabkan orang yang berada di sekelilingnya turut kerasukan.

Kajian mendapati, gambaran yang menakutkan oleh pesakit tidak sama antara satu sama lain walaupun mereka semuanya mengalami kerasukan tersebut.

- KOSMO!

Misteri bola metalik jatuh dari langit

by

WINDHOEK, Namibia – Sebiji bola metalik gergasi yang berdiameter 1.1 meter dan berat enam kilogram jatuh dari langit di sebuah kampung di utara Namibia, 750 kilometer dari sini pada November lalu.

Pihak berkuasa Namibia kini menghubungi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan dan Agensi Angkasa Eropah bagi mendapatkan maklumat mengenai bola tersebut.

Institut Sains Forensik Kebangsaan Namibia bingung tentang bola tersebut dan tidak mengetahui dari mana asalnya.

Bola metalik itu ditemui oleh seorang petani di wilayah Omusati.

Menurut beberapa saksi, bunyi kuat kedengaran sebelum ia ditemui seorang petani yang kemudian menberitahu polis.

Bola itu kini dalam simpanan pihak polis.

– Agensi

UFO lebih mencabar minda daripada hantu

by
Oleh Johardy Ibrahim

PERNAHKAH anda melalui pengalaman melihat sendiri UFO yang merupakan singkatan kepada Unidentified Flying Object atau objek terbang tidak dapat dikenal pasti? Beberapa laporan pernah tersiar di dada akhbar sebelum ini mengenai penemuan UFO di Malaysia. Tetapi gemparnya tidak berskala besar, apatah lagi bukti gambarnya kurang jelas atau sekadar pengakuan mulut semata-mata. Maka kes itu pun berlalu sepantas kilat UFO hilang dari pandangan.

Ia membuktikan UFO memang dilihat di seluruh dunia, walaupun jika UFO lalu di depan saya, perkara pertama terlintas di fikiran ialah ia hanyalah pesawat. Tinggal di Shah Alam yang merupakan laluan terbang pesawat di dua lapangan terbang iaitu di Subang dan Sepang, apa-apa yang di angkasa lazimnya tidak lebih daripada sekadar memandang sekilas cuma.

Seorang rakan bercerita, semasa memandu di sebatang jalan raya tidak berlampu (lokasi dirahsiakan), dia perasan ada seakan lampu di sebelah kanan yang bergerak sehala dengannya. Tidak dapat dipastikan jaraknya dengan kereta tetapi ia dalam kelajuan yang tinggi kerana ia kekal selari di cermin kereta. ‘‘UFO ke?,” soal hatinya. Jadi dia pun menstabilkan pemanduan, untuk meninjau lebih jelas. Bila diamat-amati, semakin jelas ia bukan sebarang UFO. Ia rupa-rupanya ‘objek disyaki polong terbang’. Tapi ini cerita lain.

Cerita mengenai UFO ini sebenarnya dipopularkan di Amerika Syarikat (AS). Sejarahnya bermula pada 1947 dengan desas-desus mengaitkan sebuah kawasan larangan yang dikawal ketat oleh tentera AS di lebuh raya Nevada Route 375 dipanggil Area 51. Jika anda pernah menonton filem-filem Hollywood, pelbagai gambaran dikemukakan mengenai ‘apa yang ada’ di situ, misalnya The Independence Day lakonan Will Smith yang menggambarkan wujud bilik rahsia bawah tanah di Area 51 yang menyimpan kapal angkasa UFO dan satu makhluk asing. Atau paling syok, The X-File dengan motonya I Want To Believe (Saya Mahu Percaya). Walaupun ia hanya filem cereka, kebanyakan skrip ditulis berdasarkan pengalaman orang yang mendakwa pernah melihat atau ‘diculik untuk diperiksa’ oleh makhluk asing.

Pada 4 November lalu, buat pertama kali dalam sejarah sejak meletusnya kegemparan mengenai UFO, kerajaan AS mengeluarkan kenyataan rasmi sebagai menjawab dua petisyen secara dalam talian. Petisyen pertama, dikelolakan oleh ahli fizik dan pengkaji UFO terkemuka, Stephen Bassett yang mengumpul 12,078 tandatangan setakat 7 November lalu, menuntut supaya ‘kerajaan AS secara rasmi memperakui kewujudan makhluk asing yang menjalin hubungan dengan umat manusia’.

Presiden Barack Obama telah berjanji untuk memberi maklum balas atas sesuatu petisyen yang meraih sekurang-kurangnya 5,000 tandatangan dalam tempoh 30 hari. Bassett berkata, ia hanya mengambil masa empat hari untuk mencapai sasaran tersebut. Difahamkan, White House kini menaikkan had bagi menjawab rasmi sesuatu petisyen kini ialah 25,000 tandatangan.

Wujud

‘‘Kerajaan AS tidak mempunyai bukti bahawa wujud sebarang kehidupan di luar planet kita, atau wujud makhluk asing yang telah berhubung dengan mana-mana orang,” menurut kenyataan rasmi pentadbiran Obama yang disiarkan di laman web White House dan ditandatangani oleh Phil Larson, penolong penyelidik di Pejabat Dasar Sains dan Teknologi.

‘‘Sebagai tambahan, tidak wujud maklumat sahih untuk mencadangkan bahawa sebarang bukti telah disembunyikan daripada orang ramai. Hakikatnya ialah kami tidak memiliki bukti sahih mengenai kewujudan makhluk asing di atas Bumi ini,” kata Larson.

Atas alasan apa pula pentadbiran Obama mahu menafikan bukti gambar dan video seumpamanya dan penculikan manusia untuk dikaji selidik oleh makhluk asing?

Penafian White House ini nyata menghampakan harapan sebilangan rakyat AS yang menjangkakan Obama akan lebih bersikap terbuka dalam mendedahkan isu UFO ini. Ada penulis membuat spekulasi Obama mungkin tidak mengetahuinya secara telus dan rahsia sebenarnya terus disimpan oleh pegawai-pegawai tertentu. Ada juga mendakwa fail-fail yang mendokumentasikan laporan penemuan atau penculikan UFO, adalah dalam bilangan yang besar dan dirahsikan lokasinya.

Meskipun menafikan kewujudan tersebut, kerajaan AS memberi komitmen untuk terus berusaha mencari bukti kewujudan UFO. Kerajaan AS pernah mengendalikan program SETI (Search for Extraterrestrial Intelligence) tetapi kini tidak lagi, ekoran langkah berjimat-cermat yang dilaksana oleh Obama. Program SETI dipaparkan dengan menyeluruh dalam filem The Contact lakonan Jodie Foster iaitu menghalakan peralatan mendengar berkuasa tinggi ke angkasa lepas. Ia bertujuan mendapatkan isyarat atau kaedah berhubung dengan UFO. Secara logiknya, semua program angkasa lepas AS selama ini, termasuk Makmal Sains Marikh yang akan dilancarkan, juga bermatlamat untuk mencari petanda kehidupan makhluk di luar planet Bumi.

Faktor di atas, secara tidak langsung telah menjadi pendorong minat ramai daripada kita untuk mengikuti laporan-laporan berita berkaitan sains angkasa lepas. NASA iaitu agensi angkasa lepas AS sering melaporkan penemuan-penemuan objek lain di angkasa lepas seperti asteroids atau cakerawala berjarak jutaan masa yang dirakam menerusi kamera berkuasa sangat tinggi. Tentunya NASA ada ‘terserempak’ dengan UFO sepanjang pemantauan mereka itu. Jika ada pun, jelas kini pendirian rasmi kerajaan AS ialah ‘UFO tidak tidak wujud’.

Pusat penyelidikan

Area 51, yang sering menjadi agenda utama dalam konspirasi UFO sebenarnya merupakan pusat penyelidikan tentera udara AS di Groom Lake. Orang ramai yang memandu berhampiran kawasan tersebut sering melaporkan terlihat cahaya yang aneh atau objek yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Apabila program itu diluluskan untuk didedahkan kepada umum, bekas ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA), T.D. Barnes yang telah bersara menyatakan ia adalah pusat membangunkan pesawat ultra-canggih bagi tujuan perisikan dan serangan, merangkumi pesawat Stealth yang berupaya mengelak daripada dikesan radar dan bergerak dalam kelajuan tinggi. Selain itu, reka bentuknya bukan seperti pesawat pejuang konvensional.

Namun ramai yang memilih untuk terus mempercayai bahawa Area 51 tersebut ada menyimpan serpihan piring terbang UFO yang dilaporkan terhempas di pekan Roswell pada 1947.

Walaupun saya secara peribadi tidak pernah melihat dengan mata sendiri mana-mana UFO atau makhluk asing, bila menyaksikan gambar dan video yang menunjukkan cahaya atau objek di langit yang bergerak dalam kelajuan tinggi, rasanya cerita UFO ini lebih mengembangkan fikiran berbanding bercerita mengenai hantu polong.

- MINGGUAN MALAYSIA

Bangkai makhluk asing ditemui

by


ITAJUBA, Brazil - Satu mayat makhluk asing ditemui di sini dan dirakamkan pada 26 September 2011 yang berukuran 45 sentimeter tinggi.

Mayat itu dikatakan ditemui oleh seorang pegawai tentera polis, Jose Luis yang berusia 44 tahun dan berasal dari negeri Minas Gerais.

Semasa dia merakamkan imej itu, dia bersama dengan anak lelakinya.

Menurutnya, makhluk asing itu mengeluarkan bau yang amat kuat.

Namun, bangkai makhluk asing itu hilang dengan tiba-tiba selepas empat hari dibiarkan.

Imej itu disiarkan di laman YouTube sejak awal Oktober lalu.

- Agensi

Kelibat raksasa di Pelabuhan Sydney

by

SYDNEY - Sejumlah penduduk di sini berada dalam ketakutan selepas seekor raksasa dirakamkan di dalam kawasan perairan dekat sebuah jambatan di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Menurut seorang pegawai polis, Harvey Edison, talian telefon di kebanyakan balai polis tempatan sesak dengan panggilan orang ramai yang memberitahu kewujudan makhluk ganjil itu kelmarin.

Menurutnya, laporan awal mengenai raksasa itu datang daripada orang ramai yang menaiki kapal pesiaran, feri dan bot di Pelabuhan Sydney.

Edison berkata, semua rakaman video dan gambar yang menyiarkan kelibat raksasa itu kini dikaji oleh sekumpulan pakar bagi menentukan sama ada ia benar atau palsu.

Menurut satu kenyataan rasmi, sekumpulan pasukan yang melibatkan ahli biologi terkenal dan penyelam akan tiba di Sydney untuk menyiasat raksasa itu.

Polis di negeri New South Wales turut membatalkan semua perkhidmatan feri dan pelayaran kapal pesiaran buat sementara waktu.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak belayar atau menaiki bot mewah di pelabuhan ini.

Raksasa itu mempunyai leher yang panjang seperti kelibat raksasa di Loch Ness di Scotland.

- Agensi

Imej hantu penunggang kuda dekat Dataran Tahrir, Mesir?

by


KAHERAH - Stesen televisyen MSNBC merakamkan imej hantu dipercayai seorang lelaki yang menunggang kuda dalam rusuhan bagi menuntut Presiden Mesir, Hosni Mubarak meletakkan jawatan di sini pada Khamis lalu.

Imej misteri itu disiarkan dalam lintasan berita mengenai situasi yang berlaku dekat Dataran Tahrir di sini pada awal pagi.

Dalam imej tersebut, bayang penunggang kuda yang berwarna hijau dan bercahaya itu seolah-olah melihat gelagat para penunjuk perasaan membaling batu dan kebakaran kereta di tepi sebatang jalan raya dalam rusuhan itu.

Kuda yang dinaiki lelaki itu kemudian bergerak perlahan-lahan sebelum ia berlari ke langit dan lenyap ditelan kegelapan.

Imej tersebut kini menjadi perdebatan hangat dalam beberapa laman web di Internet mengenai kejadian misteri itu.

Beberapa pengguna Internet yang menyaksikan rakaman video itu menyatakan ia disebabkan oleh cahaya kilat kamera atau pantulan cahaya.

Imej misteri itu juga boleh dilihat di laman YouTube.

- Agensi

UFO di Sabak Bernam?

by

Seorang kakitangan awam mendakwa berjaya merakam satu cahaya objek terbang yang tidak dikenali (UFO) melintas di kawasan sebuah kem askar di Sabak Bernam ketika bertugas pada Jumaat lalu.

Asri Harun Abd. Rahman, 42, yang membuat rondaan ketika itu terkejut setelah melihat sebuah objek bercahaya yang terang seperti lampu limpah menerangi langit kira-kira pukul 5.30 pagi.

Dakwanya, selama bertugas di situ sejak 11 tahun lalu, perkara seumpama itu tidak pernah berlaku dan menyifatkan ia merupakan perkara pelik pernah dialami.

“Cahaya objek itu bulat, sangat terang dan tidak bergerak ke mana-mana.

“Kebetulan, pada waktu itu tiada satu bintang kelihatan dan cahaya itu tidak berkelip-kelip seperti bintang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

- KOSMO!

UFO dipercayai mendarat di sawah padi di Yogyakarta

by

YOGYAKARTA, Indonesia - Tujuh petak sawah padi di Krasakan di Sleman, Yogyakarta mempunyai corak bulatan ganjil yang dipercayai penduduk dihasilkan oleh objek terbang tidak dikenali (UFO), lapor akhbar Jakarta Post semalam.

Bukan sahaja Jakarta Post tetapi banyak akhbar lain di Indonesia turut melaporkan mengenai penemuan unik itu.

Corak bulatan ganjil pada kebiasaannya ditemui di kawasan tanaman gandum di negara-negara Barat seperti Britain sejak tahun 1980.

Bentuk bulatan yang ganjil itu dikaitkan dengan UFO di Barat ekoran ia mempunyai bentuk geometri dan tiasa saksi yang melihat manusia yang melakukannya.

Bentuk ganjil yang ditemui di Sleman itu mengandungi corak segi tiga dan dua bulatan kecil di bahagian tengah bulatan yang besar berdiameter di antara 25 meter hingga 30 meter itu ditemui penduduk tempatan pada pagi Ahad lalu.

"Saya berpendapat, ia (bulatan ganjil itu) ditinggalkan oleh sebuah kapal angkasa asing seperti yang saya lihat di televisyen," kata seorang penduduk, Cahyo Utomo semalam.

"Adalah tidak munasabah, bulatan itu dibuat hasil tiupan angin atau haiwan lain," tambahnya.

Bulatan itu yang terletak dekat dengan sebuah kawasan rumah penduduk kelihatan seperti satu kerja seni geometri manakala kawasan sawah padi lain tidak mengalami sebarang kesan yang sama.

Bulatan ganjil itu kali pertama dilaporkan oleh seorang petani, Tukiman pada pukul 6 pagi Ahad lalu.

Ketua Polis Sleman, Iwan Ramaini berkata, dia tidak pasti jika corak bulatan itu dicipta oleh UFO atau ia merupakan fenomena semula jadi. Satu siasatan polis sedang dilakukan berhubung kejadian itu.

Namun, seorang pegawai polis yang mendegar keterangan daripada enam petani yang memiliki tujuh petak sawah percaya, bulatan itu bukan buatan manusia.

"Mereka bilang (para petani itu) nggak (tidak) mungkin itu dibuat oleh manusia," kata seorang pegawai polis, I Made Muliawan kepada wartawan akhbar dalam talian detikcom.

Menurutnya, petani-petani itu tidak melihat terdapat kegiatan mencurigakan di kawasan sawah padi tersebut.

"Tidak ada keterangan yang menyebutkan, melihat ada orang melakukan hal-hal aneh di sawah itu," katanya.

Dia berkata, salah seorang pemilik sawah itu pernah mendengar bunyi bising pada malam sebelum corak itu ditemui.

"Malam hari ada yang bilang mendengar suara seperti pesawat turun, terus pastinya dia melihat di sawahnya," kata pegawai polis itu.

Menurutnya, pihak polis menghalang orang ramai mendekati kawasan yang mengandungi objek misteri itu.

Dia berkata, sekatan itu dibuat kerana pihaknya bimbang orang ramai akan memijak pohon padi sekali gus menjadi rosak dan merugikan petani.

- Agensi

Burung Jatuh Dari Langit - Teori serangan UFO

by

Pada malam itu, beberapa detik sebelum menjelang tahun baru 2011, beribu-ribu ekor burung blackbird jatuh bak hujan hitam di pekan kecil Beebe yang terletak di negeri Arkansas, Amerika Syarikat (AS).

Dianggarkan lebih 5,000 burung hitam bersayap merah jatuh dari langit dan bertaburan di atas jalan, bumbung dan halaman rumah di kawasan seluas 731 meter persegi. Di sesetengah kawasan, tanah bertukar menjadi gelap.

Penduduk setempat yang keluar untuk menikmati pancaran bunga api dan meraikan kedatangan tahun 2011, panik dengan apa yang berlaku dan bergegas memasuki kediaman masing-masing apabila haiwan bertubuh kecil itu mula jatuh di sekeliling mereka.

Ada bangkai yang jatuh mengenai seorang wanita yang sedang berjalan bersama anjingnya manakala seorang lagi terpaksa menggunakan payung untuk melindungi diri.

Seorang penduduk tempatan, Shane Roberts berkata, ia berbunyi seperti hujan batu yang sangat dahsyat di atas bumbung rumahnya.

"Apabila saya keluar, alangkah terkejutnya apabila melihat ketulan-ketulan hitam bertaburan. Apabila saya pergi lebih dekat, ia adalah bangkai burung," katanya yang menyifatkan kematian tersebut sebagai sesuatu yang aneh.

Sementara itu, Penyelia Jabatan Jalan bandar berkenaan, Milton McCullar berkata, ia seperti adegan dalam filem Alfred Hitchcock di mana semua lampu di papan suis kecemasan menyala dan semua orang berada dalam situasi yang mencemaskan.

Kiamat

"Ada penduduk yang panik dan beranggapan dunia hampir kiamat," ujar Ketua Polis tempatan, Ellie Cullum seperti dipetik Mail Online.

Kehadiran ribuan bangkai burung di kawasan kejiranan tersebut diterima sebagai misteri alam.

Namun, yang menjengkelkan penduduk setempat ialah apabila pekerja pembersih alam sekitar datang memakai sut kalis api, topi keledar dan topeng gas hanya untuk membuang bangkai burung.

Belum pun reda kes burung jatuh dari langit diperkatakan, pakar pengkaji haiwan di Arkansas bertambah bingung apabila lebih 100,000 bangkai ikan drum ditemui di sepanjang 32 kilometer di tebing dan permukaan Sungai Arkansas, berhampiran Ozark yang terletak kira-kira 200 kilometer dari bandar Beebe.

Anehnya, hanya spesies ikan drum yang didapati mati sedangkan ikan spesies lain masih hidup.

Adakah kejadian aneh ini mempunyai kaitan antara satu sama lain?

Terdapat beberapa teori yang diketengahkan oleh pihak tertentu mengaitkan punca kepada misteri kematian haiwan tersebut.

Antaranya, burung terlanggar objek terbang yang tidak dikenali (UFO), hujan batu, tekanan akibat bunyi kuat bunga api dan proses teras bumi menyahmagnet.

Malah, ada juga pendapat mengatakan kejadian tersebut adalah petanda akan berlakunya kiamat pada 2012 seperti yang diramalkan oleh tamadun kuno Maya di Mexico.

Walaupun ini bukan kali pertama AS berdepan dengan kematian spesies haiwan secara misteri, namun kali ini negara Uncle Sam itu gusar dengan apa yang terjadi.

Seorang pakar dari Jabatan Perikanan dan Akuakultur Universiti Arkansas, Dr. Andrew Goodwin berkata, perubahan drastik antara cuaca sejuk dan panas boleh membuatkan ikan terkejut dan membunuh mereka.

"Faktor yang memberi impak kepada ikan itu ialah perubahan suhu yang ketara," katanya.

Dalam laman-laman blog, perdebatan mengenai punca kematian haiwan tersebut juga semakin kerap diperbincangkan.

Kali ini ramai yang mengaitkan kematian haiwan-haiwan Arkansas itu ada kaitan dengan konspirasi chemical trail atau jejak kimia yang sering terjadi di negeri itu.

Menurut seorang pengikut teori konspirasi, Jeff Rense, jejak kimia dapat dilihat seperti jejak asap di udara. Ia kemudian akan melebar dan tetap kelihatan untuk tempoh beberapa jam.

Menurut beberapa pihak yang berfikiran sama dengan Jeff, mereka berpendapat jejak itu adalah bahan kimia yang sengaja disembur oleh kerajaan AS sebagai 'kawalan populasi'.

Ada juga berpendapat bahawa jejak itu adalah eksperimen pengendalian cuaca.

Bagaimanapun, teori itu meragukan kerana belum ada penemuan menyatakan semburan bahan konduktif elektrik yang menjadi sebahagian daripada program senjata super elektromagnetik boleh mengendalikan cuaca terutama pemanasan global.

Dalam sebuah buku terbitan badan pengkaji sains dan angkasa AS, mereka menafikan adanya jejak kimia tersebut sebaliknya menyatakan ia adalah wap air dan kristal ais yang membentuk jejak-jejak asap di udara.

Tidak kurang juga yang mengaitkan bunyi kuat daripada dentuman bunga api menyebabkan burung tertekan serta hilang kawalan navigasi sehingga mengakibatkannya melanggar bangunan dan pokok.

Namun, ahli akademik dan pengasas yayasan untuk Institut Kajian Gelagat Burung, Dan Cristol, menolak dakwaan tersebut.

"Pesta sambutan tahun baru dengan dentuman bunga api berlangsung setiap tahun dan mengapa kejadian sama tidak berlaku sebelum ini?

"Sukar untuk meletakkan punca ke atas bunga api melainkan seseorang telah meniup sesuatu ke dalam sarang burung sehingga menyebabkan haiwan tersebut terpelanting ke udara," jelas Dan.

Di sebalik pendirian sebahagian pakar yang mengaitkan cuaca tidak stabil sebagai punca, profesor Fizik dari New York, Michio Kaku berkata, kematian misteri tersebut kemungkinan besar terjadi akibat hentaman angin laju yang ganas yang menghentam kawanan burung berkenaan.

Walau apa pun teori yang dibahaskan, sehingga kini belum ada lagi pihak yang tampil dengan hasil ujian yang boleh membuktikan punca kematian dua spesies haiwan tersebut.

Kematian haiwan yang direkodkan di Arkansas bukan yang terburuk dalam fenomena misteri ini.

Malah, rentetan daripada apa yang berlaku di Arkansas, jumlah bangkai haiwan ditemui di beberapa kawasan di AS seperti Maryland, Texas, Kentucky, Louisiana serta Florida sangat mengejutkan.

- KOSMO!

Misteri huruf pada mata Mona Lisa

by

MILAN - Potret Mona Lisa yang dilukis oleh Leonardo da Vinci pada tahun 1504 menimbulkan satu lagi misteri apabila sekumpulan pakar sejarah dan penyiasat seni di Itali menemui nombor-nombor serta huruf kecil pada bahagian matanya, lapor sebuah akhbar semalam.

Nombor dan huruf kecil yang tersembunyi dalam cat hitam itu hanya disedari baru-baru ini menerusi penggunaan teknik pembesaran canggih mikroskop.

Mata Mona Lisa dikatakan mengandungi huruf L dan V, yang merupakan nama pendek Leonardo manakala simbol pada mata kirinya kurang jelas.

Ia juga mewakili kod Da Vinci yang sebenar.

Presiden Jawatankuasa Kebangsaan Itali mengenai Warisan Budaya, Silvano Vinceti yang menjumpai simbol tersebut menyatakan ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Namun, ia boleh dilihat dengan jelas apabila menggunakan kanta.

"Ia (simbol di mata kiri) mungkin kelihatan seperti huruf CE atau huruf B. Pada latarnya, tertulis nombor 72 yang mungkin juga bermaksud huruf L dan nombor 2. Harus ingat bahawa potret ini sudah berusia hampir 500 tahun. Berdasarkan kepada siasatan awal, kami yakin ia bukan satu kesilapan dan memang ditulis oleh artisnya," kata Vinceti.

- Agensi

Haiwan aneh ditemui di Kenya

by

Kamera yang dipasang di Hutan Boni-Dodori menunjukkan seekor haiwan aneh mencari makanan di Kenya.


NAIROBI - Sejenis mamalia ganjil dipercayai spesies baru tikus kasturi gajah berjaya dirakamkan di hutan Boni-Dodori, pedalaman timur laut Kenya baru-baru, lapor sebuah akhbar semalam.

Saintis-saintis percaya bahawa mamalia sebesar seekor kucing yang mempunyai belalai dan memakan serangga itu merupakan spesies baru tikus kasturi gajah.

Haiwan ganjil itu yang menyerupai kombinasi seekor tenggiling dan kancil pertama kali dirakamkan di Hutan Ndundulu, Tanzania pada 2005.

Namun, beberapa perangkap kamera dipasang di hutan Boni-Dodori selepas seorang ahli Persatuan Zoologi London (ZSL), Grace Wambui terserempak dengan makhluk aneh itu.

- Agensi

Teori makhluk asing - UFO

by

Perbahasan benar atau tidak kewujudan Objek Terbang Tidak Dikenali (UFO), makhluk asing dan segala misteri berkaitan kejadian itu yang sebelum ini di tahap suam-suam kuku kembali panas dengan pengakuan pakar fizik terkemuka dunia, Stephen Hawking, bahawa makhluk asing itu berkemungkinan wujud.

benar atau tidak kewujudan Objek Terbang Tidak Dikenali (UFO), makhluk asing dan segala misteri berkaitan kejadian itu yang sebelum ini di tahap suam-suam kuku kembali panas dengan pengakuan pakar fizik terkemuka dunia, Stephen Hawking, bahawa makhluk asing itu berkemungkinan wujud.
Mengiringi pengakuan yang mengejutkan itu ialah amaran Hawking supaya manusia seharusnya mengelak daripada kemungkinan bertembung dengan makhluk asing yang dikatakan menghuni planet lain di angkasa. Ini kerana, pertembungan sedemikian hanya mengundang padah. Malah, saintis yang menghabiskan sebahagian besar hidupnya berkerusi roda itu dan pakar matematik, turut menyamakan kesan pertembungan itu dengan apa yang berlaku apabila Christopher Columbus menjejakkan kaki di tanah Amerika Syarikat yang kehadirannya tidak menyenangkan penduduk pribumi.

“Jika makhluk asing melawat kita, hasilnya sama ketika Columbus mendarat di Amerika, yang tidak disenangi golongan pribumi. Kita perlu meneliti diri sendiri untuk melihat bagaimana kehidupan lebih pintar mungkin berkembang menjadi sesuatu yang kita tidak mahu temui.

“Makhluk asing maju seperti itu mungkin menjadi nomad, mencari jajahan dan takluk apa saja planet yang boleh mereka sampai,” kata Hawking kepada rangkaian Discovery Channel.

Temu bual itu bagi siri ‘Into the Universe with Stephen Hawking’ disiarkan Discovery Channel di Amerika Syarikat pada Ahad lalu.
Bagi mempertahankan dakwaannya itu, Hawking turut mengaitkannya dengan teori matematiknya.

“Mengikut teori itu, bilangan angka atau nombor saja sudah cukup menjadikan pemikiran mengenai makhluk asing itu sesuatu yang rasional. Namun, cabaran sebenar ialah apa sebenarnya makhluk asing itu,” katanya yang menyifatkan konsep kewujudan kehidupan asing di tempat lain di alam semesta ini boleh diterima.

Kenyataan Hawking itu, bagaimanapun mengundang reaksi berbeza dengan sebahagian saintis menyangkal pandangan itu secara terbuka, mengkritik ramalan pesimis itu mengenai pertembungan dengan makhluk asing. Sementara beberapa penyelidik lain berdiri teguh di belakangnya, malah memberikan ramalan hampir sama.

Pakar fizik Universiti Manchester, Britain, Profesor Brian Cox, yang menyifatkan bukti bahawa kemungkinan wujudnya hidupan di Planet Marikh semakin nyata.

“Kita cuma akan pasti apabila kapal angkasa baru dilancarkan ke bulan Zuhal dan Marikh dalam dekad akan datang,” katanya.

Hakikatnya, usaha menjejaki makhluk asing dan UFO ini dibuat sejak beberapa dekad lalu. Malah pelbagai cara dilakukan bagi menjejaki asal usul, bentuk, komunikasi dan tamadun yang mungkin wujud itu, termasuk menerusi gelombang radio. Banyak sudah rakaman dan cakera yang turut diletakkan di angkasa lepas selain teleskop radio yang menghantar pelbagai kod misteri.

Saintis organisasi seperti Search For Extra-Terrestrial Intelligence atau SETI, pula berharap hubungan dapat dimulakan dalam masa terdekat. Malah salah satu projek SETI pada 1977, mencatat kejayaan penyelidik Universiti Ohio, Dr Jerry R Ehman, mengesan isyarat 72 saat dalam bentuk kod himpunan angka dan abjad yang dikatakan berasal dari sumber makhluk asing.

Pengarah dokumentari dan filem kreatif, Jose Escamilla, yang menyertai barisan saksi UFO paling terkenal berikutan siri video yang dirakamkan daripada tahun 1994 hingga 1998, percaya tidak ramai makhluk asing yang suka bertindak ganas.

“Berdasarkan pengalaman sendiri merakamkan UFO di siang hari di Roswell, saya boleh nyatakan dengan jelas bahawa seperti juga banyak jenis manusia di kalangan kita, kemungkinan juga sudah ada banyak jenis makhluk asing di kalangan kita. Tiada alasan untuk berasakan yang kita belum dilawati atau mereka tidak membuat hubungan dengan kita. Seperti manusia juga, ada yang jahat, begitu juga dengan makhluk asing. Tiada bezanya,” kata Escamilla.

Namun, pakar fizik juga mahir dalam soal UFO, Dr Steven Greer, mempertikaikan kenyataan Hawking yang dianggapnya menambah kebimbangan dan takut terhadap apa yang digelar makhluk asing.

“Sebagai saintis, dia sepatutnya lebih tahu. Jika makhluk asing berniat jahat, ia sudah jelas sejak kita meletupkan bom atom pertama pada tahun 1945 tetapi sehingga hari ini, bumi belum pernah diceroboh, diserang atau dijajah,” katanya.

Persoalannya, apakah ada rasional di sebalik pandangan negatif Hawking bahawa makhluk asing ini memberi ancaman dan lebih maju daripada peradaban manusia hari ini?

Pengurus laman web Cosmic Conspiracies, Dave Cosnette, yang melabelkan laman itu sebagai Pangkalan Data UFO Terbesar Eropah, mendakwa ia mencatatkan penemuan dan analisis perspektif kepada bukti pertembungan makhluk asing di seluruh dunia.

“Saya sependapat Hawking bahawa makhluk asing mungkin spesis yang memberi ancaman dan mungkin lebih maju daripada kita. Malah dalam banyak keadaan, manusia yang berhubungan dengan makhluk asing dicederakan. Saya teringat satu kes di Brazil yang mana seorang mangsa dibunuh dengan kejam, kulitnya dilapah dan beberapa bahagian tubuhnya dikeluarkan menggunakan laser,” katanya.

Cosnette juga berpendapat, kepelbagaian kehidupan makhluk asing mungkin sudah cukup untuk mereka mewujudkan pelbagai jenis personaliti.

“Dalam kajian setakat ini, saya menyiasat lebih 60 spesis makhluk asing berbeza. Ia cuma sedikit dan sukar dibayangkan kebanyakannya lebih sukakan permusuhan di bumi,” katanya.

Sejarawan di Universiti Temple, David M Jacobs, yang dikenali sebagai pakar UFO paling unggul di dunia turut bersetuju sepenuhnya dengan Hawking.

“Berhubung dengan makhluk asing tidak digalakkan dan perlu dielakkan sama sekali. Semua yang saya lihat sepanjang karier saya membuatkan saya berani merumuskan pertembungan manusia dengan makhluk asing boleh membawa bencana kepada kita semua,” katanya.

Jacobs berkata, penilaian negatif mengenai hubungan manusia dan makhluk asing berdasarkan penyelidikannya mengenai beratus-ratus kisah penculikan.

“Saya sebenarnya berterima kasih kerana Hawkings mengembalikan semula minat dan perhatian kepada subjek itu dan tiada apa yang boleh kita lakukan untuk mengelakkan pertembungan dengan makhluk asing selagi komuniti saintifik berasakan ia mengarut,” katanya.

'Roswell bukti kewujudan'

Berbicara mengenai kisah makhluk asing dan UFO, tidak sah rasanya tanpa mengaitkan kejadian di Roswell, New Mexico, pada Julai 1947. Kemalangan membabitkan sebuah UFO tetapi tidak ramai mengetahui maklumat terperinci mengenainya biarpun ia menjadi bukti kukuh kepada pemburu UFO untuk meyakinkan dunia makhluk asing memang wujud.

Dalam kejadian itu, W W Brazel, keluar awal untuk memeriksa ternakannya selepas semalaman dilanda ribut petir. Dia menemui banyak serpihan luar biasa berselerak di ladangnya. Brazel mengambil sebahagian serpihan itu, menunjukkan ia kepada rakan-rakan dan jirannya. Seterusnya dia menghubungi pegawai polis George Wilcox.

Mengesyaki serpihan yang ditemui Brazel mungkin mempunyai kaitan dengan operasi polis, Wilcox memberitahu pihak berkuasa di Lapangan Terbang Tentera Roswell untuk mendapatkan bantuan.

Pada 8 Julai, akhbar Roswell Daily Record menyiarkan berita mengenai bangkai UFO yang ditemui di sebuah ladang di kawasan berkenaan. Apabila ditanya, Mejar Jesse Marcel, yang terbabit dalam penemuan itu memberitahu bangkai itu sudah dipindahkan dari New Mexico ke ibu pejabat.

Komander ke-59 Unit Bom, Kolonel William Blanchard, membuat kenyataan akhbar menyatakan bangkai UFO yang terhempas itu sudah ditemui. Sementara itu, Pusat Pengebumian Ballard mempunyai kontrak menyediakan ambulans dan khidmat pengebumian untuk tentera di Roswell. Glenn Dennis, yang bekerja dengan pusat itu, menerima beberapa panggilan telefon daripada pegawainya sejurus sebelum mengetahui berita penemuan bangkai pesawat.

Dennis ditanya mengenai keranda kecil dan cadangannya untuk mengawet mayat yang sudah terdedah selama beberapa hari. Semua itu menimbulkan tanda tanya kepada Dennis yang kemudian melawat hospital dan diiringi memasuki bangunan itu. Persoalan itu mendorongnya mengatur pertemuan dengan seorang jururawat yang ada ketika bedah siasat diadakan ke atas beberapa ‘mayat bukan manusia.’

Dennis turut menyimpan lakaran makhluk asing dilukis jururawat berkenaan di atas kain pengalas ketika pertemuan mereka. Pertemuan itu adalah yang terakhir bagi kedua-duanya dan Dennis untuk mengetahui lebih banyak maklumat mengenai mayat makhluk asing itu manakala jururawat berkenaan dipindahkan segera ke England dalam masa beberapa hari.

Pada 9 Julai, Roswell Daily Record melaporkan bangkai pesawat itu ditemui di Ladang J B Foster. Beberapa hari berikutnya, semua bukti kemalangan itu dipindahkan segera atau tiba-tiba hilang dari muka bumi yang mencetuskan curiga bahawa ia rahsia kerajaan yang berusaha menyembunyikannya. Beberapa tahun selepas itu, buku, temubual dan artikel daripada beberapa kakitangan tentera, yang terbabit dalam insiden berkenaan, cuma menambah kecurigaan mengenai usaha kerajaan itu.

Pada tahun 1979, Jesse Marcel yang ditemubual mengenai peranannya dalam pencarian bangkai pesawat, berkata: “Bangkai (UFO) itu tidak terbakar. Ia diperbuat daripada bahan yang ringan, amat nipis dan tidak boleh bengkok. Kami cuba membengkokkan ia dengan penukul tetapi gagal.”

INFO: UFO dan makhluk asing

# Objek terbang yang tidak dikenali berlaku hampir di seluruh dunia. Saksi yang melihatnya mengenal pasti objek itu berupa piring terbang dan kapal angkasa dengan pelbagai reka bentuk, malah ada yang mendakwa terserempak dengan makhluk asing.

# Ada pihak berpendapat sebahagian besar kejadian UFO adalah satu imaginasi seperti diakui pakar Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) yang menghentikan penyelidikan pada 1993 kerana menganggap 90 peratus kejadian UFO tidak benar.

# Pada 2008, NASA memainkan lagu Beatles, ‘Across the Universe’ ke ruang angkasa lepas bagi menghantar mesej damai kepada mana-mana makhluk asing yang berada di wilayah Polaris, juga dikenali sebagai North Star.

# Amerika mendapati Pioneer 10 dan 11 yang dilancarkan pada 1972 dan 1973 membawa plak seorang lelaki berbogel dan wanita serta simbol mengenai kedudukan bumi dan matahari.

- BERITA MINGGU

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90