Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Najib. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Najib. Papar semua catatan

Najib ke penjara

by

 


Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Beliau berkata sabitan itu selamat bagi semua tujuh pertuduhan dan hukuman dikenakan tidak keterlaluan.

"Rayuan ini dengan sebulat suara ditolak dan sabitan dan hukuman dikekalkan.

"Saya dengan ini mengumumkan waran komital (perintah menjalani hukuman penjara) ," kata Tengku Maimun memerintahkan prosiding tamat.

Dengan keputusan di akhir prosiding itu, Najib akan mula menjalani hukuman penjaranya berkuat kuasa hari ini.

Tengku Maimun berkata, mahkamah tidak mendapati sebarang kesalahan dalam penghakiman yang dibuat Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Mohd Nazlan yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Ahli Parlimen Pekan itu bagi setiap tiga pertuduhan penyelewengan masing-masing RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta daripada dana SRC.

Pembelaan perayu tidak konsisten

Tengku Maimun berkata, Mohd Nazlan membuat keputusan yang betul apabila mendapati pembelaan Najib gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.

Ketika membacakan penghakiman setebal 15 muka surat dalam masa 34 minit, Tengku Maimun berkata, panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan mendapati Mohd Nazlan sudah melakukan analisis yang mendalam terhadap bukti dikemukakan pihak pendakwaan.

"Oleh itu, kami tidak boleh menyimpulkan bahawa mana-mana dapatan Mahkamah Tinggi, seperti yang dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan adalah songsang atau jelas salah sehingga memerlukan campur tangan rayuan.

"Kami bersetuju pembelaan perayu sememangnya tidak konsisten sehingga tidak menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

"Dalam keadaan ini dan selepas meneliti bukti, penghujahan dan rekod rayuan yang lain, kami mendapati aduan perayu seperti terkandung dalam petisyen rayuan ini tiada sebarang merit," katanya.

Beliau berkata, kes pembelaan adalah Najib tidak pernah benar-benar mempertikaikan mengenai kemasukan dana SRC International berjumlah RM42 juta seperti dipertuduhkan ke atasnya, dalam akaun bank peribadinya ketika kes itu dibicarakan.

Sebaliknya, beliau berkata, bekas perdana menteri itu hanya mencabar elemen mens rea (niat jahat) bagi semua tujuh kesalahan dikenakan ke atasnya iaitu menafikan mengetahui dana itu daripada SRC.

Katanya, responden (pendakwaan) mengekalkan pendirian bahawa pembelaan tidak layak untuk dipercayai oleh mahkamah.

"Ia kerana pihak pembelaan mengekalkan RM42 juta yang dikatakan diperoleh secara salah oleh perayu yang menyebabkan kerugian salah kepada SRC bukan dalam pengetahuannya.

"Pada masa sama perayu menegaskan beliau diperangkap dalam satu konspirasi dirancang ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low); bekas Ketua Setiausaha Sulit, Allahyarham Datuk Azlin Alias dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil serta pegawai bank.

KRONOLOGI KES

3 Julai 2018 - Najib ditahan Pasukan Petugas Khas 1MDB, di kediamannya di Jalan Langgak Duta, sekitar jam 3 petang dan dibawa ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

4 Julai 2018 - Didakwa di Mahkamah Sesyen dengan tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan menyalahgunakan kuasa dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd

8 Ogos 2018 - Didakwa di Mahkamah Sesyen dengan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dan dari dana sama

10 Ogos 2018 - Mahkamah Tinggi menetapkan 33 hari bermula 12 Februari 2019 bagi perbicaraan

13 Disember 2018 - Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk mendapatkan perintah larangan supaya media dan orang awam tidak membicarakan mengenai merit kesnya

11 Februari 2019 - Mahkamah Rayuan membenarkan Najib untuk menangguhkan perbicaraan

21 Mac 2019 - Mahkamah Rayuan menolak tiga daripada empat rayuan interlokutori Najib, benarkan permohonan tangguhkan bicara

27 Mac 2019 - Mahkamah Persekutuan mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Najib menangguhkan perbicaraan

28 Mac 2019 - Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan pada 3 April

3 April 2019 - Perbicaraan bermula selama 58 hari

11 November 2019 - Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib membela diri terhadap semua tuduhan

3 Disember 2019 - Najib membela diri dan 18 saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan, prosiding selama 33 hari

11 Mac 2020 - Pembelaan menutup kes

1 Jun 2020 - Hujahan di akhir kes pembelaan selama 5 hari

5 Jun 2020 - Mahkamah Tinggi menetapkan 28 Julai bagi keputusan

28 Julai 2020 - Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun dan didenda RM210 juta.

19 Oktober 2020 - Najib memfailkan petisyen rayuan mengandungi 307 alasan mengapa beliau sepatutnya dibebaskan daripada tuduhan berkenaan

5 April 2021 - Rayuan Najib mula didengar di Mahkamah Rayuan

18 Mei 2021 - Rayuan Najib selesai didengar di Mahkamah Rayuan selama 15 hari

23 November 2021 - Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Disember 2021 bagi keputusan

24 November 2021 - Najib mohon melapangkan tarikh keputusan kerana perlu menjalani kuarantin COVID-19, bagaimanapun ditolak Mahkamah Rayuan

2 Disember 2021 - Najib memfailkan permohonan saat akhir di Mahkamah Rayuan untuk dibenarkan memasukkan bukti baharu dalam rayuan

3 Disember 2021 - Mahkamah Rayuan menetapkan 7 Disember bagi mendengar permohonan memasukkan bukti baharu

7 Disember 2021 - Mahkamah Rayuan tolak permohonan Najib untuk menangguhkan keputusan rayuan atas alasan beliau dan peguam kontak rapat dan tolak permohonan memasukkan bukti baharu berhubung pembabitan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar yang didakwa bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low

8 Disember 2021 - Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan Najib

25 Januari 2022 - Najib melalui peguamnya menulis surat kepada Setiausaha Ketua Hakim Negara memohon dibenarkan untuk diwakili seorang QC iaitu peguam kanan paling senior dan berpengalaman dari United Kingdom

29 April 2022 - Mahkamah Persekutuan menetapkan selama 10 hari bermula 15 Ogos untuk mendengar rayuan akhir Najib

21 Julai 2022 - Mahkamah Tinggi menolak permohonan Queen's Counsel (QC), Jonathan Laidlaw untuk mewakili Najib dalam rayuan akhir

25 Julai 2022 - Najib memberhentikan khidmat peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan peguam lain serta melantik barisan peguam baharu diketuai Hisyam Teh Poh Teik, Liew Teck Huat dan M Rueben

29 Julai 2022 - Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Najib untuk menangguhkan rayuan akhir

Sumber : Reuters & Berita Harian

Muhyiddin Yassin digantung jawatan Timbalan Presiden UMNO

by


Tan Sri Muhyiddin Yassin digantung daripada memegang jawatan Timbalan Presiden Umno berkuatkuasa serta-merta.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan perkara itu selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) di sini, petang Jumaat.

“Keputusan telah dibuat pada 26 Februari bahawa MT telah bersetuju sebulat suara untuk menggantung jawatan yang disandang Tan Sri Muhyiddin berkuatkuasa serta-merta.

“Tempoh penggantungan adalah sehingga pemilihan MT Umno yang akan datang dan jawatan-jawatan lain yang disandang masih dikekalkan,” katanya ketika membaca kenyataan media selepas mesyuarat tersebut.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang bertindak sebagai ‘pengerusi sementara’ selepas Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak dan Naib Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengambil sikap berkecuali dalam isu itu.

Keputusan sebulat suara Majlis Tertinggi Umno itu juga menyaksikan Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menjalankan tugas timbalan presiden parti.

Tengku Adnan berkata, usul tersebut telah dibincangkan secara konsensus dan keputusan dibuat secara bersama.

Ditanya siapa yang telah bertindak mengemukakan usul tersebut, beliau menjawab ia konsensus.

Tengku Adnan yang juga dikenali sebagai Ku Nan berkata, keputusan itu dibuat selepas setiap ahli MT diberi ruang dan peluang untuk mengemukakan pandangan dalam perbincangan usul yang berlangsung selama lebih dua jam.

Katanya, mengikut Fasal 9.8.2.1 Perlembagaan parti, tugas seorang timbalan presiden adalah membantu presiden.

“Tapi dalam kes Muhyiddin beliau dilihat tidak menjalankan kewajipan seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.

“MT memandang serius mana-mana pemegang jawatan utama Umno yang tidak mendokong dasar dan aspirasi parti,” katanya.

Beliau menambah, adalah tidak wajar jika Muhyiddin dianggap tidak diberikan hak untuk membela diri kerana beliau telah dimaklumkan tentang mesyuarat ini.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dimaklumkan tentang mesyuarat ini namun beliau memaklumkan melalui faks bahawa beliau tidak dapat hadir ke mesyuarat ini, begitu juga dengan Datuk Seri Shafie Apdal.

“Tindakan ketidakhadiran Muhyiddin tidaklah boleh dianggap sebagai tidak diberi hak untuk membela diri,” katanya.

Tambah beliau lagi, segala keputusan yang dibuat MT adalah berdasarkan peruntukan Perlembagaan dan mengambil kira suasana politik semasa.

“Perilaku Tan Sri Muhyiddin tidak mencerminkan tanggungjawab beliau sebagai timbalan presiden untuk membantu presiden mengukuhkan parti,” katanya.

Selain Hishammuddin, hadir sama di sidang media itu adalah Bendahari Umno Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Ketua Penerangan Tan Sri Annuar Musa, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Puteri Mas Ermieyati Samsudin.

Muhyiddin yang tidak hadir kerana berada di luar negara menjadi perhatian pada mesyuarat kali ini selepas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menggesa supaya beliau digantung sebagai timbalan presiden.

Ia susulan tindakan Muhyiddin yang terus mengkritik Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak dan ucapannya pada Sabtu di Teluk Kemang, Negeri Sembilan di mana Muhyiddin mempertikaikan keputusan peguam negara tidak mengambil tindakan terhadap Najib berhubung isu dana politik RM2.6 bilion.

- mSTAR



PRU-13: Najib Lancar Manifesto Aku Janji Barisan Nasional

by

Berikut intipati Manifesto Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan Perdana Menteri dan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak di Stadium Putra Bukit Jalil di Kuala Lumpur, malam Sabtu.

Manifesto bertajuk 'Menepati Janji Membawa Harapan' itu, mengandungi janjiBN untuk membawa negara ke peringkat lebih tinggi sekiranya diberikan mandat baharu dalam pilihan raya umum ke-13 nanti:

1. Menangani Kos Sara Hidup:

* Menambah BR1M sehingga RM1,200 untuk isi rumah dan RM600 untuk bujang dengan bantuan secara tahunan dikekalkan.

* Mempertingkatkan Baucar Buku 1Malaysia kepada RM300 dan Bantuan Persekolahan kepada RM150.

* Menyemak semula Dasar Automotif Nasional bagi mengurangkan harga kereta secara berperingkat antara 20 hingga 30 peratus serta meningkatkan daya saing kereta nasional.

* Menambah bilangan Kedai Rakyat 1Malaysia.

* Memperkenalkan produk 1Malaysia di stesen minyak dan pasar raya besar.

* Membuka Klinik 1Malaysia di dalam kawasan komuniti padat penduduk.

* Menyediakan lebih banyak Pusat Jagaan Harian 1Malaysia untuk ibubapa bekerja.

* Menurunkan yuran jalur lebar sekurang-kurangnya 20 peratus dengan jaminan bandwidth internet.

* Melaksanakan dasar 1Negara 1Harga bagi barangan keperluan asas.

* Memperkenalkan lebih banyak produk 1Malaysia yang digerakkan oleh GLC dan sektor swasta.

2. Meningkatkan Kehidupan Warga Bandar:

* Menstruktur semula kerajaan termasuk mewujudkan kementerian baharu seiring dengan anjakan corak demografi bandar di negara ini dan menangani cabaran sosial dan ekonomi bandar.

* Menambah perwakilan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat awam dalam kerajaan tempatan.

* Memulihkan semula rumah kos rendah dan flat di bandar-bandar.

* Mengambil alih penyelenggaraan prasarana perumahan awam.

* Menyediakan perumahan awam berkualiti khusus untuk generasi muda yang mencari kerja.

* Membina kemudahan dan kawasan rekreasi bagi meningkatkan kualiti hidup di bandar.

* Memastikan kemudahan pendidikan, latihan dan perkhidmatan kesihatan.

* Menambah baik rangkaian pengangkutan antara bandar dan penempatan.

* Membuka lebih banyak Anjung Singgah (pusat perlindungan sementara untuk golongan gelandangan) di kawasan yang diperlukan.

3. Menyediakan Rumah Mampu Milik:

* Membina 1,000,000 buah rumah mampu milik - digerakkan oleh sektor awam dan swasta - termasuk 500,000 buah rumah PR1MA.

* Memastikan harga rumah PR1MA sekurang-kurangnya 20 peratus di bawah harga pasaran.

* Memperkenalkan skim sewa dan milik untuk projek perumahan kerajaan.

* Memulihkan semula projek perumahan terbengkalai untuk melindungi pembeli rumah.

* Mengambil alih penyelenggaraan semua Projek Perumahan Awam.

* Membantu pemilik rumah berpendapatan rendah dan miskin untuk memperbaiki rumah mereka.

* Menggantikan kawasan setinggan dengan kawasan perumahan tetap yang selesa.

* Memperbaiki perumahan estet dan menyediakan rumah untuk bekas pekerja estet melalui perkongsian kerajaan-estet.

* Memansuhkan yuran setem untuk pembelian rumah pertama berharga di bawah RM400,000.

4. Peluang Mendapat Perkhidmatan Kesihatan Berkualiti:

* Membangunkan sistem nasional yang akan menyediakan akses penjagaan kesihatan yang berkualiti kepada semua rakyat.

* Menubuhkan Pusat Kanser dan Pusat Jantung di hospital-hospital utama di setiap zon - Utara, Selatan, Timur di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

* Mewujudkan kemudahan awam untuk rawatan dialisis buah pinggang di setiap kawasan penduduk berkepadatan tinggi.

* Melaksanakan sistem kad prihatin kepada rakyat Malaysia yang memerlukan bagi membolehkan mereka mendapat diskaun harga untuk ubat-ubatan tertentu.

* Memperkenalkan sistem sokongan kepada rumah penjagaan untuk golongan warga tua dan mereka yang menghidap sakit kronik.

5. Ke Arah Kecekapan Terhebat Pengangkutan Awam:

* Mengembangkan perkhidmatan sistem bas Rapid ke setiap ibu negeri yang lengkap dengan kemudahan untuk golongan berumur dan kurang upaya.

* Terus memperluaskan sistem rel, MRT, LRT dan komuter.

* Membina terminal bas, rel, dan teksi bersepadu di semua pekan dan bandar.

* Menyusun semula laluan bas untuk memastikan perkhidmatan yang lebih cekap dan memudahkan rakyat.

* Meningkatkan jumlah permit teksi individu.

* Melaksanakan rangkaian rel berkelajuan tinggi dan memperluaskan sistem landasan kereta api berkembar.

6. Pembangunan Infrastruktur Bertaraf Dunia dan Transformasi Luar Bandar:

* Memperbanyakkan lorong dan susur keluar Lebuh Raya Utara-Selatan.

* Membina 2,300km Lebuh Raya Pan Borneo bermula dari Semantan di Sarawak hingga ke Serudong di Sabah.

* Menyambung Lebuh Raya Pantai Timur dari Kuala Krai-Kota Bharu dan Gambang-Segamat.

* Membina Lebuh Raya Pantai Barat baharu dari Banting-Taiping.

* Mengurangkan bayaran tol antara bandar secara berperingkat.

* Melaksanakan konsep Kampung Abad ke-21 bagi melonjak transformasi luar bandar dan membawa komuniti berkenaan ke dalam pembangunan arus perdana.

* Membina 6,300km lagi jalan raya berturap di Semenanjung Malaysia, 2,500km di Sabah dan 2,800km di Sarawak yang memberi faedah kepada kira-kira 3.3 juta penduduk.

* Menyelesaikan masalah bekalan air terawat di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Kelantan.

* Memperluaskan bekalan air bersih untuk 320,000 rumah lagi di seluruh negara.

* Mempertingkatkan bekalan tenaga elektrik kepada 6,000 rumah lagi di Semenanjung, 60,000 rumah di Sabah dan 80,000 rumah di Sarawak.

* Menggalakkan pembekal perkhidmatan telekomunikasi untuk memastikan kualiti perkhidmatan telefon bergerak dan liputan memuaskan di seluruh negara.

7. Membina Ekonomi Mapan, Dinamik dan Inovatif:

* Menarik pelaburan bernilai RM1.3 trilion dan mencipta 3.3 juta peluang kerja baharu dengan 2 juta daripadanya dalam sektor berpendapatan tinggi.

* Mencapai pendapatan per kapita AS$15,000 (RM45,000) menjelang 2020.

* Menyediakan insentif khas untuk perniagaan inovatif dan kreatif bagi menjana lebih banyak pekerjaan dan kejayaan.

* Melaksanakan dasar yang adil dan saksama kepada semua kaum di Malaysia termasuk dasar menyokong pertumbuhan, penglibatan besar-besaran sektor swasta dan pembangunan pasaran modal.

* Mempertingkatkan agenda Bumiputera termasuk Bumiputera di Sabah dan Sarawak menerusi penyediaan peluang-peluang perniagaan, ekosistem yang kukuh (misalnya kemudahan pinjaman dan latihan) dan sokongan institusi.

* Bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi menyediakan lebih banyak tanah dan meningkatkan produktiviti tanah sedia ada untuk meningkatkan pengeluaran makanan dan ternakan.

* Membuat pembaharuan dalam struktur cukai sedia ada ke arah sistem percukaian yang lebih terbuka serta mengurangkan cukai individu dan korporat secara berperingkat.

* Meneruskan bayaran tunai khas dan pemberian dana untuk perbelanjaan operasi dan pembangunan sehingga melebihi 20 peratus daripada perolehan minyak dan gas kepada Sabah, Sarawak, Terengganu, Kelantan dan Pahang.

* Melaksanakan pelan transformasi SME dan melahirkan Syarikat Dagangan Negara untuk meneroka pasaran antarabangsa bagi produk SME.

* Melahirkan lebih banyak juara di peringkat serantau dan global dalam kalangan masyarakat Malaysia.

* Memastikan GLC terus membantu pembangunan usahawan melalui pemindahan pegangan bukan strategik GLC dan memperhebatkan program penyumberan luar kepada syarikat Bumiputera.

* Menyediakan dana saham amanah RM500 juta untuk meningkatkan pegangan ekuiti komuniti India kepada sekurang-kurangnya 3 peratus.

* Menubuhkan sebuah Unit Khas bagi memastikan kejayaan pelaksanaan dasar untuk mempertingkatkan kehidupan masyarakat India.

* Meningkatkan akses kredit mikro untuk semua rakyat Malaysia, termasuk RM100 juta diperuntukkan kepada penjaja dan peniaga kecil.

8. Membina Kecemerlangan Pendidikan Negara:

* Membawa Malaysia ke tahap 'kategori tiga teratas' dalam sistem pendidikan terbaik dunia dengan memperbaiki kualiti sekolah kebangsaan.

* Memperbaiki penguasaan Bahasa Malaysia dan Inggeris dalam kalangan pelajar dari tahap prasekolah, dan menjadikan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus di peringkat SPM di semua sekolah.

* Memperbaiki akses untuk pendidikan berkualiti bagi komuniti kecil dan kawasan luar bandar terutama Sabah dan Sarawak.

* Menyediakan lebih banyak biasiswa berdasarkan merit dengan peruntukan khas kepada komuniti yang kurang bernasib baik.

* Meneruskan peruntukan khas kepada semua jenis sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Maktab Rendah Sains MARA, Sekolah Berasrama Penuh dan sekolah mubaligh.

* Mengembangkan persekolahan satu sesi.

* Merombak institut-institut perguruan dan menaikkan syarat pengambilan guru pelatih.

* Memperkenalkan sistem pembelajaran dan pengajaran yang mudah bagi Bahasa Malaysia di sekolah Cina dan Tamil.

* Membina lebih banyak sekolah, meliputi semua jenis sekolah, di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi.

* Mempertingkatkan prestasi mata pelajaran Matematik dan Sains, dan membentuk kemahiran berfikir yang tinggi dalam kalangan pelajar.

* Menyediakan insentif kewangan sebanyak RM100,000 setahun kepada sekolah yang menawarkan kelas pendidikan khas.

* Menukar status Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil kepada sekolah bantuan penuh kerajaan jika sekolah berkenaan ingin berbuat demikian.

* Berikirar menyediakan makmal ICT di sekolah-sekolah yang memerlukannya.

* Mentransformasikan sekolah vokasional menjadi kolej dan menambah kemasukan pelajar sebanyak 20 peratus.

* Memperluaskan pendidikan prasekolah meliputi semua jenis sekolah.

* Menyediakan laluan kerjaya baru bagi membolehkan 420,000 guru dinaikkan pangkat segera berdasarkan prestasi.

* Menyediakan jalur lebar WiFi secara percuma dan terjamin di semua kampus institusi pengajian tinggi awam.

* Memperkenalkan skim pemilikan komputer riba di sekolah-sekolah bersama dengan kemudahan Internet.

9. Meningkatkan Keselamatan Dan Ketenteraman Awam:

* Meningkatkan jumlah tenaga kerja PDRM, dengan tambahan 4,000 anggota polis pada setiap tahun.

* Memasang lampu di jalan-jalan, lorong-lorong dan laluan bagi mengurangkan lagi jenayah jalanan.

* Mengukuhkan Unit Rondaan Bermotosikal PDRM dengan menambah 5,000 buah kenderaan tambahan.

* Menambah baik kebajikan, profesionalisme dan keupayaan Polis, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

* Meningkatkan keupayaan keseluruhan Angkatan Tentera Malaysia untuk menangani apa jua bentuk pencerobohan dan ancaman luar.

* Mempertahankan dan memperkuatkan Suruhanjaya Polis.

* Menggunakan sistem 6P untuk mengekang pendatang asing tanpa izin.

* Mewujudkan Program SafeCam untuk menghubungkan sistem CCTV swasta dengan awam.

* Mengembangkan secara meluas penggunaan CCTV untuk memantau kawasan-kawasan laluan awam yang sibuk seperti kawasan letak kereta, kawasan riadah, pasar malam dan sekolah.

* Memperkenalkan inisiatif keselamatan di kawasan skim perumahan awam.

* Pengambilan tambahan 50,000 anggota Pasukan Sukarelawan Simpanan Polis untuk membantu PDRM membuat rondaan dan menjadikan kawasan persekitaran lebih selamat.

10. Memperkasa Penyertaan Wanita

* Menambah jumlah wanita yang terlibat dalam proses membuat keputusan nasional.

* Menggalakkan kesamaan gender untuk memaksimumkan potensi rakyat Malaysia dalam semua bidang, tanpa mengira jantina.

* Menyediakan lebih banyak peluang bisnes dan ruang bagi menambah pendapatan untuk wanita supaya mereka lebih berkeupayaan untuk berdikari.

* Mewujudkan lebih banyak insentif untuk inisiatif bekerja dari rumah, dengan penekanan yang lebih besar kepada golongan ibu tunggal.

* Membuka pusat-pusat Asuhan 1Malaysia di semua pejabat Kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta menggalakkan sektor swasta untuk melakukan perkara yang sama.

* Mengetatkan undang-undang untuk mencegah kejadian penderaan dan gangguan seksual di rumah dan di tempat kerja.

11. Memenuhi Aspirasi Belia:

* Memperuntukkan tabung latihan dan insentif kepada belia yang mahu melakukan usaha niaga komersial.

* Menyediakan ruang komersial di dalam pusat membeli belah selama sehari pada setiap bulan untuk golongan belia mempamerkan dan memasarkan produk kreatif dan perkhidmatan mereka.

* Mewujudkan inkubator bagi memupuk kualiti kepimpinan dan kreativiti.

* Melahirkan belia yang lebih berdaya tahan menerusi aktiviti kesukarelawan dalam 1M4U.

* Mewujudkan lebih banyak lokasi WIFI percuma dengan penekanan kepada kawasan luar bandar dan separa bandar.

* Melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi di peringkat serantau dan antarabangsa serta mempromosikan gaya hidup yang lebih sihat.

* Mengkaji semula undang-undang berkaitan hiburan untuk promosi seni persembahan dan kebudayaan.

12. Merancang Jaringan Keselamatan Sosial:

* Memperhalusi dan menambah baik jaringan bantuan keselamatan menerusi sistem pangkalan data yang bersepadu.

* Menyediakan bantuan kewangan dan peluang pendidikan untuk golongan berpendapatan rendah tanpa mengira kaum.

* Mengubah Brickfields di Kuala Lumpur menjadi zon mesra golongan orang buta supaya kawasan itu menjadi zon contoh yang bakal mendorong lebih banyak tempat seumpama itu disediakan bagi memenuhi keperluan golongan kurang upaya di tempat-tempat lain.

* Mewujudkan mahkamah khas yang mempunyai status yang sama dengan Mahkamah Tinggi di bawah sistem kehakiman sedia ada, yang mana hakim-hakim akan dibantu oleh penasihat-penasihat yang dipilih dalam kalangan ketua komuniti untuk menyelesaikan isu-isu tanah pribumi.

* Mewartakan semua tanah adat menerusi perundingan bersama kerajaan-kerajaan negeri.

* Menyediakan lebih banyak peluang untuk menjana pendapatan dalam kalangan komuniti pribumi dan meningkatkan bilangan pengambilan pribumi ke dalam pendidikan vokasional, kolej dan universiti.

* Menyediakan tabung untuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan berdaftar dan gerakan masyarakat sivil.

13. Mempromosikan Agama Islam, Kebebasan dan Keharmonian Agama:

* Mendukung Islam sebagai agama Persekutuan serta mempromosikan syiar dan syariat Islam mengikut prinisp Maqasid Syariah.

* Memastikan agama-agama lain diamalkan dalam suasana aman dan harmoni.

* Isu-isu berkaitan dengan golongan bukan Islam diletakkan di bawah bidang kuasa seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

* Mempromosikan prinsip kesederhanaan (wasatiyyah) dalam semua pendekatan.

* Meningkatkan inisiatif dalam menyatukan ummah.

* Menjana pendapatan daripada pembangunan tanah wakaf dengan kerjasama Pihak Berkuasa Agama Negeri-negeri.

* Menaikkan pengecualian cukai untuk sumbangan ke atas pembinaan, membesarkan dan memulihara rumah-rumah ibadat.

* Meneruskan peruntukan tanah untuk pembinaan rumah ibadat.

* Menyediakan lebih banyak bantuan kewangan kepada institusi-institusi agama berdaftar dan rumah-rumah ibadat.

* Mempromosikan kebajikan imam, pegawai masjid dan guru Kafa dengan menyediakan gaji berasakaan perkhidmatan dan kenaikan gaji.

* Meningkatkan kualiti Sekolah Agama Rakyat dan membenarkan para pelajarnya mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan infrastruktur pendidikan kerajaan.

* Menyediakan bantuan kewangan kepada Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Pondok.

14. Memerangi Gejala Rasuah:

* Meningkatkan ketelusan dalam prosedur perolehan kerajaan dengan mendedahkan kontrak kepada awam.

* Memberi kuasa kepada SPRM menerusi penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM yang akan bertanggungjawab terhadap perkhidmatan dan pengambilan kakitangan.

* Menaik taraf kedudukan Ketua Pesuruhjaya dan pegawai kanan SPRM ke satu peringkat yang lebih tinggi.

* Memberikan penekanan yang sama rata terhadap siasatan dan tindakan yang dilakukan ke atas pemberi dan penerima rasuah.

* Akses yang cepat kepada Laporan Audit Prestasi Ketua Audit Negara untuk tindakan segera.

* Menubuhkan Mahkamah Sesyen Khas Rasuah dan Mahkamah Tinggi tambahan untuk kes-kes rasuah.

* Melaksanakan akujanji integriti untuk ahli-ahli Parlimen dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri .

15. Memperkukuhkan Perkhidmatan Awam, Menambah Baik Tadbir Urus:

* Memperkenalkan Skim Gaji Transformatif untuk penjawat awam, termasuk menyemak semula elaun dan menyediakan pergerakan gaji khas sebanyak tiga peratus kepada mereka yang mencapai gaji maksimum jika pada waktu tiada semakan gaji dilakukan.

* Penambahbaikan skim perkhidmatan awam dengan menyediakan lebih banyak peluang kenalkan pangkat dan pembangunan bakat serta memastikan kualiti kehidupan penjawat awam terpelihara.

* Melanjutkan tempoh kontrak para pegawai dan menyerap kakitangan yang cekap ke dalam perkhidmatan tetap.

* Memperluaskan Pusat Transformasi Bandar ke semua bandar dan pekan utama.

* 'Merakyatkan Perkhidmatan Awam' bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang cemerlang.

* Menggerakkan dan memperkasa perkhidmatan awam, termasuk Pejabat-pejabat Daerah dan Kerajaan Tempatan, bagi memenuhi permintaan dan keprihatinan rakyat.

* Menambah baik kaunter perkhidmatan menerusi pelantikan anggota-anggota barisan depan daripada pelbagai kaum dan memperluaskan perkhidmatan online untuk urusan pembayaran dan permohonan.

* Memperkenalkan program-program pengambilan pekerja untuk memastikan keseimbangan antara kaum dalam perkhidmatan awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

* Meningkatkan potensi, kemampuan dan kapasiti semua penjawat awam tanpa mengira kaum dan jantina.

* Memberikan perhatian yang istimewa kepada orang kurang upaya untuk memanfaatkan potensi dan kemampuan yang mereka miliki.

16. Gerakan Kesederhanaan Global:

* Berjuang untuk penubuhan sebuah negara Palestin.

* Menyokong usaha menjadikan Asean sebuah komuniti ekonomi menjelang tahun 2015.

* Berusaha memenangi Kerusi Tidak Tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi memainkan peranan utama dalam keamanan serantau dan keselamatan antarabangsa melalui dasar kesederhanaan.

* Meningkatkan hubungan ekonomi dan kepentingan bilateral dengan negara rakan dagang utama dan ekonomi negara sedang membangun.

* Membentuk Dasar Luar yang menyokong kepentingan-kepentingan strategik politik, ekonomi dan keselamatan kita.

* Mengetuai usaha menentang jenayah-jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan manusia dan dadah.

* Memperbanyakkan program 'outreach' kemanusiaan di wilayah-wilayah konflik seperti Gaza, Tebing Barat, selatan Thailand, Mindanao dan di mana sahaja.

17. Memulihara Sumber Semula Jadi:

* Menawarkan insentif kewangan kepada premis komersial dan persendirian yang melabur dalam sumber-sumber teknologi hijau yang boleh diperbaharui seperti tenaga suria dan biomas.

* Memperuntukkan lebih banyak ruang untuk kawasan hijau di bandar-bandar utama.

* Memulihara sungai dan anak sungai menerusi pertambahan peruntukan kewangan dan undang-undang yang lebih ketat, selain memperhebatkan usaha itu melalui program khas UNDP dan Sungai Nadi Kehidupan.

* Menambah program pendidikan untuk menyemai sikap mencintai alam sekitar.

* Memulihara hutan dan melaksanakan program penanaman semula hutan.

* Menguatkuasa undang-undang yang ketat dan dikemas kini untuk mencegah kegiatan penerokaan secara haram di kawasan-kawasan strategik dan utama.

* Menggunakan teknologi hijau dan terbaharu dalam pengurusan sistem pepejal.

- BERNAMA

 

Pelajar UM Cabar Najib Di Parlimen Pekan

by

Pelajar Universiti Malaya berusia 23 tahun akan mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di kerusi Parlimen Pekan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRI-13).

Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13) akan menurunkan pelajar jurusan sains politik Mohamed Bukhairy Sofian sebagai calon bebas.

Katanya, kumpulan tersebut menurunkan seorang calon sebagai tuntutan untuk memperbaharui sistem pendidikan tinggi di Malaysia.

"Kami mahu menonjolkan manifesto kami dan membawa dasar tersebut ke Parlimen.

"Selain itu, kami tidak akan mengetepikan isu yang menjejaskan penduduk tempatan di Pekan," katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Mohamed Bukhairy merupakan wakil Majlis Pimpinan Pelajar (MPP) UM dan pengerusi Majlis Pimpinan Mahasiswa Nasional.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang berkata, manifesto tersebut telah dikemukakan kepada parti memerintah dan parti pembangkang bulan lalu tetapi masih belum menerima respons daripada kedua-dua parti itu.

- MSTAR

 
 

Bertindak tegas tepis ancaman - Najib

by

KUALA LUMPUR 2 Jun - Kerajaan akan terus bertindak tegas tanpa kompromi dalam menepis sebarang ancaman, terutamanya yang menggugat ketenteraman hidup rakyat negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Walaupun tidak disenangi oleh sesetengah puak termasuk kuasa asing, kita tidak akan sesekali tunduk pada mana-mana tekanan dan akan mengambil apa sahaja langkah yang wajar supaya hak majoriti rakyat untuk hidup rukun terus dilestarikan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sembah tahniah pada majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Persekutuan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.

Sambil menzahirkan setinggi-tinggi junjungan sempena ulang tahun keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong, Najib berkata, kebajikan dan kesejahteraan rakyat menjadi matlamat tertinggi kerana kerajaan ini merupakan sebuah kerajaan daripada rakyat untuk rakyat yang mendapat mandat majoriti rakyat selain barisan kepimpinan yang dipilih secara demokratik.

"Makanya kita tidak boleh dengan berwenang-wenang membiarkan asas terpenting demokrasi, iaitu keunggulan suara majoriti dimusnahkan oleh mereka yang mahu menegakkan kaedah rimba tidak bertempat dengan menganggap siapa yang paling lantang, siapa yang paling licik dan siapa yang paling ganas sebagai kudrat dan kebenaran. Cara gaya dan pegangan seperti ini, wajib ditolak sekeras-kerasnya," katanya.

Beliau berkata, sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, adalah menjadi tanggungjawab setiap golongan untuk mempertahankan institusi serta sistem yang terbukti memanfaatkan kehidupan nasional dan bukannya menimbulkan kesangsian apatah lagi ketidakyakinan rakyat terhadapnya.

Justeru, kata Najib, rakyat hendaklah sentiasa menginsafi jerih payah kerajaan mentransformasikan negara dan jangan ada kelompok yang cuba memusnahkan segala pencapaian yang ada hanya kerana kepentingan jangka pendek.

Beliau berkata, dialog nasional yang sihat harus sentiasa digalakkan kerana perbezaan pendapat yang disalur secara membina merupakan suatu rahmat kepada rakyat dan negara.

"Maslahat kebangsaan sewajarnya dibincangkan secara tertib bagi mencari penyelesaian terbaik bukannya diluahkan secara tidak keruan lagi menggila di jalanan.

"Penggunaan taktik-taktik kotor yang tidak bertanggungjawab bagi mencapai objektif politik akan hanya merugikan rakyat dan negara. Beringatlah bahawa, matlamat tidak sesekali menghalalkan cara," katanya.

Najib berkata, dewasa ini, umum makin mengetahui bahawa kewibawaan kerajaan secara sengaja terus cuba dipertikai dan diperlekeh oleh sesetengah kelompok.

"Pendek kata, apapun jua kejayaan yang telah dicipta oleh kita, mereka tidak akan memperakuinya dek kerana tidak mendatangkan laba atau keuntungan, malah merugikan mereka," katanya.

Beliau berkata, negara akan jauh ketinggalan dan kalah dalam persaingan sekiranya terbelenggu oleh permasalahan serta perbalahan yang tiada hujungnya.

Perdana Menteri menegaskan walau apa jua halangan waima sehebat mana rintangan, kerajaan tidak sedikitpun terkesima dengan gangguan yang ditimbulkan, malah, akan tetap fokus, cekal lagi tabah bergerak di atas landasan kebenaran demi pertiwi.

"Pucuk pangkalnya, kerajaan Tuanku ini akan terus menegakkan syarat dengan undang-undang, menegakkan adat yang dipegang, menegakkan amanah yang disandang, menegakkan hukum yang ditimbang, menegakkan pusaka yang berbilang dan menegakkan janji yang ditimang," katanya.

- BERNAMA

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90