Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Nik Aziz. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Nik Aziz. Papar semua catatan

Nik Aziz setuju penyokong PAS tangguh haji

by
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju jika penyokong parti PAS membatalkan niat untuk menunaikan haji jika pilihan raya umum ke-13 diadakan pada musim haji tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak mengeluarkan arahan rasmi supaya mereka berbuat demikian, kerana ia terserah kepada pucuk pimpinan parti.

Beliau berkata Islam tidak mewajibkan mereka pergi mengerjakan Haji setelah nama mereka tersenarai sebagai jemaah haji oleh Tabung Haji pada tahun berkenaan.

"Malah, Nabi Muhammad sendiri menunaikan haji pada tahun ke-10, sedangkan ayat mengenai wajib haji turun pada tahun ke enam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program MASS CPR (cardiopulmonary resuscitation) peringkat Negeri anjuran St John Ambulans Malaysia (SJAM) di Kota Baharu, semalam.

Nik Abdul Aziz berkata ibadah haji boleh dilakukan bila-bila masa, walaupun ia wajib dan menjadi rukun Islam kelima.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man, dalam portal propembangkang, meminta anggota PAS yang terlibat secara langsung dengan pilihan raya supaya menangguhkan ibadah haji.

Mengenai kerajaan PAS Kelantan menarik balik larangan wanita menyertai tilawah Al-Quran selepas lebih 20 tahun larangan itu dikuatkuasakan, Nik Abdul Aziz berkata perkara itu boleh berubah bergantung kepada keadaan semasa kerana kebanyakan umat Islam kini sudah memahami mengenai agama dan adat sopan dalam masyarakat.

Kerajaan PAS Kelantan mula melarang wanita menyertai tilawah Al-Quran di semua peringkat selepas mengambil alih teraju pentadbiran negeri ini pada 1990.

Ia menimbulkan isu sehingga ia dibantah oleh Persatuan Qari dan Qariah negeri ini yang meminta kerajaan negeri mengkaji semula larangan itu.

- BERNAMA

Nik Aziz Mengaku Beri Wang Peribadi Kepada Peserta Bersih 3.0

by
KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui memberi sumbangan peribadi berbentuk wang kepada mereka yang menyertai perhimpunan badan bukan kerajaan (NGO) yang disokong pembangkang di Kuala Lumpur, semalam.

Nik Abdul Aziz, yang tidak menyertai perhimpunan itu, berkata tindakannya itu bukan satu kesalahan kerana ia merupakan satu bentuk bantuan yang perlu dihulurkan.

"Salah apa bagi duit untuk dia (peserta) bayar minyak (kereta). Dia tinggalkan rumah perlukan minyak kereta dan hotel lagi.

"Hak orang lain saya tidak tahu tetapi saya beri duit poket saya sendiri yang merupakan mereka yang tinggal dalam kawasan saya. Mintak RM20 saya bagi banyak itu," katanya kepada pemberita di kediaman rasminya di JKR 10 di sini, Ahad.

Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian ketika mengulas dakwaan bahawa parti pembangkang memberikan sumbangan wang kepada peserta perhimpunan itu seperti duit poket termasuk menyediakan penginapan, pengangkutan dan makan minum selama berada di ibu negara.

Ketika ditanya adakah PAS turut memberikan sumbangan yang sama kepada penyokong parti itu, Nik Abdul Aziz berkata perkara itu tidak diketahuinya.

"Wallahualam (jika berlaku perkara itu)," katanya ringkas.

Beliau juga menafikan dakwaan penyokong PAS telah bertindak ganas dalam perhimpunan itu dan menyalahkan pihak lain yang memulakan tindakan tersebut sehingga memukul beberapa anggota media dan polis yang bertugas.

"Saya tak hadir (pada perhimpunan haram itu) sebab uzur. Dari laporan yang saya terima mereka jadi begitu kerana ada sebab. Tak kan keluar rumah nak tinggal anak bini sanggup buat macam itu.

"Orang PAS dididik berakhlak dan berdisiplin. Mesti ada sebab mereka jadi berang dan saya yakin orang PAS tak buat perkara itu," katanya yang melahirkan rasa dukacita terhadap insiden tersebut.

Beliau berkata terpulang kepada pihak berkenaan untuk menyiasat perkara itu.

- BERNAMA

Petua Datuk Nik Aziz bahagia tidur atas riba isteri

by

KOTA BHARU: Sering tidur di riba isteri setiap kali pulang ke rumah selepas menjalankan tugas harian antara rahsia kebahagiaan rumah tangga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurutnya, walaupun kadangkala pulang ke rumah pada jam 2 atau 3 pagi, isterinya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak tidak pernah merungut dan sebaik meletakkan kepala di riba isterinya, semua masalah yang semak dalam benak seperti hilang begitu saja.

“Saya juga berselawat ke atas nabi sebanyak 41 kali setiap hari dan isteri perlu bersabar serta diam setiap kali melihat suami marah.

“Suami juga perlu menjaga kebajikan makan minum dan tempat tinggal keluarga, selalu membaca al-Quran serta sentiasa mendoakan kesejahteraan anak-anak,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Suami Isteri dan Pelancaran Buku Panduan Keluarga Mawaddah.

Pada majlis itu, Nik Abdul Aziz dan isterinya yang mempunyai lima anak lelaki dan lima perempuan serta 56 cucu, bakal menyambut ulang tahun perkahwinan ke-50 pada 20 November ini selepas melangsungkan perkahwinan pada 1962.

Beliau turut dipilih sebagai Ikon Keluarga Mawaddah Peringkat Kelantan 2012 manakala lima pasangan lagi turut menerima Hadiah Pasangan Terpilih pada majlis berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Nik Abdul Aziz berkata, statistik menunjukkan terdapat lebih 234,000 anak tidak sah taraf, 81,000 daripadanya Melayu yang direkodkan di negara ini sejak 2006 hingga 2010 di seluruh negara amat mengejutkan.

Katanya, semua masalah itu timbul akibat tiada lagi wujud rasa takwa kepada Allah S.W.T.

“Masalah ini menyebabkan kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja bagi membina pusat perlindungan kepada anak ini (anak tidak sah taraf).

“Akibat tidak menjaga agama dan pergaulan terlalu bebas seperti sering ke kelab malam dan minum arak, maka ia boleh menjurus kepada zina,” katanya.

Pada masa sama, Nik Abdul Aziz turut mencadangkan sambutan Hari Valentine yang biasa disambut dengan pelbagai acara yang penuh maksiat diganti dengan Sambutan Hari Suami Isteri oleh umat Islam.

- HARIAN METRO

Tuan Guru Nik Aziz Minta Rakyat Kelantan Jangan Tolak Bantuan RM500

by

BACHOK: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta rakyat Kelantan agar jangan menolak Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM500 yang diberikan oleh kerajaan persekutuan.

"Apa yang diumumkan oleh (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak)(bantuan) sebanyak RM500 itu, saya minta rakyat terima.

"Yang gantung (kain rentang) tu mengarut sahaja...nak bagi berapa pun ambil tapi bila mengundi, undi bulan," katanya sambil menafikan beliau ada kaitan dengan tindakan pihak tertentu yang menggantung kain rentang yang tertera gambarnya dan kenyataan bahawa pemberian sebanyak RM500 itu adalah haram.

Pihak tidak bertanggungjawab yang mengantung kain rentang itu berbuat demikian kerana kecewa, katanya kepada pemberita semasa meninjau hakisan akibat ombak besar di kawasan pantai di sini, hari ini.

Mengenai isu membabitkan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali dan dan bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa yang lantang mengkritik parti itu sebelum ini, Nik Abdul Aziz menganggap isu itu sudah selesai dan tidak berbangkit lagi.

Menteri Besar Kelantan itu berkata ini kerana kedua-dua pemimpin PAS itu terutama Hasan telah meminta maaf kepada parti dalam satu "pertemuan muhibah" yang diadakan di kediaman rasmi menteri besar itu di JKR 10 semalam.

"Pertemuan ini adalah dianjurkan oleh Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dan syukur kepada Allah Taala Datuk Hasan telah menarik balik kenyataannya yang dianggap sensitif.

"Ini tanda kelakian dan anak jantan kerana dia ikhlas menarik balik kenyataan dan memohon maaf. Ini ajaran agama dan bukan senang untuk mana-mana yang buat salah untuk minta maaf dan menarik balik," katanya.

Hasan dan Nasharudin baru-baru ini lantang mengkritik PAS yang disifatkan mereka telah lari daripada perjuangan asal untuk menubuhkan negara Islam, namun Hasan kemudiannya telah memohon maaf mengenai perkara itu.

Nik Abdul Aziz berkata beliau telah meminta PAS pusat agar mengadakan jamuan kesyukuran bagi menandakan tamatnya isu berkenaan.

Ketika ditanya mengenai kedudukan Nasharudin sebagai calon, beliau berkata: "Terpulang kepada pengundi di Bachok (sama ada mahu menerima atau sebaliknya)".

Mengenai hakisan di pantai berkenaan, Menteri Besar berkata kerajaan negeri akan membantu menyelesaikan masalah itu mengikut kemampuan yang ada.

"Dalam bidang kerajaan negeri kita akan buat dan kalau Pusat biar Jabatan Pengairan dan Saliran tentukan. Sekarang kita sedang menilai kos yang diperlukan," katanya.

- BERNAMA

Resolusi 100 hari, Nik Aziz pertahan Anwar

by
Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata resolusi 100 hari yang dikemukakan pembangkang pada konvensyen mereka lepas hanya akan dilaksanakan setelah pakatan pembangkang mengambil alih pentadbiran negara.

"Kita akan laksanakan bila pakatan dapat memerintah negara...tunggulah dulu...jangan nak jadi gangster," katanya kepada pemberita selepas majlis perkahwinan perdana anjuran kerajaan negeri melibatkan 101 pasangan baru di Pusat Tarbiyah PAS Kelantan (PUTIK) di Kota Bharu hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin semalam yang mencabar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya melaksanakan kenaikan gaji bagi pegawai-pegawai awam di negeri-negeri yang ditadbir oleh pakatan pembangkang dahulu sekiranya pembangkang benar-benar prihatin dengan nasib penjawat awam.

Sehubungan itu, menteri besar Kelantan itu meminta kerajaan BN menunggu sehingga pakatan pembangkang menerajui negara untuk melaksanakan resolusi itu.

Resolusi itu mengandungi sembilan perkara termasuk pengurusan negara, ekonomi dan pendidikan yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari jika pakatan pembangkang menang pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Antaranya mengarahkan Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyempurnakan pengambilan alih aset lebuh raya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol, merombak struktur subsidi bagi mengurangkan subsidi kepada swasta dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat, menaikkan imbuhan perguruan RM500 sebulan dan melupuskan Felda Plantations bagi membuka ladang yang diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.

Nik Abdul Aziz berkata apa yang penting dalam mentadbir negara ialah memerintah untuk rakyat dan menjamin kesejahteraan mereka.

Beliau juga berkata PAS akan melaksanakan pentadbiran Islam mengikut acuannya seperti yang ditetapkan di dalam Islam.

Mengenai perkahwinan, beliau menasihatkan pihak keluarga wanita mengenakan hantaran atau mas kahwin yang rendah serta berpatutan kepada pihak lelaki dan bukan membebankan mereka.

"Saya kahwin dulu hantaran RM100 sahaja untuk isteri saya. Malahan siapa nak kahwin anak saya, saya minta RM1,000 saja," katanya.

Beliau berkata perkahwinan penting bagi mengelakkan gejala sosial buang anak dan zina di dalam masyarakat.

- Bernama

Nik Aziz Kini Dirawat Di HUSM Akibat Masalah Pinggang

by
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kini menjalani rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kerana masalah pinggang.

Anaknya Nik Omar berkata Murysidul Am PAS itu dirawat di hospital itu sejak Jumaat lepas setelah dinasihatkan pakar perubatan pada Rabu.

"Ayah saya telah menjalani pemeriksaan untuk pinggangnya dan atas nasihat doktor dia menjalankan pemeriksaan terperinci.

"Saya tidak tahu bila ayah akan dibenarkan keluar," katanya kepada pemberita, di sini, Ahad.

Nik Omar berkata masalah pinggang itu dihidapi ayahnya sejak sekian lama selepas terjatuh dari kuda.

Menteri Besar Kelantan berusia 79 tahun itu dilaporkan berada dalam keadaan baik.

- BERNAMA

Nik Aziz tak tolak ada ulama, wartawan upahan

by
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu wartawan dan ulama memainkan peranan yang seiring untuk menjamin keselamatan ummah di dunia dan akhirat.

Mursyidul Am PAS itu berkata tanggungjawab kedua-dua golongan ini adalah sama iaitu mengabdikan diri kepada Allah.

"Tinggal lagi, ulama menyampaikan dakwah melalui lisan manakala wartawan menyebarkan maklumat melalui mata pena.

"Oleh itu, mereka hendaklah bergerak seiring untuk kepentingan dan kesejahteraan ummah dunia dan akhirat," katanya berucap di majlis dialog Menteri Besar Kelantan dengan wartawan anjuran Urusetia Penerangan Negeri, di Kota Bharu, malam tadi.

Hadir sama, Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Abdul Rahman Yunus dan Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Ladang Rakyat Dr Azmi Razali Azmi.

Nik Abdul Aziz berkata beliau mahu golongan wartawan bertanggungjawab terhadap penulisannya kerana mereka juga akan turut dipersoalkan di akhirat kelak seperti ulama.

Beliau tidak menolak kemungkinan wujudnya ulama upahan seperti juga wartawan upahan kerana tidak menjalankan tugas berlandaskan etika kewartawanan dan sebagai ulama upahan, mereka tidak menyampaikan dakwah yang betul kepada umat Islam sebagaimana ajaran agama sebenarnya.

Ditanya sama ada beliau akan terus menawarkan diri untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 nanti, beliau berkata, ia terpulang kepada pucuk pimpinan parti.

"Saya tidak pernah menawarkan diri untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya, kecuali pertama kali ketika kerajaan campuran BN-PAS, pada 1974," katanya.

Menurutnya, keputusan sama ada bertanding atau tidak pada pilihan raya ke-13 nanti bergantung kepada kehendak pucuk pimpinan parti kerana beliau mengakui telah lama berkhidmat dalam parti dan semakin uzur.

- Bernama

Bukan lebai saja kena peringat - Nik Aziz

by
Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata sekiranya tugas memperingatkan manusia kepada ketakwaan hanya diserahkan kepada golongan agama semata-mata, akan terus berlaku kes pembunuhan kejam seperti yang menimpa Datuk Sosilawati Lawiya.

Menteri Besar Kelantan berkata tanpa peringatan seperti itu, tidak ada yang boleh mendinding manusia dari melakukan jenayah.

"Sayang sekali apabila tugas memperingatkan manusia agar bertaqwa kepada Allah SWT ini hanya diserahkan kepada imam dan lebai sahaja.

"Seolah-olah persoalan iman dan takwa ini hanya boleh disebut di mimbar masjid," katanya.

Dalam satu kenyataan bagi mengucapkan takziah kepada keluarga Sosilawi hari ini, Nik Aziz berkata fenomena jenayah yang terjadi hari ini akibat sistem demokrasi yang tidak pernah menitikberatkan persoalan iman dalam dalam sukatan pengajiannya.

"Justeru, Islam melarang membunuh diri kerana nyawa bukan milik manusia. Perbuatan sekejam ini berpunca daripada tidak wujudnya rasa malu dan aib di hati pembunuh," katanya.

Mengambil contoh pentadbiran Rasullah di Madinah, Nik Aziz berkata, sebagai "perdana menteri pertama negara Islam", baginda sendiri mengulang peringatan demi peritangatan kepada seluruh rakyat.

"Saya yakin, jika inilah yang dititikberatkan oleh kepimpinan negara, insya-Allah akan berputik rasa gerun dan takut kepada Allah SWT di hati rakyat. Bukan gerun dan takut kepada undang-undang yang dibuat oleh manusia sahaja," katanya.

"Keberkatan dan pencegahan yang datangnya daripada Allah SWT inilah yang akan menjamin kesejahteraan manusia tidak mengira agama apa yang dianuti."

- MALAYSIAKINI

Jahil agama punca polemik - Nik Aziz

by

Isu bukan Islam memasuki masjid bukan satu kesalahan dalam Islam kerana ia antara kaedah yang diguna Nabi Muhammad SAW dalam menyampaikan mesej dakwah.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz berkata, isu itu menjadi polemik dalam masyarakat akibat sentimen politik mengatasi kefahaman agama Islam yang murni.

“Oleh kerana hubungan kita dengan Islam semakin jauh, belajar pun tidak, maka bila tiba perkara-perkara macam ini, terus timbul masalah.

“Padahal kalau kita balik dari sejarah asal, ramai dari penduduk Arab Qurasy yang kafir datang jumpa Nabi. Nabi letak dalam masjid, mereka tidur dalam masjid, makan dalam masjid, bahkan kencing dalam masjid”, katanya kepada HarakahDaily.

Mengulas lanjut, Nik Abdul Aziz berkata tindakan itu dilihat ganjil kerana umat Islam sekarang terlalu jahil dengan agama.

"Cuma apa yang dilihat (benda) itu sebagai pelik di zaman ini menunjukkan umat Islam kita terlalu jahil dengan agama," katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian sebagai mengulas tindakan ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching yang masuk ke Surau Al-Huda di Kajang Ahad lalu, yang kini hangat diperkatakan.

“Jadi bila ada orang bukan Islam sekarang ni masuk dalam masjid, tak ada apa pun. Nak ceramah ke, nak apa ke, tak ada masalah apa pun,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, tindakan mempolemikkan isu tersebut juga bukan sahaja akan menjauhkan orang bukan Islam kepada Islam, malah bertentangan dengan sunnah Nabi.

“Menjauhkan orang bukan Islam dengan masjid adalah budaya kita sahaja, bukan ajaran nabi,” ujarnya.

Dalam Islam menurutnya, muaalaf ditafsir dengan tiga golongan iaitu mereka yang baru memeluk Islam, belum Islam tetapi cenderung memeluk Islam dan orang bukan Islam tetapi menghormati dan tidak menentang Islam.

“Jadinya dalam tiga ini hanya satu sahaja yang kita guna. Dua lagi kita biarkan menyebabkan masyarakat kita semakin jauh dengan yang bukan Islam.

"Tidak salah orang bukan Islam termasuk wanita masuk dalam masjid sama ada untuk berucap atau apa sahaja asalkan berpakaian sopan bagi bukan Islam dan menutup aurat bagi orang Islam," katanya kepada pemberita, di Kota Bharu, semalam.

Menyentuh mengenai tidak menutup aurat ketika memasuki masjid, Nik Aziz berkata, mungkin masalah penjaga masjid tidak memaklumkan kepada Teo.

Nik Abdul Aziz sebelum itu hadir berbuka puasa dan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 174 penghuni rumah anak yatim Puteri Harapan Taman Sabariah.

- MALAYSIAKINI

Perutusan Tuan Guru Nik Aziz - Sempena Ramadhan 1431H

by
Manusia terdiri daripada dua unsur yang saling melengkapkan antara satu sama lain. Unsur tersebut ialah tubuh dan roh. Sejak zaman berzaman, tubuh jika mengalami sebarang masalah dapat dirujuk kepada bomoh dan hari ini digelar sebagai doktor. Kesemuanya ini dirujuk apabila tubuh ditimpa sebarang penyakit. Manakala roh ataupun jiwa, jika ditimpa masalah akan dirujuk kepada pawang. Selalunya penyelesaian kepada masalah ini ialah dengan mengadu kepada kuasa lain dengan cara yang khurafat. Lalu lahirlah amalan memuja pokok, sungai, batu, cakerawala dan sebagainya.

Semua ini menunjukkan keperluan untuk melunaskan fitrah manusia yang ingin bertuhan. Secara semulajadinya, manusia perlu kepada tuhan. Manusia sendiri tidak boleh menerima dengan akal bahawa dunia ini wujud tanpa pencipta. Lalu dengan keyakinan inilah, manusia mencari-cari siapakah yang perlu dirujuk ketika menghadapi sebarang masalah. Lahirlah dari rasa fitrah tersebut amalan-amalan khurafat yang wujud semenjak zaman dahulu kala.

Islam kemudiannya datang bukanlah sangat untuk mengajar manusia bahawa di dunia ini adanya tuhan kerana itu merupakan satu fitrah. Tetapi Islam datang untuk meletakkan fitrah manusia di landasan yang betul iaitu mengakui tuhan itu hanyalah Allah SWT. Jiwa dan rohani manusia dipandu dengan jelas agar mengakui bahawa zat yang layak untuk disembah hanyalah Allah SWT. Pengabdian inilah merupakan misi utama penciptaan manusia. Inilah tujuan hidup manusia yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Tujuan hidup ini tidak dapat disebut oleh mana-mana ahli fikir jika tidak merujuk kepada al-Quran. Ahli-ahli sains mungkin dapat menyebut apakah tujuan air, tanah, api, udara dan sebagainya. Demikian juga seorang ahli perubatan dapat menjelaskan khasiat ubat-ubatan yang dihasilkan. Namun, tujuan hidup siapakah yang dapat menjelaskan jika tidak Allah SWT sendiri? Sebagaimana seorang yang datang dari ceruk kampung berdepan dengan pelbagai mesin di gudang yang besar, tidak akan mengetahui fungsi setiap jentera dan suis yang dilihatnya kerana tidak mempunyai kemahiran. Orang yang mengetahui fungsi mesin yang pelbagai itu ialah jurutera yang menciptanya atau sekurang-kurangnya berkemahiran tentangnya. Demikianlah manusia, adalah mustahil seorang manusia mengetahui tujuan dia sendiri diciptakan jika tidak diberitahu oleh kuasa yang menciptakan manusia iaitu Allah SWT. Untuk memberitahu tujuan hidup inilah, dihantar rasul-rasul kepada manusia dari zaman berzaman. Merekalah yang ditugaskan untuk memandu manusia bagaimana hidup ini perlu diselaraskan sesuai dengan kehendak Allah SWT.

Jurupandu kepada umat ini ialah para anbiya’ khususnya di akhir zaman ini ialah Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak mereka-reka jalan, baginda hanya menunjuk jalan berdasarkan al-Quran. Bulan Ramadhan inilah yang merupakan bulan penurunan al-Quran. Di antara sifat al-Quran ialah hudan linnas berasaskan firman Allah SWT :

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

Yang bermaksud : Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil).
- Surah al-Baqarah, ayat 185

Justeru, puasa sebagaimana ibadat-ibadat lain merupakan keperluan kepada fitrah manusia. Jika sekalipun ugama tidak mewajibkan puasa ini dilakukan, manusia sendiri tentunya akan mewajibkan ke atas diri mereka untuk berpuasa kerana manfaat yang banyak daripadanya termasuklah dari aspek kesihatan. Apatah lagi jika ia merupakan satu perintah daripada Allah SWT, lebih perlu untuk dilaksanakan sekalipun menempuhi sedikit kepayahan. Tanda taat tunduknya manusia kepada Tuhan mereka ialah mereka sanggup bersusah payah demi membuktikan kepatuhan mereka. Sebagaimana kita bersusah payah untuk anak-anak kita yang kita sayangi, maka demikianlah kita lebih utama untuk bersusah payah demi Tuhan yang kita yakini.

Inilah sebab mengapa setiap amalan di dalam Islam perlu diasaskan kepada niat yang ikhlas. Niat yang ikhlas dalam erti kata lain melaksanakan amalan semata-mata kerana ia merupakan perintah Allah SWT. Bukan sahaja beribadat seperti solat dan puasa, bahkan berpolitik, berniaga, bersosial, berumahtangga semuanya kerana Allah SWT. Hati perlu sentiasa diasuh untuk meyakini bahawa amalan yang dilakukan bukan kerana budaya turun temurun atau adat resam tetapi hanya kerana Allah SWT.

Manusia perlulah sentiasa yakin bahawa Allah SWT itulah yang bersifat dengan al-Khaliq (Yang Maha Mencipta), al-Baari (Yang Memberikan Kemampuan) dan al-Mushawwir (Yang Memberikan Bentuk). Keyakinan seperti ini membantu manusia untuk lebih meningkatkan amal ibadat kerana diyakini setiap amalan tersebut dinilai oleh Allah SWT yang menciptakannya. Keyakinan inilah juga yang akan mendorong manusia untuk berpuasa dengan sesungguh hati. Hilangnya keyakinan ini, hilang jugalah roh dari ibadat puasa tersebut sehingga menghilangkan ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ
Yang bermaksud : “Betapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang yang berqiyam tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya kecuali hanya berjaga malam..” – Riwayat Ibnu Majah

Selain itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat Kelantan agar memperbanyakkan amalan membaca al-Quran, bersedekah, qiyamullail dan sentiasalah berzikir mengingati Allah SWT. Semuanya ini seharusnya sentiasa menjadi amalan rutin kita bukan hanya ketika di bulan Ramadhan tetapi sepanjang masa. Semoga bacaan al-Quran, sedekah, qiyam dan juga zikir yang kita amalkan sentiasa memandu kita di dalam mengurus tadbir hidup ini berpandukan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Semoga Ramadhan pada tahun ini jauh lebih baik dari Ramadhan pada tahun-tahun yang lepas.


TUAN GURU DATO’ BENTARA SETIA
DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Bertarikh : 10 Ogos 2010 / 29 Syaaban 1431


Kredit - Fairuz Bin Abdullah

‘Pendidikan seks harus dilaksana ikut peraturan’ - Nik Aziz

by
KOTA BHARU: Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat, semalam menyifatkan seks sebagai satu perkara yang cukup bernilai serta berharga dan pendidikan mengenainya harus dilaksanakan mengikut peraturan, prosiding serta kronologinya yang tertentu.

Sehubungan itu, katanya, untuk melaksanakan pendidikan seks di sekolah bukannya sesuatu perkara mudah kerana ia sudah tentu akan membabitkan pelbagai pihak, termasuk dari segi undang-undang, tidak hanya menjuruskan kepada seks itu semata-mata.

KOTA BHARU: Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat, semalam menyifatkan seks sebagai satu perkara yang cukup bernilai serta berharga dan pendidikan mengenainya harus dilaksanakan mengikut peraturan, prosiding serta kronologinya yang tertentu.

Sehubungan itu, katanya, untuk melaksanakan pendidikan seks di sekolah bukannya sesuatu perkara mudah kerana ia sudah tentu akan membabitkan pelbagai pihak, termasuk dari segi undang-undang, tidak hanya menjuruskan kepada seks itu semata-mata.

“Bagi saya, pendidikan seks tidak boleh diperkenalkan di sekolah kerana ia adalah satu `barang’ yang amat indah serta berharga dan harus dihormati, bukan boleh pandai-pandai buat.

“Islam sudah sebut perkara ini (pendidikan seks) dalam kitab Fiqah, bermula dari usia kanak-kanak lelaki 10 tahun, harus dipisahkan tempat tidur sehingga berkahwin; melakukan jimak dan mendapat anak, semuanya ada diajar mengenai tatasusila serta pengurusannya, sekali gus menunjukkan seks ini barang yang dihormati.

“Di situ sudah letaknya pelajaran seks dalam Islam dan kita jangan meletakkannya (pendidikan seks) atas motor kerana itu bukan kerja Islam. Semua ini Islam hendak menunjukkan bahawa seks itu sesuatu barang amat dihargai dan melakukannya harus mengikut peraturan, prosiding dan kronologinya,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita apabila ditanya mengenai usaha hendak melaksanakan pendidikan seks di sekolah, selepas selesai kuliah mingguannya di Dataran Ilmu, di sini, semalam.

Kelmarin, pelbagai pihak menggesa kerajaan memperkenalkan segera pendidikan seks secara formal di sekolah serta memperketatkan undang-undang bagi membendung capaian remaja terhadap unsur pronografi sebagai langkah membanteras salah laku seks dan pembuangan bayi yang berleluasa.

- BERITA HARIAN

Nik Aziz: PAS sedia hadapi BN bila-bila masa

by

PAS bersedia menghadapi pilihan raya umum bila-bila masa dari sekarang, kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Walaupun kuasa mengumumkan tarikh pilihan raya itu terletak di tangan Perdana Menteri untuk membuat suatu kejutan, Menteri Besar Kelantan itu berkata kerajaan seharusnya memberi tempoh tertentu sebelum mengadakan pilihan raya bagi membolehkan parti bertanding membuat persediaan.

"Sebagai negara yang mengamalkan demokrasi, pilihan raya tidak patut diadakan secara mengejut dan perlu diisytiharkan lebih awal seperti tiga bulan atau sebagainya supaya kita sama-sama boleh bersedia,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan Jumaat di Dataran Ilmu, di Kota Bharu, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Razak bahawa tarikh pilihan raya tidak akan diadakan dalam masa terdekat dan pengumuman mengenainya akan dibuat sebagai suatu kejutan.

Bercakap kepada pemberita di Tumpat dua hari lalu, Najib berkata kerajaan tidak akan membubarkan Parlimen untuk mengadakan pilihan raya umum akan datang semata-mata berdasarkan kepada satu pendapat bahawa semakin ramai rakyat menyokong beliau.

Menteri Besar Kelantan itu berkata soal cepat atau lambat pilihan raya diadakan, bagi PAS ia tidak menimbulkan masalah kerana parti itu sentiasa dalam keadaan bersedia.

- Bernama

Nik Aziz: Anwar paling layak terajui Pakatan

by

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau tidak mahu menjadi pemimpin nombor satu dalam Pakatan Rakyat jika mereka berjaya menawan Putrajaya.

Sebaliknya menteri besar Kelantan itu berkata orang yang paling layak meneraju pakatan ialah penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya tak mahu jadi orang nombor satu, walaupun ada orang yang mencadangkan saya begitu. Dari dulu lagi saya sentiasa menyebut orang paling layak ialah Anwar sebab dialah orang yang telah lalui tahap peperiksaan (ujian) fizikal dan mental.

"Kalau orang lantik saya, saya akan beri pada dia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Persatuan Biologi Gunaan Malaysia Ke-11, di Kota Bharu hari ini.

Beliau berkata Anwar juga lulus dari segi moral.

Nik Abdul Aziz diminta mengulas saranan seorang perwakilan pada muktamar ke-56 PAS yang berakhir semalam agar menteri besar Kelantan itu dilantik peneraju pakatan pembangkang berasaskan kewibawaan dan kejayaannya memimpin Kelantan selama 20 tahun.

Dalam saranannya, perwakilan dari Perlis Wan Khairizal Wan Hazim berkata gaya kepimpinan Nik Abdul Aziz juga diterima semua pihak dalam komponen pakatan pembangkang itu.

Mengulas mengenai pandangan wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS Islam yang menyamakan beliau dengan pemimpin ulung India Mahatma Gandhi, Nik Abdul Aziz berkata: "Tidak mengapa, saya terima dari segi sifat orang melihat saya."

- Bernama

PAS Tidak Boleh Bekerjasama Dengan Parti Lawan Lebih Kuat - Nik Aziz

by
Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, PAS tidak akan bekerjasama dengan Umno kerana parti lawan itu lebih kuat daripadanya.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, pengalaman lepas juga mengajar PAS agar tidak mengulangi kesilapan bekerjasama dengan Umno sebelum disingkir daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).

"...kita ditendang begitu sahaja apabila kita tidak diperlukan. Pengalaman itu sudah cukup memberi pengajaran kepada kita, kita tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang lebih kuat daripada kita," kata Nik Abdul Aziz pada kuliah mingguannya, di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz berkata, PAS mempertimbangkan faktor kekuatan setara itu berasaskan prinsip 'menang-menang' yang hanya boleh dicapai jika kedudukan kedua-dua parti sama kuat.

"Islam mengajar supaya kita bekerjasama dengan pihak lawan, jika kedudukan kita sama kuat barulah kerjasama itu mencapai matlamat, kalau tidak kita mudah ditindas," katanya.

Beliau juga mempertahankan kerjasama PAS dan DAP yang disifatkannya telah banyak membantu masyarakat Cina memahami Islam dan tidak lagi menganggap masyarakat Islam sebagai golongan ekstremis.

DAP juga katanya menerima Islam sebagai asas perjuangan PAS.

- BERNAMA

Nik Aziz kekal mursyidul am PAS lima tahun lagi

by

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini dilantik semula sebagai mursidul am PAS untuk sesi 2010-15.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat kedua majlis syura ulamanya di pejabat agung PAS,di Kuala Lumpur pada 29 Mac 2010.

Pelantikan itu sekali gus menutup ruang spekulasi berhubung kedudukan tokoh popular PAS itu yang melanda sejak minggu lalu apabila kedudukannya bergantung kepada sokongan 16 lagi anggota majlis tersebut.

Spekulasi tercetus minggu lalu apabila majlis syura ulamanya tidak membuat sebarang pelantikan terhadap pengerusi dan timbalannya, sebaliknya hanya melantik lima anggota tambahan.

Majlis tersebut mempunyai 17 anggota - masing-masing empat wakil daripada jawatankuasa pusat dan dewan ulama, dua orang daripada dewan Pemuda dan Muslimat serta empat lagi anggota tambahan.

Sementara itu, dalam mesyuarat hari ini juga, Datuk Dr Haron Din turut dilantik semula sebagai timbalan mursyidul am bagi membantu tugas-tugas Nik Aziz sebagai pengerusi majlis tertinggi dalam parti.

Hormati keputusan, Nik Aziz terima

Turut dilantik sebagai anggota tambahan: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Razak, Pesuruhjaya PAS Perlis Hashim Jasin dan bekas timbalan presiden Hassan Syukri.

Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang ketika ditemui pemberita di parlimen mengesahkan pelantikan Nik Aziz dan Dr Haron selama lima tahun.

Tambahnya, Nik Abdul Aziz sebelum ini yang menyatakan kegembiraan sekiranya tidak dilantik semula, bertindak demikian dengan "moral yang tinggi."

Ditanya mengenai pertimbangan anggota majlis berkenaan terhadap tahap kesihatan Nik Abdul Aziz, Abdul Hadi berkata menteri besar Kelantan itu dilihat masih mampu menjalankan tugas-tugasnya.

Sementara itu, walaupun membayangkan enggan dilantik semula sebagai pemimpin nombor satu dalam PAS, Nik Aziz hari ini dijangka mengumumkan kesediaannya memikul semula tanggungjawab dengan segera.

Menurut setiausaha politiknya Wan Nik Wan Yussof, satu kenyataan akhbar berhubung perkara itu akan dikeluarkan lewat petang ini.

“Beliau terima. Tetapi (bertugas) macam dulu juga, kalau sakit tidak dapatlah hadir ke mesyuarat,” katanya kepada Malaysiakini tengah hari ini.

“Penerimaan tersebut dibuat bagi menghormati keputusan majlis syura ulama. Berdasarkan pengalamannya juga, beliau wajar dilantik semula.”

- MALAYSIAKINI

Nik Aziz mahu Pas, Umno berdamai

by
KOTA BHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, semalam melahirkan hasrat untuk bekerjasama dengan Umno dalam usaha menegakkan kepentingan umat dan agama Islam di negara ini.

Beliau mengakui pertelingkahan yang berlaku antara Pas dan Umno sejak lebih 50 tahun lalu, tidak menguntungkan mana-mana pihak.

"Saya sangat gembira jika majlis membabitkan keagamaan dibuat antara Pas dan Umno. Sudah lebih 50 tahun kita (Pas) bertengkar dengan Umno.

"Apa hasilnya, banyak masa habis untuk bertengkar. Selain itu, banyak masa, kepakaran dan kewangan Umno diguna untuk melawan gerakan Islam yang dibawa Pas.

"Tidak ada sebab langsung Pas bertengkar dengan Umno. Perbincangan mengenai hal agama (antara Pas dan Umno) boleh dibuat secara baik," katanya selepas merasmikan majlis penutup seminar pemikiran Islam semasa, 'Pemakaian Kalimah Allah', di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), di Pengkalan Chepa, dekat sini, semalam.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, pembangunan di sesebuah negeri tidak semestinya dilakukan Umno saja, sebaliknya parti memerintah negeri itu bertanggungjawab melaksanakannya.

- BERITA HARIAN

Nik Aziz: Kelantan sedia terima wang ihsan tanpa lalui JPP

by
Kerajaan PAS Kelantan sedia menerima wang ihsan yang diberikan dari hasil minyak walaupun tidak dalam bentuk royalti dengan syarat ia diuruskan sendiri tanpa melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), kata Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau berkata walau dalam bentuk apapun pemberian itu, kerajaan negeri akan menerima tetapi hendaklah diberi terus kepadanya.

Katanya, Kelantan mempunyai kemampuan untuk mengurus dan mengendali sendiri wang itu tanpa melalui JPP yang merupakan agensi Kerajaan Pusat.

“Kita sedia menerima wang ihsan yang hendak diberikan oleh Kerajaan Pusat itu walaupun tidak atas nama royalti dengan syarat hendaklah diberi secara terus tanpa melalui JPP,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kolej Yayayan Islam Kelantan (YIK) di Kok Lanas, dekat sini.

Mursyidul Am PAS itu diminta mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed supaya Kerajaan Kelantan mengetepikan sentimen politik demi kepentingan rakyat negeri itu dalam tuntutan royalti minyak.

Bercakap kepada pemberita semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, kerajaan Kelantan sepatutnya tidak terus berkonfrontasi politik dalam hal ini.

Menurut Nik Aziz, malu bagi Kelantan jika pemberian wang itu disebut dalam bentuk wang ihsan bukannya royalti, kerana ihsan bermakna kasihan belas dan dalam hal ini bukan Kerajaan Pusat yang patut mengasihan belas Kelantan, tetapi Kelantan yang patut beri ihsan kepada pusat kerana minyak itu didakwa hak milik Kelantan.

Beliau juga menafikan kerajaan negeri mempolitikkan isu royalti itu. Sedangkan Barisan Nasional (BN) lebih dahulu mempolitikkan isu itu, katanya.

“Yang dia (BN) sendiri tidak politiking ke?. Kalau minyak itu datang dari pantai Terengganu tak payah buat undang-undang...Jadi dalam (hal) ini dia yang lebih dulu politiking dari kita,” katanya.

- Bernama

Nik Aziz: Perbuatan bakar gereja berdosa

by
Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata tindakan cuba membakar empat buah gereja di sekitar Lembah Klang semalam adalah perbuatan berdosa dan akan menerima balasan di akhirat nanti.

"Jadi tiap-tiap orang nak bakar gereja...dia kena reti, gereja ini harta kawan kita orang Kristian... bila kita bakar kita telah melukakan hati dia, berdosa kita di akhirat kelak," katanya.

Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan, berkata demikian kepada pemberita selepas menutup majlis Taklimat Isu-Isu Penerangan PAS Pusat di Shah Alam hari ini.

Katanya perbuatan membakar gereja di sebalik kehangatan bantahan isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain boleh terjadi apabila segelintir rakyat kehilangan sensitiviti dan kesucian agama dalam diri masing-masing.

Katanya apabila orang tidak mempunyai nilai sensitiviti agama maka perbuatan membakar gereja tidak menjadi masalah kepada pelakunya kerana mereka tidak mengenal soal dosa atau pahala.

Hadi kutuk perbuatan bakar gereja

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan pihak tidak bertanggungjawab menyerang tiga buah gereja di Lembah Klang semalam.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas meninjau kerosakan bangunan gereja Metro Tabernacle di Wangsa Maju hari ini.

Malah, kata Abdul Hadi, sewaktu perang pun umat Islam dilarang memusnahkan tempat ibadat, "apatah lagi ketika kita hidup dalam aman".

Beliau ditemani timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa. Mereka adalah antara pemimpin Pakatan Rakyat yang melawat bangunan gereja tersebut.

Dalam kejadian tengah malam semalam, pejabat pentadbiran di tingkat bawah bangunan gereja tersebut hangus terbakar.

Kerosakan tersebut sangat teruk sehingga mengakibatkan keseluruhan bangunan tersebut sudah tidak boleh digunakan lagi.

- MALAYSIAKINI

Enjin F5E- PAS mahu Najib letak jawatan

by
PAS mahu Datuk Seri Najib Tun Razak meletakan jawatan serta merta berhubung kes kehilangan dua enjin pesawat pemintas F5E pada 2007 iaitu semasa beliau memegang Menteri Pertahanan dan Timbalan Perdana Menteri.

Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad dalam satu kenyataan memberitahu, Najib sepatutnya berbuat demikian pada tahun 2008 lagi sewaktu kehilangan itu dikesan.

Namun dakwanya, Najib seperti merahsiakan perkara itu kerana mahukan laluan mudah menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Selaku Menteri beliau bertanggungjawab penuh diatas kecuaian terbesar yang berlaku dalam sejarah pentadbiran Kementerian Pertahanan. Sewajarnya beliau meletakan jawatan pada tahun 2008 iaitu ketika kehilangan enjin berkenaan disedari hilang bagi memberikan laluan kepada siasatan menyeluruh kes ini.

"Jelas beliau cuba merahsiakan perkara ini dari rakyat bagi memastikan laluan mudah agar dirinya dilantik sebagai Perdana Menteri mengantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi.Kelicikan politik beliau dalam menyembunyikan kes ini jelas memperlihatkan agenda beliau itu.

Kes kehilangan ini juga jelasnya tidak boleh dianggap remeh kerana ia adalah simbolik disebalik kegagalan sistem pertahanan negara dibawah pentadbiran Najib.

"Dibawah pentadbiran Najib, kita sudah lali mendengar kisah ruang udara negara diceroboh, helikopter nuri terhempas, kapal terbang terhempas, dan juga kisah-kisah perbelanjaan Kementerian Pertahanan yang dihalang untuk di Audit oleh Jabatan Audit negara.

Katanya rakyat tidak harus membiarkan pemimpin yang mementingkan politik peribadi dari keselamatan negara dan rakyat.

Apatah lagi, dizaman beliau juga bermacap program dilaksanakan yang akhirnya merugikan rakyat dan negara.

"Zaman Najib menjadi menteri pertahanan juga menyaksikan munculnya projek Angkawan Negara yang berakhir dengan kisah Pelancong Angkasa. Program Latihan Khidmat Negara juga dicipta dengan begitu banyak tragedi sedangkan manfaat yang diterima kurang dari 10 peratus dan masalah sosial generasi muda hari ini kian membarah. Zaman beliau begitu banyak kecuaian, kerugian, penipuan dan pembaziran," katanya lagi.

"Jika 2 unit enjin pesawat yang besar boleh hilang dari kawalan pasukan keselamatan negara, esok lusa apa pula yang hilang jika Najib masih kekal menjadi Perdana Menteri," katanya.

Kecurian Enjin F-5E memalukan negara- Nik Aziz

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kes kecurian enjin kapal terbang F-5E milik Tentera Udara Malaysia TUDM yang heboh diperkatakan boleh mencemarkan imej negara dan pemimpin negara ini.

Menurutnya, kecurian yang telah berlaku tahun 2007 itu bukan sahaja sesuatu yang sensitif, malah turut mencemarkan imej negara ini di mata dunia luar.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perkara itu di pejabatnya hari ini.

Menurutnya, injin berkenaan tidak akan dicuri sekiranya tidak mengamalkan rasuah atau melindungi kes berkenaan dari pengetahuan umum untuk tujuan tertentu.

“Senyap ni sebenarnya satu kecelakaan pada rakyat dan kerajaan, kenapa selepas dua tahun perkara itu berlaku yangmana Menteri Pertahanan sewaktu itu dipegang oleh orang lain, baru sekarang terdedah,”ujarnya.

“Betullah kata Tun Mahathir Umno ni perasuah, bahkan ianya sudah buruk sampai ke usus serta tidak boleh dibaiki lagi, macamana sebuah perkara yang begitu sensitif, injin kapal terbang TUDM boleh dicuri,”ujarnya.

Katanya, rayat sebenarnya harus mengakui Umno dan BN sudah tidak mampu mentadbir negara kerana telah terpalit pelbagai masaalah individu, parti, rasuah, korupsi dan seumpamanya.

“Sudah sampai masanya rakyat menghukum pemimpin BN sekarang dengan menolak parti mereka pada pilihan raya umum akan datang.

“Kalau kudis kita naik ke kaki kita boleh berubat, tetapi naik sampai naik ke kaki tak boleh nak ubati lagi macam Umno yang semakin parah, sudah tidak ada gunanya lagi,”ujarnya.

- HARAKAH DAILY

PAS tetap pertahan agenda hudud, negara Islam

by
PAS tidak akan sekali-kali berkompromi dengan perjuangannya untuk menegakkan negara Islam dan melaksanakan hudud kerana ia sebahagian tuntutan agama, tegas menteri besar Kelantan.

"Mana boleh kompromi, ini ibadat. Bila kita tolak politik Islam, (maksudnya) kita tolak ibadat. Sedangkan Tuhan buat manusia ini untuk beribadat.

"Ibadat bukan bermakna sembahyang sahaja," kata Datuk Nik Aziz Nik Mat, juga mursyidul am PAS, ketika diwawancara Malaysiakini Khamis lalu.

Beliau diminta mengulas pendirian PAS berhubung cita-cita besar parti itu apabila ia secara rasmi bersama Pakatan Rakyat apabila gabungan didaftarkan.

PAS dan DAP sering bergeser berhubung isu negara Islam dan hudud sehingga memaksa DAP meninggalkan Barisan Alternatif pada 2001.

Bagaimanapun kedua-dua parti itu berpayung bawah Pakatan Rakyat bersama PKR selepas kemenangan besar mereka pada pilihan raya umum 2008.

Ditemui di pejabatnya di Kota Bharu, Nik Aziz bagaimanapun positif bahawa perbincangan berterusan berhubung perkara itu antara tiga parti utama tersebut boleh menjernihkan keadaan.

"Islam sebut, bawa mari hujah (kamu). Awak tidak faham, (awak) boleh caci Islam, boleh caci apa saja. Islam beri peluang jawab (dengan) hujah.

"Cuma kalau tidak faham, kita tanya orang lain," katanya.

Diminta mengulas sikap beberapa pemimpin kanan DAP yang agak lantang dengan dua agenda PAS tersebut, seperti pengerusi DAP Karparl Singh, Nik Aziz secara sinis berkata:

"Tidak apa. Karpal Singh ini kira orang tua. Kadang-kadang bila orang kacau kita, kita tengok orang itu. Kadang-kadang kita kata, biarlah. Dia sudah tua, kita hormatlah dia.

"Orang yang bercakap macam itu, sudah tidak ada sekarang, makin kurang. Itu watak lama."


Berikut petikan wawancara berhubung isu tersebut:

Hubungan dalam parti-parti Pakatan, selalu muncul isu hudud, kerajaan Islam. Setakat mana PAS sebagai parti yang perjuangkan Islam boleh berkompromi dalam perkara ini, yang selalu menyebabkan perselisihan faham dengan DAP?

Mana ada manusia boleh hidup senang dari muda sampai ke tua. Kadang-kadang kena kudis, doktor pun berkudis juga. Jadi, lumrah alam dan dunia memang begitu. Ada syaitan-malaikat, baik-jahat, syurga-neraka.

Tidak usahlah perkara ini. Hendak sebut, (sila) sebut. Tetapi kena dengar jawapan (kami). Kalau kamu seorang sebut, (tetapi) tidak hendak dengar jawapan, mana boleh.

Islam sebut, bawa mari hujah (kamu). Awak tidak faham, (awak) boleh caci Islam, boleh caci apa saja. Islam beri peluang jawab (dengan) hujah. Cuma kalau tidak faham, kita tanya orang lain.

Cumanya, kita masih berpegang dan tidak akan berkompromi dengan idea negara Islam, dengan hudud?

Mana boleh kompromi, ini ibadat. Bila kita tolak politik Islam, (maksudnya) kita tolak ibadat. Sedangkan Tuhan buat manusia ini untuk beribadat. Ibadat bukan bermakna sembahyang sahaja. Sembahyang pun kalau tidak betul cara ibadatnya, ditolak Allah.

Bagi kami (sebagai) pejuang Islam, semua kerja itu ibadat. Hatta ceramah pun ibadat. Orang hendak bagi duit minyak, bagi. Tidak beri, maka cicah roti denga budu. Biasalah dalam PAS ini, kerana kami dapat pahala.

Orang tolak Islam dapat pahala apa? Kita doa, itu (juga) ibadat. Orang Umno berdoa juga, doa dengan allah, Allah mana hendak terima (doa, sebab) kamu tolak Islam.

Bagaimana hasrat ini hendak jadi kenyataan sebab dalam DAP misalnya, orang mudanya agak OK tetapi orang lama macam pengerusinya Karpal Singh itu nampak keras sikit.

Tidak apa. Karpal Singh ini kira orang tua. Kadang-kadang bila orang kacau kita, kita tengok orang itu. Kadang-kadang kita kata, biarlah. Dia sudah tua, kita hormatlah dia.

Orang yang bercakap macam itu, sudah tidak ada sekarang, makin kurang. Itu watak lama.

Apa boleh buat? Nabi Muhammad dulu, bapa saudaranya Abu Talib membela baginda, tetapi dia tidak turut Islam. Apa boleh buat?

(Membaca hadis) Nabi kata, baginda ajar bapa saudaranya mengucap (dua kali syahadah), tetapi dia (Abu Talib) kata: 'kalau aku mengucap, aku malu.'

Malu (sebab) bapa saudara turut (ajaran) anak saudara. Biasanya anak saudara yang ikut bapa saudara. (Abu Talib kata,) 'tidak mengapalah, biar aku masuk neraka daripada tanggung malu.' Ada juga orang sebut macam itu.

Habis itu, kita akan terus beri nasihat? Berbincang?

Ya, nasihat, sebut, bincang. Saya suka sangat kalau orang tanya saya. Kalau saya boleh jawab, saya jawab. Tidak boleh jawab, saya kata tanya orang lainlah, saya tidak berapa faham.

- MALAYSIAKINI

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90