Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label PKR. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PKR. Papar semua catatan

Senarai Calon PKR PRU 15 diumum

by

 


PKR akan bertanding 75 kerusi Parlimen, namun pada majlis pengumuman calon-calon dan majlis tandatangan ikrar pencalonan di Ampang malam tadi, hanya 72 nama diumumkan.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata calon untuk baki tiga lagi kerusi dijangka dimuktamadkan hari ini.

Senarai calon bagi 72 kerusi yang sudah diumumkan boleh dirujuk di laman https://calonkeadilan.org/

SENARAI CALON PKR BAGI KERUSI PARLIMEN

JOHOR

1 - R Yuneswaran, 35. (Segamat)

2 - Dr Zaliha Mustafa, 58. (Sekijang)

3 - Iskandar Shah, 41. (Pagoh)

4 - Syed Ibrahim Syed Noh, 58. (Ledang)

5 - Onn Abu Bakar, 59. (Batu Pahat)

6 - Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam)

7 - Zuraidah Zainab Mohd Zain, 53. (Tenggara)

8 - Jimmy Puah Wee Tee Sze, 46. (Tebrau)

9 - Hassan Abdul Karim, 71. (Pasir Gudang)

10 - Akmal Nasrullah Mohd Nasir, 36. (Johor Baru)

11 - Mohd Sayfaul Ariffin Abdul Karim, 46. (Pontian)

KEDAH

12 - Dr Mohamed Fadzil Mohd Ali, 48. (Jerlun)

13 - Aizuddin Ariffin, 35. (Kubang Pasu)

14 - Simon Ooi Tze Min, 38. (Alor Setar)

15 - Dr Azman Ismail, 61, (Kuala Kedah)

16 - Zulkifly Mohamad, 52. (Pendang)

17 - Nor Azrina Surip, 46. (Merbok)

18 - Dr Mohammed Taufiq Johari, 26. (Sungai Petani)

19 - Karupaiya Mutusami, 69. (Padang Serai)

20 - Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, 58. (Kulim Bandar Baru)

KELANTAN

21 - Datuk Husam Musa (Pasir Mas)

22 - Nor Azmiza Mamat, 38. (Bachok)

23 - Rahimi L Muhamud, 53. (Ketereh)

24 - Mohamad Suparadi Md Noor, 62. (Tanah Merah)

25 - Rosli Allani S Abdull Kadir, 47. (Machang)

26 - Asharun Uji, 48. (Gua Musang)

MELAKA

27 - Rosnah Aluai, 60. (Tangga Batu)

28 - Adam Adli Abd Halim, 33. (Hang Tuah Jaya)

NEGERI SEMBILAN

29 - Nor Azman Mohamad, 44. (Kuala Pilah)

30 - Jufitri Joha, 43. (Rembau)

31 - Datuk Seri Aminuddin Harun, 55. (Port Dickson)

PAHANG

32 - Hassan Basri Awang Mat Dahan (Jerantut)

33 - Zuraidi Ismail, 56. (Indera Mahkota)

34 - Fuziah Salleh, 64. (Kuantan)

35 - Mohd Naim Zainal Abidin, 56. (Pekan)

36 - Mohamed Hafez Harun, 45. (Kuala Krau)

37 - Abas Awang, 71. (Bera)

38 - Erman Shah Jaios, 43. (Rompin)

PULAU PINANG

39 - Nurul Izzah Anwar, 41. (Permatang Pauh)

40 - Fadhlina Sidek, 44. (Nibong Tebal)

41 - Sim Tze Tzin, 46. (Bayan Baru)

42 - Muhammad Bakhtiar Wan Chik, 57. (Balik Pulau)

PERAK

43 - Jurey Latiff Mohd Rosli (Lenggong)

44 - Siti Aishah Shaik Ismail, 37. (Bagan Serai)

45 - Muhammad Kamil Abdul Munim, 32. (Padang Rengas)

46 - Datuk Seri Anwar Ibrahim (Tambun)

47 - Tan Kar Hing, 40. (Gopeng)

48 - Nik Omar Nik Ab Aziz, 57. (Pasir Salak)

49 - Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, 47. (Bagan Datuk)

50 - Chang Lih Kang, 41. (Tanjung Malim)

PERLIS

51 - Noor Amin Ahmad, 40. (Kangar)

52 - Fathin Amelina Fazlie, 27. (Arau)

SELANGOR

52 - Saipolyazan Mat Yusop, 52. (Sungai Besar)

53 - Dr Sathia Prakash Nadarajan, 45. (Hulu Selangor)

54 - William Leong, 65. (Selayang)

55 - Datuk Seri Amirudin Shari, 42. (Gombak)

56 - Rodziah Ismail, 58. (Ampang)

57 - Rafizi Ramli, 45. (Pandan)

58 - Wong Chen, 53. (Subang)

59 - Lee Chean Chung, 41. (Petaling Jaya)

60 - Ramanan Ramakrishnan (Sungai Buloh)

61 - Abdullah Sani Abdul Hamid, 60. (Kapar)

62 - Manivanan Gowin, 46. (Kuala Langat)

TERENGGANU

63 - Mohamad Ngah, 69. (Setiu)

64 - Alias Ismail, 54. (Hulu Terengganu)

65 - Mohasdjone @ Mohd Johari Mohamad, 51. (Dungun)

66 - Hasuni Sudin, 59. (Kemaman)

WILAYAH PERSEKUTUAN

67 - P Prabakaran, 26. (Batu)

68 - Zahir Hassan, 63. (Wangsa Maju)

69 - Nik Nazmi Nik Ahmad, 40. (Setiawangsa)

70 - Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, 41. (Lembah Pantai)

71 - Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Bandar Tun Razak)

72 - Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz, 47. (Putrajaya)



PH sedia bekerjasama dengan Tun M dan Muhyiddin

by

 


Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim terbuka untuk bekerjasama dengan seteru termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk mendepani cabaran dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Anwar yang juga Presiden PKR, berkata pintu kerjasama itu sentiasa terbuka asalkan berlandas prinsip tertentu, bukan semata-mata untuk menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"'Come together' itu memang kenyataan yang lunak seperti bersatu, bersatu itu apa, ada orang bersatu yang nak rompak, ada bersatu dengan macam cerita persatuan 40 penyamun. Jadi bersatu itu mesti bersandarkan kepada beberapa prinsip yang jelas.

"Ada kelola yang baik, menolak rasuah, tidak bersetuju dengan dasar perkauman atau fanatik agama, itu prinsip utama dan kalau bersetuju silakan, ini bukan mirip monopoli mana-mana parti.

"Kami (PH) komited dalam melaksanakan agenda reform (pembaharuan), melawan gejala rasuah dan penyalahgunaan rasuah. Sesiapa saja yang bersetuju dengan prinsip ini, boleh datang dan berbincang kami. Ruang adalah terbuka," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya kemungkinan kerjasama dengan pihak tertentu, termasuk Dr Mahathir dan Muhyiddin biarpun masing-masing memiliki sejarah hitam susulan Langkah Sheraton pada 2020.

Anwar berkata, sebarang kerjasama perlu terikat dengan prinsip, bagi mengelakkan persepsi bahawa tujuan perjuangan hanya untuk menumbangkan UMNO.

"Sebab itu saya agak apa-apa kerjasama mesti terikat dengan prinsip, kalau tidak kata...oh tujuan kita menumbangkan UMNO, itu saja.

"Tapi yang nak tumbangkan, siapa? Lihat umpamanya, ramai terpalit dengan rasuah besar, tengok UKSB (Ultra Kirana Sdn Bhd), kes...itu nama-nama itu kena jelaskan dulu.

"Kalau tidak, nak jelaskan rasuah, yang dikumpul wang dalam negara dan Pandora Papers, itu banyak.

"Jadi kita yang berteraskan kepada prinsip ini, harus jelaskan. Saya tidak mahu membuat tuduhan. Jelaskan hal ini," katanya.

Justeru, beliau berkata, PKR komited dengan agenda reformasi dan agenda PH iaitu menentang rasuah, salah guna kuasa dan semua bentuk pembaziran.

"Sesiapa sahaja yang bersetuju, mereka boleh berbincang dengan kami," katanya.

Mengulas mengenai penyertaan parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), Anwar berkata, perbincangan masih diteruskan.

"Kita sebut dahulu mengenai MUDA dan PSM, perbincangan masih diteruskan, dengan MUDA itu tertakluk kepada syarat yang disepakati bersama," katanya.

Sementara itu, ditanya persediaan manifesto PH, penyandang kerusi Parlimen Port Dickson itu berkata, gabungan terbabit tidak akan menjanjikan bulan dan bintang.

Sebaliknya, PH akan berjanji seperti mana yang disebut dalam al-Quran, iaitu cuba sedaya upaya dan sebaik mungkin.

"Kita tak mahu panjang-panjang, kita tak mahu janji melangit, kita tak nak sebut macam-macam.

"Tetapi ada terasnya, iaitu kos sara hidup, pendidikan, kemudahan kesihatan, peluang pekerjaan dan dari segi tadbir urus, hentikan rasuah," katanya.

Beliau berkata, manifesto akan dilancarkan pada 20 Oktober ini di Ipoh, Perak ketika Konvensyen PH berlangsung.

Sumber : Berita Harian

PKR lancar ADIL 2.0

by

 


Aplikasi ADIL yang diperkenal PKR ketika pemilihan parti itu baru-baru ini, dinaik taraf dengan pelancaran ADIL 2.0.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ADIL 2.0 menampilkan lebih banyak fungsi yang berupaya membantu mengurangkan kesenjangan teknologi di antara masyarakat bandar dan luar bandar.

"Dua tahun lalu saya cuba menerangkan mengenai hal ini. Itu percubaan kita untuk menjelaskan kekuatan teknologi baharu yang harus dikuasai rakyat.

"Jika tidak dilakukan, akan ada kesenjangan di antara orang atasan bandar dan rakyat biasa. Digitalisasi ini kalau tidak berwaspada, akan menyebabkan kesenjangan melebar di antara golongan kaya dengan golongan miskin," katanya pada sidang media.

Anwar berkata, menerusi aplikasi yang dinaik taraf itu, pengguna boleh membangkitkan masalah dihadapi mereka.

Katanya, ini termasuk mengemuka aduan, memberi cadangan serta penambahbaikan bukan sahaja kepada parti, malah persekitaran.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, berkata ADIL 2.0 memboleh orang ramai mengetahui aktiviti parti, termasuk pimpinannya.

"Beza ADIL 1.0 dan ADIL 2.0 dari segi penambahbaikan pengalaman pengguna serta sistem 'chatbot'.

"Aplikasi ini membolehkan mereka mendapatkan status keahlian parti dan selain memaparkan aktiviti parti, berita, ceramah mega, jelajah dan sebagainya.

"Dalam sistem chatbot pula, pengguna boleh memberi maklum balas sama ada pandangan, cadangan dan aduan," katanya.

Beliau berkata, aplikasi berkenaan turut menawarkan ciri pengumpulan dana pilihan raya PKR dan memiliki sistem e-wallet.

Sumber : Berita Harian

Saifuddin Abdullah sertai PKR

by

Datuk Saifuddin Abdullah pada 15 Oktober 2015 disahkan meninggalkan Umno dan menyertai PKR.

Perkara tersebut diumumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, di Petaling Jaya, Selangor.


Menurut Wan Azizah, penyertaan Saifuddin akan mengukuhkan lagi rumpun parti tersebut, selain menguatkan perjuangan rakyat di negara ini.


"Krisis politik dan kegawatan ekonomi yang melanda negara hari ini mendorong rakyat dan pemimpin berfikir betapa perlunya mengambil langkah berani dan membuat anjakan dalam pendirian untuk menyertai gerakan yang menerajui perubahan.


"Kecelaruan kepimpinan telah menyebabkan ramai pemimpin Umno dan parti komponen BN hilang kepercayaan kepada kepimpinan kerajaan," katanya ketika sidang media berlangsung pada hari ini.


Menurut Wan Azizah lagi, kehadiran Saifuddin akan memberi kelebihan kepada parti kerana beliau mempunyai jaringan yang kuat dengan NGO.

"Kami berasa gembira mengalukan penyertaan Saifuddin ke dalam keluarga besar kami. Penyertaan beliau sudah tentu akan memperkukuhkan usaha kami untuk menggembleng perpaduan dan kekuatan rakyat demi perubahan dan pembaharuan.


"Saya juga yakin beliau akan dapat memainkan peranan strategik dalam Pakatan Harapan untuk memastikan gabungan baharu ini menumpukan kepada gagasan idea baharu untuk ditawarkan kepada rakyat," katanya lagi.

Sementara itu, Datuk Saifuddin Abdullah menegaskan beliau menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana merasakan tidak sesuai bersama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN).


Saifuddin berkata beliau tertarik dengan model berbilang kaum PKR, tidak seperti BN yang didakwa mengamalkan politik perkauman.
"Saya menganggap ini satu keputusan besar bagi orang kecil seperti saya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR pada Khamis.
Beliau juga berkata akan meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) sebaik sahaja pengerusinya, Tan Sri Razali Ismail kembali dari luar negara.
Saifuddin yang juga bekas timbalan menteri, baru-baru ini menerima surat tunjuk sebab oleh Umno kerana menghadiri persidangan meja bulat pihak pembangkang pada 21 September lalu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Saifuddin gagal mempertahankan kerusi Parlimen Temerloh yang jatuh ke tangan PAS.
Beliau juga hilang jawatan dalam Majlis Tertinggi Umno selepas tewas pada pemilihan parti itu pada tahun yang sama.
Sumber

Azmin Ali Nafi Akan Tinggalkan PKR

by

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali pada Jumaat menafikan bahawa beliau akan meninggalkan parti.

Katanya, dakwaan beliau akan keluar parti hanyalah fitnah dan khabar angin.

"Kepada 'saudagar-saudagar khabar angin' ini, saya ingin menegaskan bahawa saya akan meneruskan perjuangan dengan lebih gigih lagi.

"Saya tidak berhasrat untuk meletakkan jawatan dari jawatan parti dan wakil rakyat apatah lagi meninggalkan perjuangan rakyat ini," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di Petaling Jaya, Jumaat.

Azmin berkata dakwaan ini timbul apabila nama beliau dikaitkan dengan isu pelantikan Menteri Besar Selangor.

Malah, beliau juga percaya khabar angin ini ditiupkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Mereka telah berkerja bersungguh-sungguh untuk membina persepsi bahawa saya terlalu kemaruk untuk menjadi Menteri Besar Selangor dan saya akan menyertai Umno sekiranya tidak mendapat jawatan tersebut.

"Fitnah ini adalah satu penghinaan terhadap integriti saya," katanya.

Mengulas mengenai pelantikan Menteri Besar Selangor, Azmin berkata namanya tidak harus menjadi isu sebaliknya yang menjadi isu ialah proses pemilihan calon.

"Isunya adalah proses pemilihan calon tersbut untuk dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mestilah melalui rundingan yang telus seperti dituntut al-Quran dan urusan dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka," katanya.

Dalam pada itu pengerusi PKR Selangor ini turut menyatakan pendirian menolak amalan nepotisme dalam parti.

Katanya PKR merupakan sebuah parti reformasi dan milik rakyat.

"PKR bukan milik individu atau keluarga tertentu. Parti ini milik rakyat.

"Oleh itu setiap kesilapan yang berlaku harus ditegur demi kepentingan parti secara keseluruhannya," tegasnya.

- mSTAR


Anwar Kekal Di Parlimen Permatang Pauh

by

BUKIT MERTAJAM: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Keputusan itu sekali gus menamatkan spekulasi bahawa dia merancang untuk bertanding di Perak baru-baru ini.

Beliau berkata, dia ingin bersama pengundi dan penyokong setianya di kawasan tersebut.

Katanya, beliau terhutang budi dengan penduduk di Permatang Pauh yang sentiasa menyokongnya walaupun dia tidak lagi bersama parti memerintah dan kerajaan.

"Isteri saya (Datuk Seri Dr Wan) Azizah (Wan Ismail) pada awalnya tidak bersetuju apabila saya memberitahunya bahawa saya sedang mempertimbangkan untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun di Perak.

"Beliau berkata rakyat di Permatang Pauh adalah penyokong setia yang sentiasa berdiri dibelakangnya dan PKR selama ini," katanya pada ceramah di Taman Seri Pauh, Permatang Pauh di sini, Jumaat.

Terdahulu, ketika sesi bertemu penduduk di Kubang Semang, Anwar berkata beliau memerlukan masa untuk membuat keputusan mengenai kerusi yang akan ditandingi iaitu sama ada akan mempertahankan kerusi Permatang Pauh atau berubah angin ke Perak.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat memenangi tiga kerusi Parlimen Parit Buntar, Bagan Serai dan Gopeng di Perak pada pilihan raya umum 2008.

Menurut beliau, keputusan untuk mempertimbangkan Perak adalah sebagai strategi politik untuk meningkatkan sokongan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Ketua Srikandi PKR, Siti Aishah Shaik Ismail akan bertanding di kerusi Tambun, kata Anwar.

Anwar merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh sejak 1982 apabila beliau menyertai Umno.

Isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengambil alih kerusi tersebut pada pilihan raya umum 1999 apabila beliau dipenjarakan atas tuduhan liwat dan rasuah.

Anwar memenangi semula kerusi Permatang Pauh menerusi pilihan raya kecil pada Ogos 2008 selepas kerusi tersebut dikosongkan oleh Wan Azizah.

- MSTAR

 

Calon PKR yang disahkan Bertanding pada PRU 13

by
Calon PKR yang disahkan Bertanding pada PRU 13

1. Mohamed Azmin Ali - P98 Gombak
Timbalan Presiden, Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya
Pertahan kerusi

2. Datuk Saifuddin Nasution Ismail - P18 Kulim-Bandar Baharu
Setiausaha Agung
Pindah kawasan

3. Tian Chua - P115 Batu
Naib Presiden
Pertahan kerusi

4. N Surendran - P17 Padang serai
Naib Presiden
Calon baru

5. Fuziah Salleh - P83 Kuantan
Naib Presiden
Pertahan kerusi

6. Nurul Izzah Anwar - P121 Lembah Pantai
Naib Presiden
Pertahan kerusi

7. Datuk Dr Mansor Othman - P47 Nibong Tebal
Naib Presiden, Pengerusi KEADILAN Pulau Pinang
Pindah kawasan

8. Rafizi Ramli - P100 Pandan
Pengarah Strategi
Calon baru

9. Dr Muhammad Nur Manuty - P58 Bagan Serai
Ketua Penerangan, Pengerusi KEADILAN Perak
Calon baru

10. William Leong - P97 Selayang
Bendahari Agung
Pertahan kerusi

11. Onn Abu Bakar - P153 Sembrong
Ketua KEADILAN Cabang Putrajaya
Calon baru

12. Dr Abdul Aziz Bari - P92 Sabak Bernam
Bekas Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA)
Calon baru

13. Datuk Dr Tan Kee Wong - P116 Wangsa Maju
Pengerusi Jawatankuasa Disiplin
Calon baru

14. Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim - P124 Bandar Tun Razak
Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Menteri Besar Selangor
Pertahan kerusi

15. Shamsul Iskandar Mohd Akin - P137 Bukit Katil
Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Pengerusi KEADILAN Melaka
Pindah kawasan

16. Gooi Hsiao Leung - P9 Alor Setar
Ketua Biro Perundangan KEADILAN Kedah
Bertanding semula

17. Dr Azman Ismail - P10 Kuala Kedah
Ketua Cabang KEADILAN Kuala Kedah
Calon baru

18. Datuk Fauzi Abdul Rahman - P82 Indera Mahkota
Pengerusi KEADILAN Pahang
Calon baru

19. Baru Bian - P221
Pengerusi KEADILAN Sarawak
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak menang DUN

20. Murnie Hidayah Anuar - P084 Paya Besar
Peguam Hak Asasi Manusia
Calon baru

21. Ali Biju - P205 Saratok
Timbalan Pengerusi KEADILAN Sarawak
PRN Sarawak menang DUN

22. Abang Zulkifli Abang Engkeh - P1201 Batang Lupar
Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya KEADILAN Sarawak
PRN Sarawak tanding DUN

23. Abun Sui Anyit - P216 Hulu Rajang
Setiausaha KEADILAN Hulu Rajang, pejuang hak tanah adat
Calon baru

24. Roland Engan - P220 Baram
Peguam, pejuang melawan pembinaan empangan Baram
Calon baru


* Tertakluk kepada perubahan.


PRU13: Anwar ramal Pakatan Rakyat menang majoriti minimum 10 kerusi

by
Pakatan Rakyat akan memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang dengan majoriti lebih daripada 10 kerusi parlimen dan menguasai sekurang-kurangnya enam daripada 13 negeri, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada hari pertama berkuasa, kerajaan Pakatan Rakyat akan meliberalisasikan lesen akhbar, kata Anwar dalam satu temubual di Kuala Lumpur hari ini.

Dasar utama dalam tempoh 100 hari pertama akan termasuk pendidikan, pembasmian rasuah dan perolehan kerajaan. Tiada hukuman yang akan diambil terhadap pemimpin-pemimpin terdahulu, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, yang memecat beliau pada tahun 1998, katanya.

"Saya tidak mahu dianggap terlalu yakin, tetapi saya percaya,
melihat pada trend sekarang, akan dapat majoriti yang selesa," kata ahli politik yang berusia 65 tahun itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mesti membubarkan Parlimen pada 28 April untuk mengadakan PRU dalam tempoh 60 hari.

Anwar mahu menewaskan kerajaan yang beliau pernah berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan, dan yang telah mentadbir Malaysia selama 55 tahun.

Mahathir, yang berkhidmat sebagai perdana menteri selama 22 tahun sebelum bersara pada tahun 2003, mengambil alih jawatan menteri kewangan selepas memecat Anwar semasa krisis kewangan Asia.

Perdana menteri selepas itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini Najib, turut memegang portfolio tersebut. Anwar berkata beliau akan menyerahkan tugas itu kepada orang lain jika beliau menjadi perdana menteri.

"Setelah berpengalaman selama lapan tahun sebagai menteri kewangan, saya tahu ia sangat sukar," kata Anwar.

"Anda tidak boleh mempunyai perdana menteri yang juga menjadi menteri kewangan. Anda tidak akan ada masa apabila anda mempunyai masalah forex, berurusan dengan Suruhanjaya Sekuriti. "

Pakatan belum memutuskan siapa yang akan menjadi menteri kewangan serta jawatan Kabinet yang lain, katanya.

Persaingan dalam PRU13 kali ini 'sangat sengit', kata Ibrahim Suffian, seorang penganalisis politik di Merdeka Center for Opinion Research.

"Ini adalah masa yang terkuat untuk pembangkang dalam sejarah," katanya melalui telefon.

Sumber : MALAYSIAKINI




Anwar Nafi Beri Isyarat Hasut Penyokong Rempuh Polis

by
Ketua Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin menafikan bahawa beliau bertukar isyarat dengan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali untuk menghasut penyokong Bersih 3.0 supaya merempuh halangan polis di sekitar Dataran Merdeka, Sabtu lalu.

Anwar berkata, isyarat tangan yang ditunjukkan ke arah ahli Parlimen Gombak itu adalah bermaksud untuk berbincang dengan polis.

Azmin kemudiannya memberitahu, beliau mengangkat ibu jarinya kepada Anwar sebagai isyarat bahawa dia telah berbincang dengan polis untuk membenarkan penyokong memasuki Dataran Merdeka.

Menurutnya, beliau melihat Anwar memberi isyarat kepadanya untuk berunding dengan polis dan beliau membalas isyarat tersebut untuk menyatakan bahawa beliau telah berunding.

"Saya bertemu dengan polis di hadapan halangan polis. Saya telah memberi isyarat kepada Anwar bahawa saya telah berbincang polis dan bukannya menghasut penyokong untuk merempuh masuk ke Dataran Merdeka.

"Namun, seorang anggota polis memberitahu saya bahawa dia belum mendapat sebarang arahan. Selepas itu, saya arahkan semua penyokong supaya duduk dan bertenang," katanya pada sidang media di Petaling Jaya.

Azmin turut menyifatkan dakwaan tersebut sebagai satu propaganda yang sengaja dicetuskan Umno untuk menutupi keganasan dilakukan pihak polis.

"Saya tidak mengeluarkan arahan 'masuk, masuk Dataran Merdeka' kepada penyokong sebelum halangan polis dirempuh. Itu tidak benar," katanya.

Beliau juga menafikan bahawa memberikan isyarat kepada seorang lelaki India berkemeja-T berwarna kuning yang didakwa sebagai ahli PKR, Negeri Sembilan supaya mengalihkan besi penghadang dan meluru ke Dataran Merdeka, diikuti penyokong lain.

"Saya tidak berkomunikasi dengan lelaki tersebut. Saya tidak ingat dengan siapa saya bercakap tetapi segala isyarat adalah berkaitan rundingan dengan polis," katanya.

Sementara itu, Anwar berkata pihaknya akan melakukan siasatan sekiranya lelaki tersebut adalah ahli PKR dan bertindak melampaui keputusan parti.

Malah, terdahulu, katanya, beliau mengarahkan semua penyokong supaya bergerak ke kanan iaitu ke arah Jalan Tuanku Abdul Rahman.

"Saya merayu kepada penyokong supaya bergerak ke kanan, bukan ke kiri iaitu Dataran Merdeka tetapi mereka enggan dan bertindak sebaliknya," katanya.

Pada masa sama, beliau turut mempertahankan tindakan penyokong yang merempuh masuk ke Dataran Merdeka kerana menganggap ia bukanlah satu jenayah besar.

Pada Isnin, satu video yang dimuat turun di laman sosial You Tube merakamkan Anwar menunjukkan isyarat ke Dataran Merdeka dan kemudiannya membuat isyarat baru dengan kedua-dua tangan kepada Azmin.

- MSTAR

Menteri Besar Selangor tidak akan membubarkan DUN jika Pilihan Raya Umum ke-13 diadakan sebelum Jun 2012.

by

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak akan dibubarkan pada awal tahun depan meskipun Kerajaan Persekutuan bertindak membubarkan Parlimen.

Beliau bagaimanapun berkata pihaknya bersedia menyertai Pilihan Raya Umum ke-13 jika ia diadakan selepas Jun 2012.

"Kita (kerajaan negeri) telah memutuskan tidak akan sertai (pembubaran DUN) jika kerajaan pusat membubarkan Parlimen awal tahun depan untuk mengadakan pilihan raya umum.

"Ini sebab kerajaan negeri mahu program dalam Belanjawan negeri 2012 yang diluluskan pada persidangan DUN untuk kebajikan rakyat dilaksanakan untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan, bermula tahun depan.

"Jika ini tidak berlaku, maka ia menunjukkan seolah-olah kita tidak mengutamakan kebajikan rakyat," katanya kepada pemberita selepas sidang DUN Selangor berakhir hari ini dan ditangguh ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Abdul Khalid menafikan keputusan itu dibuat kerana tidak yakin akan mendapat sokongan rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

Menyentuh perkara lain, beliau menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya Sultan Selangor mencampuri pentadbiran negeri apabila didakwa mengarahkan setiap anggota DUN Selangor meluluskan pindaan undang-undang bagi meluaskan bidang kuasa berkaitan hal-ehwal Islam di negeri ini, Julai lepas.

Dakwaan itu, yang disiarkan sebuah portal berita, menyatakan Sultan Sharafuddin Idris Shah kononnya mengarahkan setiap ADUN Selangor meluluskan draf pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2003 pada sidang DUN 11 Julai lepas.

"Sultan Selangor tidak campur tangan dalam pengurusan kerajaan negeri. Sebagai Ketua Negeri dan Ketua Agama Islam Negeri, baginda mahukan satu keharmonian di negeri ini termasuklah meliputi seluruh rakyatnya," kata Khalid.

- MSTAR

Senarai Calon PKR Pilihanraya DUN Sarawak 2011

by
Berikut senarai 48 calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak

1) N1 (Opar) - Boniface Willy Tumek

2) N2 (Tasik Biru) - John Tenewi Nuek @ John Tenewi

3) N4 (Pantai Damai) - Wan Zainal Abidin Wan Senusi

4) N5 (Demak Laut) - Ali Hossen Abang

5) N6 (Tupong) - Baharudin @ Din Shah Mokhsen

6) N7 (Samariang) - Zulrusdi Mohamad Hol

7) N8 (Satok) - Ahmad Nazib Johari

8) N11 (Batu Lintang) - See Chee How

9) N14 (Asajaya) - Arip Ameran

10) N16 (Bengoh) - Willie Mongin

11) N17 (Tarat) - Peter Ato Mayau

12) N18 (Tebedu) - Christopher Kiyui

13) N19 (Kedup) - Lainus Andrew Luwal

14) N21 (Simunjan) - Mashor Hossen

15) N23 (Lingga) - Abang Ahmad Arabi Abang Bolhassan

16) N25 (Balai Ringin) - Ibi Uding

17) N26 (Bukit Begunan) - Jimmy Lim @ Jimmy Donald

18) N28 (Engkilili) - Marusi @ Barudi Mawong

19) N29 (Batang Ai) - Nicholas Bawin Anggat

20) N30 (Saribas) - Abang Zulkifli Abang Engkeh

21) N31 (Layar) - Stanny Embat Pharoh Laja

22) N32 (Bukit Saban) - Jerah Engkiong @ Edward Jerah

23) N33 (Kalaka) Mohd Yahya Abdullah

24) N34 (Krian) - Ali Biju

25) N35 (Belawi) - Abdul Wahab Abdullah

26) N36 (Semop) - Kipawi Suhaili

27) N37 (Daro) - Jamaludin Ibrahim

28) N42 (Meluan) John Brian Anthony Jeremy Guang

29) N43 (Ngemah) Aris Lalap

30) N44 (Machan) - Chen Nguk Fa

31) N49 (Nagka) - Norisham Mohamed Ali

32) N50 (Dalat) - Sylvester Ajah Subah @ Ajah Subah

33) N51 (Balingian) - Suriati Abdullah

34) N52 (Tamin) - Mengga Mikui

35) N53 (Kakus) - Paulanyie Raja

36) N54 (Pelagus) - Edward Sumbang Asun

37) N55 (Katibas) - Munan Laja

38) N56 (Baleh) - Bendindang Manjah

39) N57 (Belaga) - Basah Kesing @ Ali Basah Kesing

40) N58 (Jepak) - Abdul Jalil Bujang

41) N60 (Kemena) Bernard Binar Bayang Rading

42) N61 (Bekenu) - Ishak Mahwi

43) N62 (Lambir) - Zolhaidah Suboh

44) N65 (Senadin) - Michael Teo Yu Keng

45) N67 (Telang Usan) - Ngau Laing

46) N69 (Batu Danau) - Lau Liak Koi

47) N70 (Ba'kelalan) - Baru Bian

48) N71 (Bukit Sari) - Japar Suyut

- MSTAR

Pakatan sedia bertarung tanpa bantuan Snap

by
Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan bayangan kemungkinan PKR akan bertarung pada pilihan raya negeri Sarawak kali ini tanpa bantuan parti Snap.

Dalam lawatannya ke sebuah rumah panjang di Sri Aman - kira-kira 200km dari tenggara Kuching, semalam, Anwar menggesa pengundi masyarakat Iban supaya menolak parti tertentu yang didakwanya ditaja oleh BN bagi memecahkan undi pembangkang.

Meskipun tidak menamakan parti berkenaan, namun adalah jelas beliau merujuk kepada Snap.

"Dua tahun lalu, ada sebuah parti yang hampir mati tetapi tiba-tiba mahu bertanding di sini. Dari mana datang wang itu?

"Siapa beri mereka wang? Parti itu mahu memecah-belahkan undi pembangkang,” kata Anwar kepada kira-kira 50 penduduk Iban di Rumah Ayok, Pakit B, yang terletak dalam kerusi dewan undangan negeri Bukit Begunan.

"DAP, PAS dan PKR datang ke sini bagi melawan BN,” katanya sambil tidak menyebut parti Snap yang juga adalah komponen Pakatan Rakyat.

Terdahulu, ketika ceramahnya di Mulugu, yang juga terletak di DUN Bukit Begunan, Anwar mendakwa “parti yang hampir mati” itu ditaja oleh BN.

"Ia ditaja oleh BN bagi memecahkan Iban, Melayu, Cina, Bidayuh, Melanau dan lain-lain. Mereka tidak mahu melihat perpaduan di kalangan rakyat berlainan bangsa,” kata Anwar kepada kira-kira 20 penyokong PKR yang berbangsa Iban di Rumah Ujan.

Kenyataan Anwar itu dilihat sebagai petanda jelas bahawa rundingan antara PKR dan Snap kini di ambang keruntuhan.

Juga tidak mengejutkan bagi Anwar melancarkan kempennya dengan menyerang Snap, khususnya di kawasan masyarakat Iban kerana Snap - yang melahirkan ketua menteri Sarawak yang pertama - masih dihormati di kalangan pemimpin Iban yang berusia.

Undi PKR dikatakan pasti terjejas jika ia terbabit dalam pertandingan tiga penjuru dengan Snap dan BN.

Bukit Begunan adalah antara kerusi majoriti pengundi Iban yang diintai oleh kedua-dua PKR dan Snap pada pilihan raya negeri 16 April ini.

- MALAYSIAKINI

Puteri Reformasi umum tanding naib presiden PKR

by

Ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mengesahkan akan bertanding jawatan naib presiden PKR pada pemilihan November ini.

Nurul Izzah berkata, beliau membuat keputusan itu selepas melihat pencalonan yang menggalakkan yang diterimanya minggu lalu walaupun tidak aktif berkempen. Setakat ini beliau telah menerima lapan pencalonan.

Beliau bagaimanapun tidak akan mengisytiharkan sokongan kepada mana-mana calon kerana semua cabang PKR bebas membuat pencalonan dan bagi menghormati pilihan ahli.

"Saya juga ingin menjelaskan yang saya tidak akan mengisytiharkan sokongan kepada mana-mana calon kerana mereka bebas untuk membuat pencalonan dan saya juga bertanggungjawab untuk menghormati pilihan mereka.

"Saya berterima kasih atas pencalonan dan suara akar umbi akan menjadi suara saya sendiri dan saya dengan rendah diri menawarkan diri untuk berkhidmat.

"Saya tidak anggap ia perubahaan pendirian. Saya ada berkata saya akan fokus kepada pemilihan peringkat cabang di Lembah Pantai.

"Namun, saya dengan serius menawarkan diri dan berpendapat pencalonan dari ahli tidak boleh diambil ringan walaupun saya belum aktif berkempen,” katanya di pusat khidmatnya di Lembah Pantai.

Dinasti keluarga

Katanya, keputusan itu tidak akan memperkuatkan dinasti keluarganya dalam parti.

"Saya adalah puteri kepada (ketua umum PKR Datuk Seri) Anwar Ibrahim, tetapi saya tidak boleh memadamkan kenyataan bahawa saya adalah juga puteri reformasi

"Saya adalah antara mereka yang bertuah kerana dapat menjadi saksi dan terlibat dalam gerakan reformasi 12 tahun lalu dan kini menyaksikan pencapaian PKR ini," katanya lagi.

Beliau percaya pemilihan parti tahun ini akan menjadi titik perubahan bagi memperkasakan parti.

Nurul Izzah berkata beliau berharap pemilihan kali ini akan menjadi pertandingan adik-beradik dalam semangat kekeluargaan PKR.

"Percayalah, ahli-ahli parti akan memilih pimpinan berdasarkan kepada wawasan calon, idea dan komitmen kepada nilai-nilai parti dan matlamat perjuangan untuk Malaysia yang lebih baik dan bukannya setakat pertandingan personaliti.

"Hargailah sumbangan pimpinan daripada pelbagai peringkat, pengorbanan mereka dalam membentuk gerakan Reformasi kepada sebuah parti politik yang mentadbir negara ini bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

"Yakinilah bahawa setiap pimpinan dipandu oleh kiblat akhlak mereka untuk melakukan yang terbaik walaupun dalam keadaan sukar demi kebaikan bersama,” katanya lagi.

- MALAYSIAKINI

PKR terbit edisi baru Keadilan

by

PKR menerbitkan edisi baru Keadilan ekoran Kementerian Dalam Negeri (KDN) belum memperbaharui permit terbitan akhbar rasmi perti Suara Keadilan yang tamat hujung bulan lalu.

Timbalan presiden parti itu Senator Syed Husin Ali berkata, beliau telahpun melihat edisi baru tabloid mingguan itu.

Menulis dalam Twitter malam tadi, Syed Husin juga berkata beliau mahu melihat apakah tindakan KDN ekoran penerbitan Keadilan.

"Keadilan terbit petang tadi (semalam). Sudah diedar ke semua negeri melainkan Sabah Sarawak," tulisnya.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebelum ini memberi amaran bahawa tindakan akan diambil sekiranya Suara Keadilan terus diterbitkan tanpa permit.

Suara Keadilan juga sebelum ini diancam tindakan undang-undang oleh Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (Felda)berikutan dalam edisi sebelumnya menyiarkan laporan bertajuk "Felda Bankrap."

Ketika dihubungi lewat hari ini, ketua pengarang Dzulkarnain Taib berkata, Keadilan diterbitkan secara tidak berkala memandangkan permit bagi Suara Keadilan masih belum diperbaharui.

"Kalau terbitkan secara 'one-off', kita tidak perlukan permit sebab parti memang berhak buat begitu.

"Langkah ini diambil untuk tunjukkan bahawa kita sedia hadapi cabaran dan tekanan dari KDN," katanya.

Tambahnya, tabloid Keadilan diterbitkan oleh Angkatan Muda Keadilan memandangkan permit bagi Suara Keadilan, terbitan Pelita Koridor, masih belum diperbaharui.

Amalan ini juga akan diteruskan minggu depan dengan menerbitkan tabloid baru yang mengekalkan nama "Keadilan."

"Ia boleh jadi 'Pelita Keadilan' atau apa saja. Kita akan kekalkan nama 'Keadilan'

Bagaimanapun, pengurusan akhbar tersebut tetap akan meneruskan usaha bagi membolehkan permit Suara Keadilan diperbaharui, tambahnya.

- MALAYSIAKINI

PKR Selangor dirombak, Azmin ganti Khalid

by
Naib Presiden PKR Azmin Ali dilantik sebagai pengerusi majlis pimpinan negeri Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkuatkuasa serta merta.

Perkara itu diumumkan oleh Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail selepas mempengerusikan mesyuarat pimpinan pusat parti itu di Shah Alam hari ini.

Menurut Wan Azizah, rombakan itu dibuat bagi membolehkan Khalid menumpukan tugaskan kepada usaha pentadbiran kerajaan negeri.

"Ini dimohon oleh Tan Sri Khalid sendiri bagi menumpukan tenaganya untuk disalurkan dalam pentadbiran Selangor," katanya.

Azmin sebelum ini mengetuai PKR Wilayah Persekutuan.

Kekosongan yang ditinggalkannya Azmin di negeri itu akan diambil alih oleh penyelaras Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim, umum Wan Azizah lagi.

Rombakan itu dilihat mengejutkan apabila sejak semalam ramai pemimpin kanan parti itu terus menafikan terdapat desakan supaya Khalid berundur dalam pemukiman PKR.

Anwar nafi cubaan MP guling Khalid

Khalid tidak hadir dalam kesemua sesi pemukiman dua hari sejak semalam di sebuah hotel di Shah Alam.

Selain ditemani Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketiga-tiga Azmin, Khalid dan Zaid hadir bersama dalam sidang media petang ini.

Bercakap soal yang sama, Anwar juga memberitahu dua negeri lagi akan mengalami pertukaran pucuk pimpinan yang akan diumumkan kemudian.

"Ia sedang dimuktamadkan," katanya yang enggan menyatakan terlebih dahulu negeri atau pimpinan terbabit.

Selain itu, Anwar turut menafikan bahawa terdapat pakatan ahli parlimennya yang merancang mahu menggulingkan Khalid sebagai menteri besar.

"Perkara itu tak berbangkit sama sekali. Kita sebulat suara dokong penuh. (Beri) Pandangan itu biasalah.

"Kita tengok Tan Sri Khalid pun tak sensitif sangat. Yang sensitif akhbar Umno," katanya.

- MALAYSIAKINI

Tidak Puas Hati, Tinggalkan PKR Sekarang

by
Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengeluarkan notis lisan kepada semua ahlinya yang tidak berpuas hati supaya meninggalkan parti itu dalam tempoh sebulan tanpa perlu menunggu tibanya pilihan raya kecil untuk berbuat demikian.

Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh berkata, notis lisan sudah memadai dan tepat pada masanya berdasarkan perkembangan terkini rangkaian beberapa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) meninggalkan parti terutama semasa pilihan raya-pilihan raya kecil.

"Mana-mana pihak yang berfikir nak tinggalkan parti boleh berbuat demikian sekarang.

"Tak perlu tunggu bila tibanya pilihan raya kecil untuk berbuat demikian kerana ia akan menimbulkan masalah bila mereka keluar semasa musim pilihan raya kecil... ia akan menjejaskan strategi parti," katanya kepada The Star kelmarin.

Beliau berkata bagi mereka yang ikhlas tidak akan meninggalkan parti semasa pilihan raya dan tidak akan membuat sebarang kenyataan.

"Mereka akan tinggalkan parti secara senyap," katanya.

Jumaat lalu, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong mengumumkan pendirian keluar daripada PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas kira-kira 48 jam sebelum hari mengundi bagi pilihan raya kecil Parlimen Sibu.

Bulan lalu, ADUN Bakar Arang, Tan Wei Shu bersama beberapa pemimpin PKR peringkat cabang dan ranting mengumumkan pendirian yang sama semasa musim pilihan pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Sehingga kini PKR kehilangan lima orang Ahli Parlimen dan empat ADUN sejak pilihan raya umum 2008.

Selain itu Fuziah berkata, individu yang menyertai PAS dan DAP mempunyai objektif yang jelas sebaliknya ada yang menyertai PKR dengan mempunyai banyak faktor.

"Ada yang sertai PKR kerana mereka marah kepada Barisan Nasional (BN), ada yang kerana mempunyai kepentingan peribadi ataupun kerana projek-projek tertetu malah ada juga yang kerana bersimpati dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Mereka bukan menyertai PKR untuk memastikan negara ini berubah kearah kebaikkan untuk generasi akan datang, bila mereka menghadapi masalah kecil, mereka jadi tak waras terutama bila ditawarkan ganjaran oleh sesetengan pihak.

"Sebab itulah kami perlu membersihkan dan mengukuhkan parti dan terus bergerak ke hadapan," katanya.

- MSTAR

Wee Cho Keong akhirnya tinggalkan PKR

by

Ahli parlimen Wangsa Maju, Wee Cho Keong hari ini mengumum keluar dari PKR dan menjadi ahli Bebas.

Dalam sidang media yang diadakan secara tergesa-gesa di pusat khidmatnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, Wee berkata tindakannya itu berkuat-kuasa hari ini.

Menurut Wee, beliau meninggalkan PKR kerana kecewa dengan cara parti itu dan kerajaan negeri Selangor dalam menangani skandal pasir menerusi Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Wee juga mengumumkan meletakkan semua jawatan partinya, termasuk ketua PKR Wilayah Persekutuan.


Pada 21 April lalu, Malaysiakini menyiarkan laporan khabar angin yang bertiup kencang bahawa Wee adalah pemimpin PKR yang bakal melompat tetapi beliau enggan mengulas apabila diajukan soalan berkenaan.

Beliau tidak mengesahkan ura-ura itu mahupun menafikannya tetapi sebaliknya berkata wartawan lebih mengetahui perkara berkenaan.

“Anda tahu segala-galanya. Kenapa perlu bertanya lagi? Anda lebih mengetahui, mengapa tidak anda siarkan berita itu terlebih dahulu?” katanya.

Beliau juga menyerang media baru yang dilabelkannya sebagai tidak bertanggung-jawab.

“Saya akan hanya bercakap dengan media tertentu kerana sesetengah media adalah tidak bertangung-jawab,” katanya.

Menurut Wee sesetengah portal berita tidak boleh dipercayai kerana “mereka akan hanya memutar-belitkan kata-kata saya...mereka akan tukar B ke A dan A ke B”.

- MALAYSIAKINI

Zaid Ibrahim Diisytihar Calon PKR Di Hulu Selangor

by

HULU SELANGOR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dipilih sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Komuniti Serendah malam ini.

Turut hadir termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dan Timbalan Presiden PKR, Senator Dr Syed Husin. Selain itu Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Glaw; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Setiausaha PKR, Saifuddin Nasution; Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin; Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Seri Chua Jui Meng juga hadir.

Bekas Ketua Umno Bahagian Kota Bharu itu pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 atas tiket Barisan Nasional (BN) dan menang selepas kerusi itu dikuasai PAS dan juga PKR selama lebih 12 tahun.

Beliau juga adalah pengasas dan pemegang saham utama firma guaman terbesar di Malaysia, Zaid Ibrahim & Co (ZICO) sebelum melepaskan kepentingannya dalam firma tersebut setelah dilantik sebagai menteri di bawah pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi selepas PRU ke-12, Mac 2008.

Bagaimanapun pada 15 September tahun yang sama, Zaid bertindak meletakkan jawatannya dalam Kabinet selepas dipercayai tidak berpuas hati dengan penahanan tiga individu termasuk seorang wartawan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau selepas itu mencetuskan kontroversi dalam Umno selepas dilihat secara terbuka menghadiri majlis parti pembangkang dan akhirnya dipecat daripada parti tersebut pada 2 Disember.

Zaid kemudiannya membuat satu lagi keputusan mengejut apabila menyertai PKR pada Jun 2009.

- MSTAR

PKR pecat Zulklifi Noordin

by

Ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin dipecat daripada PKR hari ini.

Perkara tersebut diumumkan Setiausaha Agungnya Saifuddi Nasution Ismail pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya petang ini.

Timbalan Presiden PKR Syed Husin Ali, Naib Presiden Mustaffa Kamil Ayub, Ketua Penerangan Latheefa Koya dan Pengarah Strategik Tian Cua turut hadir. Bagaimanapun, ketua umummnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan presiden parti Datuk Seri Wan Azizah Ismail tidak turut serta dalam sidang media tersebut.

Sehubungan itu, Zulklifi juga diminta mengosongkan kerusi parlimen Kulim-Bandar Bharu yang dimenanginya pada pilihan raya umum 2008.

Bagaimanpun Zulklifi dibenarkan membuat rayuan dalam tempoh 14 hari berhubung pemecatan itu.

Dua hari lalu, Zulkifli dihadapkan ke lembaga jawatankuasa dispilin PKR tetapi bertindak keluar selang sejam kemudian.

'Kesalahan berulang-ulang'

Beliau dihadapkan ke jawatankuasa itu bagi memberi penjelasan berhubung bidasannya terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan membuat laporan polis ke atas ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Zulklifi mendakwa panel yang sepatut menentukan masa depannya hari ini sepatutnya dianggotai oleh orang Islam kerana ia membabitkan penggunaan isu kalimah Allah dan agama Islam.

Dakwaannya itu bagaimanapun ditolak dan menurut setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution, kes Zulklifi tidak kena mengena dengan isu kalimah Allah.

Dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR selama kira-kira 3 jam setengah, Saifudin menjelaskan, keputusan terhadap Zulkifli dibuat secara sebulat suara selepas mempertimbangkan pelbagai aspek, termasuk kesan "kesalahan yang berulang-ulang" yang dilakukannya dan kesannya terhadap parti.

Saifuddin berkata, surat bagi memaklumkan keputusan tersebut akan dimaklum kepada Zulkifli pada Isnin ini melalui pelbagai surat, faks dan e-mel.

Menurut Saifuddin, Zulkifli disabitkan bersalah kerana membuat laporan polis terhadap wakil rakyat PAS Khalid Samad dan ekoran kenyataannya yang dibuat dalam sebuah wawancara di TV3 sebelum ini, antarnaya berbentuk serangan terhadap dasar dan pendirian parti serta kemampuan Pakatan Rakyat.

Kulim diselia Gobalakhrisnan

Saifuddin berkata, selepas tempoh rayuan tamat, sekiranya rayuannya ditolak, PKR akan mendesak ahli parlimen kontroversi itu mengosongkan kerusi parlimen kawasan tersebut kerana kemenangannya sebelum ini diperoleh atas tiket PKR.

Ditanya tindakan PKR sekiranya Zulkifli enggan berbuat demikian, Saifuddin hanya berkata, beliau yakin, sebagai ahli parlimen yang bertanggungjawab dan faham nilai integriti dan kewibawaan, beliau akan akur pada desakan tersebut.

Sementara itu, katanya, PKR juga menugaskan pemimpinanya menjaga kebajikan kawasan di mana wakil rakyat mereka berpaling tadah.

Beliau menambah, wakil rakyat Padang Serai N Gobalakhrisnan selepas ini akan ditugaskan menjaga kawasan Kulim-Bandar Baharu. Awar di Nibong Tebal, Yusmadi Yusoff (Balik Pulau) ditugaskan di Bayan Baru dan Dr Lee Boon Chye (Gopeng) di Bagan Serai.

Sementara Zulkifli ketika dihubungi Malaysiakini sejurus selepas keputusan tersebut diumumkan enggan mengulas lanjut kerana bercadang mengadakan sidang media khas mengenai perkara itu lewat petang ini.

- MALAYSIAKINI

YB Zahrain Bayan Baru keluar PKR

by

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, semalam keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana kecewa dengan perjuangan parti dan hilang kepercayaan terhadap penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang mengisytiharkan dirinya sebagai Ahli Parlimen Bebas juga berkata, keputusan itu dibuat kerana tidak yakin dengan kerajaan pakatan pembangkang Pulau Pinang pimpinan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang dianggapnya diktator dan berfikiran ala komunis.

Turut menyertainya keluar daripada PKR ialah Pengerusi Tetap PKR bayan Baru. Zahrain sebelum ini adalah Ketua Cabang PKR Bayan baru dan bekas Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang sebelum digantikan dengan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman, pada tahun lalu.

Bercakap pada sidang media di sebuah hotel di sini, Zahrain berkata, keputusannya juga berdasarkan kesedaran tidak mahu generasi akan datang melihatnya sebahagian daripada gerombolan yang menjahanamkan dan merosakkan negara, bangsa dan agama.

"Saya melakukan apa yang terdaya dalam kemampuan untuk mencegah kemungkaran besar yang berlaku di peringkat kepimpinan PKR, namun semua bantahan dan teguran saya diremehkan.

"Sebaliknya, mereka menyingkir dan meminggirkan saya dengan tujuan untuk menghapuskan suara teguran dan kritikan dalam PKR tanpa menghormati hak asasi kemanusiaan, hak membela diri dan prinsip keadilan yang mereka laungkan selama ini," katanya dalam sidang media yang turut dihadiri bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim dan Ismail.

Ismail dalam kenyataan melalui SMS kepada Berita Harian mengesahkan beliau membuat keputusan untuk keluar PKR kerana sudah hilang kepercayaan terhadap parti.

Salehuddin yang meletakkan jawatan pada Julai tahun lalu dengan memberikan alasan mahu menumpukan perhatian kepada perniagaan, secara sinis memberitahu pemberita kepemimpinan PKR tidak boleh lagi syok sendiri berikutan perkembangan terbaru itu.

Zahrain ketika ditanya mengenai kepemimpinan Anwar menegaskan beliau sudah hilang kepercayaan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu walaupun sudah mengenalinya secara peribadi lebih 30 tahun.

"Amalan Lim dan konco-konconya pula bukan saja angkuh dan tidak boleh menerima teguran dan kritikan, malahan menyalahgunakan kuasa dan kedudukan untuk kepentingan politik sempit dan jahat mereka," katanya.

Beliau yang pada mulanya hanya bersedia menjawab dua soalan selepas membaca kenyataan akhbar tiga halaman terpaksa mengalah apabila soalan demi soalan diajukan lebih 40 petugas media.

Wartawan: Adakah Datuk akan menyertai mana-mana parti termasuk Umno.

Zahrain: Tindakan yang saya lakukan adalah tindakan sendiri tanpa berbincang dengan ahli keluarga atau kawan rapat. Niat untuk memasuki mana-mana parti tidak ada. Saya adalah Ahli Parlimen bebas.

Wartawan: Adakah Datuk akan menjadi ahli Bebas yang rapat dengan Barisan Nasional (BN).

Zahrain: Tidak, tidak... saya tidak pernah bercakap dengan mana-mana pihak dalam BN termasuk Umno. Saya akan berjuang sebagai ahli Bebas.

Wartawan: Apakah nasihat Datuk kepada ahli PKR lain.

Zahrain: Seperti yang saya katakan, kita (PKR) sudah lari daripada perjuangan. Dalam proses demokrasi terpulanglah kepada mereka. Saya serahkan kepada mereka... ia adalah pendirian peribadi. Saya tidak akan meminta atau memujuk sesiapa meninggalkan parti. Ini pendirian saya. Apa juga risiko saya akan tanggung.

Wartawan: Mengapa tiba-tiba Datuk membuat keputusan keluar parti.

Zahrain: Benda ini sudah ada dalam fikiran... saya ada dua pilihan. Satu keluar parti dan kedua berdepan dengan parti serta berjuang dalam parti. Selepas fikir dengan panjang, saya rasa tidak mahu pening kepala dan buat keputusan untuk keluar.

Wartawan: Ada usaha membeli Ahli Parlimen. Adakah ini termasuk daripadanya.

Zahrain: Siapa beli MP (Ahli Parlimen)? 16 September (2009) itu apa cerita. Saya pun kecewa... saya percaya dengan kata-kata yang satu perubahan besar akan berlaku pada 16 September. Tentang beli-membeli tidak timbul, siapa hendak beli saya.

Wartawan: Adakan Datuk mempunyai masalah dengan Anwar.

Zahrain: Saya masih menganggap beliau sebagai kawan. Cuma kecewa kerana sebagai kawan, hak saya untuk menasihati beliau. Tetapi kalau parti buat pendirian yang luar daripada apa yang saya kata, maknanya saya kecewa kerana saya juga manusia biasa yang ada perasaan.

Wartawan: Apa yang ingin Datuk katakan terhadap pengundi di Bayan Baru.

Zahrain: Saya memberi jaminan kepada pengundi yang saya tidak akan belot terhadap pengundi yang telah memilih saya.

- BERITA HARIAN

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90