Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label PRK Kerdau. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PRK Kerdau. Papar semua catatan

Barisan Nasional menang di DUN Kerdau dan Merlimau

by
Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau (N27) dan DUN Kerdau (N28) dalam pilihan raya kecil di kedua-dua kawasan itu hari ini dengan meraih majoriti undi yang lebih besar.

Di DUN Merlimau, calon BN Roslan Ahmad, 44, memperoleh majoriti 3,643 undi menewaskan calon Pas, Yuhaizad Abdullah, 38. Di DUN Kerdau pula, Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, mendapat majoriti 2,724 undi mengalahkan calon Pas, Hassanuddin Salim, 43.

Kejayaan itu meneruskan momentum sokongan rakyat kepada BN selepas pilihan raya kecil Batang Air (April 2009), Bagan Pinang (Oktober 2009), Parlimen Hulu Selangor (April 2010), Galas (November 2010), Parlimen Batu Sapi (November 2010) dan Tenang (Januari 2011).

Bagi DUN Merlimau, majoriti yang diperoleh oleh calon BN meningkat kepada 3,643 undi berbanding Pilihan Raya Umum 2008 sebanyak 2,154 undi. Begitu juga di DUN Kerdau, majoriti undi BN bertambah daripada 1,615 undi pada tahun 2008 kepada 2,724 undi pada pilihan raya kecil kali ini.

Pada pilihan raya kecil ini, BN memenangi kesemua 22 saluran mengundi di DUN Kerdau, manakala 21 saluran di DUN Merlimau.

Kekalahan yang dialami oleh calon Pas pada pilihan raya kecil DUN Merlimau dan Kerdau merupakan kali keempat berturut-turut sejak pilihan raya kecil DUN Galas, November lalu.

Calon Pas di Merlimau, Yuhaizad memperoleh 2,319 undi manakala calon Pas di Kerdau, Hassanuddin mendapat 2,336 undi.

Keputusan Pilihan Raya Kecil N27 itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Merlimau, Roslan Eusoff di Dewan Platinum Politeknik Merlimau di sini, pada pukul 8.15 malam.

Keputusan Pilihan Raya Kecil N28 pula diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Kerdau, Datuk Tarif Abdul Rahman pada pukul 8.30 malam di Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh.

Sebanyak 83.2 peratus pengundi DUN Kerdau keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing sementara 78.98 peratus keluar mengundi di DUN Merlimau.

Di Dewan Platinum Politeknik Merlimau, calon BN meraikan kemenangan bersama Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Syed Ibrahim pula meraikan kemenangan bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Pengumuman kemenangan kedua-dua calon turut dirai dengan sorakan penyokong-penyokong BN yang berada di luar dewan.

- UTUSAN

PRK Kerdau: Syed Ibrahim lawan Hassanuddin

by

Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Kerdau, Datuk Tariff Abdul Rahman mengangkat tangan calon Barisan Nasional, Syed Ibrahim Syed Ahmad dan calon PAS, Hassanuddin Salim selepas mengesahkan dua calon tersebut bertanding di PRK DUN Kerdau. Bersama mereka (dari kiri) ialah Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai. - Foto THE STAR Oleh SAMUEL ONG


TEMERLOH: Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Barisan Nasional (BN) dan PAS.

BN diwakili Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, manakala PAS mempertaruhkan Ketua Penerangan PAS Pahang, Hassanuddin Salim, 43.

Pengumuman kelayakan berkenaan dibuat oleh pegawai pengurus pilihan raya, Datuk Tarif Abdul Rahman kira-kira pukul 11.30 pagi Sabtu.

Menurut beliau, sehingga tempoh bantahan ditutup pafda pukul 11 pagi, SPR menerima satu bantahan terhadap pencalonan dua calon berkenaan.

"Bagaimanapun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak bantahan tersebut dan dengan ini menyaksikan wakil kedua-dua parti layak bertanding pada pilihan raya kecil DUN Kerdau yang akan diadakan pada 6 Mac depan," katanya.

Menurut data yang dikemaskini SPR, terdapat seramai 8,999 pengundi berdaftar di DUN berkenaan iaitu 15 daripadanya pengundi pos.

Kerusi DUN Kerdau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Allahyarham Datuk Zaharuddin Abu Kassim pada 12 Februari lepas.

Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin daripada BN menewaskan calon PAS, Hassanuddin dengan majoriti sebanyak 1,615 undi.

- MSTAR 26/02/2011

Calon PAS: Hassanudin di Kerdau, Yuhaizad di Merlimau

by

Ketua Penerangan PAS Pahang Hassanudin Salim akan membawa cabaran parti itu dalam pilihan raya kecil DUN Kerdau pada 6 Mac depan.

Manakala timbalan ketua Dewan Pemuda PAS Melaka Yuhaizad Abdullah diumumkan sebagai calon PAS bagi pilihan raya kecil DUN Merlimau.

Pencalonan Hassanudin diumumkan oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat di Kompleks PAS Kerdau malam ini.

Beliau merupakan bekas calon PAS yang bertanding dalam pilihan raya umum 2008, tetapi tewas kepada calon BN Datuk Zaharuddin Abu Kassim.

Hassanudin tewas dengan majoriti 1,615 undi. Beliau mendapat 2,520 undi, manakala Zaharuddin memperolehi 4,135 undi.

Hasanuddin, 43, adalah seorang usahawan kelulusan diploma ukur tanah UiTM.

Turut hadir ialah timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa, timbalan presiden PKR Azmin Ali, dan pemimpin DAP, Tan Seng Giaw.

Sementara itu, Harakahdaily melaporkan, Hasanuddin dilahirkan di Kampung Loyang, Sanggang, Temerloh. Beliau mempunyai seorang isteri dan tujuh orang anak.

Hasanuddin berpengalaman dalam kerja-kerja pembinaan berskala besar seperti pembinaan infrastruktur Hospital Temerloh di samping pernah berkhidmat di Sudan dalam industri minyak dan gas.

SPR menetapkan tarikh pengundian PRK Kerdau pada 6 Mac ini sementara penamaan calon pula 26 Februari.


Sementara itu, Yuhaizad, 38, juga merupakan timbalan yang dipertua PAS Jasin.

Pengumuman itu dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di hadapan penyokong Pakatan Rakyat di Kampung Merlimau Pasir.

Berusia 38 tahun, Yuhaizad memiliki Diploma Tasawur Islam dari Pusat Latihan Minda Mahir (ILHAM), Selangor dan juga memperolehi Sijil Kejuruteraan Mekanikal dari Institut Kemahiran Mara, Jasin.

Beliau terlibat di dalam bidang politik sepenuh masa dan adalah anak watan Merlimau serta seorang pemimpin muda yang dikenali ramai, mesra dan mudah dikenali.

Pengalaman luas dalam badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Belia 4B, Pertubuhan Kebajikan seperti Yayasan Amal Malaysia dan persatuan penduduk memastikan beliau menjadi aset kepada rakyat dan negeri sekiranya terpilih mewakili DUN Merlimau pada pilihan raya nanti.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Hidhir Abu Hassan, 54, dari BN pada 20 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari ini sebagai tarikh penamaan calon manakala pengundian ditetapkan pada 6 Mac.

Turut hadir pada majlis pengumuman calon itu, Setiausaha PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali, Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh, Yang Dipertua Pas Negeri Melaka, Abdul Ghani Abdul Rahman, Ketua Pemuda DAP pusat, Loke Siew Fook dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Saifuddin Nasution.

Bercakap kepada wartawan kemudiannya, Abdul Hadi berkata Yuhaizad dipilih berdasarkan kelayakan pendidikan itu, statusnya sebagai anak tempatan dan kerana ia masih muda.

Yuhaizad memegang ijazah dalam pengajian Islam dan sijil dalam kejuruteraan mekanikal. Beliau juga pernah bertugas sebagai pengurus projek pembinaan.

Menurut Abdul Hadi, tidak mustahil untuk PAS menang kerana ia pernah memenangi pilihan raya kecil sebelum ini, sekiranya ia dijalankan dengan adil, begitu juga dengan pihak media.

- MALAYSIAKINI

Syed Ibrahim calon BN Kerdau

by

BN memilih naib ketua bahagian Umno Kuala Krau Syed Ibrahim Ahmad sebagai calonnya pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau pada 6 Mac ini.

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di hadapan lebih 4,000 penyokong BN di Dataran Sri Ketumbit, dekat Temerloh.

Berusia 44 tahun, Syed Ibrahim adalah juga Penasihat Agama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Pemilihan anak jati tempatan berkelulusan dari Universiti Al-Azhar itu dipercayai mampu mempertahankan kerusi BN pada pilihan raya kecil ke-16 negara selepas pilihan raya umum 2008.

Muhyiddin ketika mengumumkan calon BN itu, berkata pemilihan Syed Ibrahim dibuat selepas melalui beberapa saringan di peringkat bahagian Umno dan badan perhubungan Umno negeri sebelum diputuskan pucuk pimpinan.

"Selepas melalui beberapa saringan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah memutuskan calon berkenaan dua hari lalu," kata Muhyiddin.


Kerusi DUN Kerdau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63, dari BN pada 12 Februari lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin menewaskan calon PAS, Hassanuddin Salim, dengan majoriti 1,615 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 Feb ini sebagai tarikh penamaan calon manakala pengundian ditetapkan pada 6 Mac.

Turut hadir pada majlis pengumuman calon BN itu Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden MIC Datuk G Palanivel, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Presiden Parti Progresif Penduduk Datuk M Kayveas serta pemimpin-pemimpin parti komponen BN dan Umno peringkat negeri Pahang.

Muhyiddin berkata semua pihak perlu akur dengan calon yang diumumkan bertanding di kerusi DUN berkenaan.

"Terimalah dengan ikhlas, terimalah calon kita dengan semangat perpaduan, kerana apa yang paling penting ialah parti Umno dan BN, dan bukannya calon," katanya.

- MALAYSIAKINI

Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau Serentak Dengan Merlimau

by
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, Pahang, diadakan serentak dengan PRK DUN Merlimau, Melaka, pada 6 Mac ini.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengumumkan bahawa tarikh penamaan calon bagi kedua-dua PRK itu ditetapkan pada 26 Februari ini.

Kerusi DUN kawasan Kerdau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63, akibat serangan jantung pada Sabtu lepas.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Zaharuddin dari Barisan Nasional (BN) menewaskan calon PAS, Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi.

Allahyarham memperoleh 4,135 undi manakala Hassanuddin pula meraih 2,520 undi.

Sementara itu, Kerusi DUN Merlimau kosong selepas penyandangnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, daripada BN meninggal dunia pada 20 Januari lalu kerana diserang sakit jantung.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Mohamad Hidhir menang dengan majoriti 2,154 undi menewaskan calon PAS, Jasme Tompang.

- BERNAMA

ADUN Kerdau meninggal dunia

by

ADUN Kerdau, Datuk Zaharuddin Abu Kassim daripada Umno meninggal dunia petang tadi.

Allahyarham dikatakan menghembuskan nafas terakhirnya ketika dalam perjalanan ke hospital selepas dilaporkan terjatuh di bilik air rumahnya.

Menurut laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Noor Mansor berkata pihak Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh mengesahkan Zaharuddin, 63, meninggal dunia
di hospital berkenaan pada jam 7.15 petang.

"Datuk Zaharuddin disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung," katanya ketika dihubungi di Kuantan.

Sejak setahun lalu, Zaharuddin seringkali keluar masuk hospital kerana pelbagai penyakit.

Kali terakhir adalah pada November tahun lalu di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Hospital di Temerloh kerana tekanan darah yang tidak menentu.

Allahyarham juga sebelum ini pernah dimasukkan ke IJN pada 9 Mei tahun lalu apabila berlaku masalah pada buah pinggang dan jantungnya selepas menjalani pembedahan ulser usus.

Sementara itu, ahli parlimen Kuala Krau Datuk Ismail Mohamed Said berkata Zaharuddin yang terjatuh di dalam bilik air di rumahnya itu telah dibawa ke hospital dan dimasukkan di unit rawatan rapi, bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika diberi rawatan.

"Menurut pembantunya, Datuk Zaharuddin sebelum itu mengadu sakit perut dan pembantunya membawanya ke bilik air, tiba-tiba beliau terjatuh dan tidak sedarkan diri," katanya.

Ismail berkata allahyarham ketika itu sedang bersiap-siap untuk menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina di Temerloh.

Dikebumikan esok

Beliau berkata jenazah allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Taram, Kerdau selepas Zohor esok.

Perkembangan itu menyaksikan pilihan raya kecil kali ke-16 bakal diadakan selepas pilihan raya umum 2008. Ia adalah pilihan raya kecil pertama di Pahang.

Mengikut undang-undang pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mesti mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari.

Ketika ini, parti-parti politik sibuk membuat persiapan bagi pilihan raya kecil ke-15 bagi mengisi kekosongan kerusi dewan undang negeri Merlimau, Melaka akibat kematian Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan kerana sakit jantung.

Zaharuddin, 63, menang kerusi DUN Kerdau pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 1,615 undi, menewaskan calon PAS, Hassanudin Salim.

12 wakil rakyat meninggal dunia

Kawasan tersebut mempunyai pengundi yang terdiri daripada 89 peratus Melayu, 6 peratus Cina, 3.7 peratus India dan 2.5 peratus kaum-kaum lain.


Sejak pilihan raya umum 2008, 12 wakil rakyat telah meninggal dunia akibat pelbagai penyakit termasuk serangan jantung, kanser, angin ahmar dan jangkitan paru-paru.

Daripada baki itu, tiga pilihan raya kecil terpaksa diadakan selepas wakil rakyatnya mengosongkan kerusi masing-masing - iaitu di paerlimen Permatang Pauh dan kerusi negeri di Penanti dan Bukit Selambau.

Pilihan raya kecil pula terpaksa diadakan di parlimen Batu Sapi apabila penyandangnya, Datuk Edmund Chong terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya.

Jumlah pilihan raya kecil sepanjang tempoh tiga tahun lalu ini dianggap antara yang tertinggi dalam sejarah pilihan raya negara.

- MALAYSIAKINI

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90