Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label PRK Merlimau. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PRK Merlimau. Papar semua catatan

Barisan Nasional menang di DUN Kerdau dan Merlimau

by
Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau (N27) dan DUN Kerdau (N28) dalam pilihan raya kecil di kedua-dua kawasan itu hari ini dengan meraih majoriti undi yang lebih besar.

Di DUN Merlimau, calon BN Roslan Ahmad, 44, memperoleh majoriti 3,643 undi menewaskan calon Pas, Yuhaizad Abdullah, 38. Di DUN Kerdau pula, Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, mendapat majoriti 2,724 undi mengalahkan calon Pas, Hassanuddin Salim, 43.

Kejayaan itu meneruskan momentum sokongan rakyat kepada BN selepas pilihan raya kecil Batang Air (April 2009), Bagan Pinang (Oktober 2009), Parlimen Hulu Selangor (April 2010), Galas (November 2010), Parlimen Batu Sapi (November 2010) dan Tenang (Januari 2011).

Bagi DUN Merlimau, majoriti yang diperoleh oleh calon BN meningkat kepada 3,643 undi berbanding Pilihan Raya Umum 2008 sebanyak 2,154 undi. Begitu juga di DUN Kerdau, majoriti undi BN bertambah daripada 1,615 undi pada tahun 2008 kepada 2,724 undi pada pilihan raya kecil kali ini.

Pada pilihan raya kecil ini, BN memenangi kesemua 22 saluran mengundi di DUN Kerdau, manakala 21 saluran di DUN Merlimau.

Kekalahan yang dialami oleh calon Pas pada pilihan raya kecil DUN Merlimau dan Kerdau merupakan kali keempat berturut-turut sejak pilihan raya kecil DUN Galas, November lalu.

Calon Pas di Merlimau, Yuhaizad memperoleh 2,319 undi manakala calon Pas di Kerdau, Hassanuddin mendapat 2,336 undi.

Keputusan Pilihan Raya Kecil N27 itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Merlimau, Roslan Eusoff di Dewan Platinum Politeknik Merlimau di sini, pada pukul 8.15 malam.

Keputusan Pilihan Raya Kecil N28 pula diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Kerdau, Datuk Tarif Abdul Rahman pada pukul 8.30 malam di Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh.

Sebanyak 83.2 peratus pengundi DUN Kerdau keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing sementara 78.98 peratus keluar mengundi di DUN Merlimau.

Di Dewan Platinum Politeknik Merlimau, calon BN meraikan kemenangan bersama Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Syed Ibrahim pula meraikan kemenangan bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Pengumuman kemenangan kedua-dua calon turut dirai dengan sorakan penyokong-penyokong BN yang berada di luar dewan.

- UTUSAN

PRK Merlimau: Roslan Lawan Yuhaizad

by

Calon Barisan Nasional (BN), Roslan Ahmad (dua, kanan) dan calon PAS, Yuhaizad Abdullah mengangkat tangan bersama selepas diumumkan sebagai calon yang bakal bertanding pada proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di Politeknik Merlimau, Melaka, Sabtu. Turut sama isteri Roslan, Zalifah Omar (kanan) dan isteri Yuhaizad, Shakila Mohamad. - Foto BERNAMA


JASIN: Seperti dijangka Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Roslan Ahmad dan calon PAS, Yuhaizad Abdullah.

Pengurus Pilihan Raya DUN Merlimau, Roslan Eusoff ketika mengumumkan pengesahan pencalonan itu berkata, Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka, Yuhaizad menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.05 pagi diikuti Roslan yang juga Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Jasin dua minit kemudian.

"Sebanyak tiga bantahan dikemukakan tetapi ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya Pusat Penamaan Calon di Politeknik Merlimau, di sini Sabtu.

Roslan berkata, sebanyak tujuh pusat mengundi akan dibuka pada hari pengundian 6 Mac ini.Dewan Platinum Politeknik Merlimau ditetapkan sebagai pusat penjumlahan undi rasmi/pengiraan semula undi.

Proses penamaan calon itu berjalan lancar dalam cuaca cerah sehingga pengumumuman yang layak bertanding dibuat.

Sementara tiada kejadian yang diingini berlaku di kalangan ribuan penyokong BN dan PAS yang berhimpun di luar politeknik.

Kerusi DUN Merlimau kosong ekoran kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan dari UMNO pada 20 Januari lalu. SPR menetapkan 6 Mac adalah hari pembuangan undi.

Mengikut Daftar Pemilih Induk (DPI) yang telah dikemaskini sehingga 20 Januari 2011, kawasan berkenaan mengandungi 10,679 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 10,643 pemilih biasa dan 36 pemilih pos di DUN Merlimau dengan pengundi Melayu sebanyak 64.1 peratus, Cina (20.84 peratus), India (14.67 peratus) dan lain-lain bangsa (0.39 peratus).

Berdasarkan komposisi mengikut kaum, terdapat 6,850 orang pengundi Melayu, 2,225 orang (Cina), 1,569 (India) dan lain-lain 37 orang.

- MSTAR 26/02/2011

Calon PAS: Hassanudin di Kerdau, Yuhaizad di Merlimau

by

Ketua Penerangan PAS Pahang Hassanudin Salim akan membawa cabaran parti itu dalam pilihan raya kecil DUN Kerdau pada 6 Mac depan.

Manakala timbalan ketua Dewan Pemuda PAS Melaka Yuhaizad Abdullah diumumkan sebagai calon PAS bagi pilihan raya kecil DUN Merlimau.

Pencalonan Hassanudin diumumkan oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat di Kompleks PAS Kerdau malam ini.

Beliau merupakan bekas calon PAS yang bertanding dalam pilihan raya umum 2008, tetapi tewas kepada calon BN Datuk Zaharuddin Abu Kassim.

Hassanudin tewas dengan majoriti 1,615 undi. Beliau mendapat 2,520 undi, manakala Zaharuddin memperolehi 4,135 undi.

Hasanuddin, 43, adalah seorang usahawan kelulusan diploma ukur tanah UiTM.

Turut hadir ialah timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa, timbalan presiden PKR Azmin Ali, dan pemimpin DAP, Tan Seng Giaw.

Sementara itu, Harakahdaily melaporkan, Hasanuddin dilahirkan di Kampung Loyang, Sanggang, Temerloh. Beliau mempunyai seorang isteri dan tujuh orang anak.

Hasanuddin berpengalaman dalam kerja-kerja pembinaan berskala besar seperti pembinaan infrastruktur Hospital Temerloh di samping pernah berkhidmat di Sudan dalam industri minyak dan gas.

SPR menetapkan tarikh pengundian PRK Kerdau pada 6 Mac ini sementara penamaan calon pula 26 Februari.


Sementara itu, Yuhaizad, 38, juga merupakan timbalan yang dipertua PAS Jasin.

Pengumuman itu dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di hadapan penyokong Pakatan Rakyat di Kampung Merlimau Pasir.

Berusia 38 tahun, Yuhaizad memiliki Diploma Tasawur Islam dari Pusat Latihan Minda Mahir (ILHAM), Selangor dan juga memperolehi Sijil Kejuruteraan Mekanikal dari Institut Kemahiran Mara, Jasin.

Beliau terlibat di dalam bidang politik sepenuh masa dan adalah anak watan Merlimau serta seorang pemimpin muda yang dikenali ramai, mesra dan mudah dikenali.

Pengalaman luas dalam badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Belia 4B, Pertubuhan Kebajikan seperti Yayasan Amal Malaysia dan persatuan penduduk memastikan beliau menjadi aset kepada rakyat dan negeri sekiranya terpilih mewakili DUN Merlimau pada pilihan raya nanti.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Hidhir Abu Hassan, 54, dari BN pada 20 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari ini sebagai tarikh penamaan calon manakala pengundian ditetapkan pada 6 Mac.

Turut hadir pada majlis pengumuman calon itu, Setiausaha PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali, Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh, Yang Dipertua Pas Negeri Melaka, Abdul Ghani Abdul Rahman, Ketua Pemuda DAP pusat, Loke Siew Fook dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Saifuddin Nasution.

Bercakap kepada wartawan kemudiannya, Abdul Hadi berkata Yuhaizad dipilih berdasarkan kelayakan pendidikan itu, statusnya sebagai anak tempatan dan kerana ia masih muda.

Yuhaizad memegang ijazah dalam pengajian Islam dan sijil dalam kejuruteraan mekanikal. Beliau juga pernah bertugas sebagai pengurus projek pembinaan.

Menurut Abdul Hadi, tidak mustahil untuk PAS menang kerana ia pernah memenangi pilihan raya kecil sebelum ini, sekiranya ia dijalankan dengan adil, begitu juga dengan pihak media.

- MALAYSIAKINI

Roslan Ahmad calon BN di Merlimau

by

BN menamakan Pengurus Pembangunan Perniagaan Sosioekonomi Perbadanan Melaka Holdings Sdn Bhd, Roslan Ahmad sebagai calonnya bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Melaka kawasan Merlimau 6 Mac ini.

Pemilihan Roslan, 44, yang juga ahli jawatankuasa Umno Bahagian Jasin diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pekan Merlimau, Melaka hari ini.

"Ini diputuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga pengerusi BN selepas kita menerima cadangan dan proses penyaringan berkali-kali dan kita dapati saudara Roslan adalah calon paling sesuai," katanya kepada pemberita .

Turut hadir ialah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Presiden PPP Datuk M.Kayveas, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan barisan pimpinan BN lain.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata Roslan, 44, mempunyai rekod pengalaman dan pemimpin yang dikenali di kalangan pengundi DUN Merlimau dan beliau berharap pengundi berpuas hati atas pemilihan beliau sebagai calon.

Roslan berkelulusan diploma dalam bidang pengurusan perniagaan.


Allahyarham bapa beliau, Datuk Ahmad Ithnin ialah bekas ADUN Sungai Rambai, yang setelah persempadanan semula kawasan pilihan raya dinamakan DUN Merlimau.

Muhyiddin berkata pemilihan Roslan sebagai calon pilihan raya kecil itu dibuat berdasarkan merit beliau sendiri sungguhpun bapanya pernah menjadi ADUN kawasan itu manakala bapa saudaranya pula, bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Abu Zahar Ithnin juga pernah dipilih sebagai ADUN kawasan itu.

"Walaupun dari segi perhubungan dan pertalian itu tidak boleh kita elakkan tetapi yang penting dan dinilai oleh pucuk pimpinan ialah beliau (Roslan) sendiri, berasaskan latar belakang dan potensi beliau itulah yang paling utama," katanya.

Pilihan raya kecil Merlimau diadakan setelah kematian penyandangnya, Allahyarham Mohd Hidhir Abu Hassan akibat serangan jantung pada 20 Januari lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohd Hidhir menang dengan majoriti 2,154 undi menewaskan calon PAS, Jasme Tompang.

SPR sebelum ini menetapkan pilihan raya kecil DUN Merlimau diadakan pada 6 Mac ini, manakala tarikh penamaan calon bagi adalah pada 26 Februari ini.

- MALAYSIAKINI

Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau Serentak Dengan Merlimau

by
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, Pahang, diadakan serentak dengan PRK DUN Merlimau, Melaka, pada 6 Mac ini.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengumumkan bahawa tarikh penamaan calon bagi kedua-dua PRK itu ditetapkan pada 26 Februari ini.

Kerusi DUN kawasan Kerdau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63, akibat serangan jantung pada Sabtu lepas.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Zaharuddin dari Barisan Nasional (BN) menewaskan calon PAS, Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi.

Allahyarham memperoleh 4,135 undi manakala Hassanuddin pula meraih 2,520 undi.

Sementara itu, Kerusi DUN Merlimau kosong selepas penyandangnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, daripada BN meninggal dunia pada 20 Januari lalu kerana diserang sakit jantung.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Mohamad Hidhir menang dengan majoriti 2,154 undi menewaskan calon PAS, Jasme Tompang.

- BERNAMA

Pilihan Raya Kecil Merlimau 6 Mac, Penamaan Calon 26 Februari

by
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Jumaat menetapkan tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau telah ditetapkan pada 6 Mac sementara penamaan calon pada 26 Februari ini.

Perkara tersebut diumumkan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

"SPR telah mengadakan mesyuarat khas mengenainya pada malam ini dan menetapkan bahawa satu pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan yang diputuskan oleh SPR bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan.

"SPR telah bersetuju melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan tiga orang Penolong Pegawai Pengurus bagi menjalankan pilihan raya kecil berkenaan," katanya.

Menurutnya, SPR juga telah bersetuju untuk menubuhkan tiga Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang diketuai oleh seorang Pegawai Penguat Kuasa bagi setiap pasukan.

Bagi menjalankan pilihan raya kecil Merlimau, SPR akan menggunakan Dewan Platinum Politeknik Merlimau sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Undi Rasmi.

"Sebanyak tujuh buah sekolah akan digunakan dengan 21 saluran mengundi.

"Seramai 248 orang petugas pilihan raya akan dilantik untuk mengendalikan proses pilihan raya ini dengan anggaran belanjawan sebanyak RM830,000," katanya.

Abdul Aziz berkata, Daftar Pemilih Induk Pilihan (DPI) 2009 bagi pilihan raya berkenaan yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2010, Suku Tahun Kedua 2010 dan Suku Tahun Ketiga 2010.

Seramai 10, 679 pemilih berdaftatr yang terdiri daripada 10, 643 pemilih biasa dan 36 pengundi pos.

Daftar pemilih pilihan raya bagi pilihan kecil berkenaan akan mula dijual pada 11 Februari 2011.

"Semakan Daftar Pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi dan saluran mengndi boleh dibuat melalui laman web SPR, www.spr.gov.my atau melalui khidmat pesanan ringkas.

"Selain itu pengundi juga boleh menelefon ibu pejabat SPR di Putrajaya dan pejabat pilihan raya negeri Melaka untuk membuat semakan tersebut, " katanya.

Pilihan raya kecil DUN Merlimau diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan pada 20 Januari lalu.

- MSTAR

ADUN Merlimau meninggal dunia

by

ADUN Merlimau Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan meninggal dunia pada jam 8.10 malam ini di Hospital Pakar Putra, Melaka selepas mengalami serangan jantung semalam.

Perkara itu disahkan Ahli parlimen Jasin Datuk Ahmad Hamzah.

Beliau merupakan antara pemimpin BN yang berada di hospital berkenaan sejak tengahari.

Kematian Mohamad Hidhir dijangka bakal menyebabkan pilihan raya kecil ke-15 diadakan sejak pilihan raya umum 2008.

Mohamad Hidhir dilaporkan dimasukkan ke hospital itu pada minggu lepas bagi menjalani pembedahan membersihkan arteri yang tersumbat pada 13 Jan lalu.

Beliau pada mulanya ke hospital itu untuk mendapat rawatan mengenai ketidak selesaan perutnya sejak kembali dari Taiwan pada 10 Januari lepas, dan ujian mendapati arterinya tersumbat.

Dilaporkan, Mohamad Hidhir mengalami serangan jantung sebanyak tiga kali dalam tempoh lima hari lalu yang menyebabkan beliau berada dalam keadaan koma di hospital berkenaan hari ini.

Mohamad Hidhir dilaporkan mengalami serangan jantung yang pertama pada Sabtu lalu pada kira-kira jam dua petang dan mengalami serangan jantung kedua pada waktu
tengahari, Isnin lalu.
Ketua menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, beliau mendapati Mohamad Hidhir berada dalam keadaan koma sewaktu melawat ADUN berkenaan petang ini.

"Sewaktu menziarahi beliau sebentar tadi bersama beberapa anggota Exco negeri, beliau berada dalam keadaan koma dan bernafas menggunakan alat sokongan mesin," katanya kepada pemberita di hospital berkenaan.

Ketika ditemui di hospital berkenaan malam ini, Mohd Ali mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Jenazah akan dibawa ke rumah allahyarham sebelum dikebumikan esok, katanya lagi.

Antara yang turut hadir menziarahi jenazah Allahyarham malam ini ialah Speaker DUN Melaka Datuk Othman Muhammad, anggota Exco serta pemimpin BN.

Allahyarham yang berasal dari Kampung Sungai Layang, Rembau, Negeri Sembilan dikenali sebagai seorang yang periang dan sentiasa mesra dengan penduduk sekitar kawasan yang diwakilinya.

Dikebumi di Kampung Chinchin

Dilahirkan pada 27 Jun 1956, Allahyarham pernah bertugas di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sebagai pembantu luar dan jawatan terakhirnya sebagai pegawai seranta di Yayasan Melaka sebelum bertanding pada pilihan raya umum 2004.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Noor Azian Mohd Ali dan empat orang anak yang berada di sininya semasa beliau menghembuskan nafas terakhir.

Mohd Ali berkata jenazah Allahyarham akan dibawa ke rumahnya di Kampung Tersusun, Lipat Kajang dan akan disembahyang selepas solat Jumaat di Masjid Simpang Kerayong sebelum dikebumi di Kampung Chin Chin.


Merlimau merupakan kawasan majoriti Melayu dengan lebih 64 peratus daripada keseluruhan 10,500 pengundi. Selebihnya terdiri daripada 21 peratus pengundi Cina dan 14 peratus pengundi India.

Mohamad Hidhir mengekalkan kerusi berkenaan pada 2008 apabila menewaskan calon PAS Jasme Tompang dengan memperolehi majoriti undi sebanyak 2,154.

Allahyarham yang menjadi Naib Ketua Umno bahagian Jasin sejak 2004 itu, beliau memperolehi majoriti lebih besar sebanyak 5,087 undi dengan menewaskan calon PKR S Jayathas dalam pilihan raya pada tahun berkenaan.

Sementara itu, ketua pembangkang Melaka Goh Leong San turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Mohamad Hidhir ketika dihubungi hari ini.

Mengulas pilihan raya kecil yang dijangka akan berlangsung, Goh berkata beliau menganggap DUN Merlimau sebagai satu potensi kepada Pakatan Rakyat dan menjangkakan PAS akan bertanding semula di kerusi berkenaan.

Tambahnya, pilihan raya kecil itu akan menyediakan peluang yang baik kepada masyarakat tempatan untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka ke atas pentadbiran Mohd Ali.

- MALAYSIAKINI

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90