Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label PRK Permatang Pasir. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PRK Permatang Pasir. Papar semua catatan

5 punca kekalahan BN di Permatang Pasir - Ahmad Maslan

by
Lima faktor dikenal pasti punca kekalahan calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir baru-baru ini.

Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, faktor pertama kekalahan kepada calon Pas, Mohd. Salleh Man ialah kekurangan jumlah keluar mengundi iaitu 73.1 berbanding 82.6 peratus pada pilihan raya umum lalu.

Beliau berkata, kekurangan itu jumlah pemilih keluar membuang undi pada hari berkenaan mungkin disebabkan hari bekerja.

"Kedua ialah faktor pengundi hantu yang ditumpangkan di DUN Permatang Pasir bagi memastikan kemenangan calon lawan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada golongan kurang berkemampuan bagi kawasan Parlimen Pontian di Taman Sri Api-Api di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Kecil DUN Permatang Pasir 25 Ogos lalu, Mohd. Salleh memperoleh 9,618 undi manakala Rohaizat mendapat 5,067 undi.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, faktor ketiga ialah pengundi Cina di kawasan DUN tersebut telah beralih menyokong DAP.

Faktor keempat pula, tambahnya, kawasan itu di dalam Parlimen Permatang Pauh yang memang kubu kuat parti pembangkang dengan pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 28 tahun lalu.

"Ini menyebabkan UMNO dan BN berhadapan dengan cabaran besar bagi meyakinkan para pengundi bagi memilih calon BN dalam pilihan raya tersebut," ujarnya.

Selain itu, Ahmad berkata, faktor kelima ialah tindakan Pas memanipulasi isu calon BN, Rohaizat yang berdepan tohmahan termasuk isu Majlis Peguam.

"Walaupun Rohaizat menjelaskan dan menangkis tuduhan yang dilemparkan pihak pembangkang termasuk isu peribadi namun ia masih tidak berjaya meyakinkan para pengundi.

"Rohaizat adalah calon yang dipersetujui semua pihak, namun pembangkang ambil kesempatan daripada pelbagai isu yang dibangkitkan termasuk isu peribadinya," katanya.

Menurutnya, laporan mengenai pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir itu akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 11 September ini.

Sehubungan itu, Ahmad menjelaskan, UMNO dan BN akan menjadikan pengalaman di Manik Urai dan Permatang Pasir sebagai pengajaran menghadapi satu lagi pilihan raya kecil di DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohd. Noor akibat jangkitan dalam darah di Hospital Pakar Seremban semalam.

"BN mungkin sekali lagi akan berdepan calon Pas seperti pada pilihan raya umum pada 2008," katanya.

- MINGGUAN MALAYSIA

Isu peribadi calon BN antara punca kekalahan

by
Calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman yang tewas pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, kelmarin, menerima kritikan bahawa isu peribadinya menjadi antara punca kekalahan parti komponen itu.

"Saya terima apa yang dikatakan. Saya terima pandangan orang ramai kerana jentera parti sudah berusaha dan membuat yang terbaik," katanya ketika dihubungi, semalam.

Rohaizat yang memperoleh 5,067 undi kalah kepada calon Pas, Mohd Salleh Man yang mendapat 9,618 undi. Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang itu menang dengan majoriti 4,511 undi.

Sepanjang lapan hari berkempen, Pakatan Rakyat menggunakan isu pembatalan sijil guaman Rohaizat serta beberapa isu peribadi bagi menyerang calon BN itu yang disifatkan sebagai pembunuhan karekter.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, juga tidak menafikan faktor Rohaizat yang mempunyai pelbagai isu peribadi turut menyumbang kepada kekalahan BN.

Rohaizat, yang juga Setiausaha Umno bahagian Permatang Pauh, bagaimanapun berkata, isu peribadinya tidak memberi kesan teruk kepada undi yang diperolehnya.

"Sebenarnya, jumlah undi saya peroleh berbanding dengan calon BN pada pilihan raya umum lalu tidak banyak beza. Bagaimanapun, memang isu itu (soal peribadi) memberi kesan tetapi tidak terlalu teruk," katanya.

Beliau memperoleh 5,067 undi, manakala calon BN pada pilihan raya lalu, Ahmad Sahar Shuib (5,571), iaitu berkurangan 504 undi.

Peratusan mengundi kelmarin juga berkurangan kepada 73.1 peratus berbanding 82.57 peratus.

Sementara itu, Ketua Umno bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid, berkata Rohaizat tidak memaklumkan kepada pihaknya berkaitan masalah peribadi sebelum dipilih sebagai calon.

"Rohaizat sepatutnya memaklumkan kepada Umno bahagian mengenai isu berkenaan bagi membolehkannya merujuk kepada pucuk pimpinan parti untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, Umno bahagian akan mengadakan mesyuarat tidak lama mengenai isu berkenaan sebelum memutuskan sebarang tindakan.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi BN Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata keputusan pilihan raya kecil itu menunjukkan BN perlu menggandakan usaha dalam melaksanakan pembaharuan untuk rakyat.

- BERITA HARIAN

Permatang Pasir jadi momentum perubahan PRU13

by
Pakatan Rakyat berkeyakinan kemenangan calon PAS Mohd Salleh Man di Dun Permatang Pasir dengan 4,551 majoriti mengalahkan calon Umno, Rohaizat Othman akan memperkukuhkan momentum untuk mengambil alih kerajaan persekutuan dalam pilihanraya umum ke-13 kelak.

Naib Presiden PAS yang juga Pengarah pilihanraya ini, Datuk Mahfuz Omar, menganggap Umno semakin sukar memadamkan momentum perubahan rakyat bersama Pakatan sejak pilihanraya umum 8 Mac tahu lalu lagi.

"Umno sudah kalah 7 (kali) dan menang di Batang Ai sahaja. Kalau main bola, secara kebiasaannya itu (kekalahan berterusan) menandakan bahawa Umno akan kalah dalam permainan keseluruhannya...pilihanraya ke-13 kelak.

"Hari ini (25 ogos) adalah hari jadi saya (dan) saya kira ini hadiah hari jadi saya. Pilihanraya ke-13 kelak, rakyat pula dapat hadiah kemenangan peringkat persekutuan, insyaAllah."

Bagi beliau, Umno tidak boleh lagi kata ini (kemenangan) sama dengan kemenangan mereka di Manik Urai, kononnya berjaya kurangkan majoriti (sehingga) 65 undi.

"Najib (Perdana Menteri) boleh katakah Umno berjaya di Permatang Pasir, sedangkan Pakatan dapat empat ribu lebih (4,551 undi)."

Nada yang sama turut disampaikan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng.

Menurut Lim Guan Eng, Pakatan Rakyat bukanlah seperti yang digembar-gemburkan oleh Umno sebagai Pakatan yang 'rapuh'.

Sebaliknya, Pakatan Rakyat mampu menggantikan BN dalam pilihanraya umum akan datang berdasarkan kekalahan berterusan parti-parti pemerintah.

"Ini (Dun Permatang Pasir) bukan sahaja kemenangan bagi kerajaan negeri dan rakyat seluruh Pulau Pinang, tapi suatu terjemahan perasaan rakyat bahawa Umno sedang ditolak berterusan dalam setiap kali pilihanraya (kecil) yang diadakan."

"Ini (kemenangan) menunjukkan sokongan kuat pada kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan Pakatan Rakyat (iaitu) DAP, PAS dan PKR. Bukan seperti Umno katakan, Pakatan kita (adalah) pakatan yang rapuh."

"Bukan seperti Umno (dan) Barisan Nasional yang mengabaikan rakyat. Pakatan (rakyat) yang kukuh ini boleh memenangi pilihanraya (ke-) 13 nanti, sebab rakyat mahu sebuah (kerajaan) persekutuan yang ada 'jiwa' Malaysia, bukannya perkauman sempit."

Timbalan Ketua Menteri 2, Dr. P. Ramasamy yang ditemui kemudian mengganggap kemenangan berterusan Pakatan Rakyat ini boleh menjadi 'gelombang perubahan' yang besar di Dun Seputeh, jika berlaku pilihanraya kecil; dan nasional.

"Memanglah (benar). Saya tidak perlu sebutlah (soal kemenangan). Kemenangan ini sudah jadi gelombang...tentu jadi gelombang di (Dun) Seputeh jika jadi pilihanraya."

"(Dun Permatang Pasir) sudah jadi gelombang perubahan yang berterusan Pakatan ke peringkat nasional juga."

Bercakap di luar tempat perjumlahan pengundi IKBN kemudian, Salleh menganggap kemenangan tersebut bukan kejayaan peribadinya sahaja, tetapi kejayaan Pakatan Rakyat peringkat negeri dan federal.

Ujarnya, Permatang Pasir mampu menjadi 'pembakar semangat' sekurang-kurangnya di Dun Seputeh, di samping pilihanraya ke-13 kelak.

"Ini (kemenangan) bukan untuk saya, biarpun saya mewakili PAS bertanding di Permatang Pasir. Ini (kemenangan) untuk Pakatan Rakyat negeri (Pulau Pinang) dan semua kepimpinan pusat."

"Kalau boleh, kemenangan ini jadi 'pembakar semangat'...sekurang-kurangnya di Kuala Seputeh jika jadi pilihanraya... pilihanraya ke-13 lebih-lebih lagilah."

Daripada 14,832 atau 73.1% pengundi yang turun mengundi, Salleh memperoleh 9,618 undi, manakala Rohaizat mendapat 5,067 undi.

Pada Mac tahun lalu, bekas penyandang Allahyarham Dato' Mohd Hamdan Abdul Rahman mendapat 5433 undi majoriti; dari 20,350 atau 82.5% undi keseluruhannya.

Disebabkan peratusan turun mengundi berkurang sebanyak 9.4% dari piliharaya sebelumnya, bermakna undi tradisi PAS dan Umno juga masing-masing turut menyusut sebanyak 12.6% (1386 undi) dan 9.5% (504 undi).

Tuntas bagi PAS/Pakatan adalah berjaya mengekalkan status quo mereka di 'kubu kuat' PAS tersebut.

Manakala, Umno tidak boleh lagi menjadikan pilihanraya kali ini sama seperti Manek Urai - bukti rakyat mula menerima mereka dan menolak Pakatan Rakyat lagi.

Selain kalah di Dun Permatang Pasir, Umno BN pernah kalah berterusan di Parlimen Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang; dan Dun Bukit Selambau serta Penanti sebelum ini.

- HARAKAH

PAS kekalkan kerusi DUN Permatang Pasir, majoriti 4,551

by

PAS mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir dengan majoriti 4,551 undi di sebalik penurunan jumlah pemilih yang keluar mengundi. Majoriti calon PAS jatuh 852 undi

Pada pilihan raya kecil ini, PAS diwakili Pesuruhjaya Pulau Pinang, Mohd. Salleh Man manakala Barisan Nasional (BN) pula Setiausaha Umno Permatang Pauh, Rohaizat Othman.

Salleh memperoleh 9,618 undi, sekali gus berjaya dalam percubaan kali keenam bertanding pilihan raya.

Dalam reaksinya, Salleh, 52, menyifatkan kemenangannya sebagai kejayaan bermakna bagi PAS dan Pakatan Rakyat.

"Ini menunjukkan Pakatan Rakyat berada dalam keadaan kukuh dan akan merapatkan kerjasama di kalangan anggota komponen Pakatan Rakyat," kata beliau yang tiba di pusat penjumlahan undi IKBN pada pukul 6.30 petang dengan berpakaian batik.

Rohaizat, 38, pula mendapat 5,067 undi. Undi rosak adalah sebanyak 83.

Rohaizat menerima keputusan ini dengan menganggapnya sebagai satu proses demokrasi.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Salleh Man dan berharap beliau akan melaksanakan khidmat dengan baik kepada masyarakat Permatang Pasir," kata beliau ketika dihubungi.

Jelas beliau, undi yang diperolehnya adalah konsisten dengan apa yang diterima pada Mac 2008 dan ia juga menunjukkan BN masih mempunyai sokongan padu. Seramai 14,832 orang ataupun 73.1 peratus keluar mengundi pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir hari ini. Jumlah pemilih adalah seramai 20,290 orang.

Pada Mac 2008, PAS memenangi kerusi Permatang Pasir buat kali ketiga berturut-turut dengan kelebihan 5,433 undi.

Keputusan rasmi pilihan raya kecil diumumkan oleh Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahya pada pukul 7.30 petang - tepat waktu berbuka puasa di sini.

Pengumuman kali ini, yang dilihat paling cepat berbanding mana-mana pilihan raya yang lain dibuat dalam waktu yang singkat.

Awalnya SPR telah bercadang untuk membuat pengumuman keputusan pada pukul 8 malam.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, kerusi itu dimenangi buat kali ketiga oleh Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman yang memperoleh 11,004 undi.

Ketika itu peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 82.5 peratus. Kali ini peratusan keluar mengundi hanya 73.1 peratus.

Beliau meninggal dunia pada 31 Julai lalu, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya kecil ini.

PAS dan BN turun gelanggang pilihan raya kecil ini masing-masing untuk mengekalkan dan merampas kerusi ini.

BN kehilangan kerusi ini pada tahun 1999.

Dalam pada itu, Pengarah Pilihan Raya Kecil PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, keputusan hari ini merupakan pengertian bermakna kepada pihaknya selepas menang tipis pada pilihan raya DUN Manek Urai bulan lalu.

Mengenai penurunan majoriti, Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS berkata, "saya hanya mengharapkan kemenangan walaupun satu undi."

"Sebenarnya ami telah bekerja keras ke arah kemenangan lebih besar dan sebagaimana saya katakan sebelum ini, kemenangan dengan majoriti satu undi pun kemenangan juga," katanya.

- MSTAR

'Juara' Permatang Pasir: Gelanggang dibuka

by

Gelanggang pengundian pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir dibuka 8 pagi ini - bagi menentukan sama ada PAS berupaya mempertahankan kedudukannya ataupun Barisan Nasional (BN) pula boleh merampas semula kerusi yang terlepas tangan pada tahun 1999.

Kedua-dua musuh tradisi ini mengharapkan kemenangan walaupun dengan majoriti satu undi.

BN menurun sebagai 'underdog' dalam pilihan raya ini - yang keempat bagi penduduk Permatang Pauh sepanjang 18 bulan lalu dan pilihan raya kecil yang kelapan sejak setahun lalu.

Keyakinan itu dilahirkan oleh Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, masing-masing Naib Presiden PAS dan Umno pada hari terakhir kempen semalam.

Kempen pilihan kecil ini yang bermula 17 Ogos lalu - yang didominasi isu menyentuh calon BN berbanding campuran isu di Manek Urai, Kelantan bulan lalu - berakhir tengah malam tadi dengan sedikit kekecohan di sana sini berkaitan soal bahan-bahan kempen yang dirosakkan.

PAS dan BN menamatkan kempen minit-minit terakhir dengan kempen agak 'panas' yang kecam-mengecam satu sama lain. Permatang Pasir juga kelihatan sesak tengah malam tadi.

Sejurus selepas berakhirnya tempoh kempen rasmi, jentera PAS dan BN mengadakan mesyuarat penyelarasan masing-masing. Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin diberikan taklimat mengenai prestasi jentera sehingga 1 pagi tadi di Pusat Gerakan Induk, Jalan Kubang Semang.

Jentera PAS pula bertemu di Markas Induk, Jalan Permatang Pasir.

CALON BN, PAS TIDAK UNDI

Proses pengundian bermula 8 pagi dan akan berakhir 5 petang, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof sambil menambah, jika tiada apa-apa masalah keputusan akan diumumkan 8 malam.

"Saya yakin peratusan keluar mengundi lebih kurang 80 peratus," katanya.

BN menurunkan Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman, 38, anak tempatan. Beliau memperoleh ijazah undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Beliau berhadapan dengan saingan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd. Salleh Man yang berkelulusan Pengajian Islam dari Universiti Malaya.

Pun begitu kedua-dua mereka bukan merupakan pengundi di kawasan Permatang Pasir.

Yang akan mengundi ialah Ketua Umum Pakatan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti.

Anwar juga merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh yang merangkumi DUN Permatang Pasir, Penati dan Seberang Jaya.

KOMEN CALON BN, PAS

Mengulas mengenai peluangnya, Rohaizat berkata, perkembangan yang positif yang disaksikan beliau memberi keyakinan kepadanya untuk meraih sokongan pengundi, sekali gus merampas semula kerusi itu, yang dianggap kubu kuat Pas sejak tiga penggal lalu.

Jelas beliau, BN telah menjelaskan hasratnya membantu rakyat dengan menyediakan pelbagai kemudahan asas dan infrastruktur yang dikehendaki selain keperluan lain yang diperlukan di sesuatu kawasan.

Sehubungan itu, katanya, pengundi Permatang Pasir perlu memberi peluang kepada BN untuk membuktikan janjinya kepada mereka, yang menjanjikan kemajuan yang lebih gemilang.

"Saya minta semua pengundi keluar awal untuk mengundi. Jangan berlengah takut nanti tak sempat untuk mengundi disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu.

"Jangan lupa bawa kad pengenalan dan naik kenderaan yang tepat. Jangan tumpang kereta yang sembarangan, takut nanti tak sampai tempat mengundi," katanya.

Salleh ketika dihubungi mStar Online selepas berakhirnya kempen tengah malam tadi memberitahu, beliau cukup bersemangat untuk menghadapi hari pengundian.

"Begitu pekerja jentera PAS dari kawasan lain dan dari parti komponen Pakatan Rakyat yang lain," katanya.

Begitu juga penyokong dan ahli-ahli parti, kata Pesuruhjaya PAS negeri Pulau Pinang.

"Saya yakin PAS akan kekalkan kerusi ini... tiada masalah untuk kekalkan kerusi," kata beliau yang enggan mengulas mengenai peratusan sokongan kepada BN.

Pilihan raya kecil ini diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Mohd. Hamdan Abd. Rahman dari PAS pada 31 Julai lalu.

Pilihan raya kecil sejak awal tahun ini diadakan selepas lebih sebulan kekosongan wujud. Ini termasuklah pilihan raya kecil DUN Penanti dan Manek Urai.

Bagaimanapun pilihan raya kecil ini diadakan dengan segera, kurang tiga minggu selepas kematian penyandang.

Pada tahun 1995 BN mengekalkan kerusi Permatang Pasir dengan majoriti 6,198 di mana ketika itu ia turut disaingi calon PAS dan DAP. Empat tahun kemudian ia dimenangi PAS dengan memperoleh majoriti 3,194 undi.

PAS mengekalkannya pada 2004 tetapi majoriti mengecil kepada 679 undi. Pada Mac 2008, PAS mempertahankan kemenangan dengan majoriti 5,433 undi.

Sejak 1986, majoriti di DUN Permatang adalah antara 600 dan 6,000 undi.

PAS dan BN mengharapkan undi penentu golongan muda dan masyarakat Cina. Dari segi pecahan usia, 40 peratus pengundi adalah mereka yang berusia 21 hingga 40 tahun, 25.5 peratus (41 hingga 50 tahun), 17.6 peratus (51 hingga 60 tahun), 10.38 peratus (61 hingga 70 tahun) dan 15.9 peratus mereka melebihi 71 tahun.

Dari segi pecahan pengundi mengikut kaum, DUN Permatang Pasir mempunyai 72.36 peratus pengundi Melayu, Cina (25.86%), India (1.63%) dan lain-lain (0.16%).

SPR: 8 PERATURAN BARU

Pengundian pilihan raya kecil kerusi DUN Permatang Pasir berlangsung hari ini dengan lapan peraturan baru - antara lain mana-mana kenderaan yang membawa pengundi tidak dibenarkan mempamerkan bendera dan lambang parti bertanding.

Ia merupakan sebahagian usaha suruhanjaya itu untuk mengawal perbuatan berkempen sebaik sahaja tempoh berkempen rasmi berakhir 12 tengah malam tadi.

"SPR akan menguatkuasakan beberapa perkara kali ini ... tidak dibenarkan memasang logo, lambang dan bendera pada kenderaan... sama ada yang kecil ataupun besar," Aziz memberitahu pemberita di sini.

Selain itu, larangan lain yang turut akan diguna pakai kali ini ialah:

- Tiada kempen selepas 12 tengah malam tadi (Isnin) hingga keputusan diumumkan hari ini (Selasa);

- Tidak dibenarkan mengadakan barong oleh parti-parti politik;

- Tidak ada lagi meja semakan daftar pemilih;

- Tidak membenarkan rumah kediaman dan pondok dijadikan untuk tujuan kempen esok;

- Aktiviti meraih dan merayu undi tidak dibenarkan di kawasan tempat mengundi;- Tidak dibenarkan aktiviti meraikan kemenangan; dan

- Keputusan akan diumumkan tepat pukul 8 malam hari ini (Selasa) jika tiada apa-apa masalah.

Aziz juga berkata, SPR menyediakan lapan kerusi roda kepada pengundi-pengundi uzur dan cacat.

"Kita sedia maklum, kita masih hadapi wabak influenza A(H1N1). Jadi Pejabat Kesihatan akan menyediakan meja bantuan di beberapa tempat dan pengundi-pengundi dinasihatkan memakai topeng perlindungan pernafasan ketika keluar mengundi.

"Petugas-petugas SPR memang dibekalkan topeng ini. Air 'sanitizer' juga akan disembur setiap dua jam di tempat-tempat mengundi," katanya.

Mengenai peratusan keluar mengundi, Aziz menjangkakan kira-kira 80 peratus.

"Puasa, musim hujan dan wabak A(H1N1) dan kemudian cuti sekolah. Walau bagaimanapun kedua-dua parti ini bersemangat menjalankan kempen masing-masing, di sini kami menjangkakan 80 peratus.

"Mungkin lebih sikit, mungkin kurang sikit," katanya.

PILIHAN RAYA KECIL: SEPINTAS

- Jumlah pemilih berdaftar: 20,290 orang

- Jumlah pengundi pos: 1 orang

- Pecahan pengundi ikut kaum: Melayu (72.36%), Cina (25.86%), India (1.63%) dan lain-lain (0.16%)

- Pecahan pengundi ikut umur: 40% pemilih berusia 21-40 tahun, 25.5% (41-50 tahun), 17.6% (51 hingga 60 tahun), 10.38% (61 hingga 70 tahun) dan 15.9% melebihi 71 tahun.

- Pusat penjumlahan undi: Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara, Bukit Mertajam

- Pusat mengundi: Lapan (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lay Keow, Permatang Pauh, Sek. Men. Kebangsaan Samagagah, Sek. Keb. Permatang Pauh, Sek. Keb. Permatang Pasir, Sek. Kebangsaan Bukit Indera Muda, Sek. Jenis Keb. Cina Kubang Semang, Sek. Keb. Seri Penanti dan Sek. Rendah Islam Al-Masriyah

- Saluran mengundi: 39

- Pegawai Pengurus: Roslan Yahaya, Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah

- Masa keputusan: Dijangkakan pukul 8 malam

- Majoriti Mac 2008: 5,433 undi (Penyandang: Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman)

- MSTAR

Pesanan 1 Ramadan: Calon BN rayu peluang, Nik Aziz mahu 5,000 undi

by

Sempena 1 Ramadan - Barisan Nasional (BN) dan PAS mengeluarkan amanat merayu agar pengundi memberikan sokongan kepada parti masing-masing pada Selasa ini pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir.

Calon BN, Rohaizat Othman berkata, "Saya selaku anak tempatan Permatang Pauh, dengan penuh rendah diri, merayu kepada pengundi dan penduduk Permatang Pasir agar memberikan sokongan kepada Barisan Nasional pada 25 Ogos ini."

"Saya bertekad menggunakan ilmu dan pengalaman yang ada untuk mendahulukan rakyat Permatang Pasir dan mengutamakan pencapaian serta memberikan khidmat yang sebaik mungkin jika terpilih nanti," kata beliau dalam pesanan yang diedarkan kepada penduduk Permatang Pasir pagi ini.

Setiausaha Umno Permatang Pauh ini meminta pengundi kerusi DUN Permatang Pasir agar jangan melepaskan peluang "yang cuma sekali ini untuk menjadi anak emas kerajaan persekutuan."

"Marilah kita bersama-sama Barisan Nasional yang selama ini telah menjadi kerajaan yang bertanggungjawab menyediakan prasarana asas, tadika, sekolah, balai raya, surau, masjid, kolej, maktab, pasar, agensi-agensi kerajaan, kilang yang memberikan pekerja dengan suasana aman serta harmoni dalam kepelbagaian agama dan bangsa di Permatang Pasir yang bertuah," katanya.

PESANAN NIK AZIZ

Dalam pada itu, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula mahu pengundi Permatang Pasir mengekalkan kerusi yang dimenangi PAS ini dengan majoriti lebih besar.

"Apa yang ada hanya satu sahaja iaitu mengekalkan kerusi yang sudah dikuasai oleh Pakatan dan dapatkan sebanyak mungkin kerusi-kerusi tambahan dari Umno-BN jika berlaku lagi pilihan raya kecil.

"Ini adalah langkah persiapan untuk mengambil alih kerusi, kemudi di Putrajaya tidak lama lagi. Hanya melalui cara ini sahaja Malaysia akan memperkukuhkan sistem dua parti yang boleh menyemak institusi kehakiman, pelaksanaan “rule of law” dan perjalanan demokrasi. "Melalui laluan baru inilah, Malaysia akan menjalani proses tajdid, transformasi dan reformasinya yang sebenar. Insya-Allah, ini akan berlaku tidak lama lagi," kata beliau dalam teks pesanan yang diperoleh petang tadi.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menambah, melihatkan trend sokongan bukan Islam kepada calon PAS dan Pakatan Rakyat khususnya di Parlimen Permatang Pauh yang telah memenangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan di Parlimen Bukit Gantang yang telah membawa kemenangan Datuk Seri Nizar Jamaludin baru empat lima bulan yang lalu, "Saya cukup mempunyai keyakinan."

"Mari kita sama-sama perbesarkan majoriti kita di DUN N11 (Permatang Pasir) ini agar menjadi kekal, tidak kurang dari 5,000 undi, sekurang-kurangnya untuk ujian pada 25 Ogos 2009.

"Tinggalkan Umno dengan syurga politik wangnya. Mari kita terus istiqamah untuk tetap berada di tengah-tengah gelora kesedaran rakyat demi menafikan Umno-BN yang sudah laih dan kehilangan stamina mulai sekarang," katanya.

Beliau juga meminta agar digunakan kesempatan pilihan raya kecil kali ini dengan penuh cermat.

"Walaupun kita berpuasa dan kemungkinan kita boleh jadi letih tetapi tidakkah Peperangan Badar yang berlaku dalam bulan Ramadan itu pernah membawa kemenangan yang besar?

"Tiada perbuatan yang lebih mulia pada hari mengundi di bulan Ramadan pada kali ini melainkan memangkah parti yang boleh membela maaruf dan kebaikan; sekali gus menolak kemungkaran, rasuah, kezaliman dan ketidakadilan," katanya lagi.

- MSTAR

Dua calon sama-sama tempuh saat getir

by
Barisan Nasional (BN) mungkin berdepan 'laluan sukar' pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir tetapi Pakatan Rakyat turut goyah dalam pertandingan yang dijangka sengit kali ini. Sukar bagi BN kerana Permatang Pasir adalah kawasan DUN yang terletak di bawah Parlimen Permatang Pauh yang juga kubu kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR) diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun, prestasi BN yang melonjak sejak diterajui Datuk Seri Najib Razak, mula menjadi kerisauan Pakatan Rakyat terutama selepas apa yang berlaku pada pilihan raya kecil DUN Manek Urai, Kelantan. BN yang dianggap lemah dan boleh ditewaskan dengan mudah berjaya mengecilkan majoriti undi Pas kepada 65 dan secara langsung membuka mata dan telinga banyak pihak. Keadaan inilah yang menggusarkan Pakatan Rakyat terutama Pas dalam pertandingan kali ini.

Umno yang mempunyai 25 cawangan dalam DUN Permatang Pasir dengan keahlian berjumlah 5,544 orang, jika mampu mencapai kemenangan dalam pilihan kecil kali ini, akan menjadi titik permulaan kepada parti itu dalam usaha menawan kembali hati rakyat untuk menyokong mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang. Kerisauan terbayang pada wajah pemimpin Pas bagi mempertahankan kerusi Permatang Pasir. DUN ini adalah medan ujian kredibiliti Pakatan Rakyat terutama di tiga negeri di bawah pentadbirannya.

Isu meroboh kandang babi di Kedah, Kampung Buah Pala di Pulau Pinang, krisis kelemahan pentadbiran kerajaan negeri di Selangor, isu liwat Penasihat PKR dan terbaru isu Ooi Chuan Aun (Jeff Ooi) yang melabel kumpulan Jemaah Islah Malaysia (JIM) sebagai ekstremis yang menyokong keganasan adalah rentetan kepada kelemahan dan 'ribut' yang sedang melanda Pakatan Rakyat.

Umno dan BN harus berusaha dengan bijak untuk keluar sebagai pemenang dalam pertandingan ini dan sewajarnya meletakkan kejayaan ini sebagai kembalinya sokongan rakyat dan menandakan kebangkitan semula sebagai parti unggul memperjuangkan nasib dan hak rakyat. Apa juga masalah dalaman dalam Umno Pulau Pinang harus diketepikan, kepentingan rakyat dan parti perlu diutamakan.

Angin perubahan harus digunakan sepenuhnya, rakyat mula sedar Pakatan Rakyat yang disertai PKR, Pas dan DAP tidak menguntungkan Melayu. Seperti kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, BN mempunyai banyak isu mengenai penyelewengan, pembohongan dan kelemahan Pakatan Rakyat. Umno pasca 'kemenangan' di Manek Urai makin bersemangat untuk menang di Permatang Pasir dan kempen berhati-hati yang dilakukan di Manek Urai harus dikekalkan dalam usaha merampas kembali Permatang Pasir.

Bagaimanapun, seperkara yang paling menonjol dalam pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir ini ialah corak kempen. Apa yang berlaku mengejutkan banyak pihak kerana ia menjadi medan pembunuhan karektor terutama kepada calon BN, Rohaizat Othman. Perkembangan seumpama itu tidak perah berlaku dalam beberapa siri pilihan raya kecil lalu sama ada di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, mahupun Manek Urai. Dalam kempen ceramah Pas contohnya, tiada lagi kedengaran isu membawa pembaharuan atau membina negara Islam sebaliknya ia hanya dipenuhi tembakan tepat ke arah personaliti Rohaizat.

Calon BN itu dikaitkan dengan isu integriti apabila lesen guamannya ditarik balik oleh Majlis Peguam kerana didapati terbabit dalam kes penyalahgunaan wang pelanggan. Walaupun beliau sendiri dan pemimpin Umno lain sudah memberi penjelasan bahawa isu berkenaan sudah selesai apabila pengadu menarik balik aduannya tahun lalu, ia tidak cukup untuk meredakan keadaan, malah terus hangat diperkatakan sebagai modal kempen paling besar oleh Pas.

Tidak cukup dengan itu, bekas rakan kongsi beliau, Yusri Ishak pula muncul untuk menjelaskan bahawa beliau dijadikan kambing hitam dalam kes terbabit. Bercakap atas platform yang disediakan oleh Pas kelmarin, Yusri bagaimanapun tidak menafikan beliau terbabit dalam kes berkenaan cuma beliau tidak mahu dipersalahkan seorang. Beliau juga memberikan pelbagai bukti yang didakwa menyokong pendedahannya berhubung apa yang berlaku.

Bagaimanapun, jika Pas mengharapkan strategi kempen dengan pembunuhan karektor seperti yang dilakukan terhadap Rohaizat memanfaatkan mereka, percaturan itu mungkin silap. Isu berkenaan kelihatan tidak berakhir di situ saja kerana kini tiba pula giliran calon Pas, Mohd Salleh Man berdepan keadaan yang sama. Beliau dikatakan terbabit dalam isu menggelapkan wang pilihan raya kecil Permatang Pauh sebanyak RM600,000 seperti didedahkan dalam sebuah blog. Hakikatnya kini, Mohd Salleh berdepan keadaan sama seperti Rohaizat iaitu menghadapi kempen pembunuhan karektor.

Tidak cukup dengan itu, perang berkenaan dijangka menjadi semakin sengit menjelang hari membuang undi minggu depan. Sehingga ini pun, spekulasi sudah timbul bahawa beberapa isu peribadi lain mengenai Rohaizat akan turut didedahkan oleh Pas bagi dijadikan modal kempen mereka. Serangan berkenaan dijangka tidak mengenal batas sempadan malah apa saja keburukan, hatta yang membabitkan ahli keluarganya akan dijaja sepenuhnya. Matlamat perbuatan itu cuba satu iaitu untuk mematikan wataknya lebih awal dalam persaingan merebut kerusi DUN Permatang Pasir.

- BERITA HARIAN

SPR: Calon BN layak bertanding

by
Calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman telah memenuhi segala syarat, sekali gus layak untuk bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, kata Suruhanjaya PIlihan Raya (SPR).

Ketika dihubungi, Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, dari segi undang-undang tiada masalah bagi Rohaizat untuk bertanding.

"Sebab dia tiada sabit kesalahan dan tidak dihukum oleh mahkamah, tiada sabitan mahkamah. Kelayakan Rohaizat sebagai calon adalah jelas termaktub dalam undang-undang dan perlembagaan," kata beliau kepada mStar Online.

Menurut beliau, dari segi undang-undang Rohaizat boleh menjadi calon dan itulah yang menjadi keutamaan SPR iaitu samada seseorang calon itu layak bertanding dari aspek perundangan.

Kata Wan Ahmad, buat masa sekarang tiada halangan untuk beliau bertanding kerana statusnya sebagai calon sudah diisytiharkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya semalam.

"Buat masa sekarang SPR terima kelayakannya untuk bertanding, tapi pada masa akan datang tidak tahu sama ada terdapat pihak-pihak tertentu yang hendak membawa kes petisyen pilihan raya.

"Jika ada pihak hendak membawa petisyen, itu hak semua pihak untuk berbuat demikian," katanya lagi.

Pagi semalam, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menggesa agar Rohaizat tarik diri daripada bertanding dalam pilihan raya kecil Permatang Pasir dengan mendakwa tidak layak menjadi calon atas prinsip moral.

Pembangkang menggunakan isu wujudnya unsur salah guna wang Koperasi Pekebun-Pekebun Kecil Getah Pulau Pinang oleh firma guaman yang diterajui oleh calon BN itu pada tahun 2000.

Isinin lalu, Rohaizat memberitahu kes itu sudah selesai apabila bayaran telah dikembalikan kepada pelanggannya.

Umno pula menjelaskan kes itu berlaku bukanlah kerana tindak-tanduk Rohaizat. Ia juga disahkan oleh wakil koperasi itu kelmarin.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini pula, Majlis Peguam berkata Lembaga Disiplinnya telah menolak rayuan Rohaizat pada 7 Mac 2008 manakala Mahkamah Rayuan pula menolak rayuannya berhubung keputusan lembaga itu pada 12 Ogos lalu untuk menarik balik lesen guaman sivil Rohaizat.

Petang semalam, Rohaizat menjawab balik dakwaan PAS yang menggesanya menarik diri daripada bertanding dengan menganggap ia sebagai "parti yang secara moral sudah mengaku sudah kalah" dan "hanya mahu menang dengan percuma."

- BERNAMA

Harapan calon Bebas bertanding berkecai

by

Hasrat pakar motivasi, Kamarul Ramizu Idris, 43, bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, 25 Ogos ini berkecai kerana gagal menyerahkan borang pencalonan dalam tempoh ditetapkan.

Beliau yang berpakaian serba hitam tiba di pusat penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam di sini jam 9.50 pagi kerana mendakwa terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di kawasan penyokong Pas.

"Ketika saya mahu menyerahkan borang pencalonan, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahaya memaklumkan masa sudah tamat iaitu pada jam 10 pagi. Jadi, saya tidak dapat bertanding," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata, walaupun tidak dapat bertanding, beliau tidak kecewa kerana mungkin ada hikmah di sebaliknya dan tidak akan berputus asa untuk menyertai pilihan raya lain pada masa depan.

"Saya mula bertolak ke pusat penamaan calon pada jam 6 pagi bersama-sama penyokong tetapi terperangkap dalam kesesakan sehingga terpaksa berjalan kaki kira-kira dua kilometer. Sebaik tiba masa sudah tamat," katanya.

Kamarul Ramizu berkata, jika beliau dibenarkan bertanding mungkin terpaksa berdepan dengan kesukaran berkempen pada Ramadan yang menuntut umat Islam supaya menambah amal ibadat.

Beliau juga menasihatkan kedua-dua calon Barisan Nasional (BN) Rohaizat Othman dan Mohd Salleh Man dari Pas bertanding dengan cara berhemah dan menghormati Ramadan ketika mereka berkempen.

Sementara itu, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ngah Senik ketika mengulas perkara itu, berkata Kamarul Ramizu sebenarnya masih boleh menghantar borang pencalonannya ketika sampai di pusat pencalonan.

"Beliau langsung tidak dihalang oleh pegawai kami yang menganggapnya mahu menghantar borang kerana beliau sudah membelinya, tetapi beliau mengambil keputusan untuk tidak menghantar borang ketika dalam dewan.

"Jadi, dakwaannya bahawa kami menghalangnya adalah tidak benar kerana beliau sebenarnya mempunyai masa tetapi tidak menghantar borang pencalonannya," katanya.

- BERITA HARIAN

Satu lawan satu di DUN Permatang Pasir

by

Pilihan raya kecil kerusi Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir - yang diwarnai kebimbangan jangkitan influenza A(H1N1) dan suasana bulan Ramadan bermula hujung minggu ini - menyaksikan saingan satu lawan satu antara musuh tradisi - BN dan PAS.

Hanya calon mewakili dua parti itu yang menyerahkan borang penamaan calon apabila sesi serah borang selama sejam ditutup 10 pagi tadi.

Tiga orang telah membayar deposit setakat semalam. Malah sehingga pagi tadi ada yang menyebut kemungkinan akan ada empat calon termasuk BN dan PAS yang akan bertanding kali.

BN diwakili oleh Setiausaha Umno Permatang Pauh, Rohaizat Othman manakala PAS pula Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd. Salleh Man.

Status bahawa calon kedua-dua parti itu layak membawa cabaran pada pilihan raya ini, yang keempat di bahagian Permatang Pauh dalam tempoh 18 bulan lalu - diumumkan satu setengah jam kemudian. Selepas selesainya proses penamaan calon, BN dan PAS masing-masing menjanjikan saingan sengit dengan mengambil kira senario politik semasa.

BN mahu mengambil peluang daripada perubahan persepsi positif rakyat terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri manakala PAS, anggota komponen Pakatan Rakyat pula mahu mempertahankan satu-satunya kerusi miliknya dalam DUN di Pulau Pinang ini. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 15 bantahan iaitu 13 daripada PAS terhadap Rohaizat manakala BN mengemukakan dua bantahan ke atas Salleh.

Bagaimanapun tiada apa-apa bantahan berkaitan dengan isu salah guna wang membabitkan bekas firma guaman Rohaizat - yang menjadi isu dibangkitkan oleh PAS semasa bantahan, kata Setiausaha SPR, Ngah Senik.

"Perkara itu tidak disentuh," katanya.

Antara bantahan yang dibangkitkan berkaitan dengan status pekerjaan, kata beliau.

Misalnya PAS mempertikaikan pekerjaan Rohaizat yang disebutkan sebagai ahli perniagaan dalam borang penamaan calon sedangkan media melaporkan beliau seorang peguam syarie dan penasihat undang-undang.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahya ketika mengumumkan status nama calon di pekarangan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) berkata, pihaknya menerima 15 bantahan tetapi semuanya ditolak.

"Dengan itu, hanya dua calon bertanding iaitu Rohaizat Othman dari Barisan Nasional dan Mohd. Salleh Man dari PAS," katanya di pekarangan IBKN, di hapan pemimpin-pemimpin kanan BN dan Pakatan.

ROMBONGAN IRINGAN KECIL

Kira-kira 8,000 orang penyokong mengiringi calon BN dan PAS, kata Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Ayub Yaakob.

"Jumlah ini lebih kecil daripada angka yang kami telah jangkakan. Ini petanda baik dan berharap jumlah itu akan berkurangan selepas ini," katanya.

Borang penamaan calon BN diterima pukul 9.03 pagi manakala calon PAS berbuat demikian tiga minit kemudian.

KAMARUL HILANG PELUANG

Pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk bertanding mengubah 'fikiran' pada minit-minit terakhir.

Beliau tiba di IBKN bersama pencadang dan penyokongnya pukul 9.50 pagi dan menemui wartawan di khemas calon Bebas sebelum ke dewan penamaan calon,

Walaupun beliau memasuki dewan penamaan calon kira-kira empat minit sebelum 10 pagi tetapi tidak menyerahkan borang.

"Saya masuk dewan tetapi terus ke tandas. Apabila saya keluar dari tandas saya dapati pegawai-pegawai SPR keluar dan dapati masa untuk serah borang sudah berakhir," kata beliau kepada wartawan.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi mStar Online memberitahu, Kamarul memang telah memasuki ke dewan penamaan calon tetapi tidak mengemukakan borang penamaan calon.

"Dia ubah fikiran," katanya.

Kamarul pernah bertanding pada pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Penanti.

Walaupun gagal menyerahkan borang Kamarul terus berada di khemah yang dikhaskan untuk calon Bebas sehingga Roslan mengumumkan nama calon-calon yang sah bertanding.

Terdahulu rombongan penyokong iringan calon PAS tiba di kawasan berhampiran IBKN kira-kira 8.20 minit pagi.

Kira-kira 10 minit kemudian calon PAS, Salleh memasuki kawasan pekarangan IBKN bersama beberapa pemimpin Pakatan.

Ia disusuli dengan rombongan BN hampir 15 minit kemudian, yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

ELAK A(H1N1)

Tinjauan mStar Online mendapati, buat pertama kali ini dalam pilihan raya negara khususnya pilihan raya kecil dengan lebih 70 peratus hadirin memakai topeng perlindungan pernafasan. Termasuklah calon BN, Rohaizat.

Kakitangan perubatan dan kesihatan juga ditempatkan di IBKN, antara lain mengedarkan topeng perlindungan pernafasan dan memberi khidmat nasihat berkaitan A(H1N1).

- MSTAR

Salleh calon PAS di DUN Permatang Pasir

by

PAS mengumumkan Pesuruhjaya Pulau Pinang, Mohd. Salleh Man akan mewakili parti itu pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir minggu depan.

Salleh, 52, pernah bertanding kerusi Pinang Tunggal pada tahun 2004 dan Sungai Dua, Mac 2008.

Pinang Tunggal dan Sungai Dua merupakan antara empat bahagian pilihan raya yang pernah ditandinginya sejak tahun 1986.

Bagaimanapun beliau tidak pernah memenangi mana-mana kerusi, pun begitu kata Salleh beliau berharap untuk menang pada kali ini.

Salleh, seoarang pentadbir sekolah agama, merupakan lulusan pengajian Syariah dari Universiti Malaya dan dilantik sebagai Pusuruhjaya PAS Pulau Pinang tahun lalu.

Beliau mempunyai seorang isteri dan lima orang anak.

Namanya diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Permatang Pasir, Kg. Permatang Pasir dekat sini malam tadi.

"Kami harap beliau akan menang kali ini," kata Hadi.

Kerusi itu disandang oleh wakil PAS, Datuk Hamdan Abdul Rahman, yang telah meninggal dunia hujung bulan lalu.

Kira-kira lima jam terdahulu Barisan Nasional (BN) pula mengumumkan akan menurunkan Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman.

Rohaizat, 38, merupakan penasihat undang-undang dan lulusan Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Cawangan Mengkuang, Bukit Mertajam, menyertai Umno pada 1996.

Pemilihan beliau diumumkan oleh Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Permatang Pasir dekat sini kira-kira 5.30 petang semalam.

"Setelah ambil kira pandangan semua pihak, calon yang paling layak, boleh diterima rakyat, setelah dibincang dengan (Perdana Menteri) Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, yang kini berada di luar negara, didapati calon yang paling sesuai ialah Setiausaha Umno Permatang Pauh, Rohaizat Othman," kata beliau ketika mengumumkan nama calon dan melancarkan jentera BN di pusat gerakan induk BN di Bukit Merah, Permatang Pauh dekat sini petang ini.

Pilihan raya kecil bagi kerusi DUN Permatang Pasir dijangka menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, PAS dan seorang calon Bebas.

Pakar motivasi, Kamarul Ramizu Idris, 42, telah menyuarakan hasratnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

- MSTAR

Rohaizat Othman calon BN di Permatang Pasir

by

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pemilihan setiausaha Umno bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman sebagai calon BN untuk pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir 25 Ogos ini.

Beliau membuat pengumuman tersebut di Bukit Merah, Permatang Pasir pada jam petang ini.

Nama Rohaizat pernah disebut-sebut akan dicalonkan bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Penanti baru-baru.

Bagaimanapun, ia tidak menjadi kenyataan apabila BN memutuskan untuk tidak meletakkan calon bertanding di kerusi tersebut.

Manakala Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula akan mengumumkan calonnya pada jam 9 malam ini.

Salah satu yang disebut-sebut mungkin dipilih mewakili PAS kali ini ialah Pesuruhjaya Pulau Pinang, Mohd Salleh Man.

Kerusi DUN Permatang Pasir kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman kerana serangan jantung pada 31 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 17 Ogos ini.

Sebelum ini, Umno bahagian Permatang Pauh menyenaraikan empat calon termasuk Mohd Zaidi kepada pucuk pimpinan untuk memilih calon yang terbaik untuk mewakili parti itu.

Manakala jawatankusa PAS pula bermesyuarat hujung minggu lalu membicangkan lima orang calon termasuk Salleh.

- MALAYSIAKINI

Permatang Pasir: Erti kemenangan untuk Pakatan Rakyat

by
Bagi PAS, kemenangan di Permatang Pasir nanti adalah untuk orang Melayu dan Islam. Bagi DAP, kemenangan nanti bererti sokongan kepada kerajaan pimpinan Setiausaha Agungnya, Lim Guang Eng di negeri itu. Bagi PKR, kemenangan di sini bererti sokongan terus menerus kepada anggota Parlimennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Inilah perspektif yang ada kepada semua parti-parti dalam Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Permatang Pasir nanti.

Perspektif inilah yang bakal menyatukan mereka dengan satu tujuan iaitu memenangkan calon PAS yang akan mewakili Pakatan Rakyat melawan calon Umno yang akan mewakili Barisan Nasional (BN).

Walaupun siapapun mewakili PAS, perpekstif ini jelas di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat yang berbengkel sehari suntuk semalam di Petaling Jaya.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof menyatakan bahawa kemenangan Dewan Undangan Negeri (Dun) N11 Permatang Pasir adalah kemenangan bagi orang Melayu dan umat Islam di Pulau Pinang.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, adalah menjadi keperluan supaya kerusi Dun Permatang Pasir kekal kemenangannya di tangan PAS kerana ia adalah satu keperluan walaupun hanya dengan satu kerusi yang ada di Pulau Pinang.

"Dengan kemenangan tersebut walaupun dengan satu kerusi yang ada maka PAS dapat memberi pandangan, teguran dan memberi pembelaan kepada nasib orang Melayu dan umat Islam khususnya di negeri ini.

"Perkara ini bukan hanya setakat amalan soleh sahaja malah ia adalah suatu keperluan untuk membela dalam banyak perkara dan isu yang berkaitan dengan orang Melayu dan umat Islam di Pulau Pinang.

"Tetapi sekiranya ia di menangi oleh pihak yang lain maka mereka tidak dapat memberi pembelaan apa-apa kepada orang Melayu dan umat Islam kerana mereka itu bukannya parti yang memerintah di negeri Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah di Masjid Batu, Kampung Pertama, Permatang Pauh iaitu dalam kawasan pilihan raya Permatang Pasir.

Tidak boleh 'over confident'

PAS juga mengarahkan seluruh jenteranya meletakkan keputusan Pilihan Raya Umum 2004 sebagai kayu ukur yang hanya menang 500 lebih kerusi berbanding PRU 2008 dengan memperolehi lebih 5000 majoriti undi.

Demikian dinyatakan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad pada satu pertemuan dengan kesemua jentera kempen bagi Pilihan Raya Kecil Permatang Pasir malam tadi.

"Kita turun bukan dalam keadaan selesa. Kita mesti turun dengan semangat 2004 bukan 2008. Kita tidak boleh 'over confident' sangat," ujarnya kepada seluruh jentera.

Oleh itu katanya, jentera PAS perlu bekerja kuat menggunakan segenap ruang sepanjang tempoh berkempen untuk menarik pengundi baru dengan tidak mengabaikan pengundi sedia ada.

Melihat kepada senario dan politik semasa, PAS yakin isu pengkhianat melayu akan terus dicanang habis habisan oleh Umno BN pada pilihan raya kali ini.

"Kita yakin isu pengkhianat melayu akan dimainkan Umno BN, sebab itu kita perlu bersedia awal berdepan dengan serangan itu," tambah Ustaz Idris.

Demikian dinyatakan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad pada satu pertemuan dengan kesemua jentera kempen bagi Pilihan Raya Kecil Permatang Pasir malam tadi.

"Kita turun bukan dalam keadaan selesa. Kita mesti turun dengan semangat 2004 bukan 2008. Kita tidak boleh 'over confident' sangat," ujarnya kepada seluruh jentera.

Oleh itu katanya, jentera PAS perlu bekerja kuat menggunakan segenap ruang sepanjang tempoh berkempen untuk menarik pengundi baru dengan tidak mengabaikan pengundi sedia ada.

Melihat kepada senario dan politik semasa, PAS yakin isu pengkhianat melayu akan terus dicanang habis habisan oleh Umno BN pada pilihan raya kali ini.

"Kita yakin isu pengkhianat melayu akan dimainkan Umno BN, sebab itu kita perlu bersedia awal berdepan dengan serangan itu," tambah Ustaz Idris.

- HARAKAH

Pilihan raya kecil Permatang Pasir 25 Ogos 2009

by
Pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir akan berlangsung awal bulan Ramadan dengan penamaan calon ditetapkan pada 17 Ogos ini.

Jika ada pertandingan, hari mengundi adalah pada 25 Ogos iaitu awal Ramadan.

Ia diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pagi tadi selepas satu mesyuarat khas.

Dengan pengumuman itu, separuh daripada tempoh berkempen - selama lapan hari diperuntukkan - jatuh pada bulan puasa.

Pilihan raya kecil ini diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Mohd. Hamdan Abd. Rahman dari PAS pada 31 Julai lalu.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, pihaknya mengadakan pilihan raya kecil lebih awal kali ini dengan mengambil kira kedatangan bulan Ramadan.

"Kita akan menghadapi bulan puasa, lepas itu hari raya," kata beliau sambil menambah, jika hendak diadakan selepas Aidilfitri masa tidak sesuai kerana tempoh 60 hari untuk adakan pilihan raya akan berakhir pada 29 September.

Lagi pun pemilihan tarikh ini juga mengambil kira cuti sekolah yang bermula 22 Ogos dan disusuli dengan sambutan Hari Kebangsaan.

"Kita ambil kira semua ini," katanya yang turut menarik perhatian bahawa ini bukan kali pertama pilihan raya kecil diadakan pada bulan Ramadan.

Pilihan raya kecil DUN Lunas diadakan ketika Ramadan pada November 2000 manakala pilihan raya umum negeri Sabah tahun 1994 juga ketika berpuasa.

Bulan Ramadan dijangka bermula 22 Ogos ini manakala 1 Syawal diramal jatuh pada 21 September.

Pilihan raya kecil sejak awal tahun ini diadakan selepas lebih sebulan kekosongan wujud. Ini termasuklah pilihan raya kecil DUN Penanti dan Manek Urai.

Bagaimanapun pilihan raya kecil ini diadakan dengan segera, kurang tidak minggu selepas kematian penyandang.

SPR mengumumkan bahawa keputusan pilihan raya akan diumumkan tepat pukul 8 malam pada hari pengundian.

"Mengambil kira bulan puasa, SPR memutuskan akan mengumumkan keputusan pilihan raya kecil ini tepat pukul 8 malam sama ada calon atau ejennya hadir atau tidak di pusat penjumlahan undi.

"Berdasarkan pengalaman kita masa-masa lalu, ada calon yang datang lebih sejam (selepas perjumlahan rasmi undi selesai). Kali ini keputusan akan diumumkan tepat pukul 8 malam jika tiada apa-apa masalah besar," katanya.

SEPINTAS LALU

- Jumlah pemilih berdaftar: 20,290 orang

- Jumlah pengundi pos: 1 orang

- Pecahan pengundi ikut kaum: Melayu (72.36%), Cina (25.86%), India (1.63%) dan lain-lain (0.16%)

- Pusat penamaan calon: Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara, Bukit Mertajam

- Pusat penjumlahan undi: Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara, Bukit Mertajam

- Pusat mengundi: Lapan

- Saluran mengundi: 39

- Pegawai Pengurus: Roslan Yahaya, Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah

- MSTAR

Permatang Pasir 'paling panas' selepas Permatang Pauh

by
Oleh ZULKIFLI JALIL

Seingat Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof, 59, belum pernah berlaku enam pilihan raya kecil dalam tempoh setahun. Juga, belum pernah ada seorang pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggalas tanggungjawab menguruskan enam pilihan raya kecil dalam tempoh itu.

''Dan buat diri saya, ikut purata sekali dalam sebulan pasti akan ada satu pilihan raya kecil yang saya kendalikan termasuk yang bakal menyusul kerusi Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir.

''Memang tidak disangka, kita jangkakan ada orang yang sedang uzur akan menghadap panggilan-Nya. Tapi inilah takdir-Nya dan kita (SPR) seperti biasa menjalankan tugas untuk memilih pengganti kekosongannya," ujar pengerusi SPR itu kepada Utusan Malaysia semalam.

Bagi Abdul Aziz, beliau masih berpegang kepada prinsip dan pendiriannya pada hari pertama mengetuai SPR pada 31 Disember tahun lalu iaitu untuk 'membuka telinga seluas-luasnya' mendengar apa sahaja perkara dan masalah yang dibangkitkan - baik daripada parti pembangkang, atau parti kerajaan - untuk diperbaiki dan diselesaikan.

Mengakui setiap pilihan raya kecil ada bezanya daripada segi pengalaman, beliau yang ditanya pengajaran berguna yang dipelajarinya daripada Bukit Selambau, Bukit Gantang, Batang Ai, Penanti dan Manek Urai, terdiam seketika - mengingati sesuatu.

''Saya fikir Manek Urailah apabila kita terlalu beri muka kepada benda merayu-meraih ini sedangkan dulu mereka (pihak terbabit) sudah berjanji.

''Meskipun sudah diharamkan barong (pondok panas) ini dan seketika kemudian disediakan pula meja menyemak (saluran mengundi), itulah yang terjadi (kekecohan yang dicetuskan kumpulan tertentu)," ujar Abdul Aziz merujuk suasana hingar-bingar yang berlaku semasa pilihan raya kecil 14 Julai lepas.

Tegas Abdul Aziz, Manek Urai akan dijadikan contoh bahawa ketegasan adalah satu-satunya perkara yang akan diutamakan SPR dalam mengendalikan pilihan raya kecil Permatang Pasir nanti.

''Apa yang akan kita lihat pada hari pengundian di Permatang Pasir nanti ialah tidak akan ada lagi kempen meraih undi dan pondok panas. Dari pukul 12 tengah malam hingga pengumuman keputusan akan dicap sebagai hari bertenang," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan Permatang Pasir akan menjadi pilihan raya kecil paling panas jika diambil kira kedudukannya dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh.

''Cuma, sama ada kemungkinan pilihan raya kecil ini diadakan sebelum bulan puasa atau semasa puasa, kita semua parti-parti politik diharap mengambil iktibar dan keberkatan bulan tersebut," katanya.

Sekadar renungan, pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada Ogos tahun lalu disifatkan yang paling ganas dalam sejarah dengan mencatatkan banyak insiden tidak diingini dari hari penamaan calon hingga pengundian ditutup.

Sebanyak 71 laporan diterima membabitkan pelbagai kesalahan termasuk kekerasan, mengancam keselamatan, menghalang kempen, menjatuhkan poster pihak lawan dan menggunakan bahasa kesat. Sebahagian besar laporan dibuat terhadap pihak penyokong pembangkang.

Walaupun 6,000 anggota polis dikerahkan dianggap banyak, kakitangan dan pegawai SPR masih terpaksa bekerja keras bagi mengawal keadaan berikutan kebanjiran kira-kira 40,000 orang luar di Permatang Pauh.

Jentera pilihan raya PAS Permatang Pauh telah bersedia

by
Jentera pilihan raya PAS Permatang Pauh telah lama bersiap sedia menghadapi sebarang pilihan raya, kata Setiausaha PAS Permatang Pauh, Ahmad Kamal Ahmad.

Katanya, jentera PAS terutamanya di Unit Peti Undi (UPU) tidak pernah dibubarkan di keseluruhan Parlimen Permatang Pauh iaitu di Permatang Pasir, Penanti dan Seberang Jaya.

Malahan sambungnya, ia sentiasa bergerak sebagai satu pasukan dengan jentera Parti Keadilan Rakyat Malaysia (KeADILan) Cabang Permatang Pauh sejak Pilihan raya Kecil Permatang Pauh dan Penanti.

"Semua jentera kita bersiap sedia untuk berhadapan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) di N11 Permatang Pasir. Banyak isu sedang menanti untuk penceramah kita sebarkan," ujarnya ketika diminta pandangan mengenai persiapan terkini jentera PAS di situ.

Apapun kata beliau, malam ini PAS Kawasan akan berbincang mengenai nama-nama calon untuk dikemukakan kepada negeri bagi proses terakhir pemilihan sebelum diisytiharkan kemudianya.

Ketua Dewan Pemuda PAS Permatang Pauh, Ustaz Zakaria Hamzah bertekad mengerakkan semua jentera pemuda untuk memperkasakan Majlis Tindakan Dun (MTD) Permatang Pasir di samping memperbanyakan program kepemudaan di situ.

Tegasnya, bagaimanapun bukan sekarang pergerakan bermula bahkan sebelum ini lagi ketika pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Penanti.

"Yakinlah kita pasti menang lagi di sini namun yang jelas ialah kerjasama dan pergerakan bersepadu dari segenap segi," tambahnya.

Ketua Dewan Muslimat PAS Permatang Pauh, Suraiya Mohd Saat berkata, berbagai program kemasyarakatan telah diatur sejak dulu dan disusun mengikut strategi.

Menurutnya lagi, maklumat mengenai Umno dan BN juga dapat di hidu dari masa ke masa dan memudahkan jentera bertindak menangkis tohmahan yang dilemparkan kepada Pakatan Rakyat.

"Menerusi bacaan Yasin di kampung-kampung banyak membantu jentera dekati masyarakat. Keaktifan Ahli Jawatankuasa juga dipuji kerana sanggup memberi masa untuk kepentingan jamaah," jelas beliau yang juga bekas Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri Pulau Pinang.

Sementara itu, Setiausaha Negeri KeADILan Pulau Pinang, Mustaffa Kamal Mohd Yusuf dalam kenyataanya pada Harakahdaily, yakin calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat akan menang namun tidak anggap mudah kali ini kerana setiap pilihan raya kecil pastinya terdapat umpan.

Dari segi kerjasama sambungnya, KeADILan akan memberikan kerjasama maksimum untuk memastikan Dun Permatang Pasir tidak jatuh pada BN setelah Adunnya, Allahyarham Dato' Haji Mohd Hamdan Abdul Rahman berjaya mengekal kemenangan tiga penggal berturut-turut.

- HARAKAHDAILY

Permatang Pasir: PKR pula mahu bertanding?

by
Dulu penyokong-penyokong PAS membuat desakan mahu calon parti itu diletakkan bertanding pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti. Kini tiba giliran Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula meletakkan tuntutan ke atas DUN Permatang Pasir?

PKR meletakkan calonnya, Mansor Othman di DUN Penanti pada Jun lalu - mewarisi tradisi komposisi kerusi pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.

PAS Pulau Pinang menuntut kerusi itu dua bulan lalu atas alasan penyandang kerusi dari PKR "gagal menjalankan tugas dengan baik" dan "tidak kena dengan cara melepaskan jawatannya".

Penanti dan Permatang Pasir merupakan antara tiga kerusi DUN dalam bahagian Parlimen Permatang Pauh. Satu lagi DUN - Seberang Jaya disandang oleh Umno-Barisan Nasional.

Hari ini, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, terdapat permintaan daripada pemimpin dan akar umbi parti itu supaya ia meletakkan calonnya untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, cadangan tersebut dibuat berikutan gerakan PKR di kawasan Permatang Pasir adalah kuat dan mantap.

Katanya, mereka telah mengemukakan cadangan itu kepada beliau untuk dibincangkan di peringkat kepimpinan tertinggi pakatan pembangkang dan berharap ia diberikan pertimbangan yang sewajarnya.

Ketika bercakap kepada pemberita semasa menghadiri majlis perkahwinan seorang penduduk Permatang Pauh di Bukit Mertajam hari ini, Anwar bagaimanapun menasihatkan mereka agar menerima siapa sahaja yang diputuskan oleh kepimpinan tertinggi gabungan pembangkang kelak.

"Secara peribadi, saya nasihatkan mereka supaya memberi laluan kepada PAS untuk bertanding di kawasan itu berdasarkan prestasi Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN) Allahyarham Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman yang cukup baik dan kerjasama yang diberikan PAS kepada pakatan selama ini di Permatang Pasir," katanya.

Bagaimanapun, katanya, pandangan dan hasrat akar umbi itu akan dibincangkan dengan presiden parti dan kepimpinan pakatan pembangkang sebagai menghormati permintaan mereka itu.

"Kita perlu memberi ruang kepada mereka menyuarakan pandangan walaupun secara peribadi berpendapat mereka harus mengambil kira kerangka pakatan pembangkang yang lebih besar," katanya.

Anwar, yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, walaupun kecenderongan sokongan rakyat kepada gabungan pembangkang terutamanya di Semenanjung meningkat, namun faktor calon memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan pada pilihan raya kecil itu.

Katanya, calon yang bakal diketengahkan perlu mempunyai kewibawaan dan boleh berkhidmat kepada masyarakat.

Ketika ditanya sama ada keputusan pilihan raya kecil DUN Manek Urai, Kelantan boleh menjejaskan sokongan rakyat terhadap pembangkang di sini, beliau yakin rakyat akan terus menyokong mereka kerana keadaan dan latar belakang penduduk Manek Urai amat jauh berbeza dengan Permatang Pasir.

Apapun, katanya, kemenangan PAS di Manek Urai perlu dihormati kerana parti itu tidak pernah memenangi pilihan raya kecil di Kelantan sebelum ini.

Pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir akan diadakan berikutan kematian Allahyarham Hamdan, 63, Jumaat lepas akibat sakit jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian selewatlewatnya pada 10 Ogos.

KG. BUAH PALA

Mengenai isu Kampung Buah Pala, Anwar berkata, beliau yakin dengan kemampuan Ketua Menteri, Lim Guan Eng untuk menyelesaikan isu berkenaan dan berpuas hati dengan kaedah penyelesaian yang dikemukakan kerajaan negeri Pulau Pinang setakat ini.

Oleh itu, katanya, Lim dan kerajaan negeri harus diberi peluang untuk menyelesaikan isu itu dan tiada keperluan baginya untuk turun padang dan bertemu dengan penduduk ketika ini.

"Datuk Seri Najib tak pi jumpa, anda tak sibuk, Muhyiddin tak pi jumpa, anda tak sibuk. Apa pasal saya nak jumpa (mereka)? Saya yakin dengan cara Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang buat. Tak semestinya saya jumpa semua. Permatang Pauh memang kawasan saya dan saya datang.

"Kalau dirasakan perlu, saya boleh jumpa tetapi kalau jumpa untuk motif politik, ini bukan kaedahnya melainkan tidak ada penyelesaian," katanya ketika ditanya mengapa beliau tidak menemui penduduk Kampung Buah Pala sedangkan semasa kempen pilihan raya umum 2008, beliau ada menemui penduduk di situ dan berjanji untuk membantu mereka jika gabungan pembangkang memenangi pilihan raya itu.

- BERNAMA

Pas tetap pertahan Permatang Pasir

by
Pas akan bertanding mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, di Pulau Pinang selepas penyandangnya, Allahyarham Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, 63, meninggal dunia, pagi semalam akibat sakit jantung di Institut Jantung Negara (IJN).

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub, berkata jentera pilihan raya Pas di Pulau Pinang akan digerakkan serta diberi taklimat sepenuhnya dalam tempoh terdekat ini sebagai persediaan menghadapi pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, berkata Pas mula bertanding DUN berkenaan sejak 1999 dan yakin Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat akan sekali lagi memberi sokongan kepada parti berkenaan untuk mempertahankan kerusi Permatang Pasir.

"Pas amat sedih di atas pemergian wakil rakyatnya hari ini (semalam). Kita akan mempertahankan kerusi DUN Permatang Pasir yang dimenangi Allahyarham," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pas di sini, semalam.

Mohd Hamdan yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang selama 14 tahun menjadi wakil rakyat Permatang Pasir bermula 1999 dan Allahyarham adalah satu-satunya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pas di negeri berkenaan.

Di GEORGETOWN: Pas Pulau Pinang akan bermesyuarat dua hari lagi bagi membincangkan persiapan pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir.

Pesuruhjaya Pas negeri, Salleh Man, ketika dihubungi, belum bersedia untuk membincangkan perkara itu kerana mahu menyelesaikan urusan pengebumian jenazah Mohd Hamdan.

"Nanti dulu, dalam dua hari lagi, Pas negeri akan mengadakan mesyuarat," katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkata kerajaan Pulau Pinang mengucapkan takziah kepada keluarga Mohd Hamdan dan menyifatkan arwah seorang Adun yang sangat amanah menjalankan tanggungjawabnya dengan memperjuangkan kebajikan penduduk setempat.

- BERITA HARIAN

Analisis: Politik semasa pengaruhi pengundi Permatang Pasir

by
Oleh Fazli Abdullah

Lagi pilihan raya kecil. Itulah topik yang diperkatakan sebaik berita kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, yang juga wakil tunggal Pas dalam kerajaan Pulau Pinang, tersebar semalam. Selepas Pilihan Raya Umum 2008, dua pilihan raya kecil diadakan di Pulau Pinang dalam tempoh setahun dan menariknya, kedua-duanya membabitkan kawasan Permatang Pauh, iaitu satu bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh manakala satu lagi, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Pilihan raya kecil ketiga, iaitu yang akan diadakan tidak lama lagi bagi kerusi DUN Permatang Pasir berikutan kematian Mohd Hamdan, 63, akibat sakit jantung, juga dalam Parlimen Permatang Pauh. Parlimen Permatang Pauh yang diwakili Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempunyai tiga DUN iaitu Penanti, Permatang Pasir dan Seberang Jaya, masing-masing diwakili PKR, Pas dan Barisan Nasional (BN).

Pilihan raya kecil kali ini perlu diadakan berikutan kematian Mohd Hamdan kira-kira jam 7.15 pagi semalam selepas beberapa hari menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, meninggalkan seorang balu dan enam anak. Allahyarham menang tiga pilihan raya umum bagi kerusi DUN Permatang Pasir sejak 1999 selepas menewaskan calon BN dan menjadikan kerusi itu kubu kuat Pas. Sebelum itu, Allahyarham gagal dalam dua percubaan di DUN Penaga, Kepala Batas.

Pada Pilihan Raya Umum 1999, Allahyarham menewaskan Datuk Ahmad Saad dengan majoriti 3,154 undi. Pada 2004, Allahyarham menewaskan Datuk Md Isa Ramli dengan majoriti 679 undi. Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham yang memperoleh 11,004 undi, menang dengan majoriti besar iaitu 5,433 undi apabila menewaskan Ahmad Sahar Shuib yang mendapat 5,433 undi.

Pada pilihan raya umum lalu, DUN Permatang Pasir mempunyai 20,350 pengundi dengan Melayu mewakili 72.93 peratus, Cina (25.93 peratus), India (1.10 peratus) dan lain-lain (0.1 peratus). Pilihan raya kecil pertama di Permatang Pauh bermula apabila Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen bagi membolehkan suaminya, Anwar bertanding. Dalam pilihan raya kecil pada 26 Ogos tahun lalu, Anwar menewaskan calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah dengan majoriti 15,671 undi. Presiden Akim, Hanafi Mamat, yang memperoleh 92 undi, hilang wang pertaruhan.

Mei lalu, kerusi DUN Penanti pula kosong berikutan peletakan jawatan Mohamad Fairus Khairuddin yang dikaitkan dengan kes rasuah. Bagaimanapun, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membersihkan namanya dengan membuat keputusan tiada kes terhadap beliau. Sebelum itu, beliau turut melepaskan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I. Dalam pilihan raya kecil itu, BN tidak meletakkan calon kerana tidak mahu terjerumus dalam permainan politik pembangkang. PKR mengekalkan kerusi itu apabila calonnya, Mansor Othman menewaskan tiga calon Bebas dan Mansor dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I.

Kini, tiba giliran DUN Permatang Pasir pula diuji selepas dua ujian pertama berpihak kepada PKR. Melihat beberapa pilihan raya lalu, DUN Permatang Pasir pernah menjadi kawasan selamat BN sebelum ditawan Pas pada 1999 melalui Mohd Hamdan. Sejak 1990 kawasan itu diwakili BN apabila Mohd Isa menang pada pilihan raya umum 1990 dengan majoriti 4,271 undi. Pada 1995, BN mengekalkan kerusi itu menerusi Ahmad. Pada pilihan raya umum itu, Ahmad yang memperoleh 8,764 undi menewaskan calon Pas, Yusof Abdul Latib (2,566) dan Mior Aarif Mior Hassan dari DAP (1,577).

Bagaimanapun, Pas mula menerajui kawasan itu apabila Mohd Hamdan menang dengan majoriti 3,154 undi pada 1999 menewaskan Ahmad. Pada pilihan raya 2004 dan 2008, Allahyarham terus mengekalkan kerusi itu apabila menewaskan calon BN, masing-masing Mohd Isa dan Ahmad Sahar, dengan majoriti 679 undi dan 5,433 undi. Majoriti besar yang diperoleh Allahyarham pada pilihan raya 2008, membuktikan penguasaan Pas di Permatang Pasir tidak boleh diperlekehkan oleh BN pada pilihan raya kecil yang akan diadakan.

Dengan kerusi DUN itu terletak dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh yang diwakili Anwar serta Pulau Pinang dikuasai Pakatan Rakyat, Pas mempunyai kelebihan mempertahankan kedudukannya. Namun, mengambil kira kemenangan moral BN pada pilihan raya kecil Manek Urai selepas berjaya mengurangkan majoriti undi Pas kepada 65 undi, bulan lalu, BN khususnya Umno tidak perlu terlalu bimbang dengan peluang mereka.

Meskipun mungkin bakal melalui cabaran getir dan laluan sukar, BN terutama Umno Pulau Pinang di bawah kepemimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Umno Permatang Pauh yang dipimpin Datuk Abdul Jalil Abdul Majid, perlu muhasabah diri dan menyusun strategi berdepan Pakatan Rakyat untuk kali ketiga dalam tempoh setahun. Jadikan pengalaman di Parlimen Permatang Pauh dan DUN Penanti sebagai cabaran untuk merampas kerusi itu.

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90