Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Pakatan Rakyat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pakatan Rakyat. Papar semua catatan

PRU13: Senarai Calon Pakatan Rakyat Kedah

by
PAS Kedah mengekalkan status quo apabila mengumumkan seramai 24 calon bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan mengekalkan kedudukannya di kerusi DUN Sungai Limau.

Sementara itu sekutu mereka iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) diperuntukan 10 kerusi pada pilihan raya kali ini.

SENARAI PENUH CALON PAKATAN RAKYAT KEDAH

P004 Langkawi - Ahmad Abdullah (PKR)

N01 Ayer Hangat - Zubir Ahmad (PAS)

N02 Kuah - Datuk Ahmad Kassim (PKR)

P005 Jerlun - Dr Ismail Salleh (PAS)

N03 Kota Siputeh - Ismail Wan Teh (PAS)

N04 Ayer Hitam - Abdul Ghani Ahmad (PAS)

P006 Kubang Pasu - Mohd Jamal Nasir (PAS)

N05 Bukit Kayu Hitam - Nasrul Omar Che Mansor (PKR)

N06 Jitra - Dr Rohani Abd Mutalib (PAS)

P007 Padang Terap - Mohd Nasir Zakaria (PAS)

N07 Kuala Nerang - Syed Ibrahim Syed Omar (PAS)

N08 Pedu - Ir Zamri Jusoh (PKR)

P008 Pokok Sena - Datuk Mahfuz Omar (PAS)

N09 Bukit Lada - Ahmad Izzat Mohamad Shauki (PAS)

N10 Bukit Pinang - Wan Romani Wan Salim (PAS)

N11 Derga - (DAP)

P009 Alor Setar - Gooi Hsiao Leung (PKR)

N12 Bakar Bata - Mohd Ikmal Ahmad (PKR)

N13 Kota Darul Aman - (DAP)

N14 Alor Mengkudu - Ahmad Yahaya (PAS)

P010 Kuala Kedah - Dr Azman (PKR)

N15 Anak Bukit - Datuk Amiruddin Hamzah (PAS)

N16 Kubang Rotan - Mohd Nasir Mustafa (PAS)

N17 Pengkalan Kundur - Datuk Phahrolrazi Zawawi (PAS)

P011 Pendang - Mohamad Sabu

N18 Tokai - Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul

N19 Sungai Tiang - Fadzil Baharum

P012 Jerai - Firdaus Jaafar

N20 Sungai Limau - Datuk Seri Azizan Abdul Razak

N21 Guar Chempedak - Musoddak Ahmad

N22 Gurun - Salma Ismail (PKR)

P013 Sik - Che Uda Che Nik

N23 Belantek - Abu Bakar Bakilani

N24 Jeneri - Ahmad Tarmizi Sulaiman

P014 Merbok - Norazlina Suri (PKR)

N25 Bukit Selambau - Dr Krishnamurthy (PKR)

N26 Tanjung Dawai - Fakruddin Fakhrurazi

P015 Sungai Petani - Johari Abdul (PKR)

N27 Pantai Merdeka - Abdullah Jusoh

N28 Bakar Arang - Ooi Tze Min (PKR)

N29 Sidam - Dr Robert Ling (PKR)

P016 Baling - Brig Gen (Rtd) Datuk Najmi Ahmad

N30 Bayu - Mahmud Yaakob

N31 Kupang - Johari Abdullah

N32 Kuala Ketil - Md Zuki Yusuf

P017 Padang Serai - N. Surendran (PKR)

N33 Merbau Pulas - Datuk Siti Aishah Ghazali

N34 Lunas - Azman Nasrudin (PKR)

P018 Kulim Bandar Baharu - Datuk Saifuddin Nasution Ismail (PKR)

N35 Kulim - Chu Mau Nian (PKR)

N36 Bandar Baharu - Mohd Khairi Mohd Salleh

- MSTAR


Anwar: Pakatan tidak kejar kuasa, tapi kebajikan rakyat

by

Pakatan Rakyat (PR) menegaskan, matlamat perikatan untuk membentuk kerajaan pusat menerusi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang bakal menjelang tiba, bukan bertujuan "mengejar kuasa", sebaliknya memfokus usaha mensejahterakan rakyat menerusi pelbagai bidang pembangunan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sikap keangkuhan kuasa adalah salah satu faktor yang mengkongkong percambahan ilmu daripada berkembang.

Sehubungan itu kata beliau, PR yang menyasarkan matlamat menumbangkan Barisan Nasional (BN) kali ini, akan membawa perubahan baru dalam sistem pendidikan, sekali gus menghapuskan sikap konservatif yang menular di kalangan masyarakat di bawah pimpinan kerajaan BN.

Beliau juga berkata, matlamat PR bukan berfokus pada kuasa sebaliknya perkara yang mencakupi kehidupan rakyat termasuk isu pendidikan selain ekonomi.

"Saya lontarkan secebis isu, yang boleh ditangani dan dibahas oleh sarjana dan ilmuan kita... kita buka mengejar kuasa di mana jika kuasa yang dikejar, maka matlamat kita adalah kuasa tetapi kita memimpin dan selesaikan isu rakyat," kata beliau pada Himpunan Pendidik dan Pelancaran Pro Tem Majlis Pendidikan Negara (Mapen) di sini hari ini.

PR melancarkan manifestonya akhir bulan lalu.

Perikatan tiga parti itu menyasarkan dapat membentuk kerajaan pusat dan menang di tujuh negeri.Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata 'kerajaan' PR yang bakal terbentuk selepas PRU13 tidak akan membebankan rakyat terutama golongan muda yang ingin mempelajari ilmu.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata tugas yang bakal dipikul oleh pemimpin PR menjadi semakin mencabar dalam menyelesaikan pelbagai masalah rakyat.

"Kerajaan selepas ini, bukan kerajaan BN tetapi kerajaan PR akan mempunyai cabaran yang lebih banyak.

"Kita kena selesaikan masalah rakyat dan mencari jalan penyelesaian untuk meringan beban rakyat terutama dari segi pendidikan," katanya lagi.

- SINAR HARIAN

 

PRU-13: Kit Siang Akan Bertanding Kerusi Parlimen Gelang Patah

by

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemimpin parlimen DAP Lim Kit Siang sebagai calon Pakatan Rakyat untuk kerusi parlimen Gelang Patah.

Beliau membuat pengumuman itu dalam majlis sambutan ulangtahun ke-47 DAP di Skudai menjelang jam 9.30 malam ini.

Pemimpin MCA Tan Ah Eng memenangi kerusi itu dalam pilihan raya umum 2008.

Ia merupakan salah satu daripada beberapa kerusi parlimen di Johor dengan lebih 50 peratus pengundi Cina.

Anwar dalam ucapannya di majlis itu yang dihadiri kira-kira 20,000 orang mengakui bahawa Gelang Patah merupakan kerusi PKR, namun perkara itu boleh dirunding, katanya.

"Saya masih berpendapat bahawa ia masih kerusi PKR. Tapi jika Kit Siang datang dan bantu kita, pimpin kita dan menjadi calon Gelang Patah, saya beri sokongan penuh," katanya.

Beliau kemudiannya menjemput Lim serta pemimpin DAP lain untuk tampil ke atas pentas sebelum mengumumkan sokongannya kepada pemimpin veteran tersebut untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Kerusi berkenaan ditandingi PKR dalam dua pilihan raya umum terakhir.

Perebutan kerusi tersebut sebelum ini mencetus pergeseran di antara ketua DAP Johor Dr Boo Cheng Hau dan ketua PKR negeri Datuk Seri Chua Jui Meng.

- MALAYSIAKINI

 

Pakatan Rakyat Janji Turun Harga Kereta

by
PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) berjanji akan melakukan rombakan terhadap Dasar Automotif Negara dalam usaha untuk menurunkan harga kereta sekiranya pembangkang berjaya mentadbir Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata menerusi penstrukturan semula dasar berkenaan ia dapat mengurangkan bebanhutang rakyat sekaligus dapat meningkatkan pendapatan boleh guna pendapatan isi rumah rakyat.

"Pimpinan muda dalam PKR akan memastikan bahawa janji untuk menurunkan harga kereta akan dimasukkan menjadi salah satu janji utama dalam manifesto Pakatan Rakyat untuk PRU-13," katanya pada sidang media diIbu Pejabat PKR di sini, Selasa.

Mengulas lanjut Mohd Rafizi berkata pembangkang juga akan menghapuskan duti eksais yang dikenakan kepada pembeli kereta pada ketika ini.

"Kereta yang paling kecil dengan dengan saiz enjin di bawah 1,500 cc akan dikenakan duti eksais 60 peratus dan cukai jualan 10 peratus. Ini meningkat kepada 100 peratus jika kereta itu diimport dengan tambahan cukai import sebanyak 30 peratus.

"Ini bermakna bagi sebuah kereta Perodua yang kecil pada harga RM40,000, pembeli perlu membayar cukai sebanyak RM16,500, kadar cukai ini sudah tentu lebih tinggi bagi kereta yang lebih besar," katanya.

Selain itu katanya berdasarkan Laporan Kaji Selidik Pendapatan dan Kemudahan Isi Rumah 2009 yang dikeluarkan Jabatan Statistik, 53 peratus dari keseluruhan isi rumah di Malaysia hanya berpendapatan RM3,000 ke bawah sebulan.

Statistik juga menunjukkan sebanyak 71.9 peratus keseluruhan isi rumah di Malaysia mempunyai dan menggunakan kereta sebagai pengangkutan.

"Pembeli terpaksa membelanjakan lebih separuh daripada gaji mereka setiap bulan bagi tujuan penyelenggaraan.

"Pentadbiran kerajaan yang mengabaikan pelaburan dalam pengangkutan awam juga memyebabkan pergantungan rakyat kepada kenderaan persendirian," katanya.

- MSTAR

Jalan Ke Putrajaya Bukan Jalan Yang Mudah - Presiden PAS

by
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pada Sabtu mengakui hasrat pakatan pembangkang PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP untuk membentuk kerajaan Persekutuan pada pilihan raya umum ke-13 bukan satu tugas yang mudah.

Beliau berkata pakatan pembangang perlu bekerja keras bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya umum itu kerana "jalan untuk ke Putrajaya sangat berliku dan bukan jalan yang mudah".

Abdul Hadi berkata walaupun impian itu dilaungkan berkali-kali, agak sukar bagi gabungan itu untuk mencapainya jika tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

"Kita mempunyai satu tanggungjawab yang besar dalam menuju ke Putrajaya tetapi jalan untuk ke sana sangat berliku dan penuh cabaran," katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Konvensyen Pakatan Rakyat Kali ketiga di Stadium Sultan Abdul Halim di Alor Star, Kedah.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam ucapan penggulungannya pula mengakui Barisan Nasional (BN) masih mempunyai kelebihan dan tidak ada jaminan pakatan pembangkang akan menang dalam pilihan raya umum nanti.

Beliau berkata mereka juga perlu bersiap sedia untuk menghadapi segala cabaran daripada BN.

Sementara itu ketika ucapan Suara Nurani Rakyat Malaysia, Datuk Ambiga Sreenevasan yang mewakili pertubuhan bukan kerajaan mencadangkan kepada Pakatan Rakyat supaya menumpukan kepada kes rasuah yang besar sahaja jika mereka berjaya membentuk kerajaan.

"Kita boleh ampunkan ikan kecil kes rasuah...tangkap ikan besar. Saya mahu tahu pendirian pakatan mengenai memerangi rasuah," katanya.

- BERNAMA

Pakatan Rakyat Lancar Manifesto Pilihan Raya Pada Konvensyen Januari 2012

by
ALOR SETAR: Pakatan Rakyat akan melancarkan manifesto untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada konvensyen kebangsaannya pada Januari ini.

Pengerusi PKR Kedah, Datuk Wan Salleh Wan Isa berkata konvensyen ketiga pakatan pembangkang akan diadakan pada 14 Januari di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini.

Seramai 1,800 perwakilan dan 200 pemimpin-pemimpin dari DAP, PAS dan PKR akan menghadiri konvensyen itu, katanya.

Wan Salleh berkata Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang, Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat Kebangsaan DAP, Lim Kit Siang dijangka melancarkan manifesto itu nanti.

Manifesto tersebut berdasarkan Rangka Kerja Dasar Bersama Pakatan Rakyat (Buku Jingga), kata beliau dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Wan Salleh juga berkata manifesto itu juga akan diagihkan kepada mereka yang menghadiri majlis pelancaran itu.

Apabila ditanya mengenai kemungkinan Anwar tidak menghadiri konvensyen itu berikutan keputusan Mahkamah Tinggi pada perbicaraan kes liwatnya yang akan diberikan pada 9 Januari, Wan Salleh berkata ini tidak akan menjejaskan tumpuan parti.

"Walau apa pun keputusannya, ia tidak akan menjejaskan momentum parti. Kami akan terus bekerja keras untuk parti," katanya.

- MSTAR

Parti di bawah Pakatan Rakyat guna logo masing-masing

by

PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP tetap menggunakan logo parti masing-masing pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti dan tidak akan sesekali menggunakan lambang pakatan pembangkang sekiranya gabungan berkenaan didaftarkan.

Sebaliknya usaha untuk mendaftarkan gabungan berkenaan sebagai sebuah gabungan pakatan bertujuan memudah urusan kerja selain membolehkan parti pembang-kang menggantung bendera parti rakan komponen yang lain.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pembangkang tidak pernah berhasrat menukar lambang pada pilihan raya nanti sebaliknya PAS, PKR dan DAP akan menggunakan lambang masing-masing pada kertas undi.

“Kita daftar atas nama pakatan, namun, parti akan kekal dengan lambang masing-masing. Untuk kertas undi nanti PAS guna lambang PAS, PKR lambang PKR dan DAP dengan lambangnya.

“Tujuan parti mendaftarkan pakatan ini bagi memudahkan prosedur saja, yang mana setiap parti boleh memasang bendera parti lain. Misalnya PAS boleh memasang bendera PKR ataupun DAP,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

- BERITA HARIAN

MPP Pakatan Rakyat tidak akan laksana hukum hudud

by
KUALA LUMPUR 29 Sept. — Majlis Pimpinan Pakatan (MPP) pembangkang tidak akan melaksanakan hukum hudud seperti yang dicadangkan Pas kerana ia tidak menepati dasar bersama, Perlembagaan Persekutuan dan agenda Buku Jingga.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pakatan pembangkang menghormati pendirian Pas dalam hal itu tetapi pada masa yang sama menerima perbezaan pendirian DAP yang menentang pelaksanaannya.

“Kita tak boleh nafikan hak mana-mana pihak untuk mengemukakan pendirian tetapi kita terikat dengan dasar bersama dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pakatan pembangkang selama tiga jam di Kuala Lumpur malam tadi.

Turut hadir Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP, Karpal Singh, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Ketika ditanya sama ada isu hudud akan terus diketepikan pada masa akan datang, Anwar yang juga Penasihat PKR berkata, gabungan itu tidak ada masalah untuk membincangkan tentangnya kerana berpegang pada prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara.

— BERNAMA

Resolusi 100 hari, Nik Aziz pertahan Anwar

by
Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata resolusi 100 hari yang dikemukakan pembangkang pada konvensyen mereka lepas hanya akan dilaksanakan setelah pakatan pembangkang mengambil alih pentadbiran negara.

"Kita akan laksanakan bila pakatan dapat memerintah negara...tunggulah dulu...jangan nak jadi gangster," katanya kepada pemberita selepas majlis perkahwinan perdana anjuran kerajaan negeri melibatkan 101 pasangan baru di Pusat Tarbiyah PAS Kelantan (PUTIK) di Kota Bharu hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin semalam yang mencabar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya melaksanakan kenaikan gaji bagi pegawai-pegawai awam di negeri-negeri yang ditadbir oleh pakatan pembangkang dahulu sekiranya pembangkang benar-benar prihatin dengan nasib penjawat awam.

Sehubungan itu, menteri besar Kelantan itu meminta kerajaan BN menunggu sehingga pakatan pembangkang menerajui negara untuk melaksanakan resolusi itu.

Resolusi itu mengandungi sembilan perkara termasuk pengurusan negara, ekonomi dan pendidikan yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari jika pakatan pembangkang menang pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Antaranya mengarahkan Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyempurnakan pengambilan alih aset lebuh raya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol, merombak struktur subsidi bagi mengurangkan subsidi kepada swasta dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat, menaikkan imbuhan perguruan RM500 sebulan dan melupuskan Felda Plantations bagi membuka ladang yang diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.

Nik Abdul Aziz berkata apa yang penting dalam mentadbir negara ialah memerintah untuk rakyat dan menjamin kesejahteraan mereka.

Beliau juga berkata PAS akan melaksanakan pentadbiran Islam mengikut acuannya seperti yang ditetapkan di dalam Islam.

Mengenai perkahwinan, beliau menasihatkan pihak keluarga wanita mengenakan hantaran atau mas kahwin yang rendah serta berpatutan kepada pihak lelaki dan bukan membebankan mereka.

"Saya kahwin dulu hantaran RM100 sahaja untuk isteri saya. Malahan siapa nak kahwin anak saya, saya minta RM1,000 saja," katanya.

Beliau berkata perkahwinan penting bagi mengelakkan gejala sosial buang anak dan zina di dalam masyarakat.

- Bernama

ROS Syor Nama Baru Pakatan Pembangkang - Pakatan Rakyat Malaysia

by
PETALING JAYA: Pendaftar Pertubuhan (ROS) mencadangkan nama Pakatan Rakyat ditambah perkataan 'Malaysia' menjadi Pakatan Rakyat Malaysia sebagai nama rasmi gabungan pembangkang bagi mencerminkan imej nasional.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution berkata, syor itu dinyatakan ROS semasa pertemuan beberapa bulan lalu bagi membincangkan cadangan permohonan pakatan pembangkang PKR-PAS-DAP.

"Itulah kali terakhir kita bertemu mereka dan sehingga kini kita belum menerima apa-apa maklum balas daripada ROS. Kali terakhir kita bertemu ROS beberapa bulan lalu, mereka cadangkan nama Pakatan Rakyat ditambah dengan perkataan 'Malaysia' menjadi Pakatan Rakyat Malaysia bagi cerminkan imej nasional.

"Tapi sampai sekarang kita tunggu... belum ada apa-apa," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Pakatan Rakyat mengemukakan permohonan kepada ROS untuk menjadi gabungan rasmi pada November tahun lalu bagi menggunakan satu lambang.

Bagaimanapun semalam BERNAMA melaporkan Ketua Pengarah ROS, Datuk Md Alias Kalil berkata, pihaknya belum menerima permohonan pakatan pembangkang untuk mendaftarkan lambang parti pakatan itu.

Ditanya sama ada Pakatan Rakyat menghadapi masalah dari segi ideologi parti komponennya, Saifuddin berkata pihak gabungan itu tidak menghadapi masalah sedemikian sebaliknya hanya berkaitan soal taktikal.

"Apa yang disuarakan ialah kebimbangan jika kita gunakan satu lambang untuk bertanding pada pilihan raya iaitu kekeliruan di kalangan pengundi tradisi di kawasan pedalaman.

"Apa yang mereka faham apabila disebut pilihan raya (pertandingan) antara BN (Barisan Nasional) atau Umno lawan PAS... itu sahaja. Mereka kenal lambang dacing untuk BN dan lambang bulan untuk PAS.

"Apabila kita adakan satu simbol, lawan politik boleh kata PAS tak bertanding tahun ini sebab tak ada (lambang) bulan. Ini satu contoh yang kita dikhuatiri akan sebabkan kekeliruan di kalangan pengundi tradisi di kawasan pedalaman," katanya.

- MSTAR

Pendapatan RM4,000 jika Pakatan kuasai Putrajaya

by

Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sasaran Pakatan Rakyat adalah supaya setiap isu rumah menikmati pendapatan RM4,000 dalam tempoh lima tahun apabila gabungan pembangkang mengambil-alih pentadbiran kerajaan pusat.

"Cadangan polisi ini akan dikemukakan ke majlis pimpinan Pakatan untuk perbincangan lanjut,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya.

Katanya, walaupun pertumbuhan negara pada kadar 8.9 peratus pada suku kedua yang diumumkan semalam boleh dibanggakan, namun hakikatnya, masih terdapat 2.4 juta keluarga atau 40 peratus daripada mereka yang berpendapatan kurang RM2,300 sebulan.

Menurutnya lagi empat juta keluarga akan terus berdepan dengan kenaikan kos sara hidup melainkan mereka berusaha meningkatkan pendapatan dengan kadar segera.

Cadangan RM4,000 itu diputuskan berdasarkan kajian yang dijalankan mengenai kadar sewa dan kos taraf hidup. Ia anggap tahap yang selesa bagi kebanyakan isi rumah.

Selain itu menurut Anwar, PKR akan mencadangkan kepada rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat untuk melaksanakan beberapa pendekatan yang berupaya untuk melonjakkan kadar upah di negara ini demi mencapai kadar minimum pendapatan isi rumah tersebut.

Di antara dasar tersebut ialah iltizam untuk memerangi ketirisan serta rasuah, melakukan reform terhadap sistem kehakiman serta institusi awam lainnya di samping mengembalikan kredibiliti, ketelusan dan pertanggungjawaban untuk menarik pelaburan asing secara langsung (FDI).

Peningkatan gaji di Indonesia lebih tinggi

Ketelusan dan penambah-baikan dalam kerajaan itu juga, katanya akan menyaksikan pengaliran pelaburan modal asing (FDI) secara terus ke negara ini. Ia akan menjadi tulang belakang bagi memacu ekonomi negara.

Katanya, semua cadangan itu akan dibincangkan pada mesyuarat Pakatan dalam tempoh dua minggu lagi.

"Saya tidak mahu memperlekehkan kepentingan FDI, kerana kekuatan Malaysia bergantung kepada FDI. Tetapi apa yang kami katakan ialah jika urus tadbir dipermantapkan, tidak ada sebab bagi pelabur meninggalkan Malaysia,” katanya.

Ahli parlimen Permatang Pauh itu juga berkata pertumbuhan 8.9 peratus pada suku kedua itu dicapai selepas krisis kewangan yang menyaksikan ekonomi menguncup pada kadar 1.7 peratus tahun lalu.

"Antara idea peningkatan dramatik dalam pelaburan swasta dan realiti, peningkatan itu hanya satu bayangan,” katanya.

Menurut Anwar, negara lain di rantau ini seperti Singapura akan juga jauh mengatasi pertumbuhan 8.9 peratus yang dicapai oleh Malaysia.

"Dalam pada itu, pertumbuhan Indonesia pula dijangka kukuh melebihi enam peratus pada 2010, berterusan pertumbuhan 4.6 peratus pada 2009 ketika ekonomi Malaysia dalam kemelesetan,” katanya.

Anwar juga berkata peningkatan pendapatan di Malaysia adalah jauh ketinggalan berbanding Indonesia di mana purata gaji naik 10 peratus antara 2007 dan 2009.

Sebagai perbandingan, purata gaji di Malaysia hanya meningkat 2.6 peratus sepanjang sedekad yang lalu dengan hampir 34 peratus tenaga kerja berpendapatan kurang RM700 sebulan, katanya.

"Telah menjadi modus operandi kerajaan persekutuan bagi mengemukakan angka yang besar dan berselindung di sebalik pelbagai andaian dan premis yang akhirnya didapati salah.

Menurut ketua pembangkang itu, kerajaan BN tidak boleh lagi menabur janji serta membentangkan perancangan yang tidak mampu dicapai dan tidak memberi manfaat kepada rakyat.

"30 peratus pegangan ekuiti yang dijanjikan Umno masih gagal dipenuhi dan ternyata memberi kesan yang nyata kepada keluarga Melayu yang sentiasa bergelut dengan upah rendah serta kos sara hidup.

"Namun demikian dasar itu sering diuar-uarkan sebagai anugerah Umno kepada rakyat," katanya lagi.

- MALAYSIAKINI

Pendaftaran Pakatan Rakyat Akan Mengambil Masa

by

SHAH ALAM: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui pendaftaran Pakatan Rakyat (PR) sebagai parti komponen rasmi akan mengambil masa lebih lama dari yang dijangkakan.

Bagaimanapun, beliau mendakwa, pakatan itu kini memiliki formula tersendiri yang kolektif dan pendirian yang sama.

“Akan ambil masa lama sikit untuk mendaftarkan pakatan ini," katanya di sini hari ini ketika diminta mengulas laporan muka depan akhbar bahasa Cina yang memetik Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan beliau tidak berminat untuk menjadikan pakatan pembangkang secara rasmi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima Anugerah Demokrasi 2008 daripada Persatuan Perunding Politik Antarabangsa (IAPC).

Anugerah disampaikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Tanpa mengulas panjang kenyataan Abdul Hadi itu, Anwar berkata, beberpa dokumen diperlukan untuk proses pendaftaran secara rasmi seperti yang diserahkan kepada Pendaftar Pertubuhan.

Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata, anugerah itu bukan miliknya semata-mata sebaliknya untuk merka dan bersamanya berkongsi idea serta visi.

Kelmarin, pakatan pembangkang meluluskan empat dasar utama pada pada konvensyen pertama mereka di sini.

Empat dasar berkenaan ialah mengamalkan prinsip demokrasi telus dan tulen, memacu ekonomi berprestij tinggi, mapan dan adil, keadilan sosial dan pembangunan insan dan bagi memantapkan hubungan persekutuan, negeri dan dasar luar negara.

Ia diluluskan sebulat suara oleh kira-kita 1,500 perwakilan yang terdiri daripada wakil setiap komponen PR.

- MSTAR

Muafakat baru untuk Malaysia

by

Berikut adalah kandungan muafakat rakyat.

Pakatan Rakyat menyediakan suatu rencana dasar dan kebijaksanaan untuk membawa keluar bangsa dan negara dari kemelut yang semakin meruncing.

Agenda pembangunan bangsa telah tergelincir akibat dari faham perkauman sempit, politik adu domba dan "demokrasi otoritarian". Ekonomi merudum akibat dari keruntuhan akal budi, kerakusan rasuah dan kebijakan-kebijakan usang yang menyebabkan Malaysia tergelincir ke belakang dari ekonomi-ekonomi rancak serantau.

Ketidakadilan ekonomi semakin ketara dengan melebarnya jurang antara golongan kaya dengan miskin, antara bandar, desa dan pendalaman antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak.

Peningkatan jenayah mengancam keselamatan nyawa dan harta rakyat kerana pasukan polis disalahgunakan untuk tujuan politik sempit. Kewibawaan dan kebebasan sistem kehakiman terus digasir oleh campurtangan politik dan kepentingan perniagaan.

Setengah abad Malaysia merdeka dan berdaulat sewajarnya mendewasakan. Ini diterjemahkan manakala rakyat rakyat dari pelbagai kaum mempamerkan semangat baru meleburkan kerangka pemikiran usang dan jumud, menolak kerakusan kuasa, merebaknya rasuah, merompak khazanah negara dan menginjak hak rakyat.

Menginsafi semangat rakyat tersebut maka Pakatan Rakyat mengikrarkan iltizam kami untuk menghayati dan melaksanakan agenda politik baru ke arah menggembleng tenaga rakyat dari pelbagai kaum, agama dan budaya yang dilihat sebagai satu kekuatan.

Malah kami yakin, kita mampu berubah dari dasar perkauman sempit kepada kerukunan hidup beragama, nilai kemanusiaan, berlandaskan prinsip akhlak dan etika hak asasi, prinsip negara hukum tanpa memilih darjat, kaum atau kelompok. Dasar yang terpasak dari kepatuhan kepada Perlembagaan dan prinsip-prinsip keadilan sejagat akan menjamin keluhuran undang-undang dan kebebasan sistem kehakiman, sebagaimana ia menjamin hak-hak asasi manusia dan maruah rakyat kekal terbela dan dimartabatkan.

Pakatan Rakyat berkeyakinan bahawa ekonomi Malaysia mampu dipacu dengan lebih pantas melalui dasar ekonomi pasaran yang manusiawi yang mengarah kepada pembangunan manusia seutuhnya. Kebijakan ekonomi harus menjadikan Malaysia mampu berdaya saing, iklim pelaburan yang sihat, percukaian progresif, tetapi kukuh dengan hasrat mencapai keadilan melalui kaedah pengagihan ekonomi yang adil, terutama bagi kelompok miskin dan terpinggir.

Pakatan Rakyat menolak dasar yang membuka ruang kepada rasuah dan lain-lain jenayah kewangan serta penyalahgunaan kuasa. demi memastikan pertumbuhan yang mapan, dasar menindas yan ghanya memperkayakan segelintir perlu digantikan dengan sebuah dasar yang memastikan bantuan kepada golonga miskin di Malaysia tanpa mengira kaum.

Berdasarkan latar belakang ini kami mengajak rakyat Malaysia mencipta suatu muafakat baru yang berteraskan keadilan untuk semua dan prinsip-prinsip perlembagaan. Ini adalah agenda yang mesti dilakukan untuk mengembalikan maruah bangsa, kebebasan rakyat dan kemuliaan insan. Hanya dengan keadilan semua rakyat akan makmur dan bersatu padu.

1. Demokrasi Telus dan Tulen

a. Negara perlembagaan dan kedaulatan undang-undang

Perlembagaan Persekutuan merupakan penzahiran cita-cita dan harapan rakyat Malaysia yang merdeka. Di dalamnya hak asasi setiap rakyat termasuk hak agama, bahasa, kerakyatan dan budaya dijamin sepenuhnya. Justeru, Pakatan Rakyat beriltizam memartabatkan semangat dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Pakatan Rakyat akan:

1. Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-manaantara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.

2. Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berpelembagaan.

3. Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.

4. Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan undang-undang yang membenarkan tahanan tanpa dibicara. Serentak dengan itu mengesyorkan pembatalan semua pengisytiharan Darurat yang masih berkuatkuasa.

5. Memansuhkan atau meminda semua akta dan undang-undang yang zalin serta melanggar hak asasi.

6. Menjamin semangat persekutuan serta hubungan yang adil di antara Persekutuan dengan negeri-negeri, terutama Sabah dan Sarawak.

b. Pemisahan kuasa

Kebanyakan amalan sistem demokrasi bergantung kepada keutuhan pelaksanaan doktrin pemisahan kuasa. Integriti sesebuah kerajaan bergantung kepada kebebasan, kebolehpercayaan dan kewibawaan institusi-institusi yang diamanahkan untuk menjamin keseimbangan antara cabang eksekutif, kehakiman dan legislatif.

Pakatan Rakyat akan:

1. Memulihkan kewibawaan sistem kehakiman dan menjamin ketelusan serta kebebasan sepenuhnya Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

2. Menyusun semula perjalanan Parlimen untuk menjadikannya lebih telus, demokratik dan dapat menjalankan peranan kuasa semak dan imbang.

3. Menjamin pertangjawaban badan-badan seperti Suruhanjaya Pilihanraya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Petronas, Khazanah dan sebagainya secara langsung kepada Parlimen.

4. Mewajibkan pelantikan jawatan-jawatan seperti Ketua Polis Negara, Peguam Negara, Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah dan Ketua Audit Negara mendapat kelulusan Parlimen.

5. Mewujudkan Jabatan Hisbah Negara (Ombudsman).

6. Mengukuhkan demokrasi kerajaan tempatan dan meningkatkan kecekapan serta keberkesanan sistem penyampaian dan menjamin ketelusan di semua peringkat secara demokratik.

7. Membebaskan media, meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, menggubal Akta Kebebasan Maklumat dan memastikan kebebasan Internet.

8. Mempertingkatkan prestasi sektor perkhidmatan awam serta menjamin kebajikan anggotanya. Memastikan institusi tersebut berkecuali dan menjalankan tanggungjawabnya secara cekap.

9. Memberdayakan dan memugar masyarakat madani atau sivil. Menyemarakkan penyertaan rakyat melalui dialog dan perundingan.

c. Sistem pilihanraya yang bersih, bebas dan adil

Kewibawaan sistem pilihanraya yang tempang mesti dipulihkan. Kuasa keramat rakyat untuk memilih pemimpin negara mesti dipertahankan daripada sebarang kecurangan yang membuka ruang kepada penyelewengan. Makanya adalah penting untuk kita mengkaji semua akta yang berkaitan dengan pilihanraya.

Pakatan Rakyat akan:

1. Membolehkan setiap rakyat berusia 18 tahun ke atas mengundi melalui pendaftaran secara automatik.

2. Menghapuskan kelemahan dalam sistem pengundian dengan membersihkan senarai pengundi, memansuhkan undi pos bagi pengundi dalam negeri, memastikan semua rakyat di luar negara dapat mengundi dan menggunakan dakwat kekal.

3. Memastikan media massa memberi ruang kepada semua parti politik secara dil dan saksama, tempoh kempen yang munasabah dan pengendalian serta perjalanan pilihanraya yang bersih dan bebas.

4. Menentukan persempadanan kawasan undi dibuat dengan mencerminkan prinsip Satu Rakyat, Satu Undi demi menjamin perwakilan yang lebih adil dan saksama.

5. Memperuntukkan belanja kempen kepada parti-parti politik berdasarkan peratusan jumlah undi yang diperolehi pada pilihanraya umum.

6. Menggubal undang-undang yang lebih berkesan bertujuan menghukum calon atau parti politik yang terbabit rasuah atau amalan membeli undi.

2. Memacu ekonomi berprestasi tinggi, mampan dan adil

Pakatan Rakyat bertekad menjadikan ekonomi negara berprestasi tinggi dan memiliki pertumbuhan mapan. Pemunggahan sumber-sumber dan khazanah negara secara cekap dalam pelaburan di bidang-bidang dan sektor-sektor utama dan strategik adalah penting bagi menjamin daya saing negara.

Merancakkan pelaburan tempatan dan menjana permintaan domestik yang kukuh serta menggamit pelaburan asing langsung yang berterusan bakal menjadikan ekonomi berdaya maju dan berdaya tahan.

Pakatan Rakyat beriltizam untuk "Merakyatkan Ekonomi Negara" bagi memastikan kemakmuran dan kekayaan yang terhasil dikecapi oleh seluruh lapiran rakyat. Sekaligus merapatkan kesenjangan di antara kaya-miskin serta mengatasi ketidak seimbangan pembangunan wilayah akibat pengurusan tempang yang tidak mendahului kepentingan rakyat ramai.

a. Ekonomi kemahiran tinggi

Paksi kepada ekonomi berprestasi tinggi adalah tenaga kerja yang berpengetahuan, berketrampilan dan berkemahiran. Pakatan Rakyat akan membuat segala pelaburan yang diperlukan untuk membekalkan kewujudan warga kerja berproduktiviti tinggi ini bagi melonjakkan nilai tambah dalam kegiatan ekonomi negara.

Pakatan Rakyat akan:

1. Menjamin peluang pendidikan tinggi dan latihan berteraskan ketrampilan dibekalkan dalam seluruh sektor perkhidmatan pembuatan dan pertanian.

2. Memastikan warga kerja diberi peluang meningkatkan kemahiran serta diberi latihan berterusan untuk terus meningkatkan produktiviti.

3. Menggalakkan warga negara yang profesional dan berkemahiran yang bermastautin di luar negara kembali ke tanahair dengan menyediakan suasana kerja yang profesional dan menarik.

b. Ekonomi demokratik dan telus

Pakatan Rakyat beriltizam melaksanakan dasar-dasar pengurusan ekonomi yang bebas rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kronisme bagi meningkatkan kepertanggungjawaban, ketelusan dan urus tadbir yang baik.

Kebejatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa telah melenyapkan kekayaan dan mengekang pertumbuhan mampan serta menghakis daya saing negara.


Pakatan Rakyat akan:

1. Merombak sistem tender supaya adil, telus, terbuka dan memberi nilai terbaik untuk wang rakyat.

2. Menolak penswastaan yang membebankan. Merunding semula konsesi dan kontrak yang bersifat menguntungkan kroni dan tidak adil pada rakyat, termasuk yang melibatkan IPP, tol lebuhraya dan prasana air.

3. Melaksanakan sistem cukai progresif serta menolak sebarang cukai yang membebankan rakyat termasuklah cadangan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sehinggalah rakyat serta negara bersedia.

c. Desentralisasi dan pengupayaan pengurusan ekonomi negeri

Selaras dengan semangat persekutuan untuk meningkatkan sistem penyampaian kerajaan, keberkesanan dan kecekapan perbelanjaan, maka pelaksanaan pembangunan dan ekonomi yang meluas perlu diagihkan kepada kerajaan negeri mengikut keutamaan masing-masing.

Desentralisasi mampu mendorong perubahan struktural dalam kerangka ekonomi bagi lonjakan kecekapan ekonomi dan produktiviti menerusi peningkatan tahap kecekapan dalam perbelanjaan selain kesan gandaan yang meningkatkan hasil perbelanjaan kerajaan dalam ekonomi negara.

Pakatan Rakyat akan:

1. Melaksanakan formula geran pembangunan dan kesamaan berdasarkan faktor jumlah penduduk, kadar kemiskinan, kawasan pembangunan, kos, pembangunan modal insan dan indeks pendapatan kasar per kapita akan turut diberikan bagi memastikan negeri yang miskin tidak ketinggalan.

2. mengagihkan kuasa pentadbiran ekonomi dan pelaksanaan kerja prasarana kepada kerajaan negeri, misalnya hak rundingan saksama dalam menentukan reka bentuk dan jaringan pengangkutan awam.

3. Menjana pembangunan kawasan yang lebih seimbang, sekaligus mencipta bandar sekunder yang produktif di seluruh negara demi mengurangkan pemusatan pembangunan di Lembah Klang.

4. Mengutamakan dasar-dasar penjanaan pertumbuhan tinggi serta berjangka panjang, berasaskan pemahaman ekonomi di mana kerajaan negeri berada dalam kedudukan terbaik untuk menentukan serta melaksanakan strategi sosio-ekonomi.

d. Dasar afirmatif berdasarkan keperluan

Pakatan Rakyat memperakui bahawa setiap rakyat Malaysia berhak mendapat bantuan berdasarkan keperluan tanpa mengira latar belakang. Pakatan rakyat bertekad untuk merakyatkan ekonomi negara, agar khazanah negara dapat dinikmati dengan adil oleh semua.

Pakatan Rakyat akan:

1. Menjamin bantuan ekonomi dan pengagihan adil kepada semua berdasarkan keperluan.

2. Membantu golongan terpinggir dari semua kaum.

3. Memberi bantuan tunai secara terus kepada kumpulan sasar untuk menghapuskan golongan miskin.

4. Menjamin mobiliti sosial dengan memastikan peluang ekonomi yang lebih adil dan sama rata untuk semua.

5. Menggunakan penjimatan dari ketirisan dan pembaziran serta jihad menentang rasuah sebagai sumber tambahan bagi program membasmi kemiskinan.

e. Tenaga kerja

Tenaga kerja adalah tunjang kepada kemakmuran negara yang berterusan. Pakatan Rakyat akan menjamin semua pekerja Malaysia dilayan dengan adil serta memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat dipelihara.

Pakatan Rakyat akan:

1. Memperkenalkan gaji minima untuk semua pekerja Malaysia.

2. Mempertahankan hak pekerja untuk membentuk kesatuan sekerja mengikut kesesuaian dan pilihan pekerja sendiri dan memastikan mereka diberi hak dan perlindungan selaras dengan piawaian antarabangsa.

3. Memperkenalkan Akta peluang Saksama untuk memastikan peluang pekerjaan terbuka kepada semua.

4. Menyokong pengusaha dan peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana dengan menyediakan capaian kepada pinjaman dan prasarana yang mencukupi serta mengurangkan karenah birokrasi.

5. Mempermudahkan bantuan kepada nelayan dan petani untuk memacu peningkatan produktiviti.

6. menyusun dasar pekerja sing yang bersepadu dan mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing.

7. Menyediakan sistem sokongan kepada golongan terbabit dalam sektor ekonomi informal seperti peniaga kecil, penjaja, petani dan mereka yang bekerja sendiri.

f. Jaringan perlindungan sosial

Setiap rakyat Malaysia harus menikmati hidup yang bermaruah pada setiap masa. Rakyat yang hilang mata pencarian, warga emas, orang kurang upaya dan golongan berpendapatan rendah mesti dilindungi dan diberi peluang untuk turut menikmati faedah pembangunan ekonomi negara.

Pakatan Rakyat akan:

1. Memperkukuhkan sistem Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan memperkenalkan sistem pencen untuk setiap pekerja sektor swasta.

2. Menubuhkan Dana Penamatan Kerja untuk pembiayaan sementara rakyat yang hilang pekerjaan, subsidi untuk latihan semasa kerja dan latihan semula pekerja.

3. Memperkenalkan usia tamat tempoh perkhidmatan 60 tahun bertujuan memberi peluang kepada mereka yang ingin terus menyumbang kepada masyarakat.

g. Perumahan

Rumah merupakan keperluan asas manusia. Hakikatnya sebahagian besar rakyat Malaysia tidak berkeupayaan memiliki
rumah sendiri terutama mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana. Maka

Pakatan Rakyat akan:

1. Menubuhkan Perbadanan Perumahan dengan mandat untuk menambahkan bilangan rumah mampu milik dan mencapai matlamat Satu keluarga, Satu Rumah.

2. Mengatasi masalah 'setinggan/peneroka bandar' sebaiknya melalui pembangunan perumahan in situ dan/atau perkongsian
tanah dan melalui syarat-syarat pinjaman yang murah bagi membantu setinggan membeli rumah mereka.

3. Menyelaraskan sistem perundingan antara 'setinggan/peneroka bandar', pemaju dan pihak berkuasa untuk mencapai penyelesaian menang-menang bagi perkara-perkara berkaitan perumahan dan tanah.

4. Menyediakan bantuan bagi menaik taraf rumah kos rendah dan PPR untuk memenuhi penambahan bilangan isi rumah.

5. Melabur dalam kemudahan awam di sekitar pangsapuri bagi memastikan keseimbangan dan persekitaran yang sihat.

6. Menggalakkan ketelusan dan persaingan dalam sektor kewangan untuk membuat pinjaman perumahan lebih mudah dan mampu dinikmati.

7. Bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menyemak dasar perumahan dan memastikan perumahan kos rendah mampu milik disediakan untuk mereka yang memerlukannya.

h. Prasarana dan kemudahan awam

Penyediaan dan penyelenggaraan prasana awam yang baik merupakan tanggungjawab kerajaan. Pelaksanaannya mestilah tidak membebankan rakyat atau menguntungkan kroni tertentu. Prasarana dan kemudahan awam yang baik membolehkan rakyat Malaysia meningkatkan pendapatan boleh belanja dan produktiviti mereka.

Pakatan Rakyat akan:

1. Menjamin bekalan air bersih dan tarif elektrik dengan harga yang berpatutan kepada setiap keluarga di Malaysia.

2. Merunding semula segala perjanjian tol dan mengkaji pembelian balik lebuhraya PLUS dengan matlamat melupuskan tol dalam jangka masa 7 tahun.

3. Meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam melalui penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam yang terdiri daripada pihak kerajaan dan wakil masyarakat.

4. Memperkenalkan sistem separuh tambang bagi warga emas, orang kurang upaya, pelajar dan pesara untuk semua jenis pengangkutan awam.

5. Menyemak semula pemberian permit teksi kepada syarikat-syarikat besar dengan keutamaan kepada pengusaha individu dan persatuan mereka.

6. Menyediakan perkhidmatan talian jalur lebar tanpa wayar yang cekap secara percuma untuk mengurangkan jurang digital.

i. Alam sekitar

1. Membudayakan amalan kitar semula dengan menyediakan prasarana dan sistem yang menyeluruh.

2. Memastikan segala aktiviti pembalakan dan penebangan hutan dijalankan secara terkawal.

3. Membina asas dan kemahiran teknologi bagi melicinkan peralihan kepada penggunaan sumber tenaga alternatif.

4. Mengawal sebarang pembinaan di lereng bukit dan kawasan-kawasan berbahaya.

5. Merendahkan kadar pelepasan karbon selaras dengan piawaian antabangsa dan meningkatkan daya sistem ekologi untuk menyerap karbon.

j. Pertumbuhan lestari dan pembangunan hijau

Pakatan Rakyat bertekad menjadikan ekonomi hijau sebagai teras kepada era kemakmuran baru yang lestari dan saksama untuk Malaysia. Penyediaan prasarana dan perkembangan industri baru sejajar dengan peralihan ke arah ekonomi hijau akan menjadi enjin penjanaan pertumbuhan ekonomi yang dinamik.

Pakatan Rakyat akan:

1. Memperkenalkan prasarana yang moden, lengkap dan sesuai untuk ekonomi karbon rendah, termasuk sistem pengangkutan awam berintegrasi bertaraf dunia dan sistem kita semula yang menyeluruh.

2. Membangunkan industri-industri yang berasaskan teknologi hijau seperti pembuatan panel surai dan sel fuel hidrogen.

3. Memimpin pembangunan sistem sumber tenaga alternatif dan tenaga keterbaharuan di rantau Asia.

4. Mengukuhkan sektor pertanian dengan kaedah dan teknologi terkini demi memastikan jaminan bekalan makanan negara.

3. Keadilan sosial dan pembangunan insan

a. Perpaduan dan keadilan sosial

Pakatan Rakyat bertekad untuk menyemai persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyat berteraskan

prinsip memelihara kepentingan bersama. Perpaduan negara mesti mencerminkan kesepakatan, persefahaman serta muafakat sejati antara kaum, budaya dan agama. Pakatan Rakyat berjanji membina

semula sebuah masyarakat berbilang kaum yang padu, di mana kaum-kaum yang berbeza itu hidup dalam aman dan harmoni.

Pakatan Rakyat akan:

1. Memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki hubungan kaum dan agama yang telah rosak.

2. Mengembleng tenaga semua pihak yang berkepentingan untuk menyuburkan sikap baik-sangka, saling hormat dan mempercayai yang memang telah begitu lama diamalkan rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

3. Mengubal Akta Perhubungan Kaum bagi menjamin kerukunan dan keharmonian rakyat serta tiadanya lagi diskriminasi antara kaum.

4. Pakatan Rakyat akan menjana sokongan setiap peringkat masyarakat supaya berpegang teguh kepada segala prinsip dan petunjuk yang wajar dipegang oleh sebuah masyarakat yang terbuka.

5. Menghapuskan amalan politik perkauman melalui pelbagai cara termasuk pendidikan, media massa, dialog dan perundingan.

6. Memupuk budaya Malaysia berasaskan nilai moral dan citra unggul yang boleh diterima semua kaum. Ini memerlukan sikap terbuka terhadap kepelbagaiaman budaya yang dianuti pelbagai kaum dan puak di Malaysia. Pakatan Rakyat akan melakukan semua ini dengan mengambil kira sejarah dan evolusi negara ini.

7. Meningkatkan kebajikan Orang Asli, Orang Asal dan golongan minoriti lain di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak selain mempertahankan hak asasi, ekonomi dan sosial mereka.

b. Agama

Agama dan anutan kepercayaan rakyat Malaysia seharusnya menjadi asas kesepakatan berlandaskan nilai murni yang bersifat sejagat. Rakyat Malaysia ini hampir tergelincir ke dalam kawah yang mendidih didorong angkara yang menyebabkan perpecahan dan ketegangan kerana berlainan agama. Tidak sewajarnya ada pertikaian mengenai hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang menganuti s istem demokrasi di mana agama Islam menduduki tempat istimewa sebagai agama persekutuan sementara hak agama-agama lain dijamin.

Pakatan Rakyat berikrar:

1. Mempertahankan kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan dan menjamin hak kebebasan beragama di Malaysia.

2. Menganjurkan dialog dan dialog dan rundingan antara peradaban untuk mengukuhkan persefahaman.

3. Menubuhkan mekanisme yang menyeluruh untuk memberi penyelesaian yang adil dalam kes-kes yang

melibatkan pertindihan sistem perundangan sivil dan syariah, termasuk sebuah Suruhanjaya Diraja untuk mengkaji semua isu-isu berkaitan dengan mendalam.

4. Memperkukuhkan pengurusan institusi Islam seperti Baitul Mal dan Tabung Haji bagi memastikan ia dikendalikan dengan berkesan, cekap dan memenuhi matlamat.

5. Memastikan kawasan yang sesuai untuk tempat ibadat dan pusara bagi semua penganut agama.

c. Pendidikan

1. Menjadikan sekolah kebangsaan sebagai peneraju sistem pendidikan negara. Memastikan sokongan dan pembiayaan secara adil kepada sekolah-sekolah agama rakyat, sekolah kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah mubaligh, sekolah vokasional dalam usaha bersama untuk meningkatkan taraf pendidikan negara.

2. Mengimbangi penekanan kepada sistem peperiksaan dengan sistem pembelajaran berasaskan pemikiran kritis dan analitikal dengan matlamat mencari kebenaran.

3. Memastikan setiap pelajar yang berkelayakan mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam tanpa mengira latar belakang.

4. Meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1974 demi mewujudkan iklim yang kondusif dalam bentuk jaminan kebebasan akademik dan autonomi universiti ke arah mempertingkatkan mutu pendidikan setanding dengan negara-negara maju.

5. Memastikan pelantikan naib canselor, rektor dan lain-lain penjawat tertinggi akademik dilakukan berdasarkan kelayakan dan kelulusan Majlis Senat.

6. Memperbaiki mutu dan kemudahan sekolah yang daif di pedalaman di Sabah dan Sarawak.

7. Meningkatkan mutu pendidikan guru bagi setiap peringkat sekolah dan menambah jumlah guru terlatih mengikut permintaan.

8. Menyediakan peluang latihan peringkat tinggi untuk guru dan pensyarah supaya pengetahuan dan kemahiran profesional mereka sentiasa selaras dengan masa.

9. Mengkaji kembali skim perkhidmatan guru dan menambah skim rangsangan bagi mereka yang mengajar di pedalaman.

10. Menyediakan biasiswa berasaskan merit dan bantuan kewangan lain berasaskan keperluan dengan keutamaan kepada pelajar miskin dari kawasan luar bandar dan pedalaman.

11. Menekankan betapa mustahaknya pelajar menguasai pelbagai bahasa termasuk Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Bahasa Cina sebagai bahasa-bahasa utama dunia dan juga bahasa-bahasa ibunda.

12. Menyediakan tempat dan latihan kepada mereka yang keciciran.

13. Meluaskan skop Lembaga Pentauliahan Kebangsaan untuk memantau dan mencadang pengiktirafan sijil, diploma dan ijazah dari dalam dan luar negara yang memenuhi piawaian akademik yang boleh diterima termasuklah sijil UEC dan Diploma Muadalah (diploma berkembar.

d. Wanita dan institusi keluarga

Pakatan Rakyat meyakini bahawa dasar-dasar yang mencerminkan penghormatan, pengiktirafan dan pemahaman terhadap status dan potensi wanita dapat dijamin kesejahteraan maa hadapan negara, Hakikat ini kerana wanita mewakili separuh dari penduduk negara, justeru penyertaan mereka dalam proses pembangunan negara tidak boleh diabaikan.

Pakatan Rakyat akan:

1. Menggubal akta bagi memastikan golongan wanita mendapat layanan yang adil dalam segala bidang.

2. Memberi penekanan ke arah meningkatkan Kadar Guna Tenaga bagi wanita kepada tahap 60% dalam tempoh 10 tahun akan datang berbanding 46% sepanjang tempoh 20 tahun yang lalu.

3. Memperuntukkan 30% perwakilan wanita dalam semua barisan pimpinan politik dan kerajaan.

4. Menangani segala bentuk keganasan terhadap wanita dan anak-anak dengan hukuman yang lebih berat dijatuhkan ke atas pesalah serta memastikan keberkesanan pusat krisis di setiap hospital dan balai polis.

5. Memastikan kewujudan sistem sokongan dan bantuan seperti pusat jagaan kanak-kanak dan sebagainya untuk ibu yang bekerja di pejabat kerajaan dan sektor swasta.

6. Memberikan bantuan untuk meringankan beban keluarga ibu tunggal yang miskin dan memerlukan.

7. Mengambil kira perspektif gender dalam merangka belanjawan dan dasar-dasar negara.

8. Memperkenalkan program kepekaan jantina ke dalam kurikulum sekolah.

9. Mengiktiraf peranan suri rumah di dalam pengukuhan institusi keluarga dan sumbangannya kepada pembangunan masyarakat dan negara.

e. Golongan muda

Hala tuju dan kemakmuran sesebuah negara terletak pada bahu golongan muda sebagai generasi pelapis. Justeru adalah penting agar golongan muda diberikan ruang dan sokongan yang secukupnya agar dapat memenuhi peranan mereka kelak.

Pakatan Rakyat akan:

1. Menjamin peluang dan hak sama rata serta adil untuk golongan muda dari seluruh lapisan masyarakat bagi merealisasikan potensi diri.

2. Memastikan supaya tiada seorang belia akan dibiarkan mengakhiri pendidikannya tanpa peluang memperolehi kelayakan atau latihan yang secukupnya untuk menyumbang terhadap ekonomi kemahiran tinggi negara.

3. Mengiktiraf kepentingan peranan dan sumbangan oleh golongan muda melalui perkongsian pendapat secara jujur dengan gerakan-gerakan belia, khususnya dalam isu berkepentingan ke atas kehidupan mereka serta hala tuju negara.

f. Keselamatan

Terdapat peningkatan jenayah dan rasa tidak selamat di negara ini. Walhal rakyat Malaysia seharusnya berhak merasa selamat dan bebas dari ancaman jenayah pada setiap masa. Pakatan Rakyat bertekad memastikan pihak polis diurus, dilatih dan dikawalselia dengan lebih baik untuk menjadikan mereka lebih fokus tentang tanggungjawab utama yakni menentukan setiap kawasan dan rakyat Malaysia berada dalam keadaan aman dan selamat.

Pakatan Rakyat akan:

1. Menjadikan polis bebas dan profesional serta mengembalikannya kepada misi asal untuk mencegah jenayah dan memastikan keselamatan awam.

2. Merombak pengagihan tenaga polis supaya bilangan tenaga polis cukup ditugaskan untuk membanteras jenayah.

3. Melengkapkan pihak polis dengan peralatan dan latihan yang terkini dalam usaha membanteras jenayah.

4. Melaksanakan semua saranan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis, termasuk penubuhan IPCMC dan penambahbaikan kebajikan polis yang giat berbakti kepada negara.

5. Memperbaiki keadaan perkhidmatan pasukan polis khususnya peringkat bawahan bagi meningkatkan prestasi dan moral.

6. Memperkukuhkan peranan masyarakat dalam pencegahan dan pembanterasan jenayah melalui program komuniti.

7. Menangani dengan strategik dan tuntas segala masalah sosial yang menjadi punca kepada jenayah.

g. Kesihatan

Setiap rakyat Malaysia berhak menikmati perkhidmatan kesihatan awam yang terbaik pada kos yang berpatutan. Oleh yang demikian, perkhidmatan kesihatan awam sewajarnya diperkasa secara tuntas, sekaligus menjamin perkhidmatan kesihatan terbaik bagi rakyat.

Pakatan Rakyat akan:

1. Menimbang penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan awam supaya lebih setanding dengan perkhidmatan sektor swasta.

2. Menjamin perkhidmatan kesihatan awam yang cekap, meluas dan bermutu kepada semua rakyat, pada kadar yang munasabah.

3. Meningkatkan skim ganjaran untuk kakitangan perubatan di hospital awam.

4. Memeriksa dengan teliti keadaan kemudahan penjagaankesihatan yang telah diswastakan bagi melindungi kepentingan rakyat.

h. Kebudayaan

Kepelbagaian adalah hakikat sosio-budaya nasional, yang tercerna daripada kemajmukan masyarakat, bermunculan daripada kaum-kaum utama, suku-suku kaum dan wilayah-wilayah.

Oleh itu, Pakatan Rakyat mengambil bertanggungjawab untuk memupuk dan mengembangkan potensi kepelbagaian ini di samping menolak sebarang bentuk hegemoni adi-budaya kepada mana-mana sosok budaya yang lain. Ia tidak lain sejajar dengan semangat kemerdekaan negara yang kemudiannya perlu digilap menjadi Muafakat Kebudayaan Baru lanjutan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (1971).

Tiga cabaran utama yang wajar disedari adalah dengan:

1. Menjamin kebebasan pengucapan penghasilan karya melalui medium.

2. Hak untuk mengadakan persembahan atau pertunjukan seni-budaya tanpa sekatan dengan keyakinan awal bahawa setiap pengkarya ada tanggungjawab diri dan sosial mereka.

3. Pautan utuh terhadap akar kemurnian kebudayaan tradisi sendiri wajar ditambahkuat dengan kesediaan menjadi tidak canggung untuk menerima unsur murni kebudayaan luar yang bersifat sejagat daripada bangsa, benua dan faham kepercayaan manapun.


4. Hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara

a. Sistem Persekutuan

Hak negeri-negeri untuk membuat pilihan mengikut kesesuaian sendiri mengenai strategi pembangunan negeri mesti dihormati. Teras kepada hak ini adalah peruntukan kewangan yang secukupnya kepada negeri-negeri berdasarkan sumbangan terhadap persekutuan serta keperluan rakyat.

Pakatan Rakyat akan:

1. Menjamin royali sebanyak 20% daripada hasil petroleum kepada kerajaan negeri dengan matlamat membasmi kemiskinan di kalangan rakyat.

2. Memulangkan sebahagian daripada kutipan cukai dari setiap negeri kepada negeri tersebut berdasarkan pengagihan yang adil.

3. Menambah geran per kapita untuk negeri-negeri.

b. Sabah & Sarawak

Semangat Perjanjian Malaysia 1963 akan dijadikan asas kepada hubungan adil antara Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak. Di samping memulihkan imbangan kuasa yang memihak kepada kerajaan pusat, Pakatan Rakyat berjanji membuat penilaian yang adil dan terbuka mengenai persoalan pokok yang kini menghalang kemajuan politik dan sosioekonomi di kedua-dua negeri di Malaysia Timur.

Pakatan Rakyat akan:

1. Memastikan khazanah negeri Sabah dan Sarawak dinikmati sepenuhnya oleh rakyatnya dengan memperuntukkan royalti 20% daripada pendapatan petroleum mereka.

2. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja demi mencari jalan penyelesaian terbaik bagi isu pendatang asing.

3. Menjamin hak Tanah Adat Orang Asal tidak dicabuli oleh mana-mana pihak.

4. Menghentikan dengan serta-merta penindasan terhadap rakyat kawasan pedalaman akibat kegiatan ekonomi yang tidak beretika.

c. Dasar luar negara

Kepimpinan Malaysia di kalangan negara-negara dunia mesti dipertingkatkan. Adalah menjadi matlamat kita untuk merangka satu dasar luar yang berasaskan prinsip keadilan sejagat, penyelesaian melalui perundingan, dialog peradaban demi keselamatan, keamanan dan kemakmuran.

Pakatan Rakyat akan:

1. Memelihara kepentingan negara dengan menjadi warga dunia yang bertanggungjawab di dalam menghormati hak asasi, memelihara prinsip-prinsip demokrasi dan menjunjung permuafakatan, perjanjian, pengisytiharan dan persetujuan antarabangsa, yang sejajar dengan nilai-nilai keadilan.

2. Aktif menjadi pelapor dan peneraju dialog antara peradaban.

3. Mengukuhkan kerjasama diplomatik dan perdagangan antarabangsa dengan rakan-rakan serantau, terutamanya anggota-anggota Asean.

4. Memperkukuhkan lagi peranan Malaysia dalam organisasi-organisasi antarabangsa.

- MALAYSIAKINI

Dasar bersama Pakatan Rakyat sasar Putrajaya

by

Pakatan Rakyat mempertingkatkan usahanya untuk menguasai Putrajaya dengan mengumumkan dasar bersama Pakatan yang menjanjikan pembaharuan segera dan kesaksamaan.

Sebagai respons kepada musuh politiknya, Barisan Nasional, dasar bersama itu berjanji untuk mengurangkan dasar-dasar yang berasaskan kaum dan menggubal akta hubungan kaum dan akta peluang saksama serta dasar-dasar lain yang berasaskan merit seperti pemberian biasiswa kerajaan.

Ia turut menjanjikan layanan istimewa kepada Sabah dan Sarawak - di mana pengaruh Pakatan tidak kuat - dengan menjanjikan akses kepada royalti minyak serta berjanji untuk menyelesaikan masalah-masalah yang sudah lama berlanjutan.

Pakatan juga berjanji untuk menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyelesaikan isu-isu membabitkan isu pendatang haram, yang didakwanya tidak diberi perhatian oleh kerajaan pusat.


Sokongan kuat dari dua negeri Malaysia Timur itu amat penting dalam usaha Pakatan untuk menguasai Putrajaya dalam pilihanraya umum kerana satu perempat jumlah kerusi parlimen adalah dari sana.

Pakatan juga berjanji untuk menangani isu-isu agama yang selama ini telah menimbulkan pergeseran antara parti Islam PAS dan parti sekular DAP.

Di samping itu, Pakatan juga berjanji untuk mewujudkan satu mekanisme yang komprehensif untuk menangani kes-kes di mana berlaku bertindihan antara undang-undang sivil dan Syariah.

Untuk tujuan itu, sebuah suruhanjaya diraja akan ditubuhkan untuk mengkaji secara mendalam isu-isu yang berkaitan dengannya.

Agihan ekonomi negeri

Di peringkat institusi pula, Pakatan berjanji untuk memastikan kebebasan dan ketelusan sepenuhnya Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bagi memulihkan keyakinan rakyat terhasdap sistem kehakiman.


Pembaharuan lain yang dijanjikan termasuk menjadikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Petronas dan institusi-institusi kerajaan yang lain dipertanggungjawabkan terus kepada Parlimen.

Ini termasuk mendapatkan kelulusan Parlimen bagi pelantikan jawatan penting kerajaan seperti ketua polis negara, peguam negara, pesuruhjaya SPRM dan ketua audit negara.

Mengenai ekonomi, Pakatan bercadang mendesentralisasikan pengurusan ekonomi negara bagi meningkatkan kecekapan, produktiviti dan taburan pembangunan yang seimbang.

Cadangan ini termasuk pengagihan kuasa pentadbiran dan ekonomi dan pelaksanaan kerja-kerja infrastruktur kepada kerajaan negeri.Dasar Pakatan Rakyat itu merangkumi empat perkara, iaitu demokrasi telus dan tulen; memacu ekonomi berprestasi tinggi, mampan dan adil; keadilan sosial dan pembangunan insan; dan hubungan persekutuan-negeri dan dasr luar negara.

- MALAYSIAKINI

Pakatan Pembangkang Bergolak di Sebalik Menang Enam Pilihan Raya

by

Jika dilihat pada angka, barisan pakatan pembangkang menang 62, iaitu enam daripada lapan pilihan raya kecil yang diadakan sepanjang tahun 2009.

Ia adalah bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu) dan Bukit Gantang di Perak serta kerusi Bukit Selambau (Kedah), Penanti dan Permatang Pasir (Pulau Pinang) dan Manik Urai (Kelantan).

Barisan Nasional pula memenangi kerusi negeri Batang Ai, Sarawak dan Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Dari satu aspek, kemunculan pakatan pembangkang dilihat mampu memainkan peranan "mengawasi dan menegur" terhadap pentadbiran Barisan Nasional dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat.

Di sebalik kejayaan tersebut, PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membentuk pakatan pembangkang masih mencari formula terbaik ke arah mewujudkan persefahaman jitu sesama mereka.

Matlamat jangka pendek adalah jelas iaitu untuk membentuk kerajaan baru, namun dalam jangka panjang, perjuangan Pas untuk menubuhkan negara Islam tidak boleh diterima DAP.

Tanggungjawab untuk membawa ketiga-tiga parti kepada pemuafakatan terletak di bahu ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berusaha agar percanggahan matlamat antara Pas dan DAP tidak menggugat keutuhan pakatan tersebut.

Namun begitu, riak-riak pergolakan tetap berlaku. Suatu ketika Pengerusi DAP Karpal Singh mengancam supaya DAP menarik diri jika PAS masih mahu melaksanakan hukum Hudud dan qisas sekiranya gabungan itu berjaya mengambil alih pemerintahan negara.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak pula bertegas bahawa PAS juga boleh membuat kenyataan berbentuk ugutan kepada DAP dan PKR sekiranya mereka enggan menerima cara Islam yang dibawa oleh parti itu.

Dalam pada itu, parti yang menerajui pentadbiran di negeri masing-masing berdepan pelbagai isu yang menggugat kewibawaan mereka.

Antaranya di Pulau Pinang, pentadbiran Lim Guan Eng berdepan dengan kemelut penduduk setinggan Kampung Buah Pala manakala Azizan di Kedah menghadapi isu perobohan pusat penyembelihan babi oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAs) sehingga wakil DAP Kedah/Perlis bertindak keluar dari gabungan di Kedah.

Di Selangor, kontroversi tercetus ekoran timbul isu moral berhubung Exco kerajaan Negeri Selangor yang juga ADUN Bukit Lanjan Elizabeth Wong apabila gambar bogelnya tersiar di khalayak selain isu "kepala lembu" kerana bantahan penduduk terhadap cadangan memindahkan kuil.

Pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim juga teruja oleh desakan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali supaya kedudukan Exco dari DAP Ronnie Liu dikaji semula kerana didakwa campur tangan dalam beberapa isu penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan termasuk melibatkan penjualan arak di kawasan majoriti Melayu.

PAS mahu Selangor menguatkuasakan garis panduan larangan penjualan arak secara terbuka sepertimana dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu tetapi ditolak oleh Menteri Besar yang menyifatkannya sebagai bukan isu.

Di Kelantan, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga tidak sunyi daripada kontroversi terutama yang melibatkan menantunya yang menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan tawaran menunai haji untuk beliau oleh sebuah syarikat swasta.

Lebih hangat lagi ialah apabila Nik Abdul Aziz mencadangkan supaya PAS mengadakan Muktamar Agung Luar Biasa bagi menukar "dua tiga kerat" pemimpin parti itu yang dikatakan merujuk kepada Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali.

Ini kerana Nik Abdul Aziz dikatakan tidak boleh menerima apa jua cadangan ke arah kerajaan perpaduan dengan Umno dan BN.

Di Sabah, PKR dilanda krisis kepimpinan berikutan pelantikan Mohamed Azmin Ali sebagai ketua perhubungan negeri oleh Anwar yang mendorong Datuk Dr Jeffrey Kitingan meletak jawatan sebagai naib presiden PKR.

Tetapi tamparan paling hebat bagi pakatan tersebut ialah apabila pakatan itu hilang kuasa di Perak ekoran tindakan tiga wakil rakyat iaitu dua daripada PKR dan satu dari DAP mengisytiharkan diri menjadi anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas dan menyokong BN pada Februari lepas.

Dalam kemelut itu, pemimpin mereka dianggap "menderhaka" dan biadap dalam tindaktanduk mereka terutama kerana tindakan undangundang terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Ekoran itu, Karpal dengan marah menuduh Anwar tidak layak menjadi pemimpin bagi pakatan kerana mendakwa Anwar bertanggungjawab mempromosikan budaya lompat parti.

Seterusnya kenyataan anggota Parlimen Shah Alam dari PAS, Khalid Abdul Samad mengenai bai'ah atau sumpah taat setia bahawa akan jatuh talak tiga terhadap isteri masingmasing jika wakil rakyat mereka mengkhianati parti, juga mencetuskan kontroversi hebat.

Kontroversi yang berlarutan menimbulkan tanda tanya apakah laluan ke Putrajaya masih lagi jelas seperti dibayangkan Anwar awal tahun ini.

Ketika ini Pakatan memiliki 82 kerusi Parlimen berbanding 137 BN dan tiga Bebas.

- BERNAMA

BTN tiada manfaat, hanya dakyah pesong semata-mata - Exco Selangor

by
SIJANGKANG, 28 NOV 2009 : Tiada manfaat dan hanya dakyah untuk memesong pemikiran belia-belia semata-mata. Demikian kesimpulan yang dapat dirungkaikan mengenai kursus Biro Tata Negara (BTN).

Pembantu Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan,Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, amat jelas program BTN merupakan alat Umno dalam menyebarkan dakyah kepada belia-belia yang menyertainya.

"Ramai pemimpin dalam kerajaan negeri kini yang pernah menyertai malah mengendalikan BTN dan daripada maklum balasnya kita yakin tiada manfaat
jelas program sebegitu,"jelasnya semasa ditemui Harakahdaily di lokasi majlis korban di Dun Sijangkang sebentar tadi.

Disebabkan itu katanya, kerajaan negeri mengambil keputusan untuk tidak lagi membenarkan 'anak-anak buah'nya menyertai kursus-kursus yang dianjurkan di bawah BTN.

Dalam pada itu, Dr Ahmad juga menjelaskan bahawa, kerajaan negeri sendiri telah memperkenalkan programnya tersendiri dalam memastikan pembinaan modal insan para belia di negeri Selangor melalui program SPIES (Spiritual, Physical, Intellectual,Emotional, Social).

"Kita telah lama wujudkan dan memang terbukti memberikan kesan yang baik berbanding dengan program-program seperti BTN,"katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Selangor melarang penyertaan kakitangan kerajaan negeri dan pelajar di institusi pengajian tinggi miliknya hadir di program anjuran Biro Tatanegara (BTN).

Menurut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali,keputusan yang berkuatkuasa serta-merta itu dibuat dalam mesyuarat exco kerajaan negeri susulan desakan sekumpulan ADUN Pakatan Rakyat di Selangor yang mendakwa program kendalian biro bawah Jabatan Perdana Menteri itu membangkitkan sentimen perkauman.

Empat buah pusat pengajian tinggi yang dimiliki kerajaan negeri itu: Universiti Industri Selangor (Unisel), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Kolej Antarabangsa INPENS dan Institut Kemahiran Yayasan Selangor.

Selain menghentikan penyertaan pelajar, seperti didesak, keputusan itu turut meliputi kakitangan kerajaan negeri dan pegawai semua anak syarikat kerajaan itu, tambahnya.

Dalam satu sidang media di Shah Alam baru-baru ini, Dr Halimah menyifatkan program BTN sebagai "indoktrinasi kerajaan (pusat) BN untuk menimbulkan fenomena yang agak racist (perkauman) seolah-olah ingin memecah belah penduduk pelbagai bangsa dan agama."

"Rata-rata (peserta BTN) termasuk anak saya sendiri, mereka kadang-kadang dibekalkan dengan buku kecil yang mengandungi pelbagai perkara yang menimbulkan kebencian kepada (pihak) yang dikatakan pembangkang kepada kerajaan Malaysia,” kata wakil rakyat PAS itu.

"Oleh kerana ia tidak memberi satu perkara yang positif, tambahan pula kepada minda yang begitu muda ini, maka kita rasa ia tidak perlu dan menghabiskan wang rakyat."

Minggu lalu, sekumpulan wakil rakyat muda tiga parti dalam Pakatan menulis surat kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk membuat desakan demikian.

ADUN-ADUN yang terlibat: Amirudin Shari (PKR-Batu Caves), Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku), Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR-Seri Setia), Jenice Lee Yin Ha (DAP-Teratai), Hannah Yeoh Tseow Suan (DAP-Subang Jaya) dan Gan Pei Ni (PKR-Rawang).

- HARAKAH DAILY

Sistem dua parti: Pakatan perlu tempuhi jalan sukar...

by
Usaha untuk mewujudkan Pakatan Rakyat sebagai alternatif masih menerima kekangan daripada sistem warisan BN, manakala masyarakat Malaysia sendiri masih belum menyedari keperluan untuk mengamalkan sistem dua parti seperti yang diuar-uarkan.

Maka Pakatan masih perlu menempuh jalan sukar sebelum dapat melaksanakan sistem tersebut di negara ini, sekiranya pendapat beberapa ahli-ahli panel sebuah simposium mengenainya hari ini dijadikan ukuran.

Antara penghalang utama adalah ketiadaan budaya politik yang membolehkan sistem berkenaan dijalankan, kata profesor undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Aziz Bari..

Bercakap dalam sesi pertama program anjuran Institut Kajian Dasar pagi ini, beliau berkata masyarakat Malaysia sendiri masih belum dapat menerima budaya debat yang menyuburkan demokrasi.

"Contohnya kalau seorang exco menyerang kerajaannya sendiri, masyarakat masih melihat perkara ini sebagai tindakan yang tidak betul, jadi bagaimana kita boleh melihat sistem dua parti dijalankan?

"Kita tidak boleh meniru hasil yang sama di negara lain seperti United Kingdom kerana kita tidak mempunyai budaya politik yang sama, ataupun konvensyen yang sama apabila sesuatu undang-undang dilaksanakan," katanya.

Menyetujui pandangan itu ialah seorang lagi panelis, Dr Thomas Stuart Knirsch yang menegaskan bahawa penanda aras yang jelas untuk melihat sistem dua parti dijalankan adalah kesediaan rakyat sendiri untuk menerima persekitaran politik tersebut.

Perubahan sosial, ekonomi

Kajian perlu dilakukan untuk menilai kesanggupan rakyat dalam menerima pakai sistem tersebut dengan mengambil kira realiti semasa, jelasnya lagi dalam sesi khusus berkaitan konsep dan amalan sistem itu.

"Perubahan-perubahan sosial dan ekonomi yang berlaku di negara ini mewujudkan kategori baru di kalangan pengundi dan juga golongan yang perlu diwakili mereka," katanya lagi.

Pandangan ini disambut oleh naib presiden PKR, R Sivarasa, yang berkata usaha untuk mewujudkan sistem dua parti telah wujud sejak 1960-an tetapi usaha ini telah ditekan oleh BN.

"Ini dilakukan melalui undang-undang ISA, tekanan ke atas kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun untuk membolehkan sistem satu parti dominan saja yang wujud," katanya lagi.

Tambahnya, Pakatan Rakyat perlu melakukan usaha berterusan bagi memastikan sistem dua parti dilaksanakan.

"Kita perlu pastikan kebebasan institusi-institusi seperti polis dan juga pemisahan kuasa cabang-cabang demokrasi.

"Satu lagi aspek yang perlu ditangani adalah ketidakseimbangan di antara kerajaan persekutuan dan negeri.

'Negeri Pakatan dihukum'

"Negeri-negeri memberi sumbangan yang banyak kepada kerajaan persekutuan tetapi tidak berkuasa untuk menentukan perkara-perkara berkaitan pendidikan atau kehidupan awam," katanya lagi.

Teng Chang Khim, speaker DUN Selangor dalam sesi seterusnya pula berkata kerajaan negeri itu, yang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat pada pilihan raya 2008, kini dihukum oleh kerajaan BN persekutuan.

"Sebelum 8 Mac, semua peruntukan pembangunan disalur melalui pejabat tanah dan kerajaan negeri dapat tahu berapakah jumlah yang disalurkan.

"Tetapi selepas 8 Mac, kerajaan persekutuan membentuk Pejabat Pembangunan Negeri. Ini satu tawaran yang tidak adil kepada kerajaan negeri, jadi kita perlukan tawaran baru," katanya lagi.

Jelasnya, ini juga merupakan sebab utama kerajaan negeri itu mengusulkan penubuhan satu suruhanjaya geran bebas untuk menyalur peruntukan daripada pusat.

"Tetapi melihat kepada permusuhan antara kerajaan negeri dan pusat sekarang, nampaknya jauh lagi perjalanan (usaha) ini.

Exco kanan kerajaan PAS Kelantan, Datuk Husam Musa pula berkata, usaha tersebut memerlukan "pertukaran menyeluruh" dengan set nilai yang berbeza daripada BN.

Gabungan lemah

"Kita perlukan satu sistem untuk tukar keadaan ini dengan memperkuat pakatan kita," katanya lagi.

Jelasnya, Umno dan BN telah mendapat kesedaran daripada pengundi pada pilihan raya 2008 dengan "menukar" Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menurutnya, perubahan itu bagaimanapun tidak dilakukan secara menyeluruh oleh BN kerana masih mengawal institusi-institusi yang masih dapat mengekalkan kuasa mereka.

Katanya lagi, ini diperhatikannya apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih "takut" untuk mengadakan pilihan raya kecil di DUN Kota Seputeh.

Beliau mendakwa, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM juga telah 'memerangkap' dua ADUN di Perak, tetapi menurutnya, dua orang ini kemudian nampaknya seolah-olah tidak melakukan sebarang kesalahan.

Tambahnya Pakatan Rakyat masih dilihat sebagai gabungan yang lemah, kesan daripada stigma yang ditanam oleh BN.

Jelasnya, Pakatan Rakyat juga perlu menghadapi stigma berkaitan Dasar Ekonomi Baru serta isu-isu melibatkan orang Melayu dan agama Islam.

Perlu beri penerangan

"Satu lagi stigma adalah PAS akan menubuhkan kerajaan Islam sekiranya Pakatan berjaya membentuk kerajaan pusat," katanya lagi.

Turut berbincang dalam sesi khas mengenai hubungan kerajaan pusat dan persekutuan ini adalah ADUN Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad yang berkata usaha perlu disegerakan untuk memperbaiki perkhidmatan di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan.

"Kita tidak boleh tunggu sehingga rakyat meluat lagi," katanya, sambil menjelaskan mengenai usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk memberi penerangan berkaitan "hukuman" yang dikenakan oleh kerajaan pusat.

"Rakyat di kawasan saya contohnya masih berfikir mereka tidak perlu lagi membayar tol selepas Pakatan ambil alih kerajaan," katanya.

Sebelum itu, Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyampaikan ucapan dasarnya di simposium tersebut turut menyuarakan perkara yang sama, dan menegaskan bahawa banyak lagi yang perlu dilakukan oleh Pakatan untuk menjadi sistem dua parti itu satu realiti.

Manakala setiausaha agung Pakatan, Salahuddin Hashim juga tidak begitu optimistik mengenai sistem dua parti menjadi realiti, antaranya kerana hak-hak negeri tidak dihormati oleh Putrajaya.

Sebagai contoh, katanya ialah negeri-negeri terikat kepada Majlis Tanah Negara, yang menghalang kebebasan kerajaan negeri.

Perak, katanya, adalah antara negeri yang berdepan dengan perkara itu.

Salahuddin berkata, walaupun tanah adalah di bawah bidang kuasa negeri, tetapi kerana adanya majlis tersebut, maka kerajaan negeri tersebut tidak dapat melaksanakan apa yang dikehendakinya.

- MALAYSIAKINI

Permatang Pasir: Erti kemenangan untuk Pakatan Rakyat

by
Bagi PAS, kemenangan di Permatang Pasir nanti adalah untuk orang Melayu dan Islam. Bagi DAP, kemenangan nanti bererti sokongan kepada kerajaan pimpinan Setiausaha Agungnya, Lim Guang Eng di negeri itu. Bagi PKR, kemenangan di sini bererti sokongan terus menerus kepada anggota Parlimennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Inilah perspektif yang ada kepada semua parti-parti dalam Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Permatang Pasir nanti.

Perspektif inilah yang bakal menyatukan mereka dengan satu tujuan iaitu memenangkan calon PAS yang akan mewakili Pakatan Rakyat melawan calon Umno yang akan mewakili Barisan Nasional (BN).

Walaupun siapapun mewakili PAS, perpekstif ini jelas di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat yang berbengkel sehari suntuk semalam di Petaling Jaya.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof menyatakan bahawa kemenangan Dewan Undangan Negeri (Dun) N11 Permatang Pasir adalah kemenangan bagi orang Melayu dan umat Islam di Pulau Pinang.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, adalah menjadi keperluan supaya kerusi Dun Permatang Pasir kekal kemenangannya di tangan PAS kerana ia adalah satu keperluan walaupun hanya dengan satu kerusi yang ada di Pulau Pinang.

"Dengan kemenangan tersebut walaupun dengan satu kerusi yang ada maka PAS dapat memberi pandangan, teguran dan memberi pembelaan kepada nasib orang Melayu dan umat Islam khususnya di negeri ini.

"Perkara ini bukan hanya setakat amalan soleh sahaja malah ia adalah suatu keperluan untuk membela dalam banyak perkara dan isu yang berkaitan dengan orang Melayu dan umat Islam di Pulau Pinang.

"Tetapi sekiranya ia di menangi oleh pihak yang lain maka mereka tidak dapat memberi pembelaan apa-apa kepada orang Melayu dan umat Islam kerana mereka itu bukannya parti yang memerintah di negeri Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah di Masjid Batu, Kampung Pertama, Permatang Pauh iaitu dalam kawasan pilihan raya Permatang Pasir.

Tidak boleh 'over confident'

PAS juga mengarahkan seluruh jenteranya meletakkan keputusan Pilihan Raya Umum 2004 sebagai kayu ukur yang hanya menang 500 lebih kerusi berbanding PRU 2008 dengan memperolehi lebih 5000 majoriti undi.

Demikian dinyatakan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad pada satu pertemuan dengan kesemua jentera kempen bagi Pilihan Raya Kecil Permatang Pasir malam tadi.

"Kita turun bukan dalam keadaan selesa. Kita mesti turun dengan semangat 2004 bukan 2008. Kita tidak boleh 'over confident' sangat," ujarnya kepada seluruh jentera.

Oleh itu katanya, jentera PAS perlu bekerja kuat menggunakan segenap ruang sepanjang tempoh berkempen untuk menarik pengundi baru dengan tidak mengabaikan pengundi sedia ada.

Melihat kepada senario dan politik semasa, PAS yakin isu pengkhianat melayu akan terus dicanang habis habisan oleh Umno BN pada pilihan raya kali ini.

"Kita yakin isu pengkhianat melayu akan dimainkan Umno BN, sebab itu kita perlu bersedia awal berdepan dengan serangan itu," tambah Ustaz Idris.

Demikian dinyatakan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad pada satu pertemuan dengan kesemua jentera kempen bagi Pilihan Raya Kecil Permatang Pasir malam tadi.

"Kita turun bukan dalam keadaan selesa. Kita mesti turun dengan semangat 2004 bukan 2008. Kita tidak boleh 'over confident' sangat," ujarnya kepada seluruh jentera.

Oleh itu katanya, jentera PAS perlu bekerja kuat menggunakan segenap ruang sepanjang tempoh berkempen untuk menarik pengundi baru dengan tidak mengabaikan pengundi sedia ada.

Melihat kepada senario dan politik semasa, PAS yakin isu pengkhianat melayu akan terus dicanang habis habisan oleh Umno BN pada pilihan raya kali ini.

"Kita yakin isu pengkhianat melayu akan dimainkan Umno BN, sebab itu kita perlu bersedia awal berdepan dengan serangan itu," tambah Ustaz Idris.

- HARAKAH

Pakatan Rakyat anggap perhimpunan berjaya

by
Pakatan Rakyat (PR) tetap menganggap perhimpunan Anti Akta Kes:elamatan Dalam Negeri (ISA) satu kejayaan walaupun dihalang pihak polis dari menghantar memorandum ke Istana Negara.

:Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya telah memutuskan untuk gugurkan idea mengadakan perhimpunan memansuhkan akta ISA jika permintaan untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri telah dipenuhi.

:Menurutnya, pihak beliau telah menulis surat kepada Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak minggu lalu meminta diadakan satu pertemuan.

“Sebelum ini kita telah bercadang untuk menggugurkan idea perhimpunan ini jika permintaan bertemu dengan Datuk Seri Najib dipenuhi.

“Tetapi tiada respons pun dari beliau,” kata beliau selepas berucap di hadapan penyokong GMI dan Pakatan Rakyat pada akhir perhimpunan anti-ISA di hadapan Ibu Pejabat Pas.

Hadir sama, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang.

Anwar berkata, tindakan polis terhadap perhimpunan aman merupakan satu tindakan yang tidak dijangka.

Menurutnya, tindakan yang tidak dijangka ini telah menyebabkan ramai yang ditahan dan juga terkena gas pemedih termasuk beliau namun perhimpunan ini tetap menepati matlamatnya.

Beliau berkata, pihaknya telah sedia untuk memberikan input dan cadangan berhubung ISA serta perkara lain yang berkaitan jika pertemuan yang dihasratkan menjadi kenyataan.

Sementara itu Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh pula berkata, walaupun pihak beliau tidak berjaya menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, pihak beliau akan tetap menghantar memorandum terbabit di hari lain.

“Maklumat yang kami terima :menunjukkan lebih 200 orang telah ditahan sejak pagi tadi, sebelum himpunan bermula, atas nama pencegahan, belum pun perarakan diadakan polis sudah menahan mereka.

“Kita akan dibincangkan kemudian untuk menghantar di hari lain, biar keadaan bertenang dulu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menganggap perarakan yang dinamakan Perhimpunan 100,000 Rakyat berjaya mencapai matlamat mereka.

“Kami anggap usaha kami ini berjaya, dapat capai sasaran untuk mengumpulkan 100,000 orang,” katanya.

Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub berkata, walaupun perhimpunan Anti :ISA tidak berjaya menghantar memorandum ke Istana Negara namun beliau tetap menganggap perhimpunan ini satu kejayaan kerana terdapat hampir 20,000 penyertaan.

“Walaupun tidak berjaya ke Istana Negara tetapi perarakan ini tetap berjaya,” katanya.

Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin mengecam tindakan polis mengganasi dan menangkap rakyat yang melaksanakan hak mereka untuk berhimpun secara aman di Kuala Lumpur semalam.

“Tindakan ini adalah di luar batasan amalan demokrasi dan hak asasi rakyat untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

”Saya menggesa supaya mereka yang ditahan hari ini dibebaskan segera,” katanya.

Naib Presiden Pas Datuk Mahfuz Omar pula mendesak pihak polis membebaskan kesemua penyokong perhimpunan yang ditahan.

Beliau berkata, PR telah menyediakan pasukan peguam untuk menguruskan penahanan mereka.

- SINAR HARIAN

Krisis PR Kedah tidak jejas sokongan - Azmin

by
Krisis politik yang melanda dua negeri Pakatan Rakyat (PR) di Kedah dan Pulau Pinang tidak akan menjejaskan sokongan kepada calon Pas dalam pilihan raya kecil Manek Urai 14 Julai ini.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali berkata, beliau menjangkakan isu tersebut akan digunakan UMNO sebagai bahan kempen menerusi bantuan media yang tidak menyebelahi PR.

“Saya percaya, krisis yang melanda dua negeri tersebut hanya melibatkan soal pentadbiran yang boleh diselesaikan melalui pemuafakatan, saya yakin kepimpinan DAP, Pas, PKR akan menyelesaikan isu ini dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui pada penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, semalam.

Dalam pada itu Azmin yang juga ahli Parlimen Gombak berkata, PKR telah diberikan kepercayaan untuk menjaga tiga kawasan di bawah DUN Manek Urai yang mana Pas hanya menang dengan jumlah undi tipis sebelum ini.

Selain itu, PKR juga akan membantu jentera Pas membawa pulang sejumlah 1,000 pengundi di luar kawasan khususnya di Kuala Lumpur.

“Kita akan sedarkan rakyat Manek Urai bahawa suara mereka cukup kuat memberikan isyarat kepada UMNO dan BN bahawa mereka perlu mengotakan apa yang mereka ikrarkan termasuk konsep 1Malaysia yang dilaungkan.

“PR juga akan membangkitkan isu royalti minyak di mana komitmen Perdana Menteri dituntut, rakyat Kelantan tidak pernah dibayar walaupun mempunyai hak. Jika mendapat royalti ini saya percaya Kelantan dapat dibangunkan dengan lebih pesat lagi,” katanya.

Azmin juga percaya kerusi ini akan kekal menjadi milik PR setelah melihat sokongan padu yang luar biasa daripada penduduk Manek Urai.

- SINAR HARIAN

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90