Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Pelancongan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pelancongan. Papar semua catatan

Tourism Malaysia lancar laman pelancongan digital

by

 

Tourism Malaysia melancarkan Brosur Digital Interaktif iaitu laman pelancongan digital sebagai penjenamaan semula risalah digital agensi itu menerusi pelayaran secara interaktif di ebrochures.malaysia.travel.

Sebagai permulaan lima risalah digital boleh dimuat naik iaitu Malaysia Travel Guide, Kuala Lumpur the Dazzling Capital City, Langkawi the Jewel of Kedah, Islands and Beaches dan Adventures with Nature.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata laman itu lebih mesra pengguna dan memudahkan orang ramai mengakses menerusi telefon bimbit, tablet atau komputer riba.

Katanya, kandungan risalah itu juga boleh dikongsi melalui pelbagai aplikasi media sosial lain seperti Facebook, Twitter, WhatsApp dan juga emel.

"Laman digital ini berbeza dengan penerbitan e-brosur format dokumen mudah alih (PDF) yang hanya boleh dimuat turun dan dicetak kerana menggabungkan pelbagai elemen multimedia seperti teks, audio, grafik, animasi serta video untuk penyampaian informasi lebih berkesan.

"Ia turut memanfaatkan pautan Google Maps untuk membantu pelancong serta pengusaha pelancongan merancang perjalanan, memilih penginapan sesuai serta mengetahui kemudahan yang ada di sekeliling seperti stesen minyak, restoran, parkir dan hospital," katanya dalam satu kenyataan.

Nancy berkata, laman itu menggunakan Google Analytics untuk penganalisisan data dan bersifat mesra Search Engine Optimization (SEO) bagi capaian lebih meluas.

Katanya, ia iuga direka khas dengan paparan lebih moden dan bergaya, serta boleh dikemas kini dengan serta-merta.

"Pelancaran Brosur Digital Interaktif ini selaras dengan usaha untuk mempergiat digitalisasi pelancongan bagi menyemarakkan semula industri pelancongan seperti digariskan menerusi Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030," katanya.

Justeru beliau menyeru orang ramai untuk memanfaatkan maklumat yang ada dalam laman interaktif itu serta mengambil peluang merancang percutian selamat bersama keluarga dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. 

Sumber : Berita Harian

 

Fenomena Awan Karpet menakjubkan

by

 

Dengan populasi penduduk seramai 255,000 orang dan keluasan 819 kilometer persegi, Perlis sering kali dipandang sepi oleh pelancong yang hanya menjadikan negeri itu sebagai transit untuk melancong ke Langkawi atau menuju ke Hatyai, Thailand.

Malah, sebagai negeri terkecil di Malaysia, Perlis juga dilihat tidak mempunyai tarikan pelancongan, selain Arked Beli-Belah Padang Besar yang terletak berhampiran pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand.

Namun, 'awan karpet' dilihat dari View Point Wang Kelian, di sini mencetuskan fenomena apabila ramai pelancong datang untuk menyaksikan panorama indah itu pada awal pagi.

Lazimnya, cuti hujung minggu atau hari kelepasan am pengunjung beriadah di kawasan View Point Wang Kelian, di samping melihat panorama 'awan karpet' terbentuk saujana mata memandang.

View Point Wang Kelian terletak di ketinggian 303 meter dari aras laut. Perjalanan ke sana selama 30 minit dari Kangar manakala 20 minit dari dari pekan Padang Besar.

Kawasan Wang Kelian juga salah satu pintu sempadan ke Thailand di Perlis, selain di Padang Besar.

Penulis berkesempatan melihat karpet awam yang menakjubkan, baru-baru ini.

Ketika menghampiri kawasan itu, ramai pengunjung ke kawasan berkenaan.

Kelihatan ada pengunjung berbasikal atau berjoging menuju ke kawasan itu dan rata-rata teruja melihat 'awan karpet' yang tular sejak awal tahun lalu.

Sebaik tiba, kelihatan gumpalan awan yang terbentang luas bak permaidani melewati dua puncak Bukit Chabang.

Gumpalan corak awan terbentang juga dapat dilihat sehingga Empangan Timah Tasoh yang terletak 16.2 kilometer dari kawasan itu.

Disebabkan Perlis tiada banyak bangunan pencakar langit dan amat kurang pencemaran udara jadi awan karpet ini mudah terbentuk.

Pengunjung, Jasni Hashim, 44 yang bertugas sebagai jurutera di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), berkata fenomena 'awan karpet' ini lazimnya berlaku jam 6.50 pagi sehingga jam 7.30 pagi.

"Fenomena ini sebenarnya sudah lama berlaku, namun hanya kebelakangan ini selepas tular gambar keindahan awan berkenaan ramai berpusu-pusu ke kawasan itu.

"Di kawasan sini sangat sesuai untuk melihat keindahan fenomena awan, di samping menikmati cuaca sejuk di kawasan ini," katanya.

Beliau juga dikenali sebagai Ved Vedder dalam kalangan komuniti jurugambar alam semula jadi berkata, kewujudan View Point Wang Kelian untuk melihat fenomena 'awan karpet' ini memberi 'nafas' baru industri pelancongan di Perlis yang sebelum ini agak suram. 

Pengunjung, Ahmad A'fifi Azme, 25, dari Kangar berkata, sebelum ini ramai tidak ambil peduli fenomena itu khususnya penduduk di negeri ini.

"Selepas tular di media sosial tiba-tiba menarik ramai pengunjung sedangkan sebelumnya sepi," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, Pembangunan Pusat Pertumbuhan Baru, Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Perlis, Asmaiza Ahmad berkata, rancangan mengkomersilkan lokasi itu sama seperti di Betong,Thailand.

"Perlis jarang diletakkan sebagai destinasi pelancong domestik dan antarabangsa kerana lebih terarah ke Langkawi, Kedah atau Hatyai di Thailand.

"Perlis hanya sebagai transit persinggahan sementara sebelum ke destinasi berkenaan.

"Selepas tersebar foto keindahan fenomena 'awan karpet' ini, kita melihat ia wajar dibangunkan menjadi tarikan di kawasan View Point Wang Kelian," katanya.

Antara lokasi boleh dikunjungi seperti Muzium Kota Kayang, Hutan Lipur Bukit Kubu, Kampung Pulau Ketam, Trek Kurong Tengar, Masjid Terapung al-Hussein Kuala Perlis, Warung Tepi Sawah, Tasik Melati, Empangan Timah Tasoh dan pelbagai lagi.

Info: View Point Wang Kelian

  • Lokasi terletak berhampiran bandar Satun, Thailand.
  • Menjadi pintu keluar antara Malaysia-Thailand.
  • Fenomena 'awam karpet' dilihat pada awal pagi.
  • Terletak di ketinggian 303 meter dari aras laut.
  • Perjalanan 30 minit dari Kangar, 20 minit dari pekan Padang Besar.
  • Boleh dilihat dari Ampangan Timah Tasoh, 16.2 kilometer dari Menara Pandang Wang Kelian.
  •  Sumber : Berita Harian

     

     

     

     

     

    70 hari naik bas New Delhi-London

    by


    Syarikat ekspedisi, Adventures Overland menawarkan perkhidmatan pengembaraan dengan menaiki bas dari New Delhi, India ke London dalam tempoh 70 hari.

    Berkonsepkan perkhidmatan ‘hop on hop off, bas ke London mampu membawa 20 penumpang di dalam kabin mewah yang diubah suai.

    Lapor CNN, bas tersebut akan melintasi 18 negara dengan penumpang berpeluang mengembara ke Myanmar, Tembok Besar China dan bandar bersejarah termasuk Moscow dan Prague.

    Syarikat itu ditubuhkan usa­hawan, Tushar Agarwal serta Sanjay Madan.

    Menurut Agarwal, idea itu tercetus selepas dia melakukan kembara solo dari London ke Delhi pada 2010.

    “Kami dapati pelancong mahu menikmati perjalanan darat tetapi tidak gemar memandu. Jadi timbul idea me­nempatkan pelancong dalam bas dan mereka boleh duduk selesa bagi perjalanan jauh.

    “Begitulah lahirnya idea bas ke London,” katanya.

    Beliau berkata, bas ke London dijangka beroperasi perte­ngahan tahun depan.

    “Waktu terbaik adalah antara April dan Jun. Pada ketika itu cuaca amat sesuai bagi memulakan perjalanan dari India ke Myanmar dan melintasi pergunungan tinggi China serta Kyrgyzstan,” katanya.

    Katanya, tiket perjalanan berharga AS$20,000 (RM83,413).

    “Mereka boleh memilih sama ada mahu mula dari London atau India kerana sebaik sahaja tiba di London, penumpang sedia ada akan balik menerusi pesawat.

    “Kemudian bas akan patah balik dengan 20 penum­pang lain,” katanya.

    Pihaknya menerima maklum balas baik sehingga 40,000 orang sudah menyatakan minat menggunakan perkhidmatan itu.

    Sumber : Utusan

    Cuti sekolah berbeza zon utara, selatan, timur bakal diperkenal untuk elak kesesakan

    by

    Ibu bapa yang membawa anak-anak mereka bercuti ke Cameron Highlands, Melaka atau mana-mana destinasi percutian lain semasa cuti sekolah mungkin menyambut baik cadangan cuti sekolah dilaksanakan secara berperingkat.

    "Berbanding cuti sekolah selama seminggu untuk seluruh negara, kita boleh mengagihkan musim cuti selama tiga minggu.

    "Kami mencadangkan musim cuti sekolah dilaksanakan secara berbeza untuk wilayah pantai utara, selatan dan timur," kata Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

    Beliau berkata kementeriannya menyediakan laporan lengkap mengenai cadangan Kementerian Pelajaran untuk mempertimbangkan penjadualan musim cuti sekolah yang berbeza bagi seluruh negara.

    Apabila cuti sekolah berlangsung tidak serentak, kualiti pelancongan domestik akan lebih tinggi kerana masalah kesesakan dapat dikurangkan.

    "Kita juga akan mempunyai pengurusan lalu lintas yang lebih baik dan pemain industri pelancongan tidak perlu menghadapi situasi 'feast or famine'," katanya.

    Beliau berkata, cadangan tersebut adalah untuk cuti sekolah pertengahan tahun pada bulan Mac, Jun dan September tetapi ia tidak termasuk cuti akhir tahun yang lebih panjang.

    "Laporan itu hampir siap. Kami memperoleh semakin banyak data.

    "Jika kita katakan Cameron Highlands sesak semasa cuti persekolahan, berapa sesak keadaan yang berlaku?

    "Dalam era data besar (big data) ini, kita harus teliti mengenai apa yang kita cadangkan," kata Muhammad Bakhtiar kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Arkeologi Kebangsaan di George Town pada Selasa.

    Katanya, cuti berbeza telah dilaksanakan di Malaysia apabila rakyat di Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu mempunyai cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu.

    - The Star

    5 Salah Sangka Tentang Labuan

    by


    Pulau Labuan yang terletak kira kira 10 kilometer (km) dari pantai barat Sabah kurang mendapat pendedahan di media.

    Kebanyakan pelancong dari luar negara yang tidak pernah ke sana menganggap ia sekadar pusat perdagangan luar pesisir dan bandar pelabuhan.

    Dari sudut pelancongan, ia tidak sepopular pulau-pulau lain di Malaysia seperti Pulau Pinang, Pulau Pangkor, Pulau Tioman, Pulau Langkawi, Pulau Redang atau Pulau Perhentian.

    Namun, pulau tersebut sebenarnya menawarkan pelbagai keistimewaan yang pasti menarik untuk dijadikan sebagai destinasi pelancongan anda yang seterusnya.

    Mari kita kenali lima salah sangka orang ramai tentang labuan.

    1. Tiada apa yang menarik

    Sebenarnya, pantai di sepanjang Pantai Batu Manikar hingga ke Pantai Sungai Pagar/Miri yang terletak di Labuan pernah dianugerahkan ‘United Nation COBSEA Clean Beach Award’ pada tahun 2008 dan diisytiharkan sebagai ‘101 The Most Beautiful Beaches In South East Asia’ pada tahun 2015.

    Kepulauan Labuan juga terkenal sebagai destinasi aktiviti menyelam ‘scuba’ dan ‘snorkeling’.

    Terdapat beberapa buah pusat menyelam bertaraf antarabangsa yang ditadbir oleh Jabatan Taman Laut Labuan.

    Selain itu, terdapat tapak selaman kapal karam yang terbaik di Asia seperti ‘Australian Wreck’, ‘American Wreck’, ‘Cement Wreck’ dan ‘Blue Water Wreck’.

    Pelancong juga boleh melawat Muzium Marin Labuan yang mempamerkan replika dan rangka hidupan laut selain dari akuarium yang menyimpan pelbagai khazanah hidupan laut.

    2. Hanya ada bangunan moden

    Sebenarnya, Labuan memiliki pelbagai khazanah lama seperti Muzium ‘Chimney’ yang mempamerkan sejarah zaman perlombongan Labuan di Tanjung Kubong.

    Menara ‘Chimney’ yang menjadi identitinya dibina dengan 23,000 biji batu bata merah yang diimport dari England. 

    Selain itu, taman peringatan tentang Perang Dunia Kedua boleh dilihat di ‘Surrender Point’ dan Taman Damai atau ‘Peace Park’ berhampiran Pantai Layang-Layangan.

    Manakala, ‘War Memorial’ pula terletak di Tanjung Batu di bawah seliaan ‘Commonwealth War Grave Commission’ (CWGC) untuk memperingati  3,908 orang tentera yang telah terkorban.

    3. Tiada tarikan flora fauna

    Sebenarnya, di Labuan terdapat Taman Burung dengan kubah sangkar gergasi kembar tiga terletak berhampiran Tanjung Kubong.

    Taman tersebut menyimpan hampir 580 spesis burung sama ada di dalam kurungan atau bebas berterbangan di dalam sangkar gergasi tersebut.

    Selain itu, Taman Botanikal Labuan yang dibina pada 1852 pula pernah dijadikan kediaman rasmi Gabenor Labuan dan menjadi kunjungan kerabat diraja British seperti King Edward VII (Prince of Wales) pada tahun 1922.

    4. Orang Labuan bertutur dialek Sabah

    Sebenarnya, majoriti penduduk Labuan adalah bangsa Melayu berketurunan Kadayan Brunei.

    Mereka beragama Islam dan bertutur Bahasa Melayu dialek Kadayan Brunei.

    5. Susah untuk dikunjungi

    Sebenarnya, penerbangan ke Lapangan Terbang Labuan adalah sekerap empat kali sehari iaitu dari Kuala Lumpur, Miri dan Kota Kinabalu.

    Selain itu, perkhidmatan feri ekspres sebanyak tiga kali sehari disediakan dari Terminal Feri Serasa di Muara, Brunei Darussalam ke Terminal Feri Penumpang Antarabangsa Labuan atau perkhidmatan bot ekspres dua kali sehari dari Sabah melalui Kota Kinabalu, Lawas, Sipitang dan Limbang di Sarawak serta bot ekspres dari Menumbok, Sabah.

    Sumber : mSTAR

    Melaka Wujud Bazar Rakyat

    by

    Kerajaan negeri Melaka akan mewujudkan sebuah bazar rakyat secara kekal di kawasan Pusat Komersil Hang Tuah Melaka (HTMCC) bagi melahirkan usahawan berdaya saing dan maju terutama dalam kalangan usahawan kecil dan sederhana.

    Pengerusi Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Hasan Abdul Rahman berkata bazar berkenaan yang berkonsepkan pusat beli-belah terbuka dicadang dibangunkan kerajaan negeri di HTMCC sekitar Jalan Hang Tuh dan Jalan Tun Ali di Melaka.

    "Tujuan kita mewujudkan bazar ini adalah untuk memastikan usahawan kita mempunyai tempat berniaga secara tetap terutama mereka yang sebelum ini lebih bergantung pada perniagaan bazar yang diwujudkan pada musim tertentu seperti ketika Ramadan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bazar Ramadan Aidilfitri Industri Asas Tani 2017.

    Beliau berkata sebagai pengerusi keusahawanan negeri, beliau akan membawa usul tersebut kepada mesyuarat Exco kerajaan negeri dalam masa terdekat.

    Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Usahawan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Ab Razak Majid.

    Hasan berkata inisiatif berkenaan melibatkan pelbagai agensi terutama FAMA dan Jabatan Kemajuan Masyarakat dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri yang akan mengenal pasti langkah pelaksanaan dan usahawan yang berpotensi terlibat dalam perniagaan bazar tersebut.

    Beliau berkata bazar berkenaan akan menjadi antara ikon baharu keusahawanan selain sebagai produk pelancongan terkini yang dilihat bukan sahaja mampu meningkatkan ekonomi usahawan malah ekonomi kerajaan negeri.

    Sementara itu, tujuh lokasi Pasar Tani Khas Pra-Syawal diwujudkan di tiga daerah bagi menjual barangan keperluan asas untuk menyambut Aidilfitri.

    Beliau berkata antara lokasi pasar tani khas tersebut ialah Pasar Tani Merlimau, Lubok China, Selandar dan Masjid Tanah yang bermula pada Selasa hingga Sabtu ini, sejak 7 pagi hingga 12 tengah hari.

    "Pelbagai barangan keperluan untuk persiapan Hari Raya dijual pada harga yang berpatutan dan terdapat potongan harga antara lima hingga 20 peratus untuk sesetengah barangan," katanya.

    - mSTAR

    Puncak Kinabalu Paling Sejuk Di Malaysia

    by


    Tarikan pelancongan di Sabah, puncak Gunung Kinabalu yang mempunyai ketinggian 4,095 meter dari aras laut merupakan tempat paling sejuk di Malaysia, kata Jabatan Meteorologi Malaysia.

    Ketua Pengarahnya Datuk Che Gayah Ismail berkata suhu Gunung Kinabalu yang merupakan puncak tertinggi di Malaysia dan di Asia Tenggara boleh turun sehingga dua darjah selsius.

    "Secara amnya suhu akan turun dengan kadar 6.4 darjah selsius untuk setiap kilometer ketinggian. Justeru, tempat paling sejuk di Malaysia adalah puncak Gunung Kinabalu yang mempunyai ketinggian 4,095 meter dari paras laut di mana suhunya boleh turun sehingga dua darjah selsius," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

    Bagaimanapun, katanya jabatan itu tidak mempunyai stesen meteorologi di kawasan puncak gunung, kecuali stesen di Laban Rata iaitu tempat persinggahan sebelum ke puncak gunung tersebut.

    Selain puncak Gunung Kinabalu, Che Gayah berkata berdasarkan rekod daripada 44 stesen utama di seluruh negara, pusat peranginan terkemuka Cameron Highlands juga merupakan antara kawasan paling sejuk di Malaysia dengan suhu terendah 16 darjah selsius pada Januari lepas.

    Beliau berkata suhu rendah yang direkodkan di Cameron Highlands disebabkan Stesen Cameron Highlands berada pada paras tinggi iaitu 1,471.6 meter dari aras laut.

    "Cameron Highlands juga pernah melakar sejarah sebagai kawasan yang mencatat suhu paling rendah dalam negara iaitu 7.8 darjah selsius pada Februari 1978 berbanding 19 stesen utama lain yang ada pada ketika itu," katanya.

    - mSTAR


    Beca Tarikan Pelancongan di Ipoh

    by


    Perkhidmatan beca akan diperkenalkan semula di Ipoh sebagai tarikan pelancongan terbaharu sempena Tahun Melawat Perak 2017.

    Exco Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata kali terakhir perkhidmatan beca ada di Ipoh adalah pada 2005 dan kali ini beca yang disediakan adalah unik kerana ia telah dimodenkan.

    "Jika perkhidmatan ini mendapat sambutan daripada pengunjung di Ipoh, kami bercadang memperkenalkannya di Taiping kerana bandar itu memiliki bangunan warisan sejarah selain terdapat Taman Tasik Taiping.

    "Ketika ini kebanyakan hotel turut memberikan perkhidmatan itu secara percuma sekiranya menginap di hotel mereka," katanya selepas melancarkan perkhidmatan tersebut di Riverwalk di sini, Ahad.

    Perkhidmatan beca itu disediakan M Bike Sdn Bhd kepada pengunjung yang ingin bersiar di lokasi menarik di sekitar bandaraya Ipoh.

    Pengarahnya Camees Foong berkata perkhidmatan yang telah bermula pada 1 Sept lalu itu memperkenalkan tiga pakej iaitu satu perjalanan, laluan warisan dan sewa khas.

    "Bagi pakej satu perjalanan, pengunjung akan menaiki beca dari satu lokasi ke satu lokasi lain dengan bayaran RM6 manakala laluan warisan yang berharga RM30 akan melalui 26 lokasi pelancongan di Ipoh selama 45 minit.

    "Pakej sewa khas pula akan membawa pengunjung ke mana-mana destinasi dengan jarak 10 kilometer hingga 15 kilometer dengan kadar bayaran RM50," katanya.

    Menurut Foong, perkhidmatan dari pukul 9 pagi hingga 12 malam setiap hari itu, bermula dari tiga lokasi iaitu Kinta Riverfront, Stesen Keretapi Ipoh dan Restoran Plan B.

    Dalam perkembangan lain, Nolee Ashilin berkata Kinta Riverfront yang kini dikenali sebagai Tourism Riverside, menyediakan beberapa kedai berunsurkan pelancongan seperti kedai menjual cenderamata.

    "Terdapat juga kedai Persatuan Pelukis dan Persatuan Pemandu Pelancong yang menyediakan pusat penerangan berkaitan destinasi pelancongan di Perak.

    "Selain itu, kita menyediakan gerai makan dan persembahan buskers dan kebudayaan pada sebelah malam untuk menghiburkan pengunjung," katanya.

    - mSTAR

    Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

    Top Ad 728x90