Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Pendidikan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pendidikan. Papar semua catatan

550,000 pelajar dapat manfaat Kad MySiswa

by


 Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) semalam melancarkan secara rasmi inisiatif Kad MySiswa yang dulunya dikenali sebagai Kad Prihatin Siswa.


Hampir 550,000 pelajar di 20 universiti awam seluruh negara sudah mendapat manfaat penggunaan kad MySiswa itu sejak dilaksanakan Mac tahun lalu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pelancaran kad itu menepati matlamat KPT untuk memperkasa dan memartabatkan pelajar universiti menerusi transformasi kad matrik sedia ada menjadi sekeping kad pintar pelbagai fungsi.

"Antara kelebihan kad ini ia boleh menjadi kad debit bank, kad akses kepada kemudahan dan fungsi dalaman kampus yang bersepadu seperti sistem kehadiran, sistem perpustakaan malah ia turut dilengkapi dengan kemudahan e-dompet.

Selain itu, Kad MySiswa akan berfungsi sebagai kad promosi dan diskaun yang melayakkan pemegangnya menikmati pelbagai tawaran istimewa, potongan harga serta rebat sama ada di dalam mahu pun di luar kampus," katanya selepas perasmian Semarak Ramadan KPT@ UniMAP dan Majlis Peluncuran Kad MySiswa di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kampus Pauh Putra, semalam.

Turut hadir adalah Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Zaliman Sauli.

Menurut kenyataan media daripada KPT sempena majlis itu memaklumkan Kad MySiswa merupakan inisiatif bersepadu KPT bersama RHB Islamic Bank Berhad selaku rakan strategik pelaksana.

Ia sebagai komitmen dalam mendukung Agenda Pemerkasaan Mahasiswa yang turut berpotensi memartabatkan gaya hidup mereka.

Dalam perkembangan lain, Zambry berkata, walaupun Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dipinda yang membenarkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan badan pelajar menerima sumbangan, ia tetap tertakluk kepada sistem audit bagi memastikan tidak wujud penyelewengan pengurusan dana.

Sumber : Berita Harian

Tiada kelas akademik pada minggu pertama persekolahan

by


Minggu pertama persekolahan tanpa kelas akademik diteruskan pada tahun kedua sesi persekolahan 2024/2025 yang akan bermula 10 dan 11 Mac ini.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, minggu berkenaan akan diisi dengan aktiviti bagi mewujudkan ekosistem menyeronokkan di sekolah.

"Perkara berkenaan akan mewujudkan budaya untuk hadir ke sekolah secara berterusan sekali gus momentum terbabit dikekalkan sepanjang tahun.

"Pada permulaan sesi persekolahan kali ini, pada hari kedua atau hari ketiga persekolahan yang bermula tahun ini juga merupakan bulan Ramadan.

"Oleh itu, kebijaksanaan pentadbir di sekolah sangat dituntut untuk menyesuaikan aktiviti minggu pertama persekolahan dengan datangnya Ramadan ini," katanya ketika berucap dalam Majlis Amanat KPPM Sempena Pembukaan Sesi Persekolahan 2024/2025 di sini, hari ini.

Sesi persekolahan 2024/2025 bagi kumpulan A iaitu sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu dibuka pada 10 Mac ini.

Manakala, kumpulan B iaitu sekolah-sekolah di negeri Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pula dibuka bermula 11 Mac ini.

Sumber : Berita Harian

Kolej Tingkatan Enam kini dikenali sebagai Kolej Pra-Universiti KPM

by

 


Kementerian Pendidikan (KPM) membuat penjenamaan semula beberapa istilah dalam sistem pendidikan Tingkatan Enam berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata Kolej Tingkatan Enam kini dikenali sebagai Kolej Pra-Universiti KPM dengan jawatan pengetua akan ditukarkan kepada pengarah.

Penjenamaan semula itu turut menyaksikan perubahan bagi istilah guru penolong kanan kepada timbalan pengarah, manakala guru kepada pensyarah dan murid menjadi pelajar.

Menerusi proses sama, katanya, pengarah Kolej Pra-Universiti diberi autonomi bagi pengambilan pelajar Tingkatan Enam secara terus, sekiranya masih terdapat kekosongan.

"Penjenamaan semula ini dibuat dalam usaha memberi peluang kepada murid untuk melangsungkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan KPM akan meneliti kelonggaran syarat bagi kemasukan ke Tingkatan Enam.

"Justeru, KPM merangka strategi bagi pemberian autonomi kepada Pengetua Pusat Tingkatan Enam bagi pengambilan pelajar, sekiranya masih terdapat kekosongan.

"Pengarah akan mengenal pasti pelajar berpotensi yang memerlukan peluang menyambung pengajian dan boleh menggunakan kuasa autonomi untuk membuat tawaran sendiri secara terus kepada murid berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), 'Malaysian University English Test' (MUET) serta Ujian Sijil Kecekapan Bahasa Melayu bagi Warganegara Asing (SKBMW) 2022 hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi dan Ketua Pengarah Pelajaran, Pkharuddin Ghazali.

Hadir sama Ketua Eksekutif Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Adnan Husin dan Pengerusi MPM merangkap Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Fadhlina berkata, KPM juga sedang meneliti laluan khas bagi meningkatkan bilangan guru cemerlang Tingkatan Enam yang ketika ini direkodkan seramai 60 orang atau 0.5 peratus daripada keseluruhan guru akademik Tingkatan Enam.

"Dalam usaha meningkatkan kualiti profesionalisme guru akademik Tingkatan Enam, KPM akan menyediakan laluan khas bagi guru cemerlang Tingkatan Enam.

"Ke arah ini, KPM akan meneliti semula instrumen penilaian guru cemerlang Tingkatan Enam," katanya yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal.

Bercakap pada sidang media, Fadhlina berkata, penjenamaan semula istilah guru akademik Tingkatan Enam kepada pensyarah tidak membabitkan perubahan gred perjawatan mahupun kelayakan akademik.

Selain itu, katanya, pembaharuan berkenaan bertujuan memberi hala tuju dan imej lebih prestij kepada Tingkatan Enam, selain setiap fasiliti, infrastruktur dan keperluan Tingkatan Enam akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

67 peratus lepasan SPM sah kemasukan ke Tingkatan Enam

Beliau turut memaklumkan, 67 peratus daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika ini sudah mengesahkan kemasukan ke Tingkatan Enam.

"Kita masih buka lagi kepada mana-mana pihak yang berhasrat masuk ke Tingkatan Enam untuk sama-sama memohon bagi memenuhi kuota.

"Malah, kadar kemasukan ke universiti dalam kalangan lepasan STPM sangat tinggi iaitu 90 peratus. Maknanya mereka boleh masuk ke universiti dengan penguasaan cukup tinggi, bukan sahaja di bidang akademik dan sahsiah tetapi kelayakannya membolehkan mereka memenuhi merit untuk ke universiti," katanya.

Mengenai autonomi kepada Pengarah Kolej Pra-Universiti KPM, beliau berkata, ia bertujuan memberi peluang kepada lebih ramai pelajar melanjutkan pengajian institusi di bawah KPM, selain mengurangkan kadar keciciran, sekiranya ada.

"Mereka ini yang dikenal pasti, seharusnya mempunyai peluang menyambung pengajian tetapi tidak memiliki akses dan tak tahu mahu ke mana. Justeru, kita berikan autonomi kepada pengarah untuk kenal pasti sendiri pelajar di lokaliti masing-masing.

"Tawaran ke Tingkatan Enam sebelum ini, melalui KPM dan mungkin kita terlepas pandang. Mungkin ada yang berpotensi dan mahu menyambung pengajian tetapi tiada peluang.

"Jadi inilah peluang paling efektif dan efisyen untuk memberi ruang kepada mereka melanjutkan pengajian," katanya.

30,000 lepasan SPM tercicir sudah dikenal pasti

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata, KPM sudah mengenal pasti 10,000 daripada hampir 30,000 lepasan SPM yang dikenal pasti berdepan masalah keciciran.

"Kita sudah pun kenal pasti, 10,000 daripada mereka membuat permohonan mengulang SPM dan 20,000 lagi sedang dikenal pasti untuk mendapatkan maklumat penuh di mana mereka berada.

"10,000 ini terdiri daripada lepasan SPM daripada pelbagai tahun. Usaha mereka mengulang SPM menandakan mereka berhasrat menyambung pengajian dan KPM sangat mengalu-alukan hasrat mereka ini," katanya.

Sumber : Berita Harian

Anak pemandu teksi raih 4A STPM

by


Terpaksa membahagikan masa membantu ibu menjahit pakaian selepas sesi persekolahan dan pada hujung minggu, tidak menghalang Erin Ezayu Emylia Abdul Mutalib memperoleh purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022.

Erin Ezayu Emylia, 20, adalah antara 43 pelajar terbaik Negeri Sembilan dalam STPM 2022. Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Tampin ini berkata, ibunya, Norlela Abdul Latif, 53, adalah seorang suri rumah dan mengambil upah menjahit baju bagi menampung pendapatan dan keperluan keluarga.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, bapanya Abdul Mutalib Mohd Noor, 55, pula bekerja sebagai pemandu teksi sehingga ke kawasan Petaling Jaya dan ibu negara.

Saya menggunakan masa lapang, terutama selepas sesi persekolahan dan hari cuti untuk membantu ibu bagi memudahkan beliau menyiapkan tempahan.

"Namun begitu, tugasan itu tidak menjadi halangan untuk saya ulang kaji pelajaran dan menyiapkan tugasan sekolah walaupun kadang kala bangun seawal jam 3 pagi untuk ulang kaji pelajaran.

"Saya hadapinya dengan baik dan tenang kerana di situ ada keberkatannya dan kesudahannya berjaya mendapat keputusan yang baik," katanya ketika ditemui selepas pengumuman STPM di Dewan Kolej Tingkatan Enam Forest Height, di sini, hari ini.

Erin Ezayu Emylia berkata, dia belajar bersungguh-sungguh untuk mendapat keputusan cemerlang itu bagi tujuan mengubah nasib keluarga, malah kedua-dua orang tuanya menitiskan air mata kegembiraan apabila mendapat keputusan berkenaan.

Dia yang tinggal di Taman Indah Tampin mengakui bertindak nekad menduduki STPM selepas hanya mendapat 5A pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Pada peringkat awal memang rasa susah, tetapi saya kuatkan semangat dan terus fokus kepada pelajaran dengan mendapatkan bimbingan daripada guru.

"Alhamdulillah, akhirnya dapat apa yang saya inginkan. Saya berharap dapat menyambung pengajian dalam jurusan komunikasi di Universiti Teknologi MARA (UiTM) selepas ini," katanya.

Sumber : Berita Harian

Belanda larang guna telefon pintar di bilik darjah mulai 1 Januari 2024

by

 


Penggunaan telefon bimbit, tablet dan jam tangan pintar akan diharamkan di sebahagian besar bilik darjah di Belanda mulai 1 Januari tahun depan.

Keputusan kerajaan itu dibuat dalam usaha mengurangkan gangguan ketika sesi pembelajaran.

Peranti hanya dibenarkan jika ia diperlukan secara khusus, contohnya ketika kelas berkaitan kemahiran digital atas sebab perubatan atau untuk individu kurang upaya.

"Walaupun telefon pintar berkait rapat dengan kehidupan kita, ia tidak sewajarnya ada dalam bilik darjah.

"Pelajar perlu menumpukan perhatian dan diberi peluang untuk belajar dengan baik. Kajian saintifik menunjukkan, telefon pintar menyebabkan gangguan dalam proses pembelajaran.

"Kita perlu pastikan pelajar terhindar daripada gangguan sedemikian," kata Menteri Pendidikan, Robbert Dijkgraaf dalam satu kenyataan.

Larangan itu dibuat selepas mendapat persetujuan bersama antara kementerian, sekolah dan organisasi berkaitan.

"Sekolah boleh menggunakam pendekatan sendiri bagi melaksanakan larangan itu.

"Ia akan disusuli peraturan dari segi peruntukan undang-undang jika langkah diambil tidak membuahkan hasil menjelang musim panas 2024," katanya.

Sumber : REUTERS


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90