Sektor perbankan Malaysia termasuk bank tempatan, yang terbabit dalam
pemberian pinjaman tanpa cagaran kepada syarikat Genting Hong Kong,
secara keseluruhannya amat berdaya tahan dalam mengharungi pelbagai
cabaran operasi perniagaan semasa.⠀
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz,
menegaskan keputusan bank berkenaan ketika meluluskan pinjaman tanpa
cagaran kepada syarikat terbabit bukan sesuatu yang luar biasa.
Beliau berkata, kelulusan itu diberi berdasarkan kesanggupan bank
mengambil risiko pada peringkat dalaman (risk appetite), penilaian
kredit yang memenuhi kriteria dan kelulusan berdasarkan proses tadbir
urus dalaman.
"Pinjaman kepada Genting Hong Kong diluluskan sebelum pandemik
COVID-19 melanda dan sebagai sebuah syarikat dalam sektor libur, ia
antara yang terkesan berikutan industri pelancongan yang terjejas di
seluruh dunia. Ini sudah tentu sesuatu yang tidak dapat dijangka semasa
pinjaman diluluskan.
"Selain itu, harus diingat, bukan saja bank tempatan yang memberikan
pinjaman tanpa cagaran kepada Genting Hong Kong, malah turut membabitkan
bank dari luar negara dan semua bank ini juga turut perlu mematuhi
garis panduan dalaman serta garis panduan bank pusat masing-masing
sebelum memberikan pinjaman.
"Adakah Datuk Seri (Anwar) ingin memberi gambaran semua bank dari
luar negara ini juga bertindak sembrono dalam memberikan pinjaman kepada
Genting Hong Kong?" kata Tengku Zafrul menerusi kenyataan di
Facebooknya, hari ini.
Beliau mengulas mengenai isu tiga bank Malaysia yang dinamakan
sebagai antara ketua pemiutang tidak bercagar Genting Hong Kong, dengan
gabungan pendedahan sebanyak AS$600 juta (RM2.5 bilion).
Susulan isu itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak
Tengku Zafrul menjelaskan mengapa tiga bank itu dibenar memberi
pinjaman tanpa jaminan kepada Genting Hong Kong yang diisytihar muflis,
baru-baru ini.
Tengku Zafrul menjelaskan, keputusan bank berkenaan memberi pinjaman
tanpa cagaran itu bukan ditentukan oleh Menteri Kewangan, Kementerian
Kewangan atau pemegang saham, sebaliknya keputusan pengurusan bank itu
sendiri.
"Setiap bank mempunyai proses usaha wajar dan penilaian kredit oleh
Jawatankuasa Kredit masing-masing bagi menilai keupayaan bakal peminjam
untuk membayar balik pinjaman mereka.
"Dari segi dasar, Bank Negara Malaysia (BNM) sudah menetapkan garis
panduan yang perlu dipatuhi dan selagi bank ini mematuhi garis panduan
yang ditetapkan, mereka bebas untuk memberi pinjaman mengikut budi
bicara mereka," katanya.
Mengenai peranan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Kumpulan Wang
Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebagai
pemegang saham dalam bank-bank berkenaan, Tengku Zafrul berkata,
pemegang saham tidak terbabit dalam operasi harian sesuatu syarikat dan
ia diserahkan kepada pengurusan bank itu sendiri.
"Jika Menteri Kewangan atau pemegang saham campur tangan dalam urusan
harian bank di Malaysia, jelas sekali ini tidak betul dari sudut tadbir
urus.
"Saya yakin, sebagai seorang bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar
juga sedia maklum mengenai perbezaan antara peranan ahli lembaga
pengarah dan pengurusan syarikat," katanya.
Tengku Zafrul memaklumkan, sektor perbankan Malaysia sudah mengalami
banyak penambahbaikan berbanding 1998 iaitu ketika Krisis Kewangan Asia
berlaku dan Anwar ketika itu ialah Menteri Kewangan.
Katanya, nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) pada Disember 1998
melonjak ke 18.6 peratus dan nisbah perlindungan kerugian pinjaman (LLC)
hanya pada tahap 55.9 peratus iaitu bagi setiap RM1 yang dipinjamkan,
hanya hampir 60 sen diperuntukkan bagi menangani kemungkinan pinjaman
tidak dibayar.⠀
"Sejak krisis itu, sistem perbankan Malaysia diperkukuh dan kini
lebih berdaya tahan. Hari ini, nisbah pinjaman tidak berbayar hanya 1.4
peratus, termasuk peruntukan NPL separa bagi pinjaman oleh Genting Hong
Kong.
"LLC pula kekal kuat pada tahap 131.5 peratus berbanding 55.9 peratus
pada 1998. Jadi, sistem kewangan Malaysia kekal kukuh dan tidak timbul
sebarang masalah kecairan di pasaran," katanya.
Sumber dari Berita Harian