Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Rekod. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rekod. Papar semua catatan

Budak IQ tinggi mula membaca ketika 2 tahun

by

 


Seorang budak lelaki berusia empat tahun di Britain menjadi antara ahli termuda sebuah pertubuhan untuk golongan yang mempunyai tahap kecerdasan otak yang (IQ) tinggi, Mensa, selepas dia belajar membaca pada usia dua tahun, lapor akhbar Daily Mirror.

Teddy Hobbs, mula membaca semasa perintah berkurung akibat pandemik Covid-19 dilaksanakan. Ketika baru berusia satu tahun dan enam bulan, dia boleh membaca buku dengan lancar di hadapan ibu bapanya, Beth dan Will.

Selain itu, Teddy turut belajar mengira sehingga angka 100 dalam enam bahasa termasuk Mandarin, Wales, Perancis, Sepanyol dan Jerman.

“Dia sentiasa berminat dengan buku. Justeru, kami memastikan dia mempunyai banyak buku,” kata Beth.

Beth dan Will selain itu turut keliru dengan bakat anak mereka yang menyebabkan mereka menghubungi perunding kesihatan untuk meminta penilaian dibuat ke atas Teddy.

Pasangan itu kemudian mendekati Mensa untuk mendapatkan bimbingan dan ketika berusia tiga tahun dan tujuh bulan, Teddy menjalani penilaian dalam talian selama sejam bersama pakar.

Pakar kemudian mendedahkan bahawa Teddy mendapat 99.5 peratus untuk ujian IQ dan dia kemudian diterima menjadi ahli Mensa.

Sebelum ini, seorang budak lelaki dari Malaysia berusia tiga tahun yang tinggal di Britain, Haryz Nadzim Mohd Hilmy Naim menjadi anggota termuda Mensa selepas mendapat 142 markah dalam ujian Stanford Binet iaitu penilaian keupayaan kognitif untuk mengukur IQ pada tahun 2020. –

Sumber : AGENSI


Kolam paling dalam di dunia dibuka di Poland

by

 

Sebuah kolam selaman sedalam 45.5 meter lengkap dengan gua bawah air dan runtuhan Maya buatan manusia,  dibuka dekat ibu kota Poland, Warsaw kelmarin.

Kolam selaman tersebut adalah yang paling dalam di dunia

Kolam yang diberi nama Deepspot itu turut menempat sebuah bangkai kapal kecil untuk diterokai penyelam skuba.

Kolam itu mempunyai kapasiti 8,000 kubik meter air atau lebih 20 kali ganda lebih banyak daripada kolam renang biasa.

Tidak seperti kolam renang biasa, Deepspot dibuka walaupun Poland menguatkuasakan sekatan koronavirus. Ini kerana kompleks itu menawarkan kursus selaman dan bukannya kolam renang awam.

“Ini ialah kolam paling dalam di dunia,” kata pengarah Deepspot, Michal Braszczynski, 47 kepada agensi berita AFP.

Pemegang rekod dunia Guinness sekarang adalah sebuah kolam di Montegrotto Terme, Itali yang mempunyai kedalaman 42 meter. Kolam di Poland itu masih menunggu pengesahan rasmi Guinness.

Kolam Blue Abyss yang dirancang untuk dibuka di Britain pada tahun 2021 pula akan memiliki kedalaman 50 meter. 

– AFP

Biskut beras terbesar di dunia

by

TOKYO - Sekumpulan peminat snek di Jepun semalam mendakwa mereka mencatat rekod untuk biskut beras terbesar di dunia.

Memiliki diameter 160 sentimeter, biskut itu jauh lebih besar daripada biskut beras biasa yang dikenali sebagai senbei.

Senbei yang diperbuat daripada tepung beras, dimakan dengan meluas di Jepun.

Michihiro Yamaguchi yang merupakan seorang ahli Jawatankuasa Biskut Beras Terbesar Dunia di bandar Kioroshi, timur Tokyo menganggap ia adalah detik kejayaan buat mereka.

"Kami berjaya melakukannya. Inilah dendam yang amat manis," katanya selepas gagal dalam percubaan untuk berada dalam buku rekod dunia pada bulan lalu selepas biskut yang dihasilkan itu kurang tiga sentimeter daripada sasaran mereka.

- AFP

Lebih 20,000 pelajar KAFA Terengganu khatam Al-Quran serentak

by

KUALA TERENGGANU: Terengganu pada Sabtu mencipta rekod baru dalam Malaysia Book of Records apabila seramai 20,133 pelajar Kelas Fardu Ain (Kafa) negeri ini khatam Al-Quran.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri Khazan Che Mat berkata jumlah itu meningkat berbanding tahun lepas seramai 16,929 orang.

"Untuk majlis kali ini, kita mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records," katanya kepada pemberita selepas Majlis Khatam Al-Quran & Anugerah Kecemerlangan Ujian Penilaian(UPKK) pelajar kelas Al-Quran & Fardu Ain (Kafa)negeri Terengganu 2011.

Khazan berkata Melaka merupakan negeri kedua paling ramai pelajar Kafa membuat khatam al-Quran iaitu 15,033 orang.

Beliau berkata majlis khatam Al-Quran di Terengganu hari ini dibuat serentak di seluruh negeri iaitu Kuala Terengganu seramai 6,325, Besut (3,149), Setiu (2,311), Marang (2,744), Hulu Terengganu (1,910), Dungun (2,024) dan Kemaman (1,670).

Sebahagian besar daripada pelajar berkenaan menggunakan Al-Quran digital menerusi e-book yang diagihkan kerajaan, katanya.

Khazan berkata pada masa akan datang kerajaan negeri mensasarkan seramai 30,000 pelajar khatam Al-Quran setiap tahun.

Beliau berkata adalah menjadi harapan kerajaan semua pelajar sekolah menengah di Terengganu pada masa akan datang mempunyai asas pembacaan Al-Quran dengan baik.

"Kita juga mengharapkan pelajar-pelajar itu mewakili negeri dalam pertandingan tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada masa depan," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Pejabat Majlis Agama Islam daerah Marang yang baru siap dibina dengan nilai hampir RM3 juta akan digunakan awal tahun depan.

- BERNAMA

Buku berpusing di hujung jari 30 minit

by

KATHMANDU - Seorang pemuda berusia 22 tahun, Thaneshwar Guragai mencipta rekod dunia apabila memusingkan senaskhah buku Guinness World Records dengan menggunakan jarinya selama 30 minit.

Dia mencipta aksi itu di sini semalam sekali gus mengatasi pemegang rekod, Aaaron Sass dari Amerika Syarikat yang membuat catatan masa selama 6.51 minit.

Pemuda itu memang terkenal dalam kalangan penduduk Nepal sebelum ini kerana dia pernah mencipta rekod melantunkan bola keranjang sebanyak 444 kali dengan tangannya dalam tempoh satu minit pada tahun lalu.

- Agensi

Harjit Singh Diiktiraf Penyampai Berita Paling Lama

by

Penyampai berita veteran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Harjit Singh Hullon, 57, diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai penyampai berita paling lama berkhidmat.

Harjit berkata, profesion itu sudah menjadi impiannya sejak sekian lama.

"Sejak kali pertama saya mendengar radio, saya tahu yang saya juga mahu suara saya didengar oleh orang lain," katanya yang mendapat pengiktirafan itu pada Isnin selepas 38 tahun berkhidmat dengan RTM.

Menariknya tentang penganugerahan itu, Harjit tidak memecahkan rekod yang sedia ada, sebaliknya mencipta satu rekod baru dalam bidang penyiaran.

"Ia (pengiktirafan) bukan rekod yang mudah untuk dipecahkan selepas ini," katanya yang mula berkhidmat di stesen itu sebagai penyampai radio pada tahun 1972.

Harjit kemudiannya meninggalkan negara untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan tetapi kembali ke Malaysia selepas menyedari bahawa bidang penyiaran adalah impian sebenarnya.

"Saya tidak mendapat status 'Dr' (doktor) di hadapan nama, sebaliknya berjaya mendapat status 'DJ'," katanya secara berseloroh.

Harjit mula menjadi penyampai berita setahun selepas itu dan terus bertahan sehingga hari ini. Penyampai berita dwi-bahasa itu juga pernah memenangi Anugerah Khas Kementerian Penerangan pada majlis Anugerah Angkasapuri pada 2006.

Bakal bersara tahun ini, bapa kepada dua anak itu bagaimanapun tidak merancang untuk berehat.

"Saya ingin mencurahkan ilmu dan sumbangan kepada syarikat (RTM) yang telah membuka ruang kepada saya untuk berada di kedudukan hari ini," katanya yang merancang untuk menjadi mentor kepada penyampai-penyampai baru RTM.

Sebagai wajah yang cukup sinonim dengan stesen itu dan merupakan satu-satunya lelaki berbangsa Sikh dengan imej serban, Harjit berkata, rakan-rakannya pernah bergurau tentang akronim 'RTM' yang turut membawa maksud 'Regular Turbanned Man'.

Harjit turut mengakui, dia pernah menolak beberapa tawaran dari stesen televisyen pesaing ekoran kesetiaannya bersama RTM.

"Jika diimbas semula, saya tahu yang saya telah membuat keputusan yang betul untuk kekal bersama RTM," katanya.

- MSTAR

Remaja genius matematik pecah rekod kuiz televisyen

by

MANCHESTER - Seorang remaja genius matematik, Jack Hurst memecah rekod tertinggi program kuiz menduga akal, Countdownt yang disiarkan di sebuah televisyen Britain pada Jumaat lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia yang merupakan pelajar Universiti Cambridge berusia 18 tahun dari Desford, Leicestershire itu memperoleh markah terkumpul 946 mata iaitu yang tertinggi sepanjang 28 tahun program berkenaan disiarkan oleh stesen televisyen Channel 4 selepas seminggu dia menyertainya.

"Dia telah menonton program itu selama tujuh tahun dan berlatih di laman web Countdown. Justeru, kami tahu dia akan berjaya," kata abangnya, Josh, 22.

Kuiz itu memerlukan peserta mencipta perkataan daripada huruf yang dipilih.

Hurst menewaskan saintis penyelidikan Jonathan Welti dengan memberikan jawapan potatoes, petunias and idolise.

Pada bulan depan, Hurst akan memasuki pusingan akhir kuiz itu bersama tujuh peserta lain yang memperoleh markah tertinggi sepanjang tahun ini untuk merebut hadiah utama yang merupakan satu set 29 buah kamus bersalut emas.

Rekod sebelum ini dibuat oleh pelajar ekonomi Universiti Warwick, Andrew Hulme pada Julai, 2009 dengan markah cuma 930 mata.

- Agensi

UUM Buat Logo 1Malaysia Terbesar Dengan Syiling 10 Sen

by
SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini mencatat nama dalam Malaysia Book of Records apabila penuntut-penuntutnya berjaya menghasilkan logo 1Malaysia terbesar yang menggunakan duit syiling 10 sen.

Projek menghasilkan logo berkenaan yang dibuat dengan kerjasama Jabatan Penerangan itu dimulakan pada Jumaat dan berakhir petang ini.

Logo yang dibina di padang kawad Pasukan Pegawai Simpanan (Palapes) UUM di sini sepanjang 25 meter dan lebar 13 meter itu dihasilkan oleh 1,920 penuntut pelbagai kaum, hasil perancangan Persatuan Mahasiswa Ekonomi (Ecosa) Kolej Sastera dan Sains UUM.

Presiden Ecosa Mohd Hafiza Ahmad berkata idea untuk menghasilkan logo itu terhasil daripada perbincangan yang dibuat oleh kembarnya, Mohd Hafizi Ahmad yang merupakan Pengarah Projek Festival Mesra Ekonomi dan Malaysia Book Of Records.

"Perbincangan ini dibuat kerana kami mahu mencari dana untuk persatuan ekonomi bagi menjayakan projek-projek akan datang. Pada asalnya kami hendak hasilkan logo yang mempunyai panjang 50 meter dan lebar 20 meter tetapi memandangkan kosnya terlalu tinggi, jadi kami cuba hasilkan seperti apa yang terhasil hari ini," katanya kepada pemberita selepas menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records di sini hari ini.

Mohd Hafiza berkata kos yang diperlukan untuk menghasilkan logo itu ialah kira-kira RM20,000 dan mereka telah mengumpulkan 670,000 keping duit syiling 10 sen bagi tujuan itu.

"Daripada jumlah itu, kami telah menggunakan 622,185 keping syiling 10 sen dan nilainya ialah RM62,218.50," katanya.

Beliau berkata duit itu telah disumbangkan oleh penuntut UUM, kakitangan UUM, orang perseorangan dan tajaan luar.

"Kami juga mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Jabatan Penerangan bagi menjayakan program ini," katanya.

Kembarnya, Mohd Hafizi berkata mereka akan meleraikan semua duit syiling itu dan menyumbang kepada badan-badan kebajikan selain menyimpannya dalam tabung persatuan untuk digunakan bagi projek-projek akan datang.

Sementara itu, Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum yang menyempurnakan program itu berkata program seperti itu dapat mengumpul penuntut berbilang kaum dan budaya bekerjasama bagi menghasilkan logo itu.

"Pelajar-pelajar jangan mudah terikut-ikut dengan pengaruh yang ada lebih-lebih lagi media baru seperti 'Facebook' kerana ia akan memudaratkannegara jika disalahguna," katanya.

Beliau berkata penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) perlu mengelakkan diri daripada menyebarkan fitnah dan mengeluarkan perkara yang direka-reka bagi mengelakkan berlakunya perpecahan kaum.

"Jadi mereka perlu faham dan tahu konsep gagasan 1Malaysia supaya perkara-perkara yang mengancam keamanan negara tidak berlaku," katanya.

Terdahulu, beliau meletakkan syiling terakhir pada logo 1Malaysia itu menandakan sempurnanya bentuk logo itu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Abdullah Morad dan Naib Canselor UUM Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Sijil pengiktirafan Malaysia Book Of Records telah disampaikan oleh Salang kepada Mohd Hafizi.

- BERNAMA

Taip 26 perkataan dalam masa 25 saat

by

LONDON - Seorang wanita Britain, Melissa Thompson, 27, memecahkan rekod dunia apabila dia berjaya menaip mesej yang mengandungi 26 patah perkataan dalam tempoh 25 saat, lapor sebuah akhbar semalam.

Catatan itu adalah 9.6 saat lebih pantas berbanding rekod yang pernah dicatatkan sebelum ini.

Namun, rekod itu masih diteliti sebelum disahkan oleh pihak Guinness.

Dia yang berasal dari Salford, Greater Manchester menggunakan telefon pintar Samsung Galaxy S.

Pada Mac lalu, mesej yang sama turut dihantar dengan menggunakan telefon pintar Samsung Galaxy S oleh Franklin Page dari Amerika Syarikat (AS).

Namun, masa yang dicatatkan cuma 35.54 saat.

Rekod itu dicipta oleh Thompson dengan menggunakan papan kekunci khas telefon pintar tersebut.

Ia membolehkan pengguna menaip teks tanpa memerlukan jari diangkat daripada skrin.

"Adalah sangat mengejutkan apabila saya mendapat tahu saya merupakan penaip teks terpantas di dunia," kata Thompson.

- Agensi

DBKL cipta rekod Piala Dunia (Skrin video terbesar di luar bangunan)

by

Perlawanan akhir kejohanan bola sepak Piala Dunia antara Belanda dan Sepanyol membuka laluan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mencatat nama dalam Malaysia Book of Records.

DBKL mendapat tempat dalam buku itu kerana memasang skrin video terbesar di luar bangunan iaitu di Dataran Merdeka, yang menarik kira-kira 60,000 penonton menyaksikan perlawanan berkenaan pada 12 Julai.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail semalam menerima sijil bagi 'Skrin Video LED Di Luar Bangunan Terbesar Untuk Menyaksikan Perlawanan Piala Dunia Di Malaysia' daripada pengasas Malaysia Book of Records, Datuk Danny Ooi pada satu majlis di sini.

"Acara ini menghimpunkan semua bangsa di Malaysia dan menjadi memori indah bagi kami," kata Ahmad Fuad kepada pemberita.

- KOSMO!

8,000 Warga TUDM Catat Rekod Derma Darah

by

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini menganjurkan program derma darah dengan menyasarkan lebih 8,000 penderma daripada kalangan pegawai dan anggotanya sekaligus bakal dicatatkan dalam The Malaysia Book of Records.

Program selama sembilan jam itu yang bermula 8 pagi diadakan serentak di 11 pangkalan TUDM seluruh negara sempena menyambut ulang tahun TUDM ke-52 pada 1 Jun ini.

Panglima TUDM Jeneral Datuk Seri Rodzali Daud berkata program itu bertujuan membantu Tabung Darah Negara bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan stok darah di seluruh negara.

"Menyedari masalah kekurangan Tabung Darah serta rasa prihatin dan percaya bahawa kebajikan masyarakat adalah tanggungjawab sosial yang perlu dipikul bersama, TUDM merasakan program ini merupakan satu platform untuk kami berbakti kepada masyarakat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen derma darah di Pangkalan Udara Kuala Lumpur.

Rodzali berkata program derma darah itu merupakan amalan tradisi dalam sambutan ulang tahun TUDM yang diadakan setiap tahun, namun program kali ini merupakan yang terbesar dan julung kali dianjurkan kerana melibatkan semua pangkalan utama TUDM.

"Jumlah warga TUDM yang telah mendaftar untuk menderma darah adalah 8,000 orang dan ia merupakan jumlah penderma terbanyak bagi sesebuah organisasi setakat ini. Antara pangkalan utama yang terlibat adalah merangkumi pangkalan Udara Kuala Lumpur, Butterworth, Kuching dan Labuan," katanya.

Laskar Udara Kanan Ahmad Hazani Roslam, yang sudah tujuh kali menderma darah darah sejak mula bekhidmat dengan TUDM tujuh tahun lepas, berkata ia adalah tanggungjawab sosial beliau kepada masyarakat.

- BERNAMA

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90