Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Sastera. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sastera. Papar semua catatan

Kerja penulisan manuskrip Melayu

by
Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA
Kurator Muzium Kesenian Islam Malaysia

SEBELUM menulis sesebuah manuskrip Melayu, beberapa persiapan perlu dilakukan bagi memastikan kerja-kerja penulisan dapat dijalankan dengan lancar dan disiapkan dalam masa yang ditetapkan.

Sebagai seorang penulis, terutamanya pada zaman dahulu yang menggunakan tulisan tangan, mereka perlu memastikan bahawa tulisan yang akan digunakan adalah yang terbaik, jelas dan mudah dibaca.

Rasulullah SAW pernah berpesan kepada Muawiyah ibnu Abi Sufyan (680 Masihi) yang merupakan salah seorang daripada sekretari baginda seperti maksud berikut: "Seseorang penulis yang menulis wahyu, mesti menjaga bekas dakwatnya, potong mata pen dengan kemas, tulis huruf ba dengan betul, tinggalkan ruang kosong untuk 'gigi' huruf sin, jangan menghitamkan bahagian dalam kepala mim dan untuk menulis nama Allah dengan baik, dengan memanjangkan perkataan al-Rahman dan menyempurnakan tulisan dengan perkataan al-Rahim." (Al-Zabidi, 1771 Masihi).

Alat tulis

Setelah semua alat tulis lengkap dan dalam keadaan yang baik, kertas yang hendak ditulis juga perlu disediakan dengan baik seperti garis untuk teks tulisan, garis tepi, garis atas dan bawah.

Garisan-garisan ini akan membantu penulis mengehadkan penulisan dalam setiap muka surat dan menjadikan setiap muka surat mempunyai pembahagian teks yang seimbang.

Seperti manuskrip Arab, kebanyakan manuskrip Melayu juga mempunyai ruang tepi, kanan dan kiri teks yang agak lebar. Ini bagi memudahkan kerja penjilidan dan juga catatan nota dilakukan oleh pembaca.

Pada muka surat pertama, terdapat manuskrip yang mempunyai ruang atas yang lebih besar berbanding dengan muka surat yang lain.

Bahagian ini selalunya ditinggalkan untuk kerja-kerja hiasan yang akan dijalankan selepas semua teks selesai ditulis.

Pembuka bicara

Perkataan Bismillah bukan sahaja digunakan untuk pembuka bicara secara lisan namun ia juga digunakan sebagai pembuka kepada penulisan.

Perkataan ini digunakan di hampir kesemua manuskrip Melayu sama ada salinan, terjemahan atau karya tempatan.

Dalam satu hadis Rasulullah SAW ada menyebut tentang "Sesiapa yang menulis Bismillah dengan baik akan diampun Allah SWT dosa-dosanya."

Terdapat beberapa gaya penulisan Bismillah yang digunakan di dalam manuskrip Melayu. Antara gaya yang digunakan ialah dengan memanjangkan huruf ba atau terdapat juga gaya yang memanjangkan huruf sin sebelum mim.

Kajian tentang gaya penulisan Bismillah di dalam manuskrip Melayu telah dijalankan dan dibentangkan oleh Annabel Teh Gallop pada 2004 dalam sebuah seminar manuskrip Melayu di Kuala Lumpur.

Bagi badan teks manuskrip Melayu dua jenis warna pen yang menjadi pilihan ialah hitam dan merah. Hitam merupakan pilihan utama manakala merah akan digunakan sewaktu menulis sebuah manuskrip yang mempunyai dua bahasa iaitu Bahasa Arab dan Bahasa Melayu atau Bahasa Bugis dan sebagainya.

Teknik ini biasanya digunakan di dalam manuskrip terjemahan. Bahasa Arab akan ditulis di dalam dakwat merah bagi memudahkan pembaca mengenal teks asal sebelum terjemahan dan keterangan yang diberikan oleh penulis Melayu yang ditulis dalam dakwat hitam.

Terdapat juga penulis yang menggunakan dakwat merah untuk perkataan pertama bagi menandakan ayat baru.

Perkataan terakhir

Bahagian penutup juga mempunyai gaya penulisan tersendiri di mana teks pada muka surat tersebut akan menjadi semakin tirus sehingga ke perkataan terakhir bagi manuskrip tersebut iaitu tamat.

Jika terdapat nama penulis, tempat, masa dan tarikh di bahagian ini ia dinamakan kolofon. Terdapat juga manuskrip Melayu yang tidak mempunyai kolofon.

- UTUSAN

Buku : Pantun untuk Majlis dan Acara Rasmi

by

Buku : Pantun untuk Majlis dan Acara Rasmi

Pantun adalah satu keindahan seni bahasa berirama. Maksud yang ingin kita sampaikan mudah difahami sambil dinikmati keindahan bahasanya. Walaupun kandungannya kadang kala berupa kritikan tajam dan pedas, namun maksud yang ingin disampaikan dapat diterima dan menjadi lunak pada pendengaran kita.

Buku ini menghimpunkan 900 pantun yang indah bagi menghiasi majlis dan acara rasmi supaya lebih berseri-seri. Pantun dalam buku ini dapat disesuaikan untuk pelbagai majlis dan boleh diolah semula mengikut kesesuaian majlis. Pantun ini dicipta khusus untuk membolehkannya digunakan dalam majlis-majlis kontemporari. Dendangan pantun dalam satu-satu majlis memuliakan lagi majlis-majlis yang sudah sedia mulia.



ISI KANDUNGAN:



Bahagian 1: Pengenalan



Bab 1: Keindahan Pantun

Bab 2: Tip Berpantun

Bab 3: Bahasa Berirama dan Pantun

Bab 4: Seni Membawa Majlis

Bab 5: Peraturan Memilih Pakaian

Bab 6: Fungsi Skrip Pembawa Majlis

Bab 7: Persediaan Sebelum Majlis

Bab 8: Peraturan Sosiobudaya dan Sosiolinguistik Melayu

Bab 9: Penggunaan Kata Ganti Nama Melayu

Bab 10: Majlis Persandingan Melayu



Bahagian 2: Pantun



Pantun 1: Pantun Kad Undangan



Pantun Kad Undangan Majlis Hari Jadi Sultan

Pantun Kad Undangan Majlis Perkahwinan

Pantun Kad Undangan Majlis Perpisahan

Pantun Kad Undangan Majlis Penyampaian Anugerah

Pantun Kad Undangan Majlis Menyampaikan Hadiah Pemenang Sayembara Sastera

Pantun Kad Undangan Majlis Perasmian Seminar Ilmu

Pantun Kad Undangan Majlis Perasmian Masjid Baru

Pantun Kad Undangan Majlis Perasmian Bangunan Baru

Pantun Kad Undangan Majlis Perasmian Jambatan Baru

Pantun Kad Undangan Majlis Perasmian Pameran Kraftangan

Pantun Kad Undangan Majlis Perasmian Pameran Muzium

Pantun Kad Undangan Majlis Perasmian Pameran Lukisan

Pantun Kad Undangan Majlis Perasmian Masjid Baru

Pantun Kad Undangan Majlis Perasmian Bangunan Perpustakaan Desa

Pantun Kad Undangan Majlis Perasmian Bangunan Baru

Pantun Kad Undangan Majlis Perasmian Jambatan Baru



Pantun 2: Pantun Pembukaan dan Penutup Majlis



Pantun Memulakan Majlis

Pantun Berterima Kasih kepada Penganjur atas Undangan

Pantun Berterima Kasih kepada Vip yang Sudi Datang Merasmikan Majlis

Pantun Berterima Kasih kepada Pihak yang Memberi Derma dan Sumbangan

Pantun Berterima Kasih kepada Pihak yang Sudi Menaja Projek Sosial

Pantun Memulakan Jamuan Makan

Pantun Menyampaikan Cenderamata

Pantun Menutup Majlis



Pantun 3: Pantun Menyambut Tetamu


Pantun Menyambut Orang Kenamaan

Pantun Menyambut Ketibaan Tetamu Terhormat Wanita

Pantun Menyambut Menteri dan Timbalan Menteri

Pantun Menyambut Menteri Besar dan Ketua Menteri

Pantun Menyambut Wakil Rakyat dan Senator

Pantun Menyambut Pengarah Jabatan

Pantun Menyambut Mufti, Kadi, dan Imam Besar

Pantun Menyambut Duta-Duta Asing

Pantun Menyambut Tetamu Istimewa yang Diraikan

Pantun Menyambut Wakil kepada Orang Kenamaan



Pantun 4: Pantun Raja-Raja Melayu



Pantun Menyambut Raja-Raja

Pantun Memuji Kemuliaan Status Raja-Raja Melayu

Pantun Memuji Keturunan Raja-Raja yang Terkenal

Pantun Memuji Daulat Raja

Pantun Memuji Raja Sebagai Payung Negeri

Pantun Memuji Raja Sebagai Penaung Agama

Pantun Memuji Raja Sebagai Penjaga Adat Melayu

Pantun Memuji Raja yang Berhati Mulia

Pantun Memuji Raja yang Berhati Rakyat

Pantun Memuji Keadilan Raja

Pantun Memuji Permaisuri

Pantun Memuji Kejelitaan Permaisuri

Pantun Memuji Kejelitaan Puteri-Puteri Raja

Pantun Memuji Kesudian Raja Turun Berjumpa Rakyat

Pantun Memuji Raja yang Pemurah dan Baik Hati



Pantun 5: Pantun Bertunang



Pantun Pembuka Kata

Pantun Pihak Lelaki

Pantun Pihak Perempuan



Pantun 6: Pantun Majlis Perkahwinan dan Persandingan dalam Dewan



Pantun Memulakan Majlis

Pantun Mempersilakan Pengantin Naik Pelamin

Pantun Memulakan Acara Doa

Pantun Mempersilakan Pengantin Turun dari Pelamin

Pantun Mempersilakan Tetamu Makan

Pantun Memulakan Acara Memotong Kek

Pantun Ibu dan Bapa Pengantin Menyampaikan Ucapan

Pantun Mengakhiri Majlis



Pantun 7: Pantun Majlis Perkahwinan di Rumah



Pantun Memulakan Majlis

Pantun Acara Silat

Pantun Makan Beradab

Pantun Bersyukur Dapat Menantu

Pantun Memuji-Muji Menantu

Pantun Memuji-Muji Tuah Menjadi Mertua



Pantun 8: Pantun Majlis Keluarga



Pantun Kad Undangan Majlis Ulang Tahun Perkahwinan

Pantun Kad Undangan Majlis Hari Jadi

Pantun Hari Jadi Anak

Pantun Majlis Khatam Quran

Pantun Majlis Meraikan Masuk Rumah Baru

Pantun Majlis Hari Keluarga Besar

Pantun Aqiqah dan Potong Jambul



Pantun 9: Pantun Hari-Hari Kebesaran



Pantun Hari Kebangsaan

Pantun Hari Raya

Pantun Rumah Terbuka Hari Raya

Pantun Tahun Baru Cina

Pantun Hari Krismas

Pantun Hari Deepavali

Pantun Hari Gawai

Pantun Hari Peladang



Pantun 10: Pantun Majlis Keraian Pejabat



Pantun Meraikan VIP Bersara

Pantun Meraikan VIP Bertukar Tempat Kerja

Pantun Meraikan VIP Baru yang Mengambil Jawatan Kosong

Pantun Meraikan Staf yang Akan Bersara

Pantun Meraikan Staf yang Dinaikkan Pangkat

Pantun Meraikan Staf yang Pergi Berkursus ke Luar Negara

Pantun Meraikan Staf yang Dihantar Bertugas di Luar Negara

Pantun Meraikan Staf yang akan Naik Haji

Pantun Meraikan Staf-Staf yang Baru Naik Pelamin



Pantun 11: Pantun Jabatan Kerajaan



Pantun Meraikan Penerima Bintang Kehormat dan Panggilan 'Datuk', 'Tan Sri' dan Lain-Lain

Pantun Menyambut Kepulangan Misi Negara

Pantun Misi Perdagangan

Pantun Menyambut Misi Negara Asing

Pantun Majlis Pecah Tanah

Pantun Majlis Menandatangani MOU Kerjasama

Pantun Majlis Penyerahan Kenderaan Kementerian Kesihatan (Ambulans)

Pantun Majlis Penyerahan Kenderaan Polis (Kereta Ronda, Motosikal Trafik)

Pantun Meraikan Pasukan Sukarelawan yang Dihantar Bertugas Membantu Mangsa Bencana di Luar Negara



Pantun 12: Pantun Korporat



Pantun Majlis Menandatangani Penyerahan Kontrak

Pantun Majlis Menyampaikan Surat Pelantikan Agen dan Wakil-Wakil Syarikat

Pantun Majlis Penyerahan Kenderaan Bisnes (Bas Pelancongan, Teksi, Lori)

Pantun Hari Keluarga Korporat



Pantun 13: Pantun Angkatan Bersenjata



Pantun Hari Tentera

Pantun Hari Tentera Udara

Pantun Hari Tentera Laut

Pantun Hari Tentera Darat

Pantun Menyambut Panglima Angkatan Tentera

Pantun Meraikan Anggota Tentera yang Dihantar Bertugas Sebagai Tentera Pengaman di Zon Bahaya

Pantun Menyambut Wira Negara Pulang dari Misi

Pantun Majlis Penyerahan Pesawat Angkatan Tentera Udara (Jet Pejuang, Helikopter)

Pantun Majlis Penyerahan Kapal Tentera Laut (Kapal Selam, Kapal Peronda)

Pantun Majlis Penyerahan Kenderaan Angkatan Tentera Darat (Kereta Kebal, Lori Tentera)



Pantun 14: Pantun Pasukan Pakaian Seragam (Penjawat Awam)



Pantun Hari Polis

Pantun Hari Kastam

Pantun Hari Bomba

Pantun Hari Jururawat

Pantun Hari Imigresen



Pantun 15: Pantun Majlis Sekolah



Pantun Hari Guru

Pantun Memuji Guru Cemerlang

Pantun Majlis Penyampaian Hadiah Murid Cemerlang

Pantun Memujuk Pelajar yang Tidak Menerima Hadiah Kecemerlangan

Pantun Meraikan Pelajar-Pelajar yang Dihantar Belajar di Luar Negara

Pantun Memulakan Acara Sukan Tahunan

Pantun Menutup Sukan Tahunan

Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PIBG

Majlis Menyampaikan Watikah Pelantikan Pelajar Sebagai Kapten Sekolah, Pasukan Pengawas dan Lain-Lain Jawatan Penting



Pantun 16: Pantun Nasihat Kepada Pelajar



Tema: Gunakan Pusat Sumber

Tema: Jaga kebersihan sekolah

Tema: Belajar Rajin-Rajin

Tema: Masuk Kelab dan Persatuan

Tema: Jangan Bising

Tema: Hormati Guru

Tema: Jaga Harta Sekolah

Tema: Jangan Bermusuh

Tema: Tolong Kawan Belajar

Tema: Sikat Rambut

Tema: Jaga Tutur Kata kepada Kawan-Kawan

Tema: Rajin Membaca Buku

Tema: Aktif Bersukan

Tema: Jangan Dengki Sesama Kawan

Tema: Jangan Mencuri

Tema: Jangan Datang Lambat

Tema: Dengar Nasihat Guru

Tema: Jangan Malu Bertanya

Tema: Berkongsi Nota

Tema: Jangan Rosakkan Buku yang Dipinjam

Tema: Jaga Kebersihan Tandas

Tema: Letakkan Basikal Elok-Elok

Tema: Jangan Naik Motosikal Laju-Laju

Tema: Jangan Belajar Saat-Saat Terakhir

Tema: Jangan Merokok

Tema: Jangan Curi Makanan di Kantin

Tema: Jangan Kedekut

Tema: Jangan Berbohong

Tema: Dengar Nasihat Ibu Bapa

Tema: Hormat kepada Pengawas

Tema: Jaga Akhlak

Tema: Jaga Batas Pergaulan antara Pelajar Lelaki dan Perempuan

Tema: Jangan Lawan Cakap Guru

Tema: Buat Semua Kerja Sekolah

Tema: Jaga Disiplin Waktu

Tema: Sentiasa Berbaris

Tema: Jangan Buli Pelajar Lain

Tema: Jangan Conteng Dinding

Tema: Digalakkan Memakai Tudung

Tema: Beri Kerjasama kepada Guru



Pantun 17: Pantun Antarabangsa



Pantun Hari Wanita Antarabangsa

Pantun Hari Kanak-Kanak
Pantun Hari Kesihatan Sedunia

Pantun Hari Alam Sekitar

Pantun Hari Ibu



Pantun 18: Pantun Pertandingan



Pantun Pertandingan Lumba Kereta F1

Pantun Pertandingan Tarik Tali

Pantun Pertandingan Memasak

Pantun Pertandingan Kucing

Pantun Pertandingan Merbuk

Pantun Pertandingan Wau

Pantun Pertandingan Gasing

Pantun Pertandingan Silat

Pantun Pertandingan Melukis

Pantun Pertandingan Membaca Sajak

Pantun Pertandingan Berpantun

Pantun Pertandingan Membaca Syair

Pantun Pertandingan Nasyid

Pantun Pertandingan Syarahan

Pantun Pertandingan Bahas

Pantun Pertandingan Kukur Kelapa

Pantun Pertandingan Pakaian Beragam

Pantun Pertandingan Merentas Desa

Pantun Pertandingan Rumah Cantik

Pantun Pertandingan Membuat Kek

Pantun Pertandingan Perahu Dayung

Pantun Pertandingan Wajah Seiras Ibu dan Anak

Pantun Pertandingan Kembar Wajah Seiras

Pantun Pertandingan Bayi Comel

Pantun Pertandingan Gubahan Bunga

Pantun Pertandingan Menganyam Ketupat
Pantun Pertandingan Buah-Buahan

Pantun Pertandingan Lembu dan Kambing

Pantun Pertandingan Kampung Indah

Pantun Pertandingan Pakaian Muslimah

Pantun Pertandingan Kuih Tradisional

Pantun Pertandingan Kraftangan

Pantun Pertandingan Mengait Benang



Pantun 19: Pantun Kempen



Pantun Majlis Pelancaran Kempen Kebersihan

Pantun Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya

Pantun Majlis Pelancaran Kempen Membaca

Pantun Majlis Pelancaran Kempen Penyusuan Ibu

Pantun Majlis Pelancaran Kempen Penjagaan Alam Sekitar

Pantun Majlis Pelancaran Kempen Mendaftarkan Anak Kurang Upaya

Pantun Majlis Pelancaran Kempen Pendaftaran Undi

Pantun Majlis Pelancaran Kempen Kibarkan Bendera

Pantun Majlis Pelancaran Kempen Cintai Sungai

Pantun Majlis Pelancaran Kempen Belilah Barangan Tempatan

Pantun Majlis Pelancaran Kempen Jimat Cermat

Pantun Majlis Pelancaran Kempen Bersenam

Pantun Majlis Pelancaran Kempen Kurangkan Makan Gula

Pantun Majlis Pelancaran Kempen Buku Hijau

Pantun Majlis Pelancaran Kempen Anti Denggi

Pantun Majlis Pelancaran Kempen Kitar Semula

Pantun Majlis Pelancaran Kempen Anti Dadah



Pantun 20: Pantun Sukan



Pantun Sukan Perlawanan Persahabatan

Pantun Sukan Orang Kurang Upaya

Pantun Sukan Warga Emas

Pantun Sukan Air

Pantun Sukan Regata

Pantun Sukan Kampung

Pantun Sukan Kalah Mati

Pantun Sukaneka

Pantun Menyambut Ahli Sukan yang Pulang Membawa Kemenangan

Pantun Meraikan Pasukan Sukan yang Menang Perlawanan Persahabatan dengan Pasukan Organisasi Lain



Pantun 21: Pantun Motivasi



Pantun Jangan Mudah Mengaku Kalah

Pantun Jangan Mudah Putus Asa

Pantun Jangan Mudah Patah Semangat

Pantun Jangan Lari dari Masalah

Pantun Jangan Malu Mencuba

Pantun Jangan Takut Gagal

Pantun Jangan Menyerah kepada Nasib

Pantun Cabar-Mencabar



Pantun 22: Pantun Mengenang Budi



Pantun Terima Kasih kepada Doktor yang Merawat

Pantun Terima Kasih kepada Jururawat yang Menjaga

Pantun Terima Kasih kepada Rakan Sekerja yang Banyak Membantu

Pantun Terima Kasih kepada Guru yang Mendidik Anak Sehingga Lulus Peperiksaan dengan Cemerlang

Pantun Terima Kasih kepada Ketua yang Banyak Memberi Tunjuk Ajar

Pantun Terima Kasih kepada Pemberi Bantuan Semasa Susah

Pantun Terima Kasih kepada Pemberi Nasihat yang Baik

Pantun Terima Kasih kepada yang Mendoakan



Pantun 23: Pantun Nasihat



47 Pantun Nasihat


Buku ini boleh diperolehi secara online di : http://www.bookcafe.com.my/en/teknikal-and-profesional/pantun-untuk-majlis-dan-acara-rasmi-hard-cover-en.html

Penulis Novel Rosmizah menulis ketika pagi buta

by

MENITI jadual seharian penulis novel Tujuh Hari Mencintaiku, berjaga untuk meluahkan karyanya sewaktu ramai sedang diulit mimpi mungkin membuatkan orang lain mengeluh namun ia perkara biasa baginya.

Ketika hening pagi hari itulah idea mencurah-curah keluar dari mindanya membuatkan dia berjaga pada pukul 2 pagi dan ralit menulis hingga ke subuh.

Itulah permulaan jadual hariannya ketika dalam misi menyelesaikan setiap novelnya sehingga sanggup tidur satu atau dua jam sahaja kerana perlu bangun menguruskan keluarga serta ke pejabat di siang hari.

"Mungkin cara penulisan saya sedikit berbeza dengan penulis lain yang sanggup mengambil masa setahun atau lebih untuk menyiapkan sebuah novel kerana saya akan tetapkan tarikh akhir menyiapkannya.

"Contohnya saya beri masa tiga bulan untuk menulis membuatkan saya perlu berdisiplin dan memberi sepenuh komitmen dalam penghasilan karya saya itu walaupun perlu berjaga di awal pagi.

"Saya ada menulis di siang hari iaitu ketika di syarikat penerbitan saya, SR Publication tetapi selalunya idea lebih banyak datang ketika waktu malam," ceritanya yang bakal melancarkan buku terbarunya, Takdir Itu Milik Aku pada 28 April ini di Dewan Kenanga, Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.

Sambung Rosmizah, diari sehariannya lebih berkisar tentang aktiviti di pejabatnya yang kini mempunyai enam orang penulis. Dia sendiri akan menyemak manuskrip yang dihantar dan menyunting selain memerah idea untuk setiap bahan terbarunya.

Dia juga turut turun padang ke syarikat percetakan serta ke kedai buku bagi memeriksa stok novel keluaran syarikatnya dan memerhati carta buku popular di sana.

Namun, walau sesibuk manapun aktiviti hariannya, dia pasti akan cuba mencuri masa untuk diri sendiri dan suami, Mazlan Zainol Abidin serta dua anak lelakinya.

"Sekarang ini saya suka membaca buku 1 hari 1 Resipi oleh Chef Hanieliza kerana dapat menambahkan lagi menu untuk dicuba memandangkan saya juga suka memasak," ujarnya yang gemar memasak kuah asam pedas.

Menulis kerana mimpiMerungkai kisah pembabitan Rosmizah ke dalam dunia penulisan, ujarnya, dia tidak pernah terbayang terjebak dengan profesion tersebut kerana selesa dengan kerjayanya sebagai peguam sejak 15 tahun lalu.

Semuanya bermula dengan mimpi yang dialaminya selama tiga hari berturut-turut sekitar 2008 yang boleh dikatakan menghantuinya kerana ingatannya terhadap mimpi bersiri itu sangat jelas.

Dia bukan watak utama mimpi itu. Dalam mimpi tersebut, Rosmizah menyaksikan penderitaan seorang perempuan melalui kehidupan penuh onak duri malah sehingga didera dengan teruk kerana sifatnya yang baik hati.

Rosmizah akhirnya memilih untuk mengabadikan mimpinya itu ke dalam bentuk novel dan tidak disangka-sangka mendapat sambutan yang hangat.

"Saya tak tahu kenapa saya alami mimpi sedemikian. Mungkin kerana kes-kes mahkamah yang saya pernah uruskan sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi membentuk satu jalan cerita tersendiri.

"Ia adalah permulaannya dan sejak itu, novel-novel tulisan saya dihasilkan atas permintaan pembaca yang sering berhubung melalui surat dan e-mel," ujarnya yang turut menulis novel Cinta Kau Dan Aku dan Lafazkan Kalimah Cinta.

Menurutnya, idea penulisannya yang sering bertemakan kasih sayang, kekeluargaan dan persahabatan sering diperolehi daripada kisah masyarakat sekeliling membuatkan pembaca berasa seolah-olah mereka antara watak novelnya.

Dari peguam ke penulisApabila mula menguruskan syarikat penerbitan, ibu kepada Mohd. Haziq, 10, dan Mohd. Haiqal, 11, ini mengakui dia memperlahankan langkahnya sebagai seorang peguam.

Akuinya, dia tidak menyesal memilih untuk beralih ke bidang penulisan pula kerana berasa seronok melakukan rutin lain daripada yang telah dia lalui sejak 15 tahun lalu.

"Kalau dulu saya berdepan dengan orang berbeza, berunding dengan hakim dan peguam, kini perasaan sungguh lain dan menarik kerana saya berjumpa dengan peminat yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia," ujarnya.

- MINGGUAN MALAYSIA
 

Konserto Terakhir ganti Interlok

by

Novel Konserto Terakhir karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain akan menggantikan novel Interlok sebagai teks Komponen Sastera (KOMSAS) bagi pelajar Tingkatan Lima mulai tahun 2012.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud, berkata penggantian teks KOMSAS bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia itu membabitkan pelajar bagi Zon Dua meliputi Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Selangor.
“Novel Konserto Terakhir telah melalui proses penyaringan dan pemilihan ditetapkan serta sesuai digunakan sebagai teks KOMSAS berdasarkan nilai dan mutu karya dihasilkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Pada 14 Disember lalu, Kabinet memutuskan bahawa penggunaan novel Interlok, yang juga karya Abdullah, sebagai teks KOMSAS Tingkatan Lima tidak akan diteruskan mulai tahun depan.

Keputusan itu dibuat berikutan timbulnya rasa kurang senang sesetengah masyarakat selain bagi mengelak mana-mana pihak daripada terus mempolemikkannya.

Novel Konserto Terakhir, yang pernah dijadikan teks KOMSAS Tingkatan Lima di Zon Dua dari tahun 2000 hingga 2010, berkisar mengenai perjuangan hidup dan kegigihan seorang anak muda dari kampung yang berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan dan akhirnya berjaya menjadi seorang seniman besar negara.

– BERNAMA

Novel Interlok Akhirnya Digugurkan Sebagai Teks Sastera Tingkatan 5

by
MELAKA: Novel kontroversi 'Interlok' karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain akhirnya akan dikeluarkan sebagai teks wajib sastera tingkatan lima mulai tahun depan.

Perkara ini diumumkan oleh Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam di sini semalam.

Beliau yang juga menteri sumber manusia menjelaskan, keputusan tersebut dibuat oleh Jemaah Menteri dalam mesyuarat mingguannya baru-baru ini.

Menurut beliau lagi, keputusan penuh mengenai perkara itu akan diumumkan oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Novel tersebut yang mencetuskan kontroversi kerana mengandungi beberapa perkataan yang tidak disenangi oleh kaum India telah melalui proses pengeditan semula dan naskhah baru telah pun diterbitkan untuk kegunaan sekolah.

- MSTAR

Novel Interlok patut dibaca - Baradan

by

Kontroversi novel Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain dapat dielakkan sekiranya konteks penggunaan perkataan 'paria' dalam novel berkenaan dijelaskan dengan tepat kepada umum.

Bekas wartawan akhbar The Star, K. Baradan berkata, novel itu patut dibaca, tidak diharamkan atau dibakar hanya kerana beberapa pemimpin India merasa terhina dengan penggunaan sistem kasta 'paria' dalam novel berkenaan.

"Bantahan yang dilakukan pemimpin berkenaan kerana perkataan paria digunakan merujuk orang India yang diambil dari bahagian India Selatan.

"Dalam novel tersebut, ia merujuk kebanyakannya (orang India) dari eselon-eselon rendah sistem kasta agama Hindu yang bekerja membersihkan hutan-hutan dan memulakan ladang getah yang menguntungkan penjajah," katanya dalam ruangan pendapat terbitan akhbar The Star, di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai polemik Interlok yang diangkat sebagai salah sebuah novel untuk komponen sastera dalam Bahasa Malaysia Tingkatan Lima bermula tahun ini.

Penggunaan novel itu mendapat bantahan kerana dikatakan bersikap perkauman sehingga mendorong ia dibakar oleh kira-kira 100 penduduk berketurunan India di hadapan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang (MPK), kelmarin.

Menurut Baradan, menerusi novel tersebut, umum akan mengetahui bagaimana masyarakat pelbagai budaya di negara ini wujud dengan permulaan masyarakat kolonial serta ketibaan orang India dan buruh-buruh Cina di negara ini.

"Novel ini patut dibaca oleh semua rakyat Malaysia, bukan hanya digunakan dalam kesusasteraan Tingkatan Lima sahaja. Ia memberitahu cerita mengenai Malaysia dan bagaimana negara dilahirkan melalui mata tiga watak utama iaitu Seman, Chin Huat dan Maniam," katanya.

Katanya, Interlok adalah satu bacaan wajib untuk semua rakyat Malaysia kerana ia mengingatkan tentang kepelbagaian kaum di negara ini.

"Ia bukan bertujuan menghina mana-mana kaum di negara ini baik Melayu, Cina mahupun India tetapi ia menceritakan perkara yang berlaku 150 tahun yang lalu," jelasnya.

Baradan berkata, penulisan Abdullah jujur dan ikhlas dalam memberi gambaran lengkap mengenai pengalaman bagaimana orang India dan lain-lain tiba di negara ini.

"Beliau tidak seharusnya dipersalahkan," katanya.

Beliau turut mengulas mengenai langkah Kementerian Pelajaran menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji perenggan berkenaan perkataan 'paria' di dalam novel berkenaan.

"Perkataan itu tidak perlu dibuang kerana dalam konteks tersebut ada menerangkan walaupun orang India telah melalui hidup yang sukar, mereka mencari keselesaan bersama dengan berkongsi kesengsaraan, harapan, satu bahasa, asal usul (India Selatan) dan juga kasta.

"Ia bukannya menjadi satu isu untuk digunakan sebagai bacaan kesusasteraan Tingkatan Lima sekiranya konteks ini diterangkan dengan betul kepada pelajar, guru dan orang ramai yang membaca, termasuk ahli-ahli politik India," ujarnya.

- UTUSAN

Zam - Menulis itu perjuangan

by

Bermula sebagai seorang pemberita sambilan (stringer) untuk Utusan Melayu di Alor Setar, Kedah pada tahun 1959, seorang lelaki yang penuh naluri ingin tahu kini ‘terperangkap’ dalam minat yang tiada penghujungnya-menulis.

Tan Sri Zainuddin Maidin, 71, mengakui bahawa institusi persuratkhabaran telah mencetuskan banyak peluang hebat dalam hidup beliau.

Beliau malah menyifatkan Utuan Melayu sebagai ‘universiti’nya berikutan banyak selok-belok dunia kewartawanan diperolehinya sepanjang tempoh bertugas.

Sejurus diserap masuk sebagai pemberita tetap Utusan Melayu pada tahun 1961, jerih payah beliau mengejar laporan berita selama 20 tahun melayakkan beliau mendaki tangga-tangga jawatan penting dalam syarikat media itu.

Dalam 10 tahun terakhirnya berkhidmat di Utusan dan sebelum bergiat aktif dalam kancah politik, bekas penuntut Maktab Mahmud, Alor Setar itu matang memainkan peranan sebagai pihak yang meniup azam kecintaan kepada negara melalui penulisan.

Apabila pengalaman itu beransur-ansur menjadi darah daging, ternyata langkah bertatih Zainuddin sudah menjadi larian pantas dalam menyampaikan mesej patriotisme.

Dari jawatan ketua pemberita hinggalah ke kerusi Ketua Pengarang dan akhirnya Ahli Lembaga Pengarah Utusan Melayu (M) Berhad, beliau yang mesra dengan panggilan Zam amat bersyukur kerana dapat menjalankan tugas bersama kumpulan wartawan yang begitu komited terhadap fitrah kerjaya tersebut.

“Ketika itu, teman-teman kerja yang berlainan bangsa amat seronok menjadi wartawan. Ia satu tugas yang mulia dan bertanggungjawab. Semua bekerja sepenuh jiwa, tanpa mengira kekurangan kemudahan komunikasi pada waktu itu,” ujar beliau yang pernah menjadi koresponden Utusan di London pada tahun 1972 hingga 1975.

Zainuddin amat berterima kasih pada barisan ketua pemberita yang pernah menjadi mentornya. Antara yang disebutkan ialah Tan Sri Melan Abdullah, Othman Wok (pernah menyandang jawatan menteri kabinet Singapura), Tan Sri Mazlan Nordin dan Rosedin Yaakob.

“Melan orangnya patriotik, Othman gigih bekerja dan sentiasa mengetahui perkembangan semasa manakala Rosedin sangat prihatin. Mazlan pula saya anggap seperti mahaguru saya,” imbas beliau.

Menulis sejarah

“Wartawan adalah saksi bagi setiap peristiwa. Sekiranya berlaku sesuatu kejadian yang besar dan boleh dijadikan rujukan sejarah pada masa hadapan, maka wartawan perlu merekodkannya dengan betul. Kesilapan laporan perlu dielakkan kerana wartawan ialah sumber yang boleh dipercayai.

”Sebab itulah saya berharap agar golongan wartawan pada hari ini tidak mensia-siakan kepentingan buku nota dan amalan mencatatkan tarikh, waktu dan urutan peristiwa dengan tepat,” pesan Zainuddin yang turut menyentuh mengenai pemilihan gambar sesuai bagi menjelaskan duduk perkara atau sesuatu kejadian.

Amalan itulah yang antara lain menjadi pegangan Zainuddin ketika beliau menyempurnakan buku berjudul Tun Razak: Jejak Bertapak Seorang Patriot terbitan Utusan Publications and Distributors. Perjalanan hidup dan kisah pentadbiran mantan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein, didokumentasi melalui kesaksian Zainuddin dalam banyak peristiwa mengaitkan figura politik itu.

Anak Kota Kuala Muda, Kedah itu telah bersama-sama Abdul Razak ke segala ceruk bandar dan desa ketika kempen pembangunan luar bandar rancak dijalankan pada tahun 1960-an dan awal 1970-an. Begitu juga ketika negara dilanda bimbang dan cemas gara-gara sentimen Konfrontasi Indonesia, rusuhan kaum di Singapura serta tragedi berdarah 13 Mei 1969.

“Orang tidak boleh mempertikaikan kandungan buku itu kerana saya banyak kali berpeluang berada bersama Tun Razak,” ulas Zainuddin yang menyifatkan naskhah tersebut sebagai buku yang memberi kepuasan buatnya.

Malah, ketika Abdul Razak menghembuskan nafas terakhir di London pada tahun 1976, Zainuddin jugalah yang melaporkan untuk akhbar Utusan Melayu lantaran ketika itu beliau bertugas sebagai wakil di kota popular Eropah itu.

Karya kompilasi

Daripada melapor berita, seseorang wartawan sebenarnya mengumpulkan lembaran sejarah. Begitulah antara maksud kepuasan menulis bagi Zainuddin.

Beliau yang meletakkan namanya dalam kutubkhanah negara melalui penerbitan buku sulung Yang Pertama dan Terakhir, kemudian Yang Terbaik Daripada Awang Selamat: Koleksi Pilihan 1987-1992, Mahathir Di Sebalik Tabir hinggalah kepada Wira Tak Didendang, percaya bahawa sejarah perlu ditulis oleh mereka yang menyaksikan sejarah itu sendiri.

“Bukan saya meragui segolongan sejarawan yang menulis semula sesuatu kejadian. Tetapi saya berpendapat, jika seorang wartawan sendiri yang melalui peristiwa dan menulis buku tentang sejarah, maka perincian maklumat tidak akan tercicir. Mereka ialah sebahagian daripada proses penemuan maklumat tersebut,” jelas Zainuddin.

Beliau memberi contoh buku berjudul Men In White, iaitu kisah jatuh bangun para pemimpin parti pemerintah Singapura. Buku itu mengambil masa tujuh tahun untuk disiapkan oleh tiga wartawan kanan akhbar Straits Times, iaitu Sonny Yap, Leong Weng Kam dan Richard Lim.

Coretan Awang Selamat yang menjadi identiti Zainuddin antara tahun 1987 dan 1992 mungkin tiada kemunculan buat kali kedua di dada akhbar. Namun, mereka yang setia pada coretan Zainuddin, tentu maklum akan kolum Hari Itu Sudah Berlalu yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia setiap Ahad.

“Saya menerima panggilan telefon, e-mel dan sistem pesanan ringkas (SMS) yang meminta agar kolum saya itu dibukukan. Permintaan itu juga datang daripada generasi muda, termasuklah para wartawan,” terang mantan Menteri Penerangan itu.

Jika isu masyarakat dan perkembangan negara menjadi fokus Awang Selamat, kompilasi terbitan Utusan Publications & Distributors (UP&D) dengan judul Masa Itu Telah Berlalu pula menumpukan pada penceritaan mengenai susah payah dunia kewartawanan sejak Utusan Melayu bermula di Singapura.

“Ia adalah penceritaan semula kisah penubuhan Utusan Melayu. Pembaca didedahkan pada kisah di sebalik laporan atau berita yang dibaca dalam akhbar,” jelas Zainudin yang memperuntukkan dua jam sehari sejak beberapa bulan lalu untuk menghimpunkan material termasuk gambar-gambar lama.

Beliau berharap agar setiap episod penulisan tersebut dapat dijadikan rujukan oleh para ahli akademik dan seterusnya membantu mereka membuat kajian mendalam terhadap isu-isu berkaitan.

“Semua bentuk penulisan saya adalah perjuangan untuk membentuk pemikiran di sebalik setiap kejadian yang besar,” kata beliau berfalsafah.

Bagi orang yang berjiwa penulis seperti Zainuddin, ternyata itulah satu-satunya kemahiran yang akan diteruskan tanpa dikekang usia, jawatan dan batas kesempatan.

Akhbar tidak relevan?

Beliau juga tidak bersetuju dengan pendapat yang menyatakan bahawa surat khabar tidak lagi relevan pada masa akan datang. Perkara itu, menurut beliau, sama seperti andaian yang mengatakan kereta api hilang fungsi kerana wujudnya pilihan mod pengangkutan yang lebih mudah dan pantas.

“Ataupun, pendapat tersebut sama seperti orang yang pernah menyatakan bahawa panggung wayang akan ‘tutup kedai’ apabila munculnya televisyen. Apa yang dilihat kini, baik perkhidmatan kereta api mahupun panggung wayang, kedua-duanya masih wujud dan terus memberi perkhidmatan kerana transformasi yang dilakukan,” kata Zainuddin.

Zainuddin percaya, akhbar masih dicari oleh pembaca kerana ia mempunyai daya kebolehpercayaan yang tinggi. Jelas beliau, berbanding sumber Internet, kandungan akhbar bukan datang sembarangan daripada suara umum yang tidak bernama.

“Penulis akhbar atau wartawan terlibat secara langsung dalam proses pengumpulan maklumat dari sumber hinggalah kepada ia disiarkan.

“Akhbar akan terus relevan. Kandungannnya perlu sering melalui proses perubahan.

- KOSMO!

Robohnya menara kasih

by
Oleh Muhd. Mansur Abdullah

AKU sendiri tidak pasti. Apa yang diinginkan emak dalam hidupnya kini. Ada suami yang berkerja tetap. Ada anak, walaupun tunggal. Dan dia sendiri punya kerjaya juga. Ada perniagaan yang nampaknya berkembang maju. Emak wanita kerjaya yang agak berjaya juga.

Suatu hari emak beritahu aku kalau hendak berniaga, kita mesti berniaga betul-betul. Bukan setakat berniaga di dalam negeri sahaja. Kita mesti berniaga dengan orang-orang luar negara sana. Kita mesti bina hubungan antarabangsa.

“Emak dengan rakan kongsi emak, Pak Cik Suki akan kembangkan perniagaan dengan Thailand, Kemboja dan Indonesia.,” jelas emakku hari itu.

“Jadi….mak kena ke sanalah berniaga?” Aku bertanya agak tolol.

“Dah tu, kalau nak ikut era globalisasi, bertaraf antarabangsa, kenalah buat begitu!” Emakku tersenyum lebar dengan megah sekali.

“Ayah pula macam mana?” aku bertanya terus.

“Ayah kamukan polis. Dia kena kerjalah macam biasa di sini. Bukankah itu yang ayah kamu mahu?” emak mencebikkan bibirnya.

“Ayah tak marahkah emak pergi sampai keluar negeri? Bersama-sama dengan Pak Cik Suki saja pula tu?” soalku semakin pelik.

“Kan perniagaan emak ini berkongsi. Pak Cik Suki kau tu yang pegang saham besar dalam syarikat emak itu. Jadi dialah yang menjadi nakhodanya. Emak hanya menurut dan mematuhinya saja!" sahut emak sambil ketawa berdekah-dekah.

Takut pula aku mendengarkan ketawa emak hari itu. Kuat dan menggila-gila benar. Seram sejuk dan meremang bulu romaku dibuatnya.

Lama aku terdiam sambil terpegun. Sebenarnya, aku bukan faham sangat selok-belok perniagaan emak. Entah perniagaan macam mana agaknya yang mereka itu kendalikan. Tetapi, tentulah hebat dan besar. Sampai hendak ke luar negeri. Fikirku pula.

Takkan emak tak boleh berniaga dengan orang Thailand, Kemboja atau Indonesia yang berada di Malaysia ini sahaja? Tak perlulah emak pergi ke Bangkok, ke Jakarta atau pun ke Phnom Penh pula? Hati kecilku bersungut penuh kebimbangan.

Kacau! Kacau sungguh fikiran aku memikirkannya. Jauh di dalam hatiku kini mula timbul suatu perasaan halus. Aku mula diserang rasa bimbang dan takut. Sejak itu, aku mula tidak suka dengan kerjaya berniaga. Aku tak hendak jadi ahli korporat dan ahli perniagaan macam emak itu. Terpaksa tumpukan sepenuh perhatian hanya kepada perniagaan sahaja dan hampir lupakan keluarga dan hal-hal yang lain!

Sanggup balik ke rumah lambat, atau jauh-jauh malam. Tinggalkan anak dan suami di rumah.

Jikalau begitu, biarlah aku cari kerja lain sahaja. Aku tak berminat untuk nak jadi jutawan! Aku tak sanggup mengambil risiko sebagaimana yang emak buat. Rupa-rupanya, ayah juga tidak sanggup ambil risiko begitu. Ayah tak setuju emak jadi wanita kerjaya. Ayah tak suka emak keluar rumah dengan bebas. Ayah tak mahu emak sewenang-wenangnya mengabaikan tugas dan tanggungjawabnya sebagai isteri.

Ayah mula mempersoalkan tindak-tanduk emak. Ayah rasa tindakan emak sudah melampau. Ayah minta emak fikirkan semula tindakannya itu. Ayah mahu emak harus sedar dengan tanggungjawabnya dalam rumah tangga.

Emak mula tidak senang dengan pandangan ayah. Dia anggap sikap ayah itu kolot! Emak terasa ayahku cuba mengongkong dan menyekat kebebasan pergerakannya.

Waktu

Akhirnya, pada suatu tengah malam, emak marah-marahkan ayah. Waktu itu emak baru sahaja pulang dari pejabatnya. Ayah menunggu kepulangan emak di ruang tengah.

“Hai, tak penatkah balik jauh-jauh malam begini?” Tanya ayah dengan lembut dan mesra.

Ayah kedengaran tenang malam itu. Tetapi emak tiba-tiba sahaja seperti tersentak bila disapa ayah. Pertanyaan ayah itu dianggap emak sebagai memperli dan menyindirnya pula? Aku kurang pasti. Tapi, kudengar emak melenting membalas teguran ayah dengan agak kasar.

“Kalau iya pun awak tu sarjan polis, berkuasa menyiasat, menyelidik, hanya di ofis sana! Jangan pula di rumah ini pun awak nak jadi spy! Siasat dan audit tentang perniagaan saya pula! Saya tak suka awak ambil tahu semua ini!” bentak emak dengan sombong.

“Takkanlah saya bertanya macam itu pun tak boleh?” pujuk ayah yang masih berlembut lagi.

“Mengapa pula sejak akhir-akhir ini sahaja awak terlampau suka berleter dan suka masuk campur dalam urusan perniagaan saya? Dulu awak sikit pun tak kisah apa yang saya nak buat.” Sindir emak.

Aku dapat merasakan pergeseran akan berlaku sebentar lagi. Emakku memang tidak senang kalau orang campur urusan perniagaannya. Tapi, aku yakin kalau ayah dicabar-cabar sangat, mungkin dia pun akan melenting juga nanti.

“Siapa kata saya dulu-dulu tak ambil kisahkan awak? Kalaulah saya benar-benar tak kisah tentang perniagaan awak tu, dari mana awak nak korek modal berniaga selama hari ini?” balas ayah bersahaja.

Ayah menjawab dengan nada lembut tetapi pedas bunyinya. Aku mula dapat mengagak dari dalam bilik tidurku, bahawa orang tuaku itu sudah mula sakit hati bunyinya.

“Ohh awak nak ungkit-ungkit ya? Awak ingat sepuluh dua puluh ribu duit awak tu besar sangatkah? Awak tahu, modal perniagaan saya sekarang dah hampir dua setengah juta tahu? Semuanya itu hasil dari pinjaman saya dari bank!”

Bukan main sombong lagi kudengar emak bersuara kepada ayah malam itu. Dia terus bersungut-sungut dan membebel sendiri.

“Memanglah tak banyak tiga puluh ribu ringgit itu Mah! Tapi kalau tak ada tiga puluh ribu dulu itu, mana boleh kamu nak mulakan perniagaan? Sepatutnya kamu bersyukur dan berterima kasih atas sokongan dan perihatin saya selama hari ini. Ini tidak, awak bukan main takbur lagi! Macam hendak menidakkan kuasa Tuhan pula nampaknya!” Seranah ayah dengan kesal bercampur marah.

Nampaknya kedua-dua mereka sudah tak ada kompromi lagi. Emakku pula, apabila ayahku buka mulut sedikit malam itu, dia akan menjawab sambil menyerang ayah semula dengan berteler-teler sekali. Sampai ayah tak dapat hendak mencelah langsung.

Kukira, inilah yang membuatkan ayahku merasa jemu dan bosan dengan sikap emakku. Apabila ayah naik bosan, emakku juga ikut bosan sama. Akhirnya, masing-masing mula mengelakkan diri daripada bertengkar dan bertelingkah begitu lagi.

Sejak malam itu aku lihat ayahku nampak merajuk benar. Dia pula yang mula balik lewat malam daripada kerjanya. Kadang-kadang tak balik langsung. Ayahku tidur di balai polis sahaja.

Retak itu aku rasa sudah semakin membesar dan menantikan belahnya sahaja. Ia akan terjadi. Entah esok! Kalau tidakpun lusa! Hati kecilku mula mengagak.

hubungan

Aku mendiamkan diri dalam bilik. Mereka kini sudah bertelagah. Nampaknya, hubungan ayah dengan emakku juga menunggu saat kehancurannya sahaja. Cuma, aku belum pasti, bila masanya sahaja.

Emakku pula sudah beberapa kali mendesak-desak ayah. Emak mula mencabar kesabaran ayah. Sesekali kelihatan ayahku tak dapat bertahan dengan kesabarannya itu.

Pada suatu malam, emak dengan lantang dan beraninya mendesak ayah, “Baik kita berpisah sahaja daripada hidup saling bercakaran seperti anjing dengan kucing begini!” Ujar emak dengan muka yang masam.

“Siapa yang memulakannya dulu?” Tanya ayah dengan tegas.

“Tak kira siapa yang memulakannya. Tapi, apa yang saya nak, penyudahnya!” Bentak emakku dengan lantang sekali.

“Saya ini Mah, dah banyak sangat bersabar selama ini. Tapi nampaknya sekali ini saya sudah tak tahan lagi,” terang ayahku secara jujur dan ikhlas.

“Jadi apa yang awak mahu? Mahu kita bercerai saja?” Ugut emak lagi sebagai mencabar keberanian ayahku. Kedengaran ayahku bersungut-sungut, sesekali. Kadang-kadang aku juga mendengar ayah merayu dan mohon timbang rasa emak untuk memikirkan soal cerai-berai itu dengan lebih adil dan saksama. Supaya tidak bertindak terburu-buru!

“Ah…sudahlah! Tak guna berbelit kata lagi. Saya dah bosan hidup dengan awak. Macam kuda kayu. Tak ada tenaga tak ada kekuatan untuk hidup langsung!” emakku mencabar ayah lagi.

Emakku memang kepala batu! Dia tetap berkeras. Apabila emak gagal mendengar ucapan keramat daripada mulut ayah sendiri, dia mula mencabar ayah terus-menerus. Emak kata ayah sudah tak berguna sesen pun kepadanya lagi. Pada emak, ayah tak berjiwa besar macam rakan kongsi perniagaannya itu. Emak sudah berani membandingkan ayah dengan Pak Cik Suki yang sudah berbini dua itu.

“Nampaknya kamu ni Mah, bukan main lagi jantannya! Mentang-mentanglah aku ni diam dan asyik bersabar sahaja, kulihat kepala akupun kamu nak pijak?”

“Awak bukannya jantan! Betina pengecut! Dayus awak kalau tak menceraikan saya!” Seranah emak dengan bengis malam itu. Ayah mengalah. Akhirnya secara terpaksa, dia melafazkan juga kata-kata keramat itu. Dengan ucapan itu, bermakna terungkailah ikatan pernikahan mereka berdua. Bagi emak, itu sahajalah yang ditunggu-tunggunya selama ini. Memang kata-kata begitu yang diinginkannya sangat-sangat!

gelisah

Malam itu aku menjadi amat gelisah sekali. Sukar bagi mataku untuk pejam dan terlena. Gambaran ngeri itu datang bertubi-tubi semasa aku dalam pembaringan itu. Aku terasa bagaikan dunia ini terbelah dua. Sebelah untuk ayah. Dan sebelah lagi untuk emakku.

Jika aku ikut dunia ayah, aku akan dapat kasih sayang sepenuhnya, kerana ayah takkan menyayangi sesiapa yang lain. Jika aku memilih dunia emak, aku terpaksa menerima sebahagian daripada kasih sayang emakku itu sahaja. Sebahagian lagi emak terpaksa berikan kepada bakal suaminya, rakan kongsi yang diagung-agungkannya sangat itu.

Peliknya, emak menolak ayah, sedangkan ayah hanya ada emak seorang bersama aku sahaja. Tetapi alangkah gilanya emak kalau memilih Pak Cik Suki yang sudah beristeri dua dan mempunyai enam orang anak. Emakku akan jadi isteri ketiganya! Sebanyak manalah kasih sayang yang dapat diberikan oleh Pak Cik Suki itu lagi pada emak nanti? Satu perlapan atau satu persepuluh sahaja agaknya?

Aku geleng kepala memikirkan kebodohan emak itu. Sekarang, aku mulai sedar, sejak pemergian emakku, ayah sering sahaja bermenung dan memencilkan diri. Dia lebih senang bersendirian. Aku nampak ayah selalu sahaja kelihatan murung. Hatinya tentu sahaja rusuh.

Sekarang, orang tuaku itu sudah tidak banyak lagi bercakap-cakap. Dengan aku pun dia tidak mahu banyak lagi berbual-bual kosong. Dia asyik cuba mengelak sahaja. Apa yang jelas, sejak kebelakangan ini, ayah mudah sangat cepat naik darah. Dia marah tidak tentu fasal. Aku kasihan, dan harus memahami situasi dan perasaannya.

Kini, aku dalam keadaan serba salah. Aku sudah mula tidak tahu siapakah diriku ini sebenarnya. Aku terasa seolah-olah dunia di sekelilingku ini menjadi amat sunyi dan sepi. Aku buat seperti ayah, menyendiri untuk mendapatkan ketenangan baru. Aku lebih senang jika tidak sesiapa pun yang mengerti isi hatiku ini. Biarlah! Biarlah aku begini. Aku sedar bahawa nasibku memang tak menjadi.

Sesekali kuingat barangkali ini yang sudah ditetapkan Allah Taala. Jika begitu, aku pasrah dan menerimanya dengan reda. Aku terpaksa hidup dengan belaian kasih sayang dari seorang ayah sahaja.

Tapi, ayahku bagaimana pula? Sanggupkah dia bersendirian selamanya? Dia sudah lebih dua belas tahun bersama emakku. Tiba-tiba perasaan nakalku menyelinap ke dalam rongga otakku. Bagaimana kalau ayahku terpaksa mencari ganti pula? Kini aku baru rasa betul-betul bingung! Merah padam rasa aku menahan rasa takutku itu. Berkerut-kerut dahiku dibuatnya. Aku jadi serba tak kena. Aku tak mahu emak tiri. Hati kecilku berkata dengan jujur dan ikhlas.

Aku teringat cerita-cerita dalam filem klasik Melayu. Banyak cerita dan peristiwa yang negatif terjadi antara ibu dan anak tiri. Pendeknya, setiap cerita itu menggambarkan tentang bengis, sombong dan jahatnya perangai ibu tiri itu. Aku ingat bagaimana penyiksaan demi penyiksaan yang dilakukan oleh setiap ibu tiri itu terhadap anak tiri mereka.

Apakah aku juga akan begitu nanti? Aku tak dapat menjawab persoalan batinku itu. Namun peganganku tetap kukuh dan tak berganjak. Aku tak sanggup! Aku tak rela! Memang aku tak mahu beribu tiri. Noktah! Aku tak

mahu gadis atau wanita mana sekali pun merampas ayah dari tanganku. Biarlah orang kata aku selfish, oportunis, tamak, tak mengapa. Gasaklah! Aku tak peduli lagi.

Orang nak kata apapun, katalah. Aku sedikitpun takkan marah. Aku sudah menutup pintu hatiku kedap-kedap! Tak mahu memikirkannya buat kali kedua. Cukuplah sekali, aku sudah serik! Mataku yang lemah itu perlahan-lahan terkatub akhirnya!

Aku terlelap juga.

- MINGGUAN MALAYSIA

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90