Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Seks. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Seks. Papar semua catatan

96 Web Produk Seks Ditutup

by
Kira-kira 96 laman web tempatan menjual pelbagai produk perangsang seks dan pelangsing tubuh haram `gulung tikar’ apabila Bahagian Penguatkuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (BPF KKM) dibantu polis antarabangsa (Interpol) menyekat semua laman web itu baru-baru ini.

Semua laman web itu dikesan melakukan penipuan apabila menjual produk tidak mendapat kelulusan KKM dan didapati mengandungi racun berjadual kepada pengguna internet di negara ini.

Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (BPF KKM), Mazlan Ismail, berkata, semua laman web itu berjaya dijejaki hasil operasi bersama 100 negara lain dalam memerangi penjualan ubat-ubatan haram melalui internet sejak 25 September lalu.

Beliau berkata, pihaknya dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat dan menutup laman web menjual produk haram itu.

“Antara produk haram yang cuba dijual adalah Vimax, Vig-Rx, Super Magic Power dan pelbagai produk lain yang dipercayai diseludup dari luar negara,” katanya.

Menurutnya, hasil maklumat diperoleh itu, pihak BPF turut melakukan siasatan terhadap 1, 260 bungkusan pos dan kurier yang disyaki dihantar pihak sindiket kepada pelanggan yang membuat pembelian melalui internet.

“Operasi bersepadu dipanggil Pangea V itu diselaraskan oleh Interpol bertujuan menyekat aktiviti penjualan ubat-ubatan haram, palsu atau tidak sah di seluruh dunia.

“Aktiviti sindiket itu dianggap berbahaya berikutan pihak sindiket mampu menghantar ubatan-ubatan terlarang atau beracun ini hampir di seluruh pelusuk dunia,” katanya.

Menurutnya, operasi turut membabitkan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa dan organisasi yang ada kaitan dalam perdagangan berasaskan internet.

“Satu pusat kawalan operasi diwujudkan di Ibu pejabat sekretariat Interpol di Lyon, Perancis. Sepanjang tempoh operasi bermula 25 September lalu, beberapa serbuan dilakukan di alamat premis yang dikaitkan dengan penjualan ubat melalui internet.

“Pemeriksaan turut dilakukan terhadap bungkusan yang dipercayai mengandungi ubat palsu dan tidak sah di pintu masuk negara. Di Malaysia, operasi ini membabitkan kerjasama BPF KKM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan SKMM.

“Pemeriksaan bersama dilakukan pegawai Penguatkuasa Farmasi, KDRM dan KPDNKK di pintu masuk utama serta pusat mel dan kurier di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pulau Pinang dan Subang, Selangor,” katanya.

Mazlan berkata, pihaknya turut merampas ubat anti kanser, antibiotik, ubat kurus dan produk makanan kesihatan.

- HAROAN METRO

Bahaya seks usia muda

by
Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

Sedarkah anda dalam tempoh sesingkat empat minit nyawa seseorang wanita di rantau Asia Pasifik melayang? Semuanya bahana kanser pangkal rahim yang meragut sejumlah 500,00 nyawa di seluruh dunia setiap tahun. Dalam konteks Asia , sekurang-kurangnya 266,000 disahkan menghidap kanser ini setiap tahun dengan 143, 000 kematian. Di negara-negara membangun, hanya 41 peratus daripada wanita berpeluang mendapatkan rawatan seandainya mereka ingin terus hidup. Realitinya pakar-pakar perubatan juga tidak seratus-peratusnya pasti terhadap punca sesuatu penyakit. Keadaan itu merupakan kenyataan yang memeritkan.

Di Malaysia, 10.5 peratus wanita meninggal dunia akibat kanser ini dan 80 peratus pesakit dikesan pada tahap akhir.

Kebanyakan kes kanser pangkal rahim disebabkan sejenis virus yang dikenali sebagai Human Papilloma Virus (HPV). Ia disebarkan melalui hubungan seks. Virus itu akan menyerang sel-sel pada rahim sebelum menyebabkan perubahan pada sel-sel selular dan menjadi berbahaya.

HPV ialah satu kumpulan virus yang terdiri daripada lebih 100 virus saling berhubung kait. Ia juga dipanggil papillomaviruses kerana sesetengah daripada jenis virus itu boleh mengakibatkan ketumbuhan atau papiloma yang tidak berbahaya. Misalnya, virus yang menyebabkan kutil biasa di tangan dan kaki.

Namun, ia akan menjadi berbahaya apabila ketumbuhan berlaku di bahagian tengkorak atau genital (organ pembiakan).

Sekiranya dirawat jangkitan HPV akan hilang begitu sahaja tanpa meninggalkan kesan penyakit yang berisiko meragut nyawa.

Tetapi pendedahan lama tanpa merujuk kepada doktor akan menyebabkan perubahan dalam sel. Inilah yang meningkatkan risiko wanita terdedah kepada kanser pangkal rahim.

Menjelaskan tentang kanser pangkal rahim, Pakar Runding Obstetrisian dan Ginekologi Pusat Perubatan Pakar Pantai Klang, Selangor, Dr. S. Jeevaretanam berkata, mereka yang sering bertukar pasangan seks berisiko dijangkiti HPV.

Selain itu, mereka yang melakukan hubungan seks seawal usia 16 tahun turut berisiko.

"Wanita yang mempunyai tabiat merokok, melakukan hubungan seks dengan lelaki yang sering bertukar pasangan, penggunaan kontraseptif oral dalam jangka masa yang lama dan obesiti antara berisiko dijangkiti HPV. Bagaimanapun, terdapat vaksin untuk mencegah jangkitan virus tersebut yang sekali gus mencegah serangan kanser pangkal rahim.

Ia juga dapat mencegah lebih daripada 70 peratus jangkitan virus dan kanser itu," tambahnya.

Dalam pada itu, timbul juga isu sama ada pemberian vaksin HPV secara percuma untuk pelajar berumur 13 tahun menggalakkan seks usia muda.

Kementerian Kesihatan dan badan bukan kerajaan berusaha memberi kesedaran kepada rakyat tentang kanser ini.

Vaksin HPV sebenarnya mampu bertahan sekurang-kurangnya 20 tahun sebagai pencegahan awal.

Selain mengambil vaksin yang sesuai untuk mencegah jangkitan virus HPV, pemeriksaan Pap Smear juga digalakkan supaya langkah pencegahan diambil lebih awal. Dr. S. Jeevaretanam menjelaskan, pemeriksaan Pap Smear adalah kaedah mudah melihat sebarang perubahan pada sel-sel yang dalam pangkal rahim.

"Semua wanita digalakkan melakukan ujian Pap Smear diikuti pemeriksaan pelvik. Ujian tersebut perlu dibuat dalam tempoh masa tiga tahun setelah mempunyai hubungan seksual ataupun sudah pun berusia 21 tahun.

Ujian seperti itu merupakan perlindungan terbaik bagi menghalang wujudnya virus yang mengakibatkan kanser untuk jangka masa panjang," tambahnya.

- MINGGUAN MALAYSIA

Saiz badan jejas sperma

by
Tidak subur atau mati pucuk merupakan perkataan yang digeruni oleh kebanyakan pasangan suami isteri.Ia adalah satu keadaan yang menyukarkan pasangan suami isteri menimang cahaya mata.

Adalah sukar untuk mengetahui punca utama yang menyebabkan peratusan ketidaksuburan di kalangan orang ramai.

Faktor-faktor ketidaksuburan mungkin disebabkan oleh persekitaran, genetik atau hal berkaitan dengan tabiat hidup. Antara masalah paling ketara di kalangan suami isteri yang kurang subur adalah obesiti .

Penyelidikan menunjukkan bahawa obesiti boleh mengurangkan sperma pada lelaki dan juga akan mengurangkan peratusan kejayaan dalam rawatan persenyawaan In-Vitro (IVF). Berat badan yang terlampau akan menjejaskan perembesan hormon dalam badan yang mana akan mengganggu fungsi reproduksi wanita dan lelaki.

Lelaki yang mempunyai berat badan yang tinggi, dilaporkan mempunyai jumlah sperma yang kurang berbanding dengan lelaki yang mempunyai berat badan ideal.

Bagi merungkai dilema lelaki obesiti dan hubungan seks, Pakar Sakit Tuan, Dr. Ismail Thambi memberitahu, obesiti dan kesuburan memang saling berkaitan.

Dalam hal ini, lelaki obesiti dilihat mempunyai kemampuan syahwat yang rendah.

Menurut Dr. Ismail, golongan ini sering berasa letih dan saiz perut yang besar mengganggu keselesaan ketika melakukan hubungan seks.

“Dalam hubungan seks, kemampuan seksual lelaki bersaiz besar sering menjadi persoalan. Kebiasaannya, kita sering mempertikaikan kesuburan wanita obes tetapi sebenarnya lelaki juga mengalami masalah yang sama. Ini kerana lelaki obes mempunyai sperma yang tidak aktif atau berkurangan,” ujarnya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai masalah ini, sperma yang terletak di dalam kerandut di luar buah zakar sebenarnya tidak boleh berada pada suhu 35 darjah Celsius ke atas.

Kebanyakan lelaki obes tidak menyedari, ketika mereka duduk, lemak pada bahagian perut akan bersentuh dengan kerandut zakar.

Kerandut akan menjadi panas hingga menyebabkan sperma menjadi kurang atau tidak aktif.

“Saya menasihatkan mereka supaya tidak memakai seluar atau pakaian ketat yang boleh menyebabkan suhu kerandut menjadi tinggi. Selain ubat subur, lelaki obes boleh menggunakan pek ais dan meletakkan di bahagian kerandut untuk menurunkan suhu. Ini boleh dilakukan ketika mereka duduk atau berehat. Selain itu, selepas setahun berkahwin dan mereka masih belum mempunyai zuriat, saya nasihatkan supaya segera berjumpa pakar sakit tuan. Melalui pemeriksaan tahap hormon dan sperma, kita boleh mengukur tahap sperma dan rawatan berikutnya boleh dilakukan,” ujarnya.

Selain itu, orang yang obes itu juga dinasihatkan tidak merokok, menjauhi sauna atau jangan berendam dalam air panas. tambah Dr. Ismail, aktiviti-aktiviti ini boleh meningkat suhu kerandut tadi dan menjejaskan fungsi sperma.

Laporoskopik Boleh Ubahsuai (LAGB)

* Rawatan ini ialah sejenis lingkaran silikon lembut dengan belon elastik yang boleh menggelembung apabila disuntik mengikut keperluan individu.

* Melalui kaedah ini perut tidak akan dibedah atau dirosakkan dengan stapel bahkan lingkaran boleh ditanggalkan dengan mudah tanpa merosakkan anatomi perut.

* Kelebihan LAGB ialah sifatnya yang berbalik iaitu pengikat boleh dikeluarkan dan perut kembali kepada bentuk asal.

* Ia selamat, berkesan dan mengekalkan pengurangan berat badan untuk jangka panjang.

Pintasan Gastrik

* Kaedah ini juga dikenali sebagai pintasan perut ialah kombinasi elemen sekatan dan tidak serap.

* Sekatan dilakukan dengan membina kantung perut yang kecil bersama pengalir keluar yang halus supaya mempercepatkan rasa kenyang.

* Penyerapan gizi makanan akan berkurangan melalui pintasan.

* Pengurangan serapan makanan bergantung pada ukuran bahagian yang dipintas di saluran usus.

Sleeve Gastrectomy (SG)

* Ia merupakan bahagian yang terhad daripada teknik Biliopancreatic Diversion (BPD).

* Secara teknikalnya, pembedahan ini boleh dilakukan dengan mudah dan pantas.

* Ia juga mengurangkan risiko sindrom buang (dumping) dan usus tersumbat. Namun ia tidak bersifat berbalik dan kesan jangka panjangnya tidak diketahui.

- MINGGUAN MALAYSIA

Pendidikan seks di Amerika Syarikat gagal?

by

Baru-baru ini dilaporkan bahawa penyakit kelamin makin berleluasa di Amerika Syarikat (AS). Data yang ada menunjukkan bahawa jumlah kes chlamydia dan gonorea bertambah berbanding tahun sebelumnya. Begitu juga, gadis di usia 15 - 19 tahun mendapat jangkitan chlamydia tertinggi berbanding kumpulan usia yang lain.

Nampaknya, pendekatan mereka dalam pencegahan penyakit ini yang menekankan kepada seks yang selamat, gagal menyelamatkan masyarakatnya. Apa sudah jadi dengan pendidikan seks yang diamalkan di negara tersebut? Apakah peningkatan penyakit kelamin ini merupakan bukti kegagalan pendidikan seks di negara itu?

Seperti mana yang kita maklum, di AS, pendidikan seks diajarkan di sekolah-sekolah dan ia telah pun diajarkan untuk sekian lama. Sepatutnya, maklumat yang diperolehi oleh para pelajar daripada program itu dapat menjadikan mereka lebih 'bijak' dalam hal ini dan seterusnya mengurangkan risiko dijangkiti penyakit-penyakit kelamin. Ternyata, sebaliknya yang berlaku. Di mana silapnya?

The Heritage Foundation, dalam satu kajiannya, telah membandingkan dua buah kurikulum yang diajarkan kepada remaja di sekolah-sekolah di AS iaitu pertama, Comprehensive Sex Education Curricula (CSEC) yang merupakan satu program pendidikan seks dan kedua, Authentic Abstinence Education Programme (AAEP) yakni program yang mengajak pelajar untuk menghindari seks sebelum berkahwin.

Didapati bahawa matlamat utama CSEC ialah untuk mengurangkan risiko penyakit kelamin akibat aktiviti seks yang tidak selamat. Dalam kata-kata lain, tumpuannya ialah pada alat pencegah kehamilan dan galakan untuk menggunakannya. Pendekatan "jauhkan diri dari seks", walaupun disebut, ia dianggap kurang penting. Maka, tidak hairanlah mesej "menjauhkan diri dari seks" amat lemah dan ia mengandungi sedikit atau tiada langsung mesej agar melewatkan aktiviti seksual. Justeru, ada yang melihat kurikulum ini sarat dengan nilai-nilai dan mesej-mesej permisif.

Sebaliknya, AAEP menggalakkan pelajar menjauhi seks sebelum perkahwinan. Ia mengenengahkan pendekatan yang lebih menyeluruh kepada seksualiti manusia. Ia mengaitkan seks dengan kasih sayang, keintiman dan komitmen.

"Menghindari seks" disarankan sebagai satu gaya hidup terbaik untuk remaja. Pelajar diajar bahawa memilih untuk menghindari seks ketika remaja adalah satu keputusan penting dan ganjarannya akan dirasai pada masa kini dan akan datang.

Malah, menghindari seks dilihat bukan sahaja sebagai penyelesaian kepada masalah sosial di kalangan remaja tetapi juga sebagai satu jalan yang membawa kepada rasa hormat diri dan orang lain, hubungan yang lebih sihat serta kebahagiaan dalam rumah tangga. Maka, tidak hairanlah ramai yang berpendapat program ini kaya dengan nilai serta mesej yang membina.

Kajian ini juga memasukkan penemuan kajian Zogby International mengenai sikap ibu bapa terhadap pendidikan seks di sekolah.

Didapati bahawa majoriti ibu bapa mahu anak-anak mereka diajar bahawa:

(i) mereka tidak patut terlibat dalam aktiviti seksual sehingga mereka mendirikan rumah tangga (79 peratus);

(ii) yang terbaik ialah hubungan seks yang dikaitkan dengan cinta, keintiman dan komitmen - ciri-ciri yang hanya wujud dalam sebuah ikatan perkahwinan (91 peratus);

(iii) individu yang menghindari seks sehingga berkahwin mempunyai peluang terbaik untuk mendapat kestabilan dan kebahagiaan rumah tangga (68 peratus); dan,

(iv) remaja sepatutnya menghindari seks ketika di alam persekolahan (91 peratus).

Walaupun ramai yang menganggap bahawa masyarakat AS adalah masyarakat yang permisif, namun penemuan ini membuktikan bahawa sikap mereka terhadap pendidikan seks yang diamalkan di negara itu tidak banyak bezanya dengan sikap masyarakat Timur yang lain terhadap terhadap pendidikan seks.

Dari segi perbelanjaan kerajaan AS dalam hal ini, ternyata ia bercanggah dengan apa yang dimahukan oleh ibu bapa. Kajian mendapati bahawa 85 peratus ibu bapa percaya bahawa pengajaran tentang 'menghindari seks' perlu diutamakan berbanding pengajaran mengenai alat mencegah kehamilan (seperti yang terdapat dalam program pendidikan seks).

Malangnya, kerajaan AS membelanjakan AS$4.50 untuk mempromosikan alat mencegah kehamilan bagi setiap AS$1.00 yang dibelanjakan untuk mempromosikan "menghindari seks" di kalangan remaja. Tambah pula, matlamat program pendidikan seks itu, yakni untuk mengurangkan risiko penyakit kelamin, juga gagal dicapai jika kita merujuk data terkini jangkitan tersebut seperti yang dilaporkan baru-baru ini.

Apa yang berlaku di AS ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita. Apa yang baik mungkin boleh kita amalkan dalam masyarakat kita setelah menilai kesesuaiannya. Sebaliknya, apa yang ternyata tidak mendatangkan kebaikan itu, patut kita jadikan sempadan.

Dalam keadaan di mana usaha untuk memperkenalkan pendidikan seks di sekolah-sekolah di negara ini masih belum terlaksana, ada eloknya jika kurikulum "menghindari seks sebelum berkahwin" di AS ini dikaji secara mendalam dan membandingkannya dengan kurikulum pendidikan seks yang dicadangkan itu.

Dengan cara ini, kita boleh memperbaiki kurikulum tersebut dan menawarkan sesuatu yang lebih baik untuk masyarakat kita.

- UTUSAN

Pelajar IPTS percaya tilik nasib jadi hamba seks bomoh

by
KUALA LUMPUR: Kerana ingin mengubah nasibnya, seorang pelajar perempuan sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di sini menjadi hamba seks seorang bomoh sejak April tahun ini.

Bomoh terbabit turut mengambil gambar mangsa ketika dalam keadaan bogel dengan mendakwa sebagai ritualnya untuk membantu pelajar berusia 21 tahun itu.

Bagaimanapun, pelajar jurusan nutrisi itu membuat aduan di Jabatan Aduan dan Khidmat Awam MCA selepas menyedari dirinya ditipu bomoh terbabit.

Ketua Jabatan Aduan dan Khidmat Awam MCA, Datuk Michael Chong, berkata mangsa yang dikenali sebagai Loh mengenali bomoh berusia 50 tahun itu ketika bercuti bersama rakan dan keluarganya dua tahun lalu.

"Bomoh itu menilik tapak tangan mangsa dan mendakwa mangsa akan mengalami nasib malang berpanjangan termasuk meninggal jika berkahwin atau menjadi isteri kedua jika tidak diubati.

"Mangsa yang naif dan tidak tahu apa-apa kemudian mendapatkan khidmat nasihat dan kaunseling daripada bomoh itu sehingga mula bertemu secara serius April lalu," katanya pada sidang media yang turut dihadiri mangsa di sini, semalam.

Beliau berkata, bomoh yang telah berkahwin itu mendakwa mangsa yang turut menghidap penyakit diabetes, boleh diubati jika menjadi rakan perniagaannya dan meluangkan masa bersamanya.

Chong berkata, kerana terpedaya dengan nasihat bomoh yang dikenali ramai itu, mangsa bersetuju untuk menjalinkan hubungan seks sejak April dengan suspek dalam usaha mengubah nasibnya.

"Setelah sedar yang dirinya ditipu, mangsa cuba mengambil gambar suspek namun dipukul dan ditampar sama ada di rumah suspek atau hotel di bandar raya ini," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang mengambil jurusan nutrisi itu mendakwa hasil pemeriksaan doktor, dia turut didapati dijangkiti 'penyakit berkaitan seks' sepanjang menjalin hubungan seks sebanyak 12 kali dengan suspek.

Suspek mengugut mangsa supaya tidak melaporkan kejadian itu kepada keluarganya atau berdepan dengan tindakan penyebaran gambar bogelnya di internet, katanya.

Chong berkata, bimbang akan perkara yang lebih buruk berlaku, mangsa mendapatkan khidmatnya bagi tujuan keselamatan dan pihaknya sedang meneliti bukti dan maklumat bagi membawa suspek ke muka pengadilan.

Katanya, tujuh kes membabitkan sindiket bomoh penipu direkodkan sepanjang tahun ini.

- BERNAMA

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90