Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Singapura. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Singapura. Papar semua catatan

Bank pusat Singapura rugi RM107 bilion dalam usaha bendung inflasi

by

 


Bank pusat Singapura mencatatkan kerugian bersih terbesar dalam sejarah AS$23 bilion (RM107 bilion) pada tahun kewangan terkini ketika ia mengetatkan dasar monetari bagi membendung lonjakan inflasi.

Ia turut memberikan amaran bahawa ekonomi negara itu masih berdepan ketidaktentuan.

Bank-bank pusat di seluruh dunia melaksanakan usaha untuk membendung kesan kenaikan harga susulan pencerobohan Russia ke atas Ukraine tahun lalu sehingga menjejaskan bekalan minyak dan gas.

Dalam pada bank-bank pusat lain menaikkan kadar faedah bagi membendung kenaikan itu, Singapura, yang mengimport kebanyakan daripada barangan keperluannya, mengukuhkan mata wang tempatan untuk menjadikan barangan import lebih murah.

Bagaimanapun, langkah itu menyebabkan kehilangan besar rizab asing rasminya, kata Pengarah Urusan Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Ravi Menon.

"MAS mencatatkan kerugian bersih S$30.8 bilion (bagi tahun kewangan berakhir Mac), mencerminkan kesan mengetatkan dasar monetari untuk menurunkan inflasi," katanya pada penerbitan laporan tahunan bank pusat itu.

"Ia kerugian terbesar pernah direkodkan MAS," katanya.

Beliau berkata, 70 peratus daripada kerugian itu, atau S$21.4 bilion, berpunca daripada kesan negatif mata wang daripada nilai dolar Singapura lebih tinggi.

30 peratus lagi kerugian berpunca daripada perbelanjaan faedah bersih MAS, daripada operasi pasaran wang bagi menghapuskan lebihan kecairan dalam sistem perbankan.

Menon berkata, inflasi dengan jelas sudah mencapai tahap kemuncak dan dilihat menjadi sederhana.

Inflasi teras turun mendadak daripada kemuncak 9.1 peratus pada Jun 2022 kepada 3.6 peratus pada Mei 2023, katanya.

Beliau berkata, prospek pertumbuhan bagi Singapura 'berkurangan' dan ekonomi negara itu akan beroperasi sedikit di bawah kapasiti sedia ada, pada ketika dua tonggak ekonomi utama iaitu pembuatan dan perkhidmatan kewangan, tidak berkembang sejak beberapa suku kebelakangan ini.

"Pertumbuhan kekal lemah dalam jangka terdekat," katanya.

Kementerian Perdagangan pada Mei lalu mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Singapura antara 0.5 hingga 2.5 peratus tahun ini.

Sumber dari AFP

Halimah Yacob Diisytihar Presiden Singapura Ke-8

by

Singapura bakal mempunyai presiden wanita pertama setelah Halimah Yacob diisytiharkan sebagai presiden kelapan republik itu.

Halimah, 63, dijadualkan mengangkat sumpah pada 14 September (Khamis) di Istana.

Pegawai Pilihan Raya Ng Wai Choong membuat pengisytiharan itu selepas pencalonan ditutup pada 12.00 tengah hari di pusat penamaan calon di Ibu Pejabat Persatuan Rakyat, Jalan Besar di Singapura di hadapan ratusan penyokong Halimah yang berpakaian berwarna oren.

Bekas Speaker Parlimen itu yang tiba awal di pusat itu kira-kira 11.15 pagi tadi bersama suaminya Mohamed Abdullah Alhabshee, merupakan satu-satunya calon yang layak diberi sijil kelayakan oleh Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden. Halimah diisytihar sebagai presiden selepas berjaya melalui prosiding pencalonan.

“Saya merupakan presiden untuk semua orang. Walaupun pilihan raya ini khusus, saya bukan presiden yang khusus,” katanya kepada penyokong selepas Ng yang juga Ketua Eksekutif Penguasa Pasaran Tenaga mengisytiharkan beliau sebagai presiden.

Pilihan Raya Presiden 2017 dikhususkan untuk masyarakat Melayu dalam usaha memastikan perwakilan yang berbilang kaum.

Dua lagi calon yang ingin bertanding, kedua-duanya ahli perniagaan Mohamed Salleh Marican dan Farid Khan Kaim Khan tidak berjaya memenuhi beberapa kriteria yang ditetapkan untuk sektor swasta.

Bagi sektor awam, Halimah memenuhi kriteria memegang jawatan dalam sektor itu sekurang-kurangnya tiga tahun sebagai Speaker Parlimen.

Memandangkan Halimah satu-satunya calon yang berjaya, ini bermakna 2,516,608 pengundi Singapura tidak perlu mengundi pada Hari Pengundian yang dijadualkan pada 23 September 2017.

Lelaki Sabah, Sarawak Bawah 35 Tahun Dilarang Kerja Di Singapura

by
Rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas dibenarkan bekerja di Singapura kecuali bagi lelaki yang berasal dari Sabah dan Sarawak apabila had umur kelayakan sedia ada dinaikkan kepada 35 tahun.

Peraturan baru itu diperkenalkan sebagai 'hukuman pentadbiran' selepas beberapa siri jenayah dan pergaduhan yang melibatkan masyarakat dari Sabah dan Sarawak di republik itu.

Difahamkan beberapa pembunuhan berprofil tinggi yang melibatkan masyarakt Sabah dan Sarawak di Ang Mo Kio Avenue, Kallang dan juga di Geylang pada tahun-tahun kebelakangan ini menyumbang kepada perlaksanaan peraturan ketat itu.

Pekerja baru berumur bawah 35 tahun dihalang memasuki negara berkenaan manakala kumpulan pekerja dalam lingkungan umar tersebut berhadapan masalah tidak boleh memperbaharui permit kerja selepas tamat tempoh.

Presiden Gagasan Dayak Iban Bersatu Malaysia (GAIU), Sai Malaka berkata, walaupun peraturan itu tidak dibuat secara rasmi oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) Singapura, semua permohonan permit kerja oleh lelaki yang berasal dari Sabah dan Sarawak di bawah umur 35 tahun telah ditolak secara automatik.

"Saya merasakan bahawa langkah ini adalah sangat melampau dan diskriminasi terhadap orang Sabah dan Sarawak," katanya.

Tambah Sai, masyarakat Sarawak dan Sabah merupakan pekerja mahir terutamanya dalam sektor minyak dan gas, fabrikasi dan penyelenggaraan kilang.

Katanya lagi sejak peraturan itu berkuatkuasa, ramai rakyat Sarawak dan Sabah yang tidak dibenarkan bekerja di Singapura memilih untuk bekerja di kilang-kilang di Johor, terutamanya di sekitar Pasir Gudang.

"Nasib baik kerajaan membangunkan hab minyak dan gas di Pengerang, Johor. Projek itu kini menyediakan kerja yang amat diperlukan bagi pekerja-pekerja yang menganggur," katanya kepada The Star pada Ahad.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia dan Teknologi Negeri, M.Asojan berkata beliau menyedari isu berkenaan yang menggesa agar rakyat Sabah dan Sarawak yang tidak dapat bekerja di Singapura agar mencari pekerjaan dalam pelbagai industri di Johor.

- mSTAR

PAP Kekal Berkuasa, Pembangkang Curi Perhatian

by
SINGAPURA: Parti memerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP) mengekalkan kuasanya tetapi perhatian tertumpu kepada parti pembangkang apabila mencatat keputusan terbaik dalam sejarah pilihan raya umum Singapura.

Walaupun bersaing sengit, PAP yang dipimpin Perdana Menteri Lee Hsien Loong kembali memegang tampuk kuasa dalam pilihan raya umum ke-14 dengan memenangi 81 daripada 87 kerusi Parlimen termasuk lima kerusi yang dimenangi tanpa bertanding bagi Perwakilan Kumpulan Kawasan Pilihan Raya (GRC) Tanjong Pagar.'

Ini menunjukkan penurunan berbanding 82 daripada 84 kerusi semasa pilihan raya umum pada 2006.Undi PAP menurun kepada 60 peratus berbanding 67 peratus pada pilihan raya umum lepas.

Anggota veteran Parti Pekerja (WP), Low Thia Khiang, memenangi satu GRC buat kali pertama dengan merampas lima kerusi di kawasan GRC Aljunied yang menjadi tumpuan.

WP, juga memenangi satu Kawasan Pilihan Raya Keanggotaan Tunggal (SMC) - Hougang.

PAP mendapat 1 GRC dan 11 SMC. Dengan kekalahan lima anggota GRC Aljunied membawa kepada terkeluarnya Menteri Luarnya George Yeo, anggota pasukan PAP yang bertanding di kawasan itu.

Menteri Kewangan Kedua Lim Hwee Hua, Menteri Kanan Zainul Abidin Rasheed, Cynthia Phua dan muka baru Ong Ye Kung, adalah di antara pasukan PAP yang tewas.

Perdana Menteri yang juga Setiausaha Agung PAP, bukan tandingan bagi pembangkang apabila beliau mengekalkan populariti di GRC Ang Mo Kio dengan memenangi majoriti besar ke atas Parti Reformasi (RP).

Beliau meraih 69.33 peratus undi manakala RP cuma mendapat 30.67 peratus.

Bercakap kepada pemberita selepas kejayaannya itu, Lee yang masih mendapat tempat di hati rakyat Singapura berkata : Kita telah berusaha sedaya upaya untuk berkhidmat kepada pengundi lebih daripada lima tahun kebelakangan ini. Mereka yakin dengan kami."

"Selepas pilihan raya ini, kit akan melihat keputusan itu dan menyemaknya. Ini merupakan perjalanan yang jauh dan kami tidak akan berhenti daripada bekerja lebih kuat," katanya.

Semalam, rakyat Singapura keluar mengundi dalam keadaan lancar.

Sebaik pengundian ditutup 8 malam, jumlah mereka yang mengundi berjumlah 2.058 juta iaitu 93.06 peratus daripada 2.21 juta pemilih berdaftar.

PAP memerintah Singapura sejak 1959.

- BERNAMA

Isteri Lee Kwan Yew Meninggal Dunia

by

SINGAPURA: Isteri bekas Perdana Menteri pertama Singapura, Kwa Geok Choo meninggal dunia, Sabtu.

Mendiang meninggal dunia pada pukul 5.40 petang di kediamannya di sini.

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri republik itu memberitahu, mendiang yang merupakan isteri kepada Lee Kwan Yew dan ibu kepada Perdana Menteri, Lee Hsien Loong.

Kwa, 89, menderita serangan angin ahmar pada tahun 2008 dan sejak itu terlantar serta tidak boleh bercakap.

Bersama Lee, mendiang memiliki tiga anak iaitu Hsien Loong, Lee Hsien Yang dan Lee Wei Ling.

Sepanjang pemerintahan suaminya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kanan, Kwa sering mengiringi Lee khususnya dalam lawatan diplomatik dan pertemuan dengan menteri-menteri luar asing.

Mendiang merupakan bekas pelajar Methodist Girls' School dan Universiti Cambridge selain menerima biasiswa Queen Victoria.

Di dalam biografinya, Lee berkata bertemu isterinya itu buat kali pertama pada tahun 1944 pada satu parti dan mula bercinta dua tahun kemudian.

- AFP

Tanah RM16.2 bilion ditawar kepada Malaysia

by

Gambar fail menunjukkan tanah Keretapi Tanah Melayu milik Malaysia di Tanjong Pagar, Singapura.

SINGAPURA - Sebanyak dua bidang tanah yang akan diberikan oleh Singapura kepada sebuah konsortium Malaysia bagi menyelesaikan pertelingkahan berpanjangan di antara kedua-dua buah negara adalah bernilai sehingga S$7 bilion (RM16.2 bilion), kata seorang penganalisis hartanah semalam.

Tanah-tanah itu yang terletak di sekitar Teluk Marina di Singapura ditawarkan dalam satu persetujuan pertukaran tanah.

Persetujuan berkenaan menyatakan, Malaysia pula bersetuju untuk memberikan tanah miliknya yang menempatkan laluan dan stesen kereta api di Singapura sejak era pemerintahan British sebagai tukaran tersebut.

Menurut maklumat Kementerian Pembangunan Nasional Singapura (MND), dua bidang tanah yang ditawarkan oleh negara itu kepada Malaysia adalah seluas 5.29 hektar.

Sebuah syarikat dikenali sebagai M-S Pte Ltd akan diberikan hak pemilikan tanah tersebut untuk tujuan pembangunan.

Sebanyak 60 peratus ekuiti syarikat berkenaan dipegang oleh agensi pelaburan Malaysia, Khazanah Nasional Berhad manakala 40 peratus lagi ekuiti dimiliki syarikat milik Singapura, Temasek Holdings.

Lot-lot tanah itu yang dikenali sebagai Marina Selatan dan Ophir-Rochor diwartakan sebagai 'tanah putih' oleh MND untuk digunakan bagi projek komesial bernilai tinggi seperti pembinaan hotel atau perumahan mewah.

Pengarah Eksekutif Penyelidikan dan Perundingan Firma Perundingan Hartanah Antarabangsa SLP, Nicholas Mak berkata, harga semasa tanah Ophir-Rochor adalah antara S$1.38 bilion (RM3.2 bilion) hingga S$1.9 bilion (RM4.4 bilion).

"Tanah di Teluk Marina pula bernilai antara S$3.5 bilion (RM8.1 bilion) dan S$5 bilion (RM11.6 bilion)," katanya.

Pemilikan tanah kereta api di wilayah Singapura oleh Malaysia menganggu hubungan di antara kedua-dua negara sejak beberapa dekad lalu.

Namun, kedua-dua negara tersebut berikrar untuk menyelesaikan semua isu tertunggak dan menggalakkan kerjasama jangka panjang.

- AFP

Roh pun sayangkan stesen Tanjong Pagar

by

Pagi itu, Shamsul Bahri bergerak perlahan ke platform pelepasan tren. Dua bendera merah dan hijau yang ada di dalam genggaman tangan kanannya dipegang elok-elok. Siap mengambil posisi tepat di atas platform berdekatan hujung tren, sejurus wisel ditiup, bendera merah dan hijau diangkat bersilih ganti. Gerabak kereta api yang dilepaskan seawal pukul 4.30 pagi itu bergerak perlahan-lahan dan lenyap daripada pandangan.

Tiba-tiba, hati Pengurus Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Tanjong Pagar di Singapura itu sayu. Sayu bukan kerana melihat kereta api itu yang akan menuju ke Tumpat, Kelantan.

Sebaliknya rasa sayu Shamsul, 43, bertempat. Jika semuanya berjalan mengikut perancangan, pada tahun hadapan, dia tidak mungkin lagi berdiri di platform tersebut dan melakukan rutin serupa. Perkhidmatan di Stesen Tanjong Pagar bakal berakhir apabila operasinya dipindahkan ke Terminal Pemeriksaan Keretapi Woodlands (WTCP) mulai 1 Julai 2011.

Persetujuan antara kerajaan Malaysia dan Singapura itu sekali gus menandakan berakhirnya sisa-sisa peninggalan warisan Tanah Melayu di Singapura. Dibina pada tahun 1932, ia dirasmikan oleh Gabenor Negeri Selat, Sir Cecil Clementi Smith. Stesen Tanjong Pagar yang terletak di Keppel Road itu telah menjadi periuk nasi buat bapa kepada empat orang anak itu sejak 15 tahun lalu.

Di stesen berusia hampir lapan dekad itu, satu ikatan persahabatan termeterai. Shamsul menyifatkannya lebih daripada sebuah stesen kereta api biasa, malah ia menjadi rumah kedua dan sebahagian daripada kehidupannya.

Jika dikira, hampir separuh daripada tempoh kerjayanya dihabiskan di stesen yang terletak di tengah-tengah hab pelabuhan Kota Singa itu. Lebih tepat, Stesen Tanjong Pagar merupakan tonggak pengorbanannya selama ini. Di sini, tersimpan banyak kenangan dan nilai sentimental buat Shamsul.

“Seingat saya, ketika mula-mula berpindah, saya sangat teruja. Saya berpeluang tengok negara orang. Tetapi ini bermakna saya dan isteri serta anak-anak terpaksa berjauhan. Mereka di Gemas, Negeri Sembilan,” ceritanya kepada Kosmo! sambil memberitahu anak sulungnya sempat menghabiskan pengajian sehingga darjah tiga di Singapura sebelum berhijrah ke Gemas.

Jika tugas memerlukannya bekerja pada awal pagi, ruang kecil yang terletak di belakang pejabat dan kelihatan seperti stor itu menjadi lokasi dia melelapkan mata.

Sambil melabuhkan punggungnya di atas sebuah kerusi empuk berwarna hitam, lelaki yang memulakan kerjaya dalam bidang kereta api sebagai pemotong tiket sejak tahun 1986 itu menyambung cerita.



Peralatan antik

Tidak perlu lagi mengawal operasi samboyan tren, ada tugasan lebih signifikan yang diamanahkan kepadanya. Wisel dan dua bendera itu adalah simbolik kredibiliti seorang ketua stesen untuk menerima ketibaan serta melepaskan tren setiap hari.

“Dulu, kita tidak pakai wisel untuk melepaskan tren, tetapi menggunakan loceng tembaga ini. Setiap kali dibunyikan, penumpang akan berlari pantas mencari-cari pintu tren kerana takut ketinggalan,” katanya sambil ketawa besar.

Loceng seberat tiga kilogram (kg) itu merupakan antara peralatan peninggalan British yang masih kekal di Stesen Tanjong Pagar. Sepasang lampu gerabak akhir atau tail lamp berwarna hitam juga masih dijaga dengan baik. Lampu itu berfungsi sebagai petunjuk kepada ketua stesen bahawa gerabak tersebut adalah yang terakhir.

Tumpuan jurufoto

Mempelawa penulis dan jurugambar Kosmo!, Nooradzrene Mohd. Noor ke platform ketibaan, Shamsul menyatakan menjadi kerugian buat kami andai tidak melihat sendiri cara pergerakan kereta api dialihkan dari satu landasan ke landasan yang lain menggunakan kaedah lama. Alat itu ialah tiga tuas buatan zaman British yang terletak di landasan pelepasan, ketibaan dan Platform Tiga. Tiada sistem motor atau hidraulik, tuas yang berusia sekitar seabad itu diperbuat daripada besi padu dan dikendalikan secara mekanikal.

Ada satu lagi peralatan yang perlu anda tahu. Sistem blok mutlak (key token system) yang diperkenalkan di Britain pada abad ke-19 turut memiliki nilai sentimental bagi Shamsul.

“Semasa bertugas di Stesen Paloh, saya agak takut pada mulanya kerana dalam keadaan kereta api yang bergerak laju, saya perlu menyerahkan token kepada pemandu. Token ialah kuasa untuk pemandu kereta api bagi meneruskan perjalanan ke stesen seterusnya,” tambahnya.

Tiga hari berada di stesen tersebut, satu pemandangan yang tidak lekang di mata penulis adalah kelibat ramai jurugambar amatur dan profesional dari dalam dan luar Singapura. Semuanya mahu merakam gambar-gambar terbaik di stesen klasik itu.

Sejak penutupan Stesen Tanjong Pagar disahkan baru-baru ini, hampir setiap hari stesen tersebut dibanjiri oleh jurugambar. Begitu asyik memetik butang kamera, ramai juga yang tidak sedar telah melepasi kawasan larangan mengambil foto.

Mural-mural berwarna-warni ala motif batik pada kedua-dua blok dinding tinggi di ruang menunggu itu merupakan lambang senario kemakmuran sosioekonomi Tanah Melayu ketika stesen itu dibina. Setiap lukisan mural memaparkan aktiviti sosioekonomi masyarakat seperti menanam padi, kegiatan memunggah di pelabuhan, menoreh getah dan melombong. Malah, cucu pelukis mural itu pernah sampai ke Tanjong Pagar semata-mata untuk melihat lukisan mural datuknya.

“Hanya generasi lama macam saya yang tahu tentang titik permulaan tempat ini. Sayang rasanya bila ia ditutup kelak. Harap-harap bangunan penuh nostalgia ini tidak akan dirobohkan,” kata Yu-Nam, 60, kepada Kosmo!.

Sebagai terminal kereta api pertama di Singapura, pembinaan Stesen Tanjong Pagar sebenarnya bertujuan untuk menggantikan stesen kereta api utama di Tank Road yang dibina pada tahun 1903.

Jurugambar amatur dari Kota Singa itu menyifatkan struktur seni bina bangunan yang dipengaruhi oleh arkitek Stesen Helsinki di Finland, Eliel Saarinen itu subjek terbaik untuk diabadikan dalam seni fotografi. Malah, bapa kepada dua orang anak itu juga berharap generasi akan datang masih berpeluang melihat stesen itu walaupun sekadar membacanya daripada buku sejarah.

Malah, dekorasi luar stesen yang memaparkan empat buah patung batu marmar putih rekaan Rudolfo Nolli itu juga memiliki nilai tersendiri.

Perdagangan, agrikultur, industri dan pelabuhan adalah empat bidang kemakmuran sosioekonomi Tanah Melayu yang dilambangkan menerusi empat patung manusia tersebut.



Pendapatan tiket

Sivasangkar Munusamy, 35, dari Pulau Pinang turut berasa sedih dengan keputusan pengalihan operasi stesen tersebut.

Pengurus kanan salah sebuah restoran yang kini menetap di Singapura mengakui, dia sering memberitahu isterinya tentang memori membesar dengan kereta api Tanjong Pagar.

Sementara itu, menurut pengamatan Shamsul, pengangkutan kereta api KTMB itu sangat popular di kalangan orang Singapura dan pelancong asing. Ketiadaan persaingan bas pada awal tahun 2000 membuatkan penumpang sanggup beratur panjang semata-mata untuk mendapatkan tiket.

“Malah, pada tahun 1980-an, pendapatan kutipan tiket pernah mencecah sehingga S$40,000 (RM93,346) sehari. Jadi, bayangkan betapa banyak yang diraih dalam sebulan.

“Waktu itu, kita guna kipas pusing, tingkap terbuka dan anak-anak kecil juga dibuai di dalam kereta api. Sesekali penumpang keluarkan kepala dari tingkap, hitam muka mereka terkena asap kereta api,” terangnya sambil memberitahu pelancong asing banyak memuji signifikan perkhidmatan kereta api dari Singapura ke Malaysia pada ketika itu.

Purata bilangan kemasukan penumpang ke Malaysia termasuk warga tempatan yang bekerja di Singapura adalah sekitar 350 penumpang sehari pada hari-hari biasa. Ia dianggap sebagai satu pencapaian yang baik tanpa sebarang promosi pemasaran.

Pelancong asing terutama yang berasal dari India lazimnya mendominasi populasi penumpang. Jumlah bilangan bagasi yang banyak dan berkunci pula menjadikan kereta api KTMB di Tanjong Pagar sebagai pengangkutan utama mereka seperti di kampung halaman sendiri.

Sekitar tahun 1980-an, tingkat dua dan tiga di bangunan stesen yang juga terkenal dengan nama Stesen Keretapi Keppel Road itu pernah menempatkan bilik-bilik hotel dan bar. Dikendalikan oleh seorang tauke Cina, hotel 100 bilik itu dilengkapi pelbagai keperluan asas termasuk kipas angin, tab mandi dan pintu kayu berkualiti tinggi. Sama seperti bangunan-bangunan klasik yang lain, Stesen Tanjong Pagar banyak menyimpan cerita-cerita misteri.

“Ramai yang sangat sayang Stesen Tanjong Pagar. Malah, roh-roh askar zaman British pun masih berkeliaran di sini,” tambah Shamsul.

- KOSMO!

Pendidikan rendah, wanita Melayu Singapura pilih pasangan asing

by
SINGAPURA: Adakah lelaki Melayu tidak boleh diharap dan gagal memenuhi cita rasa wanita Melayu berpelajaran tinggi sehingga mereka terpaksa mencari pasangan berbangsa asing?

Apakah kurangnya mereka berbanding jejaka Cina atau 'mat salih' yang bagaikan besi berani menarik perhatian wanita Melayu?

Persoalan yang menjadi perhatian ini dikaji secara ilmiah oleh Lulu Marlya Abdul Rahim, 23 tahun.

Tesis beliau yang menyelongkar isi hati 12 siswazah Melayu berusia antara 23 hingga 55 tahun, yang berumah tangga dengan lelaki bukan Melayu bertajuk 'Masuk Melayu', membantu beliau meraih ijazah Sarjana Muda Sains Sosial Kepujian Kelas Dua (Atas), dari Universiti Nasional Singapura (NUS).

Hasil kajian itu, beliau menemui beberapa kelemahan yang terserlah di kalangan lelaki Melayu yang menyebabkan ramai siswazah wanita 'mencari cinta' daripada lelaki kaum lain.

Antaranya ialah kurangnya lelaki Melayu yang berpendidikan tinggi, ego yang tinggi seolah-olah darjat mereka lebih tinggi daripada wanita dan kecenderungan membuat keputusan sendiri tanpa menghormati perasaan wanita.

“Saya dapati rata-rata, kelulusan tinggi si wanita, di samping pergaulan mereka, menjadi sebab utama mengapa pilihan hati mereka bukan lelaki Melayu. “Semua yang diwawancara mengaku sukar mencari pasangan Melayu yang setaraf tahap pendidikannya. Kalau pun ada siswazah lelaki Melayu, mereka awal-awal lagi sudah diambil orang!

“Jadi, si wanita perlu 'merantau' mencari lelaki bangsa asing,” kata anak ketiga dalam keluarga empat beradik itu.

Menurut Lulu, lebih separuh daripada wanita yang diwawancara dalam kajian itu bersuamikan lelaki Amerika, Inggeris dan beberapa negara Eropah lain. Bakinya memilih lelaki Cina sebagai pasangan.

– Agensi

Tanah KTMB di Singapura tak boleh dibangun

by
Kementerian Pengangkutan hari ini menjelaskan tapak tanah yang dimiliki oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Singapura hanya dibenar untuk digunakan bagi tujuan melibatkan perkhidmatan kereta api.

Menterinya, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, pertikaian sesetengah pihak bahawa tanah tersebut sepatutnya dimanfaatkan oleh kerajaan Malaysia untuk tujuan-tujuan lain adalah tidak berasas.

''Persoalan sesetengah media dan blog yang mempertikaikan kenapa kerajaan tidak membangunkan tanah di Tanjong Pagar adalah tidak berasas.

''Mengikut perjanjian yang ada, tanah di Tanjong Pagar tidak boleh digunakan untuk tujuan lain yang tidak mempunyai kaitan dengan kereta api.

''Singapura berhak mengambil alih hak tanah itu sekiranya tanah di Tanjong Pagar digunakan untuk tujuan lain, kita selama ini mematuhi perjanjian yang ada," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Malaysia dan Singapura sebelum ini bersetuju stesen KTMB di Tanjong Pagar dipindah ke Terminal Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) pada 1 Julai 2011.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata, perpindahan tersebut turut melibatkan pemindahan kemudahan Kuarantin, Imigresen dan Kastam (CIQ) Malaysia dari Tanjong Pagar ke Woodlands.

- UTUSAN

KL-Singapura temui jalan penyelesaian

by
Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Keppel Road dekat Tanjong Pagar, Singapura beroperasi pada 1932. Tanah itu membabitkan tapak stesen dan landasan seluas 217 hektar serta laluan sehingga 30 kilometer. Tanah itu dipajak kepada KTMB untuk tempoh 999 tahun, demikian sedikit maklumat sejarah stesen itu.

Namun stesen KTMB itu perlu dikosongkan pada 1 Julai 2011 seperti dipersetujui Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatnya di Singapura, Lee Hsien Loong, Isnin lalu, walaupun pajakannya masih berbaki 920 tahun.

Jalan tengah menamatkan pertikaian dalam Persetujuan Capai Persetujuan (POA) 1990 berhubung pemindahan stesen KTMB di Tanjong Pagar, Kranji, Bukit Timah (lot 76-2Mk 16, lot 249 Mk 4 dan lot 32-10 Mk 16) serta Woodlands ialah menubuhkan syarikat usaha sama - MS Pte Ltd diwakili sayap pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Temasek Holdings Limited (Temasek), disifatkan bijak serta menguntungkan kedua-dua negara.

Jika tanah itu tidak mahu dimajukan, Kerajaan Singapura setuju menukarnya dengan empat lot tanah di Marina South dan satu bidang di Ophir-Rochor yang mempunyai nilai setimpal dengan tanah KTMB terbabit.

Dengan 60 peratus ekuiti dipegang Khazanah dan Temasek menguasai baki 40 peratus, langkah memajukan tanah itu lebih banyak memberi manfaat berbanding membiarkannya terus menjadi isu dan ‘duri dalam daging’ hubungan Malaysia-Singapura. Isu POA 1990 dalam tempoh 19 tahun ini menyebabkan hubungan dua negara tidak menentu dan merugikan kedua-dua pihak. Kerjasama pelbagai bidang sedia ada dan potensi baru pula tidak dapat dilaksanakan. Malah, kerana isu remeh dan kecil tertentu, hubungan kedua-dua negara mudah boleh renggang kerana tidak banyak komitmen bersama perlu dipertahan atau dilindungi.

Cuma dalam isu POA 1990 yang kandungannya akan dipertingkatkan, aspek yang masih kritikal dan perlu dirungkai dengan bijak dan berhemah ialah soal nilai hartanah itu; kaedah serta struktur pengurusan mahupun operasi M-S Pte Ltd; pertukaran tanah di lokasi lain yang setimpal nilainya; serta penyertaan Singapura secara kontra dalam pembangunan kemudahan sistem transit laju (RTS) dari Woodlands ke Tanjung Puteri, Johor menjelang 2018.
Turut menarik diketahui ialah menjelang kehadiran Lee menemui Najib di Putrajaya, bulan depan untuk mengemukakan kertas cadangan yang menjunjung ‘situasi menang menang’ berhubung pembangunan bersama tanah stesen KTMB itu.

Proses penilaian hartanah itu dilakukan berasingan oleh kedua-dua pihak, tetapi apakah penilaiannya membabitkan harga hartanah semasa atau mengikut anggaran harga pasaran hadapan (tahun 2930)?

“Saya tidak ada angka terkini nilai tanah terbabit tetapi harga tanah dan hartanah (di Singapura) meningkat dalam tempoh setahun ini. Itu sebabnya kami belum dapat selesaikan soal pertukaran tanah itu. Saya perlukan penilaian yang terkini dan akan dicadangkan kepada Najib supaya Malaysia mendapat penilaian yang mutakhir.

“Berdasarkan nilai terkini itu, kami akan mengemukakan tawaran kepada mereka (Malaysia) dan terpulang kepada mereka. Tetapi (yang pasti) nilainya sangat besar.

“Ia adalah kertas cadangan situasi menang-menang untuk kedua-dua negara. Kalau ini (POA 1990) tidak boleh selesai bagaimana anda mahu bercakap mengenai perkara yang baru?,” kata Lee merujuk kepada soalan wartawan mengenai harga tanah KTMB di keempat-empat lokasi itu dan kesan penyelesaian POA 1990.

Di sebalik persetujuan Malaysia dan Singapura membangunkan tanah itu melalui M-S Pte Lte, jelas kerajaan kedua-dua negara mahu ‘mengecilkan saiz pembabitan’ mereka dalam isu POA yang kini peranan seterusnya dilakukan Khazanah dan Temasek. Namun, kita tidak perlu berahsia atau berselindung lagi bahawa kerajaan perlu memantau segenap tindakan, perkembangan dan hasil peranan M-S Pte Ltd kerana ia masih membabitkan kepentingan negara.

Berdasarkan pemikiran Najib, yang penting sekarang ialah hubungan dua hala mesti dipacu ke hadapan dan bagi merealisasikan hasrat itu, kedua-dua negara mesti menyelesaikan beberapa isu legasi termasuk POA 1990.

“Ini (isu POA 1990) adalah isu legasi yang sangat besar dan sudah tiba masa untuk penyelesaian selepas 19 tahun. Ia dilihat menghalang kita untuk kemajuan dan mara dalam hubungan dua hala,” katanya. Hubungan ini turut membabitkan penyertaan pelabur Singapura dalam Iskandar Malaysia.

Mengenai jambatan ketiga, Perdana Menteri menyifatkan ia projek jangka panjang dan tidak dikongkong oleh tempoh masa tertentu untuk melaksanakannya. “Yang penting sekarang ialah kita mahu mengoptimumkan penggunaan Linkedua,” katanya.

Mungkin, perlu dikaji peranan Jawatankuasa Bersama Antara Kementerian Bagi Iskandar Malaysia (JCM) yang diberi tanggungjawab melaksanakan projek ikonik perbandaran di koridor ekonomi selatan Semenanjung itu, supaya turut dilebarkan kepada soal meningkatkan kemudahan pengangkutan awam melalui Linkedua.

Kepentingan operator pengangkutan sebelah Malaysia juga mesti diambil kira dan dilindungi dalam perkembangan ini. Mungkin wajar ditubuhkan konsortium pengusaha bas kedua-dua negara untuk menyediakan perkhidmatan berkenaan. Untuk teksi, sebahagian pengusaha di stesen Kota Raya, Johor Bahru mungkin boleh dipindahkan ke stesen baru di Iskandar Malaysia supaya tempoh menunggu yang begitu lama seperti sekarang, dapat dikurangkan, sekali gus pendapatan mereka bertambah.

INFO

Ringkasan persetujuan hasil pertemuan Najib dan Lee serta perbincangan delegasi kedua-dua negara pada Ahad dan Isnin lalu ialah:

# Stesen KTMB di Tanjong Pagar dipindahkan ke WTCP menjelang 1 Julai 2011.

# Tiga bidang tanah di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands serta tiga lagi di Bukit Timah dibangunkan bersama.


# Syarikat M-S Pte Ltd dibentuk bagi membangunkan tanah terbabit.

# Penyerahan tanah itu kepada M-S Pte Ltd berkuat kuasa apabila KTMB mengosongkan Stesen Tanjong Pagar.

# Sistem kereta api gerak cepat antara Tanjung Puteri (JB) dengan Singapura akan dibangunkan.

# Bangunan Stesen KTMB Tanjong Pagar akan dikekal dan dipulihara.

# Syarikat usaha sama Khazanah Nasional Berhad dan Temasek Holdings Limited dibentuk bagi menjalankan projek pembangunan ikonik di Iskandar Malaysia.

# Loji air di Johor diserahkan kepada Johor selepas perjanjian air 1961 tamat tempohnya pada 2011.

# Bayaran tol di laluan Linkedua akan dikurangkan.

# Khidmat bas rentas sempadan dipertingkat manakala peraturan khidmat teksi dilonggarkan.

- BERITA HARIAN

Ruang sosial warga Singapura

by
Berdiri dalam dua barisan dengan kaki dibengkokkan, 10 orang lelaki secara perlahan menolak tapak tangan keluar secara serentak dalam sesi latihan seni bela diri Cina, tai chi di tingkat bawah sebuah blok bangunan awam.

Di beberapa tempat serupa di Singapura, perkahwinan orang Melayu berlangsung secara sederhana di lokasi itu. Malah, ia juga tempat permainan untuk kanak-kanak pelbagai kaum termasuk daripada keluarga ekspaktriat yang menyewa flat awam di sana.

Ia adalah pemandangan hujung minggu biasa dalam kawasan terbuka di bawah bangunan-bangunan apartmen tinggi di Singapura kerana mempunyai jumlah penduduk yang padat.

Dengan lebih 80 peratus penduduknya tinggal di dalam flat awam, termasuk orang asing yang kini merangkumi sepertiga populasi Singapura berjumlah lima juta orang, ruang lapang di bawah bangunan menjadi sebahagian kehidupan harian di sana.

Seperti kanvas kosong yang diwarnai pelangi etnik di Singapura, ruang berkenaan memainkan peranan penting bermula dengan perkahwinan dan majlis kematian sehinggalah kepada tempat golongan pesara daripada pelbagai kumpulan etnik berkumpul.

"Ia menjadi tempat bermalas-malasan," kata Profesor di Jabatan Sosiologi Universiti Kebangsaan Singapura, Chua Beng Huat.

Lebih daripada itu, berkongsi ruang juga adalah sebahagian daripada polisi sosial yang dikuatkuasakan di Singapura yang bertujuan memastikan keharmonian kaum di rantau yang sering dikaitkan dengan perselisihan agama dan etnik.

Flat di setiap perumahan awam dibahagikan berdasarkan campuran etnik di Singapura iaitu 77 peratus Cina, 14 peratus Melayu dan lapan peratus India dengan bancian 2,000 orang bagi mengelakkan perbalahan kaum berlaku.

Keharmonian kaum amat penting kepada Singapura yang pernah mengalami rusuhan kaum pada tahun 1960-an.

Dalam dua kes terbaru yang disiarkan media tempatan, seorang paderi Kristian dipaksa meminta maaf di hadapan awam selepas menghina Taoisme dan agama Buddha, manakala tiga remaja Cina disiasat berkenaan kata-kata kasar berunsur anti-India di laman web.

Perdana Menteri, Lee Hsien Loong telah menggunakan ruang lapang itu untuk menggaris keperluan toleransi etnik, dengan mengambil sebuah kejadian yang boleh menyebabkan ketegangan kaum semakin marak.

Hsien Loong mengaitkan ucapan pada hari kebangsaan Ogos lalu dengan sebuah keluarga Cina mengadakan majlis kematian manakala keluarga Melayu sedang melangsungkan perkahwinan di ruang yang sama. Tetapi situasi di situ perlu dikawal dengan campur tangan daripada tokoh masyarakat.

"Jika kejadian sebegitu ditangani dengan salah, ia akan mengakibatkan perbalahan kaum atau konflik agama, kes itu akan menjadi lebih buruk," katanya.

Bagi kebanyakan penduduk Singapura, ruang lapang adalah kawasan neutral untuk melepak dan bercampur dengan kaum lain.

Seorang pesara, Wong Phui San, 59, menaiki bas ke daerah-daerah lain untuk bermain dam kerana pemain di sana memiliki kemahiran yang setanding dengannya.

"Dengan cara ini saya tidak perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk berhibur. Saya hanya perlu menaiki bas dan menghabiskan masa saya di sini," katanya.

Perkahwinan etnik Melayu selalunya berlangsung di ruang berkenaan pada hujung minggu.

Perancang perkahwinan dipanggil untuk menukar suasana ruang berkenaan menjadi dewan perkahwinan dengan lantai simen dilapik dengan karpet, dinding dihiasi dengan langsir dan bunga serta pelamin.

"Satu sebab mengapa ruang lapang itu begitu popular untuk majlis perkahwinan orang Melayu ialah kerana ia menjimatkan kos," kata perancang perkahwinan, Nurdyana Lim.

Majlis perkahwinan orang Melayu yang besar berkembang daripada tradisi kampung yang melibatkan seluruh keluarga, saudara-mara jauh dan jiran tetangga yang hadir membantu melancarkan perjalanan majlis, katanya.

"Mereka boleh menjemput lebih 1,000 tetamu dan tidak bimbang berbelanja lebih. Sedangkan dewan hotel memakan belanja ribuan ringgit," tambahnya.

Pengamal kecergasan juga menggunakan ruang lapang itu berbanding membayar yuran gimnasium.

"Kami suka mengadakannya di ruang terbuka kerana jika kami mempunyai lebih banyak ahli, kami masih ada ruang yang cukup untuk menampung mereka," kata seorang jurutera, Bill Chan, 34 yang sering mengikuti sesi tai chi di sebuah blok.

Kebanyakan ruang lapang dilengkapi meja batu, bangku atau rak basikal dan terletak berdekatan lif dan taman permainan.

Kebanyakannya digunakan sebagai pusat penjagaan kanak-kanak, kedai runcit dan sudut warga emas yang dilengkapi set televisyen, tandas dan meja batu yang dicetak dengan papan dam.

Semasa majlis kematian diadakan oleh komuniti Cina, bahagian berkhemah didirikan melindungi altar dan keranda yang terbuka daripada dilihat manakala kalungan bunga di susun berdekatan pintu masuk.

Kerusi dan meja disediakan kepada pelawat yang hadir menziarah sehingga tiga ke lima hari.

Pada hari terakhir, mereka akan mengusung jenazah ke tapak perkuburan dengan jiran-jiran daripada pelbagai etnik turut mengambil bahagian.

- AFP

‘Hari tenang’ pilihan raya Singapura diperkenal

by
SINGAPURA: Hari bertenang yang melarang parti politik dan calon daripada berkempen sehari sebelum hari mengundi akan dilaksanakan dalam pilihan raya akan datang.

Parlimen meluluskan undang-undang yang dipinda di bawah Akta Pilihan Raya Parlimen dan Pilihan Raya Presiden itu semalam.

Turut dipinda di bawah akta berkenaan ialah kelonggaran undang-undang pengiklanan pilihan raya di Internet, selain undang-undang melaksanakan langkah kecemasan bagi menangani keadaan tidak diingini sewaktu pilihan raya.

Pemerintah juga memperhalusi undang-undang perbelanjaan pilihan raya dan mengemaskini kesalahan dan penalti.

Menteri Undang-Undang, K Shanmugam, menegaskan kerajaan mahu membentuk sistem parlimen berdemokrasi kesan jangka panjang.

– Agensi

Almarhum dipuji rakyat Singapura

by
SINGAPURA: Presiden Singapura, S R Nathan, berkata Sultan Johor Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail adalah seorang raja yang bijak dan patriotik.

Beliau berkata, sifat mesra Almarhum dengan Singapura membantu mempromosi kestabilan, keselamatan dan pertumbuhan bagi kedua-dua Johor dan Singapura serta Malaysia dan rakyatnya.

Dalam perutusan takziah di atas kemangkatan Sultan Iskandar kepada Sultan Ibrahim Ismail, anakanda Almarhum yang dimasyhurkan sebagai Sultan Johor yang baru semalam, Nathan berkata, persahabatan Almarhum memupuk hubungan baik dengan pemimpin Singapura dan rakyatnya akan sentiasa diingati.

Presiden itu berkata, Almarhum dikenali kerana keprihatinan baginda terhadap rakyat Johor dan Malaysia.

Dalam perutusan takziah beliau kepada Sultanah Johor, Sultanah Zanariah Almarhum Tunku Ahmad, Nathan berkata, naungan Almarhum dalam pertubuhan sukarela di Malaysia telah menempatkan baginda dalam sejarah Malaysia.

"Galakan, sumbangan dan kecintaan untuk negara sentiasa diingati," kata Nathan.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong juga mengutus perutusan takziah kepada Sultanah Zanariah sambil mengatakan ketika pemerintahan baginda, Almarhum Sultan Iskandar memainkan peranan utama dalam pembangunan dan kemakmuran Johor untuk manfaat rakyatnya.

Beliau berkata, bakti Almarhum Sultan Iskandar kepada rakyat Johor dipaparkan melalui kecintaan dan hormat mereka dan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-8, telah melaksanakan tanggungjawab Diraja dalam semangat yang sama.

Lee berkata, Almarhum Sultan Iskandar juga memainkan peranan penting dalam menjalin hubungan baik antara Singapura dan Malaysia.

- BERNAMA

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90