Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Statistik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Statistik. Papar semua catatan

38.8 peratus wanita pegang jawatan peringkat pembuat keputusan di sektor awam

by

 



Wanita yang memegang jawatan di peringkat pembuat keputusan dalam sektor awam kini mencapai 38.8 peratus.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata bagaimanapun, sasaran 30 peratus wanita memegang jawatan di peringkat pembuat keputusan dalam sektor swasta dan korporat masih belum dicapai setakat ini.

Katanya, perkara itu antara isu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Wanita dan Keluarga Negara (MWKN) yang julung kali diadakan pada tahun ini.

Nancy berkata, mesyuarat itu juga menumpukan aspek dan inisiatif dalam menggalakkan golongan wanita untuk kembali bekerja bagi menjayakan sasaran 60 peratus penyertaan tenaga kerja kaum hawa dalam pasaran tenaga buruh yang digariskan oleh Kerangka Ekonomi MADANI.

"Kalau dibanding dengan Singapura, golongan wanita bekerja adalah lebih 70 peratus, jadi kita mahu mencapai tahap yang tinggi tetapi kita perlu memberi sokongan dalam serba-serbi terutama sekali gaji," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu .

Nancy berkata, mesyuarat itu turut membincangkan pandangan dan cadangan mengenai pelaksanaan inisiatif pelanjutan pengecualian cukai bagi wanita yang kembali bekerja hingga 31 Disember 2027 seperti diumumkan dalam Belanjawan 2024.

Ini termasuk cadangan had pengecualian cukai pendapatan ke atas elaun penjagaan anak yang diterima oleh pekerja atau dibayar terus oleh majikan kepada pusat jagaan kanak-kanak yang dinaikkan kepada RM3,000.

Beliau berkata, sebagai langkah menggalakkan wanita kembali bekerja, kementerian juga melaksanakan reformasi dari sudut undang-undang melalui Akta Antigangguan Seksual 2022 bagi melindungi golongan itu seterusnya dapat memberi keyakinan diri kepada mereka untuk kembali bekerja.

Nancy berkata, mesyuarat turut membincangkan pelaksanaan dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan 2022-2025 di Peringkat Negeri oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara.

Mesyuarat turut disertai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Aiman Athirah Sabu, Ketua Setiausaha Pembangunan Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Maziah Che Yusoff, wakil-wakil agensi di bawah kementerian berkenaan serta wakil kementerian lain.

MWKN, yang ditubuhkan pada awal tahun ini, berfungsi sebagai platform untuk semua pihak berkepentingan meliputi agensi Kerajaan Persekutuan, wakil sektor swasta, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan memberikan pandangan serta idea bagi memperkasa wanita selain mengukuhkan institusi keluarga secara lebih meluas dan komprehensif.

Sumber : BERNAMA


Perempuan dijangka hidup lebih lama berbanding lelaki

by


Jika anda menyambut kelahiran bayi perempuan pada tahun ini, mereka dijangka hidup, mengikut statistik, sehingga 77.4 tahun. Jika bayi lelaki, usia mereka dijangka mencecah sehingga 72.5 tahun.

Itu merupakan antara dapatan dari penerbitan Jadual Hayat Ringkas Malaysia 2021-2023 oleh Jabatan Perangkaan yang mengandungi jadual hayat ringkas mengikut kumpulan umur, kumpulan etnik dan jantina di Malaysia dan negeri bagi tahun 2021 hingga 2023.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, secara puratanya bayi yang lahir pada 2023 dijangka hidup sehingga 74.8 tahun.

Ini berdasarkan data-data berkaitan jumlah kematian yang dicatatkan pada 2023.

Pada 2023, statistik jumlah kematian bertambah baik berbanding 2021 dan 2022 yang mencatatkan lebihan kematian disebabkan pandemik Covid-19.

Dari segi pecahan umur, menurut Mohd. Uzir, seorang lelaki yang mencapai umur 15 dan 60 tahun pada 2023 masing-masing dijangka hidup selama 58.3 tahun dan 18.3 tahun lagi. 

Ini bermakna, lelaki yang berumur 15 tahun pada 2023 dijangka hidup sehingga 73.3 tahun manakala lelaki berumur 60 tahun dijangka hidup sehingga 78.3 tahun.

“Sebaliknya, wanita dalam kumpulan umur yang sama dijangka hidup selama 63.1 tahun dan 21.1 tahun lagi, menghasilkan jangka hayat masing-masing 78.1 tahun dan 81.1 tahun,” katanya dalam kenyataan pada 26 September.

Dari segi kumpulan etnik pula, Cina mencatatkan jangkaan hayat tertinggi ketika lahir pada 2023, iaitu sehingga 77 tahun.

Jangkaan hayat ketika lahir pada 2023 terendah pula dicatatkan kumpulan etnik India, iaitu sehingga 71.4 tahun.

Mengikut negeri dan daerah pentadbiran

Kata Mohd. Uzir, jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki dan perempuan mengikut negeri bagi tempoh 2021 hingga 2023 dicatatkan di Selangor, manakala Terengganu mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir terendah pada tempoh sama.

Katanya, terdapat lima negeri yang mempunyai jangkaan hayat melebihi jangkaan hayat paras nasional, iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak.

Penerbitan Jadual Hayat Ringkas Malaysia 2021-2023 juga buat pertama kali membentangkan jangkaan hayat ketika lahir mengikut jantina bagi 156 daerah pentadbiran di Malaysia.

Jelas Mohd. Uzir, jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki dan perempuan mengikut daerah pentadbiran bagi tahun 2023 dicatatkan di Petaling, Selangor pada 80.5 tahun manakala Samarahan, Sarawak mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi tahun 2022 (79.6 tahun) dan 2021 (79.8 tahun).

“Kecil Lojing, Kelantan mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir terendah pada 2023 (62.8 tahun) dan 2022 (63.2 tahun) manakala Kuala Penyu, Sabah mencatatkan jangkaan hayat ketika lahir terendah pada 2021 (64.2 tahun).

“Secara keseluruhan, 31 daripada 156 daerah melepasi jangka hayat di peringkat nasional. Jangka hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki adalah di Petaling, Selangor (78.9 tahun) dan perempuan di Kalabakan, Sabah (82.8 tahun),” katanya. 

Sumber : RELEVAN

Kadar pengangguran di Malaysia menurun kepada 3.4 peratus pada Jun 2023

by


 Kadar pengangguran di Malaysia menurun sebanyak 0.1 peratus kepada 3.4 peratus pada Jun 2023 berbanding 3.5 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya, demikian menurut Perangkaan Tenaga Buruh, Jun dan suku tahun kedua 2023 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata bilangan penganggur pada bulan itu juga menurun kepada 581,700 orang berbanding 584,600 orang sebelum itu.
Beliau berkata pasaran buruh Malaysia kekal stabil pada Jun 2023 disumbangkan oleh peningkatan berterusan bilangan penduduk bekerja, manakala penganggur berada pada trend menurun walaupun prospek ekonomi diunjurkan berkembang sederhana.
"Oleh itu, bilangan tenaga buruh pada Jun 2023 terus mengukuh sebanyak 0.2 peratus merekodkan 16.89 juta orang daripada 16.86 juta pada Mei lepas," katanya.
Mohd Uzir berkata kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada Jun tidak berubah pada 70 peratus, seperti yang dicatatkan pada bulan lepas.
Mohd Uzir berkata bilangan penduduk bekerja pada Jun terus merekodkan trend positif dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.31 juta orang berbanding 16.28 juta orang pada bulan sebelumnya.
Daripada jumlah penduduk bekerja itu, 75.4 peratus adalah dalam kategori pekerja yang mencatatkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus kepada 12.30 juta orang pada Jun berbanding 12.29 juta orang pada Mei, katanya.
Beliau berkata bilangan penduduk bekerja sendiri juga terus meningkat dengan pertambahan sebanyak 0.5 peratus atau 2.95 juta pada Jun berbanding 2.94 juta orang sebelumnya.
Mengikut sektor ekonomi, Mohd Uzir berkata penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan kekal dalam trend menaik terutamanya dalam aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman, perdagangan borong dan runcit serta pengangkutan dan penyimpanan.
Beliau berkata jumlah penduduk bekerja dalam sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta pertanian juga menunjukkan peningkatan pada bulan itu.
Beliau berkata bilangan penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari kerja, terdiri daripada 80.3 peratus daripada jumlah penganggur dan kategori ini menurun sebanyak 0.8 peratus kepada 466,900 orang pada Jun lepas daripada 470,400 orang pada bulan sebelumnya.
Daripada jumlah penganggur aktif itu, 61.1 peratus merupakan mereka yang menganggur kurang tiga bulan, manakala 6.6 peratus ialah golongan yang telah lama menganggur lebih setahun, katanya.
Beliau berkata bilangan penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya tiada pekerjaan pula merekodkan peningkatan sebanyak 0.5 peratus kepada 114,800 orang pada bulan itu berbanding 114,200 pada tempoh sebelumnya.
Kadar pengangguran bagi belia berusia 15 hingga 24 tahun pada Jun kekal 11 peratus, mencatatkan 312,400 orang berbanding 313,000 orang sebelum itu, manakala kadar pengangguran bagi belia berusia 15 hingga 30 tahun menurun 0.1 peratus merekodkan 6.9 peratus, dengan bilangannya 446,800 orang berbanding 448,600 orang bagi tempoh sama.
Bagi kumpulan tidak aktif, bilangan penduduk luar tenaga buruh terus menurun iaitu sebanyak 0.02 peratus atau 7.23 juta orang pada Jun, katanya.
"Sebab utama bagi luar tenaga buruh ialah kerja rumah atau tanggungjawab keluarga yang menyumbang 43.5 peratus, diikuti oleh bersekolah atau latihan sebanyak 39.9 peratus," kata beliau.
Mohd Uzir berkata prestasi keseluruhan pada suku kedua 2023, bilangan tenaga buruh terus menunjukkan peningkatan dengan pertambahan 0.5 peratus kepada 16.73 juta orang berbanding 16.65 juta yang dicatatkan pada suku pertama.
Beliau berkata bilangan orang bekerja turut meningkat 0.5 peratus kepada 16.15 juta orang pada suku kedua tahun ini berbanding 16.06 juta orang sebelum itu, manakala bilangan penganggur menurun 0.9 peratus kepada 581,400 orang berbanding 586,900 orang pada suku pertama.
Kadar pengangguran pada suku kedua 2023 kekal 3.5 peratus seperti suku sebelumnya.
"Kedudukan tenaga buruh pada bulan-bulan akan datang dijangka terus berkembang dengan mantap sejajar dengan jangkaan Indeks Peneraju Malaysia yang meramalkan prospek ekonomi yang baik pada bulan-bulan seterusnya," katanya.
Sumber dari BERNAMA

PADU ditubuh bagi selaras data isi rumah rakyat Malaysia

by

 


Kerajaan akan membangunkan sebuah pangkalan data utama (PADU) bagi mengumpul seberapa banyak maklumat sosio ekonomi isi rumah sekali gus membantu kerajaan mengagihkan subsidi dan bantuan dengan lebih berkesan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PADU itu akan ditubuhkan segera dan menjadi penyelaras data antara agensi-agensi sedia ada termasuk Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Beliau berkata, jika mahu bercakap mengenai soal ekonomi digital dan hala tuju negara pada masa depan, maka kerajaan perlu mempunyai data yang lengkap.

“Hari ini kita buat keputusan agak penting iaitu menyedia dan menetapkan pembentukan PADU bagi memudahkan kerajaan mengubal dasar dan menyasarkan subsidi.

“Buat masa ini, ada jabatan-jabatan lain menyelengara data secara berasingan justeru, PADU akan mengambil alih tugas-tugas ini supaya ada satu agensi dapat merumuskan semua data ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Katanya, keperluan sistem data ini harus lebih menyeluruh dan lebih penting subsidi dan bantuan yang diperuntukkan kepada orang miskin tercapai.

Anwar berkata, PADU akan mengumpul maklumat di peringkat isi rumah yang meliputi bilangan isi rumah, rekod pendapatan, tanggungan anak isi rumah mengikut peringkat pendidikan, lokasi isi rumah dan bilangan kenderaan isi rumah.

Menurutnya, ia juga merangkumi rekod bantuan yang telah diterima dari jabatan kerajaan di dalam isi rumah dan maklumat-maklumat lain yang boleh membantu menentukan pendapatan boleh belanja setiap isi rumah. 

– KOSMO! 

Kadar pengangguran menurun kepada 3.6 peratus pada September 2022

by

 


Kadar pengangguran di Malaysia terus menunjukkan trend penurunan kepada 3.6 peratus pada September lalu, menurun 0.1 peratus berbanding 3.7 peratus pada Ogos.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melalui kenyataan memaklumkan bilangan penganggur turut mengekalkan trend menurun selama 14 bulan berturut-turut kepada 605,000 orang pada September berbanding 612,000 orang pada bulan sebelumnya.

Bagi suku ketiga tahun ini, kadar pengangguran menurun kepada 3.7 peratus, mencatatkan 611,800 orang, kadar terendah sejak pandemik COVID-19 pada suku kedua 2020.

Bilangan penganggur aktif mencatatkan penurunan 2.1 peratus bulan ke bulan kepada 496,600 orang pada September (Ogos - 507,300 orang), manakala penganggur tidak aktif meningkat 3.5 peratus kepada 108,400 orang berbanding 104,700 orang.

Menurut DOSM, jumlah tenaga buruh dalam negara meningkat 0.2 peratus kepada 16.66 juta orang pada September berbanding 16.63 juta orang pada Ogos dengan kadar penyertaan buruh kekal pada 69.7 peratus.

Sementara itu, bilangan penduduk bekerja di negara ini terus meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 16.05 juta orang pada September berbanding 16.02 juta orang pada bulan sebelumnya.

Komposisi penduduk terbesar bekerja adalah dalam kategori pekerja dengan peratus sumbangan sebanyak 75.9 peratus, bekerja sendiri (17.6 peratus), majikan (3.4 peratus) dan pekerja keluarga tanpa gaji (3.1 peratus).

Bilangan luar tenaga buruh, mencatatkan sedikit penurunan iaitu sebanyak 0.04 peratus kepada 7.24 juta orang dengan 42.9 peratus daripada jumlah itu terdiri daripada kategori kerja rumah atau tanggungjawab keluarga manakala 40.5 peratus dalam kategori sekolah atau latihan. 

Sumber : BERNAMA

1.9 juta kediaman tidak dihuni

by

 


Jabatan Perangkaan (DOSM) merekodkan 1.9 juta daripada 9.6 juta kediaman di seluruh negara tidak didiami.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata berdasarkan penemuan Banci Malaysia 2020, berbanding 2010 hanya 1.2 juta kediaman kosong direkod yang menunjukkan penambahan 700,000 kediaman.

"Statistik itu turut merekodkan sebanyak 18 peratus kediaman di Pahang yang dibeli tidak didiami sepenuhnya dan Melaka pula merekodkan lebih 30 peratus kediaman tidak didiami.

"Antara faktor ialah kediaman dibeli itu tidak didiami dan dijadikan sebagai rumah persinggahan, homestay dan lain-lain kerana pemilik bekerja di tempat lain," katanya.

Mohd Uzir berkata demikian pada sidang media sempena Program Jelajah Banci Malaysia: Pahang Bersama Media di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Bancian Malaysia 2020 turut merekodkan penduduk negara ini berjumlah 32.4 juta orang.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 17 juta adalah golongan lelaki manakala 15.5 juta pula wanita.

"Nisbah jantina pula 113 lelaki bagi setiap 100 wanita," katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, DOSM yang baharu membangunkan platform data terbuka generasi baharu dikenali sebagai 'KAWASANKU' sedang meningkatkan kesedaran mengenai kewujudan platform itu kepada rakyat negara ini.

Katanya, ini kerana KAWASANKU mengandungi informasi berkaitan profil demografi penduduk berdasarkan penemuan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020.

"Dengan mengakses KAWASANKU melalui https://kawasanku.dosm.gov.my/, rakyat boleh mendapatkan maklumat berkaitan memaparkan statistik kependudukan dan indikator demografi serta sosioekonomi," katanya.

Platform KAWASANKU boleh menjadi nadi kepada perancangan lebih khusus dan spesifik mengikut bidang fokus di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai rujukan dan analisis perbandingan.

KAWASANKU turut menyediakan perbandingan 'visualisation map' di peringkat Parlimen dan DUN untuk beberapa indikator antaranya maklumat kepadatan penduduk, pendapatan isi rumah, kadar kemiskinan, akses kepada bekalan elektrik dan air dan peratus permukaan diliputi hutan.

Sumber : Berita Harian

Statistik Penduduk Malaysia 2019-2020

by

 


Bilangan kanak-kanak di seluruh negara sepanjang tahun ini dianggarkan berkurangan 78,100 orang kepada 9,247,500 orang daripada 9,325,600 orang pada 2019.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, penurunan itu adalah ketara bagi kumpulan umur 0 hingga empat tahun serta 13 tahun hingga 17 tahun.

Penurunan 1.5 peratus atau 37,800 orang bagi kumpulan usia 0 hingga empat tahun kerana kelahiran hidup 488,000 orang pada 2019 berbanding 502,000 orang pada tahun sebelumnya.

“Manakala bagi kumpulan umur 13 tahun hingga 17 tahun, berlaku pengurangan sebanyak 1.5 peratus iaitu 41,600 orang,” jelasnya menerusi kenyataan Jabatan Perangkaan di sini hari ini.

Agensi itu menerbitkan Statistik Kanak-kanak Malaysia 2020 dan memuatkan banyak indikator terpilih merujuk seseorang bawah umur 18 tahun seperti ditetapkan Akta Kanak-kanak 2001.

Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, kelompok itu meliputi 28.3 peratus daripada keseluruhan jumlah penduduk Malaysia pada 2020 dengan 4,774,900 orang (51.6 peratus) adalah lelaki.

Sementara 4,472,600 (48.4 peratus) adalah perempuan dan mengikut perspektif kesihatan pula, kesemua liputan enam jenis pelalian bayi sepanjang 2019 telah melebihi 95 peratus.

Ia mencapai sasaran imunisasi kebangsaan menerusi program suntikan berjadual Bacillus Calmette-Guerin (BCG), Poliomyelitis, Diphtheria, Tetanus & Pertussis, HIB dan Hepatitis B.

Enrolmen di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan juga bertambah 9,500 orang daripada 4,848,100 orang kepada 4,857,600 orang pada 2019 lalu,” tambah Mohd. Uzir lagi.

Ia disumbangkan oleh peringkat pendidikan prasekolah (0.7 peratus) dan peringkat rendah (1.3 peratus) manakala enrolmen peringkat menengah pula menurun sebanyak 3,800 orang.

Bilangan taska berdaftar pula naik 11.2 peratus kepada 4,903 buah pada 2019 dengan kadar tertinggi di Selangor (19.7 peratus) diikuti Perlis (19 peratus) dan Pulau Pinang (16.5 peratus).

Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan, kanak-kanak di bawah usia lima tahun di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur paling rendah kekurangan nutrisi pada 2019 iaitu 0.5 peratus.

“Ini diikuti Johor (0.6 peratus) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (0.7 peratus). Statistik ini daripada rekod kehadiran kanak-kanak ke fasiliti Kementerian Kesihatan,” kata Mohd. Uzir.

Berdasarkan rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat, kanak-kanak Orang Kelainan Upaya pada 2019 ialah 20,321 orang dengan komposisi terbesar umur 6 hingga 12 tahun (50.5 peratus).

Manakala situasi jenayah kanak-kanak bawah umur 18 tahun pula bertambah baik pada tahun lalu apabila jatuh 8.7 peratus daripada 5,294 kes pada 2018 kepada 4,833 kes pada 2019.

Apa yang menarik, kanak-kanak lelaki terlibat jenayah turut mencatatkan penurunan 9.2 peratus, sementara perempuan masih kekal sama seperti tahun sebelumnya iaitu 290 kes. 

 

 

Pusat Analitik Data Raya Negara akan diwujudkan

by

 

Menyedari kepentingan analisis data raya dalam sektor awam, kerajaan akan menubuhkan sebuah Pusat Analitik Data Raya Negara ke arah penggubalan dasar lebih komprehensif dan tepat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pusat itu bertujuan menyokong hasrat kerajaan memastikan setiap perancangan dan pembuat keputusan berlandaskan analisis data selaras inisiatif Kerajaan Digital.

Beliau berkata, penubuhan pusat tersebut menerusi kerjasama dengan Jabatan Perangkaan (DOSM), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) serta beberapa kementerian lain.

“Pengukuhan sistem statistik negara diyakini mampu memberi impak positif termasuk menjamin ketersediaan data yang lebih komprehensif di sektor kerajaan dalam usaha merangka dasar jangka pendek dan panjang.

“Dalam masa yang sama, pengukuhan itu turut bertujuan meningkatkan kepakaran analitikal berkaitan semua bidang ekonomi, sosial dan demografi dalam kalangan pegawai-pegawai di semua kementerian serta agensi,” ketika menyampaikan ucaptama sempena majlis perasmian Sambutan Hari Statistik Negara dan Sedunia serta Persidangan Statistik Malaysia secara maya semalam.

Tambah Mustapa, pada 9 September lalu, Jemaah Menteri telah bersetuju untuk memperkasa sistem statistik negara dengan meluluskan penubuhan Majlis Statistik dan Data Negara (MSDN) sebagai badan penasihat tertinggi yang berperanan memberi hala tuju sistem statistik dan penyelarasan maklumat negara.

Katanya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri akan mempengerusikan mesyuarat pertama MSDN dengan majlis itu turut dianggotai beberapa menteri, wakil kerajaan dan swasta.

“Kabinet turut bersetuju memberi peranan lebih besar kepada Jabatan Perangkaan (DOSM) sebagai agensi pusat dalam penyelarasan sistem statistik negara dengan jabatan itu bertanggungjawab membantu, menyelaras dan mengawal penghasilan statistik kementerian, jabatan lain dan agensi kerajaan.

“Selaras dengan itu, Ketua Pegawai Data (CDO) Jabatan Perangkaan di bawah kementerian, jabatan dan agensi di bawah kawal selia DOSM turut dilantik bagi membangunkan mekanisme sistematik untuk koordinasi, capaian dan kerjasama perkongsian data,” katanya.

Selain itu, Mustapa berkata, Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989) juga akan dipinda selaras dengan pengukuhan yang akan dilaksanakan apabila fungsi serta peranan DOSM diperkasakan bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanannya sebagai sebuah agensi statistik setanding dengan agensi statistik terbaik seluruh dunia.

“Covid-19 telah mengubah kehidupan manusia dengan kita perlu hidup dalam norma baharu dan disiplin tinggi bagi memutuskan rangkaian jangkitan ini.

“Daripada krisis ini, kerajaan menyedari kepentingan data untuk merangka strategi khusus bagi memastikan kehidupan rakyat tidak terjejas dengan lebih teruk.

“Oleh itu, sistem statistik negara perlu diperkukuh bagi memastikan data yang ada diselaraskan dan dapat digunakan kerajaan dalam merangka dasar atau membuat keputusan,” katanya.

Sumber : Utusan


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90