Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label Undang-Undang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Undang-Undang. Papar semua catatan

Menghendap secara maya berulang kali satu jenayah dalam pindaan Akta 574

by

 


Bukan sahaja menghendap secara fizikal, malah perbuatan menghendap secara maya berulang kali juga adalah satu jenayah menurut Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022, Akta Kanun Keseksaan (Akta 574).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata walaupun perbuatan menghendap secara maya tidak membabitkan sentuhan atau mendatangkan kecederaan, tetapi ia boleh mengganggu mental dan emosi mangsa.

"Sebagai contoh, berlaku insiden A telah berpisah dengan B, namun B sering mengganggu A dengan pelbagai mesej dan sebagainya.

"Apabila A tukar nombor telefon, B masih lagi menghubungi A di media sosial dengan mengubah pelbagai nama samaran sehingga ada sampai 10 ke 20 akaun (media sosial) hanya untuk memastikan hidup A tidak tenteram.

"Apabila (mangsa) pergi ke balai polis untuk membuat laporan, polis tidak boleh ambil tindakan… sebab tidak mendatangkan kecederaan kepada mangsa. Sebab itu (ada) mangsa yang sampai berhenti kerja dan sanggup keluar negara kerana khuatir diekori lagi," katanya.

Justeru Mas Ermieyati berkata adalah penting dan tepat pada masanya untuk meluluskan rang undang-undang 'anti menghendap' itu untuk melindungi mangsa secara menyeluruh dan bukan hanya daripada yang mendatangkan kecederaan semata-mata.

"… kalau tidak ada satu undang-undang yang benar-benar melindungi mangsa, saya khuatir akan (berlaku) lebih banyak (kes menghendap) sehingga mendatangkan kecederaan (pada masa akan datang)," katanya.

Sementara itu Mas Ermieyati berkata beliau juga optimis rang undang-undang yang dijangka akan dibacakan kali kedua dan ketiga pada Mesyuarat Ketiga mulai Oktober depan itu, akan diluluskan di Parlimen pada hujung tahun ini.

Pada 4 Ogos lalu, pindaan Akta 574 bagi memasukkan perbuatan menghendap sebagai satu jenayah telah dibentang di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama.

Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022 itu bertujuan memasukkan seksyen baharu 507a ke dalam Akta 574 untuk mengadakan peruntukan bagi kesalahan menghendap.

Menurut rang undang-undang itu, sesiapa yang berulang kali dengan apa-apa tindakan gangguan, berniat untuk menyebabkan, atau mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa perbuatan itu berkemungkinan menyebabkan, merisaukan, menakutkan atau mencemaskan akan keselamatan orang itu, melakukan kesalahan menghendap.

Rang undang-undang itu juga menyatakan sesiapa yang melakukan kesalahan menghendap hendaklah dihukum penjara sehingga tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya. 

Sumber : BERNAMA

Waris Kesultanan Sulu rampas aset PETRONAS, Malaysia bertindak balas

by

 


Akhbar Financial Times semalam melaporkan aset dua anak syarikat PETRONAS di Azerbaijan dirampas oleh waris kesultanan Sulu, yang menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia.

Peguam pihak yang menuntut dilaporkan merampas aset PETRONAS yang didaftarkan di Luxembourg, iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, dengan nilai dilaporkan mencecah lebih AS$2 bilion (RM8.8 bilion).

Langkah itu adalah sebahagian tindakan undang-undang yang dikemukakan pada 2017 oleh waris Sultan Sulu untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa mereka dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menjelaskan Mahkamah Rayuan Paris semalam membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan Mahkamah Arbitrasi Paris, dengan alasan perundangan kes itu menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.

Berikutan perintah penggantungan itu, Final Award yang diputuskan penimbang tara Sepanyol, Dr Gonzalo Stampa bertarikh 28 Februari 2022 tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara sehingga Mahkamah Paris membuat keputusan muktamad berkenaan permohonan pembatalan Final Award dibuat kerajaan.

Wan Junaidi menegaskan, kerajaan Malaysia sedang membuat persiapan yang rapi untuk pendengaran bagi pembatalan Final Award yang mana tarikh pendengarannya belum ditetapkan.

Katanya, perintah penggantungan itu hasil pelbagai tindakan perundangan yang diambil Kerajaan Malaysia bermula dari tuntutan itu yang difailkan bagi menamatkan segala tuntutan dan memastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara.

"Kerajaan Malaysia akan terus mengambil semua langkah yang sewajarnya termasuk tindakan perundangan untuk menamatkan segala tuntutan waris Sultan Sulu dan memastikan kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Junaidi berkata, Final Award bertarikh 28 Februari 2022 dikeluarkan oleh Dr Gonzalo Stampa (perintah penggantungan) berikutan tuntutan oleh pihak-pihak yang mendakwa sebagai waris dan 'successors-in-interest' kepada Sultan Jamalul Kiram II melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol.

Terdahulu, PETRONAS dalam kenyataan malam tadi, memaklumkan sudah melupuskan dua asetnya di Azerbaijan dan hasilnya sudah dipulangkan.

Wan Junaidi menegaskan, Kerajaan Malaysia tidak pernah mengiktiraf tuntutan waris Sultan Sulu dan tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat.

Malaysia sebelum ini mengenepikan keputusan Mahkamah Arbitrasi Paris, Perancis, yang menuntut Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion kepada pihak yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.

Kementerian Luar dan Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan bersama ketika itu juga menjelaskan, perkara dalam tuntutan itu bukan bersifat komersial dan tidak boleh dibawa ke prosiding timbang tara, malah Perjanjian 1878 sendiri tidak mengandungi apa-apa peruntukan timbang tara.

"Kerajaan Malaysia ingin menekankan bahawa identiti pihak yang mendakwa waris yang melakukan tuntutan itu juga diragui dan belum disahkan," kata kenyataan bersama itu.

Wan Junaidi menjelaskan, semalam dua syarikat subsidiari Petronas di Luxembourg dimaklumkan mengenai penguatkuasaan Final Award melalui penyerahan notis yang dikeluarkan oleh Mahkamah Luxembourg.

"Petronas sebagai sebuah syarikat akan mengambil tindakan perundangan yang perlu untuk mempertahankan kedudukannya di bawah undang-undang," katanya.

Katanya, Kerajaan Malaysia sudah mengambil tindakan perundangan di Madrid, Sepanyol termasuk membuat permohonan bagi pengiktirafan dan penguatkuasaan perintah deklarasi dan injunksi bagi memberhentikan prosiding timbang tara di Sepanyol dengan merujuk keputusan Mahkamah Tinggi Sabah pada 14 Januari 2020, permohonan bagi membatalkan pelantikan penimbang tara dan permohonan untuk mengenepikan 'Partial Award on Jurisdiction' bertarikh 25 Mei 2020 yang dikeluarkan Dr Stampa.

"Dengan tindakan perundangan yang diambil Kerajaan Malaysia, Mahkamah Tinggi Madrid, Sepanyol, pada 29 Jun 2021 telah membatalkan pelantikan Dr Stampa dan memutuskan semua prosiding timbang tara serta apa-apa keputusan Dr Stampa, termasuk Final Award adalah tidak sah, terbatal dan tidak boleh dikuatkuasakan di bawah undang-undang.

"Dr Stampa tidak menghormati dan tidak mempedulikan keputusan mahkamah di Madrid dan sebaliknya memindahkan tempat prosiding timbang tara ke Paris.

"Pada 29 September 2021, pihak penuntut telah memperoleh Perintah Exequatur secara ex-parte (sebelah pihak) daripada Tribunal de Grande Instance di Paris, yang telah mengiktiraf 'Partial Award' yang dikeluarkan pada 25 Mei 2021 dan dengan itu membenarkan Dr Stampa memindahkan tempat prosiding timbang tara ke Paris," katanya.

Rentetan itu, jelas beliau Kerajaan Malaysia mencabar Perintah Exequatur yang diperoleh secara ex-parte itu dan Kerajaan Malaysia berjaya memperoleh perintah penggantungan bertarikh 16 Disember 2021 daripada First President of the Paris Court of Appeal.

"Ini bermakna pihak penuntut terhalang daripada bergantung pada Perintah Exequatur yang diperoleh pada 29 September 2021. Bertentangan dan bercanggahan dengan perintah penggantungan itu, penuntut mengekalkan kedudukan dan pendirian bahawa Perintah Exequatur itu berkuat kuasa dan Final Award telah dikeluarkan di tempat timbang tara di Paris, Perancis," katanya.

Selain itu, beliau berkata, Kerajaan Malaysia juga telah memfailkan prosiding jenayah terhadap Dr Stampa bagi kesalahan menghina mahkamah di Mahkamah Jenayah di Madrid dan prosiding itu masih berjalan.

Sumber : Berita Harian

Hukuman mati mandatori dimansuhkan

by

 


Kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini, dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pada Mesyuarat Jemaah Menteri, kelmarin.

Wan Junaidi dalam satu kenyataan, hari ini, berkata kerajaan juga secara prinsipnya menerima serta mengambil maklum syor-syor Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dijelaskan melalui laporan kajian itu.

"Jemaah Menteri telah bersetuju agar penelitian dan kajian lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234), serta 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah.

"Kajian lanjut ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri serta lain-lain kementerian dan jabatan berkepentingan.

"Tindakan ini amat signifikan bagi memastikan pindaan akta-akta yang berkaitan mengambil kira prinsip 'proportionality' serta keperlembagaan (constitutionality) mana-mana cadangan kepada kerajaan nanti," katanya.

Selain itu, Wan Junaidi memaklumkan, kerajaan juga akan mengkaji kebolehlaksanaan berkaitan hala tuju sistem keadilan jenayah di negara ini.

Antaranya, pewujudan prosedur pra-penghukuman, penubuhan Majlis Penghukuman, pembangunan Garis Panduan Penghukuman, penubuhan Suruhanjaya Pembaharuan Undang-Undang, pembaharuan institusi kepenjaraan, dan pelaksanaan hukuman berdasarkan 'restorative justice'.

Beliau menjelaskan, keputusan berkaitan perkara itu menunjukkan keutamaan kerajaan untuk memastikan hak semua pihak adalah terpelihara dan terjamin.

"Ia sekali gus mencerminkan ketelusan barisan kepimpinan negara ini dalam menambah baik sistem keadilan jenayah negara yang serba dinamik," katanya.

Beliau berkata, kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas komitmen diberikan Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori, dalam penghasilan laporan kajian itu yang menjadi asas kepada perubahan sistem keadilan jenayah negara yang lebih sistematik dan efektif.

Jawatankuasa itu diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum, dan dianggotai pakar dalam bidang perundangan meliputi bekas Hakim Besar Malaya, bekas Peguam Cara Negara, pengamal undang-undang, pensyarah undang-undang dari institusi pengajian awam terkemuka, serta pakar kajian jenayah.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, turut kongsikan kenyataan Wan Junaidi berkenaan menerusi akaun Twitter beliau, hari ini.

"Kabinet bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di Malaysia. Undang-undang berkaitan akan dipinda," katanya.

Sumber : Berita Harian

Agong tak perlu temui semua Ahli Parlimen untuk lantik Perdana Menteri baharu

by

 

Yang di-Pertuan Agong boleh melantik mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mempunyai sokongan majoriti, tanpa perlu menemui kesemuanya secara peribadi bagi mengetahui calon Perdana Menteri yang menjadi pilihan masing-masing.

Perkara itu termaktub dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, yang mana baginda mempunyai kuasa prerogatif bagi menentukan kaedah pemilihan bagi lantikan jawatan itu, selagi syarat dalam peruntukan berkenaan dipenuhi.

Pakar Perlembagaan, Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, berkata Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan kebijaksanaan dan budi bicara baginda dalam proses untuk membuat lantikan itu, selagi kaedah yang ditentukan baginda tidak dibataskan dalam Perlembagaan.

"Baginda boleh memilih mana-mana ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin boleh mendapat majoriti. Undi majoriti itu pula hanya perlu dibuktikan selepas lantikan sebagai Perdana Menteri, bukan sebelumnya. 

"Bagaimana cara untuk baginda menentukannya, itu terserah kepada kebijaksanaan baginda kerana kuasa baginda di bawah perlembagaan luas selagi tidak dibataskan, tidak terhad seperti pelaksana fungsi kuasa eksekutif baginda, iaitu Perdana Menteri, ahli Kabinet dan lain-lain penjawat.

"Mungkin Yang di-Pertuan Agong boleh memanggil setiap Ahli Dewan Rakyat untuk bertanya mengenai sokongan mereka seperti yang berlaku sebelum ini, tapi itu juga tidak menjadi satu syarat buat baginda sebenarnya.

"Mungkin juga baginda boleh menemuramah calon bagi mengetahui perancangan calon itu jika dipilih sebagai Perdana Menteri, bagaimana beliau akan mengemudi negara sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) atau dasarnya yang boleh mengukuhkan kedudukan kerajaan selepas ini.

"Apa yang penting, Yang di-Pertuan Agong akan bertindak berdasarkan kebijaksanaan baginda, terutama dalam situasi yang sedang dihadapi rakyat dan negara ketika ini," katanya kepada BH, hari ini.

Wan Ahmad Fauzi mengulas sama ada pelantikan Perdana Menteri baharu oleh Yang di-Pertuan Agong memerlukan sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Rakyat sebagai syarat, susulan kemelut politik yang melanda negara ketika ini.

Muhyiddin dijangka akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah esok, dipercayai berhubung kedudukannya sebagai Perdana Menteri, selepas dipercayai hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Ketika kemelut politik susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri pada Februari tahun lalu, semua Ahli Dewan Rakyat kecuali Dr Mahathir yang ketika itu dilantik sebagai Perdana Menteri interim dipanggil untuk menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara.

Semua Ahli Dewan Rakyat itu dititah untuk menzahirkan calon Perdana Menteri pilihan mereka kepada Al-Sultan Abdullah dalam sesi temubual secara peribadi.

Menjelaskan sama ada keabsahan Perdana Menteri baharu itu kelak perlu dibuktikan melalui undi percaya di Dewan Rakyat, Wan Ahmad Fauzi berkata, ia juga boleh dilakukan tapi bukan satu keperluan.

"Semua itu boleh dilihat melalui proses selepas itu, contohnya melalui sokongan kepada belanjawan di Dewan Rakyat. Sebelum ini pun, Tan Sri Muhyiddin juga tidak membawa sebarang usul undi percaya bagi membuktikan sokongan kepadanya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.

"Bagi langkah seterusnya, terserah kepada Perdana Menteri untuk mencorak Kabinetnya atau membuat kerjasama politik yang difikirkan boleh menjamin kestabilan sekurang-kurangnya sehingga PRU, seperti mahu membentuk kerajaan perpaduan atau apa saja," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Penggunaan beg plastik ‘diharamkan’ di seluruh negara

by

 

Beg plastik tidak lagi digunakan di semua premis di seluruh negara selepas pelaksanaannya dipersetujui oleh semua kerajaan negeri.

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam kenyataannya memberitahu, mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-76 semalam meluluskan Kertas Cadangan Pelaksanaan Kempen Tiada Beg Plastik oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dibentangkan KASA.

Menurutnya, MNKT turut bersetuju meluluskan pelaksanaannya di semua premis seluruh negara dengan mengenakan caj minimum 20 sen bagi setiap beg plastik yang diberikan kepada pelanggan di kaunter pembayaran.

“Pengenaan caj ini berpandukan prinsip ‘user-pay-principal’ yang bertujuan menghindari penggunaan plastik sekali guna.

“Justeru, kutipan ini perlu diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk digunakan bagi aktiviti kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Dalam pada itu, pelaksanaan Kempen Tiada Beg Plastik ini dibuat dalam dua fasa iaitu fasa pertama mulai Disember ini hingga 2021.

“Ia tertumpu kepada premis kekal iaitu pasar raya hiper, pasar raya besar, pasar raya serbaneka, kedai serbaneka, restoran makanan segera, kedai serbaneka stesen minyak, kedai rangkaian serta farmasi.

“Bagi pelaksanaan fasa kedua bermula 2022 hingga 2025, kempen itu akan diperluaskan kepada jenis premis perniagaan lain termasuk kedai runcit, pasar basah, pasar malam, pasar tani dan sebagainya,” katanya

Mengulas lanjut, usaha ini selari dengan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018 – 2030 bertujuan membendung pencemaran plastik sekali guna dan beralih kepada alternatif lain lebih mesra alam.

“Sehubungan itu, KASA akan bekerjasama dengan semua kerajaan negeri dan PBT dalam usaha gerak kerja pelaksanaan kempen ini termasuk memberi penerangan dan kesedaran kepada orang ramai mengenai keperluan menghindari penggunaan plastik sekali guna.

“Orang ramai adalah digalakkan untuk membawa beg guna semula semasa membeli-belah dalam usaha bersama melestarikan alam sekitar,” ujarnya.

Sementara itu, dalam mesyuarat MNKT tersebut, KASA diwakili Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad yang turut menyatakan inisiatif kempen itu untuk menangani masalah pencemaran plastik sekali guna.

Malah, beliau mengucapkan penghargaan atas sokongan dan komitmen semua kerajaan negeri untuk melaksanakan inisiatif tersebut dalam meningkatkan penghayatan gaya hidup hijau dalam kalangan rakyat Malaysia. 

Sumber : Kosmo!


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90