Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label apec 2020. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label apec 2020. Papar semua catatan

BNM keluar syiling peringatan APEC 2020

by

 


Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan duit syiling peringatan sempena Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020.

Duit syiling peringatan ini dilancarkan bersempena dengan Mesyuarat Ketua-ketua Negara APEC hari ini.

Menurut BNM, duit syiling itu ditempa dengan dua teknik permukaan yang berbeza dengan menggunakan teknologi laser canggih dan digital frosting untuk mencipta kesan pelangi.

“Reka bentuk ini merupakan pengeluaran yang pertama seumpama itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Reka duit syiling adalah:

*Bahagian hadapan – Artistik 21 imej manusia (human figures) pada bahagian tengah, melambangkan kerjasama 21 negara APEC untuk mengekalkan pertumbuhan dan pembangunan di rantau ini.

Perkataan Asia-Pacific Economic Cooperation 2020 dipaparkan pada bahagian atas duit syiling, manakala tema APEC 2020 iaitu “Optimising Human Potential Towards A Future Of Shared Prosperity” dipaparkan pada bahagian bawah duit syiling.

* Bahagian belakang – Mengandungi elemen hiasan corak songket bunga pecah lapan yang menjadi latar belakang bahagian itu, melambangkan kekayaan budaya Malaysia. Nilai muka duit syiling dipaparkan pada bahagian tengah, manakala logo rasmi APEC 2020 terletak di bahagian bawah.

Jelas BNM lagi, spesifikasi kedua-dua duit syiling peringatan adalah:
* Syiling peringatan perak berwarna (pruf).
Diperbuat daripada logam perak dengan ketulenan 99.9 dan berat setiap keping ialah 31.1 gram.  Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan dijual pada harga RM253 sekeping. Sebanyak 1,000 keping telah ditempa.

* Syiling peringatan emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U)
Diperbuat terutamanya menggunakan tembaga dan berat setiap keping ialah 8.5 gram. Nilai muka duit syiling ini RM1 dan dijual pada harga RM13.20 sekeping. Sebanyak 15,000 keping telah ditempa.

“Terdapat juga duit syiling peringatan set dua dalam satu untuk jualan. Set ini mengandungi satu duit syiling perak dan satu duit syiling emas Nordic. Setiap set dijual pada harga RM308 dan terdapat 750 set sahaja. Harga termasuk 10 peatus Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST),” katanya.

Sumber : Utusan

 

Deklarasi Kuala Lumpur APEC 2020 fokus usaha pulih daripada Covid-19

by

 

Deklarasi Kuala Lumpur yang dimeterai pemimpin 21 negara Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) berfokus kepada usaha pemulihan daripada pandemik Covid-19 dan impak-impak ekonominya.

Deklarasi yang disepakati sebagai kesimpulan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) 2020 itu meletakkan empat keutamaan yang akan memandu rantau Asia Pasifik ke arah pertumbuhan ekonomi yang kuat, seimbang, inklusif, mampan, inovatif dan terlindung.

Empat keutamaan tersebut adalah memerangi dan mengurangkan impak Covid-19; menambah baik naratif perdagangan dan pelaburan; penyertaan ekonomi yang inklusif melalui ekonomi digital dan teknologi serta memacu kemampanan inovatif.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bertindak sebagai Pengerusi AELM berkata, kesemua pemimpin APEC memberi perhatian terhadap impak Covid-19 terhadap ekonomi membangun dengan keutamaan kepada melindungi kesejahteraan rakyat dan dalam masa sama terus menggerakkan aktiviti ekonomi.

“Pemimpin APEC turut mengiktiraf keperluan golongan yang paling terkesan akibat pandemik dan keperluan untuk memperkasa sektor ekonomi.

“Kami juga mengalu-alukan sumbangan sumber tambahan dari seluruh APEC untuk memerangi pandemik serta menyokong pekerja dan sektor melalui proses pemulihan ekonomi,” katanya dalam sidang akhbar maya selepas mesyuarat tersebut.

Dalam pada itu, berkenaan vaksin Covid-19, Muhyiddin berkata, semua pemimpin memberi komitmen untuk bekerjasama dan menyokong satu sama lain bagi menjamin akses yang adil untuk vaksin tersebut.

“Satu usaha yang penting ialah Deklarasi untuk Memudah Cara Pergerakan Barang Keperluan di APEC yang dirintis oleh Malaysia. Deklarasi ini memastikan bahawa barangan keperluan boleh digerakkan melalui sempadan tanpa disekat oleh peraturan perdagangan yang tidak adil.

“Deklarasi ini akan memimpin kita ke arah aliran perdagangan dan pelaburan yang lebih kondusif di seluruh ekonomi APEC melalui sistem perdagangan yang terbuka, bertenaga, telus dan mampan,” katanya.

AELM ke-27 disertai 21 pemimpin negara anggota APEC dan pertama kali dilangsungkan secara maya malam tadi.

Antara pemimpin yang menyertai mesyuarat itu termasuk Presiden China, Xi Jinping; Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern; Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga; Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Hak penganjuran sidang kemuncak APEC 2021 diserahkan kepada New Zealand selaku tuan rumah tahun hadapan dan majlis simbolik penyerahannya disempurnakan oleh Muhyiddin kepada Jacinda Ardern secara maya, malam tadi.

Sumber : UTUSAN


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90