Memaparkan catatan dengan label bantuan covid19. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bantuan covid19. Papar semua catatan

Selasa, Oktober 27, 2020

AgroBank lulus 9,101 permohonan bantuan penjadualan semula pinjaman

 

Agrobank meluluskan 9,101 permohonan untuk bantuan penstrukturan dan penjadualan semulanya.

Bank itu berkata permohonan itu terdiri daripada pelanggan komersial, pengguna dan perusahaan mikro yang memohon bantuan kewangan tambahan bagi meredakan aliran tunai mereka yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19.

Penanggung Tugas Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khatijah Iskandar, berkata Agrobank komited untuk memberikan sokongan kepada pelanggannya pada masa yang mencabar ini.

"Bagi pelanggan yang masih menghadapi kesukaran untuk membayar ansuran bulanan mereka, Agrobank akan terus menawarkan bantuan pembayaran balik dan menerima permohonan sehingga Jun 2021.

"Kami ingin memaklumkan kepada semua pelanggan kami bahawa sebarang bantuan kewangan yang diambil tidak akan mempengaruhi Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Agrobank juga menggalakkan semua pelanggannya untuk tampil menyusun semula atau menjadualkan semula kemudahan pembiayaan mereka, sebagai penyelesaian jangka panjang selepas tamat tempoh pelaksanaan moratorium.

Setakat hari ini, Agrobank telah meluluskan semua permohonan moratorium lanjutan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Julai.

Memandangkan bank berkenaan menyediakan pembiayaan dalam seluruh rantaian nilai pertanian, Khatijah berkata bantuan tersebut terbuka kepada individu, perusahaan mikro, perusahaan kecil dan sederhana, juga pelanggan korporat.

"Kami mengalakkan agar pelanggan kami untuk berhubung dengan pegawai bank mengenai pilihan yang ada atau sekiranya mereka tidak pasti apa yang harus dilakukan selanjutnya," tambahnya.

Sumber : BERNAMA

 

Hong Leong Bank lanjut bantuan bayar balik pinjaman hingga Jun 2021

 

Hong Leong Bank (HLB) dan Hong Leong Islamic Bank (HLISB) akan melanjutkan Pelan Bantuan Pembayaran HLB (HLB PRAP) kepada pelanggan masing-masing sehingga 30 Jun 2021.

Dalam satu kenyataan, HLB mengulangi pelan bantuan pembayaran itu bertujuan untuk membantu pelanggan memulihkan kedudukan mereka dan ia termasuk permohonan untuk pelanggan yang telah mula membuat pembayaran tetap tetapi mungkin masih berdepan dengan halangan.

"Bentuk bantuan itu meliputi, tetapi tidak terbatas kepada, tempoh penangguhan pembayaran tambahan untuk pelanggan yang telah kehilangan pekerjaan atau menutup perniagaan mereka, atau pengurangan ansuran pinjaman bulanan dengan jangka masa pinjaman dilanjutkan bersesuaian dengan tahap pengurangan pendapatan pelanggan," katanya.

HLB berkata pihak bank juga telah mendedikasikan Pelan Bantuan Penukaran Baki Kad Kredit untuk membantu pelanggan menguruskan hutang kad kredit mereka.

Pelan itu membenarkan pelanggan menukar baki kad kredit tertunggak mereka ke dalam pinjaman berjangka dengan memilih pelan ansuran 36 bulan pada kadar faedah efektif 13 peratus setahun (kadar faedah rata 7.1 peratus setahun).

Pihak bank akan menerima permohonan untuk fleksibiliti tersebut sehingga 30 Jun 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif HLB dan Pengarah Urusan Kumpulan, Domenic Fuda, berkata bank itu kekal fokus dan tangkas bagi memastikan bantuan tambahan dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

"Kami juga memberi bantuan kepada pelanggan yang ingin mengembangkan perniagaan mereka, atau mengautomasikan atau mendigitalkan operasi mereka, atau khususnya kepada individu yang sedang mencari pembiayaan baharu untuk memenuhi keperluan peribadi mereka," katanya.

Pelanggan boleh menghubungi talian hotline Pelan Bantuan Pembayaran HLB/HLISB di talian 03-7959 1888 atau lawati www.hlb.com.my/relief untuk maklumat lanjut.

Sumber : BERNAMA

 

Isnin, Oktober 26, 2020

Pelanggan BSN diminta mohon pakej susun semula pembiayaan

 

Bank Simpanan Nasional (BSN) menyeru agar pelanggan yang terjejas oleh pandemik COVID-19 untuk menghubungi pihak bank bagi mendapatkan bantuan yang bersesuaian. 

Pakej Penyusunan Semula Pembiayaan yang ditawarkan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) masih dibuka sehingga 31 Disember depan.

Ketua Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd Ghani, berkata pelanggan yang masih belum memberi maklum balas diminta segera memohon Pakej Penyusunan Semula Pembiayaan.

"Kami menasihatkan agar pelanggan yang berhasrat memohon bantuan untuk menghubungi kami dengan kadar segera kerana proses bagi meneliti setiap permohonan akan mengambil masa".  

Tiga sektor utama pelanggan mikro yang telah memohon Pakej Penyusunan Semula Pembiayaan BSN adalah daripada sektor perdagangan runcit, perdagangan borong serta penjualan dan pembaikan kenderaan.

BSN turut menegaskan kepada pelanggannya bahawa sebarang bantuan pembayaran yang diambil tidak akan menjejaskan status Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) mereka.

Pelanggan boleh mengunjungi cawangan utama BSN di seluruh negara (kecuali Kedah) serta cawangan–cawangan terpilih di Kuala Lumpur dan Selangor.

Bagi Negeri Kedah pula, pelanggan boleh berkunjung ke cawangan BSN Aman Jaya.

Senarai cawangan BSN yang beroperasi boleh didapati melalui laman sesawang www.mybsn.com.my.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi pusat hubungan BSN melalui talian 1-300-88-1900. 

Sumber : BERNAMA

Selasa, Oktober 20, 2020

Maybank lulus 99 peratus permohonan bantuan pembayaran semula

 

Malayan Banking Bhd (Maybank) meluluskan lebih 99 peratus daripada 81,000 permohonan oleh individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk bantuan pembayaran semula pada 15 Oktober 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan Kewangan Komuniti) Maybank, Datuk John Chong, berkata kira-kira 38 peratus permohonan yang diluluskan telah mendapat lanjutan moratorium terhadap pembayaran balik pinjaman/pembiayaan mereka.

"Kami masih memproses permohonan tambahan memandangkan terdapat permohonan dibuat pada saat-saat akhir yang diterima selepas 1 Oktober," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Maybank sentiasa bersedia untuk terus membantu pelanggannya dan mereka yang memerlukan bantuan masih boleh menghubungi bank untuk membincangkan pakej pembayaran semula bagi memenuhi keperluan kewangan mereka ketika ini.

Chong berkata, lebih 85 peratus pangkalan pelanggan runcit Maybank meneruskan pembayaran pinjaman/pembiayaan seperti biasa mulai 1 Oktober, 2020.

"Kami akan terus berhubung dengan mereka yang menghadapi kesukaran, Maybank akan membantu mereka dengan penyelesaian yang sesuai," katanya.

Selain bantuan pembayaran balik, beliau berkata, Maybank akan terus menawarkan penyelesaian pembiayaan kepada pelbagai segmen pelanggannya, termasuk PKS dan dan PKS mikro yang mahu mengembangkan perniagaan mereka.

"Kami mempunyai pelbagai pilihan pembiayaan yang tersedia, Pembiayaan Digital PKS adalah pilihan terbaharu dilancarkan, penyelesaian pembiayaan digital dengan tempoh kelulusan pantas selama 10 minit saja," katanya.

Beliau berkata, PKS melalui penyelesaian itu dapat memohon pembiayaan secara dalam talian melalui platform Maybank2U atau Maybank2U Biz yang dibuka selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu tanpa perlu mengunjungi cawangan dan proses permohonannya selesa dengan hanya memerlukan maklumat minimum dan tiada dokumen diperlukan untuk pelanggan sedia ada.

Chong berkata, memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di beberapa wilayah di seluruh negara, Maybank menggalakkan pelanggan yang ingin memohon bantuan pembayaran semula untuk melakukannya melalui Maybank2u atau e-mel ke weassist@maybank.com atau SMErelief@maybank.com.

"Saluran ini memberikan pilihan mudah kepada pelanggan kami kerana mereka juga tidak perlu keluar rumah mereka untuk datang ke cawangan Maybank untuk menghantar permohonan pakej bantuan berkenaan," katanya.

Mereka yang perlu mengunjungi cawangan Maybank untuk tujuan tertentu akan disediakan dengan kemudahan tambahan untuk menggunakan sistem pengurusan janji temu dalam talian Maybank EzyQ yang baru dilancarkan untuk menetapkan tarikh lawatan mereka, kata Chong.

Pakej Bantuan Pembayaran Semula itu merangkumi penangguhan pembayaran pinjaman atau pembiayaan tambahan bagi mereka yang diberhentikan kerja dan menganggur akibat pandemik COVID-19 serta pengurangan pembayaran pinjaman atau pembiayaan bagi mereka yang berpendapatan rendah.

Pelanggan yang mahu maklumat lanjut mengenai Bantuan Pembayaran Balik Maybank boleh melayari www.maybank2u.com.my/covid19 atau menghubungi Maybank di 1- 300-88-6688 dan tekan * 1 untuk "Bantuan Pembayaran Semula". 

Sumber : BERNAMA

Recent Posts