Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label bil elektrik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bil elektrik. Papar semua catatan

85 peratus pengguna tak terjejas pelarasan tarif elektrik 1 Januari 2024

by

 


Kira-kira 1.2 juta isi rumah dengan bil elektrik RM220 sebulan akan mengalami kenaikan antara 4.2 hingga enam peratus bil bulanan mulai 1 Januari ini sebagai langkah penyasaran semula subsidi elektrik oleh kerajaan.

Ini bermakna, isi rumah yang terkesan akan membayar tambahan RM12 hingga RM32 setiap bulan bagi bil elektrik.

Walau bagaimanapun, penyasaran semula subsidi elektrik bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2024 di bawah pelaksanaan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) itu akan menyaksikan 85 peratus pengguna domestik di Semenanjung Malaysia tidak terkesan.

Dalam satu kenyataan, Suruhanjaya Tenaga (ST) berkata penyasaran itu menyaksikan pengguna domestik dengan penggunaan elektrik antara 601 hingga 1,500 kilowatt sejam (kWj) tidak lagi menikmati rebat dua sen/kWj.

Bagi tujuh juta pengguna dengan penggunaan kurang daripada 600 kWj, tiada perubahan berlaku dengan menyaksikan isi rumah berkenaan masih menikmati rebat dua sen/kWj.

Surcaj penggunaan elektrik pengguna domestik yang melebihi 1,500kWj pula kekal 10 sen/kWj.

Bagi kategori pengguna bukan domestik pula, surcaj kekal 3.70 sen/kWj bagi tarif komersial dan perindustrian voltan rendah (tarif B dan D), tarif pertanian spesifik (H, H1 dan H2) selain operator air & pembetungan.

Sementara itu, pengguna bukan domestik lain surcaj kekal pada kadar 17 sen/kWj.

"Berdasarkan keputusan ini, sejumlah 85 peratus atau tujuh juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia tidak terjejas dengan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2024.

"Sehubungan itu, sejumlah 99 peratus atau 8.2 juta pengguna domestik masih menerima subsidi daripada kerajaan.

"Manakala, bagi semua pengguna bukan domestik, surcaj yang dikenakan adalah kekal sama.

Suruhanjaya Tenaga berkata, berdasarkan kepada penyasaran semula subsidi ini, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM1.9 bilion subsidi kepada kategori-kategori pengguna yang terbabit bagi meminimumkan impak surcaj ICPT sepanjang tempoh pelaksanaan ini.

"Pengguna boleh merujuk kepada bil elektrik bulanan masing-masing bagi memantau penggunaan elektrik dan subsidi yang diberikan.

"Selain itu, pengguna juga boleh menganggarkan kos bil elektrik bulanan pada masa akan datang dengan menggunakan kalkulator tarif elektrik yang dapat dicapai melalui laman sesawang https://myelectricitybill.my/.

Pengguna TNB nikmati diskaun bil elektrik 40 peratus

by

 

 

Kementerian Tenaga Dan Sumber Asli (KeTSA) memperincikan pemberian diskaun bil elektrik secara bersasar kepada pengguna domestik dan bukan domestik di Semenanjung dan Sabah yang diumumkan kerajaan dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

Menterinya Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menjelaskan, seramai 2.9 juta pengguna domestik di Semenanjung yang menggunakan elektrik bulanan sebanyak 200 kilowatt jam (kWj) akan menikmati diskaun bil elektrik sebanyak 40 peratus.

Katanya, bagi pengguna domestik yang menggunakan elektrik bulanan antara 201 hingga 300kWj pula akan mendapat diskaun sebanyak 15 peratus, penggunaan elektrik di antara 301 hingga 600kWj (diskaun 10 peratus) dan penggunaan elektrik di antara 601 hingga 900kWj (lima peratus).

"Diskaun ini akan diberikan bagi bil elektrik bulan Julai, Ogos dan September ini," katanya dalam kenyataan.

Diskaun itu antara inisiatif bantuan menerusi pakej Pemulih yang bernilai RM150 billion diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, untuk meringankan beban rakyat berikutan pendemik Covid-19.

Shamsul Anuar berkata, bagi pengguna elektrik bukan domestik di Semenanjung pula, diskaun diberikan lima peratus bagi kategori tarif komersial, industri dan pertanian di bawah voltan rendah, manakala pengguna elektrik dalam enam sektor perniagaan terpilih dalam inisiatif PEMERKASA Plus akan terus menerima diskaun 10 peratus bagi tempoh yang sama.

Sementara itu, pengguna elektrik di Sabah akan menikmati diskaun bil elektrik secara bersasar bagi tempoh tiga bulan bermula Julai melibatkan diskaun 40 peratus bagi penggunaan elektrik bulanan sebanyak 200kWj dan ke bawah.

"Pengguna elektrik bulanan di antara 201 hingga 300kWj terima diskaun 15 peratus; 301 hingga 500kWj (diskaun 10 peratus) dan 501 hingga 1000kWj (diskaun lima peratus).

"Bagi pengguna bukan domestik di Sabah di bawah kategori komersial, industri dan pertanian bervoltan rendah akan menikmati diskaun bil elektrik sebanyak lima peratus, sama seperti di Semenanjung," katanya.

Sepanjang tempoh kawalan pergerakan Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara, beliau berkata, tiada pemotongan bekalan elektrik kepada semua pengguna, penangguhan pemotongan bekalan elektrik kepada pengguna domestik yang mempunyai tunggakan bil tidak melebihi enam bulan sehingga 30 September dan Pelan Bayaran Mudah untuk pengguna domestik ditawarkan sehingga 31 Disember.

Sumber : Harian Metro

 

TNB kongsi tip jimat tenaga sepanjang PKP 3.0

by

 

Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyarankan pengguna memantau dan mengurus penggunaan elektrik di rumah bagi mengelak pembaziran tenaga terutamanya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan.

Ketua Pegawai Runcit TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, kadar penggunaan elektrik domestik dijangka meningkat dalam tempoh tersebut kerana lebih banyak masa dihabiskan rakyat di tempat kediaman masing-masing.

“Namun pelanggan mempunyai pilihan berhubung perkara ini termasuk menutup suis peralatan apabila tidak digunakan dan mengamalkan tip cekap tenaga apabila menggunakan peralatan yang menggunakan banyak tenaga seperti alat pemanas air, penyaman udara, mesin basuh dan lampu.

“Manakala untuk lebih 1.2 juta pengguna TNB yang mempunyai meter pintar, mereka boleh memanfaatkan maklumat harian mengenai penggunaan elektrik yang tersedia di aplikasi myTNB bagi memantau penggunaan elektrik di kediaman,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, langkah penggunaan tenaga yang cekap turut boleh diamalkan antaranya mematikan komputer selepas digunakan dan berhenti mengecas komputer riba selepas bateri dicas penuh selain menutup suis selepas penggunaan aksesori seperti pembesar suara, mesin pencetak dan pengimbas.

Pengguna juga perlu memastikan semua pintu, tingkap dan laluan udara ditutup sepenuhnya semasa menggunakan alat pendingin hawa di samping menggunakan kipas untuk membantu menyejukkan bilik supaya termostat penyaman udara boleh dilaraskan lebih tinggi antara 24 hingga 26 darjah Celsius.

Selain itu, tetapkan pemasa untuk mematikan alat pendingin hawa sebelum tidur dengan menetapkannya ditutup selepas penggunaan dan bersihkan penapis pendingin hawa kerana habuk pada penapis mengurangkan peredaran udara dan menjejaskan kecekapan peralatan tersebut.

TNB turut mengingatkan, penggunaan air panas semasa mencuci pakaian dengan muatan penuh menggunakan lebih banyak tenaga kerana ia mengambil masa untuk air dipanaskan selain pengguna dinasihati memanfaatkan cahaya semula jadi untuk mengurangkan penggunaan lampu elektrik.

Dalam pada itu, TNB berkata, masa mandian yang panjang dengan alat pemanas air turut menggunakan lebih banyak tenaga untuk memanaskan air secara berterusan.

“Apabila menggunakan ketuhar elektrik tindakan membuka dan menutup pintu ketuhar dengan kerap tidak akan mempercepatkan tempoh hidangan dimasak sebaliknya ia akan menyebabkan penggunaan elektrik yang lebih banyak untuk mengekalkan suhu ketuhar.

“Pengguna juga perlu mematikan suis dan menanggalkan plag peralatan elektrik apabila tidak digunakan kerana televisyen, kotak dekoder dan modem yang tidak dimatikan boleh meningkatkan penggunaan elektrik dalam jangka masa yang panjang,” jelasnya.

Maklumat lanjut berkaitan cara penggunaan elektrik yang berhemah boleh didapati di portal myTNB melalui www.mytnb.com.my dan pengguna boleh memantau penggunaan alat elektrik di kediaman mereka dengan melayari www.maevi.my.

Pelanggan turut boleh menghubungi TNB CareLine pada talian 1300-88-5454 bagi pertanyaan bil atau kunjungi Facebook TNB CareLine dan laman Twitter @Tenaga_Nasional. 

Sumber : Berita Harian

Tiada pemotongan elektrik domestik hingga akhir Jun 2021

by

 

Kerajaan bersetuju supaya tiada pemotongan bekalan elektrik dilaksanakan kepada pengguna domestik yang mempunyai tunggakan elektrik tidak melebihi enam bulan sepanjang tempoh 1 Januari sehingga 31 Mac 2021.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, pengguna-pengguna domestik juga turut ditawarkan Pelan Bayaran Mudah selama enam bulan bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2021 bagi membantu mengurus bil elektrik mereka.

“Melalui pelaksanaan inisiatif ini, dianggarkan kira-kira 6.96 juta pengguna domestik di semenanjung memperoleh manfaat dan diharapkan ia dapat membantu memelihara kesejahteraan hidup rakyat dalam keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini.

“Kerajaan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memastikan tiada pemotongan bekalan elektrik di rumah-rumah yang mempunyai tunggakan tidak melebihi enam bulan sehingga 30 Jun 2021,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Manakala bagi Pelan Bayaran Mudah pula, ia juga dilanjutkan hingga 31 Disember ini, bagi memudahkan pengguna domestik menguruskan pembayaran bil elektrik mereka.

Katanya inisiatif yang diambil bersama TNB itu adalah dengan mengambil kira keperluan untuk meneruskan usaha untuk membantu rakyat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. 

Sumber : Kosmo!

Kira anggaran penggunaan elektrik di rumah

by

 

Orang ramai boleh membuat kiraan penggunaan perkakas elektrik menggunakan kalkulator tenaga di rumah di laman web myTNB, Tenaga Nasional Bhd (TNB).

TNB dalam kenyataan hari ini memaklumkan menerusi www.mytnb.com.my/energy-efficiency/home-energy-savings-tips/home-energy-..., anggaran pengiraan itu berdasarkan keadaan peralatan yang berfungsi dengan sempurna, kerana kecekapan peralatan akan berkurangan jika semakin lama ia digunakan berikutan faktor usia.

"Pengguna yang berhasrat untuk membeli peralatan elektrik yang baharu dinasihatkan memilih perkakas elektrik berpandukan label Kecekapan Tenaga oleh Suruhanjaya Tenaga (ST). Peralatan berlabel cekap tenaga empat atau lima bintang lebih menjimatkan penggunaan elektrik," kata kenyataan itu.

Sementara itu, TNB menyatakan akibat taburan hujan yang agak rendah sejak Februari serta gelombang haba baru-baru ini, permintaan elektrik puncak bagi Semenanjung Malaysia melonjak kepada 18,035 megawatt (MW) pada 2 Mac lalu, berbanding 17,501MW pada Februari dan 16,585MW pada Januari. 

Mengikut TNB, permintaan elektrik yang tinggi itu antaranya didorong oleh penggunaan penyaman udara yang lebih kerap dan tempoh yang panjang.

Untuk rekod, permintaan puncak tertinggi pernah direkodkan adalah 18,808MW pada 10 Mac 2020, lapan hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan. 

Sumber : Berita Harian

 

 

myTNB tawar pelbagai kelebihan kawal Bil Elektrik

by

 

Pada zaman teknologi semakin berkembang ini, pelanggan Tenaga Nasional Berhad lebih menerima dan memilih gaya hidup digital.

Ia boleh dilihat daripada peningkatan jumlah transaksi secara dalam talian dengan pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan melalui aplikasi dan portal myTNB.

Bukan sahaja peningkatan jumlah membayar bil elektrik secara dalam talian, malah ramai juga yang menggunakan aplikasi portal tersebut untuk urusan lain yang biasanya dilakukan di Kedai Tenaga.

MyTNB telah mencatatkan lebih 7.7 juta transaksi dengan lebih enam juta transaksi melalui aplikasi. Manakala, pertukaran penyewa mencatatkan 22,262 transaksi berbanding 8,219 pada tahun lalu.

Ketua pegawai Retail TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hasan berkata, beliau percaya usaha yang diberikan akan memberi nilai yang tinggi buat pelanggan selain memberi kemudahan kepada mereka untuk berinteraksi dengan pihak TNB.

“Oleh sebab itu, kami telah menaiktaraf ciri-ciri yang terdapat pada myTNB sejajar dengan perkhidmatan yang boleh diberikan secara bersemuka dan sambutannya setakat ini amat menggalakkan.

“Setiap orang kini lebih berhati-hati terhadap kesihatan dan keselamatan mereka, dan mereka juga mencari peluang untuk mengurangkan perjumpaan secara bersemuka. Itulah dorongan kami untuk menjadikan urusan mereka lebih mudah dan selamat,” katanya dalam kenyataan.

Kelebihan lain aplikasi tersebut termasuk, memberi pengguna meter pintar keupayaan memantau penggunaan tenaga harian secara dalam talian, lantas memperkasakan mereka untuk mengawal penggunaan elektrik.

Aplikasi tersebut boleh dimuat turun di Google Play, Apple App Store dan Huawei AppGallery, manakala portal myTNB boleh dilayari di pautan www.mytnb.com.my

Bil Elektrik Meningkat Kerana El-Nino

by


Cuaca panas terik dan kering berpanjangan sehingga ke hari ini mengakibatkan penggunaan elektrik meningkat, kata Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Permintaan tertinggi elektrik di Semenanjung Malaysia mencatatkan bacaan 17,788 MW pada Rabu (20 April), meningkat 37.82 peratus berbanding 1 Januari  lepas (12,906 MW), kesan fenomena El-Nino.

Keadaan panas pada siang hari yang meninggalkan kesan bahang sehingga keawal pagi telah mempengaruhi tabiat penggunaan peralatan elektrik khususnya pendingin hawa, yang secara relatifnya menggunakan lebih banyak elektrik berbanding peralatan lain.

Secara amnya, pengguna pendingin hawa lebih cenderung menurunkan suhu pada tahap lebih rendah, meningkatkan kelajuan kipas pendingin hawa dan menggunakan pendingin hawa untuk tempoh yang lebih lama.

Menurut TNB, faktor lain termasuk penggunaan peralatan lama yang tidak diselenggara dengan baik juga boleh mengakibatkan penggunaan elektrik meningkat.

Kesemua faktor ini akan meningkatkan penggunaan elektrik secara mendadak, sekali gus memberi kesan ke atas bil elektrik pengguna.

Satu kajian kes di Selangor menunjukkan penggunaan tiga unit pendingin hawa oleh seorang pengguna meningkat daripada lima jam sehari pada Disember 2015 kepada lapan jam sehari pada bulan ini.  

Penggunaan elektriknya meningkat 40 peratus daripada 428kWh kepada 598kWh.

Kenaikan ini menyebabkan bilnya meningkat daripada RM125.52 kepada RM231.69," menurut kenyataan itu.

Pengguna yang ingin mendapatkan tip-tip penjimatan tenaga boleh memuat turunnya dari www.tnb.com.my.

- Bernama



Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90