Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label darurat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label darurat. Papar semua catatan

Ordinan Darurat perlu dibahaskan bagi kemakmuran demokrasi

by

 

Ordinan Darurat yang diisytiharkan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perlu dibentang dan dibahaskan dalam sesi Dewan Rakyat, selagi mana Seri Paduka belum memperkenan untuk membatalkan Ordinan berkenaan.

Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz, berkata perkara itu termaktub dalam Perkara 150, Fasal 3, Perlembagaan Persekutuan.

"Sekiranya Seri Paduka tidak perkenankan lagi Ordinan itu untuk ditarik balik, maka apabila Parlimen bersidang ia boleh dirungkaikan dan tindakan terbaik adalah dengan membahaskan ordinan ini yang saya fikir boleh menyelesaikan segala kekusutan ketika ini.

"Selain itu, perbahasan ini juga boleh mendatangkan kemakmuran kepada demokrasi dan sekiranya perundangan itu diikut, ia akan lebih menunjukkan ketelusan kerajaan," katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk 'Subplot Ordinan Darurat' di Bernama TV hari ini.

Mengulas lanjut, Shamrahayu berkata, Parlimen masih perlu merungkai dan membahaskan perihal Ordinan Darurat ini meskipun ia dijadual akan tamat pada 1 Ogos 2021.

Beliau berkata, sekiranya tidak dibahaskan, Perkara 150 Fasal 7 membolehkan Ordinan Darurat ini diteruskan selama enam bulan lagi selepas tarikh tamat pada 1 Ogos 2021.

Dalam pada itu, Shamrahayu berkata, teguran Yang di-Pertuan Agong hari ini menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara perlu diambil sebagai pengajaran oleh setiap pihak bahawa prinsip Raja Berperlembagaan kini memasuki dimensi baharu.

Menurutnya, dalam perkembangan terkini Seri Paduka dilihat boleh menasihati, memberi amaran dan menyuarakan pandangan baginda kepada pihak kerajaan.

Dalam kenyataan Istana Negara hari ini, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan di Parlimen Isnin lalu bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum lagi diperkenan Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah juga amat dukacita kerana apa yang diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan dirungkaikan tidak dilaksanakan.

Sumber : BERNAMA

Raja-Raja Melayu sependapat darurat perlu ditamatkan 1 Ogos

by

 

Raja-Raja Melayu sependapat, tiada keperluan untuk meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos depan.

Itu antara tujuh pendapat dizahirkan secara terbuka dan terus terang oleh Raja-Raja Melayu dalam Perbincangan Khas baginda bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, semalam.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, berkata Raja-Raja Melayu juga berpendirian pentingnya dihormati mekanisma semak dan imbang di antara cabang eksekutif, perundangan dan kehakiman untuk menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab kepada rakyat terutamanya dalam hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.

"Dalam semangat itu, Raja-Raja Pemerintah menyokong dan senada dengan pendirian Yang di-Pertuan Agong, yang menitahkan supaya Parlimen bersidang segera.

"Di peringkat negeri, Raja-Raja Pemerintah turut berpendirian supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibolehkan bersidang secepat mungkin," katanya dalam kenyataan selepas sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

Syed Danial berkata, kaedah dan prosedur yang diamalkan di beberapa negara terbukti dapat mengawal rangkaian jangkitan COVID-19, wajar ia diperkenan dan diguna pakai di negara ini.

"Adalah menjadi kewajipan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah di negeri-negeri untuk mengimbangkan pelbagai tuntutan demi menjamin berlakunya keadilan dan menghindarkan kemungkinan sebenar ataupun tanggapan berlakunya sebarang penyalahgunaan kuasa.

"Raja-Raja Melayu turut menegaskan pentingnya prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen diterjemahkan melalui budaya pemerintahan yang pada setiap masa meluhurkan Perlembagaan negara dan mendaulatkan undang-undang," katanya.

Selain itu, Raja-Raja Melayu juga sependapat pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat.

"Suhu politik yang semakin panas wajib diredakan," katanya.

Syed Danial berkata, Raja-Raja Melayu juga sependapat, program vaksinasi hendaklah dipertingkatkan dengan mengurangkan kerenah birokrasi supaya mencapai matlamat imuniti kelompok 80 peratus secepat mungkin.

"Nyawa dan kehidupan rakyat wajib diutamakan mengatasi perkara lain. Program menangani wabak COVID-19 hendaklah difahami serta mendapat sokongan rakyat tanpa menimbulkan sebarang keraguan dan tanpa dianggap mempunyai sebarang muslihat politik yang terselindung.

"Kaedah menangani wabak COVID-19 hendaklah bersifat inklusif, melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam semangat yang sedia mendengar, sedia mempelajari, sedia melakukan pengubahsuaian, penambahbaikan dan penerokaan baru hingga berjaya meyakinkan dan mendapat kerjasama penuh rakyat pelbagai peringkat," katanya.

Dalam Perbincangan Khas itu juga katanya, Raja-Raja Melayu turut mengambil maklum mengenai suasana politik negara yang tidak stabil, perpaduan rakyat yang semakin retak dan keadaan ekonomi negara yang membimbangkan.

"Kesusahan dihadapi rakyat yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan. Suasana pekerjaan, hidup dan pembelajaran di sekolah dan pusat pengajian yang terjejas dan menimbulkan pelbagai kerumitan.

"Umat Islam yang tidak dapat melakukan program ibadah di masjid dan surau terutama untuk menunaikan solat Jumaat, demikian juga penganut agama lain turut terhalang daripada berpeluang melakukan urusan agama masing-masing," katanya. 

Sumber : Berita Harian

 

 

Darurat: Keputusan Agong tidak boleh dicabar di mahkamah

by

 

Sesiapa saja boleh mencabar keputusan berhubung proklamasi darurat di mahkamah kerana ia adalah kebebasan kehakiman dan perundangan di negara ini.

Pakar perlembagaan, Prof Dr Shamrahayu A Aziz berkata, namun Perkara 150 Fasal 8 menyatakan soal puas hati Yang di-Pertuan Agong berhubung keputusan pengisytiharan darurat itu tidak boleh dipersoalkan dan mahkamah tiada bidang kuasa untuk mendengar perkara itu.

Katanya, beliau melihat orang yang memfailkan kes itu tidak mempersoalkan keputusan Yang di-Pertuan Agong sebaliknya mengenai nasihat yang diberikan oleh Perdana Menteri kepada baginda

Justeru, katanya ada ruang undang-undang yang dibincangkan dan persoalan teknikal sama ada boleh atau tidak dicabar di mahkamah.

"Saya melihat ini satu usaha yang baik... pergilah ke mahkamah supaya persoalan ini dapat diperjelaskan

"Dalam hal ini saya nampak ada orang itu terbabit meminda undang-undang tetapi kini beliau yang mempersoalkannya dan ini menyebabkan rakyat keliru dalam situasi ini," katanya pada sesi soal jawab selepas menjadi panel webinar 'Memahami Isu Darurat dan Masa Depan Gerakan Dakwah' anjuran Yayasan Dawah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) yang dilaksanakan secara dalam talian, hari ini.

 

Beliau ditanya sama ada keputusan Yang di-Pertuan Agong berkaitan darurat itu boleh dicabar di mahkamah.

Baru-baru ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar nasihat Perdana Menteri kepada Yang si-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat.

Peguam Anwar Ramkarpal Singh berkata, apa yang dicabar dalam permohonan itu bukanlah pengisytiharan darurat, sebaliknya keputusan Perdana Menteri melalui Jemaah Menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi meluluskan kaedah 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung persidangan Parlimen dalam tempoh darurat berkenaan.

Shamrahayu menjelaskan ada yang menyatakan puas hati Yang di-Pertuan Agong boleh dengan nasihat atau tanpa nasihat kerajaan.

Justeru, katanya ada juga pihak yang memfailkan kes di mahkamah mencabar keputusan Yang di-Pertuan Agong menolak nasihat kerajaan untuk mengadakan darurat pada Oktober tahun lalu.

"Apa yang saya fahami kuasa Yang di-Pertua Agong itu tidak boleh dipersoalkan dan tiada semakan undang-undang mengenainya.

"Pada tafsiran saya, kuasa Yang di-Pertuan Agong adalah kuasa budi bicara, sama ada dengan nasihat atau tanpa nasihat. Kalau ia kuasa budi bicara maka nasihat yang diberikan itu (Perdana Menteri) tidak relevan.

"Saya tidak mahu mendahului mahkamah dan tafsiran saya adalah tafsiran akademik semata-mata," katanya.

Pakar perlembagaan, Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, pula berkata berdasarkan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, timbul persoalan adakah Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat.

Beliau menjelaskan apa yang penting dalam keputusan berhubung darurat itu, Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan sepakat dan tiada protes untuk ia dilaksanakan begitu juga ketika permintaan darurat pada Oktober lalu apabila baginda menolaknya.

"Dalam hal ini mengikut Perkara 150 berkaitan kuasa Yang di-Pertuan Agong, kuasa budi bicara atau prerogatif maka baginda sudah berpuashati atas permintaan Perdana Menteri mengenai darurat, perkara ini yang akan dipertimbangkan dan tidak timbul lagi isu nasihat Perdana Menteri itu," katanya

Sumber : Berita Harian

Agong perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat Parlimen Batu Sapi

by

 

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat untuk membatalkan tarikh yang ditetapkan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi, Sabah.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, perisytiharan itu adalah berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan suatu Ordinan dimashyurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150.

Menurut Ahmad Fadil keputusan dicapai setelah baginda memperhalusi penjelasan Perdana Menteri dan sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Abdul Ghani Salleh.

“Dengan pengisytiharan ini juga, apa-apa prosiding yang telah bermula bagi maksud penjalanan PRK bagi P.185 Batu Sapi tidak akan diteruskan dengan tujuan mengekang dan menghalang daripada berlakunya gelombang keempat penularan wabak Covid-19 dan satu tarikh yang lain akan ditetapkan untuk PRK itu.

“Maka dengan itu, Baginda telah memberi perkenan supaya Pengisyhtiharan Proklamasi Darurat bagi P.185 Batu Sapi, Sabah dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Terdahulu, baginda berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Negara hari ini.

Menurut beliau, Baginda berpendapat wajar PRK itu dibatal dan ditangguhkan demi keselamatan rakyat jelata dan kesejahteraan negara.

“Perkenan Seri Paduka Baginda ini juga mengambil kira jumlah pemilih berdaftar yang tinggal di luar bahagian Batu Sapi yang dijangka akan merentas daerah dan negeri untuk pulang mengundi,” jelas Ahmad Fadil.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, jumlah pemilih berdaftar P.185 Batu Sapi adalah 32,962 orang dan sejumlah 3,170 orang daripadanya beralamat di luar bahagian Parlimen itu, termasuk di Semenanjung dan Sarawak.

Sumber : Kosmo!

Agong mendapati tiada keperluan isytihar darurat

by

 

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini buat masa ini. 

Dalam satu kenyataan hari ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata keputusan itu dibuat hasil perbincangan dalam mesyuarat khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

Beliau berkata, Seri Paduka berkenan memperhalusi permohonan yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis menghadap di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang pada Jumaat lalu.

Permohonan berkenaan, katanya, ialah pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak COVID-19 di negara ini.

"Setelah memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu dan melihat situasi yang sedang dihadapi oleh negara, Al-Sultan Abdullah merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan.

"Seri Paduka amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak COVID-19 ini daripada terus merebak," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Fadil memaklumkan, Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.

Petang Jumaat lalu, Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdul Aziz bagi membentangkan cadangan hasil Mesyuarat Khas Kabinet pada sebelah paginya.

Semalam, Istana Negara dalam satu kenyataan, memaklumkan Seri Paduka berkenan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu bagi membincang dan memperhalusi cadangan yang dikemukakan kepada baginda oleh Perdana Menteri.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak memperincikan butiran cadangan dibentangkan oleh Perdana Menteri kepada baginda.

Namun, spekulasi yang tercetus mengandaikan ia antara lain adalah syor kerajaan untuk melaksanakan darurat atau prorog Parlimen, mengambil kira keadaan semasa penularan COVID-19 yang semakin membimbangkan di negara ini.

Prorog adalah pemberhentian atau penggantungan sidang Dewan Rakyat dalam tempoh enam bulan dari tarikh akhir persidangan terdahulu.

Sumber : Berita Harian

 

Sejarah pengisytiharan darurat di negara kita

by

 

Malaysia telah melalui beberapa kali pengisytiharan darurat semasa perang, kekacauan awam, krisis politik dan bencana alam.

Pemberontakan Komunis (1948-1960)

Tempoh darurat yang paling diingati membabitkan pemberontakan komunis atau Tentera Pembebasan Rakyat Malaya (MNLA).

Ini menyebabkan British mengharamkan parti politik tertentu dan mereka yang disyaki terlibat dengan anasir komunis ditahan dan ini peperangan ini berlarutan sehingga pembentukan kerajaan Malaysia.

Pilihan raya umum pertama Tanah Melayu pada Ogos 1959 dan persidangan Parlimen pertama pada bulan September 1959 diadakan pada waktu darurat.

Konfrantasi (1964)

Pada 3 September 1964, kerajaan Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan darurat setelah berlaku pencerobohan oleh tentera Indonesia.

Akta Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1964 diluluskan oleh Parlimen yang memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menggubal peraturan-peraturan darurat untuk membolehkan harta benda disita, aktiviti pencarian dan tangkapan.

Selain itu Peraturan Darurat (Perbicaraan Jenayah) 1964 digubal untuk mempercepat perbicaraan jenayah.

Sarawak (1966)

Kuala Lumpur meletakkan Sarawak dalam keadaan darurat pada 14 Sept 1966, dalam usaha menyingkirkan Stephen Kalong Ningkan sebagai ketua menteri.

Parlimen menggubal Akta Darurat (Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan Sarawak) 1966 yang memberikan kuasa mutlak kepada gabenor Sarawak dan kuasa untuk mengadakan Majlis Negri tanpa nasihat ketua menteri.

Apabila Majlis Negri bersidang pada 23 September 1966, undi tidak percaya diluluskan dan Kalong Ningkan disingkirkan sebagai ketua menteri. 

Rusuhan 13 Mei (1969)

Rusuhan kaum berlaku selepas pilihan raya pada 10 Mei 1969. Darurat diisytiharkan pada 15 Mei 1969, ketika parlimen sudah dibubarkan.

Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1, 1969 digubal oleh Yang di-Pertuan Agong bagi memberikan kuasa eksekutif dan perundangan kepada Majlis Gerakan Negara (Mageran).

Mageran, seterusnya menggubal Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 yang membenarkan penahanan tanpa bicara.

Parlimen baru disusun semula pada 20 Februari 1971 - hampir dua tahun selepas pilihan raya.

Kelantan (1977)

Darurat diisytiharkan pada 8 Nov 1977 akibat rusuhan politik di Kelantan setelah Mohamad Nasir enggan meletakkan jawatan sebagai menteri besar.

Parlimen kemudian meluluskan Akta Kuasa Darurat (Kelantan) 1977 yang memberikan kawalan eksekutif negeri ini kepada pengarah kerajaan yang dilantik oleh perdana menteri, manakala sultan, yang juga Agong pada masa itu, memegang kuasa perundangan.

Mohamad Nasir kekal sebagai menteri besar sehingga pilihan raya Kelantan pada 1978.

Darurat jerebu (1997, 2005 dan 2013)

Tidak semua keadaan darurat ada hubungan kait dengan kuasa perundangan atau eksekutif khas.

Pada tahun 1997, 2005 dan 2013, darurat diisytihar di wilayah tertentu di Sarawak, Selangor dan Johor ketika pencemaran udara mencapai status sangat tidak sihat.

Ini bagi memaksa orang ramai tinggal di rumah dan penutupan operasi sektor perkhidmatan awam dan swasta yang tidak penting.

Sumber : MalaysiaKini

 

 


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90