Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label mahkamah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label mahkamah. Papar semua catatan

Mahkamah kekalkan hukuman pembunuh pelajar tahfiz yang dibakar hidup-hidup

by

 


Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu kejadian kebakaran Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat, dekat sini, tujuh tahun lalu adalah jenayah terancang sehingga mengorbankan nyawa 23 anak tahfiz yang ditemui rentung sehingga tidak dapat dicam pihak bomba.

-ADVERTISEMENT-
Ads by

Timbalan Pendakwa Raya How Mei Ling berhujah, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz itu adalah mangsa kekejaman yang sangat serius kerana dibakar hidup-hidup, manakala sebahagiannya lemas akibat asap.

Katanya, keterangan menunjukkan dua tong gas masing-masing seberat 14 kilogram (kg) diletakkan di depan pintu bilik asrama adalah satu-satunya jalan keluar, sebelum melepaskan gas ketika penghuni-penghuninya sedang nyenyak tidur.

"Pelakunya memilih untuk meletakkan kedua-dua tong gas di tingkat dua, bukan di bahagian halaman tingkat bawah kerana menyedari aras berkenaan menempatkan bilik asrama.

"Perbuatan pelaku adalah satu jenayah terancang yang mengorbankan penghuni pusat tahfiz itu dalam satu malam," katanya ketika berhujah dalam rayuan seorang pemuda berusia 22 tahun yang disabitkan membunuh 23 penghuni pusat tahfiz itu.

Lelaki berkenaan merayu perintah dan sabitan ditahan dipenjara selama mana yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong diketepikan.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan akhir pemuda itu dan dia kekal ditahan dipenjara selama mana yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

Dalam penghujahannya, Mei Ling memohon perintah itu dikekalkan dengan mengambil kira faktor kepentingan awam serta kepentingan keluarga yang menghantar anak-anak mereka berusia antara enam dan 16 tahun ke pusat tahfiz berkenaan.

Beliau turut menggambarkan rentetan kejadian berhubung penemuan mayat semua mangsa dalam keadaan rentung dan mengekot sambil berpelukan kerana dibakar hidup-hidup, serta tidak boleh keluar dan hanya menunggu untuk diselamatkan.

Katanya, keadaan mayat mangsa sangat menyayat hati sehingga menggagalkan usaha pengecaman oleh pihak bomba dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terpaksa dilakukan.

"Ketika pihak bomba tiba, tiada lagi bunyi teriakan... yang tinggal hanya suasana sepi yang menyeramkan," katanya.

Terdahulu, Mei Ling berhujah, pihak pendakwaan mengemukakan keterangan ikut keadaan yang kukuh bahawa pemuda itu bertanggungjawab menyebabkan kebakaran itu.

Hujah beliau, perayu adalah pihak yang bertanggungjawab memanjat pagar belakang tahfiz untuk memulakan kebakaran dan perbuatan itu dilihat oleh dua saksi penting pendakwaan iaitu SP68 dan SP69.

Katanya, tiada asas bahawa kedua-dua saksi itu berniat memerangkap perayu dengan memberi keterangan sedemikian kerana mereka bersahabat baik.

Sementara itu, peguam Haijan Omar yang mewakili perayu berhujah, keterangan ikut keadaan dikemukakan pihak pendakwaan tidak cukup kuat untuk mensabitkan anak guamnya terhadap kesalahan itu.

Hujah Haijan, rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) tidak menunjukkan anak guamnya yang membawa botol mineral mengandungi petrol ke tingkat dua asrama itu.

Malah, beliau berkata, ketika berbual di kedai makan berdekatan tempat kejadian, semua saksi mengesahkan tiada perbualan untuk membakar tahfiz dibuat.

"Mereka hanya berbual untuk main 'snuker' dan tiada niat untuk membakar, kecuali timbul perkataan 'belilah petrol' daripada seorang individu yang tidak dapat dikenal pasti.

"Seorang saksi pakar forensik juga menyatakan kebakaran mula berlaku pada jam 5.25 pagi sedangkan rakaman CCTV (kamera litar tertutup) menunjukkan anak guam saya beredar daripada kawasan itu pada jam 4.48 atau 4.49 pagi," katanya.

Sumber : Berita Harian

Sistem e-PG diperluas di Mahkamah Majistret KL

by

 

Sistem Pengakuan Salah Kes Trafik Secara Dalam Talian (Sistem e-PG) kini diperluas secara rintis di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam kenyataannya, berkata penggunaan sistem e-PG itu dilaksanakan di Mahkamah Majistret 13 (Trafik), Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bermula 15 hingga 19 Februari ini.

"Orang kena saman (OKS) yang mempunyai kes yang didaftarkan di mahkamah itu boleh melayari sistem e-PG di https://ecourt.kehakiman.gov.my bagi tujuan itu.

"Selain itu, OKS juga boleh melihat senarai kausa kes secara dalam talian bagi menyemak status pendaftaran kes saman trafik.

"Ia boleh dilakukan melalui pautan https://ecourtservices.kehakiman.gov.my/CauseList dengan memasukkan lokasi mahkamah dan tarikh sebutan kes," katanya.

Menurut kenyataan itu, status pendaftaran kes boleh disemak dalam tempoh dua hari sebelum tarikh sebutan yang dinyatakan dalam saman trafik.

Katanya, orang awam yang ingin lebih memahami tatacara prosiding dan menggunakan sistem ePG boleh melayari Portal rasmi Badan Kehakiman Malaysia di www.kehakiman.gov.my.

Badan Kehakiman Malaysia melancarkan Sistem e-PG secara rintis di Mahkamah Majistret Shah Alam, bermula 2 hingga 5 Februari lalu.

Ia dilaksanakan bagi mendigitalkan proses pengakuan bersalah kes kesalahan trafik, sekali gus mempercepatkan proses pelupusannya.

Sistem itu dilancarkan ekoran statistik di Mahkamah Majistret menunjukkan, lebih daripada satu juta kes saman trafik yang didaftarkan, terdiri daripada kes yang kebanyakannya berakhir pengakuan bersalah dan hukuman denda.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan sebelum ini dilaporkan berkata, pelancaran sepenuhnya Sistem e-PG di Mahkamah Majistret seluruh Semenanjung akan bermula 1 April ini, manakala bagi Sabah dan Sarawak bermula Jun.

Sumber : Berita Harian

 

Penggunaan rakaman 'dashcam' di mahkamah perlu kajian terperinci

by


Perlu ada kajian terperinci pelbagai pihak membabitkan penggunaan rakaman kamera perakam video (dashcam) di mahkamah atau dalam sebarang tuntutan serta sebarang kes perundangan jenayah mahupun sivil.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata cadangan penggunaan peralatan itu untuk merekodkan kemalangan dilihat baik dan sudah tentu tujuan akhir mana-mana individu merekodkan sesuatu kemalangan supaya ia boleh dijadikan sebagai bahan bukti dalam sebarang kes.

"Tanpa adanya satu peruntukan perundangan dan peraturan jelas, maka saya khuatir sebarang perlakuan yang direkodkan tidak boleh digunakan dalam tuntutan atau prosiding mahkamah atau perundangan kelak.

"Perkara ini kelak akan menyebabkan orang ramai menyalahkan kerajaan kerana mewajibkan penggunaan satu peralatan yang tidak boleh digunakan di mahkamah.

"Saya juga tidak menolak pandangan yang mengatakan ia sebagai beban kepada rakyat khususnya golongan B40 jika 'dashcam' dijadikan sebagai sesuatu yang wajib. Ia boleh dijadikan bahan bukti di mahkamah atau sebagainya dan ia juga mungkin boleh dijadikan sebagai pendidikan tetapi ia tidak dianggap sebagai langkah pencegahan daripada sudut keselamatan jalan raya," katanya kepada BH.

Beliau mengulas komentar Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohd Zaini Osman, yang berpendapat pengeluar kereta tempatan iaitu PROTON dan PERODUA sewajarnya sudah boleh menjadikan kamera perakam video sebagai aksesori asas dalam setiap kenderaan keluarannya selepas ini tanpa mengira segmen.

Ditanya jika kementeriannya akan mengesyorkan pengeluar kenderaan memasang peralatan itu pada kenderaan keluaran masing-masing, Ka Siong berkata, jika semua aspek perundangan dan teknikal disediakan dan diperuntukkan dengan jelas, Kementerian Pengangkutan boleh menguatkuasakan dan mewajibkan penggunaannya di dalam kenderaan, terutama kenderaan pendaftaran baharu.

Bagaimanapun, beliau berkata, akan ada pertimbangan atau pengecualian pemasangan 'dashcam' ke atas kenderaan sedia ada untuk tidak membebankan rakyat.

Ka Siong berkata, setakat ini belum ada sebarang kajian dijalankan yang menunjukkan penggunaan 'dashcam' mampu mengurangkan masalah kemalangan dan jenayah di jalan raya.

Pada masa sama, beliau berkata, bukti daripada rakaman 'dashcam' boleh dikemukakan oleh pendakwaan mahupun pihak pembelaan sebagai bahan bukti di mahkamah bagi menyokong kes mereka.

Beliau berkata, ia termasuk membabitkan prosiding di mahkamah yang membabitkan kes kemalangan jalan raya.

"Kedua-dua pihak kemudiannya akan membahaskan kesahihan bahan bukti berkenaan sama ada boleh dipertimbangkan termasuk memanggil atau membawa saksi-saksi pakar masing-masing. Perbahasan ini bertujuan meyakinkan mahkamah akan hujah mereka dan apa sahaja bahan bukti yang dimajukan ke mahkamah, tetapi ia bergantung kepada prosiding di dalam mahkamah dan juga bentuk bahan bukti yang diberikan.

"Ini termasuk berkaitan kualiti serta kesahihan video. Tidak mustahil ia perlu pembabitan pelbagai pihak untuk mengesahkan ketulenan sesuatu rakaman dan seumpamanya. Mungkin juga mahkamah tidak boleh menerimanya sebagai bahan bukti berikutan isu teknikal seperti kekaburan sesuatu rakaman serta asas-asas lain yang boleh dipersoalkan," katanya.

Dalam komentar yang disiarkan pada Jumaat lalu, Mohd Zaini berpendapat kesedaran memasang aksesori itu pada kenderaan persendirian semakin bertambah dan positif selepas menyedari kepentingan 'saksi utama' ini apabila berlaku kemalangan selain ia selari dengan usaha kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan dan MIROS untuk menggalakkan masyarakat menjadi mata dan telinga pihak berkuasa menyalurkan maklumat, termasuk berkaitan kemalangan jalan raya.

Sumber : Berita Harian


Mahkamah Beri Peluang Ibu Jatuh Hukuman Anak

by

Mahkamah Majistret Kota Bharu memberi peluang kepada seorang ibu untuk menjatuhkan hukuman terhadap anaknya pada Selasa.

Majistret, Nik Habri Muhamad memberi peluang itu kepada Rahimah Abdul Rahman, 52, sebagai pengajaran kepada anaknya, Adam Abdullah, 28, selepas tertuduh bertindak melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya dengan mengacukan sebilah gunting bermaksud hendak menakutkan mangsa.

Adam dituduh melakukan kesalahan itu di Kampung Terap Banggu di sini, pada pukul 9.30 pagi,19 Jun lepas dan didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Nik Habri memberi peluang kepada tertuduh yang tidak diwakili peguam untuk membuat rayuan terhadap hukuman yang bakal dijatuhkan terhadapnya.

Adam dalam rayuannya memohon maaf kepada ibunya dan berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan sama pada masa depan.

Nik Habri kemudian memanggil Rahimah ke sebelah kandang tertuduh bagi memberi penghormatan kepada mangsa untuk menjatuhkan hukuman kepada tertuduh.

"Saya beri penghormatan kepada mak kamu untuk hukum kamu. Makcik jangan takut kepada anak. Makcik boleh mohon nak hukuman berat atau ringan dan saya akan pertimbangkan," katanya.

Rahimah bagaimanapun memaafkan kesalahan anaknya dan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap anaknya sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama satu tahun dari tarikh tertuduh ditangkap.

Dalam hujahnya, Nik Habri berkata, kes berkenaan diharap dapat dijadikan pengajaran kepada tertuduh serta orang lain agar menghormati ibu masing-masing.

"Saya serius dengan kes begini. Kamu bernasib baik kerana mak kamu minta hukuman ringan. Ada kes lain saya bagi hukuman penjara maksimum lima tahun.

"Kalau kamu ulangi kesalahan sama saya akan kenakan hukuman berat. Kerana menghargai permintaan mak kamu, saya hukum kamu dengan penjara 12 bulan," katanya.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa raya Hamidah Mahmood. 

- Bernama

Memandu Tanpa Lesen Akan Didakwa Di Mahkamah

by

Pihak polis tidak lagi akan berkompromi dengan mereka yang memandu atau menunggang atas kesalahan tiada lesen, mereka sudah tidak akan disaman seperti sebelum ini sebaliknya akan terus didakwa di mahkamah.

Ia telah dikuatkuasakan sejak pertengahan bulan April 2016 lepas, tindakan ini diambil berikutan peningkatan kes memandu dan menunggang tanpa lesen sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sehingga kini, pihak polis telah menahan lebih daripada 630,000 pemandu atau penunggang yang tidak mempunyai lesen memandu yang sah sejak tahun 2014 dan 2015 di mana dia dikatakan sebagai penyumbang utama peningkatan kemalangan jalan raya pada setiap tahun.

Mereka yang ditahan dan didapati bersalah memandu tanpa lesen berhadapan dengan denda sehingga RM1,000 atau setahun penjara, atau kedua-duanya sekali, di bawah Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan.

Bagi mereka yang memandu tanpa perlindungan insurans pula boleh didakwa di bawah Seksyen 90 yang dikenakan denda sehingga RM2,000 atau tiga bulan penjara, atau kedua-duanya sekali.

Ketua Polis Trafik Persekutuan SAC Mahamad Akhir Darus berkata, penguatkuasaan ini disasarkan bagi mendidik mereka tentang bahayanya memandu/menunggang tanpa lesen yang sah.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90