Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label minggu saham digital. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label minggu saham digital. Papar semua catatan

PNB lancar Minggu Saham Digital, adaptasi digital MSAM

by

 

 

Permodalan Nasional Bhd (PNB) hari ini melancarkan Minggu Saham Digital (MSD), adaptasi digital Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM).

MSD meneruskan objektif MSAM untuk mendidik dan meningkatkan pemahaman masyarakat tentang kepentingan menyimpan dan melabur dalam format hibur didik, sambil mempamerkan portfolio syarikat pelaburan PNB dan operasi perniagaan mereka.

Menteri Kewangan dan Timbalan Pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz, dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn merasmikan pelancaran maya karnival digital itu yang disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube dan laman Facebook rasmi MSD.   

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi YPB, mengucapkan tahniah kepada PNB atas inisiatif membawa acara literasi kewangan tahunannya dengan format digital baharu melalui perutusan video.

Dalam perutusannya, Perdana Menteri berkata, sejak 20 tahun lalu, PNB berjaya menawan hati rakyat dengan acara MSAM yang diadakan setiap tahun.

Beliau berkata, pastinya kejayaan MSAM akan diteruskan lagi dengan penganjuran MSD yang julung kalinya dianjurkan menerusi landskap digital.

"Saya amat yakin PNB akan terus komited dalam menangani cabaran ekonomi semasa dan terus melangkah melangkaui mandat yang diberikan bagi meningkatkan nilai pulangan unit mamah selain meneruskan agenda pendidikan pelaburan di negara ini.

"Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama mendokong institusi milik rakyat yang amat disayangi ini dalam menjayakan hasrat murni melalui Minggu Saham Digital ke arah membangunkan masyarakat yang bukan saja celik pelaburan, malah celik digital. Tahniah kepada warga PNB yang bekerja keras menjayakan Minggu Saham Digital ini," katanya.

Sementara itu, Zeti berkata, MSD adalah satu lagi detik penting dalam perjalanan transformasi PNB.

Beliau berkata, sebagai institusi pelaburan utama negara, PNB berpegang teguh kepada mandat yang diberikan untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan bagi membantu membangunkan ekonomi Bumiputera dan semua rakyat Malaysia.

Katanya, sejak penubuhan, PNB sentiasa menjalankan pelbagai program untuk meningkatkan literasi kewangan, serta meluaskan akses kepada dana unit amanah yang ditawarkannya.

"Selama dua dekad, PNB telah menganjurkan MSAM sebagai satu usaha mendekati masyarakat dan meningkatkan tahap celik pelaburan mereka. Secara keseluruhan, MSAM telah berjaya menarik penyertaan 3.9 juta rakyat Malaysia.

"Dalam tempoh ini, aset bawah pengurusan (AUM) PNB meningkat daripada RM61 bilion pada 2000 kepada RM315 bilion setakat September 2020," katanya pada majlis perasmian MSD.

Zeti berkata, PNB juga sebagai salah satu ahli pengasas Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 di bawah Financial Education Network (FEN) bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, Kementerian Pendidikan Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk memajukan pendidikan kewangan.

Beliau berkata, strategi itu bermatlamat meningkatkan tahap literasi kewangan dan memupuk tabiat dan sikap yang bertanggungjawab dan berdisiplin dalam pengurusan kewangan.

"Justeru pada tahun ini, kami telah merombak MSAM ke format digital selaras dengan perkembangan era teknologi. Format baharu ini mudah dilayari dan boleh diakses oleh lebih ramai lagi rakyat Malaysia. Maka, lahirlah Minggu Saham Digital (MSD) yang bertemakan "Labur Bersama"," katanya.

Zeti berkata, MSD berlangsung sepenuhnya secara digital dan program yang diaturkan adalah menyeluruh dan boleh disertai oleh segenap lapisan rakyat secara serentak di seluruh negara.

Beliau berkata, acara yang berlangsung selama tujuh hari, dibawa secara 'livestream' sehingga 24 November.

Katanya, seperti acara MSAM sebelum ini, MSD padat dengan aktiviti interaktif serta hibur didik untuk membimbing masyarakat tentang pelaburan dan perancangan kewangan.

MSD dianjurkan bersama dengan syarikat pelaburan dan rakan korporat PNB, yang mana Maybank, Sime Darby Plantation Bhd dan UMW Holdings Bhd adalah dalam kategori Rakan Premier.

Sime Darby Bhd, Sime Darby Property Bhd, S P Setia Bhd, MIDF Bhd dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) adalah dalam kategori Rakan Utama; manakala MNRB Holdings Bhd (MNRB), CCM Bhd, Duopharma Biotech Bhd, Velesto Energy Bhd, Sapura Energy Bhd, dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd adalah dalam kategori Rakan.

MSD bersiaran setiap hari dari jam 12.30 tengah hari hingga 10.30 malam dari 18 hingga 24 November 2020 melalui laman Facebook dan saluran YouTube rasmi MSD.

Penonton dapat menyaksikan pelbagai program hibur didik dengan topik kewangan, pelaburan, keusahawanan dan ekonomi, seperti Cikgu CEO, Makan Dulu, Sembang-Sembang ASNB dan ASB-Iclif MBA Masterclass Series.

Sepanjang minggu, MSD juga mengadakan sesi Khidmat Nasihat 1-1 untuk orang awam dan pemegang unit untuk mengetahui lebih lanjut tentang pelaburan mereka.

Konsultasi peribadi selama 30 minit akan diadakan menerusi Google Meet. Temu janji boleh dibuat di laman mikro MSD.

Personaliti dan selebriti yang akan merancakkan MSD antaranya ialah Awal Ashaari, Dahlia Shazwan, Fahrin Ahmad, Imam Muda Asyraf, Dato' Fazley Yaakob, Fizo Imar dan Chef Sherson Lian.

Peserta MSD berpeluang memenangi hadiah bernilai lebih RM500,000 termasuk Ford Ranger 2.0L XLT Plus 4WD (10AT), Toyota Vios 1.5 G (AT), motosikal Yamaha R25, lapan motosikal Honda Dash 125 S, wang tunai menerusi aplikasi mudah alih pelaburan mikro Raiz, dan sebuah Perodua Aruz 1.5 AV (AT).

Pertandingan pencarian harta karun maya, 'Eh, Mana Kod?' juga telah dibuka kepada orang ramai dan akan berlangsung sehingga 30 November 2020.

Untuk maklumat lanjut dan jadual program, layari www.minggusahamdigital.com.my atau @minggusahamdigital di Instagram dan Facebook.

 


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90