Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersetuju dengan cadangan supaya
Malaysia membuka sepenuhnya sempadan negara tanpa keperluan kuarantin
wajib, seawal 1 Mac depan.
Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun menegaskan,
pembukaan sempadan kepada semua negara itu perlu dilaksanakan secara
terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa.
"MPN mengesyorkan supaya sempadan negara dibuka sepenuhnya dalam masa terdekat bagi menyokong pemulihan negara.
"Dalam hubungan ini, majlis bersetuju supaya sempadan negara dapat
dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac 2022 tanpa keperluan kuarantin wajib.
"Namun, ujian COVID-19 sebelum berlepas dan sejurus tiba di pintu
sempadan negara, perlu dilakukan mengikut syor Kementerian Kesihatan
(KKM)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di Kementerian Kewangan.
Persetujuan itu dibuat selepas MPN mempertimbangkan kertas cadangan
pembukaan sempadan negara oleh Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri
Khairul Dzaimee Daud.
Keputusan MPN itu akan dibawa ke peringkat Kabinet untuk diputuskan oleh kerajaan.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, MPN tidak mencadangkan pembukaan
sempadan dihadkan kepada negara tertentu, selepas mengambil maklum
taklimat oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang turut menyertai
mesyuarat berkenaan.
Berdasarkan taklimat itu, beliau berkata, sistem kesihatan awam
negara didapati masih mampu menguruskan ancaman varian Omicron kerana
sudah ada banyak pengalaman.
"Menteri Kesihatan memberitahu tadi, Omicron sudah ada di seluruh
dunia dan dalam masyarakat, justeru tidak boleh memilih-milih (negara
tertentu).
"Bagaimanapun, ada perkara yang akan diumumkan nanti mengenai
peraturan. Mungkin perlu menjalani ujian PCR sebelum masuk. Ada
perincian akan diumumkan nanti," katanya.
Mengulas lanjut, Muhyiddin menjelaskan, persetujuan syor membuka
sempadan itu sangat penting dan MPN amat sukacita kerana ia dapat
mempercepatkan proses pemulihan ekonomi.
Beliau berkata, ia akan membolehkan pelabur dan pelancong asing masuk
ke negara ini, sekali gus memberi kesan langsung kepada banyak sektor
ekonomi tempatan.
"Maknanya, pelabur dan pelancong asing boleh datang. Ini akan
meningkatkan industri pelancongan, membolehkan industri penerbangan
hidup kembali dan peniaga yang bergantung pada pelancong dapat menarik
nafas lega.
"Ini yang kita pentingkan. Justeru, kita percaya ini adalah satu keputusan yang amat baik.
"Namun pada masa sama, kita memastikan prosedur operasi standard
(SOP) dipatuhi dan setakat ini, tahap kepatuhan di Malaysia agak baik,"
katanya.
Sementara itu, Muhyiddin menolak kemungkinan Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan semula berikutan peningkatan kes
COVID-19, terutama membabitkan varian Omicron.
"Tidak boleh patah balik. Saya rasa pengalaman yang ada sudah memadai
untuk membantu kita menguruskan situasi, namun perlu sentiasa beringat
mengenai SOP ditetapkan KKM," katanya.
Sumber ; Berita Harian