Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label pelakon. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pelakon. Papar semua catatan

Badrul Muhayat nikah kali ketiga dengan graduan Universiti Liverpool

by

 


Aktor Badrul Muhayat memilih tarikh hari lahir, semalam untuk disatukan dengan wanita pilihannya, Norhayati Zulkapli.

Badrul atau nama sebenarnya, Badrul Muhayat Ahmad Jailani yang menyambut ulang tahun ke-55, semalam bagaimanapun enggan mendedahkan secara terperinci mengenai perkenalan dengan isterinya.

Malah, bintang yang diperkenalkan menerusi filem Riang Tirana pada 1990 itu juga enggan mendedahkan usia isterinya yang juga bekas graduan Universiti Liverpool, England.

"Saya tidak memuat naik sebarang gambar dalam media sosial, namun tidak sangka berita ini boleh tersebar.

"Saya tidak berniat merahsiakan majlis pernikahan kerana merancang mahu mengadakan majlis resepsi pada Jun atau Julai depan.

"Insya-Allah saya akan memperkenalkan isteri kepada semua pada hari berkenaan. Jadi, jika hendak tahu lebih lanjut bagaimana bibit pertemuan dan tempoh perkenalan, semuanya boleh diajukan pada majlis resepsi nanti.

"Saya akan menjemput rakan-rakan media ke majlis resepsi nanti," katanya 

Aktor kelahiran Johor Bahru, Johor itu berkata, mulanya merancang bernikah pada Julai depan, tetapi disebabkan ingin mengejar waktu dan membuat keputusan mempercepatkan majlis, semalam.

"Saya sebenarnya mengejar masa. Sebelum ini, sibuk dengan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kemudian anak-anak sudah mula bersekolah.

"Jadi, masa terlalu cepat dan suntuk, disebabkan itu kami buat keputusan tidak mahu menangguh majlis pernikahan.

"Saya memilih tarikh lahir untuk diijabkabulkan sebagai satu simbolik. Ini kerana saya tidak tahu ajal dan maut di tangan Allah pada usia sekarang," katanya.

Badrul pernah dua kali mendirikan rumah tangga, namun gagal mempertahankannya.

Dikurniakan dua cahaya mata berusia 14 dan 16 tahun yang kini menetap bersama bekas isteri di Ipoh, Perak.

Sumber : Berita Harian

Diana Amir ucap selamat tinggal dunia seni

by

 


Pelakon Diana Amir, 36, berkongsi kisah hijrahnya mengenakan hijab dan niqab adalah salah satu perkara yang tidak dapat dibayangkannya.

Mengambil keputusan berhijab membuatkan Diana memahami bahawa kematian sangat hampir dengan dirinya, malah akan terus memperbaiki diri.

"Mak mentua tunjuk gambar saya yang tak berhijab. Dia kata semua ini dosa, tetapi masa itu hati saya keras. Saya rasa tak apa-apalah, yang penting saya baik dan tak kacau orang.

"Apabila orang sekeliling tegur pemakaian saya, jadi masa itu saya mula tersentuh.

"Namun itulah sebabnya, akhirnya selepas tahun 2011, waktu saya nak berhijab, itulah satu benda yang tak dapat dibayangkan sebab saya pernah berfikir begitu dulu.

"Agaknya sebelum ini saya fikir hidup lama lagi. Saya fikir kematian itu lama lagi. Saya muda lagi. Yang penting saya buat baik. Namun sebenarnya mati itu yang paling dekat dengan kita.

"Bila saya faham hakikat yang kita ini akan mati juga satu hari nanti dan betapa sayangnya Rasulullah SAW pada kita semua, sebab itulah hati saya yang rasa amat memberontak dahulu boleh berubah sekelip mata.

"Saya terus rasa nak pakai tudung, tak nak buka lagi. Saya terus nak baiki diri," ujarnya dalam sebuah program bual bicara bersama Neelofa, baru-baru ini.

Diana juga berkongsi saat-saat mahu mengenakan niqab apabila pulang mengerjakan ibadah umrah dan menyifatkan penghijrahannya itu adalah bukti cinta pada yang maha agung.

"Saya rasa penghijrahan saya agak perlahan sebenarnya sebab saya mula ada rasa suka nak berniqab sejak sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020. Saya pergi umrah 2019.

"Sudah tentu, waktu buat umrah, kita suka pakai niqab. Waktu itu saya juga ada buat satu hantaran, saya cakap perasaan pakai niqab ini buat saya rasa selesa, bebas dan rasa macam ialah diri saya. Orang lain tak perlu tahu siapa saya. Yang penting, saya dan Allah. Saya rasa sangat bebas.

"Tapi saya ada bagitahu yang saya tak bermaksud nak pakai niqab, sebab saya belum bersedia ketika itu. Namun balik daripada umrah, ada masanya saya pakai, ada masa tidak.

"Akhir tahun lepas, saya mula berniqab sebab ketika saya memakai niqab dan dalam kereta, ada satu lagu saya dalam senarai main iaitu lagu 'Labbaikallahumma labbaik'.

"Saya seorang yang kuat empati, bila saya dengar lagu ini rasa macam Allah sedang bercakap dengan saya dan saya sedang bercakap dengan Allah. Daku datang kepada-Mu Ya Allah.

"Waktu itu saya sedang berniqab, saya rasa rindu sangat pada Makkah dan Madinah. Saya nak jadi hamba yang Allah tahu saya sayang pada Dia.

"Saya rasa macam memakai niqab itu bukti cinta pada Allah. Semasa saya pakai niqab tu saya pakai kerana niat saya.

"Saya telefon suami saya dan cakap pada dia yang saya dapat perasaan yang sangat kuat untuk memakai niqab. Saya rasa lebih selamat. Dan dia beritahu itu berita paling menggembirakan dia dengar.

"Saya rasa, tak apa, tak perlu lagi pandang saya. Memang orang kenal saya sebagai diri saya sendiri. Bukan kerana fesyen atau muka atau rupa. Bukan. Tapi kenal saya sebagai seorang muslim.

Diana juga bertekad untuk tidak lagi membuat penampilan di kaca TV lagi selepas ini kerana mahu fokus dengan dirinya sahaja.

"Saya nak berhenti daripada muncul di khalayak ramai. Saya nak fokus pada diri saya, nak fokus pada betul-betul ikhlaskan diri saya mencari agama kerana Allah.

"Saya buat keputusan, saya cakap pada suami saya yang selepas ini saya dah tak mahu muncul di mana-mana tapi ada beberapa lagi tawaran yang saya sudah terima awal, jadi saya terpaksa buat tapi selepas ini tidak lagi.

"Maksudnya, saya mahu berada dalam kalangan muslimat sahaja," kongsi Diana.

Terdahulu, Diana atau nama sebenar, Nurdiyana Amir Hisham mendirikan rumah tangga dengan Mohd Habibullah A Rahman pada 25 Oktober 2013.

Mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Khaulah Al Azwar, 7, Khadija Azzehra, 5, dan Muhammad Khalid Al Habib, 3.

Sumber : Berita Harian


Pemergian mengejut pelakon Syazlin Zainal

by

 


Dunia hiburan terkedu mendengar laporan berita kematian seorang pelakon dan juga model, Syazlin Zainal yang meninggal dunia secara tiba-tiba pada Khamis lalu.

Berita tersebut terlebih dahulu dimaklumkan rakan-rakan baiknya dan juga sepupu allahyarham menerusi perkongsian dalam Instagram masing-masing.

Bahkan dia yang masih terkejut ketika menerima berita tersebut sukar menggambarkan perasaan yang dirasakannya ketika itu.

Lebih menyedihkan, ada beberapa hasrat Syazlin atau nama penuhnya Syazlin Suhaizan Zainal yang tidak sempat dilunaskan semasa hayatnya masih ada.

Seperti dikongsikan abangnya bernama Azri Azizi Zainal dalam Twitter, arwah sangat teringin bertemu dengan anak perempuannya yang baru dilahirkan pada bulan lalu.

“Hari ini, adik perempuan saya, Syazlin Zainal meninggal dunia. Baru sahaja berjumpa bulan lepas ketika isteri saya berpantang di kampung.

“Dia kata, nak sangat jumpa bayi perempuan kami yang baru dilahirkan, Aralyn. Sebab nama hampir sama dengan dia,” katanya.

Tambah Azri, dia memberi nama Aralyn kepada anak perempuannya itu disebabkan allahyarham yang lebih mesra disapa Alin.

“Saya pilih nama itu pun sebab Alin. Tetapi Aralyn takkan pernah dapat jumpa ibu saudaranya. Al-Fatihah,” tulisnya lagi.

Selain hasrat bertemu anak saudara tidak kesampaian, Syazlin yang dilaporkan meninggal dunia akibat terjatuh dari tingkat 22 di sebuah pangsapuri di Taman Iskandar, Johor Bahru, Johor tidak sempat meraikan sambutan hari lahirnya esok.

Dia yang dilahirkan pada 14 November 1996 sepatutnya merancang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-26 bersama rakan.

Jumaat lalu, punca kematian Syazlin akibat terjatuh dari tingkat 22 di sebuah pangsapuri disahkan oleh Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat.

Siasatan awal polis tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (DSR).

Menurut Zeatyalia dalam perkongsian lain Instagramnya pada Jumaat lalu, jenazah allahyarham selamat dikebumikan di Keramat, Kuala Lumpur.

Sepanjang hayatnya, Syazlin yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik pernah membintangi sejumlah drama seperti Takdir Yang Tertunda, Potong, Dia Yang Ku Jadikan Suami dan Ada Yang Ngikut.

Pemergian pelakon itu pada usia yang sangat muda cukup mengejutkan ramai termasuklah rakan selebriti yang pernah bekerjasama dengannya sebelum ini seperti Anna Jobling, Nadia Brian dan Scha Elinnea.

Sementara pelakon Hun Haqeem dalam satu perkongsian Instagram menyifatkan allahyarham sebagai rakan yang sangat baik dan tidak pernah lokek dengan senyuman.

“Dia selalu senyum sahaja ketika di set penggambaran, sangat fokus dengan kerja dan selalu mahu berikan yang terbaik setiap hari dalam lakonannya,” ujar Hun.

Sumber : Kosmo!

Aman Shah meninggal dunia

by

 


Pelakon dan penyanyi era 80-an, Aman Shah, 68, menghembuskan nafas terakhir selepas melakukan pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN), kira-kira jam 2.20 petang Rabu.

Berita pemergian penyanyi yang popular menerusi lagu Kepulangan Yang Dinanti itu disahkan anak saudaranya, Mohd Naufal Abdul Latiff kepada BH Online.

Mohd Naufal berkata, arwah dimasukkan ke IJN pada 9 September lalu, bagaimanapun menjalani pembedahan memasang kateter belon atau sten, semalam.

Bagaimanapun, katanya, keadaan kritikal dan tidak stabil sehinggalah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Koronari (CCU), petang ini.

"Hari ini, beberapa kali Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) terpaksa dilakukan. Namun, keadaan arwah tidak menunjukkan tindak balas yang baik.

"Pilihan terakhir, arwah terpaksa diberikan bantuan pernafasan. Bagaimanapun, tak sampai tempoh satu jam, arwah menghembuskan nafas terakhir," katanya kepada BH Online.

Katanya, arwah sudah lama menghidap penyakit kencing manis dan jantung, malah, pernah berdepan beberapa serangan jantung termasuk di rumahnya, dua minggu lalu.

"Saya memang rapat dengan arwah. Sejak beberapa bulan ini, saya menegurnya apabila melihat keadaannya kurang sihat.

"Arwah mengakui keadaannya sudah teruk apabila tidak mendapatkan rawatan di IJN, selain sepatutnya arwah perlu melakukan pembedahan memasukkan sten dengan segera.

"Kondisi kesihatan arwah agak parah selepas terkena serangan jantung di Kota Bharu, Melaka dan terbaru, di rumahnya.

"Dua minggu lalu, arwah dikejarkan dan dimasukkan ke Hospital Serdang," katanya.

Mohd Naufal berkata, dia bersama anak arwah, Hadzly Aman Shah dan beberapa ahli keluarga sejak pagi tadi apabila diberitahu kondisi arwah semakin kritikal.

"Dalam pertemuan terakhir, arwah berpesan, di mana beliau menghembuskan nafas terakhir, di situlah jenazahnya disemadikan.

"Jenazah arwah akan dibawa ke Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai, Cheras sebelum dikebumikan hari ini.

"Bagaimanapun, kami masih menguruskan beberapa prosedur sebelum membawa jenazah ke masjid," katanya.

Terdahulu, pada era 1980 dan 1990-an, bakat nyanyian dan lakonan Aman Shah atau nama sebenarnya, Aman Shah Abu Kassim cukup disanjungi.

Lagu popular menjadi siulan ialah Adikku Pandai Menari, manakala setiap kali menjelang Syawal, Kepulangan Yang Dinanti pasti mendapat pilihan corong radio.

Memiliki personaliti menarik, tinggi lampai dan wajah tampan, menjadikan jejaka kelahiran Johor Baharu itu laris di layar lebar.

Menonton filem Darah Satria pasti membangkitkan semangat anak muda menyertai kerjaya sebagai perajurit. Selain itu, Aman Shah juga membintangi filem Cikgu Sayang, Sayang Ibu dan Bas Konduktor

Dilahirkan pada 26 April 1954, Aman Shah pernah menghilangkan diri seketika. Beliau pernah bertugas di Arab Malaysia Development Berhad mulai 1992 hingga 2007, sekali gus mengurangkan aktiviti seninya.

Beliau tidak pernah menyimpan impian akan menjadi insan popular kerana kerjayanya hanya bermula di bawah khemah orang kahwin sekitar 1965.

Ketika itu, penyanyi terkenal era 1960-an, Allahyarham Datuk A Rahman Hassan bermain gitar pada satu majlis perkahwinan di Johor Bahru.

Aman Shah yang baru belajar dalam Darjah Lima memberanikan diri bermain gitar pada waktu rehat. Minatnya bermain gitar semakin menebal, namun tidak pernah mendapatkan pendidikan formal, sebaliknya belajar daripada buku muzik.

Apabila memasuki Tingkatan Lima, Aman Shah sudah menubuhkan kumpulannya sendiri, The Rembles apabila bertindak sebagai penyanyi dan pemain gitar utama.

The Rembles pernah dinobatkan sebagai Juara Kugiran Pesta Negeri Sembilan 1971. Nama The Rembles begitu digeruni apabila sering menyapu bersih gelaran juara setiap kali diadakan pertandingan kugiran atau nyanyian sekitar Johor dan Negeri Sembilan.

Perjalanan Aman Shah ke kota besar Kuala Lumpur bermula pada 1973. Setibanya di Kuala Lumpur, Aman Shah menumpang tidur di Bilik Musafir, Masjid Negara kerana tidak cukup wang untuk menginap di hotel.

Keesokan harinya, barulah tiba ke rumah artis terkenal, Sukarni Jaafar di Klang Gate untuk tumpang berteduh.

Akhirnya, Aman Shah menyertai Booty's Boys dan menerima gaji bulan RM2,000. Pada masa itu, khususnya awal 1970- an, jumlah itu dianggap terlalu lumayan baginya.

Sejak itu, Aman Shah bersama Booty's Boys sering mendapat undangan bermain muzik sekitar hotel di Kuala Lumpur dan tidak lama kemudian, Aman Shah bertemu dengan mendiang Mike Bernie, sekali gus menawarkannya menjadi artis syarikat rakaman EMI Music pada 1979.

Menerusi album Aman Shah 5, dia tampil dengan lagu popularnya, Adikku Pandai Menari yang dirakam pada 1983.

Selain itu, Aman Shah muncul dengan Mawarku, Cinta Tak Seindah Diucap, Dunia Orang Muda, Ku Mengerti Erti Sepi dan Kisah Gadis Keriangan.

Aman Shah bukan sekadar berbakat sebagai penyanyi, malah pernah maju setapak apabila bergelar komposer. Lagu ciptaannya, Perjalanan Sepi dendangan Shara Eqnor pernah menyertai pertandingan nyanyian First Asian Song Festival di Nagoya, Jepun pada 1989.

Lagu popular lain ciptaan Aman Shah ialah Mata dendangan Noor Kumalasari. Aman Shah juga terus mencipta populariti sebagai komposer hebat apabila dianugerahkan kembar tiga platinum di atas penjualan album kumpulan Ekamatra yang mengandungi lagu popular, Pusara Di Lebuh Raya.

Beliau terus melebarkan kerjaya seninya apabila berjinak-jinak sebagai pelakon. Aman Shah mula berlakon drama RTM sekitar 1980.

Antara drama lakonannya ialah Selembut Sutra dan Ke Puncak Jaya. Tidak lama selepas itu, Aman Shah sudah mampu bergelar penerbit.

Beliau pernah menerbitkan drama bangsawan untuk TV3, namun drama swasta pertama terbitannya ialah Mawas yang dihasilkan sempena ulang tahun kedua TV3.

Aman Shah akhirnya bertemu jodoh ketika usianya mencecah 24 tahun dengan Miss Kelantan, Rohani Nik berasal dari Dungun, Terengganu. Namun, rumah tangganya bertahan dua tahun.

Ketika menyertai program hiburan, Pusparama di Singapura, Aman Shah bertindak sebagai hos dan jatuh cinta pandang pertama kepada Farah Diba Abdul Aziz yang turut membuat persembahan bersama kumpulan duo, The Queens.

Setahun berkenalan, Farah yang berasal dari Bedok, Singapura ditunangkan bersama Aman Shah pada usia 14 tahun.

Mereka bercinta selama enam tahun. Akhirnya pada 21 Disember 1986, Aman Shah dan Farah bersanding di Bedok Tampines, Singapura selepas bernikah gantung di Jelebu.

Majlis persandingan di Singapura berlangsung meriah selama tiga hari, tiga malam. Namun, perkahwinan keduanya hanya mampu bertahan kira-kira empat tahun dan dikurniakan tiga cahaya mata.

Perkahwinan ketiga Aman Shah dikurniakan dua cahaya mata, namun beliau tidak pernah mendedahkan identiti isterinya.

Sumber : Berita Harian

Ika Nabella berhijab

by

 

Bukan mahu berahsia, sebaliknya, pelakon, Ika Nabella, 31, masih membiasakan diri dengan penghijrahannya.

Disebabkan itu, awalnya, Ika atau nama sebenarnya, Ika Nabila Abdul Rahim agak keberatan berkongsi dan mengumumkan dirinya sudah berhijab, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ika berkata, sudahnya masanya berkongsi berita baik, apatah lagi sering memuat naik gambar yang sudah bertudung, sejak akhir ini.

"Saya takut nak cakap ia satu penghijrahan. Jika betul ini penghijrahan, saya harap ia berkekalan dan saya kekal istiqamah. Doakan yang terbaik untuk saya supaya perubahan ini kekal sampai bila-bila," katanya kepada BH Online.

Pelakon Bahagia Bukan Bidaan itu berkata, dia sudah lama berhijab, tetapi tidak dikongsikan dalam laman sosial.

"Saya tak berniat untuk membuat pengumuman, tetapi apabila ramai bertanya, saya rasa perlu beritahu.

"Jika diikutkan, saya sudah lama berhasrat mahu bertudung, tetapi sebagai manusia biasa, banyak sangat hal duniawi yang difikir hingga membantutkan niat dan membuat hati berbolak-balik.

"Namun, sekarang adalah masanya untuk saya menjadi insan, isteri dan ibu yang lebih baik," katanya.

Ika berkata, bapa dan suaminya, Muhammad Zaid adalah insan yang paling gembira dengan penghijrahannya itu.

Mengulas dorongan penghijrahannya itu, Ika berkata, keluarganya adalah pendorong utama untuk melihatnya menjadi wanita lebih baik.

"Apabila sudah kahwin dan cahaya mata, saya gembira dengan kehidupan, walaupun serba serbi sederhana. Saya dapat apa yang diingini. Dahulu, saya mahu kahwin, dapat berkahwin. Kemudiannya mahukan sangat zuriat, Alhamdulillah dikurniakan zuriat. Saya tak pernah rasa bosan dengan hidup.

"Jadi apabila difikir semula, tiada benda lagi yang menghalang saya untuk meneruskan niat berhijrah ini.

"Saya sering mengikuti kelas agama. Guru selalu mengatakan, Allah bagi walaupun murka. Jadi, saya tak mahu Allah murka dengan saya. Saya tak mahu tergolong dalam istidraj. Kalau boleh saya mahu sehabis baik untuk menjadi manusia lebih baik," katanya.

Wanita kelahiran Pulau Pinang itu berkata, dia kini sudah menginjak usia 31 tahun.

"Saya rasa masa pun makin lama makin singkat.

"Saya mahu menjadi isteri sempurna dan ibu yang boleh memberikan memori baik untuk anak. Saya mahu anak saya mempunyai memori baik mengenai saya, ibunya yang baik, menutup aurat dengan sempurna dan menjaga solat. Saya mahu menjadi contoh untuk anak," katanya.

Ibu kepada Muhammad Noah Zayn itu berkata, dia tidak menafikan melihat rakan dalam industri yang berhijrah menjadi salah satu dorongannya untuk berbuat demikian.

"Sebelum ini, saya selalu fikir jika bertudung macam mana nak berlakon, produksi okay atau tidak dengan pilihan saya. Tetapi, sekarang saya tengok okay sahaja.

"Lagipun, sekarang saya lihat ramai rakan artis yang sudah berhijrah. Saya tengok mereka jauh lebih cantik dan popular. Mereka boleh berhijrah dan berubah menjadi lebih baik, mengapa tidak saya?

"Saya bersyukur dengan adanya sosial media di mana saya banyak mengikuti orang yang positif. Mereka sangat memberikan inspirasi, itu juga salah satu sebab mendorong saya berhijab," katanya.

Mengulas tawaran lakonan dengan penampilan baharu, Ika berkata, dia ada menolak beberapa tawaran yang sudah diterima sebelum ini.

"Ada terima dua tawaran drama bersiri, tetapi waktu ditawarkan saya tak bersedia memberitahu saya sudah berhijab. Jadi, saya terpaksa tolak tawaran.

"Sekarang, saya tenang apabila dapat berkongsi mengenai penghijrahan ini. Saya harap sesiapa sahaja yang mahu bekerjasama tahu saya sudah berhijab. Jika berlakon, saya mahukan watak bersesuaian dengan imej sekarang," katanya.

 Sumber : Berita Harian

 

 

Zara Zya bertudung

by

 

Pelakon, Zara Zya, 35, sekian lama memendam hasrat berhijrah akhirnya membulatkan tekad bertudung sejak beberapa hari lalu. 

Sebelum ini, bintang drama Seadanya Aku dan Korban Kasih itu dilihat memuat naik gambar bertudung hingga menarik perhatian pengikut, baru-baru ini. Kebanyakan peminat menyukai imej bertudung yang digayakan.

Menerusi kapsyen gambar yang dimuat naik, Zara menyentuh soal doa yang cepat atau lambat dimakbulkan Allah. Ia seperti memberi satu bayangan wanita kelahiran Lenggong, Perak itu sudah mula berhijrah.

Mengukuhkan tanda tanya apabila Zara dilihat menjual pakaian lama menerusi laman Instagram (IG) Story, Rabu lalu.

"Secara jujur, saya masih dalam proses membiasakan diri dalam penghijrahan ini.

Saya mengharapkan doa yang baik-baik.

"Semuanya berlaku atas gerakan hati. Keputusan ini tidak perlu dilengahkan. Saya juga tak mahu hati berbolak-balik dalam melakukan tuntutan wajib ini.

"Saya sempat menghabiskan penggambaran drama Beri Sedikit Waktu pada Jumaat lalu, sebelum bertekad mengenakan tudung sepenuhnya," katanya.

Zara atau Zainurul Razia Mohd Zainuddin berkata, dia memutuskan untuk menolak beberapa tawaran drama yang kurang sesuai dengan imej bertudung.

Baginya, hatinya kuat mahu berubah termasuk menutup aurat.

"Saya selalu dengar soal istiqamah ini bukan mudah. Saya harap Allah tetapkan hati dan jiwa saya. Insya-Allah, saya mahu masa depan menjadi lebih baik daripada semalam yang ditinggalkan.

"Tiada langsung rasa sayang menjual pakaian lama. Saya akui, sudah tidak sabar mahu menutup aurat selama ini. Moga ia menjadi permulaan yang baik," katanya.

Katanya, dia tidak gentar sekiranya keputusan menutup aurat mungkin menjejaskan tawaran lakonan.

"Saya tak terfikir soal ada tawaran kerja atau sebaliknya. Saya percaya pada rezeki yang tertulis.

"Saya banyak membeli tudung dan pakaian baru," katanya.

 Sumber : Berita Harian

 

Pelakon Idris Mat Diah meninggal dunia

by

 

Pelakon  veteran, Idris Mat Diah yang membawa watak Pak Andak dalam drama '7 Hari Mencintaiku' meninggal dunia awal pagi tadi.

Berita kematian Idris, 61, disahkan Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah.

Hafiz berkata, jenazah Allahyarham kini dalam perjalanan dari Putrajaya ke rumah mereka di Kepong dan akan diuruskan di Masjid Al-Faizin Kepong sebelum dikebumikan di tanah Perkuburan Islam Bukit Lagong.

"Anak arwah juga memaklumkan jika arwah ada berhutang pada sesiapa beliau memohon agar menghubungi pihak waris,” katanya menambah Seniman Malaysia turut mengucapkan takziah buat ahli keluarga Allahyarham.

Selain drama 7 Hari Mencintaiku', Allahyarham juga pernah muncul dalam drama Cucu Tauke Beras, Menantu Bilal, Andainya Takdir dan Zahir Tak Terucap. 

 - Bernama

 

Gadis Pahang tunang Remy Ishak

by

 

Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba tersebar gambar pelakon kacak, Remy Ishak, melangsungkan pertunangan dengan kekasihnya yang juga ahli perniagaan, Ezza atau Roszaliza Yusof, 33, pada 31 Mei lalu.

Majlis berkenaan diadakan di kediaman keluarga perempuan di Pahang.

Mengadakan majlis terbabit secara tertutup dengan hanya dihadiri oleh keluarga terdekat, Remy, yang berkawan rapat dengan Ezza sejak tiga tahun lalu, mengaku beliau ada alasan tersendiri untuk berbuat demikian.

"Saya mengakui agak bersikap konservatif dalam hal ini. Lagipun, Islam sendiri tidak menggalakkan umatnya untuk menguar-uarkan mengenai pertunangan.

 

Jins Shamsuddin meninggal dunia

by


Seniman veteran, Tan Sri Jins Shamsuddin, 81, disahkan meninggal dunia di sebuah klinik di Taman Melawati, Kuala Lumpur dipercayai akibat sesak nafas selepas tercekik kuih ketika minum petang di rumahnya pada pukul 5.45 petang semalam.

Menurut isteri beliau, Puan Sri Halijah Abdullah, 56, sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir beliau sempat menjamah beberapa ulas cekodok sebagai santapan terakhir sebelum dikejarkan ke klinik.

“Memang menjadi rutinnya menikmati minum petang pada setiap hari. Tapi kali ini saya berasa terkilan ketika menyediakan cekodok kepada beliau petang Rabu.

“Tidak sangka apabila menikmati makanan kegemarannya itu pada suapan keempat, beliau tercekik dan saya berusaha untuk mengeluarkan semula sisa makanan yang berada dalam mulutnya dengan menepuk belakangnya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Sementara itu, pengarah dan penerbit filem, Datuk Yusof Haslam menyifatkan pemergian Jins yang dianggap seperti abang dalam industri perfileman itu sebagai kehilangan besar dunia seni tanah air.

“Masih segar dalam ingatan, beliau merupakan antara pelakon yang menyokong pertubuhan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) ketika diperkenalkan pada 1981.

“Jins turut menyokong skim wajib tayang yang diperkenalkan sekitar tahun 2007 bagi karya-karya yang dihasilkan oleh penerbit filem tempatan. Banyak jasa beliau pada industri perfileman negara,” katanya.

- Kosmo!

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90