Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label penerima vaksin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label penerima vaksin. Papar semua catatan

Pendaftaran penerima vaksin COVID-19 semakin perlahan

by

 

Jumlah individu yang berdaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 menerusi aplikasi MySejahtera mencecah 6,084,588 setakat 21 Mac 2021.

Berdasarkan data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook hari ini, jumlah itu meliputi 25.1 peratus daripada 24.3 juta populasi Malaysia berusia 18 tahun ke atas, yang disasarkan menerima vaksin COVID-19 menjelang suku pertama tahun depan.

Bagaimanapun, kadar pendaftaran penerima vaksin COVID-19 semakin perlahan dengan ketara, apabila hanya mencatatkan peningkatan 9.9 peratus atau 550,474 individu dalam tempoh tujuh hari lalu, daripada 5,534,114 pada 14 Mac, kepada 6,084,588 semalam.

Ia adalah perbezaan ketara berbanding peningkatan pendaftaran lebih 69 peratus atau 2,226,703 antara 7 Mac (3,224,641) hingga 13 Mac (5,451,344).

Ini menimbulkan persoalan mengenai tempoh masa yang diperlukan untuk semua 24.3 juta populasi Malaysia berusia 18 tahun ke atas, mendaftar sebagai penerima vaksin itu.

Data dikongsi Dr Noor Hisham itu menunjukkan, penduduk di Sabah dan Kelantan adalah yang paling rendah mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 menerusi MySejahtera.

Sejak pendaftaran dibuka pada 23 Februari lalu, hanya 9.4 peratus atau 274,438 daripada jumlah keseluruhan penduduk Sabah yang mendaftar sebagai penerima vaksin, manakala Kelantan mencatatkan 13.1 peratus atau 161,627 penduduk.

Putrajaya pula kekal tertinggi dengan 74.3 peratus atau 42,291 daripada jumlah keseluruhan penduduknya sudah mendaftar sebagai penerima vaksin, disusuli Kuala Lumpur (36.6 peratus/541,489), Selangor (36.2 peratus/1,752,233) dan Pulau Pinang (31.7 peratus/439,427).

Selain itu, Negeri Sembilan (29.2 peratus/247,803), Labuan (28.3 peratus/20,507), Melaka (27.4 peratus/191,823), Johor (27.3 peratus/775,342), Sarawak (23 peratus/475,788) dan Perak (22 peratus/424,758).

Perlis pula mencatatkan 20.4 peratus (38,425) diikuti Kedah (19.4 peratus/309,921), Pahang (19.2 peratus/236,414) dan Terengganu (18.1 peratus/152,322).

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) menyasarkan untuk memvaksin kira-kira 80 peratus populasi Malaysia berusia 18 tahun ke atas menjelang suku pertama tahun depan, bagi mencapai imuniti kelompok terhadap COVID-19.

Malaysia kini berada dalam fasa pertama program berkenaan, yang menyasar untuk memvaksin kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan antara hujung Februari hinga April depan.

Fasa 2 imunisasi, yang bakal membabitkan vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac, dijadualkan bermula April hingga Ogos depan, untuk kira-kira 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi.

Fasa 3 pula akan bermula pada Mei hingga Februari tahun depan dan disasarkan untuk sekitar 13.7 juta penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas, sama ada rakyat tempatan atau warga asing.

Sumber : Berita Harian

Data peribadi penerima vaksin tidak dikongsi dengan syarikat pengeluar

by

 

Kerajaan memberi jaminan data peribadi rakyat yang mendaftar untuk menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) tidak akan didedahkan kepada syarikat pengeluar vaksin terlibat.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, menegaskan data yang mungkin akan dikongsikan dengan syarikat farmaseutikal terlibat hanyalah maklumat berkaitan kesan sampingan selepas imunisasi (AEFI) dilakukan.

"Rakyat tidak perlu risau, kita (kerajaan) tidak akan dedahkan data peribadi mereka kepada syarikat pengeluar vaksin, hanya data umum seperti AEFI akan dikongsi.

"Bagi situasi antara Pfizer-BioNTech dengan negara Israel, mereka memang sudah ada perjanjian untuk kongsi maklumat (penerima) yang terperinci… tambahan Israel negara yang lebih dahulu terima vaksin," katanya. 

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata demikian pada sesi sidang video program 'Sembang Vaksin' menerusi aplikasi Zoom anjuran gabungan doktor dan petugas kesihatan di Twitter atau MedTweetMY, malam tadi.

Sementara itu, beliau berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) sedang berbincang dengan pihak hospital dan pengamal perubatan swasta tentang penglibatan mereka dalam Fasa 2 dan 3 PICK.

Jelasnya, kedua-dua fasa itu memerlukan petugas kesihatan yang lebih ramai termasuk yang bertugas di hospital dan fasiliti kesihatan swasta bagi melaksanakan aktiviti imunisasi melibatkan jutaan penduduk di negara ini.

"Harus ditekankan, walaupun sebahagian rakyat akan menerima vaksin di hospital atau fasiliti kesihatan swasta pada Fasa 2 dan Fasa 3 PICK itu nanti, mereka tetap terima vaksin secara percuma," tegasnya.

Beliau berkata, buat masa ini JKJAV menetapkan semua pembelian vaksin daripada syarikat pengeluar dan pemberian vaksin adalah menerusi kerajaan bagi menjamin kesaksamaan dalam aktiviti imunisasi kepada rakyat yang layak divaksinkan.

Katanya, apabila bekalan vaksin itu tersedia untuk pasaran terbuka kelak, kerajaan akan memantau dan menetapkan harga siling bagi penggunaan di hospital swasta.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan juga sedang meneliti cadangan menggubal undang-undang baharu berkaitan penyebaran berita palsu vaksin COVID-19 yang boleh mencetuskan kekeliruan dan ketakutan dalam kalangan rakyat. 

Sumber : BERNAMA

 

 

Pendaftaran sebagai penerima vaksin mulai Mac 2021

by

 

Proses pendaftaran sebagai penerima vaksin Covid-19 bagi orang ramai dijangka dibuka bermula Mac ini dan dilaksanakan dengan konsep sukarela.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, orang ramai boleh berbuat demikian menerusi lima kaedah termasuk menggunakan aplikasi MySejahtera.

“Sekiranya tiada MySejahtera, orang ramai boleh mengakses laman sesawang JKJAV (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid19) yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri pada minggu depan.

“Selain itu, orang ramai juga boleh berbuat demikian menerust talian hotline (nombor ditetapkan kemudian) dan pendaftaran secara manual di klinik dan hospital awam serta swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang disiarkan malam semalam bertajuk ‘Vaksin: Kendurkan Ketegangan dan Kerisauan terhadap Covid-19.’

Mengulas lanjut, beliau berkata, kaedah kelima ialah melalui kerjasama dengan kerajaan negeri untuk mendaftarkan penerima termasuk warga emas sekiranya mereka berada di kawasan pedalaman.

Sementara itu, Khairy Jamaluddin yang Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mengulangi kenyataan sebelum ini bahawa program vaksinasi akan dimulakan dengan petugas barisan hadapan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan melibatkan tiga fasa dengan fasa pertama membabitkan sejumlah 500,000 petugas barisan hadapan mulai bulan ini hingga April depan.

Menurutnya, fasa kedua melibatkan 9.4 juta orang terdiri daripada kumpulan berisiko tinggi  yang akan berlangsung mulai April hingga Ogos depan.

“Baki penerima vaksin dalam fasa ketiga merupakan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas yang akan bermula dari bulan Mei depan hingga Februari 2022,” katanya.

Sumber : Kosmo!


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90