Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label perbankan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label perbankan. Papar semua catatan

Aeon Credit mula perniagaan perbankan digital Islam

by

 


Aeon Credit Service (M) Bhd memeterai perjanjian pemegang saham dengan Aeon Financial Service Co Ltd untuk memulakan perniagaan perbankan Islam digital.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat perkhidmatan kewangan itu berkata langkah itu akan dilaksanakan menerusi ACS Digital Bhd (ACSD) yang bersedia untuk dilesenkan sebagai bank Islam digital di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSA) 2013.

Aeon Credit akan melanggan sehingga 175 juta saham biasa dalam ACSD pada harga RM1.00 sesaham dan apabila selesai, ACSD akan menjadi sebuah syarikat bersekutu, katanya.

Katanya jumlah perbelanjaan pelaburan dan modal saham akhir untuk ACSD dianggarkan berjumlah RM550 juta dalam tempoh lima tahun awal apabila perniagaan perbankan Islam digital itu dimulakan.

Struktur ekuiti akhir dalam ACSD dijangka 35 peratus bagi Aeon Credit, Aeon Financial Service (35 peratus) dan pemegang saham Malaysia (30 peratus), menurut Aeon Credit.

Perkara itu akan dimuktamadkan dalam tempoh lima tahun daripada operasi bank Islam digital itu dimulakan, manakala usaha sama yang dicadangkan itu akan dibiayai sepenuhnya menerusi penjanaan dana dalaman.

Pengarah Urusan Aeon Credit, Daisuke Maeda, berkata perintegrasian perniagaan perbankan Islam digital itu akan membolehkannya memenuhi keperluan kitaran hidup pelanggan dan mengembangkan asas keahliannya menerusi aktiviti penjualan silang.

Katanya, langkah ini akan mendorong jumlah urus niaga dan bahagian pasaran untuk kesemua perniagaannya.

"Bank digital akan berada pada kedudukan yang lebih baik berbanding saluran tradisional untuk memberikan perkhidmatan kepada segmen yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan," kata Aeon Credit.

Sumber dari Bernama.



Penutupan Cawangan Bank Tingkat Keberkesanan Operasi

by


Penutupan cawangan-cawangan bank merupakan satu usaha yang berterusan bagi meningkatkan keberkesanan operasi institusi kewangan itu, kata Persatuan Bank-bank Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (ABIM).

Persatuan terbabit dalam satu kenyataan bersama pada Rabu, berkata kemajuan dan perkembangan dalam teknologi serta pembayaran elektronik membolehkan  kemudahan menjalankan transaksi perbankan tanpa perlu mengunjungi cawangan bank fizikal.

"Transaksi sudah menjadi semakin automatik bagi menggalakkan kecekapan yang lebih baik. Dalam persekitaran ini, bank-bank mula memberi tumpuan kepada platform digital, berbanding dengan cawangan fizikal bagi menyampaikan perkhidmatan mereka kepada pengguna dan perniagaan," kata kenyataan tersebut.

Walaupun terdapat peralihan kepada platform elektronik, usaha menyampaikan khidmat perbankan yang berkualiti tidak akan diabaikan.

"Institusi perbankan akan terus berusaha bagi menyediakan pembiayaan untuk menyokong semua sektor ekonomi. Bank juga akan memastikan bahawa semua lapisan rakyat termasuk yang tinggal di kawasan luar bandar mempunyai akses kepada perkhidmatan perbankan."

Dalam landskap kewangan baharu ini, sektor perbankan agak optimistik dengan  prospek pekerjaan dalam industri, kata persatuan-persatuan itu.

"Untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan, kakitangan bank mungkin perlu dipindahkan dan diberi latihan semula bagi memenuhi tuntutan keperluan industri yang sentiasa berkembang.

Industri perbankan akan meningkatkan fokus dalam bidang-bidang seperti pengurusan risiko, pemantauan penipuan, laporan pengawalseliaan, pematuhan pencegahan pengubahan wang haram, keselamatan siber dan teknologi maklumat.

"Anggota kami mempunyai set strategi dan rancangan mereka sendiri dengan mengambil kira urusan keperluan tenaga kerja berdasarkan matlamat perniagaan masing-masing," kata persatuan itu.

Sektor perbankan adalah salah satu sektor berasaskan pengetahuan dan  memiliki produktiviti yang tinggi dalam ekonomi ini, ia merangkumi 72 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi berbanding sektor kewangan yang lain. 

- BERNAMA

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90