Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label pesawat terhempas. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pesawat terhempas. Papar semua catatan

Kegagalan sistem teknikal, muatan tak stabil mungkin antara punca nahas Elmina

by




Hilang kawalan, muatan tidak stabil, kerosakan satu enjin atau kegagalan sistem teknikal antara punca menyebabkan pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Elmina, Shah Alam.

Hal itu juga mungkin menyebabkan juruterbang tidak menghantar sebarang isyarat kecemasan sebelum pesawat terhempas, sekali gus memberi gambaran nahas berlaku secara mendadak.

Bekas ketua juruterbang Serantau MAS (Malaysia Airlines), Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain, berkata faktor 'windshear' atau perubahan mendadak arah angin yang menyebabkan pertambahan beban struktur dinamik pada pesawat juga sangat tipis berlaku.

"Namun kemungkinan kejadian aneh (freak occurance) tidak boleh ditolak, walaupun cuaca ketika kejadian dilaporkan terang, udara stabil dan jarak penglihatan lebih 10 kilometer.

"Isu pesawat kehabisan minyak juga tidak timbul dan ini boleh disahkan dari log di Langkawi. Ini kerana letupan dan kebakaran selepas pesawat terhempas, bermakna ia masih mempunyai bahan bakar mencukupi untuk mendarat," katanya

Polis mengesahkan 10 individu maut dalam insiden pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, kira-kira jam 2.40 petang semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata semua mangsa dipercayai berusia antara 40-an hingga 50-an yang mana lapan daripadanya adalah penumpang dan krew pesawat. Dua lagi mangsa adalah pemandu e-hailing dan penunggang motosikal p-hailing yang kebetulan lalu di lokasi kejadian.

Nik Ahmad Huzlan berkata, keadaan menjadi sangat berbahaya sekiranya juruterbang hilang kawalan penerbangan tanpa sebarang sebab ketika pesawat terbang rendah.

"Difahamkan, pesawat terhempas dua minit selepas dapat kebenaran mendarat dan secara lumrahnya kebenaran itu diberi dalam tujuh hingga 10 kilometer dari landasan.

"Ini bermakna pesawat dalam ketinggian antara 1,500 hingga 3,000 kaki ketika kejadian hilang kawalan atau dalam tiga hingga lima minit sebelum mendarat.

"Jika ia hilang kawalan ketika berada pada aras 20,000 kaki, juruterbang masih mempunyai masa membetulkan keadaan dan berhubung dengan Pusat Kawalan Trafik Udara.

"Namun dalam kejadian ini, ketinggian pesawat pada altitud rendah dan laungan kecemasan, 'Mayday' juga tiada. Rakaman video menunjukkan haluan junam maut, tidak terkawal, terus impak ke bumi dan terbakar," katanya.

Impak 'vertical' atau menegak juga jelas berikutan pesawat berkecai dalam kawasan sekitar 0.4 atau 0.8 hektar.

"Namun banyak isu teknikal lain juga boleh menyebabkan nahas berlaku, antaranya imbangan kerosakan satu enjin, kegagalan kawalan permukaan (alat kemudi kepak), 'reverser unstowed' dan lain lain. Malah masih belum jelas jika bahagian tayar pendaratan (undercarriage) sudah atau belum dikeluarkan. Penjelasan akan dapat dibuat apabila kotak hitam berwarna oren ditemui dan diterjemahkan," katanya.

Keadaan sebenar dapat diperhalusi tanpa teragak-agak mengenai situasi kawalan pesawat dan juga percakapan juruterbang dan pemandu juruterbang ketika kejadian.

"Dalam pada itu, isu 'berat dan keseimbangan' sebelum terbang, pasti sudah dibuat dan perkara ini perlu diperhalusi dalam siasatan kerana pesawat terbabit membawa muatan maksimum, enam penumpang dan dua kru penerbangan," katanya.

Pesawat malang didaftarkan di Amerika Syarikat

Dalam perkembangan lain, Nik Ahmad Huzlan berkata, jet itu didaftarkan di Amerika dan sudah menjadi lumrah pendaftaran jet luar yang beroperasi di negara ini.

"Banyak jet persendirian bertapak di sini menggunakan nombor plet negara luar. Selalunya ia diberi kelonggaran enam bulan atau lebih sebelum proses pendaftaran semula (re-registration) dibuat.

"Namun jika pesawat itu berdaftar di Amerika, juruterbang harus mempunyai lesen Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA)," katanya sambil menambah jangka masa siasatan mungkin tidak lama kerana kawasan nahas tidak membabitkan kawasan luas, mudah diases dan kerangka pesawat dijumpai di satu tempat.

Pesawat tiada Perakam Data Penerbangan

"Pegawai Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) semua berpengetahuan, berpengalaman dan bertauliah. Tetapi difahamkan pesawat tidak dipasang Perakam Data Penerbangan (FDR), hanya alat perakam suara kokpit (CVR).

"Ini akan merumitkan siasatan dan hanya CVR yang merakamkan suara dan bunyi dalaman semasa penerbangan yang dapat memberi gambaran.

"Data pesawat seperti rajah penerbangan, haluan, kelajuan, altitud dan lain-lain semua tiadanya tanpa FDR. Ini akan merumitkan penyiasat mengenal pasti punca kejadian dari sudut teknikal dengan tepat," katanya sambil memaklumkan FDR dan CVR diwajibkan untuk pesawat penumpang, namun tidak dapat dipastikan untuk pesawat persendirian.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Penerbangan Mencari Dan Menyelamat Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT), Prof Madya Mejar Bersekutu (PA) Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata data penerbangan daripada kotak hitam serta log penyelenggaraan pesawat akan dapat merungkai punca nahas termasuk kemungkinan masalah mekanikal yang dialami sebelum terhempas.

Ketika ditanya berhubung juruterbang pesawat berkenaan tidak membuat panggilan 'Mayday' kepada menara kawalan, Mohd Harridon berkata, terdapat langkah-langkah khusus oleh juruterbang jika berdepan dengan situasi kecemasan atau kerosakan mekanikal pesawat.

Sumber : Berita Harian



Pesawat Latihan TUDM Terhempas Di Pekan

by

Seorang jurulatih dan pelatih penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terselamat selepas pesawat latihan Aermacchi MB339CM terhempas di kawasan sawah padi di Kampung Serum, Pekan, Pahang pada Selasa, 17 Mei 2016.

Pesawat yang berpangkalan di TUDM Kuantan itu dilaporkan terhempas akibat kerosakan teknikal semasa mangsa menjalani latihan penerbangan.

Penguasa Kanan Bomba II Bahagian Operasi Pahang Ashrul Rezal Asbar berkata pelatih penerbangan Leftenan Mohd Hakimi Hairi patah kaki manakala jurulatih, Mejar Nazrul Hafiz Zaimi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kedua-dua mereka telah diambil oleh helikopter tentera pada pukul 1.37 tengah hari sejurus selepas kejadian itu.

Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 12.52 tengah hari sebelum satu jentera dengan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan bergegas ke tempat kejadian.

Ashrul Rezal berkata ketika anggota bomba sampai di lokasi, kedua-dua mangsa telah keluar daripada pesawat dan berada di tempat kejadian.

Pesawat berkenaan didapati rosak dan remuk di bahagian hadapan akibat terjunam di kawasan sawah padi.

Kedua-dua mangsa dilaporkan telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), untuk mendapat rawatan lanjut.

- mStar

Pesawat TUDM Terhempas Di Kuala Selangor

by


Sebuah pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilaporkan terhempas lalu terbakar di pesisir pantai dekat Kuala Selangor, pagi Jumaat.

Jabatan Bomba dan Penyelamat memaklumkan anggotanya tiba di lokasi kejadian selepas menerima panggilan orang ramai pada pukul 8.47 pagi.Sebuah pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilaporkan terhempas lalu terbakar di pesisir pantai dekat Kuala Selangor, pagi Jumaat.

Jabatan Bomba dan Penyelamat memaklumkan anggotanya tiba di lokasi kejadian selepas menerima panggilan orang ramai pada pukul 8.47 pagi.

Difahamkan lapan mangsa yang menaiki pesawat itu termasuk juruterbang dilaporkan selamat.

Kesemua mangsa diselamatkan penduduk berhampiran lokasi menggunakan perahu.

Menurut kenyataan TUDM, pesawat yang berpangkalan di Subang itu membuat pendaratan kecemasan berhampiran pantai Kuala Selangor pada 8.50 pagi.

"Lapan orang anak kapal dilaporkan selamat selepas dibantu oleh nelayan tempatan yang berada di kawasan tersebut," kata kenyataan itu.

TUDM akan menubuhkan pasukan penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian itu.

"TUDM juga akan berusaha untuk membuat 'recovery' pesawat tersebut," kata kenyataan itu.

Kegagalan Enjin Paksa Pesawat Mendarat Cemas

Masalah enjin gagal berfungsi memaksa pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk melakukan pendaratan kecemasan di kawasan pantai berpaya di sini, pagi Jumaat kata polis.

Walaupun semua lapan pegawai TUDM terselamat, polis berkata seorang nelayan lemas semasa cuba mengeluarkan mangsa keluar dari pesawat jenis CN235 itu.

Pesawat tersebut berlepas dari Pangkalan TUDM Subang kira-kira pukul 8.30 pagi untuk menjalani sesi latihan rutin dan mengeluarkan isyarat kecemasan 10 minit kemudian.

Anak kapal yang diketuai juruterbang Mohd Azri Yacob, 41, kemudiannya melakukan pendaratan cemas di perairan cetek dekat kawasan berpaya berhampiran Taman Malawati Utama.

Berlaku kebakaran kecil di bahagian tengah pesawat kesan hentakan kuat.

Namun sekumpulan nelayan yang berada di lokasi kejadian bergegas membantu mengeluarkan anggota di dalam pesawat tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supritenden Ruslan Abdullah berkata seorang nelayan lemas ketika cuba menyelamatkan mangsa selepas terjerlus di kawasan berlumpur.

Pembantu juruterbang Ahmad Syazwan Mohammed, 32, patah tangan kirinya manakala mangsa lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Anggota lain yang turut berada di dalam pesawat itu adalah Mejar Muhamed Afizan Jaafar, 32; Kapten Nurul Azrie Rofdi, 32; Leftenan Meor Ahmad Ali Meor Abdul Wahab, 26; Pegawai Warran 2 Muhd Sayfull Neezam Abdul Manan, 35; Sarjan David Tonge, 35 dan Sarjan Suhaila Pathil, 33.

Mayat nelayan yang mati lemas itu dibawa ke Hospital Tanjong Karang manakala pegawai TUDM diterbangkan semula ke Pangkalan TUDM Subang.

"TUDM sedang menyiasat punca kemalangan itu dan akan mengeluarkan pesawat dari lokasi kemalangan yang terbenam di dalam lumpur.

"Ia akan mengambil masa selama dua hari. Polis dan anggota bomba masih berada di lokasi untuk memberi bantuan kepada TUDM," kata Roslan.

- mSTAR



Pesawat Rusia Terhempas Di Mesir

by


Sebuah pesawat Rusia yang membawa 224 penumpang dan anak kapal terhempas di semenanjung Sinai, Mesir pada Jumaat, jelas  pejabat Kementerian Perdana Menteri Mesir.

Airbus A- 321, yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Rusia Kogalymavia dengan nombor pendaftaran KGL- 9268 , dilaporkan berlepas dari lokasi peranginan di  Sharm el -Sheikh ke St Petersburg sebelum terhempas di kawasan pergunungan terpencil di tengah Sinai.

Sumber keselamatan Mesir berkata tidak ada petunjuk bahawa pesawat itu telah ditembak jatuh oleh kumpulan militan di Sinai.

Jurucakap pihak berkuasa penerbangan Rusian Rosaviatia, Sergei Isvolsky berkata, pesawat itu berlepas dari Sharm el -Sheikh pada 06:51 (0351 GMT) dan hilang perhubungan kira-kiri 25 minit kemudian.

Pegawai keselamatan di tempat kejadian memberitahu Reuters melalui telefon, bahawa pasukan mencari dan menyelamat turut mendengar suara-suara di dalam badan pesawat.

"Saya melihat adegan tragis. Mayat-mayat bergelimpangan di tanah dan ada sebahagiannya  meninggal dunia di tempat duduk sendiri di dalam pesawat," jelas salah seorang pegawai yang berada di tempat kejadian.

"Pesawat itu terbelah dua, sebahagian kecil di hujung ekor yang dibakar dan bahagian besar terhempas ke batu. Kami telah mengeluarkan lebih kurang 100  mayat dan selebihnya masih berada di dalam badan pesawat."

Sinai merupakan lokasi kejadian pemberontakan oleh militan yang menyokong Negara Islam. Para pemberontak telah membunuh beratus-ratus tentera Mesir serta polis dan juga telah menyerang sasaran Barat dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Manakala Rusia telah melancarkan serangan udara terhadap kumpulan pembangkang Syria termasuk Negara Islam pada 30 September lalu.

Namun sumber keselamatan Mesir berkata, tidak ada petunjuk bahawa jet Airbus itu telah ditembak jatuh atau diletupkan.

Pesawat A321 yang  mempunyai 185 tempat duduk merupakan jet jarak sederhana telah digunakan dalam 1,100 operasi di seluruh dunia sejak tahun 1994.

Ia merupakan sebuah pesawat  automatik bergantung kepada komputer untuk membantu juruterbang kekal dalam had yang selamat ketika terbang.

Menurut data daripada Yayasan Keselamatan Penerbangan insiden tersebut merupakan kemalangan maut kedua melibatkan pesawat dari keluarga A320 ini.

Dalam pada itu, dilaporkan Perdana Menteri Mesir Sherif Ismail menuju ke lokasi kemalangan dengan beberapa menteri kabinet lain dengan menaiki  jet peribadi.

Menurut Kementerian Penerbangan Awam Mesir, pesawat Airbus A 321 berlepas pada 05:51 masa Kaherah (0451 BST) dan hilang daripada radar 23 minit kemudian ketika berada dalam ketinggian 31,000 kaki (9,400 meter).

Misi mencari dan menyelamat lewat tiba di lokasi kejadian di kawasan Hassana disebabkan faktor cuaca yang kurang baik.

Sumber : Reuters


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90