Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label pilihan selepas spm. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pilihan selepas spm. Papar semua catatan

Laluan Pilihan Selepas SPM Yang Boleh Anda Pilih

by


Terdapat banyak pilihan yang boleh dibuat oleh calon lepasan SPM iaitu:

Tingkatan 6 / Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)

  • Tempoh pengajian : 18 bulan
  • Merupakan platform yang paling jimat dan paling mudah untuk sambung belajar.
  • Pengajian/kursus Pra-universiti di beberapa sekolah menengah terpilih dan kolej. Biasanya, pengambilan adalah secara automatik jika tidak menerima sebarang tawaran sambung belajar ke peringkat matrikulasi.
  • Buat permohonan secepat mungkin apabila tidak menerima tawaran ke tingkatan 6. Permohonan boleh dibuat melalui portal Rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia.
  • Sijil STPM diiktiraf dari sudut kerjaya iaitu dapat diterima masuk dalam perkhidmatan awam. Juga diiktiraf untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana muda sama ada di dalam negara atau di luar negara (negara komanwel)

Program Asasi

a) Asasi Pintar

  • Tempoh pengajian : 1-2 tahun
  • Dikelolakan oleh pihak UKM sejak Mei 2012.
  • Laluan kepada pelajar untuk meneruskan pengajian ke UKM.
  • Syarat kelayakan agak ketat. Perlu semak kelayakan terlebih dahulu.
  • Penekanan tehadap pembangunan holistik, fizikal,emosi, kerohanian, intelektual dan sosial.
  • Beberapa universiti diluar negara ada menerima masuk kelayakan dari Asasi Pintar.

b) Asasi IPTA

  • Tempoh pengajian : 1 tahun
  • Kursus pra universiti yang ditawarkan di universiti awam di Malaysia.
  • Sebagai persediaan buat pelajar untuk menghadapi ko-kurikulum di universiti.
  • 2 jenis Program iaitu TERBUKA dan TERTUTUP
  • Program Terbuka adalah diiktiraf oleh universiti lain untuk meneruskan pengajian
  • Program Tertutup hanya diiktiraf oleh universiti yang menawarkan asasi sahaja.
  • Sudah mendapat tempat di universiti dan merupakan tawaran program yang lebih cepat untuk menamatkan pengajian.
  • Membenarkan pelajar untuk bekerja dalam tempoh setahun selepas tamat asasi dan boleh menyambung semula pengajian ke peringkat sarjana muda.
  • Cabaran dan halangan : Universiti luar negara tidak mengiktiraf asasi jadi pelajar perlu menyambung pengajian sarjana muda di universiti tempatan sahaja.

Program Matrikulasi Awam

  • Tempoh Pengajian : 1 tahun atau 2 tahun.
  • 2 program yang ditawarkan iaitu PDT (Program Dua Tahun) dan PST (Program Satu Tahun)
  • Merupakan program Pra Universiti yang disediakan oleh kerajaan. Pilihan terbaik untuk pra-universiti.
  • 90% pelajarnya adalah pelajar bumiputera.
  • Yuran pembiayaan yang rendah.
  • Laluan bagi lulusan matrikulasi layak untuk masuk ke universiti adalah sangat mudah.
  • Diiktiraf oleh universiti luar negara ( UK, Australia, New Zealand dan Indonesia)
  • Cabaran dan halangan : Persaingan yang tinggi dalam bidang perubatan, pergigian, Farmasi dan undang-undang di peringkat sarjana muda nanti.

PPISMP (Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan)

  • Tempoh pengajian : 5 tahun setengah 
  • Laluan Perguruan. Memberi peluang kepada pelajar yang ingin menceburi atau meminati bidang penguruan dan pendidikan.
  • Selepas PPISMP terus sambung ke PISMP untuk membuat Ijazah Sarjana Muda.
  • Perlu menghadiri temuduga dan ujian UKCG/MTEST/INSAK (Inventori Sahsiah Keguruan).
  • Program yang melatih pelajar untuk menjadi guru sekolah rendah.
  • Bakal dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda selepas tamat pengajian.
  • Sebelum memohon, disarankan semak dahulu syarat kelayakan dan syarat kemasukan.
  • Perlu melalui temuduga SPP untuk penempatan sebagai Guru di Sekolah.
  • Cabaran dan halangan : Terikat untuk berkhidmat dengan kerajaan dan bakal dihantar bertugas di seluruh sekolah-sekolah kerajaan disekitar negara 


Diploma

  • Tempoh pengajian: 2 setengah tahun atau 3 tahun.
  • Program yang mendapat penganugerahan pangkat akademik oleh peringkat kementerian, sekolah tinggi, kolej, kolej universiti, politeknik atau universiti apabila tamat pengajian kelak.
  • Terbahagi kepada 3 pengajian : Kemahiran, Pengajian Tinggi, dan Vokasional & Teknikal.
  • Syarat kelayakan tidak terlalu tinggi untuk menempatkan diri ke peringkat ijazah sarjana muda.
  • Agak fleksibel dan tidak terburu-buru.
  • Layak untuk diterima sebagai kelayakan untuk memohon pekerjaan di sektor awam dan swasta
  • Boleh memendekkan tempoh pengajian di peringkat sarjana muda (bergantung kepada bidang yang dipohon dan pihak pusat pengajian).
  • Boleh menyambung pengajian ke luar negara.

Sijil/ Pra-diploma

  • Tempoh Pengajian : 1 tahun atau 1 setengah tahun
  • Program yang mendapat penganugerahan pangkat akademik oleh peringkat kementerian, sekolah tinggi, kolej, kolej komuniti, politeknik, ILKA/S (Institut Latihan Kemahiran Awam/Swasta) apabila tamat pengajian kelak.
  • Pengkhususan bidang adalah lebih banyak menjurus kepada bidang kemahiran, vokasional dan teknikal.
  • Agak fleksibel dan tidak terburu-buru.
  • Layak untuk diterima sebagai kelayakan untuk memohon pekerjaan dalam sektor awam dan swasta.
  • Terdapat bidang yang diberi peluang untuk menceburi bidang keusahawanan.
  • Cabaran dan halangan : Perlu menyambung pengajian ke peringkat diploma terlebih dahulu sebelum ke peringkat ijazah sarjana muda.

Latihan Separa Perubatan

  • Tempoh latihan: 3 tahun
  • Terdiri daripada 2 latihan: Latihan bertaraf diploma dan Latihan Bertaraf Sijil.
  • Terdapat 10 bidang pengkhususan bagi latihan bertaraf diploma
  • Terdapat 3 bidang pengkhususan bagi latihan bertaraf sijil.
  • Tarikh permohonan, syarat kelayakan dan syarat kemasukan boleh disemak di portal rasmi SPA : http://www.spa.gov.my/separa-perubatan
  • Pengambilan dan temuduga adalah di bawah tanggungjawab Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.
  • Jaminan peluang perkerjaan selepas tamat pengajian.
  • Cabaran dan halangan : Terdapat had pengambilan bergantung kepada bilangan kekosongan. Terikat untuk berkhidmat dengan kerajaan dan bakal dihantar bertugas di seluruh lokasi perubatan kerajaan disekitar negara 

Latihan Unit Beruniform 

  • Tempoh Latihan : 1 tahun atau 9 bulan
  • Perlu semak dahulu syarat kelayakan dan kemasukan di laman web Rasmi PDRM dan tentera.

http://www.rmp.gov.my/orang-awam/skim-perkhidmatan-pdrm/panduan-kerjaya

http://www.mafhq.mil.my/index.php/my/mengenai-kami/kerjaya/ringkasan-kerjaya-askar-laskar

  • Sebelum ditemuduga, perlu menjalani ujian fizikal terlebih dahulu.
  • Perlu memiliki daya ketahanan mental dan fizikal yang kuat dan kental sepanjang tempoh latihan.
  • Kursus asas selama 12 bulan di pusat/kem latihan polis/tentera bagi mempelajari undang-undang, sains kepolisan/ketenteraan, kawad, persenjataan, latihan jasmani, termasuk seni mempertahankan diri.
  • Selepas tamat latihan, setiap ahli pasukan mesti melalui tempoh percubaan selama 3 tahun sebelum disahkan dalam jawatan.
  • Bagi lepasan SPM, pangkat adalah bermula dengan konstabel sokongan (PDRM) dan Perajurit Muda (tentera)
  • Terdapat peluang menyambung pengajian selepas disahkan jawatan dan peluang kenaikan pangkat jika memenuhi syarat kelayakan.


Pilihan Lepasan SPM & STPM

by


Oleh: AHMAD ABD HAMID

Ke mana arah tuju pelajar selepas keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan? Inilah soalan rutin yang dihadapi oleh majoriti lepasan STPM dan SPM pelajar, malah ibu bapa, apabila keputusan kedua-dua peperiksan itu diumumkan setiap tahun.

Bagi tahun 2015, sejumlah 440,682 calon telah menduduki SPM dengan 9,721 mencapai kejayaan cemerlang dalam semua mata pelajaran (A+, A, A-). Bagi STPM pula seramai 4,711 calon mendapat Purata Nilai Gred Kumalatif (PNGK) 3.5 ke atas dengan 335 calon memperoleh PNGK 4.

Calon yang berjaya dan memenuhi syarat kelayakan pasti mahu meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Mereka memilih untuk mengikuti kursus yang mereka minati di pusat pengajian tinggi.

Ada yang bernasib baik mendapat apa yang dihajati. Ada yang berjaya mendapat tempat tetapi  gagal mendapat pusat pengajian tinggi atau kursus yang diharapkan, sebaliknya diberi pilihan lain di luar bidang yang diminati. Tidak kurang pula yang gagal sama sekali.

Bagi kebanyakan mereka, Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) secara tradisi menjadi pilihan utama. Selain yuran pengajian yang lebih rendah kerana menerima subsidi kerajaan berbanding Institusi pengajian Tinggi swasta (IPTS), mereka berasa lebih `selamat’ dan selesa belajar di institusi milik kerajaan yang menawarkan pelbagai kursus sebagai pilihan.

PERMINTAAN MELEBIHI PENAWARAN

Namun 20 IPTA yang ada sekarang tidak dapat menampung ribuan lulusan SPM dan STPM. Jumlah yang layak berkali ganda daripada kekosongan yang ditawarkan sama ada untuk program ijazah pertama, diploma, atau asasi. Itu pun nasib baik ada program matrikulasi Kementerian Pendidikan. Sebahagian yang diterima belajar di program matrikulasi akan membuka peluang kepada yang lain untuk bersaing kerusi dan tempat di IPTA yang lain.

Oleh kerana terlalu ramai jumlah lulusan yang layak berbanding tempat yang ditawarkan oleh IPTA, akibatnya ramai yang gagal mendapat tempat. Selepas rayuan, masih ramai yang gagal. Mereka yang berada mungkin boleh memilih untuk meneruskan pengajian di IPTS. Bagi yang lain, perlu merancang semula apa yang terbaik demi masa depan mereka.

Pada masa yang sama, ramai juga lepasan SPM khususnya berpendirian bahawa keutamaan adalah untuk melanjutkan pengajian dalam bidang berteraskan akademik tanpa mengambil kira kursus apa yang diambil.  Apabila gagal mendapat tempat mereka beranggapan masa depan dan kerjaya mereka akan suram.

Tetapi kini ada yang sudah menyedari bahawa selain berteras akademik semata-mata, kursus berteraskan vokasional dan kemahiran adalah alternatif yang boleh memberi jaminan masa depan. Kerana itu, ramai kini yang lebih berminat menyambung pelajaran dalam bidang  kemahiran, malah menjadikannya pilihan utama.

Justeru, ramai yang memohon memasuki politeknik, institut kemahiran, pusat latihan belia dan lain-lain. Dahulu, tempat-tempat ini mungkin hanya berfungsi sebagai pilihan terakhir tetapi kini persepsi tersebut telah bertukar.

Anggapan bidang kemahiran atau vokasional sebagai kurang menarik berbanding memasuki IPT adalah tidak tepat. Pembangunan pesat negara dan kemajuan sektor industri dalam era menuju negara maju, memerlukan ramai tenaga kerja mahir.

Kemahiran adalah aset menyediakan diri menceburi dunia pekerjaan. Sektor guna tenaga masa kini menekankan kepada kemahiran berbanding akademik semata-mata. Peluang kerjaya kepada mereka yang memiliki kemahiran lebih terbuka luas. Mereka boleh terus diambil untuk bekerja tanpa perlu banyak latihan berbanding mereka yang hanya ada kelayakan akademik semata-mata.




KELEBIHAN KEMAHIRAN

Aspek kemahiran bukan sahaja berguna untuk menyediakan diri dengan keperluan pasaran kerja. Sebaliknya ia juga sangat berguna untuk menyediakan seseorang meneroka kerjaya sendiri, tanpa mengharapkan pekerjaan di pasaran terbuka.

Contohnya,  dengan ilmu kemahiran yang ditimba dan latihan amali yang dilalui, pelajar kemahiran fesyen boleh membuka kedai fesyen atau butik. Yang belajar mengenai automotif boleh membuka bengkel.

Yang berkemahiran komputer boleh membuka kedai memperbaiki komputer. Begitu juga dengan bidang kemahiran lain. Bekerja sendiri bukan sahaja membolehkan seseorang merancang dan menentukan hala tuju perniagaan menurut acuan sendiri malah apabila telah berkembang maju boleh pula membuka peluang pekerjaaan kepada orang lain. Itu adalah lebih baik daripada makan gaji.

Harus diingat bahawa suasana dunia pekerjaan kini sudah berubah daripada era tahun 70-an dan sebelumnya. Pada era tersebut, peluang kerja mudah dan banyak. Malah ada pelajar universiti yang sudah menerima tawaran kerja sekalipun masih belum menamatkan pengajian. Ertinya ‘kerja mencari orang’.

Dahulu dengan kelulusan SPM atau Malaysian Certificate of Education (MCE) bagi aliran Inggeris, seseorang boleh terus memohon jawatan Inspektor dalam perkhidmatan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) atau Leftenan Muda dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Apabila calon semakin ramai, jawatan semakin mengecil dan saingan semakin sengit serta tahap profesionalisme makin meningkat, kelayakan permohonan sebagai Inspektor dinaikkan kepada STPM atau Higher School Certificate (HSC). Kemudian ditingkatkan kepada Diploma.

Kini kelayakan masuk minimal adalah Ijazah Sarjana Muda yang mana dengannya dahulu seseorang layak terus memohon jawatan Penolong Penguasa Polis (ASP).

Gambaran ini menunjukan persaingan mendapat kerja semakin sengit dan taraf kelayakan untuk sesuatu jawatan semakin meningkat dan terus meningkat. Ini ditambah dengan hakikat bahawa setiap tahun, ribuan graduan baharu dilahirkan oleh IPT atau institusi pendidikan tinggi lain seperti politeknik serta institut-institut latihan kemahiran.

Sementara ada di antara graduan ini yang mendapat kerja selepas menamatkan pengajian, ramai pula masih menganggur selepas dua tahun selesai konvokesyen. Malah ada yang lebih lama daripada itu. Pelajar berkemahiran pula dikatakan lebih terbuka peluang mendapat kerja, khususnya untuk jawatan peringkat pertengahan.

Berdasarkan senario inilah  pelajar mesti lebih bijak menyusun dan merancang arah tuju selepas tamat persekolahan. Pendidikan memang penting tetapi memilih bentuk pendidikan yang boleh menjamin kejayaan masa depan tidak kurang pentingya. Justeru pilihlah bidang yang boleh memberi laluan lebih lancar dalam menempa kecemerlangan hidup.

- mSTAR



Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90