Memaparkan catatan dengan label rayani air. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label rayani air. Papar semua catatan

Selasa, April 12, 2016

MAS dan AirAsia Tawar Diskaun Tambang Untuk Penumpang Rayani Air


MAS tawar diskaun

Penumpang yang memegang tiket perjalanan Rayani Air boleh menempah semula penerbangan mereka yang telah dibatalkan melalui Malaysia Airlines (MAS).

Syarikat penerbangan nasional itu kini menawarkan harga tambang dengan diskaun kepada penumpang Rayani Air yang terjejas susulan penggantungan operasi syarikat berkenaan.

Tawaran tambang itu boleh didapati mulai 11 April sehingga 30 April, 2016 bagi perjalanan segera sehingga 31 Julai, 2016, menurut Malaysia Airlines.

Ketua Pegawai Komersial, Paul Simmons berkata sebagai syarikat penerbangan nasional dan atas rasa mengambil berat terhadap rakyat Malaysia, adalah menjadi  tanggungjawab syarikat itu untuk memberi sebarang bantuan bagi mengurangkan beban yang menjejaskan penumpang Rayani Air.

Dalam hal ini, kami menawarkan tambang istimewa kepada penumpang yang terjejas untuk membawa mereka ke destinasi yang dihasratkan. Kami berharap tawaran ini akan meringankan masalah perjalanan yang dihadapi penumpang, katanya.

Bagi menikmati tambang istimewa ini, penumpang yang terjejas perlu mengemukakan emel mereka berkenaan bukti tempahan perjalanan dengan Rayani Air.

Mereka boleh menghubungi 1-300-88-3000 atau lawati kaunter tiket Malaysia Airlines di seluruh negara.

Air Asia beri diskaun 50 peratus

Syarikat penerbangan AirAsia kini menawarkan tambang pada potongan harga 50 peratus untuk penumpang Rayani Air yang terjejas berikutan penggantungan operasi syarikat berkenaan.

Syarikat tambang rendah itu berkata tawaran berkenaan melibatkan penerbangan bagi destinasi ke dan dari Kuala Lumpur, Langkawi, Kota Baharu, Kuching serta Kota Kinabalu untuk tempoh perjalanan mulai 11 April hingga 27 April 2016.

Ia bagaimanapun khusus untuk semua penumpang Rayani Air yang memiliki tempahan penerbangan yang sudah disahkan.

Penumpang terbabit boleh mengemukakan tempahan itu di Pusat Perjalanan dan Perkhidmatan AirAsia di klia2, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (Kota Baharu), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Kami amat bersimpati dengan kesemua penumpang Rayani Air yang terjejas ini. Kami berharap pemberian diskaun ini dapat membantu mereka membuat urusan perjalanan baharu, terutamanya menerusi kekerapan penerbangan kami di semua destinasi terlibat, kata Ketua Komersial AirAsia, Spencer Lee.

AirAsia mengendalikan sejumlah 11 penerbangan sehari masing-masing dari Kuala Lumpur ke Langkawi serta Kuala Lumpur ke Kuching; lapan penerbangan sehari masing-masing dari Kuala Lumpur ke Kota Baharu dan Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu serta tiga penerbangan sehari dari Kota Kinabalu ke Kuching.

- mSTAR

Cara Tuntutan Bayaran Balik Tiket Rayani Air

Syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia, Rayani Air kini mula melakukan bayaran balik kepada penumpang berikutan penggantungan operasi yang diumumkan syarikat itu pada 9 April 2016 (Isnin).

Pemiliknya, Ravi Alagendrran berkata, pihaknya sedang berusaha untuk membuat bayaran balik bermula 11 April 2016 bagi tiket yang telah ditempah penumpang sebelum ini.

Kami telah mula melakukan proses bayaran balik kepada penumpang pagi ini (Isnin). Penumpang-penumpang yang telah membuat tempahan tiket boleh datang ke pejabat kami di Shah Alam untuk mendapatkan bayaran balik.

Kami mohon maaf di atas sebarang kesulitan. Kami akan cuba menyelesaikan perkara ini.

Sementara itu, Ravi dalam satu kenyataan di Facebook pada Isnin berkata, pihaknya sedang berusaha keras untuk menyelesaikan urusan dalaman bagi memastikan Rayani Air kembali beroperasi.

Beliau turut memohon maaf kepada para penumpang yang terjejas akibat masalah yang dihadapi syarikat penerbangan itu.

Kami memahami agenda rancangan dan jadual anda (penumpang) terganggu, kami memohon maaf. Kami akan membalas setiap emel berhubung pertanyaan dan bayaran balik anda, katanya sambil menambah Rayani Air menghargai kerjasama dan sokongan dari semua penumpang.

Selain mendapatkan bayaran balik di pejabat operasi di Shah Alam, sebarang pertanyaan juga boleh dibuat dengan menghubungi pusat panggilan di 03-27214925 atau emelkan ke info@rayaniair.com

Rayani Air digantung tiga bulan


Sijil Operasi Udara (AOC) syarikat penerbangan patuh syariah, Rayani Air digantung selama tiga bulan berkuat kuasa 11 April 2016.

Penggantungan itu di­umumkan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) tiga hari selepas syarikat tersebut memaklumkan penggantungan operasinya selama dua bulan sebagai sebahagian daripada pelan penstrukturan semula me­reka.

Bagaimanapun, Ketua Pe­ngarah DCA, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak mahu mendedahkan punca sebenar sehingga memaksa tindakan tegas itu diambil.

Katanya, ini merupakan tindakan kali pertama dalam sejarah penerbangan negara.

AOC Rayani Air yang dikeluarkan mengikut Pe­raturan 54 Peraturan Penerbangan Awam 1996 digantung selama tiga bulan mulai hari ini (semalam) selaras dengan Peraturan 87(1).

Satu sidang inkuiri akan diadakan pada 12 Mei ke atas syarikat tersebut, katanya selepas memberi taklimat media mengenai kadar baharu caj perkhidmatan penerbangan.

Menurut Azharuddin, DCA berpegang teguh kepada prinsip bertegas dan tidak berkompromi mengenai keselamatan pengangkutan udara selain tidak boleh membiarkan tindakan yang bertentangan dengan peraturan penerbangan.

Pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran menerima notis penggantungan operasi selama tiga bulan dengan berat hati, namun tetap menyifatkan ia sebagai permulaan untuk syarikat penerbangan itu 'terbang lebih tinggi' pada masa akan datang.

Beliau berkata, walaupun syarikat berkenaan awalnya terlebih dahulu mengumumkan penggantungan operasi pada Sabtu lalu, tetapi ia terpaksa dilakukan susulan tindakan mogok juruterbangnya sehingga masalah berkaitan dapat diatasi.

Menurut Ravi, pihaknya menerima notis penggantungan operasi selama tiga bulan yang dikeluarkan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) menerusi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia pada petang Isnin.

Kami terima notis ini dengan berat hati. Bagaimanapun kami melihat apa yang berlaku sebagai permulaan untuk Rayani Air terbang lebih tinggi pada masa akan datang.

Dalam tempoh ini (penggantungan), kami akan berusaha untuk memperbaiki dan menyelesaikan segala masalah berkaitan operasi.

Ravi yang mengakui Rayani Air mengalami masalah kewangan sehingga menjejaskan operasi ketika ini berkata, pihaknya akan mewujudkan pelan baharu menerusi penstrukturan semula syarikat penerbangan itu.

Tambahnya, pelan baharu tersebut termasuk perolehan dana, menyelesaikan tunggakan gaji pekerja, mendapatkan lebih ramai juruterbang dan menambah pesawat. Semuanya berkaitan dana dan operasi, kami akan berusaha untuk mengatasinya sebaik mungkin.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua kakitangan dan penumpang yang terus memberikan sokongan, sambil memberi jaminan bahawa syarikat penerbangan itu akan beroperasi kembali.

Rayani Air juga mahu mengucapkan jutaan terima kasih kepada Malaysia Airlines dan AirAsia kerana memberi sokongan secara tidak langsung dengan menawarkan diskaun kepada penumpang kami yang terjejas akibat penggantungan ini.Kami melihatnya sebagai satu sokongan dalam industri penerbangan negara demi kebaikan penumpang Rayani Air.

Malaysia Airlines dan AirAsia pada Isnin menawarkan harga tambang dengan diskaun kepada penumpang Rayani Air yang terjejas susulan penggantungan operasi syarikat berkenaan.

Rayani Air merupakan syarikat penerbangan patuh syariah pertama di Malaysia dan keempat di dunia selepas Royal Brunei Airlines, Saudi Arabian Airlines dan Iran Air.

- mSTAR


Rabu, Februari 10, 2016

Cermin Kokpit Retak Punca Penumpang Rayani Air Terkandas


Insiden penumpang Rayani Air terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada Selasa berpunca daripada keretakan cermin kokpit pesawat syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia itu.

Rayani Air dalam satu kenyataan pada Selasa yang mengesahkan perkara itu berkata, pembatalan penerbangan bukan disebabkan oleh masalah teknikal.

"Cermin kokpit ditemui retak selepas penerbangan malam tadi. Kita sedang menyiasat insiden ini sama ada ia merupakan tindakan sabotaj atau tidak.

"Kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi menangani perkara ini," menurut kenyataan itu.

Syarikat penerbangan itu turut memberitahu ia berusaha untuk memastikan kesemua penumpang yang terkandas dapat meneruskan perjalanan dengan selamat.

"Bagi pihak Rayani Air, kami mohon maaf di atas pembatalan penerbangan dari Langkawi hari ini dan berharap penumpang dapat memahami keadaan ini.

"Bagi mereka yang mahu bayaran balik tiket penerbangan, sila hubungi talian hotline kami," katanya.

Pada Selasa dilaporkan, lebih 200 penumpang Rayani Air terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi selepas penerbangan mereka dibatalkan berikutan pesawat yang hendak digunakan mengalami masalah teknikal.

Penerbangan RN180 menggunakan pesawat Boeing 737 yang dijadualkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pukul 11.10 pagi Selasa tidak dibenarkan berlepas selepas kerja-kerja untuk mengatasi masalah itu belum dapat diselesaikan.

- mStar



Rabu, November 11, 2015

Prinsip 'patuh syariah' Rayani Air


Belum pun memulakan operasinya, syarikat penerbangan terbaharu negara, Rayani Air sudah pun menerima pujian dari banyak pihak. Orang ramai menyokong aspirasi syarikat penerbangan tersebut yang mempraktikkan prinsip patuh syariah dalam operasinya. Ini termasuklah tidak menghidangkan alkohol di dalam pesawat, selain pramugari beragama Islam diwajibkan bertudung sementara krew bukan beragama Islam pula dimestikan berpakaian sopan.

Langkah yang diambil Rayani Air disifatkan permulaan kepada pelaksanaan peraturan patuh syariah yang lebih menyeluruh di masa hadapan. Berpangkalan di Langkawi, Rayani Air dijangka bakal memulakan operasinya hujung bulan ini dengan menjadikan empat lokasi sebagai destinasi iaitu Kota Bharu, Kuching, KLIA2 dan Kota Kinabalu.

Recent Posts