Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label saman. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label saman. Papar semua catatan

Polis nafi tular kompaun kerana tidak pakai pelitup muka untuk minum air

by

 

Polis Kerian menafikan dakwaan tular kononnya dua remaja lelaki yang dikenakan kompaun RM1,000 adalah disebabkan tidak memakai pelitup muka untuk minum air di Taman Wawasan di Parit Buntar, Perak.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat sebaliknya berkata, kompaun itu dikeluarkan setelah mendapati dua remaja berusia 17 dan 18 tahun itu tidak memakai pelitup muka sambil berbual dengan mengadap satu sama lain.

Katanya, tindakan ke atas mereka juga hanya diambil setelah pemerhatian selama 10 minit dilakukan anggota bertugas.

“Semasa rondaan Op Cegah Jenayah/Op Covid-19 SOP PKPB Parit Buntar di jalankan di kawasan berkenaan pada pukul 12 tengah hari, pihak polis telah ternampak dua lelaki duduk di atas motosikal masing-masing sambil berbual mengadap satu sama lain.

“Kedua-dua mereka didapati tidak memakai pelitup muka walaupun selepas pemerhatian dijalankan dalam tempoh 10 minit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mazuki berkata, seorang pegawai polis kemudiannya menghampiri remaja terbabit dan memperkenalkan diri sebelum menjelaskan kesalahan yang telah dilakukan mereka.

Katanya, kedua-dua remaja itu dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian untuk tindakan kompaun kerana melanggar Peraturan 10 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Sebelum tindakan kompaun diambil, kita telah membuat pemerhatian lebih kurang 10 minit di tempat tersebut.

“Malah, di dalam gambar dan video yang diambil juga jelas menunjukkan kedua-dua remaja itu bukan sahaja tidak memakai pelitup muka malah tidak mematuhi penjarakan sosial iaitu satu meter,” katanya.

Menerusi laporan akhbar berbahasa Cina, dua remaja itu masing-masing dikenakan kompaun kononnya atas kesalahan tidak memakai pelitup muka ketika mahu minum air.

Laporan itu yang tular selepas dipetik beberapa portal mendapat reaksi pelbagai daripada wargamaya yang rata-rata mengecam tindakan pihak berkuasa.

Sumber : Kosmo!

PDRM beri diskaun saman 50 peratus jika bayar online

by


Pembayaran saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara dalam talian akan dilaksanakan dengan pemberian diskaun sebanyak 50 peratus bermula dari 18 Januari hingga 1 Februari 2020 ini, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias.

Beliau berkata tahun ini pihaknya akan lebih menekankan e-pembayaran bagi mana-mana pihak untuk melunaskan saman-saman tertunggak terutama sempena musim perayaan ini.

"Tapi kali ini saya cuba beri diskaun istimewa iaitu sebanyak 50 peratus. Ini tidak pernah kami buat maka saya fikirkan ‘bayaran dalam talian’ yang tidak memerlukan anda semua berbaris sehingga berjam lamanya.

"Anda semua boleh membuat pembayaran secara dalam talian dengan MyEg dan Rilek.com," katanya pada sidang media khas sempena pencapaian 2019 dan perancangan 2020 PDRM di Bukit Aman di Kuala Lumpur, Isnin.

Selain itu, Azisman berkata sejumlah 5,763 kes kemalangan maut telah dilaporkan pada tahun 2019 berbanding 5,870 kes pada 2018.

"Ini merupakan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) JSPT yang kami berjaya turunkan sebanyak 107 jumlah kemalangan maut, atau 1.8 peratus. Walaupun jumlah kecil tapi ini KPI kita, dan kami berharap jumlah ini semakin berkurang setiap tahun,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata seramai 1,503 pegawai dan anggota PDRM dikenakan tindakan oleh JIPS atas pelbagai kesalahan tatatertib pada tahun lepas.

"Daripada jumlah itu, seramai 110 yang dikenakan tindakan tatatertib membabitkan pegawai kanan manakala 1,393 lagi adalah anggota biasa.

"Selain itu, sebanyak 2,232 kertas siasatan dibuka atas pelbagai kesalahan tatatertib dengan 898 daripadanya sudah diselesaikan," katanya.

Zamri berkata sepanjang tahun lepas, pihaknya menerima sebanyak 3,773 aduan membabitkan aduan salah laku tatatertib dan kesalahan jenayah seperti peras ugut, penyalahgunaan dadah serta pelacuran melalui 16 saluran termasuk emel dan panggilan telefon.

Dalam perkembangan lain, Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata PDRM berjaya menjimatkan sebanyak RM1.5 juta hasil penutupan sebahagian balai polis komuniti di seluruh negara.

Beliau berkata penutupan sebahagian balai polis komuniti adalah atas faktor kos sewaan yang tinggi dan keselamatan anggota.

Sumber : Bernama

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90