Top Ad 728x90

Memaparkan catatan dengan label scammer. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label scammer. Papar semua catatan

Bank tidak minta maklumat sensitif pengguna melalui telefon

by

 


Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) mengulangi bahawa bank anggotanya tidak akan meminta maklumat sensitif penggunanya melalui panggilan telefon.

Tegasnya, bank tidak akan meminta pelanggan untuk maklumat nombor kad kredit/debit dan nombor nilai pengesahan kad (CVV); nama pengguna dan kata laluan perbankan dalam talian dan khidmat pesanan ringkas (SMS) nombor OTP/ TAC.

Sebaliknya, ia menjelaskan, dalam senario tertentu, seperti bagi menentukan kesahihan transaksi yang mencurigakan atau tidak teratur, bank boleh menghubungi pelanggan untuk mendapatkan penjelasan.

Katanya, semasa panggilan itu, bank boleh melakukan semakan pengesahan menggunakan maklumat peribadi separa seperti meminta empat angka terakhir nombor Kad Pengenalan bagi memastikan identiti pelanggan.

"Langkah ini diambil untuk melindungi akaun pelanggan dan memastikan keselamatan maklumat kewangan mereka yang berterusan.

"Pelanggan yang mengesyaki bahawa mereka mungkin menerima panggilan daripada penipu yang menyamar sebagai pegawai bank hendaklah segera menutup telefon dan menghubungi talian hotline perkhidmatan pelanggan rasmi bank," katanya ABM dan AIBIM dalam satu kenyataan bersama.

ABM dan AIBIM berkata, dalam usaha berterusan untuk melindungi kesejahteraan kewangan pelanggan, industri perbankan bekerjasama rapat dengan pengawal selia dan agensi penguatkuasaan untuk memastikan keselamatan sistem perbankan dan platform digital, meningkatkan langkah keselamatan mengikut modus operandi penipuan terkini dan mengenal pasti dan membekukan akaun perbankan yang dikaitkan dengan penipu dan pemegang akaun keldai.

Ia berkata, sejak Julai 2023, industri perbankan telah melaksanakan lima langkah utama untuk menangani penipuan, termasuk menggantikan SMS OTP dengan kaedah pengesahan yang lebih selamat; mengetatkan peraturan pengesanan penipuan; melaksanakan tempoh bertenang untuk pendaftaran kali pertama akses perbankan dalam talian; membenarkan hanya satu peranti mudah alih atau peranti selamat untuk didaftarkan dan membolehkan saluran aduan khusus 24/7 untuk pelanggan.

Katanya, pelanggan yang telah menjadi mangsa penipuan harus segera menghubungi Pusat Tindak Balas Penipuan Nasional di 997 atau talian hotline perkhidmatan pelanggan 24/7 bank untuk mendapatkan bantuan.

"Bagi mencari talian hotline perkhidmatan pelanggan untuk mana-mana bank dan mengetahui cara mengenal pasti taktik penipuan terkini, pelanggan boleh melayari www.JanganKenaScam.com.

"Bagi segera menyahaktifkan akses perbankan dalam talian mereka atau menyekat kad kredit/debit yang terbabit dalam transaksi penipuan, pelanggan juga boleh memilih untuk menggunakan ciri Kill Switch melalui platform perbankan dalam talian atau aplikasi perbankan mudah alih," katanya.


Scammer guna taktik 'Waran tangkap' palsu

by


Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan kewujudan 'waran tangkap' kononnya dikeluarkan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Putrajaya dan disebarkan melalui aplikasi sembang maya.

Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa, berkata dokumen palsu itu dikesan dihantar kepada mangsa melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram

Katanya, semakan mendapati waran tangkap yang dihantar itu mengandungi 'arahan' kepada PDRM untuk mengambil tindakan segera bagi menahan pesalah serta kesalahan yang dinamakan dalam tempoh 24 jam.

"Isi kandungan 'waran tangkap' berkenaan juga menyatakan Mahkamah Tinggi telah memberi kuasa kepada PDRM untuk melaksanakan arahan tersebut.

"Pesalah yang ditahan juga tidak dibenarkan untuk diikat jamin oleh mana-mana pihak termasuk peguam selain segala aset yang didaftarkan di atas nama pesalah juga akan dibekukan dan disita," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, menurut waran tangkap itu juga pesalah tidak dibenarkan untuk meninggalkan Malaysia setelah tindakan diambil ke atasnya.

"Adalah dimaklumkan 'waran tangkap' tersebut adalah palsu. Jabatan ini tidak pernah menerima 'waran tangkap' sedemikian.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, semua pihak diingatkan untuk tidak menuruti sebarang arahan yang diterima melalui 'waran tangkap' tersebut atau individu yang tidak dikenali. Ini adalah salah satu elemen scam," katanya.

Berikutan itu, katanya sebagai langkah pencegahan orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada dan tidak mudah percaya kepada penerimaan sebarang dokumen yang tidak dipastikan kesahihannya.

"Lakukan semakan dengan agensi yang berkaitan sebelum mengambil sebarang keputusan," katanya.

Dalam pada itu, katanya untuk sebarang pertanyaan ataupun pengesahan berkaitan kewujudan modus operandi baharu penipuan, orang ramai boleh menghubungi balai polis berhampiran atau mengemukakan pertanyaan kepada CCID Infoline melalui talian 0132111222.

Waspada penipuan caj RM2 hingga RM10 untuk tebus tunai kredit eMADANI

by


 Orang ramai perlu berwaspada terhadap tawaran khidmat penebusan tunai (cash-out) atau pemindahan 'peer-to-peer' kredit eMADANI yang kini ditawarkan pelbagai pihak menerusi pelbagai platform media sosial.

Walaupun Kementerian Kewangan sudah mengeluarkan larangan dan amaran waspada terhadap perbuatan itu, namun ada pihak tertentu mengambil kesempatan menawarkan khidmat penebusan kredit terbabit dengan alasan mempunyai kedai atau premis perniagaan secara fizikal.

Penawar perkhidmatan mendakwa, sesiapa yang ingin membuat penebusan boleh menghubungi segera untuk memindahkan tunai ke bank penerima eMADANI.

Beliau turut memaklumkan cas penebusan sebanyak RM10 akan dikenakan.

"Itulah prosesnya kerana Touch 'n Go (TNG) eWallet juga mengenakan bayaran kepada pemilik kedai bagi setiap transaksi," dakwa pihak yang menawarkan khidmat itu.

Sementara itu terdapat juga pengguna Facebook yang menawarkan perkhidmatan penebusan eMADANI tanpa membabitkan sebarang bayaran.

"Saya buka penebusan eMADANI, 100 peratus dipercayai dan ramai yang sudah berjaya mengeluarkan tunai. Paling penting tiada scam (penipuan). Tiada bayaran yang dikenakan terpulang untuk berikan berapa," katanya di ruangan komen di Facebook.

Sementara itu, ada pengguna lain di Facebook menawarkan khidmat menebus eMADANI dengan bayaran serendah RM2 hingga RM5.

Sumber : Berita Harian

Penipuan dalam talian meningkat 23 peratus, catat kerugian RM687 juta

by

 


Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memaklumkan kes penipuan dalam talian meningkat sebanyak 23 peratus, tahun 2023.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, kerugian membabitkan nilai RM687 juta.

Katanya, sebanyak 19,224 kes dicatatkan bagi tempoh Januari hingga September tahun ini berbanding 15,658 kes bagi tempoh sama tahun lalu mengikut statistik yang dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman.

"Pusat Tindakbalas Insiden Siber Cyber999 kendalian CyberSecurity Malaysia pula merekodkan sebanyak 7,292 insiden keselamatan siber sepanjang tahun lalu.

Majlis disempurnakan oleh Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhamad Fa-Iz Petra Ibni Almarhum Sultan Ismail Petra.

Nie Ching berkata, setakat 31 Oktober tahun ini, sebanyak 4,013 penurunan akaun dan kandungan dibuat.

Katanya, bagi tempoh sama, sebanyak 1,764 laman sesawang palsu untuk penipuan pemancingan maklumat (phishing) turut disemat dan sebanyak 410,590,277 sistem pesanan ringkas (SMS) disekat daripada bulan Januari hingga September 2023.

"Sebanyak 19 juta SMS yang mengandungi pautan (hyperlink) juga disekat daripada 12 Mei hingga September tahun ini.

"Sebanyak 79,322 talian termasuk mudah alih dan tetap yang menghantar SMS meragukan sudah ditamatkan perkhidmatannya dengan jumlah 553,173,467 panggilan meragukan sudah disekat sejak Januari hingga September lalu," katanya.

Beliau berkata, dengan rekod yang tinggi itu, jenayah penipuan dalam talian dan ancaman scam perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak kerana semua lapisan usia selagi menjadi pengguna internet berisiko menjadi mangsa.

"Statistik turut menunjukkan mangsa scam termasuk golongan profesional seperti pensyarah, guruz jurutera, doktor, ahli perniagaan serta pesara dan warga emas," katanya.

Nie Ching berkata, jenayah penipuan dalam talian bukan sahaja menyebabkan negara mengalami kerugian jutaan ringgit tetapi turut memberi kesan emosi kepada mangsa yang membawa kepada penyakit kemurungan yang menurunkan kualiti kehidupan, produktiviti dan sosial mangsa.

Sumber : Berita Harian

Kes penipuan tekan ‘link’ RM3.64 juta kerugian direkodkan

by

 


Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan telah merekodkan jumlah kerugian sebanyak RM3.64 juta melibatkan kes penipuan tekan ‘link’ dengan 321 kertas siasatan telah dibuka sepanjang tahun 2022.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Deputi Komisioner, Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, jumlah itu direkodkan sejak Januari hingga 10 November lalu dan berlaku peningkatan berbanding 196 kertas siasatan dengan jumlah kerugian RM2.5 juta pada tahun lalu.

“Kes penipuan tekan ‘link’ atau pautan ini biasanya berlaku apabila mangsa menerima ‘link’ daripada pihak sindiket meminta dimasukkan maklumat akaun bank.

“Mangsa juga akan memberikan nombor pas pengesahan transaksi (OTP) selain kata laluan berkaitan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ahmad Dzaffir, tindakan tersebut menyebabkan pihak sindiket dapat mengambil alih akaun mangsa dan seterusnya mereka dapat membuat pindahan wang ke akaun lain tanpa pengetahuan mangsa.

“Antara kes penipuan yang menggunakan modus operandi ini ialah kes penipuan menawarkan hadiah kononnya daripada Shopee, Lazada dan platform e-dagang lain.

“Kes penipuan menawarkan kerja sambilan untuk ‘like post’ barangan yang kononnya dijual, kemudian mangsa dijanjikan komisen dengan syarat perlu membuat beberapa bayaran,” katanya.

Jelas Ahmad Dzaffir, seterusnya kes penipuan untuk mendapatkan perkhidmatan pembersihan rumah dan Macau Scam.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihak polis
ingin menasihatkan orang awam agar lebih berhati-hati apabila berurusan dengan mana-mana pihak.

“Jangan dikongsi sebarang maklumat atau kata laluan bank mahu pun OTP apabila diminta ketika mengisi maklumat daripada ‘link’ yang diberikan,” katanya. 

Sumber : KOSMO!

‘Pegawai Mahkamah’ curi duit peniaga

by


 Wang simpanan seorang peniaga berjumlah RM28,000 lebur selepas diperdaya Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai mahkamah, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, mangsa yang berusia 27 tahun dihubungi suspek yang mengaku seorang pegawai mahkamah.

Beliau berkata, suspek memperdayakan mangsa dengan mengatakan nombor kad pengenalan mangsa telah digunakan oleh seseorang bagi mendaftarkan syarikat di Melaka dan syarikat tersebut telah disenaraihitamkan.

“Mangsa menafikan ada membenarkan nombor kad pengenalannya digunakan orang lain. Suspek kemudian menawarkan diri untuk menyelesaikan masalah mangsa dengan bayaran RM20,000.

“Suspek menjelaskan wang itu akan dimasukkan semula ke dalam akaun mangsa selepas urusan tersebut selesai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rupiah berkata, mangsa kemudian memuat naik aplikasi Bank Negara Malaysia seperti diminta suspek bagi tujuan tersebut.

Katanya, suspek turut bertanyakan jumlah akaun bank yang dimiliki mangsa serta jumlah wang yang ada dalam akaun berkenaan.

“Mangsa telah memberitahu semua maklumat mengenai akaunnya dan mengisi aplikasi tersebut. Mangsa turut memasukan maklumat dan nombor pin serta 16 digit nombor kad akaun Public Bank.

“Akibat kejadian tersebut wang dalam akaun mangsa telah berkurangan sebanyak RM28,000,” katanya.

Beliau meminta orang ramai membuat semakan nombor telefon dan akaun yang diragaui menerusi laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat aplikasi check scammers ccid bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

Sumber : Kosmo!

Hati-hati iklan cari keldai akaun bank

by

 


Sindiket penipuan kini semakin berani mencari mangsa keldai akaun secara terbuka dengan memuat naik iklan di media sosial bertujuan menyewa mana-mana akaun milik individu untuk kegiatan jenayah mereka.

Kebiasaannya individu kesempitan atau golongan muda yang terdesak untuk mendapat wang dengan cara mudah akan terpedaya dan terperangkap menjadi keldai akaun tanpa menyedari akaun mereka terbabit dengan aktiviti penipuan kewangan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani, berkata hukuman terhadap keldai akaun mungkin dianggap ringan, namun kesan jangka panjang akan dirasai selepas golongan itu selesai menjalani hukuman.

"Ketika ini sindiket penipuan kewangan semakin berani mencari mangsa untuk meminta sewa akaun, digunakan sebagai transit di media sosial. Malah, masih ramai yang terpedaya.

"Kebiasaannya golongan yang berusia dari 20 hingga 40-an terjebak dengan sindiket ini kerana tiada kerja tetap selepas dijanjikan wang dengan cara mudah," katanya.

Aibee berkata, pihaknya sukar untuk membuktikan pemilik akaun media sosial berkenaan terbabit dengan sindiket penipuan hanya berdasarkan iklan yang dibuat dan tindakan yang boleh dibuat adalah dengan membuat laporan kepada pengurusan media sosial yang terbabit.

"Dari Januari sehingga Mei lalu, JSJK Negeri Sembilan menahan seramai 565 suspek yang terbabit dengan jenayah komersial dan 343 atau 60 peratus daripadanya membabitkan keldai akaun.

"Keldai akaun juga boleh ditahan serta dituduh kerana terbabit dengan sindiket penipuan dan hukumannya mungkin dianggap ringan namun selepas mereka keluar dari penjara, rekod itu tetap ada.

"Ini akan menyusahkan golongan ini untuk mendapatkan pekerjaan. Saya difahamkan akaun bank mereka akan dibekukan dan tidak dibenarkan untuk membuka akaun baharu yang mana ia akan menyusahkan urusan mereka kelak.

"Malangnya, sebahagian besar daripada mereka tidak sedar dijadikan keldai akaun. Ada juga kes akaun digunakan selepas menyerahkannya kepada Ah Long ketika membuat pinjaman daripada pemberi pinjaman tidak berlesen itu," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terjebak dengan iklan menarik yang ditawarkan kerana kesannya akan membinasakan diri dan keluarga.

Sumber : Berita Harian

Lebih 1,000 rakyat Malaysia tertipu jadi scammer di luar negara

by

 


Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA memaklumkan pihaknya me­nerima sebanyak 74 kes membabitkan sindiket penipuan yang menawarkan pekerjaan di luar negara bagi tempoh Januari lalu sehingga semalam.

Ketuanya, Datuk Seri Micheal Chong berkata, daripada 74 kes itu, 23 individu berjaya diselamatkan dengan 11 individu berjaya kembali ke tanah air.

“Sejumlah 12 lagi masih berada di pusat tahanan di negara luar.

“Daripada 74 kes itu juga, sebanyak 45 laporan polis adalah yang dibuat oleh ahli keluarga mangsa sendiri,” ujarnya pada sidang akhbar di sini semalam.

Jelas beliau, pihaknya me­nganggarkan kemungkinan lebih 1,000 mangsa yang terpedaya dengan sindiket penipuan dan telah diseludup ke luar negara.

“Kita percaya kebanyakan mangsa terbabit terdiri daripada golongan muda yang berusia seawal 14 tahun,” katanya.

Justeru itu, Micheal menasihati orang ramai agar lebih peka dan berhati-hati dengan tawaran kerja yang dilihat di media sosial bagi mengelak menjadi mangsa pemerdagangan ke luar negara.

“Isu pemerdagangan orang ini semakin serius sejak kebelakangan ini ekoran ramai golongan muda kita menjadi mangsa.

“Jadi saya minta orang muda agar berhati-hati dalam memilih tawaran kerja supaya tidak di­eksploitasi oleh sindiket peni­puan yang hanya mahu mengaut keuntungan semata-mata,” katanya.

Sumber : Kosmo!

SKMM kesan scam e-mel palsu

by

 


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesan perbuatan tidak bertanggungjawab yang menyebarkan e-mel menggunakan profil sama ada dalam bentuk nama dan gambar pemimpin negara, ketua organisasi atau syarikat yang memberikan arahan di luar daripada kebiasaan.

SKMM dalam satu kenyataan hari ini berkata, peringatan itu dikeluarkan terdapat e-mel yang tidak ditentusahkan telah ditangkap layar dan disebarkan melalui aplikasi pemesejan dalam talian.

Justeru, beliau berkata, orang ramai diingatkan supaya berhati-hati jika menerima e-mel yang menggunakan profil sama ada dalam bentuk nama dan gambar pemimpin negara, ketua organisasi atau syarikat yang memberikan arahan di luar daripada kebiasaan.

"Kita mengeluarkan peringatan ini hasil daripada aduan yang diterima daripada orang ramai.

"Sebarang komunikasi yang diterima luar daripada kebiasaan perlulah disemak dan ditentukan kesahihannya dan tidak dikongsikan dengan mana-mana pihak.

"Ini bertujuan mengelakkan dari menjadi mangsa kepada aktiviti yang berniat jahat dan berunsur penipuan," katanya.

SKMM turut memaklumkan, penyebaran kandungan palsu boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Kenyataan itu juga meminta orang ramai membuat semakan dengan pihak yang terbabit,mengenai pihak yang profil atau identitinya digunakan, selain tidak menyebarkan sebarang kandungan yang mencurigakan bagi mengelak kekeliruan umum.

"Laporkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya telah dipastikan kandungan e-mel tersebut tidak benar atau palsu, bagi memudahkan tindakan sewajarnya diambil.

"Jika ada menerima e-mel yang mencurigakan, sertakan email header bagi e-mel berkenaan semasa mengemukakan laporan kepada pihak polis," katanya.

SKMM berkata, orang ramai juga boleh membantu memberhentikan penyebaran e-mel tersebut dengan melaporkan penyalahgunaan e-mel kepada penyedia perkhidmatan e-mel seperti Gmail menerusi pautan https://support.google.com/mail/answer/8253dan https://my.help.yahoo.com/kb/SLN26401.html (Yahoo).

Sumber : Berita Harian

Ramai tertipu taktik bayar wang pendahuluan sebelum pinjaman lulus

by

 


Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mendedahkan sebarang bentuk pinjaman yang meminta bayaran pendahuluan sebagai syarat merupakan satu penipuan.

Pengarahnya, Datuk Mohd. Kamarudin Md Din berkata, penipuan yang menggunakan taktik itu merekodkan ramai mangsa dan jumlah kerugian juga meningkat saban tahun.

“Sepanjang 2019, sebanyak 5,039 kes telah dilaporkan membabitkan kerugian berjumlah RM48,428,531.93.

“Kes meningkat kepada 5,718 kes dengan kerugian RM62,397,559.35 pada 2020 manakala 4,784 kes dengan kerugian RM50,604,323.67 pula direkodkan pada 2021.

“Bagi 2022 sehingga April ini, sejumlah 903 kes telah dicatatkan membabitkan kerugian RM8,849,603.14,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, analisis pihaknya mendapati satu-satunya cara pihak sindiket mendapatkan wang mangsa adalah melalui bayaran pendahuluan yang kononnya perlu dibayar oleh mangsa sebelum pinjaman diluluskan.

“Pelbagai alasan digunakan untuk mendapatkan bayaran pendahuluan antaranya bayaran guaman, bayaran perjanjian, bayaran insurans, bayaran kenaikan kredit, Sistem Maklumat Rujukan Semakan Kredit (CCRIS)/bayaran CTOS, bayaran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), bayaran pengaktifan akaun dan sebagainya.

“Hakikatnya, perkara itu adalah bertentangan dengan kaedah pinjaman wang yang tidak dipraktikkan oleh institusi perbankan atau syarikat pinjaman wang berlesen yang mana sebarang wang proses atau yuran yang perlu dibayar akan dimasukkan sebagai sebahagian daripada jumlah pinjaman,” katanya.

Justeru itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati. Sebarang nasihat berkaitan jenayah komersial orang ramai boleh merujuk kepada CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-2610 1599.

Sumber : Kosmo!

Rugi RM10,049 terpedaya tawaran kerja palsu

by

 

Seorang wanita kerugian RM10,049 selepas terpedaya dengan tawaran kerja di laman sosial yang menjanjikan komisen tinggi daripada kegiatan promosi dan pembelian produk secara dalam talian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani, berkata mangsa berusia 33 tahun tertarik dengan tawaran kerja itu dan menghantar pesanan produk melalui nombor yang diberikan menerusi WhatsApp.

"Jam 2.39 petang semalam, mangsa memindahkan wang RM32 ke akaun yang diberikan dan kurang 10 minit, mangsa menerima bayaran berserta komisyen dalam akaunnya sebanyak RM35.20," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jam 2.54 petang, mangsa memindahkan RM149 ke akaun sama dan mendapat semula wang berserta komisyen RM163.09. 

Transaksi berikutnya jam 3.16 petang, mangsa memindahkan RM1,750 ke akaun lain pula dan dimaklumkan perlu menambah jualan dua produk lagi bagi mendapatkan pulangan wang. Mangsa menuruti setiap arahan dan melakukan dua lagi transaksi pembayaran dengan setiap satunya bernilai RM1,750.

"Selepas tiga transaksi, mangsa diarahkan membayar RM4,799 untuk menjual satu lagi produk baharu bagi mendapatkan pulangan wang.

"Pada jam 3.58 petang, selepas membuat pemindahan wang, mangsa dimaklumkan terdapat masalah pada sistem selain jumlah wang yang dimasukkan adalah salah dan pulangan modal tidak dapat diberikan," katanya.

Berikutan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Rahang semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam pada itu, katanya, polis mengesan satu sindiket aktif menipu dalam talian dengan menggunakan modus operandi tawaran kerja sambilan yang kononnya ditawarkan oleh syarikat jualan dalam talian terkenal.

Sejak Februari hingga Julai tahun ini, 25 kertas siasatan berkaitan tawaran kerja sambilan palsu telah dibuka membabitkan kerugian RM570,000.

"Siasatan mendapati kerugian terendah adalah sebanyak RM1,200 manakala kerugian tertinggi RM138,000," katanya. 

Sumber " Berita Harian

 

Kerani rugi RM31,000 gara-gara kerja sambilan

by

 

Seorang kerani rugi RM31,000 apabila ditipu syarikat aplikasi pembelian dalam talian, yang menawarkan kerja sambilan sebagai ejen.

Wanita berusia 23 tahun itu tertarik dengan iklan kerja sambilan berkenaan, yang diiklankan melalui sebuah akaun Facebook selepas melayari laman sosial itu pada Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa menghubungi syarikat berkenaan dan membuka akaun melalui pautan yang diberikan.

Beliau berkata, mangsa mula menjalankan tugasnya seperti yang diminta iaitu untuk menaikkan rating barangan dalam aplikasi yang disediakan. 

"Mangsa dijanjikan komisyen dengan setiap tugas yang dilakukan itu.

"Bagi mendapatkan lebih banyak tugasan yang akan memberi komisyen atau upah lebih tinggi, mangsa menambah wang ke dalam akaun aplikasi itu," katanya melalui satu kenyataan media.

Mohd Wazir berkata, mangsa membuat bayaran berjumlah RM31,000 melalui lapan transaksi pindahan wang ke dua akaun bank atas nama individu berbeza.

"Mangsa mengesyaki yang dia ditipu apabila wang yang dimasukkan dalam aplikasi itu tidak dapat digunakan," katanya.

Beliau berkata, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Mentakab, kelmarin.

Sementara itu, dalam kes berasingan kelmarin, seorang jururawat kerugian RM1,500 selepas ditipu individu yang menyamar sebagai kakaknya.

Mohd Wazir berkata, mangsa menerima mesej daripada suspek, yang menyamar sebagai kakaknya, menggunakan nombor telefon yang tidak dikenali untuk meminjam wang sebanyak RM1,500.

"Bagi membantu `kakaknya' itu, mangsa memasukkan wang ke akaun sebuah bank atas nama orang lain pada hari yang sama.

"Mangsa kemudian menghubungi kakaknya dan terkejut apabila kakaknya menafikan perkara itu.

"Mangsa juga gagal menghubungi suspek selepas itu, malah suspek juga memadamkan semua mesej yang dihantar kepada mangsa," katanya sambil menambah mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Temerloh.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sumber : Berita Harian

 

Jangan klik https://pbebankonline.com elak wang lesap

by

 

Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menekan pautan https://pbebankonline.com dan memasukkan data peribadi, maklumat perbankan dalam talian serta kata laluan bagi mengelak wang simpanan lesap.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew, berkata pautan dihantar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) itu antara modus operandi baharu penjenayah bagi menipu mangsa.

"Pada jam 7.20 malam kelmarin, sebuah balai di Petaling Jaya menerima laporan berkaitan penipuan pautan dikatakan dari sebuah bank melalui pesanan ringkas.

"Wanita berusia 51 tahun bekerja di sektor swasta itu menerima pautan berkenaan mengatakan akaun mangsa berisiko tinggi untuk terdedah kepada pihak ketiga.

"Mangsa menekan pautan https://pbebankonline.com dan mengikut arahan diberikan untuk memasukkan maklumat peribadi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Yazid berkata, wanita terbabit kemudian membuat semakan dan mendapati wang dalam akaunnya lesap.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan setakat ini, ada dua kes sama dilaporkan di Selangor, membabitkan kerugian berjumlah RM33,500," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Kisah ditipu scammer

by

 

Selepas bersara sebagai eksekutif sebuah kilang di Pulau Pinang, Salmah (bukan nama sebenar) banyak menghabiskan masa di rumah bersama keluarga.

Sebagai seorang suri rumah sepenuh masa, wanita berusia 56 tahun itu banyak dihabiskan di ceruk dapur bagi menyiapkan sajian untuk suami dan anak-anaknya.

Pada satu pagi ketika sedang sibuk menyiapkan sajian tengah hari, Salmah terdengar deringan telefon dari dalam bilik tidurnya.

Dia terus bergegas menjawab panggilan daripada orang tidak dikenali. Pemangil lelaki berkenaan memperkenalkan diri sebagai anggota polis berpangkat inspektor dari Kuala Terengganu.

Perasaan Salmah mula berasa bimbang dan gementar kerana takut telah melakukan sebarang kesalahan melibatkan kesalahan jenayah.

“Macam ini, saya dapati ada orang telah menggunakan kad kredit milik puan yang hilang beberapa tahun lalu untuk tujuan penipuan di beberapa buah premis di negeri ini.

“Jadi, disebabkan kad kredit ini atas nama puan. Maka, kami minta puan untuk datang ke balai polis Kuala Terengganu dengan segera,” ujar ‘inspektor’ polis tersebut.

Salmah yang ragu-ragu dengan pemangil tersebut terus menamatkan panggilan disebabkan bimbang ditipu. Lagipun sepanjang hidupnya, dia tidak pernah mempunyai kad kredit.

Lantaran itu, Salmah telah membuat semakan nombor telefon menerusi Google, ternyata pemangil terbabit daripada balai polis Kuala Terengganu.

Selang beberapa minit kemudian, Salmah sekali lagi menerima panggilan daripada ‘inspektor’ berkenaan.

“Kenapa puan letak panggilan sebentar tadi. Saya ingin bantu puan selesaikan masalah ini.

“Kalau puan tidak percaya, saya akan sambungkan panggilan ini kepada pihak mahkamah,” ujar ‘inspektor’ itu dalam nada tegas.

Salmah bersetuju untuk meminta ‘polis’ berkenaan menyambungkan panggilan kepada pihak mahkamah bagi mendapatkan kepastian mengenai kesnya.

“Saya merupakan wakil mahkamah di sini. Macam ini, kami mahu puan datang ke sini untuk beri keterangan kepada mahkamah mengenai kes ini.

“Kalau puan tidak dapat datang, puan perlu bayar denda berjumlah RM20,000 hari ini bagi memastikan tidak ditangkap polis.

“Paling penting, jangan cerita perbualan kita ini kepada sesiapa termasuk ahli keluarga terdekat,” ujar suara milik wanita yang mendakwa mewakili pihak mahkamah itu.

Salmah mula cemas kerana dia berasakan mustahil untuknya pergi ke Terengganu dari Kedah pada hari berkenaan.

Disebabkan rasa takut, Salmah terus bergegas ke pejabat pos berhampiran rumah untuk mengeluarkan wang simpanannya daripada akaun Amanah Saham Bumiputera sebanyak RM20,000.

Sewaktu ingin mengeluarkan wang sebanyak RM20,000, pihak pejabat pos tidak membenarkan dia berbuat demikian. Hal ini kerana wang tunai di kaunter ketika itu tidak mencukupi dan hanya mempunyai RM10,000.

Sumber :Kosmo!

Diperdaya iklan Hilux murah di Facebook

by

Seorang pekerja bengkel di Kuantan, Pahang kerugian RM17,060 selepas diperdaya dalam proses jual beli kenderaan terpakai menerusi laman sosial Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa mula berurusan dengan suspek pada 14 Ogos lalu.

"Selepas melihat iklan di Facebook, pengadu yang berusia 38 tahun itu menghubungi suspek untuk bertanya mengenai Toyota Hilux terpakai yang ditawar pada harga RM20,000.

"Pengadu membuat bayaran pada harga dipersetujui sebanyak RM17,060 melalui beberapa transaksi antara tempoh 15 Ogos hingga 21 Ogos lalu," katanya.

Ujar beliau lagi, mangsa memaklumkan kepada suspek mengenai bayaran tersebut, namun diberikan pelbagai alasan.

Tambah Mohd. Wazir, mangsa akhirnya berjumpa dengan suspek di rumahnya di Felda Tersang 3 dekat Raub untuk menuntut wangnya kembali.

"Dia (suspek) beritahu kepada pengadu, sekiranya mahu wangnya dikembalikan, pengadu akan dikejar oleh kongsi gelap," katanya.

Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini semalam selepas berasa tertipu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

- Kosmo!

Hati-Hati Dengan Penggodam E-Mel

by


Aktiviti penipuan telah menyebabkan pelakunya 'terlepas' bersama jutaan ringgit dengan hanya menggodam e-mel.

Dengan cara memintas pertukaran e-mel, mereka menipu sasaran supaya menghantar wang ke akaun bank mereka, bukannya kepada penerima yang berhak dan sepatutnya.

Seorang ahli perniagaan dari negara jiran kerugian RM40,000 selepas e-mel beliau digodam oleh penjenayah siber.

Beliau sepatutnya menerima wang untuk eksport 'komoditi yang diproses' ke Asia Barat, tetapi pembayaran berakhir di dalam sebuah akaun bank Malaysia.

Beliau yang panik, terus menghubungi rakannya, seorang pereka tempatan, Bugs Tan untuk mendapatkan bantuan.

"Akaun bank dan butiran invois telah berubah. Kawan saya mahupun pembeli tidak mengesyaki apa-apa yang tidak kena.

"Pembayaran itu telah dibuat kepada bank Malaysia seperti yang diarahkan dalam e-mel. Tetapi butir-butir akaun itu berbeza dengan apa yang kawan saya telah hantar. Dia menghubungi saya pada 10 Ogos, bertanya jika saya boleh membantu kerana saya tinggal di sini," katanya.

Apabila Tan menyemak semula e-mel yang digodam, beliau mendapati bahawa alamat pemilik akaun bank di Malaysia itu menunjukkan rumah seseorang di Klang.

Tan cuba untuk membuat laporan polis tetapi diberitahu bahawa rakannya perlu datang ke Malaysia membuat laporan itu sendiri.

"Saya hanya mahu memberi amaran kepada orang ramai bahawa menggunakan e-mel adalah tidak selamat. Berhati-hati. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada rakan saya," katanya.

Aktiviti menggodam e-mel hacking semakin meningkat sejak dua tahun lalu, menurut Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan CyberSecurity Malaysia (CSM).

Jumlah insiden direkodkan oleh polis telah meningkat dari hanya dua kes pada tahun 2014 kepada 73 pada tahun lalu. Jumlah kerugian pula meningkat dari RM974,832 pada 2014 kepada RM39 juta pada 2015.

"Antara Januari dan Ogos, terdapat 29 kes dengan kerugian RM11 juta," Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) JSJK Senior Asisten Komisioner Roslan Abdul Wahid memberitahu Sunday Star.

Beliau berkata penggodam memintas pertukaran e-mel antara dua pihak, biasanya apabila pembayaran hampir dibuat.

"Sebagai contoh, A sepatutnya membayar kepada B. C, sebagai penjenayah, menyamar sebagai B menggunakan alamat e-mel yang hampir sama untuk berkomunikasi dengan A.

"A kemudiannya akan tertipu dengan membayar kepada C, bukan B," kata Roslan sambil menambah penggodam akan melakukan kajian ke atas mangsa sebelum mereka bertindak.

Beliau berkata kebanyakan mereka yang terbabit terdiri daripada warga Nigeria yang menyalahgunakan visa yang membolehkan mereka tinggal atau belajar di Malaysia.

Selain menjadikan warga asing dan penduduk tempatan sebagai sasaran, mangsa mereka juga mensasarkan syarikat-syarikat besar.

"Setakat ini, tiada rakyat Malaysia yang didapati bersekongkol dengan penggodam itu," kata Roslan.

Beliau berkata, penipu menggunakan sejenis perisian atau malware, biasanya dijual di China atau Rusia yang dapat membantu mereka.

Beliau menggesa orang ramai supaya berhati-hati apabila berurusan melalui e-mel.

"Sentiasa semak nombor akaun bank dengan penerima dan pastikan anda berurusan dengan orang yang tepat," katanya.

CSM juga telah menyaksikan peningkatan dalam laporan e-mel yang digodam iaitu dari 25 kes pada 2014 kepada 62 kes pada 2015.

Dari Januari hingga Julai, telah ada sebanyak 36 aduan, kata Ketua Pegawai Eksekutif CSM Dr Amirudin Abdul Wahab.

Beliau berkata beberapa penipu menyamar sebagai pembekal perniagaan dan menghantar e-mel kepada mangsa,  memberitahu tentang nombor akaun bank baharu untuk pembayaran. Ini berlaku selepas mangsa menerima invois daripada pembekal.

E-mel tersebut tidak kelihatan mencurigakan kerana nama domain yang hampir sama dan pembekal biasanya berada di luar negara, manakala syarikat yang menjadi mangsa biasanya adalah syarikat tempatan, katanya.

Gagal untuk log masuk ke akaun e-mel, maklumat akaun  berubah, data dalam peti masuk dipadam atau login dari lokasi yang tidak dikenali, tidak menerima e-mel yang dijangka adalah tanda-tanda akaun email anda telah digodam, katanya.

Untuk membuat laporan, e-mel kepada cyber999@cybersecurity atau mycert@mycert.org.my

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90