Memaparkan catatan dengan label tutup sekolah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tutup sekolah. Papar semua catatan

Ahad, Oktober 18, 2020

COVID-19: Tidak boleh terburu-buru tutup sekolah - Radzi

 

Kementerian Pendidikan tidak boleh mengambil keputusan terburu-buru berhubung cadangan banyak pihak supaya sekolah di seluruh negara ditutup susulan pandemik COVID-19.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin, berkata ini kerana sebarang keputusan dibuat bukan hanya memberi kesan kepada kementerian itu tetapi juga seluruh negara.

Justeru, beliau menjelaskan bahawa langkah penutupan sekolah diambil berdasarkan data dan perincian pelbagai pihak, terutama Kementerian Kesihatan.

"Kita mendengar banyak cadangan dan perbincangan kenapa semua sekolah tidak ditutup.

"Saya ingin menjelaskan bahawa di kementerian, kita menaungi lebih lima juta murid dan pelajar serta lebih 500,000 guru dan warga kementerian.

"Oleh itu, sebarang keputusan (menutup sekolah) bukan hanya memberi kesan kepada kita. Ia juga memberi kesan kepada seluruh negara.

"Justeru, kami tidak boleh terburu-buru sebab kesannya amat besar," katanya dalam program temu bual Soal Rakyat disiarkan TV3, hari ini.

Radzi berkata, kementerian turut menerima maklum balas daripada ibu bapa, terutama dalam Zon Hijau dan Zon Kuning, supaya sekolah tidak ditutup.

"Ada ibu bapa dalam Zon Hijau memberi maklum balas kenapa perlu tutup sekolah sedangkan kawasan mereka tiada kes COVID-19.

"Oleh itu, saya katakan, setiap pertimbangan dibuat berdasarkan data dan perincian," katanya.

Beliau sekali gus menegaskan, komitmen Kementerian Pendidikan ialah memastikan tiada pelajar yang keciciran dalam pembelajaran.

"Komitmen kami tidak boleh dipertikaikan. Seperti mana ibu bapa sayang anak, kami juga sayang mereka di sekolah," katanya.

 Sumber : Berita Harian

 

Recent Posts