Top Ad 728x90

Bina keimanan umat daripada mencampuri urusan agama lain

by
Oleh DR. SAODAH ABD RAHMAN
Pensyarah Kanan, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Agama Islam mengasuh umatnya supaya menumpukan perhatian kepada aspek-aspek yang boleh membentuk keperibadian Islam yang mampu menghadapi sebarangan rintangan hidup sama ada dalam aspek kehidupan keduniaan dan alam akhirat. Oleh itu dalam mengasuh umat Islam maka disiplin ilmu pengetahuan yang perlu dipelajari dan dihayati oleh mereka terbahagi kepada dua.

Pertama, ilmu-ilmu berkaitan dengan ilmu wahyu yang disampaikan oleh Allah kepada Rasulullah SAW selama 23 tahun melalui Jibrail berkaitan dengan akidah, syariah (perundangan) dan akhlak. Umat Islam yang mendalami ilmu ini digelar sebagai orang yang mahir dalam ilmu wahyu (yufaqqih fi'l-din) yang dikenali sebagai ulama.

Ilmu-ilmu wahyu begini tidak akan dapat dicapai dalam jangka masa pendek. Ia mempunyai disiplin-disiplin yang perlu dipatuhi.

Jika disiplin dalam mempelajari ilmu-ilmu ini diketepikan maka agama Islam akan menjadi hancur dan ia akan menjadi agama yang sentiasa diubah suai mengikut penafsiran manusia berlandaskan kepada cita rasa dan pemikiran yang tertakluk kepada pemahaman ideologi.

Keprihatinan umat Islam dalam perkara ini merupakan faktor utama yang menyebabkan isi kandungan al-Quran dan hadis terpelihara.

Pelbagai cara digunakan oleh musuh Islam untuk menukar dan memesongkan isi kandungan al-Quran dan hadis tetapi tidak berjaya kerana golongan ulama yang dianggap kolot oleh golongan tertentu mampu mempertahankan keaslian isi kandungan al-Quran dan hadis.

Jika ilmu-ilmu wahyu ini dipesongkan maka keimanan umat Islam menjadi lemah dan corak kehidupan masyarakat menjadi konflik.

Terdapat umat Islam beranggapan bahawa Hadis merupakan faktor umat Islam mundur. Tindakan begini amat merbahaya kerana jika hadis dihapuskan maka umat Islam tidak ada pedoman dan cara bagaimana hendak menyembah Allah Yang Maha Esa dan melakukan ibadah.

Apabila hadis sudah hilang dalam pemikiran umat Islam maka agama Islam dan identiti umatnya akan terhapus. Ketika ini umat Islam akan menjadi satu umat yang tidak ada identiti Islam dan akan mengikut tradisi agama lain yang dianggap bersesuaian dengan cita rasa mereka tanpa memahami ibadah dalam bentuk apakah yang sepatutnya diamalkan oleh mereka seperti dituntut oleh Allah.

Apabila umat Islam cuai terhadap ajaran Hadis maka corak kehidupan mereka bertentangan dengan ajaran Islam. Tingkah laku dan tindakan mereka tidak melambangkan identiti umat Islam. Ketika ini mereka akan memandang rendah terhadap umat Islam yang ingin mengekalkan tradisi kehidupan Rasulullah SAW.

Suasana begini jelas kelihatan dalam dunia Islam masa kini. Berdasarkan kepada suasana begini maka umat Islam perlu memperkukuhkan akidah Islam dan membimbing masyarakatnya secara gigih supaya menghayati ajaran Islam dalam setiap aspek kehidupan.

Ilmu kedua yang dituntut oleh Islam supaya umatnya gigih mempelajarinya ialah ilmu berkaitan dengan penguasaan dan kemakmuran dunia seperti ilmu sains dan teknologi, pembinaan, pertanian dan sebagainya.

Ini adalah bertepatan dengan matlamat ciptaan manusia sebagai khalifah/ pemimpin Allah di muka bumi. Ilmu-ilmu tersebut dikuasai oleh umat Islam pada masa silam di mana mereka mampu membentuk tamadun Islam dalam jangka masa yang singkat jika dibandingkan dengan tamadun Greek dan Rom.

Umat Islam dituntut mempelajari ilmu ini daripada masyarakat bukan Islam. Pertukaran ilmu pengetahuan dan kepakaran dengan masyarakat bukan Islam berkaitan dengan ilmu ini merupakan tradisi umat Islam sejak zaman silam lagi.

Umat Islam dan bukan Islam digalakkan bekerjasama membina dan memajukan negara tanpa mengira agama dan bangsa. Kerjasama dalam membentuk negara maju dan makmur adalah lebih bermakna daripada usaha untuk menyatukan agama dan memaksa setiap individu yang beragama memperakui kebenaran setiap agama.

Masyarakat Islam tidak dibenarkan mencampuri urusan agama lain. Mereka bebas untuk melakukan sesuatu berdasarkan kepada pemikiran teologi mereka. Ketidaksamaan akidah dan cara ibadah di antara umat Islam dan bukan Islam perlu diperakui. Ini bukan bererti umat Islam menghina dan memandang rendah kepada agama lain kerana cara umat Islam memahami kebenaran dan hakikat ketuhanan adalah berbeza.

Memandangkan kedudukan dan suasana umat Islam masa kini yang berada dalam ambang kehancuran maka umat Islam perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada pembinaan keimanan dan jati diri umat daripada mencampuri urusan agama lain.

Kekuatan umat Islam bergantung kepada kegigihan umat mempertahankan akidah dan kesatuan ummah. Perkara begini semakin hari kelihatan kian luntur dalam kehidupan masyarakat Islam. Oleh itu teguhkan keimanan dan bersatu hati untuk menyemarakkan syiar Islam dan membentuk keperibadian umat yang ideal.

64 peratus belia yakin kepemimpinan, prestasi Najib - Kajian

by
Satu kaji selidik di kalangan generasi muda mendapati 64 peratus daripada belia berusia antara 20 hingga 30 tahun berkeyakinan dengan kepemimpinan, keupayaan dan prestasi Datuk Seri Najib Razak dalam tempoh 100 hari sebagai Perdana Menteri.

Sebanyak 22 peratus lagi berkata Perdana Menteri masih mempunyai masa dan ruang untuk membuktikannya kepada golongan belia, manakala 14 peratus tidak berkeyakinan terhadap kepemimpinan, keupayaan dan prestasi Najib sebagai Perdana Menteri.

Keputusan itu diperoleh hasil kaji selidik Yayasan Kerjasama Malaysia membabitkan responden lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) dengan pemilihannya dilakukan secara rawak daripada rangka senarai pencari kerja Jabatan Tenaga Kerja.

Sebanyak 20,000 e-mel dihantar kepada responden mengikut jantina, taraf pendidikan, bangsa dan negeri selama dua hari bermula 14 hingga 16 Julai lalu. Daripada jumlah itu, 1,273 daripadanya mengembalikan soal selidik dalam tempoh yang ditetapkan.

Felo Penyelidik Utama Yayasan Kerjasama Malaysia, Prof Datuk Dr Sulaiman Md Yassin, berkata kaji selidik itu bertujuan mendengar pandangan belia terhadap kepemimpinan Najib sempena 100 hari sebagai Perdana Menteri.

Kaji selidik itu meliputi kepemimpinan, menangani isu nasional, konsep 1Malaysia, petunjuk prestasi utama (KPI), masa depan politik, kepercayaan terhadap Najib dan pandangan mereka serta konsep 1Belia yang diperkenalkan Kementerian Belia dan Sukan.

Beliau berkata, hasil kaji selidik mendapati belia meletakkan 71 peratus kepercayaan dan harapan tinggi kepada kepemimpinan Najib, 13 peratus tidak dan 16 peratus tidak pasti. Sebanyak 60 peratus beranggapan masa depan politik negara stabil, 34 peratus tidak stabil dan enam peratus tidak pasti.

Kajian turut mendapati 64 peratus belia berpendapat dalam tempoh 100 hari Najib sebagai Perdana Menteri berjaya menangani isu nasional, 14 peratus berkata tidak, manakala 22 peratus lagi tidak pasti dan 76 peratus menyokong konsep 1Malaysia, retorik (14 peratus), tidak sesuai (lima peratus) dan tidak pasti 5 peratus.

Kaji selidik itu turut meminta pandangan mereka mengenai penggunaan KPI dengan 67 peratus berkata ya terhadap penggunaan KPI, 11 peratus tidak dan 22 peratus tidak pasti.

- BERITA HARIAN

Kaki Michael Jackson penuh kesan suntik

by

Gambar-gambar diperoleh ABC News mendedahkan ketagihan Raja Pop, Michael Jackson terhadap ubat tahan takit.

Gambar diambil tujuh tahun lalu itu menunjukkan kesan suntikan dan tompokan merah, mungkin akibat darah beku atau cecair yang berkumpul di bahagian itu.

Jurucakap Akademi Dermatologi Amerika Syarikat (AS), Dr Debra Jaliman berkata: “Ia seperti kesan puluhan suntikan tapi agak pelik suntikan diberikan di kaki. Mungkin tiada lagi urat di bahagian atas tubuh yang boleh disuntik lagi.”

Jaliman turut menyatakan, tompokan itu mungkin akibat Nekrosis yang berlaku akibat aliran cecair ke bahagian bawah kaki Michael.

“Namun, ia juga mungkin kesan lecur akibat terdedah kepada cecair tertentu,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Michael dipercayai menyimpan pelbagai jenis ubat bagi menangani penyakitnya sebelum beliau meninggal dunia.

Majoriti ubat dibeli atas nama Omar Adams dan beliau dipercayai membelanjakan RM174,000 sebulan untuk membelinya.

Selain ubat tahan sakit, Vicodin, Michael, 50, turut membeli ubat penenang seperti Soma dan Xanax.

Beliau turut makan ubat antitekanan, Zoloft dan ubat antiteruja, Paxil dan Priolosec.

Ada di antara ubat yang dimakannya didakwa disahkan oleh pakar dermatologi Beverly Hills, Dr Arnold Klein yang kini disiasat untuk menentukan punca kematian penyanyi itu.

Pada masa sama, Michael dilapor mengambil ubat itu daripada Farmasi Mickey Fine.

Kos besar membeli ubat itu turut menyebabkan Michael disaman beberapa kali.

Pada 2001, beliau disaman Mickey Fine kerana gagal membayar ubat-ubatan bernilai RM40,600 dan beliau turut berhutang RM104,400 dengan Klein.

Pada 2002, Dr Allen Metzger menuntut RM92,800 daripada Michael.

- Agensi

Amalan bercanggah syariat

by
Oleh MOHD. SHAUKI ABD. MAJID
Pengurus Penyelidikan,
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Timbul kemusykilan yang membawa kepada keraguan, adakah majlis menyalakan lilin bagi memperingati kematian Teoh Beng Hock di Ipoh, Jumaat minggu lalu yang turut disertai oleh Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai suatu upacara rasmi amalan bukan Islam atau sekadar amalan taaruf (perhubungan kemasyarakatan sahaja).

Apa pun dari sisi akidah Islam, sesungguhnya amalan memohon 'keampunan' bagi pihak bukan Islam itu jelas dilarang keras seperti mana firman Allah yang bermaksud: Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang yang beriman bersamanya untuk memohon keampunan bagi orang musyrik sekalipun kaum kerabat sendiri. (at-Taubah: 113)

Begitu juga amalan dalam upacara ibadat atau pemakaian alat rasmi agama lain seperti salib dan tali pinggang paderi, semuanya dilarang kepada umat Islam daripada memakai dan menirunya dengan rela hati dan berlapang dada.

Amalan upacara tersebut boleh dilakukan dengan bebas hanya dalam kalangan dan di kawasan mereka sahaja serta dilarang diamalkan oleh orang Islam terutama di negara yang agama rasminya ialah Islam seperti Malaysia.

Oleh demikian, dikira haram (salah) bagi umat Islam yang tahu dan sedar untuk mengikuti upacara tersebut, melainkan kerana terpaksa atau tanpa disedari.

Dalam hal ini, Allah berfirman yang bermaksud: Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab Allah) melainkan mereka yang dipaksa (melakukan kerja-kerja kekufuran tersebut), sedangkan hatinya masih tetap dengan iman, tetapi sesiapa yang lapang hatinya dengan kekufuran itu, maka atasnya kemurkaan Allah dan untuk mereka azab seksa yang amat besar.

(al-Nahl:106)

Berdasarkan andaian inilah boleh difahami mengenai penghormatan yang diberi oleh Rasulullah SAW kepada jenazah seorang Yahudi yang diusung lalu di hadapan baginda, lalu baginda bangun memberi penghormatan kepadanya.

Para sahabat bertanya, adakah penghormatan tersebut harus diberikan juga kepada jenazah orang Yahudi. Lalu baginda bersabda, "Bukankah dia juga manusia (hamba Allah)." Jadi kita harus menghormati dan menyayangi setiap kejadian Allah (hamba- Nya) semata-mata, bukan kerana fahaman atau anutan agamanya.

Umat Islam yang diakui sebaik-baik umat sepatutnya dapat menjadi contoh ikutan dan teladan yang baik terutama daripada kalangan mereka yang dilantik sebagai pemimpin untuk dicontohi oleh masyarakat.

Mereka harus menjaga diri masing-masing dan jangan sekali-kali terlibat dengan amalan yang boleh meragukan dan mengelirukan orang ramai. Sehubungan ini, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Tinggallah apa yang meragukan kamu kepada apa yang tidak meragukan."

Untuk peringatan umat Islam, Rasulullah SAW pernah mengingatkan kita agar tidak hanyut dan menjadi 'pak turut' seperti mana sabda baginda yang bermaksud: "Jangan kamu jadi pak turut yang bersikap "aku bersama-sama orang ramai; kalau mereka baik, baiklah aku, kalau mereka tidak baik, aku juga tidak baik," malahan hendaklah kamu cekalkan hati kamu kalau orang ramai baik, "aku akan mengikut jejak mereka, "kalau mereka tidak baik, aku akan menjauhi kejahatan mereka." (Riwayat Tirmizi)

Biasanya kejadian tersebut dilakukan untuk mencari sokongan dan populariti. Bagaimanapun, kita harus sedar bahawa Rasulullah SAW pernah mengingatkan melalui hadis baginda yang bermaksud: Sesiapa yang menyebabkan kemurkaan Allah kerana hendak mengambil hati manusia nescaya dimurkai Allah ke atasnya dan menjadikan orang yang hendak diambil hatinya, menjadi marah kepadanya dan sesiapa yang menyebabkan keredaan Allah kerana menyebabkan kemarahan manusia kepadanya nescaya dia diredai Allah dan menjadikan hati orang yang marah kepadanya itu tadi bertukar menjadi sayang dan menyukainya. (Riwayat Tabrani)

Ada pun amalan upacara kemasyarakatan untuk merapatkan perhubungan dan mengeratkan perpaduan antara manusia sejagat, maka ia digalakkan. Ini berdasarkan firman-Nya bermaksud: Wahai manusia! Kami jadikan kamu daripada lelaki dan wanita dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak untuk kamu saling kenal-mengenal, sesungguhnya yang paling mulia daripada kamu ialah yang orang paling bertakwa daripada kalangan kamu. (al-Hujuraat: 13)

Dalam hubungan kerjasama dan kemasyarakatan dengan bukan Islam, tidak ada larangan agama mengenainya, malahan ia digalakkan berdasarkan firman-Nya yang bermaksud: Allah tidak melarang kamu terhadap orang kafir yang tidak memerangi kamu dalam agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halaman kamu untuk kamu berbuat baik kepada mereka dan berlaku adil kepada mereka. Sesungguhnya Allah kasih akan orang yang berlaku adil (saksama). (al-Mumtahanah: 8)

Apa yang dilarang itu hanyalah menyerah kesetiaan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada mereka yang memerangi dan memusuhi umat Islam sebagai mana yang dijelaskan Allah dalam firman-Nya bermaksud: Sesungguhnya Allah melarang kamu terhadap bukan Islam yang memerangi kamu dalam agama dan telah mengusirkan kamu dari negara kamu, dan bekerjasama mengusir kamu untuk memberi kesetiaan dan kuasa kepada mereka. (al-Mumtahanah: 9)

Sesungguhnya, kita kadang kala meremehkan perilaku meragukan yang muncul daripada dalam diri kita demi mengejar sesuatu yang sama ada disedari atau tidak sebagai sesuatu yang sementara dan tidak kurang pula bersifat fatamorgana.

Demi memenuhi bisikan naluri, kita tergamak melakukan sesuatu yang 'membimbangkan' masyarakat, khususnya di kalangan orang Islam. Dan lebih parah jika kita sanggup 'membelakangkan' agama, semata-mata mengejar sesuatu yang entah apa-apa.

Peragut tewas di tangan wanita

by

Cubaan dua beradik melarikan beg tangan selepas meragutnya daripada seorang wanita gagal apabila kedua-duanya terbunuh apabila motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dikejar mangsa di Persiaran Subang di Shah Alam, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.45 petang, seorang daripada dua beradik terbabit memecahkan cermin tingkap kiri Mercedes Benz CLK 200 dipandu mangsa, dipercayai menggunakan topi keledar sebelum menyentap beg tangan berjenama Louis Vuitton.

Kejadian berlaku ketika wanita berkenaan, Junaili Abdul Hamid, 43, berhenti di persimpangan lampu isyarat di Persiaran Kerjaya, berhampiran sebuah stesen minyak di Glenmarie untuk pulang ke rumahnya di Seksyen 13 di sini, dari tempat kerjanya di Sungei Way, Petaling Jaya.

Berang dengan tindakan peragut terbabit, wanita itu terus mengejar mereka sejauh hampir dua kilometer sebelum motosikal Yamaha RXZ yang dinaiki dua beradik berusia 25 dan 30 tahun itu terbabas sebelum melanggar sebuah teksi.

Difahamkan, pada masa sama, sebuah kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang berada di tempat kejadian turut membantu mangsa mengejar peragut terbabit.

Suspek yang berusia 25 tahun mati di tempat kejadian manakala abangnya, 30, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. Dua beradik berkenaan berasal dari Sungai Burong, Sekinchan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin, berkata siasatan awal mendapati, sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat berkenaan, kereta dipandu mangsa dihampiri motosikal peragut terbabit sebelum seorang daripada mereka memecahkan cermin kenderaan itu.

“Sejurus kemudian, seorang daripada mereka menyambar beg tangan yang diletakkan di sebelah tempat duduk pemandu dan terus memecut motosikalnya.

“Mangsa yang terkejut dengan kejadian itu mengejar peragut terbabit sebelum motosikal yang ditunggangi suspek terbabas dan melanggar sebuah teksi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Selepas pelanggaran itu, seorang daripada suspek masih cuba melarikan diri, namun hanya sempat lari kira-kira 50 meter sebelum rebah dan meninggal dunia di tapak pembinaan berhampiran, manakala seorang lagi menggelupur kesakitan lalu dikejarkan ke HTAR, tetapi meninggal dunia di sana.

Noor Azam berkata, beg tangan mangsa ditemui semula di tempat kejadian dan wanita itu membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

“Siasatan polis mendapati peragut terbabit meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di seluruh badan dan kami juga menemui alat pernafasan (inhaler) di tangannya,” katanya, sambil menambah mangsa yang mati di tempat kejadian juga dihantar ke HTAR untuk bedah siasat.

Mercedes Benz dipandu Junaili turut rosak pada tayar kanan selepas melanggar sebuah van, tetapi dia tidak cedera.

Suami mangsa, Shaikh Feisal Sheikh Mohamed, 43, berkata dia menerima panggilan daripada isterinya pada jam 3.43 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian dari pejabatnya di Petaling Jaya.

“Sebaik tiba, dua lelaki itu (suspek) dikerumuni orang ramai sebelum saya mendapatkan isteri yang sedang menangis dan trauma berikutan kejadian ini.

“Kejadian ini betul-betul mengejutkan saya, tapi bersyukur kerana isteri terselamat walaupun kereta rosak,” katanya.

Sementara itu, abang suspek yang enggan dikenali berkata, dia mengetahui kejadian itu melalui rakan dan polis yang menghubunginya.

“Ketika itu saya berada di rumah di Sungai Burong sebelum bergegas ke HTAR untuk mengetahui apa yang berlaku.

“Selepas dimaklumkan apa yang berlaku oleh pegawai penyiasat, saya menerima perkara ini sebagai takdir dan meminta orang ramai tidak memandang negatif kepada kami,” katanya ketika ditemui di perkarangan Rumah Mayat HTAR, Klang.

Polis juga meminta orang ramai atau saksi kejadian yang melihat kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Fazwan Md Zain di 012-2469020 atau 03-55102222 sambungan 281 atau datang ke mana-mana balai polis berhampiran.

Perlukah ISA dimansuhkan?

by
JAKARTA baru-baru ini sekali lagi digegarkan oleh letupan bom. Kali ini ia meragut sembilan nyawa dan mencederakan 50 orang yang tidak berdosa. Bayangkanlah sekiranya insiden yang sama menimpa negara kita, Malaysia.

Namun Malaysia masih bernasib baik kerana kecekapan pihak keselamatan dan perisikan negara yang proaktif menangani isu-isu keganasan dalam negara kita.

Di sinilah pentingnya ISA yang masih relevan dalam usaha kerajaan mengekang keganasan dari berlaku. ISA bertindak sebagai langkah pencegahan. Jelas terbukti selama ini ISA walaupun dianggap oleh sesetengah pihak sebagai kejam tetapi tidak dinafikan ia berjasa mengekalkan keamanan negara selama ini.

Bayangkan apabila sebutir bom meletup di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur, mengorbankan banyak nyawa, kemudian beberapa pengganas yang disyaki terlibat ditahan pihak berkuasa.

Ia adalah suatu tindakan yang tidak berkesan yang mana akhirnya pihak berkuasa akan disalahkan kerana lembap menangani keganasan dan agensi perisikan akan dipersalahkan kerana gagal mengesan pergerakan pengganas. Inilah senario yang berlaku kepada pihak berkuasa negara-negara malang yang menjadi sasaran pengganas di seluruh dunia.

Sebaliknya pihak berkuasa di Malaysia berjaya menangani isu pengganas dan keganasan dengan begitu berkesan sekali namun tindakan pihak berkuasa langsung tidak mendapat reaksi positif, tidak ada sebarang ucapan terima kasih daripada sekumpulan rakyat yang memang menikmati keamanan tersebut sebaliknya mereka mencemuh kerajaan sebagai kejam dan zalim mempergunakan ISA.

Kumpulan inilah yang bercadang menggerakkan satu perhimpunan besar-besaran untuk mendesak kerajaan memansuhkan akta yang dilaung-laungkan oleh mereka sebagai tidak berperikemanusiaan iaitu ISA pada 1 Ogos 2009.

Hakikatnya, kumpulan inilah yang sebenarnya kejam, sanggup mengheret rakyat yang tidak bersalah demi memenuhi kepentingan peribadi mereka malah ada pemimpin politik yang cuba menggunakan kesempatan ini untuk menutup masalah peribadi yang sedang dihadapi.

Mereka sanggup membakar semangat dan nafsu amarah rakyat dengan memutar belit kenyataan dengan menghambur pernyataan-pernyataan negatif terhadap ISA biarpun realitinya lebih banyak kebaikan hasil dari pelaksanaan ISA!

Sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini semasa demonstrasi jalanan tersebut, pihak kerajaan langsung akan dipersalahkan sebagai bertindak kejam sebaliknya pihak-pihak yang bertanggungjawab mengadakan demonstrasi pula akan dianggap hero.

Selalunya yang akan mendapat kecederaan ialah penyokong-penyokong bawahan yang akan bertindak di bawah sedar sebaliknya “hero-hero” mereka pula selamat kerana akan berada di barisan belakang untuk meniupkan api kemarahan orang ramai!

Dalam sesuatu demonstrasi tidak mustahil akan berlaku sesuatu yang lebih dahsyat seperti letupan bom kerana keadaan politik negara kini berada dalam suasana yang amat tertekan menyaksikan parti pembangkang semakin terdesak untuk meneruskan sandiwara mereka. Kematian ‘mengejut’ saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Teoh Beng Hock mungkinkah satu lagi konspirasi politik pembangkang yang sanggup mengorbankan nyawa?

Kepada seluruh rakyat Malaysia, adakah anda tidak rasa begitu gembira dengan apa yang anda nikmati sekarang? Adakah anda rasa kehidupan anda diselubungi dengan ketidakadilan? Adakah anda rasa disekeliling anda penuh dengan kezaliman? Atau adakah anda rasa sekiranya saban hari jalan raya-jalan raya perlu dipenuhi dengan demonstrasi jalanan barulah wujud keadilan atau Kuala Lumpur sering digegarkan dengan letupan bom barulah wujud keamanan!

- UTUSAN

Maybank: Bayaran guna kad kredit meningkat 26 peratus

by
Malayan Banking Bhd. (Maybank) berkata, jumlah pembayaran menggunakan kad kredit oleh penggunanya meningkat 26 peratus bagi 12 bulan mulai Jun 2008 hingga Mei lalu berbanding 12 bulan sebelumnya.

Ketua Perbankan Pelanggannya, Lim Hong Tat berkata, peningkatan itu adalah tinggi berdasarkan kutipan yang dilakukan oleh industri sebanyak 11 peratus untuk tempoh tersebut.

''Pada tahun ini (antara Jun 2009 hingga Meo 2010), syarikat menjangkakan kadar peratusan yang sama atau kekal pada angka dua digit.

''Kita akan tunggu laporan terkini apabila pengumuman prestasi kewangan syarikat bagi mendapatkan nilai sebenar,'' katanya ketika sidang akhbar selepas melancarkan Maybank TreatsFair di Pusat Pameran Mid Valley di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Bahagian Kad dan Pembayaran, Ashraf Ali Abdul Kadir dan Ketua Bahagian Kad, B. Ravintharan.

TreatsFair yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini sempena Karnival Jualan Mega membolehkan pengguna kad kredit dan debit Maybank menebus mata ganjaran.

Hong Tat berkata, Maybank merupakan pengeluar kad kredit dan debit nombor satu di Malaysia termasuk Visa dan MasterCard.

''Kita mempunyai latar belakang pengguna yang berbeza-beza dan perkhidmatan yang kami sediakan adalah menyeluruh untuk mereka,'' katanya.

Sementara itu, Hong Tat berkata, Maybank menjangka mencatatkan jualan sebanyak RM10 juta sepanjang TreatsPoint diadakan.

Tambah beliau, seramai 200,000 pengunjung dijangka hadir pada acara itu berbanding 150,000 pengunjung pada tahun lalu.

- UTUSAN

PM Najib sambut harijadi ke 56

by

Datuk Seri Najib Razak berkata, harapannya pada hari ulang tahun kelahirannya ke-56 semalam ialah untuk melihat Malaysia menjadi negara yang lebih makmur dan bersatu.

Perdana Menteri berkata, ia selaras konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang beliau ilhamkan.

"Saya hendak rakyat tahu mereka mempunyai penyertaan dan sentiasa dihargai atas sumbangan kepada negara," katanya ketika menghadiri Wacana Cabaran Perdana Kepemimpinan Dalam Ekonomi Inovasi di Hotel Marriot Putrajaya, di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beberapa menteri, timbalan menteri, Menteri Besar, ketua pegawai eksekutif syarikat dan ketua industri.

Pada majlis itu, Perdana Menteri diraikan oleh tetamu termasuk pengurusan hotel yang menghadiahkan kek dan kad hari lahir serta diikuti upacara memotong kek.

Najib turut mengikuti sesi ceramah tertutup pada wacana anjuran Pusat Pendidikan Eksekutif Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) dengan kerjasama Bank Rakyat yang dihadiri 63 peserta.

Menurut kenyataan akhbar penganjur, wacana berkenaan selari wawasan 1Malaysia dan hala tuju bagi menjadikan Malaysia sebuah ekonomi inovasi.

Presiden dan Naib Canselor Unitar, Prof Datuk Dr Md Zabid Abdul Rashid, berkata wacana itu perintis kepada program kepemimpinan yang menumpukan prinsip utama bagi membolehkan pemimpin mengenal pasti, merangka strategi dan melaksanakan konsep sebuah ekonomi inovasi bagi menjadi-kan Malaysia, rakyat dan ekonominya lebih maju.

Turut hadir menyampaikan ceramah pada wacana berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Penyelidikan Stanford Amerika Syarikat, Dr Curtis R Carlson dengan tajuk Inovasi dan Kreativiti dan Prof Teknologi dan Pengurusan Inovasi IMD International, Switzerland, Prof Jean-Philippe Deschamps yang menyampaikan ceramah bertajuk Inovasi Kepemimpinan.

- BERITA HARIAN

Pengumuman Asia Ceramic Marketing Sdn Bhd

by
22nd Jul 2009 : Important Announcement / Pengumuman Penting
--------------------------------------------------------------------------

Dear CBC Distributors,

Asia Ceramic Marketing Sdn Bhd is currently under investigation by Bank Negara Malaysia.

Distributors are advised to stop all transactions for the time being.

We will continue updating this site with the latest information.

We urge all Distributors to be patient and bear with us during this period. ___________________________________________________________________

Kepada Pengedar-pengedar CBC,

Asia Ceramic Marketing Sdn Bhd dibawah siasatan Bank Negara Malaysia buat masa ini.

Pengedar-pengedar dinasihat agar tidak melakukan sebarang transaksi buat sementara waktu ini.

Pihak kami akan terus mengemaskini laman web ini dengan infomasi terbaru.

Kami menyeru semua pengedar agar bersabar buat sementara waktu ini.


http://www.ceramicclub.net/designer/news.php

Bank Negara raids Asia Ceramic premises

by
Bank Negara Malaysia (BNM) raided the premises of Asia Ceramic Marketing Sdn Bhd on Wednesday following complaints from the public.

“Assets and documents of the company were seized,” said BNM in a press statement yesterday, adding that Asia Ceramic Marketing was being investigated under Section 24(1) of the Banking and Financial Instituitions Act 1989 and Section 4(1) of the Anti-Money Laundering and Anti-Terrorism Financing Act 2001.

Although officials of Asia Ceramic Marketing declined to comment, an advisory has been published on its website telling distributors to stop all transactions for the time being.

According to the website, Asia Ceramic Marketing is “a trading and e-commerce company that produces compositions of ceramic and pottery products”.

To run their e-commerce platform, the company established the Ceramic Business Club (CBC) in 2007, which is claimed to be based on a network or multi-level marketing structure.

The CBC is essentially a pyramid scheme where distributors purchase membership with the club and partake in what the website terms business profit sharing. What makes them unique, says the company, is that membership in the CBC provides a risk-free, guaranteed income to distributors every month whereas other pyramid schemes require investors to actively recruit new members to gain an income. Further commissions are paid out for the recruitment of new distributors.

Some claim that there are two packages offered for membership into the CBC. One is worth RM155, and the other RM1,550.

Distributors are offered further perks such as Giant, KFC, and Pizza Hut vouchers as well as special travel packages.

BNM warned the public to “be cautious of deposit taking schemes and investment schemes offered by individuals or companies that are not licensed or approved by the relevant authorities.”

For a list of licensed institutions authorised to accept deposits, refer to BNM’s website, www.bnm.gov.my

- THE STAR

ANNOUNCEMENT

Bank Negara Malaysia has commenced investigations into Asia Ceramic Marketing Sdn Bhd and its related companies under Section 25(1) Banking and Financial Institutions Act 1989 (BAFIA) and Section 4(1) of Anti-Money Laundering and Anti-Terrorism Financing Act 2001 (AMLATFA). Section 25(1) of BAFIA 1989 prohibits any person from receiving, taking, or accepting deposits without having a valid license, whereas Section 4(1) of AMLATFA 2001 prohibits any person from engaging in, or attempting to engage in, or abetting the commission of money laundering activities.

The raid on Asia Ceramic Marketing Sdn Bhd and its related companies was conducted at the premise of the company in Kuala Lumpur following complaints received from members of the public. Relevant assets and documents of the company were seized for the purpose of investigation.

Members of the public are reminded to be cautious of deposit taking schemes and investment schemes offered through various channels such as the internet, phone calls, or seminars conducted by individuals or companies that are not licensed or approved by the relevant authorities.

Members of the public may refer to the list of licensed institutions authorized to accept deposits which is available on Bank Negara Malaysia's website ( www.bnm.gov.my ).

For further enquiries, members of the public can contact Bank Negara Malaysia at the following contact points:

BNMTELELINK (Customer Service Call Centre)
Tel: 1-300-88-5465
Fax: 03-21741515
Email: bnmtelelink@bnm.gov.my

BNMLINK (Customer Service Walk-In-Centre)
Block D, Bank Negara Malaysia ,
Jalan Dato' Onn, 50480, Kuala Lumpur
(Business hours: Monday-Friday, 9.00 am - 5.00 pm)



Bank Negara Malaysia
23 July 2009

http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=8&pg=14&ac=1880

Penumpang pesawat sanggup berdiri

by
Kebanyakan penumpang kapal terbang bersedia berdiri ketika dalam penerbangan jika mereka diberikan tambang secara percuma, menurut hasil kajian syarikat penerbangan Ireland, Ryanair.

Lebih 80,000 penumpang atau 66 peratus daripada mereka yang menjawab kajian Ryanair mengakui tidak kisah untuk berdiri sepanjang penerbangan selama satu jam, manakala 34 peratus sebaliknya kerana mahukan tempat duduk.

"Daripada 120,000 penumpang yang ditanya seramai 80,000 berkata mereka akan berdiri dalam penerbangan dan Ryanair akan terus memulakan konsep 'tambang berdiri percuma' dengan penerbangan Boeing dan pihak berkuasa penerbangan lain di Amerika Syarikat serta Kesatuan Eropah," kata ketua komunikasi Ryanair, Stephen McNamara.

Menerusi rancangan itu, penumpang akan bersandar pada satu bangku atau palang dan memakai tali pinggang ketika berlepas dan mendarat. Penumpang masih perlu membayar cukai dan caj dikenakan kerajaan atau pengendali lapangan terbang.

- AFP

Pengguna Islam lupakan saja koleksi Bone China

by
Tiba-tiba perkataan Bone China yang menjadi pengenalan pinggan mangkuk mengandungi serbuk tulang binatang, terutama tulang babi menjadi perbualan umum apabila pengguna Islam kini ragu-ragu terhadap peralatan itu.

Kenyataan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) supaya pengguna berhati-hati membeli pinggan mangkuk tertulis cap dagang itu, mengundang tindak balas yang mahu pihak berkuasa menangani isu dibangkitkan. Pegawai Penyelidik CAP, Hatijah Hashim, berkata orang ramai boleh mengenali perkakasan mengandungi tulang haiwan kerana kebanyakannya tercatat Bone China di belakangnya, iaitu istilah komersial pinggan mangkuk yang mengandungi tulang haiwan.

Katanya, perkakasan mengandungi tulang haiwan ditumbuk halus yang dicampurkan bahan asas untuk menjadikannya berkilat itu biasanya diimport dari Jepun dan United Kingdom (UK) dan harganya mencecah RM8,000 satu set.

Reaksi daripada pendedahan itu, orang ramai mula mengadu dan kenyataan menteri serta mufti mengharamkan penggunaannya, menambah lagi kebimbangan pengguna Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata perkakasan itu diharamkan walaupun hanya menggunakan sedikit tulang babi, malah sehelai bulu babi pun dilarang.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahab pula berkata, pinggan mangkuk yang mempunyai campuran tulang babi adalah najis dan hukumnya haram seperti menyentuh anjing dan babi.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut, berkata peniaga Islam yang meneruskan jualan selepas terbukti produk itu mengandungi tulang babi juga berdosa. Persoalannya, mengapa pinggan mangkuk yang sudah lama di pasaran tiba-tiba mengundang resah dan perlukah orang Islam panik.

Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zainal Abidin Jaffar, menasihatkan umat Islam lebih peka membeli produk meragukan terutama selepas diberitahu mengenai perkara itu.

Katanya, pengguna perlu ringan mulut bertanya serta menggunakan kuasa pembeli supaya mendapat produk bermutu dan pada masa sama tidak rugi selepas itu.

“Jika tidak yakin, tanya jurujual atau sebelum beli lihat keterangan bahan produk. Jangan beli membuta tuli, nampak cantik terus beli. Tambahan apabila sudah ada pendedahan mengenai produk yang mengandungi bahan haram,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini pihaknya belum menerima aduan mengenai penjualan pinggan mangkuk mengandungi tulang babi, tetapi jika pemilik barang itu ingin membuat pensahihan, boleh merujuk Unit Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim.

Zainal berkata, tindakan hanya boleh diambil terhadap jurujual yang mendakwa pinggan mangkuk itu halal tetapi selepas diteliti, ternyata ia mengandungi tulang binatang yang haram.

Kata beliau, ada peminat barang yang berkualiti serta mempunyai kelebihan berbanding pinggan mangkuk porselin tanpa tulang binatang itu sudah mengetahui statusnya tetapi tetap mahu memilikinya.

“Sama juga dengan beg tangan dan kasut yang sudah diberitahu daripada kulit babi tetapi sebab minat serta hendak barang itu, mereka tetap membelinya,” katanya.

Beliau berkata, harga mahal boleh adalah cara pengguna meneliti produk kerana pasti ada keistimewaan menjadikan ia dijual dengan harga begitu tinggi. Ada juga pihak mahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bertindak tegas menghalang penjualan produk itu atau menetapkan peniaga meletakkan label untuk pengetahuan pengguna.

Berbalik kepada bidang kuasa, tanggungjawab tetap terletak kepada pengguna kerana mereka ada pilihan untuk membeli atau tidak. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan hanya boleh bertindak kepada isu membabitkan harga atau bekalan. Berdasarkan maklumat daripada laman web about.com, set Bone China sudah lama berada di pasaran dan ada yang dijadikan harta pusaka kerana kualiti serta harganya.

Pinggan mangkuk Bone China melalui beberapa peringkat proses pembuatan tetapi bahan yang membezakannya dengan pinggan mangkuk berkualiti halus lain ialah komponen serbuk tulang binatang yang dicampur ketika penghasilannya.

Walaupun barang Bone China nampak tahan lama, ia memerlukan penjagaan teliti dan tidak boleh dimasukkan ke dalam mesin pencuci atau ketuhar gelombang mikro.

- BERITA HARIAN

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90