Top Ad 728x90

Apa nasib kita 52 tahun lagi? Pandangan penulis

by
Malaysia menyambut hari kemerdekaan ke-52. Ia bermakna sudah 52 tahun kita mentadbir dan memerintah tanah air ini dengan cara kita sendiri.

Kita menempuh segala cabaran dengan tabah bersandarkan kekukuhan perpaduan pelbagai kaum yang selama ini dikagumi oleh dunia. Tetapi persoalannya apakah yang akan berlaku 52 tahun lagi? Apakah yang akan menjadi faktor penentu bagi memastikan kemerdekaan negara ini yang dicapai melalui titisan keringat, air mata dan darah berkekalan? Berikut kami paparkan pandangan tiga penulis dari tiga generasi berbeza mengenai perkara itu.

Lahir generasi berilmu - Oleh NIEZAM ABDULLAH
- Dalam melangkah ke era 50-tahun akan datang, kita seharusnya tidak lupa kepada sejarah silam bagaimana kemerdekaan dicapai hasil titisan darah dan air mata orang terdahulu.

Hari ini golongan belia semakin terhakis pengetahuan itu. Mereka lebih tertumpu kepada aspek hiburan. Pemikiran intelektual mereka didedahkan kepada faktor-faktor terhadap keseronokan semata-mata. Maka lahirlah belia yang ingin menjadi penyanyi dan pelakon, mahu mencari kekayaan di pentas Akademi Fantasia daripada mereka yang bercita-cita untuk bergelar saintis ataupun professional lain.

Seandainya perkara ini tidak diambil berat, 50 tahun akan datang lahirlah golongan belia yang ketandusan ilmu sehingga boleh menyumbang kepada kemusnahan bangsa dan negara.

Jika ia berlaku, kita akan mewarisi satu masyarakat baru yang hilang adab sopan, lebih malang akan lahirlah pemimpin atau golongan intelektual yang akan mencorakkan elemen itu di dalam sistem pendidikan sehingga boleh mengakibatkan pemikiran masyarakat Malaysia kembali dijajah. Dari sudut agama amat merisaukan apabila keruntuhan akhlak dan gejala sosial itu menjadi penyakit yang merebak dengan pantas ke dalam jiwa golongan muda-mudi. Apa akan jadi kepada masyarakat kita jika bilangan samseng jalanan, anak luar nikah dan bohsia itu bertambah?

Menyediakan pewaris - Oleh Zin Mahmud
- Generasi yang lahir dari tahun 1957 hingga 1963 adalah anak merdeka ketika Tanah Melayu belum menjadi Malaysia. Tempoh dari 1957 hingga 1963, Tanah Melayu sedang mengukuhkan diri sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat.

Tentu bagi generasi ini, mereka dibesarkan dengan suasana negara yang masih kuat dipengaruhi dan dikuasai oleh penjajah. Tentera British masih banyak. Darurat hanya berakhir tahun 1960. Walaupun merdeka, tahun-tahun itu kuasa penjajah masih kental. Tentera dan ekonomi kuat dipegang British. Dasar luar masih dipengaruhi kuat dari London. Lebih tepat Malaya ketika itu adalah dalam bentuk neo-kolonial.

Britain mahu memerdekakan Tanah Melayu dengan syarat kepentingan ekonominya tidak terjejas.

Justeru generasi yang lahir pada akhir 50-an dan awal 60-an membesar dalam keadaan negara yang belum benar-benar merdeka. Keadaan negara masih susah. Ibu bapa generasi ini menanggung penderitaan Darurat. Masih kelihatan kesusahan di merata-rata tempat.

Dalam suasana terancam, London menggesa penubuhan Malaysia merangkumi semua tanah jajahannya di Asia Tenggara. Keadaan tidak stabil terus berlaku. Pemberontakan Brunei membawa negara itu enggan menyertai Malaysia. Konfrontasi dilancarkan Indonesia ekoran penubuhan Malaysia, diikuti terkeluarnya Singapura pada tahun 1965. Hanya selepas peristiwa 13 Mei dengan pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pelajaran Kebangsaan, keadaan menjadi stabil dan mengukuh.

Kestabilan politik penentu - Oleh Zulkiflee Bakar
- DUA tahun lalu, kita menyambut Hari Kemerdekaan Ke-50. Ketika itu rakyat Malaysia begitu bangga kerana kononnya mereka merasai kebebasan sebenar-benarnya. Mereka bebas dalam semua perkara termasuklah dalam penyebaran maklumat tanpa sekatan. Internet digunakan sepenuhnya bagi melahirkan pandangan mereka.

Parti-parti politik pembangkang pula semakin lantang dan membangkitkan apa juga isu demi meraih sokongan politik. Akhirnya, pada tahun 2008, Malaysia menyambut kemerdekaan ke-51 dalam keadaan yang agak muram.

Kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan terlepas kekuasaan di beberapa buah negeri yang dialami oleh Barisan Nasional (BN) telah mengubah senario politik negara. Akibat kerapuhan itu, BN yang dilihat tonggak kestabilan politik negara tergugat. Kebebasan yang kononnya diberikan atas nama demokrasi akhirnya memakan diri.

Penulis membangkitkan soal kestabilan politik BN kerana parti itulah selama ini menjadi tonggak Malaysia terus mengecap kemerdekaan dan ketenteraman. Tiada siapapun yang dapat menafikan bahawa BN yang bertanggungjawab memerdekakan negara ini.

- UTUSAN

Discovery berjaya berlepas ke angkasa

by

Kapal angkasa Amerika Syarikat (AS), Discovery berlepas dari Pusat Angkasa Lepas Kennedy di sini malam tadi dalam misi ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).

Pelancaran itu berlaku mengikut jadual pada 11.59 malam tadi (11.59 pagi ini waktu Malaysia) dan Discovery memasuki orbit beberapa minit kemudian.

Kapal angkasa itu serta tujuh angkasawannya termasuk seorang warga Sweden dalam misi untuk menghantar bekalan ke ISS, antaranya kelengkapan untuk sebuah bilik tidur baru, sebuah alat senaman treadmill, sebuah peti sejuk beku, makanan dan keperluan lain.

Ia juga membawa anggota terbaru untuk pasukan ISS, angkasawan AS, Nicole Stott.

Stott akan mengambil alih tugas daripada jurutera dan rakan senegara, Tim Kopra yang berada di ISS sejak Julai lalu dan dijadual kembali ke Bumi bersama-sama Discovery.

Pelancaran tersebut tergendala sebanyak tiga kali. Percubaan pertama pada Selasa lalu dibatalkan pada saat-saat akhir apabila keadaan cuaca dianggap terlalu berbahaya, manakala dua percubaan berikutnya gagal disebabkan masalah injap hidrogen cecair.

Krew yang diketuai oleh Rick Sturckow itu menghantar 6.8 tan kargo ke ISS di dalam modul bernama Leonardo yang dibina oleh agensi angkasa lepas Itali.

Dua angkasawan daripada pasukan itu dijadual melakukan tiga operasi berjalan di ruang angkasa selama enam jam setengah setiap satu semasa misi 13 hari itu.

Antara tujuan utama operasi tersebut adalah untuk menggantikan sebuah tangki lama mengandungi ammonia cecair dengan tangki baru seberat 800 kilogram yang dibawa dari Bumi dengan Discovery. Bahan itu digunakan sebagai alat pendingin.

Angkasawan juga akan mendapatkan balik peralatan eksperimen dari luar ISS dan membawanya balik ke Bumi untuk diproses.

Misi tersebut adalah yang ke-128 bagi program kapal angkasa AS dan misi ke-30 ke ISS.

Apabila misi Discovery selesai nanti, cuma tinggal enam lagi penerbangan sebelum ketiga-tiga kapal angkasa Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) itu 'dibersarakan' pada September 2010.

- AFP

Menjaga keseimbangan puasa

by
Amalan berpuasa bukan hanya berkisar kepada sudut rohaniah, malahan didapati mempunyai kesan positif terhadap fizikal badan. Bukan setakat memberi peluang sistem penghadaman berehat, malahan membolehkan metabolisma badan menurun dan kembali seimbang dengan keperluan badan.

Namun, menahan diri daripada lapar dan dahaga lebih 13 jam sehari memerlukan kita menjaga keseimbangan tenaga badan dan aktiviti harian. Kerana itu juga, amalan bersahur dan tidak melengahkan waktu berbuka digalakkan, supaya keperluan nutrien dan tenaga badan tidak terjejas sepanjang berpuasa.

Air

Lebih 60 peratus (dua pertiga) struktur badan manusia dibina daripada air, elemen utama kehidupan. Berbanding nutrien lain yang diperlukan untuk tenaga badan, air merupakan satu keperluan asas yang diperlukan untuk badan terus berfungsi.

Kekurangan air badan (dehidrasi) boleh menjejaskan kesihatan dan juga mengancam nyawa bagi situasi kehilangan air berlaku secara berterusan (seperti muntah dan cirit-birit).

Untuk memastikan badan mempunyai bekalan air secukupnya sepanjang waktu berpuasa, kita perlu menilai keperluan badan berdasarkan aktiviti harian, kesihatan diri dan juga cuaca.

Mereka yang kurang sihat, banyak melakukan aktiviti fizikal (berjalan, berlari) atau meredah cuaca panas memerlukan lebih banyak air dari biasa. Amalkan bersahur supaya dapat minum air secukupnya sebelum mula berpuasa.

Dehidrasi juga boleh berlaku akibat pengambilan kafein dan ubat tertentu, masalah sistem penghadaman, banyak berpeluh dan juga kandungan gula di dalam darah yang tinggi (diabetes). Adalah lebih baik mengamalkan pengambilan air kosong berbanding minuman berkafein, serta mendapatkan nasihat doktor mengenai ubat yang mungkin memberi kesan kepada kandungan air badan.

Kekejangan

Antara kesan dehidrasi dan terlalu banyak aktiviti fizikal di siang hari adalah kekejangan otot. Kekejangan otot juga tidak terhad kepada otot kaki, malahan otot leher, belakang, perut dan sebagainya.

Kebiasaannya, kekejangan otot bukan sahaja akibat kekurangan air, tetapi juga melibatkan kekurangan oksigen, pengumpulan asid laktik serta kandungan sodium dan potasium darah yang rendah.

Kekejangan otot dapat dielakkan dengan pengambilan air serta garam galian yang cukup, terutamanya makanan yang tinggi dengan potasium. Bernafas dengan laju pula dikatakan dapat meredakan kekejangan akibat kurang oksigen dan pengumpulan asid laktik pada otot.

Urutan lembut, regangan serta menggunakan sesuatu yang suam atau sejuk juga mungkin dapat membantu. Haba dapat meningkatkan aliran darah permukaan, menjadikan otot lebih fleksibel dan mengurangkan rasa kejang.

Tekanan atau urutan kuat pada otot yang kejang pula hanya akan memburukkan lagi keadaan. Menggunakan sesuatu yang terlalu panas atau terlalu sejuk juga boleh membawa kepada kekejangan otot.

Asas yang ingin ditekankan di sini adalah pengambilan air secukupnya mengikut aktiviti fizikal, kesihatan badan dan cuaca. Elakkan berlakunya kekejangan mahupun mana-mana masalah kesihatan akibat kekurangan air atau nutrien keperluan badan.

Amalkan bersahur dan berhemah ketika berbuka. Jangan tidur dijadikan alasan tidak bersahur dan jangan puasa dijadikan alasan 'membalas dendam' ketika berbuka. Jagalah keseimbangan berpuasa, mengikut keperluan agama dan juga badan.

Selamat berpuasa dan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-52.

Nora Danish yang bertuah

by

Lembut sikap dan sifat namun dalam kelembutan itu ada kekuatan dan ketabahan yang tidak ternilai untuk terus mengharungi cabaran kehidupan. Masakan tidak, baru menginjak usia 27 tahun Mac lalu, kini di bahunya sudah terbeban satu tanggungjawab besar - sebagai seorang ibu tunggal.

Nora Mohd. Danish Hanif atau lebih dikenali dengan panggilan Nora Danish mengakui, lembut tutur kata dan sopan santun tingkahnya tidak pernah menjadikan dia seorang yang lemah.

Jauh sekali untuk berasa gentar meneruskan kehidupan sendirian selepas bercerai dengan Rizal Ashram Ramli, anak sulung bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib.

Malah saat sedih dan kecewa mengharungi perceraian, kedua-dua belah keluarga tanpa lelah dan lesu terus membantu memberi nasihat dan menaikkan semangat.

Keluarga mertua sehingga hari ini begitu prihatin dengan dirinya dan terus menyayangi Nora seperti anak mereka sendiri. Keluarganya sendiri begitu memberi sokongan dan amat mengambil berat perihal suka duka yang dilalui.

"Memang saya bertuah." Demikian kata Nora mengenai kehidupannya. Dan tambahnya, selain keluarga, teman-teman rapat juga banyak memberi semangat.

Nora juga tidak ketinggalan mengungkapkan rasa terima kasih kepada pihak media kerana memberinya ruang dan peluang untuk tidak diganggu selepas bercerai kerana mahu menumpukan perhatian kepada dirinya yang sedang hamil.

"Media bukan sahaja memahami keadaan tapi mereka juga menghormati permintaan saya dan tidak memberi tekanan," jelasnya.

Pun begitu, Nora sendiri merupakan seorang wanita muda yang amat optimis menjadikan dirinya kuat menghadapi segala dugaan.

Baginya zaman untuk bersedu sedan sudah berlalu. Kini baginya adalah zaman untuk bangkit semula.

"Saya tidak pernah sedih dengan kehidupan yang saya jalani hari ini. Malah saya bersyukur kerana ia semakin membahagiakan.

"Malah saya lebih mensyukuri nikmat yang saya perolehi kerana saya masih menjalinkan hubungan yang baik dengan keluarga mertua dan bekas suami dan bekas suami juga tetap menjalankan tanggungjawab (menjaga anak) dengan baik," jelasnya.

Malah menurut Nora, kelahiran anaknya, Putera Rayqal Ramli atau lebih mesra dengan panggilan Rayqal pada 7 Januari lalu membalut segala kesan-kesan luka di hati. Ya, Rayqal memulihkan kembali hati dan perasaan saya," katanya sambil melihat anaknya yang semakin keletah dan sudah pandai berjalan jatuh.

Menjadi seorang yang lebih tabah, pengalaman mendirikan rumah tangga dan melalui perceraian yang mendukacitakan memberi banyak hikmah dan pengajaran buat dirinya.

Tidak pernah berdendam malah kata Nora, pengalaman-pengalaman yang dilalui itu memberikan kematangan.

Untuk menjadi orang yang lebih baik, kata Nora. Dan Nora menjadikan ibunya, Sally Talib, juga seorang ibu tunggal yang kematian suami sebagai mentor dan pembakar semangatnya untuk terus berjuang dengan kehidupan.

- Sedia temui pengganti

Berkahwin dan bercerai, bahagia dan sengsara, sudah dirasai dan sebagai wanita yang matang dan positif terhadap kehidupannya, Nora memberitahu tidak pernah menutup pintu hatinya untuk berkahwin lagi.

Malah Nora tidak menolak andai ada lelaki yang mahu mencuri hatinya kerana bagi Nora, dia perlu memberi ruang dan peluang kepada dirinya untuk mengecapi bahagia bersama insan bernama lelaki.

Namun tegasnya, pengalaman silam akan dijadikan benteng untuk menempuhi kehidupan baru bersama pilihan hati. Pun begitu, Nora memberitahu, ketika ini hatinya masih belum terisi dan dia juga menegaskan tidak mahu terlalu cepat untuk mencari pengganti.

"Teman istimewa itu ramai dan mereka ini adalah teman-teman baik lelaki mahupun perempuan yang rapat dengan saya. Tetapi lelaki istimewa masih belum ada," katanya sambil ketawa.

Ini kerana tegas Nora, buat masa ini, dia mahu menumpukan sepenuh perhatian untuk membesarkan anak kesayangannya dan meningkatkan kerjaya dalam bidang seni yang diminatinya.

- Permata hati

Selepas hampir setahun menjalani kehidupan sendirian, Rayqal menjadi peneman yang sangat membahagiakan.

"Memang betul kata orang, ada hikmah pada setiap kejadian. Dan pada saat saya kecewa, Rayqal muncul dan mengubah segalanya. Dia hadir pada saat saya amat memerlukan teman."

Rayqal bukan sekadar peneman dan penghibur ibunya malah anak berusia tujuh bulan ini juga menjadi permata hati bapanya, Rizal Ashram serta buah hati pengarang jantung datuk dan neneknya, Ramli dan Puan Seri Raja Noora Ashikin Raja Abdullah serta Sally.

Sebagai cucu sulung dalam keluarga Rizal Ashram nyata Raqyal sangat bertuah kerana disayangi semua.

Malah seandainya Nora keluar menjalani penggambaran drama maka Rayqal akan dijaga sepenuh hati oleh keluarga mertuanya.

"Ya, dia seorang budak yang sangat bertuah. Ramai yang sayangkan dia," ujar Nora terharu.

- Ramadan ini

Sibuk menjalani penggambaran sepanjang Ramadan ini, Nora mengakui seronok berada di lokasi.

Sudah lama merindui dunia lakonan sejak 'menyepikan diri' semasa hamil dan selepas bersalin, kini adalah waktu untuk 'balas dendam'.

Pun begitu, sesibuk manapun dirinya dengan kerja, Nora memastikan setiap masa terluang bersama anaknya.

Kerana itu juga, dia kurang menerima tawaran berlakon ke luar kota kerana tidak mahu berenggang dengan Rayqal.

"Semasa Ramadan ini juga saya selalu sibuk tapi memang jika ada masa terluang saya akan bersama Rayqal di rumah.

"Buat masa ini memang saya tidak membawa Rayqal keluar sangat kerana khuatir dengan Influenza A HINI.

"Jadi selalunya saya akan duduk rumah bersamanya. Sebenarnya selepas enam hari berpuasa, baru hari ini saya dapat berbuka dengannya," kata Nora yang kini sibuk menjalani penggambaran drama Sumpah Bunian di ibu kota.

Akan selesai penggambaran 11 September nanti, Nora juga memberitahu persiapan raya hanya akan disediakan selepas itu.

Namun kata Nora, baju Melayu Rayqal sudah disiapkan dari awal. Cuma tinggal untuk menyediakan baju untuk diri sendiri dan biskut raya.

Menyambut Syawal bersama keluarganya di Kuala Lumpur, Nora juga menyatakan rasa bahagia kerana dapat meraikan bersama buah hatinya buat pertama kali.

- UTUSAN

Semua negeri dapat layanan adil RMK10

by
Semua negeri akan mendapat layanan adil dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang akan bermula pada 2011, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau juga yakin Kerajaan Pusat akan mencari kaedah yang berkesan terutama dari segi pembahagian peruntukan RMK-10 yang berlandaskan model ekonomi baru.

Menurutnya, bagi memastikan semua yang dirancang tercapai dengan jayanya, kerajaan kini dalam proses membentuk RMK-10 lebih awal daripada pelan rancangan Malaysia sebelum ini.

''Pada kebiasaannya, kita mula merancang pelan rancangan Malaysia pada tahun sebelum ia bermula namun tahun ini kita mula lebih awal kerana mahu memberikan masa untuk mendapat maklumat yang lebih daripada semua pihak.

''Bagi RMK-10 akan mula pada Januari 2011 ini, kita telah pun sudah mula membentuk dan merancang pelan berkenaan pada pertengahan 2009 yang kini prosesnya masih berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Penyelarasan Pelaksanaan Projek Pembangunan Persekutuan Negeri Pulau Pinang di Menara Boustead di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan Ekonomi, Tan Sri Khalid Ramli.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perancangan untuk RMK-10 dan RMK-11 juga dilihat amat penting kerana ia juga perlu memastikan matlamat tarikh keramat Wawasan 2020 iaitu menjadi negara maju tercapai.

''Atas faktor itu, perancangan perlu dibuat awal untuk memastikan antara lain tahap pendapatan perkapita rakyat kini meningkat daripada AS$7,000 setahun kepada AS$12,000 setahun.

''Kini kita berada pada tahap yang begitu tinggi dengan pendapatan per kapita AS$7,000 tetapi kita perlu mencapai lebih daripada itu kerana sasaran kita adalah menjadi negara maju menjelang 2020," jelasnya.

Bagi Pulau Pinang pula, katanya, adalah amat perlu bagi kerajaan mewujudkan industri yang lebih sofistikated dan pada masa sama tidak lagi bergantung kepada industri pembuatan sebagai pemangkin ekonominya.

- UTUSAN

Cabaran rakyat Malaysia baik pulih 'jambatan'

by
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata cabaran terbesar rakyat Malaysia hari ini ialah untuk membaik pulih jambatan yang sedia ada di samping meruntuhkan tembok-tembok pemisah yang wujud di antara rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Perdana Menteri berkata masa yang berlalu telah menyaksikan jambatan yang dibina oleh pejuang-pejuang terdahulu dengan segala susah payah telah mula digoyahkan oleh golongan tertentu yang menurutnya cuba menangguk di air keruh.

Katanya golongan ini telah mengeksploitasikan garis-garis gelinciran yang wujud dalam masyarakat berbilang kaum, sama ada ia bersifat politik, agama mahupun sosial demi memuaskan agenda sempit mereka.

Apa yang penting, kata Najib, rakyat perlu terus mengurus kejayaan dan membina di atas apa yang ada dengan membajai dan menyuburkan kerukunan yang terpupuk selama ini.

“Beringatlah, apa yang ada tidak semestinya akan bertambah baik malahan akan musnah jika rakyat tidak berwaspada.

“Buktinya, lipatan sejarah dunia yang sarat dengan catatan bahawa kejayaan yang tidak diurus dengan baik akan berakhir dengan kegagalan,” katanya dalam perutusan Hari Kemerdekaan ke-52 yang disiarkan malam ini.

Najib turut berpesan kepada semua terutamanya generasi muda bahawa nikmat yang sedang dikecapi hari ini tidak terhasil begitu sahaja tanpa perancangan yang rapi, pelaksanaan yang cekap dan pengorbanan yang tinggi.

“Nyatanya, kejayaan dan kemakmuran Malaysia sepanjang ini tumbuh dan berkembang hasil sumbangan serta dokongan semua kaum, semua penganut kepercayaan, semua lapisan masyarakat, di desa mahupun di kota, yang berada mahupun tidak, tua atau muda,” katanya.

Najib berkata setiap seorang daripada rakyat negara ini mempunyai peluang yang terbentang di bawah langit Malaysia dan yang membataskan pencapaian masing-masing hanyalah kemahuan untuk berjaya, kesanggupan bekerja keras dan keberanian mengambil risiko.

Menyingkap kembali sejarah selepas merdeka, Najib berkata dengan pengalaman sendiri begitu singkat dan berlatarbelakangkan pemberontakan komunis yang belum reda, kewujudan ketidakseimbangan sosioekonomi yang meluas dan ditambah dengan sifat majmuk negara baru, maka banyak pihak pada ketika itu telah meramalkan bahawa Malaysia ibarat retak menanti belah dan tidak mungkin berjaya.

Namun, katanya, negara membuktikan bahawa ramalan itu adalah meleset sama sekali kerana dalam tempoh lima dekad merdeka, Malaysia telah berjaya muncul sebagai negara membangun yang termaju.

Malah, katanya, Malaysia menjadi negara pertama di dunia berjaya mengalahkan pemberontakan komunis di samping berjaya mewujudkan keadilan sosial dengan rasa kehakmilikan saksama, hanya dalam tempoh masa amat singkat, yakni dua generasi sahaja.

Menurut Perdana Menteri, formula rahsia yang telah mendasari kejayaan ini adalah tidak lain dan tidak bukan, faktor perpaduan di antara rakyat berbilang kaum dan kepercayaan yang berteraskan kepada falsafah meraikan kemajmukan yang wujud sebagai sumber kekuatan, “bukannya perkara titik bengik yang menyebabkan perpecahan”.

Najib berkata sepanjang lebih 50 tahun ini, rakyat dan negara menempuhi pelbagai peristiwa, suka mahupun duka, tetapi semuanya dilalui dengan jayanya.

“Bertitik tolak dari kepahitan mengharungi ganasnya Bintang Tiga, keperluan monumental mengisi kemerdekaan bitara yang dicapai tanpa pertumpahan darah, kepincangan sosioekonomi, keretakan hubungan kaum tanggal 13 Mei 1969, kemelesetan ekonomi 80an dan krisis kewangan Asia hujung 90an. Semuanya telah kita tempuhi dan semuanya telah kita redahi dengan jaya,” katanya.

Namun, beliau mengingatkan bahawa rakyat tidak mampu bernostalgia dengan kejayaan lampau tanpa berusaha mencipta kejayaan-kejayaan baru.

Lantaran itu, katanya, untuk menentukan hari esok yang lebih baik dari hari ini, pentadbirannya telah memperkenalkan dasar-dasar yang lebih ampuh dan mampu menjulang Malaysia menjadi sebuah negara maju.

Antaranya konsep 1Malaysia sebagai dasar yang mempaksikan matlamat kerajaan.

“Kita tidak berhenti setakat penyataan hasrat sebaliknya kita telah mengadakan prakarsa-prakarsa yang konkrit. Bermula dengan usaha merevolusi sistem penyampaian sektor awam, mengangkat agenda kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan perdana membawa kepada usaha merangsang ekonomi negara agar kemakmuran akan terus merahmati rakyat dan negara,” katanya.

Dalam perutusannya, Perdana Menteri turut menyeru rakyat agar menyuburkan semangat patriotisme yang membara dengan mendedikasikan usaha tanpa berbelah bahagi atas nama 1Malaysia.

Hari Kebangsaan kali ke-52 yang jatuh esok disambut dengan tema 1Malaysia Rakyat Didahlukan Pencapaian Diutamakan.

Beliau turut mengajak rakyat agar merealisasikan masa depan yang lebih sejahtera dan makmur untuk semua rakyat Malaysia.

“Marilah pastikan panji keramat Jalur Gemilang berkibar megah di persada antarabangsa. Sama-samalah berdoa agar perjalanan mulia ini terus diberkati dan diberi petunjuk-Nya jua,” katanya.

- BERNAMA

EPL jana pendapatan lebih RM5.64b

by
Pendapatan yang dijana oleh Liga Perdana England melebihi 1 bilion pound (RM5.64 bilion) buat kali pertama musim lalu.

Dengan Manchester United memenangi gelaran ketiga berturut-turut, perolehan mencapai 1.005 bilion pound (RM5.78 bilion) mengatasi 951.6 juta pound (RM5.47 bilion) yang meningkat dalam kempen 2007-08.

Dua puluh kelab persaingan tertinggi ini membahagikan 790 juta pound (RM4.55 bilion) dengan 51.5 juta pound (RM296 juta) milik United membiayai pecahan terbesar pendapatan itu, menurut akaun yang dikeluarkan kelmarin.

Separuh pendapatan TV itu dibahagikan saksama, suku dibayar berdasarkan kedudukan liga terakhir dan bakinya atas sekerap mana perlawanan kelab itu disiarkan secara langsung.

Bahkan Middlesbrough yang diturunkan bahagian, menerima 30.9 juta pound (RM177.87 juta) sebagai kelab yang beroleh pendapatan terendah kerana hak TV dirundingkan oleh liga tidak seperti di Sepanyol atau Itali.

- AP

Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin mercu tanda Putrajaya yang baru

by

Umat Islam yang bekerja dan tinggal di sekitar Putrajaya kini boleh mengerjakan ibadah di masjid baru Presint 3 Putrajaya yang memaparkan seni bina yang unik kerana lebih 70 peratus daripada binaannya menggunakan keluli.

Masjid tersebut yang dinamakan sempena nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pastinya akan menjadi satu lagi mercu tanda baru di Putrajaya apabila dibuka secara rasmi September ini.

Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin sebelum ini digelar sebagai Majid Besi kerana pembinaanya melibatkan pengunaan sebanyak 6,000 tan keluli yang mewakili 70 peratus daripada sturuktur keseluruhan bangunan tersebut dan selebihnya adalah konkrit.

Pembinaan masjid tersebut adalah gabungan konsep seni bina traditional Islam dan kontemporari.

Dalam satu majlis simbolik khamis lepas, masjid tersebut diserahkan kepada Pengarah Jabatan Agama Islam (JAKIM), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz oleh Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Samsudin Osman.

Majlis tersebut dilangsungkan di dewan utama masjid tersebut.

Samsudin berkata, pembinaan masjid yang menelan belanja RM208 juta itu siap seperti yang dijadualkan dan boleh memuatkan seramai 20,000 orang jemaah.

"Kami selalu ditanya kenapa perlu dibuat satu lagi masjid baru sedangkan Masjid Putra di Presint 1 sudah cukup besar.

"Ini kerana kami menjangkakan populasi di Core Island akan meningkat kepada 28,000 orang, oleh sebab itulah Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dibina iaitu untuk menampung jumlah penduduk yang meningkat," katanya.

Menurut Wan Mohd, tahun lepas sahaja seramai 565,408 pelancong telah datang melawat Masjid Putra.

"Masjid ini memang menabjubkan dan mempunyai banyak kelebihan.

"Selain boleh menampung jumlah jemaah yang ramai, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin juga boleh menjadi daya tarikan pelancong.

"Atas sebab itu saya menggesa pihak pengurusan masjid agar tidak terlalu menyekat akses orang bukan islam di kawasan masjid ini.

"Memang benar ada tempat yang orang bukan islam tidak dibenarkan masuk tetapi ada masanya kita perlulah lebih bijak dan bersifat terbuka supaya kita boleh menerangkan kepada mereka (pelancong) mengenai keindahan Islam dan juga menjawab persoalan mereka mengenai senibina Islam,' ujar beliau.

Perbelanjaan untuk pembinaan masjid tersebut merupakan peruntukkan dibawah Rancangan Malaysia ke-8 dan ia dikendalikan oleh KLCC Projek Bhd.

Dewan solat utama dihiasi dengan dinding Mihrab yang diperbuat daripada panel kaca setinggi kira-kira 13 meter yang terukir 2 baris ayat dari Surah Al-Baqarah pada bahagian kanan dan Surah Ibrahim di sebelah kiri.

Ukiran tersebut menggunakan tulisan kaligrafi dari jenis Khat Thuluth.

Apa yang menarik ialah, dinding Mihrab ini tidak memantulkan kesan dari pancaran cahaya dan ini menjadikan kaligrafi ayat suci berkenaan jelas kelihatan seolah-olah terapung di udara.

Sahn merupakan kawasan solat di luar ruang solat utama dan menempatkan ruang solat terbuka serta padang.

Untuk sampai ke Sahn, jemaah perlu melalui laluan gerbang utama yang dikenali sebagai Iwan Utama yang dilatari ukiran Asma Ul Husna.

Kelak perjalanan menuju ke masjid ini akan melalui sebuah jejantas yang menghubungkan Istana Kehakiman dan Dataran Putrajaya yang dikenali sebagai Kiblat Walk.

Jejantas tersebut akan menghadap ke arah kiblat dan dihiasi dengan kolam air seolah-olah berada di kawasan kota istana purba Alhambra di Sepanyol.

Antara kemudahan yang terdapat di masjid ini ialah ruang solat termasuk dewan utama, dewan terbuka dan dewan solat muslimat, bilik pameran, dapur, tiga unit kuaters dua tingkat tiga bilik untuk kakitangan masjid, bilik orang kenamaan, bilik penyelenggaraan, bilik jenazah, bilik kawalan audio visual dan ruang letak kereta bawah tanah.

- MSTAR

H1N1: Penumpang bas diwajib dedah status kesihatan

by
Bagi mengelakkan penumpang bas ekspres terdedah kepada risiko jangkitan Influenza A (H1N1), pengusaha bas diwajibkan
membuat pengumuman meminta semua penumpang isytiharkan tahap kesihatan mereka sebelum memulakan perjalanan.

Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA) Datuk Mohamad Ashfar Mohamad Ali berkata, arahan tersebut bagi membolehkan pengusaha bas mengenal pasti penumpang yang mempunyai simptom H1N1 supaya dapat diasingkan kedudukan mereka daripada penumpang-penumpang lain serta diberikan penutup hidung dan mulut.

Bercakap kepada Bernama ketika dihubungi hari ini, beliau berkata, bagi penumpang yang disahkan menghidapi H1N1, mereka tidak akan dibenarkan turut serta dalam perjalanan tersebut.

Arahan itu selari dengan hasrat kerajaan yang mahu penglibatan semua pihak dalam menangani merebak virus H1N1 yang kini telah mengorbankan 71 orang.

Mohamad Ashfar berkata, sempena sambutan Hari Raya yang bakal tiba, PMBOA berpendapat arahan itu juga mampu mengurangkan ketakutan orang ramai terhadap risiko kesihatan mereka ketika menggunakan perkhidmatan bas ekspress untuk pulang berhari raya.

Beliau berkata, bagi mengelakkan pandemik tersebut menghantui penumpang, persatuan juga mengarahkan semua tandas di stesen-stesen bas dijaga tahap kebersihannya selain perlu menyediakan tisu dengan secukupnya.

Katanya, pemilik bas juga diwajibkan membersihkan bahagian-bahagian utama di dalam bas yang sering dipegang penumpang seperti besi pemegang pintu, handle untuk mengubah kedudukan kerusi, pintu dan cermin dicuci dengan bahan nyahkuman bagi menghalang virus daripada melekat dan merebak kepada penumpang lain.

Mohamad Ashfar berkata, bagi memastikan udara yang sihat dan menghalang virus daripada membiak, pihaknya juga mengarahkan pemilik bas supaya sentiasa memastikan sistem pendingin hawa di dalam bas diselenggara mengikut jadual.

"Mereka (pengusaha bas ekspres) perlu pastikan aircond sentiasa diselenggara supaya pengaliran udara yang sihat dan bebas daripada kekotoran," katanya.

- BERNAMA

Wajah bangsa Malaysia

by
Setiap tahun menjelang bulan kemerdekaan, banyak program berunsur patriotik diterbitkan khas bagi menyemarakkan semangat cinta negara. Melihat semua program-program itu, banyak antaranya mengutarakan isu, intipati dan pengolahan sama yang mungkin sudah klise kepada penonton.

Malah mungkin disebabkan itu, program-program yang sarat dengan mesej itu kurang dihargai audiens. Bagi menonjolkan kelainan, saluran Discovery Networks Asia-Pacific dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) serta Kementerian Komunikasi, Penerangan, Kesenian dan Kebudayaan menghasilkan empat dokumentari khas sempena sambutan kemerdekaan ke-52 ini.

Menariknya keempat-empat dokumentari sepanjang 30 minit itu tidak menyentuh sebarang sentimen kemerdekaan tetapi memaparkan empat kisah mengenai masyarakat Malaysia yang jarang dilihat di kaca televisyen.

Bagi lebih mendekati hati audiens, dokumentari-dokumentari itu dihasilkan oleh rata-rata pembikin filem yang bukannya dari arus komersial.

"Kisah-kisah yang dipaparkan menekankan sudut individu, lokasi, peristiwa yang mampu memberikan inspirasi. Kami mahu membuka ruang cerita berlainan dengan memaparkan kisah-kisah masyarakat yang lebih bersifat realisitik.

"Bukan sahaja menyelitkan kisah hidup, banyak informasi turut dipaparkan selain daripada menonjolkan keunikan Malaysia," kata Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim pada majlis pelancaran Eye On Malaysia baru-baru ini.

Kerjasama kedua itu yang diteruskan selepas kejayaan First Time Filmmakers Malaysia (FTFM) yang dilancarkan pada tahun 2006. Gandingan itu bukan sahaja mampu menyajikan produk bertaraf dunia kepada audiens tempatan bahkan memberi banyak faedah kepada pembikin filem Malaysia.

"Menerusi kerjasama itu, karyawan tempatan berpeluang untuk menimba pengalaman, pendedahan dan tunjuk ajar dalam mencapai standard dokumentari antarabangsa. Ditambah dengan negara kita yang kaya dengan pelbagai kisah menarik, ia adalah salah satu platform memperkenalkan Malaysia," kata Pengerusi Finas, Datuk Wong Kam Hoong yang turut memeriahkan majlis.

Eye On Malaysia merangkumi dokumentari The Joss Stick Maker, Honey Hunters, The Seasmiths dan Wind Chucker. Apa yang mengujakan, dokumentari-dokumentari itu akan disaksikan oleh penonton luar termasuk India, Korea, Jepun, New Zealand dan Australia.

"Sejak saluran Discovery boleh ditonton oleh rakyat Malaysia, kami telah menawarkan pintu dunia kepada anda. Kini adalah peluang bagi penonton dunia mendalami Malaysia. Jika diberi kesempatan, ia mungkin akan disiarkan di 175 buah negara yang mempunyai siaran saluran Discovery," kata Timbalan Presiden & Pengarah Urusan Discovery Networks Asia Pacific, Tom Keaveny ketika ditemui selepas pelancaran Eye On Malaysia.

Memilih tarikh 29 Ogos untuk menayangkan keempat-empat dokumentari dari pukul 6 petang bagi meraikan Hari Merdeka, keempat-empat cerita yang dibikin dipilih daripada 60 penyertaan. Selepas pemilihan, mereka menghadiri bengkel Discovery supaya produk yang dihasilkan menepati piawaian saluran itu.

"Setelah melihat hasilnya, saya amat berpuas hati. Malaysia sebenarnya mempunyai ramai bakat dan cerita yang boleh disampaikan. Namun, penghasilan dokumentari tidak boleh dilakukan dalam jangkamasa singkat. Daripada penyelidikan, rakaman dan pasca-produksi, semuanya tidak boleh dilakukan dengan tergesa-gesa. Maka, mereka berempat telah menggunakan masa lebih kurang lapan bulan," jelas Tom.

Sebuah dokumentari yang berkualiti turut memerlukan bajet tinggi. Maka, sebanyak RM150,000 hingga RM180,000 diperlukan untuk sebuah dokumentari. Tapi apabila melihat hasilnya, bajet yang digunakan adalah berbaloi.

- KOSMO!

Sarang peluru

by

Puluhan serpihan peluru masih tertanam di tubuhnya sejak 31 tahun lalu, tetapi seorang pesara polis masih hidup hingga kini.

Malah, peluru terbabit kini sudah sebati dengan darah daging Zakaria Sabtu, 62.

Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu berkata, serpihan peluru berkenaan berterabur menusuk tubuhnya termasuk di dada dan rusuk lengan kiri ketika berbalas tembak dengan ketua lanun ganas digelar Raja Laut di Pulau Sangga Kecil di perairan Perak pada 1 Mei 1978.

Zakaria berkata, kejadian berkenaan masih terpahat di hatinya hingga kini.

“Detik mencemaskan itu berlaku ketika operasi beberapa anggota UTK menyerbu sarang persembunyian Raja Laut atau nama sebenarnya, Tan Kuan Seah.

“Pada hari ke-10 operasi, berlaku kejadian berbalas tembak antara saya dan ketua penjenayah terbabit yang didakwa memiliki ilmu ghaib pada jarak kurang dari tiga meter.

“Ketika detik cemas itu, raifal Sniper HK-G3 yang saya gunakan saya selama tiga tahun tiba-tiba tidak meletup kerana kelongsong peluru tersangkut menyebabkan Raja Laut yang menggunakan senjata M16 melepaskan tembakan pada saya hingga dia kehabisan peluru,” katanya.

Zakaria yang menamatkan perkhidmatannya di Ibu Pejabat Daerah Johor Bahru Timur berkata, misteri peluru yang berkecai menjadi serpihan dan masih tertanam dalam tubuhnya terus menghantuinya hingga kini berikutan menimbulkan pelbagai kesulitan.

“Doktor berjaya mengeluarkan beberapa butir peluru di leher dan anggota badan lain dalam tiga pembedahan.

“Bagaimanapun, puluhan serpihan peluru yang berkecai itu masih tidak dapat dikeluarkan hingga kini,” katanya.

Menurutnya, beberapa doktor yang ditemui bagi mendapatkan rawatan juga menasihatinya supaya membiarkan peluru itu dalam tubuhnya.

Akibatnya, keadaan kesihatannya kerap terjejas terutama badan terasa sengal jika hujan dan cuaca sejuk.

“Jika serpihan peluru itu dikeluarkan, doktor khuatir saya terdedah pada jangkitan kuman yang boleh mengakibatkan komplikasi lain.

“Malah, ada doktor menyatakan walaupun serpihan peluru itu mengandungi timah, ia sudah sebati dengan badan saya.

“Keadaan ini membimbangkan saya yang mempunyai tiga cahaya mata termasuk seorang masih berusia enam tahun dan perlu menyara isteri dengan pencen RM1,200 sebulan,” katanya yang pernah dikurniakan Pingat Pangkuan Negara (PPN).

Zakaria berkata, akibat kejadian itu, dia turut mengalami masalah pendengaran.

“Biarpun ada pihak mempertikaikan kerosakan senjata saya, namun pertempuran itu dianggap sebagai ‘merdeka’ bagi penduduk di perairan Perak.

“Ia berikutan mereka kini hidup aman selepas bebas daripada cengkaman ketua lanun itu walaupun Raja Laut berjaya meloloskan diri hingga kini,” katanya yang pernah menerima sumbangan daripada Tabung Pertahanan Negara RM2,000.

- HARIAN METRO

Jual produk London di Internet

by

Bagi yang menyukai barangan luar negara dan berjenama tetapi item itu tidak mempunyai premis di Malaysia, kini tidak perlu mengeluarkan belanja yang besar untuk mendapatkannya.

Jika tidak, anda harus membeli tiket kapalterbang dan menempah hotel, belum masuk kos lain semasa berada di satu-satu negara itu.

Kini, dengan hanya duduk di rumah dalam suasana nyaman dan selesa, berhadapan dengan komputer dan melayari laman web, anda boleh membuat pelbagai pilihan item yang mana idaman hati.

Jenama Hackett Polos, Cath Kidston, Monsoon, Accessorize, Primark, Matthew Williamson dan ASOS yang hanya terdapat di London selain jenama lain seperti Furla, Mulberry, Tod's, Celine dan Anya Hindmarch ditawarkan di dalam online, lengkap dengan harga dan cara untuk membuat pesanan.

Membeli belah di alam siber ini adalah idea dua orang surirumah yang menetap di London kerana mengikuti suami masing-masing yang bekerja di bandar raya metropolitan itu. Daripada tiada aktiviti yang hendak dibuat selain gemar membeli belah dan menguruskan rumahtangga dan anak-anak, mereka mengambil keputusan untuk merebut peluang yang ada untuk berniaga di samping memberi pendapatan tambahan.

Shireen Salleh dan Zalifah Zakaria, masing-masing 33 tahun mendapat idea apabila sering diminta untuk membeli pelbagai jenis item yang terdapat di London apabila mereka pulang ke Malaysia oleh sanak saudara dan rakan-rakan.

''Melihatkan pesanan barangan tersebut semakin bertambah setiap kali kami balik ke Kuala Lumpur, bahkan ada yang meminta kami mengeposnya, maka kami mendapat idea, untuk membuka laman web bagi menjual barang-barang tersebut melalui Internet,'' kata Shireen ketika ditemui di Taman Tun Dr. Ismail ketika pulang bercuti baru-baru ini.

Menurut Shireen, langkah pertama yang dilakukan ialah dengan membuka blog dan dengan bermodalkan RM3,000 seorang, mereka berdua telah pergi ke pusat membeli belah Matthew Williamson for HMM membeli 20 item seperti beg tangan, pakaian wanita, aksesori dan kasut bagi diiklankan di dalam blog.

''Satu kejutan berlaku, cuma beberapa hari sahaja, item yang diiklankan hampir habis dijual. Ini membuatkan kami berasa seronok dan sekali gus menaikkan semangat untuk terus meniaga secara siber.

''Maklum balas yang diterima daripada pelanggan juga sedikit sebanyak memberi keyakinan kepada kami untuk terus menawarkan item yang berkualiti, berjenama, eksklusif dan mempunyai nilai wang dan yang penting hanya yang asli sahaja. Dari situ, sedikit demi sedikit, kami menambahkan item seperti pakaian kanak-kanak Monsoon, baju lelaki Hackett Polos, beg membeli belah Cath Kidston, Anya Hindmarch, Tod's, kasut Jimmy Choo dan aksesori.

''Bahkan harga dan caj yang dikenakan turut berpatutan malah ada harga item yang lebih murah daripada yang boleh diperoleh di Malaysia,'' ujar isteri kepada kakitangan Shell yang berpangkalan di London.

Sementara itu, bekas perunding amanah saham dan isteri kepada kakitangan Hess Oil, Zalifah memberitahu, bagi pelanggan yang ingin memesan item yang diiklankan, cukup mudah, hanya layari shopandsleep.blogspot.com atau e-mel ke fashies@googlemail.com dan isikan borang pesanan bagi menempah item yang ingin dibeli.

''Untuk pesanan khas iaitu item yang tidak ada dalam blog, berikan model dan keterangan mengenai item. Kami akan mencarinya dan menghantar sebut harga secepat mungkin termasuk caj yang dikenakan.

''Kami juga akan e-mel invois pembayaran yang boleh dibuat melalui kad kredit, Paypal atau butir-butir akaun nombor CIMB, Maybank atau UK (Llyods TSB/Natwest) untuk pemindahan tunai. Kami memerlukan sebahagian pembayaran untuk item yang berharga lebih RM500.

''Caj yang dikenakan termasuk kos item, bayaran pos, penghantaran dan insurans. Untuk pesanan khas, pelanggan diberi tiga hari untuk membayar 75 peratus daripada sebut harga. Jika tidak, pesanan itu terbatal. Sebanyak enam peratus yuran urusniaga akan dicaj untuk pembayaran melalui kredit kad atau PayPal,'' kata ibu kepada dua cahayamata.

Tambahnya, apabila pembayaran telah dijelaskan, pesanan akan dihantar. Pelanggan bakal menerima barangan dalam masa empat hingga enam minggu. Apabila item tiba di Malaysia, baki pembayaran barangan yang lebih RM500 perlu dibayar. Penghantaran ke Malaysia ialah dua minggu sekali.

''Nah, mudah dan tidak perlu berbelanja besar untuk ke London bagi mendapatkan produk idaman kalbu,'' kata Zalifah.

- UTUSAN

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90