Top Ad 728x90

Pulau Indonesia untuk dijual

by
Pulau Indonesia untuk dijual. Begitulah bunyi iklan dipasang pada laman web, privateislansonline baru-baru ini. Tiga buah pulau yang dimaksudkan itu adalah Pulau Makaroni, Pulau Siloinak dan Pulau Kandui yang semuanya terletak di Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat.

Penjualan tiga pulau itu diiklankan. Dalam iklan itu, pulau Makaroni seluas 14 hektar dijual dengan harga AS$4 juta, Pulau Silionak seluas 24 hektar dijual AS$1.6 juta dan Pulau Kandui seluas 26 hektar berharga AS$8 juta.

Iklan juga menampilkan peta Indonesia dan disertai foto keindahan pulau tersebut. Pulau Makaroni misalnya, selain memiliki air laut yang biru, beberapa banglo juga sudah dibina di sepanjang pinggir pantai pulau tersebut.

Pulau Silionak dan Pulau Kandui juga tidak kalah indahnya. Meski gambar kedua-dua pulau tersebut diambil dari kejauhan, tapi nampak keindahan yang terpancar dari dua pulau yang sama-sama terletak di Kepulauan Mentawai itu.

Menjual

Selain menjual pulau-pulau milik Indonesia, laman web privateislandsonline.com juga menjual beberapa pulau milik negara lain. Misalkan Pulau Rusukan Besar milik Malaysia yang dijual seharga AS$5 juta, Pulau Rangyai di Thailand yang dijual seharga AS$ 160 juta dan dua pulau lagi yang terletak di negara Bahama dan Tahiti.

Selain pulau untuk dijual laman web berkenaan juga mengiklankan pulau-pulau dari seluruh dunia yang mahu disewa.

Penjualan pulau melalui Internet sendiri bukan perkara baru. Di Indonesia pada 2007 lalu juga sempat heboh dengan dijualnya dua buah pulau iaitu Pulau Panjang dan Meriam Besar yang dijual oleh Karangasem Property melalui www.karangasemproperty.com.

Bagaimanapun setelah kekecohan itu pemilik syarikat hartanah dari Belanda itu menjelaskan bahawa pulau berkenaan bukan dijual tetapi disewakan.

Gabenor Sumatera Barat, Gamawan Fauzi berkata, Pulau Siloinak kini dimiliki oleh dan dijual oleh warga negara Perancis.

Walaupun terdapat undang-undang di Indonesia yang melarang warganegara asing memiliki tanah, tetapi penduduk tempatan sering digunakan oleh warganegara asing untuk membeli pulau-pulau tersebut dengan menggunakan nama mereka.

Gawaman bagaimanapun berkata, setakat ini beliau belum meluluskan sebarang pulau untuk dijual kepada warga asing. Beliau yakin pulau-pulau berkenaan mahu dibina resort dan perkara itu memang dibenarkan.

Mengikut data terdapat 185 buah pulau di sekitar perairan Sumatera Barat baik yang berpenghuni atau tidak.

Sebanyak 185 pulau tersebut 98 terdapat di Mentawai, 47 di Pessel, 18 di Kota Padang, 12 di Pasbar, empat di Kota Pariaman, tiga milik provinsi, dua di Agam dan sebuah di Padangpariaman.

Ironinya ketika negara itu sibuk mengenai isu perbatasan di lautan di Ambalat dengan Malaysia, perlahan-lahan warganegara asing telah lama menduduki dan memilik pulau-pulau milik negara berkenaan yang merupakan sebahagian daripada wilayah kedaulatan.

Ketika Malaysia dituduh menceroboh perairannya, tanpa mereka sedari bukan sahaja perairan, malah pulau milik negara berkenaan telah menjadi bahan jual beli yang lumayan di peringkat antarabangsa.

- MINGGUAN MALAYSIA

Media Barat dan Islamophobia

by
Oleh Hafizahril Hamid

Kebebasan media jika disalahgunakan mampu memberi kesan buruk jika tidak dikawal. Perkara ini sering berlaku di kalangan pengamal media Barat yang menggunakan alasan kebebasan media untuk kepentingan mereka namun hakikatnya mereka sering memihak walaupun nampak bebas di atas kertas.

Oleh itu perkara yang sering dimainkan oleh media Barat pastinya tentang keburukan agama Islam sehingga menimbulkan tanggapan buruk terhadap agama suci itu. Propaganda media Barat sehingga berjaya menerbitkan perasaan Islamophobia di kalangan rakyat mereka adalah antara agenda jahat mereka bagi mendedahkan keburukan berbanding nilai sebenar yang diperjuangkan dalam Islam.

Apatah lagi dengan wujudnya pelbagai medium berita dan komunikasi melalui internet seperti blog, Facebook dan sebagainya pemalsuan berita dan maklumat semakin menjadi tidak terkawal.

Itulah yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) yang ketika ini media mereka sedang hangat membicarakan isu seorang gadis remaja Islam berusia 17 tahun yang lari meninggalkan keluarganya untuk menjadi murtad dengan memeluk agama Kristian.

Remaja berkenaan Rifqa Muhamed Bary, yang berasal dari Sri Lanka kini telah mencetuskan konflik perebutan hak penjagaan di antara keluarganya dengan mubaligh Kristian yang bertanggungjawab memurtadkan remaja berkenaan. Malah mahkamah Florida telah mengarahkan remaja berkenaan untuk terus tinggal di sini untuk tempoh sementara waktu kerana bimbang akan keselamatannya. Apa yang menyedihkan ialah cara media negara itu memaparkan isu tersebut lebih mirip kepada memberikan tanggapan negatif bagi memburukkan Islam.

Keluarga ini berhijrah ke AS pada tahun 2000 untuk mendapatkan rawatan terbaik kepada Rifqa yang hampir kehilangan penglihatan sebelah kiri kerana terlibat dalam satu kemalangan di Sri Lanka.

Kisah ini bermula pada pertengahan Julai lepas apabila Rifqa melarikan diri dari rumah ibu bapanya di Ohio kerana dikatakan takut keluarganya membunuhnya kerana telah menukar agama pada awal tahun ini. Dia melarikan diri ke rumah seorang paderi, Blake Lorenz di Orlando, Florida yang mana mereka saling mengenali antara satu sama lain melalui rangkaian laman sosial, Facebook.

Seperti yang kita ketahui melalui Facebook memungkinkan kita berhubung dengan seseorang yang langsung tidak pernah ditemui sebelum itu. Dan itulah yang berlaku kepada Rifqa yang langsung tidak pernah menemui Lorenz yang telah menjadi paderi selama 25 tahun. Rifqa telah berhubung dengan Lorenz dan kenalan dari Kristian evangelikal sejak tahun lalu.

Namun pada satu malam dia telah menghubungi Lorenz dalam keadaan ketakutan kerana bapanya sangat marah kerana dia telah memeluk Kristian. Kemudian dilaporkan seseorang telah membeli tiket ke Orlando dan Rifqa sampai ke rumah Lorenz awal pagi 22 Julai. Hanya tiga minggu kemudian Lorenz melaporkan kepada keluarga Rifqa bahawa anak mereka berada bersamanya.

Namun masalah ini mula menjadi tidak terkawal setelah Rifqa membuat kenyataan di televisyen Orlando bahawa keluarganya begitu marah dengannya kerana menukar agama dan mengancam untuk membunuhnya.

Wawancara

Dalam wawancara dengan televisyen berkenaan Rifqa telah menyatakan bahawa bapanya yang juga peniaga barang kemas dan permata akan menghantarnya pulang ke Sri Lanka dan darahnya adalah halal untuk dibunuh mengikut Islam. Dia menambah bapanya berkata, "Jika benar engkau telah memeluk Kristian maka kau bukan anakku dan harus mati,". Rifqa mendakwa telah meraung sekuat hati dan berkata "Saya tetap mahu menukar agama secara bebas dan tidak mahu mati. "Dari 150 generasi keluarga saya tidak ada yang pernah memeluk Kristian dan saya adalah yang pertama, maka anda semua boleh membayangkan pembunuhan saya merupakan satu keperluan utama berasaskan kehendak Islam".

Namun bagi ibu bapa Rifqa mereka menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dilakukan oleh anak mereka dan segala tuduhan itu telah ditokok tambah bagi menunjukkan bahawa mereka bersalah.

Malah menurut bapanya anaknya tidak perlu bimbang untuk kembali tinggal di rumah kerana dia bebas untuk mengamalkan kepercayaan barunya itu. Mereka hanya mahu Rifqa kembali tinggal di rumah.

Ibunya Aysha turut menafikan segala tuduhan itu dan hakikat sebenar ialah mereka terlalu menyayanginya. Ibunya itu tidak kisah dengan agama barunya itu asalkan dia kembali pulang bersama keluarga.

Dalam memperkatakan tentang perkara ini, soal penukaran agama membabitkan Rifqa bukanlah soal pokok malah ia telah pun berlaku. Bagi negara seperti AS, perkara ini bukanlah isu yang sensitif untuk dibicarakan kerana terlalu ramai di kalangan rakyatnya sendiri yang tidak mempunyai sebarang pendirian dan komitmen terhadap mana-mana agama.

Namun apabila ia membabitkan Islam maka media mereka dengan pantas melaporkan berita dan pandangan bahawa agama ini adalah sangat kejam terhadap pengikutnya. Ini jelas apabila media mereka melaporkan pembunuhan adalah wajib terhadap mereka yang meninggalkan Islam dan memeluk agama lain.

Malah mereka turut menyatakan bahawa Rifqa beberapa kali di bawa berjumpa dengan kaunselor sekolah akibat dari penderaan yang dilakukan oleh ahli keluarganya. Mereka mendakwa telah melihat kesan lebam di tangan dan kaki akibat dipukul oleh bapa dan abangnya.

Semua ini didakwa dilakukan kerana Rifqa terlalu terpengaruh dengan kehidupan Barat. Satu lagi provokasi yang cuba dimanipulasikan ialah Rifqa telah dipaksa untuk memakai hijab sesuatu yang dikatakan sangat dibenci olehnya dan sekali lagi dinafikan oleh ahli keluarganya.

Malah Pusat Kebudayaan Islam Noor yang merupakan tempat yang sering dikunjungi keluarganya untuk aktiviti sosial dan keagamaan telah dicap sebagai mempunyai kaitan dengan keganasan dan masjid Salah Sultan yang dikunjungi mereka juga dikatakan mengajar ahlinya supaya membenci golongan Yahudi.

Namun apa yang berlaku adalah sangat berbeza dengan realiti sebenar. Menurut pegawai penyiasat dari unit orang hilang balai polis Columbus, Sarjan Jerry Cupp Rifqa berkata, bapanya merupakan seorang yang penyayang dan telah mengetahui penukaran agamanya sejak beberapa bulan yang lalu.

Namun semua ini telah berubah apabila dia diwawancara di dalam televisyen dan ketika hadapkan ke mahkamah.

Keras dan jumud

Satu lagi perkara yang menarik untuk diperkatakan walaupun mungkin media Barat terlepas pandang perkara ini ialah bahawa Rifqa yang bersekolah di New Albany High School merupakan ahli kumpulan pasukan sorak sekolahnya.

Maka menurut ibunya jika benar ahli keluarga mereka seorang yang keras dan jumud, adalah mustahil bagi mereka membenarkan anaknya untuk menyertai pasukan sorak sekolah.

Sememangnya bagi bapa Rifqa, apa yang berlaku memang menyedihkan kerana beliau masih berharap anaknya itu dapat kembali kepada ajaran Islam namun tetap menerima apa saja keputusan yang diputuskan anaknya tentang agama barunya itu.

Malangnya oleh kerana sifat tidak bertanggungjawab media Barat terhadap isu ini maka beliau telah dilihat sebagai tidak bertanggung jawab dan lebih malang zalim telah dikatakan sebagai agama yang menindas.

Sememangnya itulah peranan media mereka sejak dahulu lagi dan kita seharusnya lebih memahami bahawa peranan ini tidak akan berubah selagi media mereka terus memihak walaupun mengaku bebas hanya di luaran.

Isu timbul kerana kejahilan beragama

by
Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee

Kolumnis laman web Centre for Policy Initiatives (CPI), Helen Ang mengkritik dengan hebat beberapa siri artikel yang saya tulis dalam Mingguan Malaysia.

Artikel beliau bertajuk Ridhuan Tee‘s reverse take on racism, telah diposkan kepada beberapa laman web pembangkang dan membuka peluang kepada para pembaca laman web tersebut menyerang, mengecam dan menghentam peribadi saya sekali lagi, tanpa fakta ilmiah untuk berhujah sebagaimana artikel yang ditulis beliau.

Saya sepatutnya tidak mahu melayan mereka yang menulis tanpa membuat kajian dan penyelidikan terperinci seperti mana yang saya lakukan. Ternyata beliau tidak faham apa yang saya tulis. Mungkin disebabkan oleh tahap penguasaan bahasa Melayunya yang agak rendah setelah sekian lama tinggal di negara ini. Sebahagian kecil petikan artikel saya dimanipulasikan seperti yang dilakukan oleh akhbar Cina.

Petikan yang saya ambil daripada kata-kata Almarhum Tunku Abdul Rahman mengenai perlunya bandar raya Shah Alam bebas daripada arak dan kelab malam telah disalah tafsirkan. Helen Ang mengatakan bahawa ia adalah tulisan saya. Saya sungguh kasihan cara beliau berusaha untuk memahami artikel saya dalam bahasa Melayu mudah. Mujurlah saya tidak gunakan bahasa yang bombastik, jika tidak saya tidak tahu apa yang Helen Ang akan tulis.

Beliau juga menuduh saya ‘masuk Melayu’ dan bukan ‘masuk Islam’ agar diterima oleh orang Melayu, dan seterusnya menjadikan saya lebih berjaya. Bagaimanakah saya boleh ‘masuk Melayu’ sedangkan saya seorang Cina. Saya memeluk agama Islam, bukan ‘masuk Melayu’. Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya memeluk Islam kerana kemuliaan dan kesucian Islam. Saya tidak pernah mengharap sebarang bantuan setelah memeluk Islam, kerana agama Islam mengajar saya prinsip berdikari. Bangsa seseorang tidak boleh ditukar walaupun ia telah memeluk Islam kerana bangsa itu adalah kejadian Allah SWT. Manakala agama, kita boleh pilih untuk dijadikan pegangan hidup seperti yang saya lakukan.

Dalam membahaskan fakta yang saya kemukakan, Helen Ang membandingkan antara Cina Thailand dengan Cina Malaysia. Helen Ang memujikan rakyat Thai kerana dapat menerima Perdana Menteri Thailand kini, Abhisit Vejjajiva berketurunan Cina. Begitu dengan Perdana Menteri sebelum itu seperti Chuan Leekpai dan Thaksin Shinawatra. Helen mempertikaikan kenapa orang Cina tidak boleh menjadi Menteri Besar Perak (DAP). Jawapannya mudah, kerana orang Cina di Thailand sudah tidak serupa Cina. Mereka boleh dikatakan lebih Siam daripada Siam. Persoalannya, adakah itu berlaku di Malaysia?

Ternyata dalam banyak perkara yang diulas, beliau tidak dapat memahami sejarah Tanah Melayu dan sejarah pembentukan Malaysia. Lebih malang lagi beliau tidak dapat memahami roh bagaimana Perlembagaan Persekutuan digubal hasil persetujuan semua kaum, melalui pakatan murni atau lebih dikenali dengan kontrak sosial. Begitu juga Perlembagaan setiap negeri, ada sejarahnya tersendiri. Saya harap kejahilan ini tidak berlaku kepada orang lain agar tidak buta sejarah.

Helen Ang juga perlu mengkaji 7 wasiat Raja-raja Melayu seperti yang disebut oleh Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, yang telah membentuk Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Helen Ang perlu memahami makna yang tersurat dan tersirat dalam Perlembagaan Persekutuan tersebut. Jangan asyik mempertahankan dan membaca akhbar-akhbar Cina.

Kenapa beliau mempertikaikan kedudukan Menteri Besar Perak yang tidak dilantik dari kalangan DAP? Cuba Helen Ang bandingkan, kenapa Ketua Menteri Pulau Pinang mesti diserahkan kepada Cina? Tidakkah kerusi UMNO lebih banyak daripada kerusi parti-parti politik lain dalam pilihan raya 2004 dan sebelum itu? Kenapa kita tidak menghargai tolak ansur dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh orang Melayu? Sesuatu yang menguntungkan disenyapkan, yang tidak menguntungkan digembar-gemburkan untuk menagih simpati.

Helen Ang juga mempertikaikan fakta yang saya tulis akan bilangan rumah ibadat bukan Islam seperti kuil Hindu, tokong Cina dan gereja Kristian melebihi bilangan surau dan masjid. Di sini saya pamerkan statistik tersebut untuk pengetahuan beliau akan nasib Melayu di bumi Melayu.

Contohnya di Selangor mempunyai penduduk berjumlah 4.8 juta. Daripada jumlah itu orang Melayu mewakili 2.5 juta dengan kapasiti 259 masjid dan 939 surau. orang Cina Buddha berjumlah 1.3 juta mempunyai 1,015 tokong, orang India berjumlah 647,000 dengan 810 kuil berdaftar (bilangan ini belum dicampurkan dengan tokong dan kuil yang tidak berdaftar). Manakala, bilangan gereja Kristian biarlah Helen Ang yang cari untuk menampung jumlah 50,000 penganut Kristian.

Statistik

Berdasarkan kepada statistik ini, jelas kepada kita, setelah dicampur semua rumah ibadat bukan Islam, kedudukan masjid surau sebenarnya jauh ketinggalan. Ini baru perbandingan satu negeri, bayangkan negeri- negeri lain. Adakah nisbah antara bilangan penduduk dengan bilangan rumah ibadat itu adil? Begitu besar bezanya. Sila rujuk Wikipedia, walaupun ia bukanlah sumber yang outentik dalam akademik. Tetapi saya yakin statistik ini tidak jauh bezanya.

Jangan kita bercakap kosong tanpa melakukan penyelidikan. Helen Ang mungkin terkejut bila saya paparkan statistik seluruh negara. Kenapa dalam sebuah negara majoriti Melayu boleh berlaku demikian? Inilah tolak ansur orang Melayu. Hormatilah tolak ansur ini. Jangan terlalu kiasu.

Pada hemat saya, semua perkara ini berlaku disebabkan oleh kejahilan hidup beragama. Apakah isu sebenarnya timbul apabila kita mahu mempertahankan hubungan yang dilarang oleh semua agama, seperti amalan berzina sehingga melahirkan anak luar nikah? Beritahu saya ajaran agama mana yang membenarkan hubungan haram ini?

Bayangkan jika yang perempuan yang dizinai adalah ibu, isteri, adik-beradik perempuan kita sehingga melahirkan anak luar nikah. Apakah kita boleh menerima semua ini sebagai isu moral yang boleh dipertahankan? Kena pada orang lain, tak apa. Bila kena pada diri sendiri baru tahu langit ini tinggi atau rendah?

Justeru, saya amat bersimpati dan amat menghormati tindakan dengan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan badan disiplin MCA yang telah mengambil tindakan yang tepat untuk menggugurkan timbalannya disebabkan salah laku moralnya.

Saya amat yakin keputusan yang diambil, bukanlah suatu perkara yang mudah untuk beliau melakukan tindakan sedemikian. Keputusan yang diambil adalah demi menyelamatkan maruah parti biarpun beliau akan menjadi tidak popular.

Tindakan MCA itu dikira tepat jika ditinjau dari segi undang-undang moral dan ajaran agama. Saya selaku orang Cina menyokong sepenuhnya tindakan tersebut. Inilah nilai-nilai moral yang perlu ada pada setiap pemimpin dan juga rakyat yang dipimpin. Jika pemimpin tidak menunjukkan teladan, siapa lagi? Adakah kita mahu menunggu rakyat menunjukkan teladan? Tidakkah kepimpinan itu melalui teladan?

Seperti yang selalu saya sebut, tidak ada satupun agama atau ajaran di dunia yang menghalalkan perlakuan tidak bermoral seperti berzina atau hubungan seks luar nikah. Apatah lagi sehingga mengandungkan anak luar nikah. Semua perbuatan terkutuk adalah berdosa besar.

Masyarakat kita tidak kira apa juga bangsa dan agamanya, perlu dididik dengan nilai moral tinggi. Agama hendaklah dijadikan panduan hidup. Baru dunia akan aman. Kerana semua agama menyerukan kepada kebaikan. Yang baik tetap baik, yang salah tetap salah. Kita tidak boleh menghalalkan yang haram untuk mencapai matlamat.

Buddha begitu keras sekali mengharamkan zina seperti yang tersebut dalam lima larangannya iaitu jangan membunuh, jangan berzina, jangan berbohong, jangan mencuri dan minum arak. Sila rujuk Sutta Nipata 815, Dhammapada 309-10, Sutta Nipata 123.

Begitu juga larangan dalam agama Kristian, Hindu dan Sikh. Apa tujuan nasihat agama ini? Semuanya mahu memastikan kita menjadi manusia yang mempunyai moral yang tinggi, bermaruah dan sebagainya. Jika Helen Ang beragama Kristian, sila buka Bible, 1 Corinthians 6:18-20 & 1 Corinthians 7:1-2. Adakah Kristian menghalalkan zina? Sudah tentu tidak.

Kalau Helen Ang melihat adat tradisi masyarakat Cina zaman dahulu, hukuman ke atas mereka yang berzina ini amat berat. Penzina-penzina ini akan dimasukkan ke dalam bekas atau raga babi dan dicampakkan ke dalam sungai.

Begitu juga saya ingin menyarankan Helen Ang supaya meluangkan masa meneliti ajaran agama lain seperti agama Hindu dan Sikh mengenai penzinaan. Baca kitab Hindu, Bhagavad Gita1.40-42, zina diharamkan dalam agama Hindu. Perlakuan berzina dianggap sebagai penghinaan kepada undang-undang agama Hindu (Laws of Manu, 9.95, 101). Untuk keterangan lanjut baca New World Encyclopedia. Dalam ajaran Sikh, salah satu daripada lima dosa besar adalah berzina. Sila baca Adi Granth, Dhanasari. Justeru, atas landasan apa kita mahu menghalalkan zina?

Lihat juga pandangan ajaran Konfucianisme, Taoisme, Jainisme, Zoroastrianisme, Shintoisme, Judaisme dan Bahai dalam artikel bertajuk A Comparison of Morality from the religions from Around the World, http://usminc.org/other.html. Larangan berzina amat keras sekali.

Sebenarnya isu-isu moral ini dibahaskan dengan panjang lebar oleh semua agama, apatah lagi agama Islam. Saya tidak perlu sebutkan pandangan agama Islam, sebab sudah terang lagi bersuluh kemuliaan Islam dalam menjaga umatnya. Justeru, jika berlaku juga kepada umat Islam, itu salah orang yang melakukan perbuatan terkutuk itu, bukan agama Islam yang suci murni.

Justeru, dalam menilai antara yang benar dan yang batil, agama perlu dijadikan panduan dan sejarah sebagai pedoman. Percubaan untuk memadamkan fakta agama dan sejarah hanya akan mengundang kerosakan di muka bumi. Saya yakin fakta yang saya kemukakan sengaja diselewengkan disebabkan oleh sikap kiasu.

- MINGGUAN MALAYSIA

Cari persamaan bukan perbezaan

by
Kebebasan beragama di Malaysia merupakan satu watak penting dalam landskap perpaduan negara. Sudah berdekad-dekad lama khususnya selepas negara mencapai kemerdekaan pada 1957, kebebasan beragama kepada semua golongan diamalkan.

Masing-masing mempunyai hak untuk mengamalkan ajaran agamanya secara aman dan harmoni. Bagi umat Islam yang membentuk kumpulan majoriti pula, selama ini tidak pernah mengkritik atau melenting jauh sekali untuk berdemonstrasi apabila rumah-rumah ibadat agama lain dibina.

Semua itu menjadi simbol kebebasan beragama yang dijunjung pemerintah dan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Landskap keharmonian kaum dan toleransi agama yang diamalkan di negara ini - sebuah negara Islam membangun - menjadi rujukan banyak negara di dunia dan tidak mustahil ada yang mencemburuinya.

Pendekatan yang diamalkan oleh kerajaan Malaysia sehingga berjaya mengekalkan keharmonian dan kemakmuran negara selama 52 tahun, seiring dengan prinsip toleransi anjuran agama Islam.

Prinsip toleransi itu bukan baru. Ia jugalah yang dilaksanakan oleh pemerintahan Islam sejak zaman Rasulullah SAW. Justeru perkembangan yang berlaku di dalam negara akhir-akhir ini mengundang tanda tanya tentang keperluan dan kewajarannya.

Rentetan cadangan pembinaan kuil di penempatan majoriti Melayu Islam di Shah Alam yang membawa kepada demonstrasi jalanan dan insiden mengarak kepala lembu membuatkan ramai rakyat Malaysia yang masih waras tertanya-tanya.

Apa perlunya membina rumah ibadat bukan Islam di kawasan majoriti orang Islam? Apa perlunya mengarak kepala lembu untuk membantah rumah ibadat penganut agama Hindu?

Dan yang lebih mustahak, apa perlunya mengorbankan prinsip toleransi yang sekian lama menjadi kunci perpaduan rakyat Malaysia?

Sikap segelintir pihak yang tidak segan silu mencetuskan polemik dan memainkan sentimen kaum dan agama dengan berselindungkan hak kebebasan beragama cukup membimbangkan.

Toleransi

Kebimbangan rakyat Malaysia ini turut dikongsi oleh isteri Tengku Mahkota Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris. Baginda gusar melihat kerapuhan sikap toleransi agama di dalam negara. Lebih membimbangkan apabila tindak-tanduk segelintir pihak menjadi 'nila yang merosakkan susu sebelanga'.

"Saya bimbangkan satu sahaja, imej negara dan Islam tercemar gara-gara kejadian di Shah Alam. Sayang sekali ia berlaku setelah sekian lama Islam diterima sebagai agama rasmi negara dan Malaysia dipandang tinggi oleh negara-negara bukan Islam," katanya kepada Mingguan Malaysia dalam satu pertemuan di Johor Bahru.

Raja Zarith menegaskan, sebetulnya selepas 52 tahun Malaysia menyambut kemerdekaan, tidak harus timbul persoalan atau keraguan tentang nilai toleransi yang menjadi amalan masyarakat majmuk di negara ini. Justeru dalam hal ini, baginya, setiap rakyat Malaysia perlu terus memperkasakan perpaduan pelbagai kaum yang terbukti menjadi tunjang kekuatan negara.

"Jika kita asyik mencari perbezaan maka kita akan menjumpai bermacam-macam perbezaan. Sebaliknya jika kita mencari persamaan akan terjumpalah berbagai-bagai persamaan walaupun kita berbeza latar belakang, warna kulit dan anutan.

"Yang turut menjadi kebimbangan saya ialah, kita takut tidak bertempat sedangkan andai kita saling menghormati satu sama lain, kita sudah tentu dapat mengekalkan keamanan dan perpaduan yang sudah sekian lama kita warisi," jelas Raja Zarith lagi.

Bertepatan dengan gagasan 1Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, baginya, inilah masa terbaik untuk rakyat Malaysia kembali mengukuhkan ikatan permuafakatan yang longgar. "Selama ini, kita semua sudah biasa dengan mereka yang bukan satu agama atau satu bangsa dengan kita, jadi mengapa kita harus merosakkan keunikan perpaduan yang kita kecapi selama ini," tegas Raja Zarith lagi.

Menjelang Ramadan baru-baru ini, emosi Raja Zarith tersentuh apabila beberapa ahli jawatankuasa beragama Hindu dalam Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) yang diterajuinya mengingatkan beliau tentang bantuan untuk golongan kurang upaya khususnya yang beragama Islam.

Bukan sekadar mengingatkan sebaliknya, mereka turut bersusah payah mengelolakan acara berkenaan dan membantu mendapatkan tajaan daripada syarikat-syarikat korporat untuk disalurkan kepada golongan berkenaan dalam bulan berkat ini.

Kalau itu belum cukup, sekitar Oktober depan, Raja Zarith akan bekerjasama dengan beberapa organisasi sosial seperti Kelab Rotary Johor, Intan Lifezone, polis dan Hospital Sultanah Aminah untuk menganjurkan kempen kesedaran mengenai bahaya penyakit AIDS.

Idea mengadakan kempen itu digembleng secara bersama oleh orang Melayu, India dan Cina yang sama-sama bimbang dengan peningkatan jumlah penghidap AIDS di kalangan orang Melayu.

"Jadi, apabila berlaku insiden seperti di Shah Alam baru-baru ini, saya rasa begitu hampa kerana ketika kami di Johor begitu akrab menjalin toleransi ada pihak di luar sana yang tidak peka dan sensitif dengan isu ini," kata Raja Zarith dalam nada kesal.

Sebarang rasa tidak puas hati berhubung toleransi kaum tegasnya harus diselesaikan secara berhemah, bukannya dengan mencetuskan huru-hara di kalangan rakyat.

"Kita harus memelihara kesucian agama Islam. Kita tidak mahu orang bukan Islam menganggap Islam itu agama ganas," luah beliau berulang kali.

Kebimbangan yang disuarakan Raja Zarith pada pertemuan itu seiring dengan ingatan yang disuarakan Perdana Menteri baru-baru ini tentang ketidakwajaran umat Islam mencerca agama lain.

Dalam ucapannya selepas menunaikan solat Maghrib di Masjid Jamek Chenor, Maran, Pahang, Perdana Menteri mengingatkan tindakan mencerca agama lain bukan sahaja boleh mencetuskan ketegangan dan pergaduhan tetapi juga mungkin menyebabkan agama Islam dicerca lebih hebat lagi.

Dalam hal ini, Raja Zarith mengingatkan, andai ada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan apa-apa perkara wajar menyuarakan perasaan itu kepada pihak berwajib melalui cara yang elok.

"Kita semua harus rasa sayang pada keamanan negara yang sudah lama kita kongsi bersama. Selama ini, kita dihormati dan disegani bukan saja oleh negara-negara Islam, bahkan oleh negara-negara bukan Islam yang lain.

"Jadi kalau kerapuhan nilai toleransi kaum dan agama sudah tercetus, saya bimbang ia akan memberi kesan yang kurang baik kepada negara kita," jelas beliau lagi.

Justeru, Raja Zarith mengingatkan golongan generasi muda sebagai pewaris bangsa, jangan sesekali mengambil tindakan yang boleh memecahbelahkan perpaduan masyarakat. Baginya setiap rakyat Malaysia harus memikirkan tentang kekuatan yang ada sehingga mampu mengekalkan keharmonian kaum dan agama.

"Kita tinggal di bumi yang sama dan bercakap bahasa yang sama. Perkara-perkara yang membuatkan kita menangis dan ketawa pun selalunya sama.

"Tiada ruginya kalau kita berbaik-baik, sebaliknya kita akan rugi kalau asyik memandang serong sesama kita," tegasnya.

Sambil mengakui bukan pandai agama, Raja Zarith mahu umat Islam menghayati ajaran al-Quran seperti terkandung dalam Surah al-Hujurat Ayat 13 bermaksud:

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha mengenal.

Begitu juga dengan Surah Muntahanah Ayat 8: Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak pula mengusir kamu dari negerimu.

Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.

- MINGGUAN MALAYSIA

Syahdu di permata baru Putrajaya

by
Oleh Zin Mahmud

Berdiri di aras utama Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin menghadap tasik Putrajaya merupakan detik pengalaman yang indah dengan menikmati suatu kecemerlangan seni bina dan reka bentuk bangunan.

Ini kerana apabila seseorang itu berdiri menghadap ke tasik, apa yang dilihat ialah betapa air yang berada di kolam pada aras masjid itu seolah-olah bercantum sambung dengan tasik yang menjadi pemandangan latar kepadanya.

Sedangkan ia adalah kolam memanjang di tepi masjid itu tetapi reka bentuknya menyebabkan rumah ibadat ini meliputi keseluruhan

Putrajaya. Sememangnya dari masjid ini, dapat dilihat dengan jelas Masjid Putra dan Bangunan Perdana Putra yang mempunyai kubah reka bentuk tradisi bangunan Islam.

Di Putrajaya, satu lagi bangunan yang

mempunyai kubah indah seperti Taj Mahal ialah Istana Kehakiman. Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidi ini juga mempunyai kubah. Tetapi reka bentuknya dengan keseluruhan bangunan masjid ini bukan bercirikan tradisional. Ia mempunyai ciri-ciri minimalis dan pasca- moden yang lebih menepati azam umat Islam negara ini yang berjiwa wawasan masa depan.

Minimalis merupakan konsep yang

menggunakan ciri-ciri reka bentuk minima tetapi menghasilkan paparan indah. Sementara

pasca-moden merupakan pemikiran melangkaui kemodenan. Masjid Negara merupakan contoh seni bina modenis yang dipengaruhi oleh unsur seni Melayu.

Melihat ke dalam ruang Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin ini, reka bentuk dalamannya juga melambangkan pemikiran dan cita rasa terkini. Mihrab dan mimbar yang menggunakan bentuk empat segi dan bulat yang kemas, licin,

kelogaman dan tajam memberi suasana dan

semangat baru bagi para pengunjung.

Memang begitulah tujuan seni bina untuk manusia. Bagi sebuah rumah ibadat, seni bina yang hebat akan membantu para abid, atau pelaku ibadat untuk meningkatkan lagi keupayaan rasa khusyuk, syahdu, tawaduk dan bertafakur terhadap Yang Maha Esa.

Suasana ini mampu untuk membantu meningkatkan keindahan beribadat. Pakaian bersih, wangi dan indah untuk menghadap Ilahi mempunyai nilai tersendiri. Begitu juga dengan sejadah dan tasbih yang cantik. Sementara dalam masjid yang indah, dihiasi tulisan khat yang memukau, dan bacaan imam atau khatib yang merdu, kesemuanya dapat membantu seseorang melakukan ibadat.

Nyaman

Begitulah suasana pada Jumaat lalu ketika solat Jumaat yang pertama diadakan di masjid itu. Cuaca yang nyaman juga menambah lagi rasa syahdu. Suasana selepas hujan di Malaysia tentu menyegarkan persekitaran apabila ion positif tersebar di merata tempat.

Maka ruang masjid yang direka bentuk terbuka itu mengizinkan angin segar yang dingin memasuki keseluruhan masjid. Pancutan air dalam masjid menenteramkan lagi jiwa pengunjung.

Justeru, kedamaian keseluruhan Putrajaya sebagai kota pasca-moden sebuah negara Islam yang menaungi penduduk pelbagai agama di negara ini dengan doa semoga Malaysia menjadi negara Baldatun Toyyibaton Wa Rabbun Ghafur, negeri yang baik, aman dan makmur serta diampuni oleh Allah SWT.

Dalam khutbah yang disampaikan pada Jumaat itu, dinyatakan bahawa masjid ini akan terbuka kepada semua, bermaksud termasuk orang bukan Islam. Sememangnya masjid bukan saja untuk orang Islam, tetapi semua manusia.

Ini kerana dalam Islam, hakikatnya tidak ada istilah bukan Islam. Apa yang ada ialah belum Islam. Sesiapa pun manusia, walaupun memerangi Islam, selagi hayatnya masih ada, maka kemungkinan tetap wujud bahawa seseorang akan dikurniakan hidayah untuk memeluk agama Islam.

Islam dianggap sebagai rahmat bagi alam. Ia merupakan kebaikan bukan saja bagi umat islam tetapi semua manusia, malah semua makhluk. Maka Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin merupakan simbol naungan Islam ke seluruh penduduk di negara ini.

Dengan menamakan masjid ini pada Yang Dipertuan Agong juga mempunyai erti tersendiri. Sesungguhnya di Malaysia, Yang Dipertuan Agong yang juga ketua agama Islam di negara ini adalah penaung kepada semua rakyat, tanpa mengira kaum, anutan agama dan fahaman politik.

Di Asia Barat, Asia Tengah dan Asia Selatan, terdapat banyak warisan masjid indah yang dibina ketika pemerintahan islam pada zaman keemasannya. Iaitu ketika pemerintahan Umayah, Abasiah, Uthmaniah, Safawiah, Qajar dan Moghul. Tetapi itu pada masa lalu.

Lebih bermakna ialah ketika masjid baru yang moden dibina di negara-negara yang sedang pesat membangun seperti Malaysia. Dengan seni bina kontemporari menunjukkan kedinamikan umat islam negara ini bagi menghadapi masa depan.

Namun begitu, dari segi infra struktur, Malaysia tidak ada tolok bandingnya di kalangan negara-negara islam. bangunan-bangunan tersergam, lebuh-lebuh raya dan bandar-bandar baru.

Tetapi Malaysia kini amat memerlukan umat yang berkualiti. Bukan saja beretika dan berhemah tinggi, tetapi juga bersih daripada rasuah, serta juga mempunyai sifat toleran dan kesabaran, di samping kekuatan ilmu yang membolehkan penerokaan semula sains Islam yang sudah lama ketinggalan.

Bukan saja dengan adanya bangunan universiti tersergam, tetapi juga ilmu sejati yang dijana.

Usah layan pendemo upahan Indonesia

by
Oleh Zulkiflee Bakar

Sebenarnya, penulis sedikit pun tidak berasa hairan dengan gelagat sekumpulan penunjuk perasaan membakar Jalur Gemilang pada 30 Ogos lalu di Indonesia. Malah penulis juga tidak berasa risau dengan tunjuk perasaan yang diadakan di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, baru-baru ini.

Sebagai salah seorang yang pernah tinggal di Jakarta selama tiga tahun, penulis menganggap apa yang berlaku adalah biasa kerana itulah sikap sekelompok manusia yang tidak matang dalam berhadapan sesuatu isu.

Sebenarnya isu Tarian Pendet, hanyalah salah satu isu yang cuba diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu di Indonesia bagi memburukkan Malaysia. Sebelum ini sudah ada banyak isu kecil yang sengaja diperbesarkan termasuklah oleh media Indonesia yang sejak dulu tidak pernah mahu menunjukkan kematangan dalam menyentuh isu melibatkan dua buah negara.

Jalur Gemilang bukan kali pertama dibakar, malah pada tahun 2000 peristiwa yang sama berlaku di Pontianak, Kalimantan ketika rakyat Malaysia sedang menyambut kemerdekaan. Ketika itu mereka memprotes mengenai kononnya berlaku penganiayaan ke atas pembantu rumah Indonesia.

Malah dalam isu Ambalat, pergi sahaja ke Jakarta, anda akan lihat tidak kurang lima buah buku dihasilkan dengan tujuan untuk membakar semangat rakyat Indonesia supaya menentang Malaysia. Salah sebuah buku berkenaan menggunakan tajuk Ganyang Malaysia - istilah yang digunakan ketika konfrantasi antara Malaysia-Indonesia pada tahun 1963. Kita di Malaysia tidak perlu berasa gundah gulana dengan apa yang sedang dilakukan oleh segelintir rakyat Indonesia. Mungkin kita boleh sedikit tersinggung kerana Jalur Gemilang dibakar tetapi kita jangan memiliki fikiran singkat seperti mereka.

Kelompok yang melakukan perbuatan berkenaan di Indonesia adalah penunjuk- penunjuk perasaan upahan, mereka ini dibayar antara Rupiah 5,000 hingga Rupiah 10,000 (RM1.60 hingga RM3.30).

Dengan upah sebanyak itu dan diberi sebungkus nasi dan segelas air, mereka akan terpekik terlolong di jalanan bagi mengecam Malaysia. Malah kerana upah itu juga mereka melakukan tindakan tidak masuk akal termasuk kononnya ‘menyita’ Kedutaan Malaysia.

Kenyataan

Begitu juga dengan puak-puak di Indonesia yang membuat kenyataan membidas Malaysia. Mereka juga tidak tahu apa-apa. Apa yang mereka katakan sekadar untuk meraih populariti dan publisiti. Oleh itu kita tidak perlu membuang masa bercakap dengan mereka soal diplomasi atau hubungan dua hala.

Kedua-dua kelompok berkenaan tidak mempunyai fikiran setinggi itu. Apa yang mereka tahu sebut sahaja soal Malaysia, maka segalanya mereka akan protes. Perasaan cemburu terhadap Malaysia masih wujud di kalangan sesetengah rakyat Indonesia.

Fikiran sempit dan tanggapan bahawa Indonesia adalah ‘abang’ kepada Malaysia masih ada. Sebenarnya, kalau hendak dibanding dengan sesetengah negara, dalam isu pembantu rumah contohnya, ada negara yang memberi layanan lebih buruk kepada kelompok berkenaan. Tetapi kenapakah penunjuk-penunjuk perasaan upahan tersebut tidak berdemonstrasi di kedutaan-kedutaan negara yang terlibat.

Kenapa apabila ada isu berkaitan dengan Malaysia, tanpa usul periksa, mereka terus bertindak hendak melakukan protes? Apakah tindakan yang dilakukan itu boleh menyelesaikan masalah?

Tindakan yang sekadar mengikut perasaan ini bukanlah kali pertama berlaku malah sudah acap kali tetapi ia akhirnya reda apabila tiada lagi orang yang mahu mengupah atau tiada lagi insan yang sanggup melakukan provokasi.

Sebenarnya, kelompok-kelompok tertentu begitu mudah terpengaruh dengan khabar angin termasuklah mahasiswa yang kononnya cuba menjadi golongan yang ingin menegakkan keadilan.

Terbaru, jangan terkejut kalau beberapa hari lagi, kita akan mendengar mereka melakukan tunjuk perasaan kerana mendakwa mangsa dalam klip video yang memaparkan sekumpulan pengawal keselamatan membelasah seorang lelaki adalah rakyat Indonesia. Demikianlah kecetekan fikiran mereka dalam berhadapan dengan sesuatu isu.

Tetapi kita tidak perlu layan semua itu. Apa yang lebih penting ialah hubungan dua hala antara kedua-dua negara terus berada dalam keadaan baik.

Dalam isu terbaru contohnya, isu Tarian Pendet. Pihak yang terlibat sudah membuat penjelasan kepada kerajaan Indonesia bahawa kerajaan Malaysia tidak terlibat. Oleh itu ia sudah jelas membuktikan bahawa Malaysia tidak bersalah.

Penjelasan

Kita yakin bahawa penjelasan pihak yang terlibat akan diterima oleh Indonesia, biarpun sebelum ini salah seorang menteri Kabinet Indonesia turut sedikit emosional.

Hubungan kerajaan antara kedua-dua negara adalah baik. Oleh itu sikap percaya mempercayai ini harus dikekalkan. Tidak harus ada mana-mana pihak dalam kerajaan sama ada di Malaysia atau Indonesia terpengaruh dengan sentimen sempit sesetengah pihak di negara masing-masing.

Malaysia selama ini sudah lama bersabar dengan pelbagai tuduhan yang dilemparkan. Kita yakin kesabaran ini akan berterusan kerana memahami dalam apa juga situasi adalah sesuatu yang jahil jika rakyat kedua-dua negara bertelingkah. Sebarang masalah yang wujud biarlah diselesaikan secara diplomatik di meja rundingan. Berlembut tidak semestinya beralah. Tetapi ia melambangkan bagaimana sebagai masyarakat bertamadun kita lebih rela menyelesaikan masalah secara perundingan bukannya konfrantasi.

Dalam soal ini, media-media di Indonesia juga harus memainkan peranannya. Mereka tidak sepatutnya bertindak sebagai ‘batu api’ dengan menyiarkan kenyataan-kenyataan yang boleh membakar semangat rakyat negara itu.

- MINGGUAN MALAYSIA

Dr Asri - Nas dan pendapat tokoh

by
Oleh Minda Dr. Maza
www.drmaza.com

Memberi pendapat berbeza dengan al-Quran dan al-Sunnah adalah satu kesalahan bagi seorang muslim. Namun memberikan pendapat berbeza dengan tokoh agama atau ulama tertentu, bukan semestinya satu kesalahan.

Selagi mana pendapat atau pandangan seseorang tokoh agama itu sekadar pandangannya, maka orang lain boleh berbeza dengannya. Jika pun dia mengemukakan nas atau dalil tertentu, tapi dalil atau nas tersebut masih boleh diberikan berbagai tafsiran lain, apatah lagi jika di sana ada pandangan ilmuwan lain yang berpaksikan penghujahan kuat, maka pandangan seorang tokoh agama bukan semestinya diterima sebagai ‘itulah kehendak Islam’. Hal ini penting untuk difahami oleh orang awam, agar mereka dapat membezakan antara pandangan tokoh agama dan agama itu sendiri.

Agama berpaksikan al-Quran dan al-Sunnah. Mana-mana pihak yang berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah maka itulah Islam. Namun di sana bukan sedikit juga nas-nas agama sama ada al-Quran atau al-Sunnah yang boleh diberikan atau terdedah kepada lebih daripada satu tafsiran atau andaian. Mungkin juga apa yang dikatakan oleh tokoh agama sebagai pandangan agama itu, hanya satu tafsirannya sahaja, bukan nas yang jelas. Dalam perkara hukum atau selainnya tiada nas jelas, pastinya di sana akan ada lebih daripada satu pendapat, bahkan mungkin puluhan pendapat berbeza di kalangan sarjana.

Maka, orang awam boleh memilih pendapat yang diyakininya lebih mendekati maksud nas dengan kadar yang difahaminya. Maka sebab itu, setiap individu Muslim yang mampu berfikir membaca dan meneliti, apatah lagi pada zaman teknologi ini hendaklah ketika bertanya pendapat tokoh ilmu agar meminta alasan bagi pendapat mereka.

Campakkan ke dinding sikap sesetengah pihak yang cuba menjadikan agama ini eksklusif untuk diri mereka sahaja dengan membuat arahan yang ‘memandir’ otak umat Islam dengan menyatakan ‘dengar dan taat sahaja apa yang saya beritahu, sebab saya tokoh agama, awak orang biasa’. Rangkapan jahiliah yang seperti ini bukan budaya ilmu dalam Islam.

Di bulan Ramadan ini mungkin kita terdengar pandangan ustaz yang menyatakan makruh menggosok gigi atau berkumur semasa atau selepas tergelincir matahari ketika berpuasa. Jika kita tanya mereka: ‘‘Apakah nas dalam masalah ini? Sebahagian mereka mungkin menjawab: ‘‘Dah ulama cakap macam tu, atau kitab cakap macam itu, terima sahajalah’. Ini tentulah satu jawapan yang boleh dianggap ‘pandir’ dan dangkal sekali. Islam bukan agama taklid buta, menelan apa yang orang cakap tanpa perlu tahu dalilnya.

Mungkin yang lebih berpengetahuan akan menjawab: “Ada hadis Nabi saw menyebut: Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Ya, memang ada tokoh-tokoh ilmuwan silam pun yang memberikan pendapat sebegini. Tetapi hadis ini jika kita lihat tidak pula menyatakan seseorang yang berpuasa tidak dibenarkan atau digalakkan menggosok gigi. Pendapat yang memakruhkan menggosok gigi - sama ada menggunakan ubat gigi atau tidak - hanyalah andaian atau kesimpulan yang dibuat daripada hadis ini, bukan ada nas sahih yang jelas melarang hal ini. Hadis ini tidak pula menyatakan bahawa Allah suka supaya bau busuk itu dikekal sepanjang hari. Ada pun hadis-hadis lain yang seakan menggalakkan orang yang berpuasa mengekalkan bau kerana kering mulut orang berpuasa itu cahaya pada Hari Kiamat adalah daif atau lemah sanadnya. Ini boleh dilihat dalam ulasan al-Imam al-Mubarakfuri (meninggal 1353H) dalam Tuhfah al-Ahwazi mengenai bersugi bagi orang berpuasa.

Dalam konteks kehidupan harian, apakah patut kita membiarkan mulut kita sentiasa busuk sepanjang Ramadan sehingga mengganggu rakan sepejabat atau sekerja yang mungkin di kalangan mereka ada yang tidak faham Islam dan akan mentohmah agama ini?! Pada saya, andaian yang memakruh bersugi atau membersihkan mulut ketika berpuasa tidak boleh mengatasi galakan bersugi yang Nabi saw sabda: ‘‘Jika tidak kerana bimbangkan membebankan umatku nescaya akan aku perintahkan mereka bersugi setiap kali waktu solat (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Hadis ini tidak mengecualikan Ramadan, dan tentu sekali antara waktu solat itu adalah solat Zuhur dan Asar ketika berpuasa.

Imam

Nabi saw dalam hadis menyebut ciri-ciri imam solat: “Hendaklah yang menjadi imam bagi sesuatu kaum (jamaah) itu sesiapa yang paling baik dalam kalangan mereka bacaan kitab Allah (bacaan al-Qurannya). Jika mereka itu sama dalam bacaan, maka (pilih) yang paling mengetahui sunnah. Jika mereka itu sama, maka (pilih) yang paling awal hijrahnya. Jika mereka itu sama, maka (pilih) yang paling banyak usianya” (Riwayat Muslim). Inilah ciri-ciri imam. Jika semua mereka masih sama, maka bererti kesemuanya yang sama itu layak. Namun sesetengah ulama seperti al-Imam Hasan bin ‘Ammar al-Syurunbulali (meninggal 1069H) menyebut dalam kitabnya Maraqiy al-Falah menambah ciri-ciri lain yang tidak disebut oleh hadis, antaranya; Yang paling cantik isterinya, yang paling banyak hartanya, yang paling besar kepalanya, juga yang paling kecil kemaluannya. (lihat: ms 143). Pada andaian mereka, ini membantu khusyuk. Orang yang isterinya cantik kurang ingat wanita lain, maka lebih khusyuk. Demikian yang kemaluannya kecil kurang syahwat maka lebih khusyuk. Persoalannya, adakah andaian ini benar? Atau mungkin sebaliknya berlaku. Kemudian, siapa pula yang hendak menjadi hakim kecantikan isteri para imam ini? Lebih daripada itu, bagaimana pula hendak mengukur kemaluan mereka? Andaian ini, walaupun oleh seorang ulama yang terkenal tidak dapat kita terima. Ia bukan nas al-Quran atau hadis yang terpaksa kita telan bulat-bulat.

Demikian dalam sesetengah kitab fekah Mazhab al-Syafi‘i menyebut tentang bab mandi wajib dengan membuat andaian yang pelik seperti ‘‘jika zakar terbelah dua, dimasukkan satunya ke dalam kemaluan isteri pertama, dan yang satu lagi ke dalam isteri kedua, maka wajib mandi ke atas suami, tidak wajib ke atas kedua isterinya. Jika dimasukkan satunya ke dalam kemaluan seorang isteri, sementara satu lagi ke dalam dubur isteri berkenaan, maka wajib mandi keduanya (lihat: Hawasyi al-Syarwani, 1/260). Dalam Hasyiah al-Bajuri ditambah jika seseorang masuk (keseluruhan tubuh) ke dalam faraj perempuan, maka keduanya wajib mandi.” Cuba bayangkan, andaian dan huraian yang sebegini agak ganjil. Mungkinkah hal-hal seperti ini berlaku? Atau, kita katakan, di samping kita menghormati sumbangan dan ketokohan ulama-ulama ini, namun perbahasan atau andaian sebegini melebihi batasan keperluan. Saya sebut hal ini kerana saya terdengar ada tokoh agama keluar dalam media menyatakan apa sahaja yang telah ulama dahulu tulis kita terima sahaja. Katanya, ‘tidak perlulah kita ‘memandai-mandai’ untuk memberikan pendapat yang berbeza dengan orang yang lebih alim daripada kita’.

Taklid yang seperti inilah yang menyebabkan ilmu umat Islam tidak berkembang. Pandangan tokoh akhirnya dianggap setaraf dengan nas al-Quran dan Sunnah. Bahkan lebih daripada itu, apabila mereka memberi pandangan yang agak ‘berlebihan’ tetap dipaksa umat menelannya. Kita menghormati tokoh, namun pendapat mereka bukan wahyu yang tidak boleh dikritik atau dibincangkan. Biasanya, golongan agama yang cuba mengwujudkan mentaliti ‘ustaz atau tok guru tak boleh dipersoalkan’ hanyalah untuk menjaga status keselesaan mereka.

Memberikan pandangan dan mempersoalkan sesuatu kenyataan dengan sopan dan bertujuan mencari kebenaran adalah keperluan dunia ilmu dan sesuatu yang dituntut dalam agama. Hal ini penting untuk difahami. Bukan semua pendapat tokoh agama itu mewakili kehendak Allah dan rasul-Nya. Sebagai muslim, kita berhak bertanya dan mencari yang lebih tepat sesuai dengan akal yang Allah kurniakan kepada kita.

Kita hormati tokoh, tapi dalam masa yang sama kita tidak akan menggadaikan kebenaran. Kita patut bezakan antara nas Allah dan rasul-Nya, dengan pandangan tokoh yang mungkin betul, mungkin salah, mungkin patut disemak semula, mungkin juga melepasi batasan keperluan dan munasabah untuk umat.

Disebabkan tidak memahami hal inilah, umat Islam pening kepala dengan pandangan tokoh-tokoh agama hari ini yang bermacam-macam. Jika ulama itu berniaga, mungkin dipengaruhi urusan bisnes, yang politik mungkin dipengaruhi urusan politiknya. Begitulah seterusnya. Jalan keluar, kita menyemak alasan dan hujah setiap mereka dan bertanya: adakah ini daripada Allah dan rasul-Nya, atau tuan ‘rasa-rasa’ sahaja?!.

5 punca kekalahan BN di Permatang Pasir - Ahmad Maslan

by
Lima faktor dikenal pasti punca kekalahan calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir baru-baru ini.

Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, faktor pertama kekalahan kepada calon Pas, Mohd. Salleh Man ialah kekurangan jumlah keluar mengundi iaitu 73.1 berbanding 82.6 peratus pada pilihan raya umum lalu.

Beliau berkata, kekurangan itu jumlah pemilih keluar membuang undi pada hari berkenaan mungkin disebabkan hari bekerja.

"Kedua ialah faktor pengundi hantu yang ditumpangkan di DUN Permatang Pasir bagi memastikan kemenangan calon lawan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada golongan kurang berkemampuan bagi kawasan Parlimen Pontian di Taman Sri Api-Api di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Kecil DUN Permatang Pasir 25 Ogos lalu, Mohd. Salleh memperoleh 9,618 undi manakala Rohaizat mendapat 5,067 undi.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, faktor ketiga ialah pengundi Cina di kawasan DUN tersebut telah beralih menyokong DAP.

Faktor keempat pula, tambahnya, kawasan itu di dalam Parlimen Permatang Pauh yang memang kubu kuat parti pembangkang dengan pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 28 tahun lalu.

"Ini menyebabkan UMNO dan BN berhadapan dengan cabaran besar bagi meyakinkan para pengundi bagi memilih calon BN dalam pilihan raya tersebut," ujarnya.

Selain itu, Ahmad berkata, faktor kelima ialah tindakan Pas memanipulasi isu calon BN, Rohaizat yang berdepan tohmahan termasuk isu Majlis Peguam.

"Walaupun Rohaizat menjelaskan dan menangkis tuduhan yang dilemparkan pihak pembangkang termasuk isu peribadi namun ia masih tidak berjaya meyakinkan para pengundi.

"Rohaizat adalah calon yang dipersetujui semua pihak, namun pembangkang ambil kesempatan daripada pelbagai isu yang dibangkitkan termasuk isu peribadinya," katanya.

Menurutnya, laporan mengenai pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir itu akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 11 September ini.

Sehubungan itu, Ahmad menjelaskan, UMNO dan BN akan menjadikan pengalaman di Manik Urai dan Permatang Pasir sebagai pengajaran menghadapi satu lagi pilihan raya kecil di DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohd. Noor akibat jangkitan dalam darah di Hospital Pakar Seremban semalam.

"BN mungkin sekali lagi akan berdepan calon Pas seperti pada pilihan raya umum pada 2008," katanya.

- MINGGUAN MALAYSIA

Provokasi media cetus kemarahan terhadap Malaysia

by
Penganalisis politik, Wimar Witoelar berpendapat, kontroversi yang tercetus di Indonesia baru-baru ini berhubung Tarian Pendet yang didakwa 'dicuri' oleh Malaysia berpunca daripada sejarah lama kemarahan dan kebencian rakyat Indonesia terhadap Malaysia, sekalipun kedua-dua negara mempunyai persamaan bahasa dan budaya.

Wimar berkata, bibit perasaan marah dan benci itu telah tersemai seawal tahun 1960-an apabila bekas Presiden Soekarno dengan karismanya memarakkan semangat rakyat Indonesia dalam kempen Konfrontasi yang bertujuan untuk menggugat kestabilan Malaysia, yang ketika itu baru merdeka.

"Api kemarahan yang dimarakkan oleh Soekarno itu tidak mudah padam. Ia hanya terpendam dan menjadi ketara apabila Malaysia ternyata menjadi lebih berjaya, terutamanya daripada segi ekonomi," katanya.

Perbalahan berpunca daripada budaya dan pelancongan adalah sebahagian daripada perasaan yang terpendam itu, kata Wimar.

Walaupun mempunyai 17,000 buah pulau tropika, pantai dan terumbu serta kaya dengan warisan budaya, Indonesia hanya berjaya menarik lebih enam juta pelancong asing pada tahun lepas, berbanding kira-kira 22 juta pelancong yang melawat Malaysia.

Disebabkan provokasi daripada media yang menggemari sensasi, isu tersebut hanyalah satu lagi isu maruah tercalar yang boleh menghasut rakyat 'yang tidak mempunyai kewarasan, tidak memiliki kebijaksanaan dan tidak memiliki kefahaman', kata beliau.

Kerana tiadanya kewarasan, kebijaksanaan dan kefahaman itulah rakyat Indonesia terus meluahkan kemarahan berhubung kontroversi Tarian Pendet, sekalipun sudah terbukti Malaysia tidak terlibat sama sekali dalam penyiaran iklan pelancongan yang memaparkan tarian tradisional penduduk Bali itu.

Malah kemarahan mereka yang tidak berasas itu telah membawa kepada seruan supaya perang dilancarkan ke atas Malaysia.

Puak nasionalis di sini sudah pun membuka pendaftaran untuk sukarelawan yang sanggup pergi berperang dengan Malaysia, tetapi mereka mengakui tindakan itu lebih bersifat simbolik.

"Kami ada 486 sukarelawan yang sudah mendaftarkan diri dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan...kami hanya menunggu perang dengan Malaysia," kata penyelaras kempen anjuran kumpulan pemuda nasionalis Bendera, Mustar Bonaventura.

Dia mengakui kemungkinan berlaku perang adalah sangat tipis tetapi kumpulannya sudah menyimpan stok makanan, ubat-ubatan dan senjata termasuk pedang samurai dan 'bintang' ninja.

- AFP

Kesihatan oral yang optimum

by
BAKTERIA berlegar di dalam mulut kita. Selalunya, kita boleh menghapuskan bakteria dengan mengamalkan penjagaan gigi yang baik, seperti memberus gigi setiap hari dan membersihkan gigi dengan flos.

Walaupun begitu, bakteria yang merbahaya boleh berganda dan hilang kawalan sehingga menyebabkan penyakit dental yang lain seperti periodontits, iaitu satu penyakit gusi yang serius.

Terdapat juga kemungkinan bakteria dan keradangan pada mulut kita mempunyai kaitan dengan isu-isu kesihatan yang lain.

Oleh itu, ianya penting untuk mengamalkan penjagaan dental yang baik demi mencapai kesihatan oral yang optimum.

Berikut adalah lima langkah untuk mencapai kesihatan oral yang baik.

1. Lawat doktor gigi anda dengan kerap

*Membuat lawatan ke klinik doktor gigi anda untuk pemeriksaan dan pembersihan gigi secara profesional adalah cara terbaik untuk menghindari masalah dental. Penyakit oral biasanya tidak disedari dan boleh membawa kepada masalah kesihatan yang serius.

*Hanya doktor gigi yang terlatih dan yang mempunyai kemahiran sahaja yang layak untuk memberi diagnosis dan merawat penyakit oral. Seseorang itu sepatutnya melawat doktor gigi sekurang-kurangnya sekali setiap enam bulan, dan bukannya apabila menderita akibat masalah dental sahaja.

2. Mengamalkan kebersihan oral yang baik

*Gunakan berus gigi yang mempunyai berus yang lembut, terutamanya berus gigi yang mempunyai berus silang pangkah untuk memberus gigi dan lidah sekurang-kurangnya dua kali sehari untuk menanggalkan plak dan bakteria yang menyebabkan kaviti dan periodontitis (penyakit gusi).

*Anda seharusnya mengamalkan kebersihan gigi dengan flos gigi setiap hari. Jika anda tidak mengamalkannya, anda berisiko kehilangan lebih satu pertiga permukaan gigi anda. Apabila memilih produk penjagaan gigi, pastikan produk ini diiktiraf dan disyorkan. Gunakan ubat gigi berfluorida. Fluorida melindungi gigi daripada reput dan berfungsi untuk semua umur.

3. Amalkan diet pemakanan yang seimbang

*Ia adalah penting untuk memakan makanan yang sihat untuk kesihatan umum dan kesihatan oral. Nutrisi yang datang dari makanan sihat dapat membantu melawan kaviti dan penyakit gusi.

*Makan dengan bijak. Orang dewasa haruslah mengelak daripada snek yang bergula dan berkarbohidrat tinggi. Hadkan waktu bersnek setiap hari. Dengan mengamalkan pemakanan yang kaya fiber seperti buah-buahan dan sayur-sayuran (lima hidangan setiap hari), ia akan membantu penghasilan air liur yang akan membantu mengembalikan mineral permukaan gigi yang mengalami tanda-tanda awal pereputan gigi.

*Elak daripada makan gula secara berlebihan kerana ini adalah salah satu penyebab masalah dental.

*Hadkan pengambilan air berkarbonat. Pengambilan air berkarbonat yang tinggi boleh menyebabkan penghakisan enamel. Minuman ini juga mengandungi kandungan gula yang tinggi padahal pengambilan gula yang dihadkan untuk sehari adalah tidak lebih daripada 50 gram atau 10 sudu kecil sahaja.*

4. Periksa mulut anda dengan kerap

*Tinjau keadaan mulut untuk tanda-tanda penyakit periodontal. Penyakit gusi adalah salah satu sebab orang dewasa menderita akibat pereputan gigi. Tanda-tandanya termasuk:

*Gusi yang merah, berkilat, kembang, sakit atau sensitif

*Berdarah apabila memberus gigi atau sewaktu berflos

*Mulut berbau yang tidak hilang

Juga pantau petanda barah mulut. Tiga petanda yang paling lazim bagi barah mulut adalah di tepi dan bawah lidah dan mulut. Tanda-tandanya adalah:

*Pendarahan di gusi dan gigi yang sukar dijelaskan sebabnya

*Luka terbuka yang tidak sembuh dalam 7 hingga 10 hari

*Kudis merah atau putih

*Kebas atau rasa tidak selesa

*Ketulan kecil yang membesar di kedua belah atau bawah lidah atau di bumbung mulut dan dalam pipi atau atas gusi.

Anda haruslah laporkan petanda-petanda ini pada doktor gigi anda.

5. Jangan merokok atau mengunyah tembakau

*Merokok dan mengunyah tembakau adalah merbahaya bagi kesihatan gigi dan kesihatan umum. Pengunaan tembakau adalah penyebab utama pereputan gigi melalui penyakit gusi dan boleh menuju ke arah masalah yang lebih serius seperti barah oral.

*Tembakau juga boleh menyebabkan penyakit jantung dan pelbagai jenis barah.

*Jika anda menjaga gigi dan gusi serta kerap melawat doktor gigi anda, senyuman anda akan kekal seluruh hayat.

Artikel ini dibawakan oleh Oral-B sempena kempen kesihatan oral 2009.

*Sesetengah daripada maklumat di atas adalah daripada majalah online Dental Health, atau laman web Pertubuhan Pergigian Sedunia:

http://worldental.org

**Pencarian ini didapati daripada laman web Persatuan Pergigian Malaysia:

http://www.mda.org.my

Minoriti Islam dan Ramadan

by
Walaupun menjadi kaum minoriti, ia tidak bermakna umat Islam di sesetengah negara yang berada pada kedudukan itu akan ditindas dan dihalang daripada menjalankan ibadah.

Ini dapat disaksikan sempena ibadah puasa yang sedang dijalani oleh umat Islam di seluruh dunia sekarang.

Di THAILAND, masyarakat Islam di selatan negara itu mampu menjalankan ibadah puasa tanpa sebarang masalah. Walaupun tiga hari sebelum Ramadan menjelma berlaku serangan bom di wilayah itu, namun ia tidak menggugat penduduk.

Sebaliknya serangan bom berkenaan dilakukan oleh pihak yang terlibat dalam jenayah dan tiada kaitan dengan puak pemisah yang tidak dapat dipastikan sama ada wujud atau tidak.

Bagi penduduk Islam, Ramadan tetap disambut dengan meriah tidak kira di mana pun mereka berada sama ada Pattani, Narathiwat dan Yala.

Penulis sudah melihat sendiri kehidupan mereka dan berasa bangga kerana umat Islam mampu beribadah dengan tenang, biarpun ada sesetengah pihak cuba melakukan provokasi kononnya umat Islam di selatan Thailand ditindas.

Kebanggaan

Kebebasan umat Islam beribadah di negara itu semakin jelas kalau sesiapa mengunjungi Masjid Indonesia di Bangkok yang menjadi tumpuan setiap kali Ramadan.

Walaupun jumlah penduduk Islam adalah tidak lebih 10 peratus daripada keseluruhan penduduk Thailand yang berjumlah 60 juta namun Islam menjadi agama kedua terbesar selepas Buddha.

Sempena Ramadan, masjid-masjid di Bangkok mengadakan majlis berbuka puasa dan solat tarawih.

Mengenai Masjid Indonesia pula, ia adalah masjid pertama yang berdiri atas sumbangan warga Indonesia yang menjadi penduduk Thailand.

Masjid ini menjadi kebanggaan bagi masyarakat Indonesia kerana menyimpan dua buah kenang-kenangan berupa jam klasik peninggalan Presiden Sukarno dan Presiden Suharto. Pada bulan puasa ini, masjid tersebut tiap hari menyelenggarakan buka puasa bersama bagi warga Muslim di Thailand.

Turut menjadi tumpuan sepanjang Ramadan ialah Pusat Islam Ramkhaeng yang terletak di Khlong Tan, Bangkok.

Pusat Islam terbesar di Bangkok itu menganjurkan majlis berbuka puasa, solat tarawih dan iktikaf pada sepuluh hari terakhir Ramadan.

Di PERANCIS, perwatakan yang ditunjukkan oleh pemuda Islam di negara itu berubah sama sekali apabila Ramadan.

Menurut satu laporan, biarpun pada hari biasa, mereka minum arak, merokok dan menghisap ganja, tetapi apabila tiba bulan Ramadan semua perbuatan tersebut ditinggalkan.

Seorang aktivis Islam, Rachid Abu Zareaah, di banyak negara Eropah, ramai pemuda Islam Peranchis meninggalkan perbuatan maksiat dan menyatakan perang terhadap perbuatan dosa selama Ramadan.

Rachid berkata, sepanjang Ramadan, pemuda Muslim mengubah perangai buruk mereka.

‘‘Malah apa yang menarik pengedar ganja pun menghentikan perbuatan berkenaan sebaliknya menjual minyak wangi atau barang-barang untuk umat Islam beribadah,’’ kata Rachid.

Pemuda-pemuda Islam juga tidak bercakap kasar, sebaliknya kita akan mendengar mereka berdoa, memuji dan memohon keampunan Allah.

Di REPUBLIK RAKYAT CHINA, kaum Muslimin di negara itu berpuasa dengan penuh ketabahan dan kegembiraan.

Selain berbuka puasa di masjid-masjid, mereka juga solat Subuh berjemaah dan mendengar ceramah agama.

‘‘‘Ini merupakan bulan suci yang sangat penting bagi kami. Bila kami melakukan suatu kebaikan, ia sama dengan 1,000 kebaikan yang dikerjakan di bulan-bulan lainnya,” kata Ma Guoxing (48 tahun), seorang Muslim daripada kelompok etnis Hui,di wilayah Ningxia Hui.

Pada masa ini, China mempunyai sekitar 20 juta penduduk Islam, separuh daripadanya adalah kelompok etnis Hui. Lebih 2.2 juta Muslim dari kelompok etnis Hui tinggal di Ningxia

Sementara itu, lebih 12,000 penduduk Islam di Beijing, yang umum tinggal di Niujie Street menjalankan ibadah puasa tanpa masalah. Begitu juga dengan penduduk Islam di wilayah Gansu, Qinghai dan Xinjiang Uygur.

Abdul‘ahad Kurban, 43, yang tinggal di Xinjiang, Urumqi berkata, dia dan keluarganya selama Ramadan menyiapkan masakan khas untuk berbuka puasa dan sahur. Makanan itu sebahagiannya akan dibahagikan kepada keluarga Muslim lainnya.

‘‘Seperti warga Muslim lainnya di sini, keluarga kami juga membahagikan makanan dengan sahabat-sahabat,” kata Abdul‘ahad.

Bagi Mila, seorang wanita Islam dari kelompok etnis Uzbekistan di Urumqi, Ramadan tahun ini mempunayi makna tersendiri.

‘‘Ini kerana bandar kami sedang memulihkan keadaan berikutan rusuhan yang berlaku bulan lalu yang menyebabkan 197 terbunuh dan lebih 1,600 orang lagi cedera.

Mila berkata, sempena Ramadan, mereka berdoa agar semua pihak bersedia melakukan kebaikan sesama manusia dan hidup penuh muhibbah.

‘‘Saya juga berharap semua etnik di negara ini dapat bersatu untuk saling menghargai antara satu dengan lainnya tanpa prasangka sepanjang masa,’’ katanya.

Apa pun demikian secebis coretan mengenai sambutan Ramadan di beberapa buah negara Islam. Adalah jelas di mana juga umat Islam berada kehadiran Ramadan tetap disambut dengan penuh meriah dan kesyukuran.

- UTUSAN

APABILA MALAYSIA MENJADI MALINGSIA

by
Oleh HAMBALI ABD LATIFF
http://hambali1.blogspot.com


MALAYSIA kini dipanggil MALINGSIA. Maling ialah pencuri dan Malingsia beerti pencuri besar.

Bukan nama negara sahaja di hina. Bendera UMNO dan Menara Petronas turut dipersenda. Apa mahu jadi dengan sebahagian rakyat Indonesia ini?

Hakikatnya apakah ada rakyat Malaysia yang membuat kacau di Indonesia seperti menduduki tanah haram kemudian membuat perkampungan, menipu identiti diri dengan memasuki negara berkenaan berkali-kali, menjadi pembunuh, penyamun dan perogol, menipu melalui sihir, menggunakan passport palsu, menyeludup rokok kretek, mengajar agama salah, memukau dan bermacam-macam lagi?

Apakah ada rakyat Malaysia di Indonesia yang berstatuskan pendatang tetapi menggunakan hospital kerajaan dengan jumlah bil berbilion ringgit, menggunakan kemudahan pendidikan, mendapat kebebasan ke sana ke mari untuk berkumpul setiap hujung minggu dan sebagainya dan sebagainya?

Yang banyak buat hal ialah rakyat Indonesia di Malaysia yang kebanyakannya asal pendatang tetapi kini menjadi warga negara dan ramai lagi yang berhajat sedemikian. Siapakah yang sebenarnya lebih membuat onar?

KAMI BUKAN CIPLAK KOK, CUMA MENCONTEK AJA !

Salam Kebangsaan Untuk Seluruh Pemuda-Pemudi Republik Indonesia dimanapun berada, baik yang sedang berada diantara Sabang Sampai Merauke atau yang sedang berada diManca Negara. Salam Persaudaraan, Jangan kita biarkan negara manapun untuk mengusik aset kebudayaan kita, karena bagaimanapun itu adalah milik negara kita yang harus kita pertahankan. Cinta Tanah Air Sebagian Dari Iman.... Satu Nusa Satu Bangsa Satu Bahasa Kita…

Inilah bunyi antara kempen anti-Malaysia di Indonesia. Pada ketika yang sama di Astro pula ada kempen supaya melawat Indonesia sempena Tahun Melawat Indonesia.

Ironinya kempen itu bagaikan mengajak rakyat Malaysia berbelanja dan berpesta di sana sempena kempen itu. Mana satu ni yang mahu diikut?

Eloklah…kepada yang suka ke Jakarta, Bandung dan sebagainya renungkanlah apa yang sedang diperkatakan oleh orang Indon terhadap kita.

Wang Malaysia mengalir ke Indonsia bukan hanya melalui pembantu rumah dan pekerja semata-mata tetapi juga melalui pelancong yang gemar ke Jakarta, Bandung, Bali, Medan, Padang, Surabaya dan banyak lagi.

Ini belum yang ada bini muda dan menanggung pelbagai kegiatan di sana seperti bisnes, pasantren dan sebagainya.

Yang sering ke Indonesia main golf kerana kedinya wanita genit dan montok tu fikirkanlah untuk bermain di lapang Malaysia. Biarpun tidak genit dan montok, kita berbelanja di sini.

Orang sudah benci kita. Buat apa hidung tak mancung pipi tersorong-sorong?

Ikutkan hati mahu hantar saja balik pembantu rumah. Tetapi selepas beberapa tahun mendapat pertolongannya (gaji tidak pernah dibayar malah ada kalanya advance pun), saya kesian kerana dia merayu jangan dihantar pulang. Anaknya bersekolah dan ibu bapanya susah.

Apa perasaan anda apabila negara kita disifatkan sebagai tidak beretika.

Hakikatnya biarlah dia berbangga dengan seni dan budayanya. Selama mana pulakah kita mahu dijadikan ‘little Indonesia’ dan sebagainya.


Saya masih ingat bagaimana Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendapat sanjungan daripada wartawan asing ketika Sidang Kemuncak NAM 1991 di Jakarta diberikan pengiktirafan sebagai “Sukarno Kecil”. Mereka tetap banggakan pemimpin mereka walaupun Dr Mahathir jauh lebih berpengaruh daripada Presiden Suharto pada persidangan itu.

Itulah orang Indonesia. Maaf keluarga saya bukan berasal dari Indon.

Kumpulan anti-Malaysia ini juga menyeru rakyatnya khususnya tenaga kerja supaya berbuat seperti berikut:

Malingsia Tidak Beretika

Sampaikan ke semua tenaga kerja Indonesia terutama yang bekerja di MALINGSIA agar

1. Tidak memberikan resep makanan Asli Indonesia ke Orang orang MALINGSIA.

2.Jangan menyumbangkan tarian atau apapun yang berbau budaya asli Indonesia pada orang MALINGSIA.

3. Jangan bermain musik Tradisional Indonesia Pada Orang MALINGSIA.

Kita semua telah tau bahwa Negara satu itu adalah NEGARA TAK BERETIKA, NEGARA PLAGIAT MURNI Negara tanpa kreativitas, tak mau dan tak mampu menciptakan karya, Jadi mulai saat ini sebaiknya kita berhati hati menyajikan sesuatu yang asli budaya Indonesia pada negara MALINGSIA dan mari sejak sekarang sebut negara itu dengan sebutan MALINGSIA bukan MALAYSIA, Berapa banyak budaya Indonesia direbut? Masih tegakah budaya kita di Maling?


Bukan sekadar itu. Kini apakah membakar bendera Malaysia oleh pelajar Indonesia sebagai perbuatan biasa?

Selain itu, siapa ajar pelajar berkenaan untuk bertindak kurang ajar dengan menyerang Kedutaan Malaysia dengan telur busuk.

Jika benar Malaysia menciplak lagu Terang Bulan, kenapa sekarang baru bantah?

Kenapa ketika konfrontasi Indonesia-Malaysia, isu bendera ini tidak ditimbulkan?

Pemerintah Indonesia jangan pandang ringan perbuatan seperti ini. Bagaimana pula kalau pelajar Malaysia bertindak balas.

Nasib baik pelajar Malaysia tidak ‘gila’ dan tidak siuman seperti pelajar Indonesia berkenaan.
Selepas serangan penggodam besar-besaran ke atas lebih 120 laman web Malaysia, berpuluh pelajar menyerbu Kedutaan Malaysia di sini semalam dan melemparnya dengan telur busuk dan cuba menaikkan bendera Indonesia.

Perhimpunan di luar kedutaan di Jalan Rasuna Said, Jakarta Selatan dikawal ketat polis, namun tiada penunjuk perasaan dihalang atau ditahan.

Bagaimanapun, polis campur tangan apabila seorang pelajar cuba memanjat pagar kedutaan untuk memasang bendera Indonesia.

Polis dan pelajar terbabit dalam adegan tarik menarik cuba untuk mendapatkan bendera itu, namun polis akhirnya berlembut dan pelajar berjaya memasang bendera di pagar kedutaan.

Seorang penunjuk perasaan memberitahu Metro TV bahawa perhimpunan itu adalah tindakan membantah kontroversi terbaru membabitkan penggunaan tarian tradisi Bali dalam promosi pelancongan Malaysia.

Hubungan panas sedia ada antara negara jiran itu mencapai ketegangan baru minggu lalu selepas dakwaan bahawa lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku, ditiru daripada lagu Indonesia, Terang Bulan.

Dakwaan bahawa tarian Bali digunakan untuk mempromosi satu rancangan televisyen mengenai Malaysia walaupun sudah dijelaskan tidak membabitkan agensi kerajaan Malaysia, sebaliknya pihak ketiga masih menjadi modal untuk memarahi Malaysia.

Akan berakhir atau semakin panaskah gerakan anti-Malaysia dan membenci Malaysia ini?

- RAKYAT MALAYSIA
http://hambali1.blogspot.com

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90