Top Ad 728x90

2.03 juta pelancong asing ke Malaysia

by
Malaysia masih menjadi destinasi pelancongan utama di rantau Asia apabila 2.03 juta pelancong asing mengunjungi negara ini pada bulan lalu.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, catatan itu sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 10.4 peratus jika dibandingkan dalam tempoh yang sama tahun lalu iaitu seramai 1.8 juta pelancong.

Katanya, pelancong dari China masih menunjukkan minat terhadap Malaysia apabila kedatangan mereka meningkat sebanyak 14.8 peratus jika dibandingkan tahun lalu.

Menurutnya, pelancongan negara lain yang menunjukkan peningkatan pula ialah dari Australia (26.6 peratus), United Kingdom (16.5 peratus), Iran (47.9 peratus) dan Taiwan (30.4 peratus)

‘‘Bagaimanapun, Asia Barat khususnya Arab Saudi menunjukkan penurunan pelancong ke Malaysia yang masing-masing mencatatkan 32.9 peratus dan 41.8 peratus berikutan bulan Ramadan,’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan logo 1Malaysia Kementerian Pelancongan seiring dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Tambah beliau, walaupun pengunjung ke Malaysia meningkat, sektor perhotelan pula menghadapi penurunan pelancong sebanyak tiga peratus jika dibandingkan dengan tahun lalu.

‘‘Ia adalah kerana kebanyakan pelancong lebih gemar tinggal di rumah kenalan berbanding di hotel,’’ katanya.

Sementara itu, beliau berkata, logo yang dipilih oleh kementeriannya mencerminkan perpaduan dan konsep 1Malaysia yang ditekankan oleh Perdana Menteri.

‘‘Hutan yang digambarkan dalam logo itu menjelaskan sektor eko-pelancongan negara ini. Malaysia mempunyai hutan yang berusia kira-kira 140 juta tahun.

‘‘Pantai dan pulau yang digambarkan dalam logo itu turut menceritakan bahawa pulau-pulau di negara ini sangat terkenal di seluruh dunia. Malaysia mempunyai kira-kira 170 pulau di seluruh negara,’’ katanya.

Katanya, Malaysia juga mempunyai lebih 500 jenis makanan warisan, tetapi kementeriannya memilih Sate di dalam logo tersebut kerana ia sangat terkenal di seluruh dunia.

- UTUSAN

Pemandu tidak takut hukuman mati – Musa

by
– “Di Malaysia, walaupun hukuman mati sekalipun (dikenakan), pengguna jalan raya akan tetap melanggar undang-undang.”

Begitu luahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang kecewa dengan peningkatan kes kemalangan maut khususnya pada musim perayaan di negara ini.

Beliau turut mendedahkan, mereka yang melakukan kesalahan lalu lintas sehingga menyumbang peningkatan kemalangan maut itu juga melibatkan segelintir pemimpin politik.

Kata beliau, seharusnya pemimpin masyarakat menunjukkan kepimpinan melalui teladan serta contoh kepada orang ramai.

Musa bagaimanapun tidak mendedahkan bilangan pemimpin berkenaan yang melakukan kesalahan jalan raya.

“Mereka yang mempunyai kuasa (pemimpin) seharusnya memastikan diri mereka mematuhi undang-undang agar menjadi contoh kepada orang lain.

“Kepimpinan melalui teladanlah, kalau semua patuh (undang-undang), saya pasti orang bawah pun akan patuh,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Aman di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas angka kematian akibat kemalangan jalan raya yang kini mencecah 210 orang dalam Ops Sikap Ke-20 setakat semalam. Ops Sikap berkenaan masih berbaki tiga hari.

Jumlah itu sekali gus mencatatkan jumlah lebih tinggi berbanding bilangan kematian dalam Ops Sikap sebelum ini iaitu 208 orang.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan mengejut di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur. Kelmarin, Musa turut mengadakan lawatan sama di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Mengenai pemimpin politik yang melakukan kesalahan jalan raya, Musa menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi untuk mengeluarkan saman.

“Kita tak kira, kita tetap akan keluarkan saman. Itu yang saman dikeluarkan sehingga mencecah ribuan banyaknya,” ujarnya.

Ditanya jika denda maksimum RM300 bagi saman masih relevan bagi mengelakkan untuk seseorang melanggar undang-undang jalan raya, Musa berkata: “Di Malaysia, hukuman mati sekalipun, dia orang tak kisah, dah sikap mereka langgar undang-undang. Sikap ini yang kena betulkan”.

Beliau menjelaskan, polis telah mengerakkan pelbagai cara untuk menyedarkan orang ramai, namun mereka tetap melanggar undang-undang semasa di jalan raya.

“Sampaikan kita terpaksa melakukan ujian air kencing terhadap pemandu kenderaan awam bagi memastikan mereka bebas mengambil dadah.

“Bukankah keadaan ini mengakibatkan kesusahan kepada penumpang kenderaan itu,” katanya lagi.

Musa berkata, penunggang motosikal pula gemar memotong kenderaan lain sesuka hati manakala pemandu kenderaan berat pula tidak menghormati orang lain.

“Saya rasa masyarakat kita ini seronok kalau tak patuh undang-undang,” tambah beliau.

Sehubungan itu, beliau meminta para ibu bapa supaya menerapkan pematuhan undang-undang kepada anak-anak mereka termasuk semasa di jalan raya.

- UTUSAN

Vaksin percuma cegah kanser rahim

by

Mulai tahun depan, seramai 300,000 remaja perempuan berusia 13 tahun di seluruh negara akan diberi suntikan pelalian Human Papillomavirus (HPV) bagi mencegah penularan kanser pangkal rahim. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pemberian vaksin berkenaan adalah di bawah Program Pelalian HPV yang diluluskan oleh Kabinet baru-baru ini dan melibatkan kos RM150 juta setahun.

“Kanser pangkal rahim merupakan kanser kedua yang kerap berlaku di kalangan wanita di negara ini selepas kanser payu dara. Kementerian Kesihatan berharap Program Pelalian HPV akan berjaya mencegah penyakit berkenaan pada masa akan datang. ‘‘Pelalian tiga dos HPV itu kemungkinan besar akan diberikan di sekolah. Maklumat terperinci mengenai pelaksanaan Program Pelalian HPV masih belum siap sepenuhnya,’’ katanya di sini hari ini. Tiong Lai berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan kempen Kesedaran Kesihatan anjuran Crisis Relief Squad of MCA (CRSM) di Wisma MCA, Jalan Ampang di sini hari ini.

Jelas beliau, vaksin berkenaan akan diberikan di sekolah-sekolah bagi memudahkan dos kedua dan ketiga diberikan kepada remaja perempuan yang terlibat. ‘‘Dos kedua akan diberikan selepas sebulan atau dua bulan dos pertama diberikan, manakala dos ketiga akan diberikan selepas enam bulan tarikh dos pertama. ‘‘Jika vaksin berkenaan diberikan di klinik dan hospital, berkemungkinan remaja berkenaan tidak datang semula untuk mendapatkan dos susulan masing-masing. Oleh itu, lebih baik ia diberikan di sekolah sahaja,’’ katanya.

Tambah Tiong Lai, Itali, Australia, Perancis dan Taiwan sudah memulakan program vaksin seumpama ini untuk remaja perempuan berusia 11 dan 14 tahun iaitu sebelum mereka mula melakukan hubungan seks. ‘‘Kajian yang dijalankan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2007 menganggarkan kos yang perlu ditanggung kerajaan untuk merawat pesakit kanser pangkal rahim atau kanser serviks di seluruh negara ialah RM382 juta setahun. ‘‘Jadi, kerajaan memilih untuk mencegah daripada merawat,’’ katanya. Jelas Tiong Lai, vaksin pencegah kanser pangkal rahim berkenaan hanya perlu diambil sekali dalam seumur hidup.

‘‘Keberkesanannya dalam mencegah penularan kanser pangkal rahim jenis 16 dan 18 adalah sehingga 98 peratus. ‘‘Ia mampu mengurangkan risiko kanser tersebut sehingga 70 peratus. Vaksin ini sudah berada di pasaran pada masa ini, namun harganya agak tinggi iaitu RM1,200 untuk tiga dos,’ jelasnya. Kata Tiong Lai, selepas pembelian meluas vaksin HPV untuk remaja perempuan tahun depan kerajaan akan berunding dengan pembekal vaksin untuk menurunkan harga HPV kepada sekitar RM500.

‘‘Biarpun vaksin pencegahan kanser pangkal rahim sudah berada di pasaran, golongan wanita masih digalakkan menjalankan pemeriksaan Pap Smear. ‘‘Ini kerana pelalian HPV mencegah kanser pangkal rahim, tetapi Pap Smear mampu mengesan kanser berkenaan di peringkat awal lagi,’’ jelasnya. Sementara itu, Ketua Wanita MCA yang juga Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun yang turut hadir pada majlis itu mengalu-alukan hasrat kerajaan untuk berunding bagi membantu mengurangkan harga vaksin HPV di pasaran.

- UTUSAN

Kahwin untuk melacur

by
‘China Doll’ iaitu gelaran untuk wanita warga China yang terbabit dengan sindiket pelacuran di negara ini kini semakin berani termasuk sanggup berkahwin dengan lelaki tempatan bagi mengabui mata pihak berkuasa.

Tujuan mereka berkahwin tidak ikhlas, sebaliknya hanya untuk dijadikan platform supaya boleh tinggal lebih lama di Malaysia bagi tujuan pelacuran.

Melalui perkahwinan itu, golongan tersebut boleh tinggal selama setahun di negara ini melalui pemberian pas lawatan sosial jangka panjang.

Peruntukan itu terdapat di bawah Akta Imigresen, malah ia boleh diperbaharui setiap tahun sekiranya tamat tempoh. Berbanding sebagai pelancong, wanita warga China hanya boleh tinggal tidak lebih tiga bulan.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman yang bimbang dengan trend terbaru sindiket pelacuran itu.

Katanya, perkara itu ada asasnya apabila dalam serbuan di dua buah pusat hiburan di Pulau Pinang baru-baru ini, semua 14 wanita negara tersebut yang disyaki pelacur mempunyai suami di negara ini.

“Mereka (sindiket) kini berani mengeksploitasi Akta Imigresen. Kesemuanya memiliki sijil perkahwinan sah untuk membuktikan perkahwinan dengan suami masing-masing.

“Kita juga telah hubungi ‘suami’ masing-masing dan mereka datang dan mengakui berkahwin dengan wanita-wanita itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Kata Abdul Rahman, pihaknya tidak dapat berbuat apa-apa melainkan terpaksa membebaskan wanita-wanita berkenaan kecuali dapat membuktikan mereka menawarkan khidmat seks.

“Perkembangan itu membimbangkan kita kerana ditakuti akan menjadi ikutan sindiket-sindiket lain.

“Taktik baru ini menunjukkan sindiket pelacuran semakin bijak bermain dengan undang-undang negara,” ujar beliau.

Bagaimanapun setakat ini, imigresen belum dapat membuktikan sama ada ‘suami’ kepada wanita warga asing tersebut diupah untuk perkahwinan itu.

Ketua Jabatan Pengaduan Awam dan Perkhidmatan MCA, Datuk Michael Chong ketika ditemui berkata, jika dahulu suami menjadikan isteri sebagai mangsa pelacuran, kini keadaan sudah berubah.

Katanya, sebelum ini, beliau pernah mengendalikan masing-masing satu kes wanita warga China dan Vietnam yang dipaksa suaminya menjadi pelacur.

“Kalau ada wanita menjadi mangsa, begitu juga berlaku sebaliknya sekarang. Ada berpura-pura berkahwin tetapi sebenarnya untuk terlibat dalam pelacuran tanpa pengetahuan suami dan sebagainya,” jelasnya.

Beliau berkata, sehubungan itu, pihaknya meminta kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap perkara tersebut bagi mengelakkan Akta Imigresen disalah guna.

“Kelonggaran diberikan negara ini kepada rakyat yang berkahwin dengan warga asing menunjukkan keprihatinan kerajaan tetapi malangnya ia telah dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.

“Jikalau dahulu ramai mengadu kesukaran pasangan mereka untuk menetap di negara ini, namun apabila kelonggaran diberi, ia disalah guna pula,” katanya.

- UTUSAN

JPJ cadang guna AES

by
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bercadang memasang Kamera Pengesan Saman Secara Automatik (AES) di 831 kawasan berisiko berlaku kemalangan di seluruh negara untuk mengurangkan kadar nahas jalan raya.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, tinjauan di lebih 12 negara dan uji kaji yang dijalankan di Lebuh Raya Guthrie mendapati teknologi itu sesuai digunakan di Malaysia.

Beliau berkata, cadangan penggunaan alat itu akan diserahkan untuk pertimbangan Jemaah Menteri dalam masa terdekat bagi menentukan kaedah pelaksanaannya.

‘‘AES merupakan sebahagian daripada pendekatan penguatkuasaan elektronik yang diperkenalkan untuk mencapai sasaran nisbah dua kematian daripada 10,000 kenderaan menjelang 2010.

‘‘Selain berperanan sebagai perangkap kelajuan, AES juga boleh digunakan untuk mengatasi masalah jenayah dan memantau keadaan trafik,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, AES akan dipasang di kawasan kemalangan termasuk 265 kawasan lampu isyarat dan 566 lagi kawasan di mana kelajuan sering menyebabkan kemalangan.

‘‘AES tidak akan disorok daripada pemandu, sebaliknya kita akan mendirikan papan tanda amaran mengenai kedudukan alat ini.

‘‘Ini kerana AES bukan diperkenalkan untuk mendenda pemandu tetapi mahu mereka berhati-hati di kawasan kemalangan,” katanya.

Solah berkata, AES yang menggunakan teknologi radar adalah berlainan dengan kamera perangkap kelajuan yang digunakan oleh polis kerana AES boleh beroperasi secara automatik selama 24 jam.

‘‘AES juga dapat menangkap gambar semua kenderaan yang dipandu melebihi had laju di satu-satu tempat pada masa yang sama.

‘‘AES juga boleh berfungsi dalam bentuk gambar atau video. Alat ini dapat mencatatkan kelajuan kenderaan, gambar pemandu dan nombor plat,” katanya.

Beliau berkata, alat pengesan yang dipasang pada jalan raya hanya dapat mengesan kelajuan dan mengenal pasti jenis kenderaan yang lalu.

‘‘Had kelajuan adalah berbeza untuk kenderaan yang berlainan, alat pengesan AES memastikan kita dapat mengeluarkan saman secara tepat,” katanya.

Tambahnya, AES telah digunakan di 92 negara dan terbukti mampu mengurangkan kemalangan jalan raya.

- UTUSAN

Khidmat Celcom terjejas 12 jam

by
Berjuta-juta pelanggan syarikat telekomunikasi mudah alih, Celcom (M) Berhad di seluruh negara terjejas hampir 12 jam berikutan kesesakan luar biasa pada talian pasca bayar dan prabayar bermula jam 9 pagi semalam.

Perkhidmatan yang terjejas adalah panggilan keluar dan panggilan masuk dalam rangkaian Celcom, tetapi kemudahan lain termasuk SMS, MMS, panggilan antarabangsa (IDD), GPRS, perantauan dan panggilan ke talian tetap serta rangkaian lain berjalan lancar.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Datuk Seri Shazalli Ramly, berkata gangguan hanya membabitkan perkhidmatan panggilan suara antara pelanggan talian berkenaan, manakala perkhidmatan jalur lebar tidak terjejas.

“Gangguan berlaku secara berperingkat kira-kira jam 9 pagi dan mula meruncing menjelang waktu puncak pada jam 12 tengah hari. Ia berikutan peningkatan luar jangka kadar penggunaan talian sebanyak lima kali ganda pada hari raya kelima (semalam).

“Kita memang menjangka akan berlaku peningkatan penggunaan talian sempena musim perayaan kali ini tetapi tidaklah sampai lima kali ganda. Belum pernah berlaku kejadian sebegini dalam sejarah Celcom,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sambil memohon maaf kepada pelanggan, beliau berkata, dua ‘node’ (pusat pertukaran transmisi) syarikat berkenaan di Kepong dan Perda, Seberang Prai mengalami kesesakan teruk sehingga kehilangan isyarat panggilan.

“Celcom ada dua node. Biasanya, satu node sudah cukup untuk menampung penggunaan, manakala satu lagi sebagai unit sokongan. Bagaimanapun, kedua-duanya sesak teruk hari ini (semalam) hingga isyarat panggilan hilang.

“Bayangkan, 160 juta SMS dikendalikan pada malam raya saja, manakala panggilan IDD meningkat sembilan kali ganda dan panggilan biasa lima kali ganda. Dari malam raya hingga raya keempat memang tiada gangguan sehinggalah hari ini apabila pengguna mula bergerak dan bekerja di kawasan liputan kita,” katanya.

Shazalli turut memaklumkan pasukan teknikal Celcom berjaya memulihkan gangguan itu sepenuhnya menjelang 12 tengah malam tadi.

- BERITA HARIAN

PAS Selangor bersuara

by
Pas Selangor sedia meneliti secara terperinci saranan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) supaya parti itu mengkaji semula kedudukannya dalam PR di negeri ini berikutan pendirian Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang mahu Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) dirombak.

Pada masa sama, Setiausahanya, Mohd Khairuddin Othman, mempertahankan pendirian Pesuruhjaya Pas negeri itu yang mempertikaikan kewibawaan ahli panel Selcat dan mencadangkan jawatankuasa berkenaan dianggotai golongan profesional yang tiada kepentingan politik.

Beliau berkata, parti itu akan mengadakan mesyuarat tergempar dalam masa terdekat untuk membincangkan perkara berkenaan kerana Pas tidak boleh dilihat sebagai parti yang hanya 'melukut di tepi gantang'.

Katanya, Pas tidak boleh mengambil mudah desakan beberapa wakil rakyat PR, termasuk daripada Pas sendiri supaya Dr Hasan mengkaji kedudukannya dalam pakatan itu.

"Pas tidak pernah terfikir untuk keluar daripada Pakatan Rakyat, tetapi memandang serius kenyataan daripada wakil rakyat supaya Pas dikeluarkan daripada pakatan," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Kelmarin, Ahli Parlimen Shah Alam yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Shah Alam, Khalid Samad, dilaporkan berkata, wakil rakyat Pas dan penyokong parti itu sepatutnya membuat penilaian terhadap tindakan Hasan yang dilihat sentiasa bertentangan dengan dasar kerajaan negeri.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago daripada DAP pula meminta Hasan meninggalkan PR jika tidak lagi mampu bekerjasama secara berkumpulan dengan wakil rakyat dalam pakatan itu.

Terdahulu, dalam kenyataan media ketika mempertahankan pendirian Pesuruhjaya Pas Selangor yang mahu Selcat dirombak, Mohd Khairuddin berkata, Pas Selangor tetap berpandangan Selcat harus diberi ruang untuk ditegur kerana jawatankuasa itu baru berusia setahun setengah dan tidak terkecuali daripada kelemahan.

"Teguran akan memberikan penambahbaikan kepada Selcat dan seterusnya memperkukuhkan integriti Selcat di mata rakyat.

"Sekiranya ada mana-mana wakil rakyat yang mencadangkan agar Pas mengkaji kedudukannya dalam Pakatan Rakyat, Pas Selangor bersedia mengkaji kenyataan itu secara terperinci," katanya.

Mohd Khairuddin berkata, Pas Selangor mencadangkan proses pendengaran awam Selcat dilakukan secara tertutup bagi menjaga integriti pegawai tinggi kerajaan.

Katanya, parti itu tidak mempertikaikan kewujudan Selcat kerana ia diwujudkan mengikut proses undang-undang yang sah, tetapi mahu perubahan dilakukan terhadap proses pelaksanaan jawatankuasa itu.

Beliau memberi contoh, walaupun mahkamah terbuka kepada orang awam, ia boleh menjalankan proses perbicaraan secara tertutup mengikut budi bicara sendiri.

"Begitu juga dengan Selcat. Walaupun sah kewujudannya, Pas Selangor mendesak proses pendengaran ke atas pegawai tinggi kerajaan dilakukan secara tertutup," katanya.

- BERITA HARIAN

Ganjaran ibarat berpuasa satu tahun

by
Mengenai puasa enam hari pada Syawal Rasul SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian meneruskannya dengan enam hari pada Syawal, akan mendapat ganjaran seolah-olah dia berpuasa setahun.” (Riwayat Muslim, Tarmizi, Abu Daud dan Ibn Majah)

Ibnu Qudamah menyebut dalam kitabnya Mughni, riwayat Said daripada Sauban ra berkata, sabda Rasul SAW: “Sesiapa berpuasa Ramadan sebulan bersamaan 10 bulan dan puasa enam hari pada Syawal, maka sempurnalah setahun.”

Ini bermakna satu kebajikan digandakan 10 dan enam hari dengan ganjaran 60 hari, Demikianlah 12 bulan iaitu setahun.

Imam Nawawi mengulas hadis di atas sebagai: “Ini bukti jelas bagi Imam Syafie, Imam Ahmad dan Daud atas alasan menggalakkan kita berpuasa enam”.

Pengarang kitab Al-Hidayah dan pengarang lain menyarankan ia dilakukan berturut-turut. Namun, Imam Abu Hanifah dan sebahagian ulama mazhab Syafie antaranya Abu Yusuf berpendapat dipisahkan lebih baik dan disunatkan kerana membezakan dengan puasa penganut kristian dan meraikan kaum keluarga.

Adakah boleh niat qada Ramadan bersama puasa sunat enam?

Berlaku khilaf (perbezaan) pendapat di kalangan ulama mazhab Syafie. Pendapat terkuat mengatakan perlu diasingkan antara kedua-duanya jika kita memang mampu berbuat demikian. Namun, ada pendapat ulama seperti pengarang kitab Asnanul Matalib dan Hasyiah (Syarah kepada kitab Nihayah) menyatakan boleh digabungkan kedua-duanya.

Apabila ada pertembungan puasa qada dan puasa enam, kita boleh memilih seperti berikut:

Terbaik ialah menyelesaikan dulu qada, diikuti puasa enam.

Jika kita tidak mampu melakukannya pada Syawal, dulukan puasa enam dan qada pada bulan lain kerana masih ada 11 bulan.

Jika tidak mampu melakukan puasa itu berasingan, harus kita niatkan kedua-duanya dalam satu puasa mengikut pendapat yang mengatakan: “Qada puasa pada Syawal dapat menampung puasa sunat secara serentak”.

Boleh diikuti semua pendapat ini, namun pandangan pertama ialah yang terbaik.

- BERITA HARIAN

Kurikulum pendidikan JPJ perlu dirombak

by
Oleh Jami'ah Shukri

Sebuah kereta mewah, Volvo meluncur laju dan merapati MyVi di lorong laju serta memberikan isyarat lampu supaya ke tepi, sedangkan ketiga-tiga lorong di Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran Pedas, Negeri Sembilan, ada kenderaan lain yang jaraknya tidak jauh antara satu sama lain.

Pemandu Volvo itu tidak berpuas hati dan naik marah, lalu mengambil lorong kecemasan dan kemudian memintas semula ke depan MyVi, dengan rapatnya. Itu antara pemandangan biasa dan gelagat pemandu yang kerap kita dilihat.

Gelagat pemandu itu mempamerkan buruknya sikap pemanduannya. Banyak lagi gelagat pemandu di negara kita yang masih tidak menghiraukan peraturan lalu lintas. Justeru, tidak mustahil mengapa bilangan kemalangan jalan raya, terutama pada musim perayaan masih kekal pada takuk lama kerana pemandu yang mempunyai mentaliti rendah ketika di jalan raya.

Apa yang nyata, kemalangan jalan raya bukan takdir, sebaliknya boleh dielakkan jika semua pemandu mengadunkan aspek penting, iaitu sikap berhemah.

Kajian Institut Keselamatan Jalan Raya (Miros) mengenai tabiat dan tingkah laku pemandu di negara ini memang berada pada tahap teruk, iaitu 66 peratus tidak takut dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

Saban tahun pihak berkuasa dan orang ramai sendiri, menyalahkan sikap pemandu sebagai punca utama kemalangan. Tetapi pernahkah pihak berkuasa melihat lebih jauh ke dalam bagi merungkai perkara pokok yang menjadi punca sebenar kemalangan itu.

Mungkin ada sesuatu yang tidak kena dengan Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) yang dipraktikkan sekarang? Adakah ia memenuhi kaedah dan keadaan pemanduan pada masa ini?

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seharusnya mengkaji serta merombak KPP dengan memasukkan aspek baru dan melakukan penambahbaikkan sebagai usaha mengurangkan kadar kemalangan.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Abdul Rahim Md Nor, berpendapat walaupun berdasarkan statistik kadar kemalangan jalan raya sudah menurun sepanjang tempoh 15 tahun kebelakangan ini, bilangan kematian tetap kekal, iaitu 14 orang dan meningkat sehingga 18 orang sehari, khususnya pada musim perayaan.

Katanya, berdasarkan pemerhatian, peningkatan bilangan kemalangan juga disebabkan pertambahan jumlah kenderaan dan saiz penduduk di negara ini. Bagaimanapun, peningkatan semua aspek itu tidak diselaras dengan pembentukan KPP yang baik, terutama dari segi kemahiran memandu.

Beliau berkata, sudah tiba masanya kurikulum sekarang dirombak dengan memberi penekanan terhadap kemahiran pemanduan, melahirkan sikap positif ke atas pemandu. Sistem ujian memandu disediakan JPJ hanya untuk mendapatkan lesen saja dan ini berbeza dengan negara maju, khususnya di Eropah, Britain, Norway dan Scandinavia.

“Saya dapati, di Malaysia, lebih ditekankan kepada peperiksaan bertulis bertujuan menguji tahap pengetahuan pemandu, bukan menekankan kemahiran memandu.

“Ini berbanding di Eropah atau Norway, mereka akan membawa calon untuk perjalanan yang jauh, iaitu dengan mengelilingi bandar raya di pelbagai lokasi termasuk kawasan perumahan, kilang dan lebuh raya. Jumlah masa diambil untuk ujian itu antara setengah jam hingga 45 minit.

“Penguji juga akan meminta calon meletakkan kenderaan di antara celah kereta di kawasan letak kereta. Di Malaysia, semua ujian letak kereta dilakukan di litar kawasan ujian yang mana akan di letakkan tiang besi sebagai pengukurnya,” katanya.

Prof Abdul Rahim berkata, ujian pemanduan yang sempurna seperti di negara maju itu mampu membentuk sikap, tabiat, tingkah laku pemandu, sekali gus meningkatkan kemahiran mereka di jalan raya.

Katanya, Norway, Jepun atau Scandinavia dianggap terbaik dan rendah dari segi kadar kemalangan, walaupun negara itu ada salji serta pemandu mabuk. Pengeluaran lesen kepada calon baru juga amat ketat dan tidak diperoleh dengan mudah.



Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Hassan, berkata JPJ akan memperkenalkan modul KPP baru menjelang tahun depan dengan memberi penekanan kepada pembentukan sikap, kemahiran dan pengetahuan pemanduan.

Beliau mengakui kurikulum sedia ada yang sudah dirombak dua kali sebelum ini sepanjang 10 tahun lalu perlu untuk memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

“Kita sudah melakukan yang terbaik untuk menyedia dan menerapkan nilai dan budaya pemandu yang berhemah, berdisiplin dan kompeten. Tetapi, masalah sikap ini terletak kepada pemandu sendiri,” katanya.

Ketika ini, sebelum seseorang calon layak mendapat lesen memandu percubaan (lesen P), iaitu mengikuti ceramah KPP selama lima jam, kelas teori tiga jam, kelas praktikal tiga jam, latihan praktikal memandu 10 jam dan pra-ujian JPJ dua jam.

Format ujiannya pula meliputi tiga bahagian, iaitu bahagian A mengenai aspek tanda isyarat jalan raya, pemanduan berhemah dan aspek kecemasan (bahagian B) dan perundangan/peraturan, Sistem Kejara dan pengurusan stres (bahagian C).

Semua ini perlu dirombak semula dengan penekanan kepada sikap pemandu itu sendiri.

Kepentingan telefon bimbit

by
Telefon bimbit adalah alat paling penting kepada seseorang untuk berkomunikasi, malah hubungannya seperti isi dengan kuku, sukar untuk memisahkan kedua duanya dalam melayari kehidupan.

Daripada perangkaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, hampir 100 peratus peratus masyarakat di negara ini menggunakan telefon bimbit.

Fungsinya kini bukan sekadar membuat dan menerima panggilan atau mengirim dan menerima pesanan ringkas (SMS) malah mencakupi dunia mesej mudah alih lain.

Kita kini berada dalam ruang lingkup Internet dan orang bercakap di mana-mana saja.

Kepentingannya itu menarik minat pengeluar utama telefon bimbit dunia, Nokia untuk membangunkan mesej mudah alih secara serius.

Apa yang dikatakan mesej mudah alih ialah kemudahan membabitkan aplikasi seperti e-mel, ruang sembang elektronik seperti Yahoo Messenger atau MSN Messenger dan pelbagai inovasi komunikasi lain.

Visi Nokia mensasarkan masyarakat mesej mudah alih yang ramai dengan pembuatan telefon bimbit mesra pengguna berupaya memuatkan pelbagai aplikasi komunikasi di dalamnya.

Berdasarkan penyelidikan yang dilaksanakan Nokia terhadap pendapat umum menunjukkan fakta memberangsangkan membabitkan penggunaan e-mel memandangkan ia antara komunikasi utama pada masa kini.

Ketua Pemasaran Nokia Singapura, Malaysia dan Brunei, Bambos Kaisharis, berkata penyelidikan yang dijalankan menunjukkan hampir 100 peratus pengguna yang ditemuramah mempunyai akaun e-mel sama ada untuk persendirian atau urusan pejabat.

"Daripada angka terbabit, jumlah pengguna yang mahukan kemudahan e-mel secara mudah alih menghampiri 90 peratus," katanya.

Ia menggambarkan keperluan pengguna dan kesediaan mereka kepada komunikasi yang meluas dengan permintaan terhadap mesej mudah alih lebih pantas untuk berhubung.

Berbanding pada zaman dulu, manusia kini berhubung dengan kaedah berlainan bergantung kepada keperluan mereka.

Kita pernah memiliki kemudahan khidmat pesanan ringkas, e-mel dan pelbagai aplikasi lain namun semuanya diakses menggunakan komputer peribadi (PC) yang terlekat di rumah atau pejabat.

Sekiranya, pengguna keluar saja dari lingkungan rumah atau pejabat, komunikasi akan terputus begitu saja.

Justeru kemestian berhubung tanpa henti seakan mula dirasai pengguna bergantung kepada peribadi masing-masing.

Walaupun permintaan mesej mudah alih meningkat mendadak, ia tidak akan menghilangkan fungsi khidmat pesanan ringkas (SMS) kerana ia memiliki segmen berlainan.

Ada yang berpendapat fungsi SMS akan diketepikan sekiranya mesej mudah alih berleluasa namun pendapat terbabit tidak disokong teori kukuh yang menggugat khidmat terbabit.

Pengguna mesej mudah alih terbahagi kepada kategori berlainan bergantung kepada cara mereka berkomunikasi pada masa itu.

"Contohnya, sekiranya mereka mahu menghantar dokumen lain, e-mel adalah jalan terbaik.

"Kalau mahukan komunikasi secara langsung, mesej pantas (IM) pula jawapan yang tidak kurang hebatnya," katanya.

Jelasnya, SMS pula tidak menjamin pengguna mendapat jawapan dengan pantas dari si penghantar kedua.

Semua fungsi terbabit menunjukkan kepelbagaian komunikasi dalam telefon bimbit pada zaman moden.

Syarikat telekomunikasi pula tidak sepatutnya menepuk dahi kerana mereka tidak akan rugi walau sesen pun.

Kaisharis berkata, penggunaan IM dalam telefon bimbit tidak akan menghantui perkhidmatan SMS yang ditawarkan syarikat telekomunikasi.

"Bukan saja tidak menggugat mereka malah pengguna perlu mendapatkan akses data yang hanya boleh ditawarkan melalui syarikat telekomunikasi," katanya.

Beliau berkata, situasi menang-menang diperoleh kedua-dua pihak dengan pengguna mendapat satu tawaran akses data sementara syarikat telekomunikasi mampu menawarkan pakej yang menarik.

"Nokia pula akan memainkan peranan menyediakan peranti dengan antaramuka yang mampu digunakan semua lapisan umur," katanya.

Jika diteliti dengan terperinci, inovasi Nokia mampu dimanfaat masyarakat luar bandar kerana ia mengeluarkan produk mesra pengguna yang disesuaikan dengan teknologi generasi ketiga (3G) untuk sambungan Internet.

"Secara tidak langsung, ia mampu dimiliki masyarakat luar bandar yang mahukan capaian Internet pada peranti dengan harga berpatutan," katanya.

Kini berbilion pengguna mesej mudah alih di dunia yang majoritinya mempunyai lebih dari satu akaun e-mel berasaskan kepentingan masing-masing menguruskan segmen e-mel.

Jumlah pengguna yang mahukan mesej mudah alih kian meningkat memandangkan mereka tidak mahu terputus hubungan dengan keluarga, saudara, kenalan, rakan pejabat, rakan perniagaan dan sebagainya sekiranya berada di luar kawasan yang mempunyai kemudahan Internet.

Mereka memerlukan peranti mudah alih. Oleh itu, telefon bimbit adalah penyelesaian mudah.

Komunikasi tidak akan terhad di depan PC semata-mata.

Sekiranya PC mempunyai keupayaan membuka aplikasi seperti IM, e-mel dan sebagainya, pengguna akan menyaksikan perkara sama pada telefon bimbit mereka.

Terdapat halangan di kalangan pengguna untuk berhubung menerusi mesej mudah alih yang membabitkan peranti mudah pakai, rangkaian bersesuaian dan harga dikenakan bagi memilikinya.

Liputan 3G sudah meluas di kalangan pengguna terutama di Malaysia.

Prasarananya yang bercambah di negara ini membantu pengguna mendapatkan kemudahan mesej alih menerusi telefon bimbit tanpa perlu 'log on' kepada PC semata-mata.

Apabila prasarananya lengkap, pengguna akan mendapati isu kedua membabitkan peranti mesra digunakan yang tidak menjamin kemudahan mesej mudah alih secara berkesan.

Justeru, Nokia berusaha membangunkan telefon bimbit dengan antaramuka mudah bertujuan menggalakkan penggunaan komunikasi menerusi mesej mudah alih secara bersepadu.

Peranan dimainkan Nokia menjurus kepada permintaan hangat terhadap komunikasi pantas menggunakan capaian Internet.

Jika pengguna mahu mendapatkan kaedah hubungan secara langsung, peranti yang dihasilkan perlu bertepatan bermula sebaik pengguna 'switch on' sehingga mendapatkan skrin pendahuluan.

Anda perlu mengetahui telefon bimbit adalah peranti yang sudah sebati dalam kehidupan manusia maka ia perlu dievolusikan untuk menempatkan pelbagai kaedah berhubungan tidak terhad kepada suara semata-mata.

Nokia mengambil inisiatif mencipta teknologi mudah digunakan segenap lapisan masyarakat.

Papan kekunci antara faktor utama bagi mempercepatkan proses penyesuaian antara penggunaan mesej mudah alih dan telefon bimbit.

Pengalaman mengoptimumkan mesej mudah alih membolehkan penciptaan papan kekunci numerik sehingga jenis QWERTY bergantung kepada keselesaan pengguna itu sendiri.

Nokia sendiri menghasilkan teknologi untuk kompres mesej mudah alih kepada beberapa bahagian kecil bagi dipadankan dengan telefon bimbit yang disaksikan pada peranti terbabit.

"Kita mengurangkan jurang untuk mendapatkan mesej mudah alih yang mampu milik kepada masyarakat selepas rangkaian 3G mula bertapak di negara ini," katanya.

Tambahan pula, kos untuk mendapatkan rangkaian 3G kini murah dengan kawasan liputan menyeluruh.

Kaedah komunikasi pengguna juga bukan berada di takuk lama memandangkan mereka mahu hubungan tanpa henti tepat di tapak tangan mereka apabila diperlukan.

Pengguna telefon bimbit bukan mahukan fungsi suara saja menunjukkan cara komunikasi mereka juga berubah dengan pantas.

Kalau PC mempunyai pelbagai aplikasi komunikasi yang mampu diketengahkan, pengguna pun mahu perkara sama diwujudkan dalam telefon bimbit.

"Pelanggan Ovi saja iaitu perkhidmatan komunikasi menyeluruh pun kini sudah meningkat kepada satu juta pengguna dan mereka mengharapkan keupayaan komunikasi menggunakan telefon bimbit," jelasnya.

Kemungkinan besar pengguna yang mengakses Internet melalui telefon bimbit akan melebihi jumlah mereka yang melungsurinya dari komputer peribadi pada masa depan di negara ini.

Jika dulu terpaksa menghadap komputer sekurang-kurangnya dua kali sehari untuk membaca e-mel, kini lebih selesa mengaksesnya melalui telefon bimbit.

- HARIAN METRO

Beri nafas baru penyampaian khutbah

by
Oleh DR. MOHD. FAHMI ABDUL KHIR

Dalam satu khutbah Aidilfitri yang disampaikan baru-baru ini, ternyata ia begitu berkesan sebagai kaedah dakwah yang sangat efektif. Semua ahli jemaah terpesona dengan nasihat dan pengajaran yang disampaikan. Intonasi suara dan gaya penyampaian khatib begitu memberangsangkan.

Anak-anak muda juga mula memikirkan tentang hala tuju kehidupan mereka selepas mendengar hadis-hadis Nabi SAW dan ayat-ayat al-Quran yang diketengahkannya.

Bayangkanlah jika semua masjid di Malaysia dapat menampilkan khatib yang sebaik ini, nescaya mesej Islam dapat disampaikan kepada masyarakat dengan pengisian yang berkualiti.

Malangnya pada hari ini, kita melihat institusi mimbar kaku, tidak dapat berfungsi dengan sebaik-baiknya.

Bukan senang untuk mendapatkan kehadiran jemaah yang ramai dalam satu-satu masa seperti mana kehadiran mereka di dalam solat hari raya atau solat Jumaat.

Institusi mimbar seharusnya diperkemaskan dan ditambah baik. Pihak berwajib dan bertanggungjawab hendaklah memainkan peranan sewajarnya.

Amat merugikan apabila kita melihat fenomena di mana jemaah ketika mendengar khutbah Jumaat atau khutbah hari raya dalam keadaan lena, mengantuk, mengharapkan ia cepat habis dan sebagainya.

Apabila mendongak ke arah mimbar, rupanya pengisian dan penyampaian khatib amat mengecewakan, seperti melepaskan batuk di tangga.

Pengisian berkualiti adalah pengisian yang semasa, menyentuh isu-isu dan permasalahan masyarakat setempat, mengkaitkan dengan nas-nas al-Quran dan hadis yang tepat.

Penyampaian yang bertenaga pula hendaklah punya intonasi yang dapat menusuk ke dalam jiwa pendengar.

Bacaan nas-nas al-Quran dan hadis yang fasih, berkeyakinan. Penyampaian yang mengambil kira reaksi pendengar ketika itu.

Penyampaian secara ilqa'iy (terus tanpa terikat dengan teks) amat istimewa jika dapat disempurnakan dengan sebaik-baiknya, nescaya akan terpesona para pendengar.

Khutbah tidak perlu panjang dan meleret, lima belas minit sudah memadai, manfaatkan masa tersebut dengan sebaik-baiknya.

Mewajibkan para khatib membaca khutbah yang diedarkan seharusnya diberikan sedikit kelonggaran untuk membolehkan para khatib mengutarakan isu-isu atau permasalahan setempat.

Para khatib pula apabila diberikan kelonggaran ini seharusnya tidak menyentuh isu-isu yang bersifat politik kepartian. Harus dibezakan antara politik dan politik kepartian.

Aspek politik, pentadbiran, pemerintahan tidak salah untuk dibicarakan tetapi jangan mengheret aspek-aspek ini ke kancah politik kepartian.

Teguran, nasihat, pengajaran, ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis Nabi SAW sampaikanlah tetapi janganlah ia bermotifkan politik kepartian.

Mudah-mudahan para khatib dan pihak yang bertanggungjawab dapat bertolak ansur demi keberkesanan dan kelangsungan institusi mimbar yang merupakan kaedah dakwah yang sangat bermakna pada hari ini.

Sikap punca jumlah kemalangan terus meningkat

by
Hari ke-11 Ops Sikap ke-20 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri menyaksikan 15 lagi pengguna jalan raya terbunuh, menjadikan jumlah keseluruhan angka korban sehingga semalam 192 orang. Sementara itu, 1,171 kemalangan direkodkan.

Menurut statistik yang dikeluarkan Bukit Aman daripada 15 kematian itu, 10 melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal manakala kereta mencatatkan tiga, diikuti pejalan kaki dan van masing-masing satu.

Persoalannya, mengapa kemalangan terus berlaku dan makin meningkat dari sehari ke sehari. Adakah kita tidak mampu mensasarkan kemalangan sifar atau mengurangkan jumlah kemalangan maut?

Pada pandangan saya, punca utama berlakunya kemalangan di negara kita adalah kerana sikap pemandu sendiri. Sikap pemandu yang terburu-buru dan cuai telah menyumbang kepada berlakunya kemalangan.

Kebanyakan pemandu di Malaysia bersikap mementingkan diri sendiri dan tidak memikirkan keselamatan orang lain ketika memandu. Sebagai contoh, tidak mengamalkan jarak selamat dan mengekori dengan terlalu rapat kenderaan di hadapan sehingga menyebabkan mereka gagal memberhentikan kenderaan apabila kecemasan.

Selain itu, terdapat juga segelintir pemandu yang terlampau peka dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka dan memperlahankan kenderaan di kawasan yang tidak perlu mereka perlahankan kenderaan.

Sebagai contoh, ketika memandu di lebuh raya, para pemandu mempunyai kecenderungan untuk memandu dengan perlahan di kawasan yang berlaku kemalangan untuk melihat kemalangan yang berlaku. Apabila kereta mereka diperlahankan, ini menyebabkan aliran trafik turut terjejas dan menjadi perlahan. Secara tidak langsung, perkara ini boleh juga membuatkan mereka hilang fokus dan tumpuan pada pemanduan mereka dan menyebabkan kemalangan.

Saya juga mendapati, sikap pemandu-pemandu terutamanya di lebuh raya amat mengecewakan. Ada di antara para pemandu yang menggunakan lorong kecemasan semata-mata mahu cepat dan memotong kenderaan-kenderaan lain. Walaupun pelbagai kempen telah dijalankan oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya untuk memberi kesedaran kepada para pemandu untuk tidak menggunakan lorong kecemasan, namun mereka masih berbuat demikian.

Saya menyarankan agar pihak Polis Diraja Malaysia mempergiatkan rondaan di lebuh raya dan mengeluarkan saman kepada golongan yang tidak bertanggungjawab ini.

Selain faktor kecuaian manusia, terdapat juga kemalangan yang disebabkan oleh keadaan kenderaan yang tidak selamat dan boleh menjejaskan keselamatan kenderaan dan penumpang.

Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan malang tidak berbau, namun sebagai pengguna jalan raya yang bertanggungjawab, kita mampu mengelakkan sesuatu kemalangan jika kita mematuhi semua peraturan dan undang-undang jalan raya dan mengamalkan pemanduan berhemah.

Bagi pemandu-pemandu yang beragama Islam, kita disunatkan dan amat digalakkan untuk memulakan perjalanan dengan bacaan doa menaiki kenderaan. Doa yang dipohon, jika disertakan dengan pemanduan berhemah dan sikap yang bertanggungjawab, saya yakin kita mampu untuk mengurangkan jumlah kemalangan yang semakin meningkat dari sehari ke sehari.

Pengisian hari raya untuk generasi muda

by
Oleh ABDUL RAHMAN MAHMUD

Hari Raya Aidilfitri terus disambut penuh kesyukuran oleh umat Islam di negara ini yang berjumlah lebih 16 juta orang. Ia dirayakan penuh meriah oleh semua lapisan generasi.

Namun dalam kemeriahan kita menyambut hari raya, kita harus memikirkan apakah pengisian yang sesuai untuk generasi muda kita? Ini kerana ada di kalangan generasi muda kita yang tersimpang dalam menyambut hari raya. Bagi sesetengah mereka hari raya dianggap sebagai pesta muda mudi untuk berseronok dan bergembira.

Generasi muda kita seolah-olah dibiarkan sahaja dalam menentukan pilihan dan cita rasa mereka dalam menyambut hari raya. Hal ini sekiranya dibiarkan berlarutan sudah tentu akan memadam makna dan pengertian Aidilfitri yang sebenar.

Ini kerana Aidilfitri membawa maksud kembali kepada fitrah. Bulan Ramadan yang dilalui selama sebulan berperanan untuk menyucikan diri manusia daripada segala dosa dan kemaksiatan. Ia mengeluarkan manusia daripada kegelapan dan kemungkaran agar kembali kepada fitrah insan yang mengabdikan diri seutuhnya kepada Allah SWT.

Bagaimanapun pengertian Aidilfitri ini dicalarkan dengan pengisian hari raya yang tidak bermanfaat di kalangan generasi muda. Ada di antara remaja kita menghabiskan masa di hadapan TV menonton rancangan filem, hiburan dan persembahan artis yang dianggap lebih menarik perhatian mereka.

Ini menyebabkan mereka 'malas' untuk melakukan amalan ziarah menziarahi di kalangan sesama keluarga dan jiran tetangga.

Selain itu ada dalam kalangan generasi muda pula yang menghabiskan masa berpeleseran di kompleks membeli-belah, pawagam, kompleks boling dan pusat hiburan. Kelihatan pergaulan bebas antara remaja lelaki dan perempuan juga berlaku.

Ada antara mereka yang berpakaian menjolok mata sehingga mendedahkan aurat, berpegangan tangan dan berpelukan antara lelaki dan perempuan.

Amat menyedihkan lagi didapati mereka adalah remaja yang berumur dalam lingkungan belasan tahun. Apakah yang bakal berlaku seandainya perkara ini terus membudaya di kalangan generasi kita pada masa akan datang? Tidak cukup dengan pergaulan bebas di pusat hiburan ada remaja yang menghabiskan masa cuti hari raya dengan merempit di jalan raya.

Situasi ini seharusnya dipandang serius oleh semua pihak. Kebebasan yang diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak tidak seharusnya dijadikan 'tiket' untuk remaja berseronok sehingga menjual maruah diri dan merosakkan nama agama.

Dalam masa yang sama ibu bapa harus memantau pergerakan anak-anak semasa cuti hari raya. Kita tidak inginkan anak-anak remaja Muslim menjadi hamba kepada keseronokan. Apa yang kita impikan hari raya ini disambut dengan penuh pengertian dan pengisian yang bermakna.

Dalam hal ini ibu bapa seharusnya menyediakan pengisian program hari raya yang khusus untuk anak-anak remaja mereka.

Ini bukan bertujuan untuk mengongkong mereka bersosial. Tetapi ia bertujuan mengawal mereka daripada pengaruh negatif yang boleh merosakkan akhlak dan pemikiran remaja Muslim kita.

Sekurang-kurangnya ada empat pengisian program hari raya yang boleh dilakukan oleh ibu bapa khususnya kepada generasi muda.

Pertama; program ziarah keluarga.

Ia perlu dijadikan kewajipan di kalangan anak-anak remaja kita. Amalan ziarah menziarahi antara sesama saudara mara perlu dibudayakan.

Di samping itu berhari raya dengan memakai pakaian yang bersopan dan menutup aurat adalah suatu perkara yang harus diteruskan. Ini kerana ramai di kalangan generasi muda kita yang memandang enteng terhadap amalan menutup aurat.

Menziarahi datuk, nenek dan seluruh ahli keluarga yang berdekatan amat penting dilakukan. Ia dapat mengukuhkan silaturahim dan ukhwah di kalangan keluarga umat Islam. Dalam masa yang juga ia dapat melahirkan rasa hormat dan kasih sayang di kalangan golongan tua dan muda.

Kedua; mengunjungi tanah perkuburan. Mengunjungi pusara saudara mara yang telah meninggal dunia merupakan amalan murni yang mempunyai hikmah yang amat besar. Amalan ini dapat melahirkan rasa insaf di kalangan remaja tentang hakikat kehidupan yang cuma sementara.

Ia juga dapat menjalin rasa kekeluargaan tinggi di kalangan remaja.

Ketiga; amalan solat berjemaah.

Di kalangan anak-anak remaja, kesempatan untuk berkumpul bersama-sama boleh dimanfaatkan untuk menunaikan solat fardu secara berjemaah.

Bapa menjadi imam kepada anak-anak dan menyampaikan amanat sempena hari raya. Amalan bersalaman dan bermaaf-maafan dapat mengeratkan tali silaturahim di kalangan ahli keluarga.

Dalam masa yang sama amalan solat berjemaah dapat membina kekuatan iman dan membina benteng pertahanan rohani yang mantap.

Keempat; amalan rumah terbuka untuk anak remaja.

Rakan-rakan anak remaja kita perlu diraikan dalam majlis rumah terbuka yang khusus untuk mereka. Dengan ini ibu bapa dapat mengenali siapakah rakan anak-anak remaja mereka.

Majlis seumpama ini juga dapat mengelak daripada perbuatan sumbang yang menyimpang daripada ajaran Islam. Hal ini dapat menghindarkan anak-anak remaja daripada menghabiskan masa di kompleks membeli-belah dan pergaulan bebas tanpa batasan.

Masih belum terlewat untuk kita memimpin generasi muda bagi menghayati Aidilfitri dengan pengisian bermanfaat.

Marilah kita bersama-sama menjadikan Hari Raya Aidilfitri ini sebagai titik perubahan untuk membina generasi muda Islam yang menghayati ajaran Islam dengan seutuhnya.

Perlukah diet hari raya?

by
Oleh HAMDAN AHMAD
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Shah Alam

Selepas sebulan berpuasa, kini tiba saat untuk kita berhari raya. Ibadah puasa banyak memberi kebaikan sekiranya kita benar-benar menghayati kenapa ia difardukan kepada umat Islam.

Puasa dapat membentuk dan meningkatkan disiplin malah mampu meningkatkan kualiti peribadi kita kepada suatu tahap yang lebih baik dan bermakna.

Dan hari raya pula merupakan suatu hari gembira dan hari kemenangan bagi seluruh umat Islam yang berjaya melaksanakan tuntutan Allah pada bulan Ramadan.

Semasa berpuasa, kita dikehendaki menahan diri daripada nafsu termasuk makan, minum dan melakukan perkara yang dilarang. Inti puasa ialah bagi membentuk disiplin diri dan peribadi kepada tahap yang lebih baik dan hebat - jasmani dan rohani.

Biasanya pada bulan puasa, berat badan akan menurun dan ia mampu dikawal. Seluar yang dipakai akan semakin longgar.

Nikmat berbuka, kita akan cepat terasa kenyang dan tidak perlu makan berlebihan ketika berbuka.

Membazir itu perangai syaitan. Walau pun dikatakan ketika bulan puasa, syaitan-syaitan itu 'dirantai' tetapi masih ada kalangan kita yang gagal membendung nafsu.

Nafsu kita merupakan 'syaitan' yang masih berleluasa dan kita masih lagi gagal merantainya walau pun ketika itu bulan Ramadan. Secara tidak langsung, kita gagal mendisiplinkan diri kita. Sepatutnya pada bulan Ramadanlah patut menjadikan masa dan permulaan terbaik untuk kita memberi keutamaan dalam mendisiplinkan diri untuk semua aspek.

Semasa berpuasa kita seakan-akan berdiet dan sepatutnya usaha baik itu diteruskan selepas bulan puasa. Kita berdiet bukan sekadar pada bulan puasa tetapi lebih penting bulan-bulan selepasnya. Yang menjadi masalah, hari raya dan bulan seterusnya dijadikan lesen untuk kita mengamalkan budaya dan rutin biasa dari segi pemakanan seperti mana yang pernah kita amalkan. Tiada bezanya kita ketika bulan Ramadan dan bulan-bulan sebelum dan selepas bulan Ramadan.

Hari raya memang patut kita sambut dengan bergembira dan memakan makanan sedap-sedap tetapi kita hanya perlu mengawalnya. Maklum sahaja, setiap hari raya kita sudah tentu akan dijamu pelbagai makanan yang berat-berat seperti lemang, nasi impit, rendang, ketupat dan sebagai. Sudah tentu kebanyakan kita tidak akan melepaskan peluang tersebut, lebih-lebih lagi hari raya di negara ini terdapat banyak rumah terbuka. Kita boleh ambil peluang tersebut tetapi secara berhemah dan berhati-hati.

Apakah diet terbaik dan sesuai untuk berhari raya? Sebenarnya tiada diet khusus untuk berhari raya. Sambutlah dengan sederhana kerana makanan pada hari raya boleh dikatakan berat. Musim berhari raya jangan dijadikan pesta makan - bulan membalas dendam selepas berpuasa selama sebulan. Kalau ini dilakukan, maknanya puasa kita itu gagal menepati objektif sebenar.

Nasihat yang biasa diberikan, cuba elakkan memakan terlalu banyak makanan berminyak dan berkolesterol tinggi. Juga kurangkan minum minuman berkarbonat. Kita perlu kawal nafsu makan walau pun bulan puasa telah berlalu. Bulan-bulan selepas berpuasa merupakan ujian sebenar sama ada kita mampu mengekalkan tahap disiplin diri yang tinggi dari segi pemakanan sebagaimana yang kita amalkan ketika berpuasa.

Lazimnya, berat badan kebanyakan kita akan meningkat ketika bukan bulan puasa kecuali bagi mereka yang mengamalkan disiplin pemakanan seimbang dan sederhana dan melakukan senaman mengikut jadual.

Peribahasa Inggeris pernah menyebut, "You are what you eat." Kemampuan mengawal apa yang dimakan terletak pada diri kita dan bukan pada orang lain.

Kita perlu ada budaya makan terkawal iaitu suatu disiplin dari segi makanan harian yang dimakan. Kita tidak boleh makan ikut sedap rasa dan juga kerana kita mampu membelinya.

Apa yang penting kita perlu bersederhana dan makan makanan yang seimbang dan buruk padahnya kalau kita ikut rasa dan nafsu makan secara sembrono. Ikut rasa binasa bak kata pepatah. Oleh kita, kita perlu lebih berhati-hati apabila kita mengambil makanan dalam kehidupan setiap masa.

Kebanyakan penyakit yang dihadapi oleh manusia disebabkan oleh makanan. Oleh itu diri kita sendiri yang patut dipersalahkan dan bukan makanan jika kita mendapat penyakit. Jika kita makan makanan berkhasiat, maka kita akan jadi lebih sihat dan bukan sebaliknya. Ini semuanya terletak pada diri dan apa yang kita makan.

Betapa seriusnya isu pemakanan - diperkatakan setiap masa. Bagi mengekalkan tahap kesihatan yang baik - sebagai contoh, jika kita makan sekeping kek blackforest yang beratnya kira-kira 100gm, dikatakan kita perlu membakar kalori hasil daripada memakan kek tersebut dengan berjalan sejauh dua kilometer. Begitulah seriusnya amalan yang perlu diikuti dalam mengekalkan kesihatan kita pada tahap terbaik.

Pada dasarnya kita bersetuju. Kita perlu mengikut konsep 'makan untuk hidup' dan bukan 'hidup untuk makan'. Yang menjadi masalah, kebanyakan kita kerap mengamalkan konsep hidup yang salah iaitu 'hidup untuk makan'. Oleh yang demikian, kita sering dihinggapi pelbagai penyakit kronik. Yang tidak seronok didengar, masa sihatlah kita perlu makan apa sahaja yang kita hendak makan. Sudah sakit nanti apa-apa pun tidak boleh dimakan. Ini suatu konsep dan pendekatan salah yang selalu dikaitkan dengan pemakanan.

Masalah pokoknya, kita masih lagi tidak memandang serius tentang apa yang kita makan setiap hari, walau pun kita mengetahui makanan yang dimakan itu berlemak dan tinggi kolesterolnya.

Tahun demi tahun statistik menunjukkan meningkatnya bilangan warganegara yang dihinggapi pelbagai penyakit, antaranya termasuklah kencing manis, sakit jantung, kanser dan sebagainya. Kempen demi kempen dijalankan bagi memberi kesedaran kepada kita semua, namun tidak ramai mengambil iktibar daripadanya.

Sudah sampai masanya kita perlu mengubah sikap dan mindset sebelum terlambat. Mengubah sikap itu sesuatu yang sukar bagi setengah-tengah daripada kita. Kita lebih selesa dengan status quo sedia ada dan tidak berani berubah walau pun kita mengetahui akan kepentingan menjaga makanan dan kesan pada kesihatan. Selagi kita tidak sakit, selagi itu kita makan ikut nafsu.

Sampai bila kita harus begini? Tepuk dada, tanya selera! Tidak perlulah kita bercakap fasal diet hari raya kerana secara hakikinya tiada istilah diet hari raya. Kalau pun kita mampu berdiet pada bulan puasa dan sebulan berhari raya, ia cuma dua bulan, bagaimana pula dengan sepuluh bulan yang lain dalam tahun yang sama? Tidakkah ia juga sama?

Mengapa bukan Mohd. Isa?

by
Oleh RAMLI ABDUL KARIM

Menjelang Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang pada 11 Oktober ini, UMNO nampaknya kini berada di persimpangan dalam soal pemilihan calonnya untuk bertanding mewakili Barisan Nasional (BN).

Calon BN difahamkan akan diumumkan sendiri oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Port Dickson pada 29 September ini. Namun, soal kriteria calon masih menjadi isu utama yang diperdebatkan khususnya di kalangan pimpinan UMNO, pemerhati politik dan juga ahli-ahli parti.

Ia menjadi polemik apabila sebelum ini Jawatankuasa UMNO Bahagian serta Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian telah sebulat suara menamakan ketua bahagian, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad sebagai calon tunggal untuk diserahkan kepada pucuk pimpinan.

Sebanyak 12 Cawangan UMNO, 13 Cawangan MIC dan empat cawangan MCA juga membuat keputusan yang sama mahukan Mohd Isa. Tetapi keputusan yang memihak secara mutlak kepada Mohd. Isa itu tidak disenangi segelintir pihak.

Ramai pemimpin UMNO yang secara terang-terangan mahu pun tidak langsung membuat kenyataan terbuka meminta supaya UMNO meletakkan calon lain selain Mohd. Isa. Ini termasuk kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang percaya bahawa pemilihan Mohd. Isa sebagai calon hanya akan membuatkan parti semakin dijauhi oleh ahli-ahli dan rakyat kerana memilih orang yang pernah terlibat dengan kes politik wang.

Bukan sekali malah beberapa kali Dr. Mahathir menegaskan peringatan demikian. Sebagai negarawan, sudah pasti kenyataan beliau segera mendapat respons pihak yang menyokong amaran Dr. Mahathir itu termasuk beberapa ahli Majlis Tertinggi (MT) terutama ketika UMNO begitu serius membersihkan parti daripada barah politik wang.

Bagaimanapun pada masa sama terdapat juga sebahagian pemimpin UMNO dan pemerhati politik memihak kepada Mohd. Isa yang memiliki kekuatan di peringkat akar umbi, supaya kemenangan lebih terjamin selepas BN mengalami enam kekalahan dalam pilihan raya kecil sebelum ini.

Memang benar UMNO kini sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk membanteras politik wang malah ia begitu ketara sejak beberapa tahun lalu termasuk pada tahun 2005 parti itu telah memperlihatkan ketegasan dengan menggantung keahlian Mohd. Isa dan menggugurkan jawatan Naib Presiden yang disandangnya.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 23 tahun itu juga terpaksa melepaskan jawatan Menteri Wilayah Persekutuan ekoran kes tersebut. Bagaimanapun beliau menerima dengan akur, taat dan insaf keputusan parti itu dan mengharungi hukuman yang dikenakan dengan tabah, bukannya melatah.

Untuk memberi keadilan kepada Mohd. Isa dan juga mengambil kira pandangan pihak-pihak yang tidak senang jika beliau dicalonkan di Bagan Pinang, maka adalah wajar kita merungkai persoalan “Mengapa tidak Mohd Isa yang menjadi calon?”

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90