Top Ad 728x90

SPR minta penyokong BN, PAS jangan terlalu emosional

by
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menasihati penyokong BN dan PAS supaya saling hormat menghormati sepanjang tempoh berkempen dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang - yang bermula selepas penamaan calon hari ini. Hari pengundian ditetapkan pada 11 Oktober depan.

"Masa kempen janganlah keluarkan perkataan yang sangat menyakitkan hati pihak yang lain....mereka kenal satu yang lain. Masa kempen itu juga jangan burukkan peribadi, memalukan seseorang, menjatuhkan maruah orang.....tak elok dan saya harap perkara itu tidak terus dibawa semasa hari pengundian.

"Saya harap pemimpin parti berkenaan, ingatkan pengikut masing-masing... jangan sampai hilang ingatan, jangan terlalu emosional. Kita mesti berfikir secara rasional," katanya kepada pemberita selepas penamaan calon pilihan raya kecil itu di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson, lapor Bernama

Dalam pilihan raya kecil itu, calon BN Tan Sri Mohd Isa Samad, berdepan calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong selepas penyandangnya Azman Mohammad Noor, yang mewakili BN, meninggal dunia pada 4 September lepas.

Pada pilihan raya umum 2008, Azman menewaskan calon PAS Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.

Sejumlah 13,664 pemilih berdaftar, yang terdiri daripada 9,060 pemilih biasa dan 4,604 pemilih pos, layak mengundi pada pilihan raya kecil ini.

Abdul Aziz juga gembira kerana proses penamaan calon pilihan raya kecil itu berjalan dengan baik.

Katanya penyokong parti yang bertanding diletakkan di dua kawasan berasingan dan berjauhan antara satu dengan lain mengikut laluan berbeza.

"Cuma sebelum mereka mula berhimpun pagi tadi, hujan lebat menyebabkan ramai mereka yang dalam keadaan basah kuyup. Saya dimaklumkan penyokong BN sebanyak 4,000 manakala 5,000 PAS," katanya.

Beliau berkata SPR menerima tiga bantahan iaitu dua bantahan daripada PAS berhubung pekerjaan Mohd Isa dan saksi calon BN tidak berdaftar sebagai pemilih manakala bantahan BN terhadap calon PAS pula adalah kerana ada kes mahkamah.

Bagaimanapun, katanya setelah disemak, ketiga-tiga bantahan itu ditolak dan kedua-dua calon daripada BN dan PAS sah bertanding.

- MALAYSIAKINI

KEPUTUSAN PIALA MALAYSIA - 03/10/2009

by
KUMPULAN A:

Perlis 1 KL Plus 2

Melaka 3 Pahang 3

KUMPULAN B:

Terengganu 0 Negeri Sembilan 1

Sarawak 1 Johor 4

KUMPULAN C:

Johor FC 0 Perak 2

Kuala Lumpur 0 UPB MyTeam 0

KUMPULAN D:

Sabah 2 PDRM 0

KUMPULAN E:

Tentera 1 Kelantan 2

Kedah 0 Pulau Pinang 1

DUN Bagan Pinang: Persaingan satu lawan satu BN-PAS

by
Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang menyaksikan persaingan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Perkara tersebut diumumkan oleh Pengurus Pilihan Raya Kecil, Abdul Wahab Shamsuddin selepas tempoh bantahan ditutup pada pukul 11 pagi tadi..

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya menerima dua borang setelah masa penyerahan borang pencalonan tamat pada pukul 10 pagi tadi.

Pada pilihan raya kecil tersebut, BN diwakili bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Ketua Umno bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd Isa Samad, manakala PAS diwakili Pesuruhjaya PAS negeri, Zulkefly Mohd Omar.

Abdul Wahab berkata Mohd Isa menyerahkan borang pencalonannya pada pukul 9.05 pagi manakala Zulkefly berbuat demikian seminit kemudian.

Katanya lagi sehingga tempoh bantahan ditutup, SPR menerima dua bantahan yang dikemukan terhadap pencalonan-pencaloan tersebut.

"Saya telah menerima sebanyak dua bantahan dikemukaan terhadap pencalonan-pencalonan tersebut... namun setelah masa bantahan ditutup, tiada calon yang ditolak kertas penamaannya," katanya.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong selepas penyandangnya Azman Mohammad Nor yang mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Mac 2008 meninggal dunia akibat jangkitan dalam darah di Hospital Pakar Seremban (SSH), awal bulan lalu.

Allahyarham yang bertanding pertama kali, memenangi kerusi berkenaan dengan memperolehi 6,430 undi, menewaskan calon PAS, Ramli Ismail. Beliau menang dengan majoriti 2,333 undi.

Dalam pada itu bercakap kepada media selepas pengumuman nama calon dibuat, Mohd Isa yang juga Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang berkata, beliau yakin pengundi di DUN Bagan Pinang akan memberi peluang kepadanya untuk menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

"Saya yakin akan dipilih sebagai wakil rakyat mereka... saya juga yakin masih mampu untuk menjalankan tanggungjawa sebagai wakil mereka.

"Saya bekas Menteri Besar di Negeri Sembilan, saya tahu masalah yang mereka hadapi bukan sahaja di Bagan Pinang malah Teluk Kemang dan Negeri Sembila amnya masih saya ingat... setelah saya terpilih, saya akan selesaikan dengan cara yang terbaik," katanya.

Ditanya bagaimana penerimaan pengundi di DUN Bagan Pinang terhadapnya, beliau berkata sokongan yang diberikan terhadapnya begitu menggalakkan.

"Nampaknya setakat ini sambutan begitu baik... cuma apa yang perlu kita berhati-hati ialah perbetulkan kekeliruan yang dicetuskan oleh pembangkang," katanya.

Sementara itu calon PAS, Zulkefly berkata beliu juga melahirkan keyakinan untuk menang pada pilihan raya kecil di DUN Bagan Pinang yang akan diadakan pada 11 Oktober ini.

"Semua pilihan raya ada pertandingan, kita ada peluang...kita yakin ada peluang untuk menang," katanya.

Malah beliau juga berkeyakinan bahawa gabungan Pakatan Rakyat yang terdiri PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memberi kelebihan kepadanya.

"Kita dalam Pakatan masih yakin rakyat masih bersama dengan kita," katanya.

- MSTAR

Luasnya syurga!

by
Hadith : Dari Sahal bin Saad r.a dari Rasulullah s.a.w sabdanya:”Di dalam syurga terdapat sebatang pokok yang naungannya tidak terlewat (tidak terlepas dilalui di bawahnya) oleh seorang pengendara selama seratus tahun.” (Muslim)

Huraian:

Allah berfirman yang maksudnya:"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa" (ali-Imraan:133)

Sememangnya syurga itu sungguh luas dan setiap manusia menginginkan syurga di akhirat. Syurga, di dalam al-Quran, disebut Jannah. Penghuninya adalah orang-orang yang bertaqwa . Maka alangkah bahagianya sekiranya kita dapat membimbing diri kita, anak-anak dan isteri kepada cara hidup yang diredhai Allah sehinggakan semuanya terselamat daripada api neraka. Bahkan sebuah keluarga yang bertakwa itu bukan sahaja akan bersama-sama mengecap kebahagiaan di dunia tetapi di akhirat juga mereka akan berkumpul lagi untuk kehidupan yang selama-lamanya.

Firman Allah S.W.T yang maksudnya:”...syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu.” (ar’Ra’d: 23)

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

PROGRAM PENEMPATAN PEKERJAAN - OKTOBER 2009

by
Program Penempatan Pekerjaan 2009
Tarikh : 03.10.2009
Masa : 8.00 pagi - 5.00 petang
Tempat : Dewan Suarah Kapit

Program Penempatan Pekerjaan (3P) PTK Butterworth
Tarikh : 03.10.2009
Masa : 9.00 pagi - 4.00 petang
Tempat : Pejabat Tenaga Kerja Butterworth, Bangunan Jabatan Tenaga Kerja, Jalan Bagan Luar, 12000 Butterworth.

Program Penempatan Pekerjaan (3P) PTK Bangi
Tarikh : 10.10.2009
Masa : 9.00 pagi - 5.00 petang
Tempat : Pejabat Tenaga Kerja Bangi,No. 709 Blok C Kompleks Diamond, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor.

Program Penempatan Pekerjaan 2009 Sibu, Sarawak
Tarikh : 10-11.10.2009
Masa : 8.00 pagi - 5.00 petang
Tempat : Dewan Suarah Sibu.

Program Penempatan Pekerjaan 2009 Sri Aman, Sarawak
Tarikh : 10-11.10.2009
Masa : 8.00 pagi - 5.00 petang
Tempat : Dewan Suarah Sri Aman.

Program 3P Pejabat Tenaga Kerja Sitiawan
Tarikh : 31.10.2009
Masa : 9.00 pagi - 4.30 petang
Tempat : Perkarangan Bangunan Persekutuan Sri Manjung,Jalan Kayu Manis, 32040 Perak.

Aktiviti Yang Akan diadakan:

Pendaftaran Pencari Kerja
Ceramah Kerjaya
Temuduga Terbuka
Dan lain-lain

Kekosongan Jawatan :
300 kekosongan pelbagai bidang

Peringatan:
Sila berpakaian kemas, Bawa Sijil-sijil yang berkaitan.

Dilarang berkempen – SPR

by
Mana-mana parti yang tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang dilarang mengibarkan bendera, logo dan gambar pemimpin mereka sepanjang kempen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bertindak tegas terhadap mana-mana parti yang berbuat demikian.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, kebenaran hanya diberikan kepada parti yang bertanding memasang bahan kempen seperti gambar calon, logo parti dan pemimpin mereka.

“Kita mahu parti yang tidak bertanding, janganlah menyusahkan SPR dan pihak keselamatan.

“Jangan cuba melanggar undang-undang kerana parti yang tidak bertanding ini tidak membayar deposit bahan kempen serta pilihan raya. Jadi mengapa mereka hendak menumpang,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas memberi taklimat kepada pegawai pengurus, penolong pegawai pengurus dan petugas SPR di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang ini, BN menamakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad sebagai calonnya, manakala Pesuruhjaya Pas negeri, Zulkefly Mohamad Omar diumumkan sebagai calon Pas.

Tambah Wan Ahmad, dalam pilihan raya kecil di kali ini, hanya parti Pas dan Barisan Nasional (BN) saja dibenarkan memasang bahan kempen mereka selain Bebas, jika ada penamaan calon.

“BN mempunyai 14 parti gabungan dan mereka berdaftar. Tetapi pakatan pembangkang ini tidak berdaftar, ini bermakna, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak boleh memasang bahan kempen bersama Pas.

“Dalam istilah SPR, kita hanya mengiktiraf parti atau gabungan yang berdaftar. Bagi pakatan pembangkang ini, mereka tidak berdaftar. Saya pun hairan mengapa mereka tidak berdaftar,” kata beliau.

Sehubungan itu, SPR telah menubuhkan tiga pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya dan mereka ini akan menasihatkan wakil parti supaya bekerjasama dalam aspek berkenaan.

“Jika mereka gagal berbuat demikian, petugas SPR sendiri akan mengambil tindakan. Saya harap perkara ini jelas dan jangan pula esok ditimbulkan rasa tidak puas hati dan sebagainya,” jelas beliau.

Bagaimanapun, Wan Ahmad memberitahu, jika ada pemimpin dalam pakatan pembangkang yang mahu berceramah, itu dibolehkan dengan syarat permit dimohon oleh parti yang bertanding.

Dalam pada itu, SPR juga bertegas dalam soal larangan berkempen pada hari pembuangan undi iaitu 11 Oktober ini.

“Tidak boleh didirikan ‘pondok panas’, merayu dan meraih undi, kibarkan bendera parti atau berkonvoi. Jika ini berlaku pihak berkuasa khususnya polis akan mengambil tindakan,” jelas beliau.

Sementara itu, SPR hari ini mengumumkan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson, Abdul Wahab Shamsuddin dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang.

“Seramai 277 petugas SPR akan terlibat sepanjang pilihan raya kecil ini, yang mana bajet yang dikeluarkan SPR adalah RM360,000,” jelas beliau.

Mengenai undi pos yang melibatkan 4,604 undi, Wan Ahmad memberitahu, terdapat lapan kem tentera di sini akan digunakan untuk tujuan pembuangan undi dan antaranya ialah Kem Sunggala, Kem Si Rusa dan Kem Kampung Sawah.

“Wakil calon dibenarkan berada dalam dewan pembuangan undi pos ini.

“Sebaik sahaja prosesnya selesai, kertas undi akan disimpan dalam bilik pegawai pengurus dengan kawalan ketat polis selama 24 sehingga pada hari pengiraan undi,” kata beliau.

Bagi hari penamaan calon pada 3 Oktober ini, Wan Ahmad menasihatkan supaya parti yang bertanding tidak membawa penyokong terlalu ramai kerana kawasan persekitaran Dewan MPPD yang menjadi lokasinya di sini terlalu kecil.

“Saya juga nasihatkan semua calon supaya mengisi borang dengan betul. Jangan lakukan kesilapan. Amat malang jika borang yang diisi terdapat kesilapan yang boleh menyebabkan calon berkenaan tidak dibenarkan bertanding,” kata beliau.

- UTUSAN

Guna pendekatan mesra rakyat - Mohd. Isa

by
UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan menggunakan pendekatan mesra rakyat selain memperjelaskan isu bagi memenangi hati pengundi pada Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang 11 Oktober ini.

Calon BN, Tan Sri Mohd. Isa Samad berkata, konsep BN adalah jelas iaitu mendampingi rakyat tanpa mengira kaum setap masa bahkan segala kemudahan yang diberikan adalah hasil dari usaha parti itu yang begitu peka kepada masyarakat setempat.

Kata beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang, adalah menjadi tanggungjawab BN dalam memperjelaskan semua isu yang dicampakkan oleh pembangkang bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan pengundi.

"Memang kita sentiasa mendekati rakyat pada setiap masa dan memahami apa yang diperlukan oleh mereka. Pada masa yang sama adalah penting jika isu yang diputar belit pembangkang diperjelaskan.

"Ini penting bagi pengundi oleh kerana apabila ia isu ini dibangkitkan orang jadi keliru dan ini akan menimbul rasa tidak yakin rakyat kepada kerajaan," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Taman Datuk Abdul Samad di sini hari ini.

Mohd. Isa juga memberitahu, BN tidak akan terikut-ikut dengan cara pembangkang yang seringkali memaki hamun kerajaan walhal telah banyak dasar kerajaan menguntungkan mereka.

Sementara itu, beliau berasa gembira melihat respons dari pengundi sebaik sahaja diumumkan oleh Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam adalah menggalakkan.

"Ini tempat saya.. Tengoklah ramai orang datang," katanya secara berseloroh.

Bagan Pinang penentu perubahan UMNO

Keputusan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang bakal menjadi penentu semangat ahli parti dalam usaha mempercepatkan perubahan dalaman UMNO.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ini kerana pilihan raya kecil itu diadakan sebelum Perhimpunan Agung UMNO Khas yang dijangka membentangkan pindaan perlembagaan parti itu.

"Ia penting kepada UMNO bukan hanya kerana ia merupakan kawasan yang secara tradisi diwakili UMNO.

"Tetapi juga ia bakal memberi suntikan semangat kepada para perwakilan untuk melakukan perubahan dalam menjadikan UMNO sebagai parti yang lebih baik serta demokratik," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sehubungan itu, Saifuddin menyeru para pengundi supaya melihat sumbangan dan potensi calon BN, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dalam membawa pembangunan di kawasan mereka.

"Para pengundi jangan terpedaya dengan taktik pembangkang yang akan sengaja memperbesarkan isu-isu yang remeh," katanya yang juga juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

Bagaimanapun, beliau tidak melihat keputusan pilihan raya kecil itu akan memberi kesan kepada kedudukan UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

"PRU berbeza dengan pilihan raya kecil kerana isunya berbeza, jika ada kesannya tidak terlalu besar," katanya.

- UTUSAN

Umno sudah habis gas, kata PAS

by
PAS menyifatkan Umno 'sudah kehabisan gas oksigen untuk bernafas' kerana mencalonkan Tan Sri Isa Samad sebagai calon BN dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang pada 11 Oktober ini.

Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad berkata, pencalonan Isa menggambarkan Umno sudah kehilangan orang yang berwibawa dan calon yang bersih dari segi moral dan rasuah.

Isa digantung selama tiga tahun sejak 24 Jun 2005 kerana rasuah politik ketika pemilihan Umno 2004.

Isa memenangi jawatan naib presiden Umno bagi penggal 2004-2007 dengan memperoleh 1,507 undi, iaitu undi tertinggi mengatasi Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam (1,329 undi) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin (1,234 undi).

Bagaimanapun kemenangannya itu kemudiannya dibatalkan selepas didapati bersalah terhadap tuduhan amalan politik wang dalam pemilihan tersebut.

Pada mulanya, dia digantung selama enam tahun atau dua penggal tetapi dikurangkan selepas beliau membuat rayuan.

Ekoran itu, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat bahawa Isa tidak seharusnya menjadi calon BN dalam pilihanraya kecil tersebut.

Jika tidak, kata Dr Mahathir, imej Umno akan terjejas kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.

Mengulas lanjut, Idris berkata, sabitan kesalahan rasuah oleh jawatankuasa disiplin Umno itu menyebabkan Isa kehilangan jawatan naib presiden dan menteri Wilayah Persekutuan.

"Kita mengharapkan semua pengundi yang berada di Bagan Pinang adalah mereka yang mempunyai jati diri yang kukuh akan membuat perhitungan yang tepat untuk memilih wakil rakyat di kawasan mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Sebagai mana sedia maklum Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang mempunyai ramai pengundi tentera yang kita tahu mereka adalah orang yang berdisiplin dan bermoral tidak akan rela berketuakan orang yang telah terpalit dengan rasuah," katanya.

Idris juga menyifatkan pemilihan Isa sebagai calon, menjadi kayu ukur bahawa pemimpin Umno tidak ada kesungguhan memerangi rasuah.

"Kajian Transparency International (TI), menunjukan rekod Malaysia terus merudum dalam Indeks Persepsi Rasuah apabila berada pada kedudukan ke-47 pada tahun 2008 berbanding tangga ke-43 pada tahun 2007," katanya.

Oleh itu, PAS menyeru pengundi Bagan Pinang supaya selamatkan negara daripada rasuah yang boleh membinasakan negara.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohamad Noor dari BN yang menang dengan majoriti 2,333 dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.

- MALAYSIAKINI

Maxis yakin terus terajui segmen prabayar

by
MAXIS Communications Bhd yakin terus menjadi peneraju segmen perkhidmatan telefon mudah alih prabayar di negara ini menerusi penjenamaan semula Hotlink.

Ketua Pegawai Pemasarannya, Matthew Willsher, berkata menerusi penjenamaan semula itu, logo Maxis dimasukkan dalam logo Hotlink bagi mencapai imej konsisten kedua-dua jenama terbabit.

“Jenama Maxis secara tradisionalnya dikaitkan dengan pasca bayar, manakala Hotlink pula prabayar.

“Selain perkongsian identiti korporat, penggabungan kedua-dua jenama itu akan dibangunkan di atas nilai jenama sama iaitu kreativiti, mudah dan boleh dipercayai, tetapi dengan personaliti tersendiri,” katanya sambil menambah ‘penyegaran’ jenama itu akan membolehkan Maxis dan Hotlink mencapai imej jenama konsisten.

Beliau berkata demikian pada pelancaran kempen penjenamaan semula Hotlink di Kuala Lumpur, semalam.

Willsher berkata, Hotlink menjadi peneraju perkhidmatan prabayar di Malaysia dalam tempoh sembilan bulan sejak ia dilancarkan pada 1999.

Hotlink, katanya, mengekalkan kedudukan penyedia perkhidmatan prabayar utama negara dengan menawarkan perkhidmatan melebihi jangkaan pelanggan secara berterusan dalam suara dan sistem pesanan ringkas (SMS), muzik, permainan, ganjaran dan internet mudah alih.

“Kami mempunyai lapan juta hingga sembilan juta pelanggan prabayar serta yakin Hotlink akan terus menjadi pilihan pengguna prabayar di negara ini dan kempen ini membantu ke arah itu,” katanya.

Maxis, kata beliau, adalah syarikat telekomunikasi mudah alih pertama di negara ini yang menawarkan perkhidmatan BlackBerry kepada pelanggan prabayar dengan pakej perkhidmatan merangkumi daripada emel hingga kepada fungsi pesanan sosial.

- BERITA HARIAN

TV3 tetap jadi pilihan

by
Sistem Televisyen Malaysia Bhd atau TV3 kekal sebagai pilihan utama penonton di negara ini apabila menguasai 30 peratus daripada jumlah keseluruhan penonton semasa minggu sambutan Aidilfitri mulai 20 hingga 26 September lalu.

Penguasaan stesen televi-syen milik Media Prima Bhd (MPB) itu terserlah apabila 35 program utama di kalangan semua saluran televisyen di negara ini dikuasai TV3, manakala di kalangan 100 program utama sepanjang minggu Hari Raya itu, hanya enam daripadanya milik saluran pesaingnya.

“Di kalangan penonton Melayu dewasa, TV3 mendahului dengan jumlah 42 peratus penonton berbanding keseluruhan gabungan jumlah penonton MPB sebanyak 56 peratus,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh MPB semalam.

MPB berkata, filem block-buster, Sifu dan Tongga mendahului carta dengan jumlah penonton menyaksikannya seramai 3.3 juta atau mewakili 50 peratus penonton; sama juga dengan Pengisytiharan Raya dengan jumlah 3 juta penonton atau mewakili 57 peratus penonton.

“Beberapa program popular lain termasuk Mentor Raya 3, filem blockbuster, Jangan Tegur, Cicakman 2 dan Duyung juga tersenarai sebagai program paling ditonton,” katanya.

Ketua Eksekutif Kumpulan Rangkaian TV MPB, Datuk Seri Farid Ridzuan, dalam kenyataan itu berkata, semua pihak di TV3 gembira dengan jumlah penonton yang menyaksikan program yang disiarkan semasa musim perayaan itu kerana ia bukti bahawa stesen televi-syen itu masih menjadi pilihan utama penonton Malaysia, terutama ketika perayaan Hari Raya.

“Jumlah penonton yang tinggi menyaksikan program siaran TV3 itu bukan berlaku secara tidak sengaja atau kebetulan, tetapi hasil strategi yang dirancang dan kajian mendalam bagi memahami dengan dengan lebih baik keperluan penonton,” katanya.

MPB berkata, saluran lain milik syarikat itu menyediakan pilihan untuk penonton yang inginkan alternatif.

Katanya, TV9 menyediakan pilihan dengan menyiarkan komedi seperti Ceplos Raya, Geletek Raya dan Cerita Hantu Malam Raya yang berjaya menarik setengah juta bagi setiap program terbabit.

“8TV dan ntv7 menawarkan pilihan kepada penonton berbangsa Cina dengan lebih 40 peratus penonton Cina menonton siaran dua saluran terbabit,” katanya.

Farid berkata, pihaknya menyaksikan 44 peratus peningkatan pendapatan pengiklanan pada sambutan Aidilfitri kali ini berbanding tahun lalu.

- BERITA HARIAN

Pertabalan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan jadi tumpuan

by
Negeri Sembilan bakal menjadi tumpuan dunia sepanjang Oktober hingga Disember ini sempena pertabalan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 26 Oktober ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata sebanyak 33 program membabitkan kerajaan, istana dan orang ramai disusun sepanjang bulan pertabalan itu, yang bermula 4 Oktober ini hingga 6 Disember depan.

Beliau berkata, semua program sepanjang bulan pertabalan itu dibahagikan kepada tiga kategori iaitu acara adat, kemeriahan dan sampingan.

Antara program terbabit adalah Program Jejak Warisan - Laluan Raja Melewar, iaitu berkayak beramai-ramai merentas Selat Melaka, Pameran Raja Kita dan pelancaran Sampul Surat Hari Pertama Pertabalan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-11, Karnival Kraf dan Pameran Sejarah Negeri Sembilan.

Katanya, persiapan untuk Istiadat Pertabalan juga berjalan lancar kerana persiapan dibuat sejak awal tahun ini seperti kerja menaik taraf bangunan Istana Besar Seri Menanti di Kuala Pilah.

"Istiadat Pertabalan yang mengikut adat istiadat diraja negeri ini sejak dulu lagi berlangsung selama tujuh hari tujuh malam mulai 22 hingga 28 Oktober ini dengan Istiadat Pertabalan sebenar berlangsung di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti pada 26 Oktober.

"Rakyat Malaysia di seluruh negara dapat menyaksikan istiadat itu yang disiarkan secara langsung di saluran RTM1," katanya ketika melancarkan Bulan Pertabalan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 di Klana Resort, di sini, semalam.

Mohamad berkata, rakyat Malaysia dan pelancong asing tidak sepatutnya melepaskan peluang menyaksikan peristiwa bersejarah dalam sistem pemerintahan beraja yang mengamalkan Adat Pepatih.

- BERITA HARIAN

Penghuni bangunan tinggi panik

by
Pekerja dan penghuni bangunan tinggi sekitar ibu negara panik dan kelam kabut seketika berikutan gegaran kuat berpunca daripada gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Ritcher yang melanda Sumatera Selatan, petang semalam.

Tinjauan Berita Harian di beberapa lokasi sekitar ibu negara mendapati rata-rata mereka merasai gegaran selama lima saat, bergegas turun meninggalkan kediaman dan pejabat masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga.

Antaranya 800 penghuni kuarters kakitangan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang hanya memasuki kediaman mereka selepas diisytiharkan selamat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Sementara itu, Bilik Gerakan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur menerima beratus panggilan memaklumkan gegaran di bangunan, terutama yang tinggal dan bekerja di bangunan tinggi.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda berlaku dalam kejadian itu.

“Lima jentera bomba digerakkan bagi tujuan pemantauan dan langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Kakitangan CIMB Berhad di Wisma Nusantara, Jalan P Ramlee, yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul, berkata semua pekerja di bangunan itu diarahkan turun sebaik gegaran dirasai.

“Ketika itu kami bekerja apabila tiba-tiba merasa lantai bergoyang dan keadaan itu menimbulkan rasa panik kerana tidak pernah berhadapan situasi seperti itu.

“Tidak lama kemudian penyelia mengarahkan semua kakitangan turun sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya ketika ditemui di bawah bangunan berkenaan semalam.

Pegawai Kredit Ambank Berhad, Hazrol Amin Yaacob, yang bertugas di Wisma Ambank, Jalan Pudu, berkata beliau melihat botol minuman di atas mejanya tiba-tiba bergoyang sebelum berasa pening.

“Tidak lama kemudian kami diarah turun oleh pegawai keselamatan. Mujurlah ketika kejadian, sudah habis waktu pejabat dan ramai sudah pulang,” katanya.

Gegaran sama turut dirasai di beberapa negeri di Pantai Barat Semenanjung.

- BERITA HARIAN

Al-Quran pedoman hidup insan takwa

by
Oleh Muhammad Abdullah @ Ab Shatar

Memilih gaya hidup berpandukan al-Quran adalah jalan yang sesuai untuk mengembalikan landskap kehidupan harmonis. Kesempurnaan yang dicari untuk pengisian sebuah jiwa bukan bergantung kepada insan lain atau sebarang bentuk hiburan ataupun kecenderungan minat.

Kesempurnaan jiwa bermula dari kebergantungan kita kepada Allah SWT melalui bacaan al-Quran dengan lidah atau penghayatan maksud ayat suci al-Quran melalui maksud dan tafsirnya. Mencari ketenteraman jiwa melalui menyebut dan berzikir nama Allah adalah permulaan kepada kebahagiaan. Firman Allah, “Orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikir kepada Allah. Ketahuilah! Dengan zikir kepada Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia”. (Surah Al-Ra‘ad: 28)

Membaca al-Quran setiap kali solat adalah amalan yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan manusia apatah lagi pelajar. Otak yang segar akan terpancar dari kemuliaan lidah yang dibasahkan dengan kalam Allah setiap fajar terbit dan terbenam. Kehitaman atau hati yang berkarat kerana terlalu biasa melakukan dosa juga boleh dipulihkan dengan bacaan ayat al-Quran seperti hadis daripada Ibnu Umar r.a. berkata, sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya hati ini berkarat seperti berkaratnya besi apabila terkena air, seorang sahabat bertanya, “Bagaimana menghapuskan karat itu”? Jawab Nabi SAW, “Banyakkan menyebut mati dan membaca al-Quran”.

Ganjaran membaca ayat suci al-Quran dijelaskan Allah SWT sebagaimana hadis, daripada Ibnu Mas'ud r.a. ia berkata: “Barang siapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan 10 pahala, aku tidak bermaksud: Alif, Lam, Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf. (Riwayat ad Darimi Tarmizi).

Jelas pada hari ini, kebanyakan remaja atau belia memilih untuk menghadiri pusat hiburan sebagai tempat mencari kepuasan hidup. Kepuasan hidup yang cuba dicari melalui pelbagai bentuk hiburan adalah satu pilihan yang boleh menenggelamkan akidah, maruah diri, kemuliaan peribadi dan agama yang akhirnya membawa kepada perbuatan riddah.

Kehidupan yang tidak berasaskan al-Quran dalam rutin harian mampu menolak jauh manusia ke arah petanda kehancuran umat Islam. Kita semakin khuatir bagaimana generasi akan datang melihat Islam kerana agama yang diwarisi dari ibu bapanya adalah lebih bersandarkan kepada namanya Islam, hakikatnya jauh dari apa yang dikatakan penganut Islam.

Ibu bapa pada hari ini perlu menitikberatkan kecenderungan ke arah memberi kefahaman anak-anak mengenai al-Quran. Tanggungjawab ini bukan sekadar menghantar anak untuk belajar mengaji al-Quran tetapi ada sesuatu yang lebih bermakna lagi iaitu bagaimana hendak menjadikan anak-anak cenderung ke arah memahami maksud al-Quran seterusnya boleh menerapkan sebagai asas dalam pemikiran dan segala hal perlakuan.

Jiwa umat Islam yang membiasakan diri dengan bacaan ayat suci al-Quran begitu hebat sehinggakan Rasulullah SAW membuat perumpamaan dalam hadisnya, daripada Abu Musa Al Asy'ari r.a, Rasulullah SAW bersabda: “Umpama orang mukmin yang membaca al-Quran seperti buah Utrujjah (seperti limau besar) baunya wangi dan rasanya sedap. Umpama orang mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah tamar tidak ada bau dan rasanya manis dan umpama orang munafik yang membaca al-Quran seperti Raihanah (sejenis pokok) baunya wangi dan rasanya pahit dan umpama orang munafik yang tidak membaca al-Quran seperti buah labu yang tiada bau dan rasanya pahit. (Riwayat Bukhari & Muslim)

Kebimbangan hari ini adalah sejauh mana kesedaran masyarakat Islam khususnya yang bergelar remaja dan belia memahami al-Quran untuk diletakkan dalam asas tindakan dan perlakuan. Kecenderungan memilih gaya hidup yang bebas sebenarnya mampu membawa masa depan negara ke arah kemusnahan keamanan negara.

Justeru, keprihatinan masyarakat masa kini memilih al-Quran untuk dijadikan panduan dalam segala perkara amatlah dituntut. Kelapangan masa pada waktu malam dan memulakan fajar hidup dengan bacaan al-Quran mampu melunakkan pemikiran agar berubah kepada kehidupan yang lebih permai.

Membaca al-Quran bukan saja mampu menerangi hati, sebaliknya yang paling besar rahmatnya ialah pada hari pembalasan kelak. Pahala membaca al-Quran alah pertolongan kepada kita di sana kelak, hadis Abu Umamah r.a yang mendengar Nabi SAW bersabda, “Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya”. (Riwayat Muslim).

Internet jalan pintas

by
Ramai antara kita tidak perlu memandu ke bank lagi untuk berurusan dengan institusi kewangan, memadai dengan perbankan online bagi memudahkan urusan pembayaran bil atau pemindahan akaun.

Bayangkan dunia ini tanpa internet seperti 20 tahun lampau, tentunya hidup amat berbeza dengan apa yang dialami kini. Internet memenuhi segala-galanya pada dunia moden ini - daripada penyebaran maklumat hingga kepada gosip, hiburan, tayangan video, kemudahan audio, hingga kepada propaganda, dakyah, permohonan pekerjaan dan kemasukan ke pusat pengajian tinggi.

Internet juga hampir menggantikan kad ucapan hari raya. Pada Aidilfitri baru-baru ini, hanya enam juta kad raya dihantar secara pos, berbanding 12 juta kad raya diposkan pada 2000. Bayangkan separuh daripada pengirim kad raya sudah menggunakan e-mel, Facebook atau Twitter untuk merapatkan hubungan.

Segala-galanya terlalu mudah, tidak perlu lagi ke pejabat pos untuk membeli setem dan memasukkan kad ke dalam peti pos. Bayangkan, jika lima tahun lampau kita terpaksa ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk perakuan taksiran pendapatan atau memohon pengembalian semula lebihan cukai pendapatan, kini memadai dengan e-filing, segala-galanya diselesaikan melalui hujung jari.

Tetapi bayangkan juga kenapa Malaysia masih ketinggalan teknologi internet walaupun pada November ini, dunia sudah 40 tahun memiliki internet? Kita tidak sampai 20 tahun mengenalinya. Kita amat ketinggalan berbanding Singapura, Hong Kong, Taiwan, Korea Selatan dan Jepun. Malah, kita juga hampir dikalahkan oleh Indonesia dan Thailand yang semakin rancak teknologi maklumatnya.

Rakyat Malaysia mula mengecapi internet secara dail masuk pada awal 1990, sementara jalur lebar mula menjengah pada 2001. Selangor pula negeri yang paling banyak bilangan komputer bagi 1,000 penduduk dan bilangan langganan internet tertinggi (17 peratus daripada jumlah penduduk dan 26.7 peratus jumlah langganan negara).

Data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan perbezaan ketara penggunaan internet antara bandar dan luar bandar. Tahun lalu kadar penggunaan internet bagi penduduk bandar ialah 85.3 peratus, berbanding 14.7 peratus dimiliki penduduk desa. Usaha menggiatkan internet di luar bandar perlu dipertingkatkan supaya kadar celik maklumat boleh disemarakkan.

Dari segi nawaitu siasah dan selera generasi muda pula, internet begitu berleluasa di negara kita selepas penahanan dan pendakwaan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 1998. Internet dan blog begitu ketara memainkan peranan, hatta menjelang Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008, media bentuk baru berperanan menyebarkan maklumat politik - ada kalanya mengatasi media tradisional yang lazimnya berjaya mencorak pemikiran politik dan sokongan massa.

Pihak yang mengabaikan kepentingan media baru, pasti kecundang kerana teknologi maklumat tidak lagi memerlukan permit penerbitan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN). Memadai beberapa minit membuka akaun blog, seseorang sudah menjadi blogger dan boleh mencatat apa saja tanpa tapisan. Ada waktunya, blogger seolah-olah begitu berkuasa dan mampu menghitam dan memutihkan seseorang.

Pengaruhnya amat meluas, terutama kepada generasi muda yang rata-ratanya adalah generasi internet yang hampir menentukan keputusan pengundian secara keseluruhan.

Ada waktunya media bentuk baru dianggap lebih terkini dan bebas, walaupun takrif kebebasan itu sendiri masih boleh diragui. Ada juga yang merayakan kebebasan maklumat dan demokrasi dengan menggunakan kemudahan internet sebagai paksi perjuangan.

Jangan salahkan internet, jika kita dianggap kolot untuk menilai sesuatu maklumat. Salahkan diri sendiri, kerana kita seolah-olah berada pada detik 20 tahun lalu.

Tabung Haji isytihar bonus awal 2.25 peratus

by
Lembaga Tabung Haji (TH) mengisytiharkan pembayaran bonus awal sebanyak 2.25 peratus yang melibatkan sejumlah RM465 juta bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangannya yang berakhir pada 31 Disember 2009 kepada penyimpan yang layak.

Pembayaran bonus awal itu adalah yang pertama bagi TH dan akan dikreditkan kepada akaun penyimpan yang layak pada 5 Oktober ini.

Dalam satu kenyataan semalam, TH berkata, tahun lepas agensi itu mengumumkan pembayaran bonus sebanyak lima peratus dan pada 2007 membuat pembayaran bonus khas sulungnya sebanyak dua peratus di samping pembayaran bonus sebanyak lima peratus.

TH mula membayar bonus kepada penyimpannya pada 1966 - tiga tahun selepas penubuhannya. Dalam tahun itu, TH membuat tiga pembayaran bonus sebanyak tiga peratus kepada kira-kira 22,000 penyimpan.

Setakat Julai tahun ini penyimpan TH berjumlah 5.09 juta.

- BERNAMA

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90