Top Ad 728x90

Ketahui DHA minyak ikan selamat

by
Jika anda pergi ke pasar raya untuk mencari susu formula bayi, anda akan lihat kebanyakan jenama mempunyai perkataan "DHA" tertulis pada pelekatnya. Kemudian jika anda berjalan beberapa langkah lagi anda dapat lihat kotak-kotak yang mengandungi telur ayam pun mempunyai perkataan yang sama tercetak padanya. Anda hairan mengapa DHA dimasukkan ke dalam makanan ini. Jawapannya wajar diperhatikan terutama sekali bagi wanita yang mengandung.

DHA (asid dokosaheksaenoik) ialah sejenis asid lemak omega-3 berantai panjang yang boleh dijumpai dalam setiap sel dalam badan. Ia membentuk lebih 90 peratus daripada lemak omega-3 dalam otak, mata dan sistem saraf pusat. Oleh itu, DHA adalah penting untuk perkembangan otak, mata dan sistem saraf pusat, yang bermula dalam rahim ibu!

Semasa hamil, bayi memperolehi DHA daripada rahim ibu. Berapa banyak DHA yang diperolehi oleh bayi itu bergantug kepada jumlah DHA yang diambil ibunya.

Tetapi malangnya, ramai wanita mengandung tidak memperolehi jumlah DHA yang disyorkan dalam diet mereka dan DHA tidak didapati dalam kebanyakan vitamin pralahir yang mereka ambil.

Manfaat kepada bayi dan kanak-kanak daripada suplemen DHA .

Kajian menunjukkan ibu mengandung yang mengambil suplemen DHA akan melahirkan bayi yang mempunyai paras DHA dengan ketaranya lebih tinggi dalam otak mereka.

Oleh itu, kita boleh mengesahkan di sini pengambilan suplemen DHA oleh ibu mengandung dan menyusu (susu ibu), dengan ketaranya dapat meningkatkan paras DHA pada janin dan bayi. Kajian menunjukkan pengambilan suplemen DHA oleh ibu mengandung akan memberi keberhasilan yang lebih baik terhadap perkembangan bayi, dari segi:

"Penyelarasan mata dengan tangan

"Kemahiran gerakan bermotor

"Jangka tumpuan yang lebih panjang

"Markah IQ yang lebih tinggi

DHA daripada sumber-sumber diet

"Alga (rumpair) - Sesetengah alga merupakan sumber semulajadi bagi DHA. Manakala ramai orang percaya ikan dapat mengeluarkan DHA-nya sendiri, tetapi sebenarnya, alga yang dimakan oleh ikan itu menjadikannya sebagai sumber yang kaya dengan DHA.

"Jenis ikan yang berlemak, termasuk ikan bilis, ikan salmon, ikan hering, ikan tenggiri, tuna dan ikan halibut.

"Daging organ, seperti hati.

"Sejumlah kecil boleh didapati dalam kuning telur

Nasihat memakan ikan dan Amaran Pemakanan daripada badan-badan pakar di USA

Persatuan Jantung Amerika, Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (FDA) dan Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA), mengeluarkan nasihat/amaran berkaitan dengan pemakanan ikan. Amaran ini dikeluarkan sebagai tindak balas terhadap penemuan sesetengah ikan mengandungi methilmerkuri, iaitu sejenis pencemar yang sekiranya berada pada paras yang tinggi boleh membahayakan sistem urat saraf janin yang sedang membesar, dan juga bayi yang baru lahir dan juga kanak-kanak yang baru bertatih. Ini boleh membawa kepada kesan negatif terhadap jangka masa penumpuan, penguasaan pertuturan, keupayaan penglihatan dan mengesan ruang, daya ingatan dan penyelarasan. Adalah dianggarkan hampir 60,000 kanak-kanak setiap tahun dilahirkan dengan dibebani risiko masalah neurologi yang disebabkan oleh pendedahan kepada methylmercury semasa di dalam rahim ibu.

Bandingan antara DHA daripada susu ibu dan DHA daripada minyak ikan

Minyak ikan diperolehi daripada tisu ikan yang berminyak dan ia mengandungi kedua-dua DHA dan EPA (asid eikosapentaenoik). Meskipun demikian, suplemen minyak ikan biasa mengandungi EPA dengan jumlah yang agak besar dan sebaliknya mengandungi DHA sekadar sederhana sahaja. Bagi orang dewasa, DHA dan EPA dapat dihadamkan serta diserapkan. Bagi bayi dan janin, EPA mungkin bersaing dengan DHA untuk merebut tempat dalammembran sel saraf, dan ini mungkin membahayakan otak yang sedang berkembang, dan juga perkembangan mata dan sistem saraf. Dalam susu ibu manusia, jumlah DHA adalah empat kali lebih tinggi daripada jumlah EPA - Sememangnya, alam semulajadi adalah yang terbaik.

Penyulingan molekular

Sesetengah pengilang mengeluarkan minyak ikan melalui suatu proses yang dikenali sebagai 'penyulingan molekular' untuk menghapuskan methylmercury dan toksin lain yang wujud dalam ikan. Bagaimana pun, proses ini tidak mungkin dapat menghapuskan 100 peratus methylmercury kerana dengan kaedah yang digunakan sekarang ini, pasti masih boleh meninggalkan sedikit sebanyak kesan toksin - mungkin pada paras yang tidak boleh dikesan. Ia banyak bergantung kepada sensitif alat ujian yang digunakan.

DHA daripada sumber sayur-sayuran (alga) - Suatu Pilihan yang lebih selamat

Suplemen DHA yang diperbuat daripada alga kini boleh didapati. Ia mengemukakan pilihan yang lebih selamat untuk ibu mengandung dan menyusu, yang ingin memperolehi manfaat DHA untuk bayi mereka tanpa berasa cemas tentang ketosikan methilmerkuri ataupun kandungan EPA yang tinggi.

Martek Biosciences, dari USA, merupakan satu-satunya syarikat di dunia yang berjaya mengeluarkan DHA daripada jenis alga yang telah dipatenkan dan ditumbuhkan secara besar-besaran dalam tangki penapaian yang ditempatkan pada jarak yang jauh dari laut, dengan menggunakan air yang ditapis - semuanya ini dikawal ketat di bawah syarat perkilangan GMP. Oleh sebab itu, alga daripada Martek tidak sekali-kali akan terdedah pada pencemaran.

Alga yang ditanam jauh dari laut bermakna alga ini tidak terdedah kepada pencemar lautan. DHA daripada sumber alga juga adalah bebas daripada lain-lain asid lemak politaktepu yang berantai panjang seperti EPA, yang wujud secara semulajadi dalam minyak ikan.

Dosej yang disyorkan

Pakar dari National Institute of Health dan International Society for the Study of Fatty Acids and Lipids (NIH/ASSFAL) telah mengesyorkan pengambilan sebanyak 300mg DHA setiap hari bagi ibu mengandung dan menyusu. Terdapat banyak formula susu untuk pra lahir dan untuk bayi yang mengandungi DHA, tetapi parasnya selalunya rendah. Suplemen tambahan masih lagi diperlukan dan disyorkan.

Di samping itu, sesetengah kajian menyarankan paras DHA yang mencukupi dalam diet seorang ibu yang baru melahirkan anak, mungkin memainkan peranan dalam membantu mewujudkan keafiatan dan kesejahteraan emosi ibu tersebut selepas melahirkan anak.

DHA bersalut enterik

Suplemen DHA yang diperbuat daripada kapsul sayuran bersalut enteric juga mempunyai keistimewaan. Salutan enteric melindungi kapsul itu daripada tindakan asid dalam perut, dengan itu memastikan kapsul itu akan menghancur dalam usus, dan tidak dalam perut. Penyerapan DHA adalah lebih baik apabila ia diserap dalam usus. Lagipun, tidak akan berlaku rasa pahit-pahit apabila ibu itu bersendawa. Ini merupakan suatu perkara yang penting bagi seorang ibu mengandung kerana dia mungkin berasa terlalu sensitif terhadap bau-bau tertentu.

Panduan membeli suplemen untuk ibu mengandung dan menyusu (susu ibu)

Dalam memilih suplemen DHA untuk ibu-ibu mengandung dan yang sedang menyusu susu ibu, pastikan sumbernya adalah daripada sayuran. Ini merupakan pilihan yang lebih selamat kerana ia tidak mengandungi sebarang toksin yang mungkin terdapat dalam DHA yang sumbernya daripada ikan. Untuk memilih suplemen DHA yang baik kualitinya, pastikan alga itu dikeluarkan dalam keadaan kawalan yang ketat demi untuk menjaminkan keselamatan dan ketulenannya.

Memastikan diet yang sihat dan seimbang semasa mengandung dan semasa menyusu adalah amat penting bagi kedua-dua ibu dan bayi. Selain daripada mengambil dos-dos DHA harian, ibu mengandung dan menyusu seharusnya juga mengambil suplemen pra lahir yang mengandungi lebih tinggi kalsium, zat besi dan asid folik untuk menampung keperluan yang sedang meningkat pada saat-saat penting ini, maka dengan itu memberikan bayi anda asas yang baik untuk memulakan hidupnya kelak.

- MINGGUAN MALAYSIA

Keputusan Perlawanan Liga Super Malaysia (MSL) - 06/03/2010

by
KEPUTUSAN PERLAWANAN LIGA SUPER MALAYSIA (MSL) 06/03/2010 (SABTU) :

Selangor 4 - 0 Kedah

N.Sembilan 3 - 2 Perlis

K.Lumpur 2 - 1 Johor

KL Plus 0 - 1 Terengganu

P.Pinang 1 - 1 Perak

T-Team 0 - 1 Kelantan

Johor FC 2 - 0 Pahang

PKR pecat Zulklifi Noordin

by

Ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin dipecat daripada PKR hari ini.

Perkara tersebut diumumkan Setiausaha Agungnya Saifuddi Nasution Ismail pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya petang ini.

Timbalan Presiden PKR Syed Husin Ali, Naib Presiden Mustaffa Kamil Ayub, Ketua Penerangan Latheefa Koya dan Pengarah Strategik Tian Cua turut hadir. Bagaimanapun, ketua umummnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan presiden parti Datuk Seri Wan Azizah Ismail tidak turut serta dalam sidang media tersebut.

Sehubungan itu, Zulklifi juga diminta mengosongkan kerusi parlimen Kulim-Bandar Bharu yang dimenanginya pada pilihan raya umum 2008.

Bagaimanpun Zulklifi dibenarkan membuat rayuan dalam tempoh 14 hari berhubung pemecatan itu.

Dua hari lalu, Zulkifli dihadapkan ke lembaga jawatankuasa dispilin PKR tetapi bertindak keluar selang sejam kemudian.

'Kesalahan berulang-ulang'

Beliau dihadapkan ke jawatankuasa itu bagi memberi penjelasan berhubung bidasannya terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan membuat laporan polis ke atas ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Zulklifi mendakwa panel yang sepatut menentukan masa depannya hari ini sepatutnya dianggotai oleh orang Islam kerana ia membabitkan penggunaan isu kalimah Allah dan agama Islam.

Dakwaannya itu bagaimanapun ditolak dan menurut setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution, kes Zulklifi tidak kena mengena dengan isu kalimah Allah.

Dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR selama kira-kira 3 jam setengah, Saifudin menjelaskan, keputusan terhadap Zulkifli dibuat secara sebulat suara selepas mempertimbangkan pelbagai aspek, termasuk kesan "kesalahan yang berulang-ulang" yang dilakukannya dan kesannya terhadap parti.

Saifuddin berkata, surat bagi memaklumkan keputusan tersebut akan dimaklum kepada Zulkifli pada Isnin ini melalui pelbagai surat, faks dan e-mel.

Menurut Saifuddin, Zulkifli disabitkan bersalah kerana membuat laporan polis terhadap wakil rakyat PAS Khalid Samad dan ekoran kenyataannya yang dibuat dalam sebuah wawancara di TV3 sebelum ini, antarnaya berbentuk serangan terhadap dasar dan pendirian parti serta kemampuan Pakatan Rakyat.

Kulim diselia Gobalakhrisnan

Saifuddin berkata, selepas tempoh rayuan tamat, sekiranya rayuannya ditolak, PKR akan mendesak ahli parlimen kontroversi itu mengosongkan kerusi parlimen kawasan tersebut kerana kemenangannya sebelum ini diperoleh atas tiket PKR.

Ditanya tindakan PKR sekiranya Zulkifli enggan berbuat demikian, Saifuddin hanya berkata, beliau yakin, sebagai ahli parlimen yang bertanggungjawab dan faham nilai integriti dan kewibawaan, beliau akan akur pada desakan tersebut.

Sementara itu, katanya, PKR juga menugaskan pemimpinanya menjaga kebajikan kawasan di mana wakil rakyat mereka berpaling tadah.

Beliau menambah, wakil rakyat Padang Serai N Gobalakhrisnan selepas ini akan ditugaskan menjaga kawasan Kulim-Bandar Baharu. Awar di Nibong Tebal, Yusmadi Yusoff (Balik Pulau) ditugaskan di Bayan Baru dan Dr Lee Boon Chye (Gopeng) di Bagan Serai.

Sementara Zulkifli ketika dihubungi Malaysiakini sejurus selepas keputusan tersebut diumumkan enggan mengulas lanjut kerana bercadang mengadakan sidang media khas mengenai perkara itu lewat petang ini.

- MALAYSIAKINI

Peminjam PTPTN Paling Ramai Ditahan Imigresen Di Kelantan

by
Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang ditahan di lapangan terbang kerana tidak membayar pinjaman daripada perbadanan itu merupakan jumlah kes yang tertinggi dicatatkan Jabatan Imigresen Kelantan.

Pengarahnya, Che Bahrom Hamzah berkata, jabatan itu terpaksa melaksanakan tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati belum menjelaskan hutang PTPTN termasuk melaksanakan proses penangguhan kepada pemiutang yang ingin membuat pasport untuk ke luar negara.

"Bagi pemiutang ini, sebarang urusan untuk membuat dan memperbaharui pasport ditangguhkan sehingga nama mereka dibersihkan daripada senarai pemiutang PTPTN," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tanpa menyebut peratusan kes penahanan membabitkan pemiutang PTPTN di negeri ini beliau berkata, pemiutang perlu memeriksa nama masing-masing dengan PTPTN bagi memastikan tiada sebarang masalah yang timbul ketika mereka ingin ke luar negara.

"Seperti di negeri lain, berdasarkan arahan dan kenyataan nama yang dikeluarkan PTPN, pasport boleh didaftar baru setelah pembayaran hutang itu dirunding dan dibincangkan oleh pihak berkenaan," katanya.

Selain itu Che Bahrom berkata, pemiutang yang daif yang tidak dapat membayar pinjaman dan disahkan oleh mahkamah sebagai muflis turut disekat nama mereka untuk ke luar negara.

Beliau berkata, pelanggan yang tidak membayar cukai pendapatan, pesalah jenayah yang melakukan jenayah sivil juga turut disekat nama mereka untuk keluar negara.

"Bagi menyelesaikan masalah nama disekat sebelum ke luar negara, pemiutang dinasihatkan melunaskan hutang masing-masing daripada mana-mana institusi peminjam bagi memudahkan urusan ke luar negara atau urusan membuat atau memperbaharui pasport.

"Bagi mengetahui nama mereka layak memiliki pasport atau tidak jika ingin ke luar negara, mereka boleh memeriksa nama dengan melayari internet dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang disediakan pihak terbabit," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, purata sebanyak 100 permohonan untuk E-Pasport Malaysia versi Piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dikeluarkan setiap hari sejak 28 Feb lalu di negeri ini.

Beliau berkata, E-Pasport ICAO yang dilancarkan 2 Feb lepas oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein menjadi pilihan orang ramai kerana ia turut menawarkan passport berharga RM100 bagi tempoh sah laku selama dua tahun.

- BERNAMA

Aset peribadi Susilo RM3.7 juta

by
JAKARTA: Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono (kanan) semalam mengumumkan harta peribadinya bernilai kurang AS$1.1 juta (RM3.7 juta), menjadikan beliau 'lebih miskin' berbanding Naib Presiden Boediono dan tiga menteri lain.

"Jumlah kekayaan saya pada 23 November 2009 ialah 7,616,270,204 rupiah (RM2.76 juta) dan AS$269,730 (RM908,046). Laporan pada Mei 2009 mencatat nilai aset saya adalah 6,848,049,611 rupiah (RM2,48 juta) dan AS$246,389 (RM829,468)," katanya pada sidang media di Istana Presiden.

Akhbar Jakarta Globe melaporkan, aset Susilo termasuk harta tidak boleh dijual bernilai 2.4 bilion rupiah (RM872,526), kenderaan berharga 502 juta rupiah (RM182,503 ), perhiasan dan koleksi seni berharga 851 juta rupiah (RM309,383) dan beberapa dokumen berharga, bernilai 3.8 juta rupiah (RM1,381). Beliau tiada hutang.

Undang-undang Indonesia 1999, menyatakan semua pegawai kerajaan dikehendaki melaporkan kekayaan kepada Suruhan Jaya Mencegah Rasuah (KPK) dan mengumumkannya secara terbuka.

"Semua pegawai kerajaan wajib melaporkan dan mengumumkan kekayaan sebelum dan selepas mereka menyandang jawatan," kata pengerusi KPK, Tumpak Hatorangan Panggabean.

Sementara itu, kekayaan Boediono pada September 2009 ialah 28 bilion rupiah (RM10.179 juta) dan AS$16,000 (RM54,400). Laporan pada April 2009 mencatat kekayaan keseluruhan beliau 22 bilion rupiah (RM 7.998 juta) dan AS$15,000 (RM51,000). Kenderaan dan pengangkutan miliknya juga bernilai lebih tinggi berbanding Susilo iaitu 940 juta rupiah (RM341,739)

Tiga menteri Kabinet Susilo iaitu Menteri Penyelaras Politik, Undang-Undang dan Hal-Ehwal Keselamatan Djoko Suyanto, Menteri Koperasi dan Perusahaan Sederhana dan Kecil, Syed Hasan dan Menteri Maritim dan Perikanan Fadel Muhammad, memiliki aset peribadi lebih banyak berbanding presiden.

Aset Djoko bernilai 17.2 bilion rupiah (RM6.253 juta) ditambah AS$40,000 (RM136,000), Kekayaan Fadel berjumlah 119.8 bilion rupiah, (RM43.553 juta) ditambah wang tunai AS$235,652 (RM800,216), berkurangan 1.5 bilion rupiah (RM545,329) berbanding laporan pada 2006, manakala kekayaan Syarif Hasan bernilai 17.5 bilion (RM6.362 juta) dan AS$180,000 (RM612,000).

Beberapa menteri sudah mengumumkan kekayaan masing-masing lebih awal, manakala sebilangan lagi membuat pengumuman semalam. Beberapa menteri lagi dijangka membuat pengumuman dalam tempoh terdekat.

"Pengumuman ini adalah sebahagian tradisi politik yang baik dan dikehendaki rakyat. Pengerusi KPK dan saya bersetuju supaya semua pegawai kerajaan termasuk gabenor dan pegawai daerah, mengumumkan kekayaan masing-masing," katanya.

- Agensi

4 punca utama graduan sukar dapat pekerjaan

by
Kajian talian pengendali kerja, Jobstreet.com tahun lalu yang disertai 250 syarikat kerajaan dan swasta mengenal pasti empat punca utama yang menyukarkan graduan mendapatkan pekerjaan pada masa kini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ia kerana graduan gagal untuk mempamerkan kemahiran insaniah mereka yang meliputi empat perkara penting iaitu komunikasi, nilai dan etika, kepemimpinan serta pemikiran kritis.

"Tanpa kemahiran insaniah ini, graduan kita tidak mungkin mampu untuk bersaing di pasaran kerja yang amat mencabar pada hari ini. Menyedari kepentingannya, kementerian mengambil pelbagai tindakan dan strategi untuk memastikan kemahiran itu dapat diterapkan di kalangan graduan supaya mereka mampu bersaing.

"Di antara langkah awal yang diambil kementerian ialah pelaksanaan kemahiran insaniah di kalangan pelajar melalui kursus kokurikulum berkredit di semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA)," katanya ketika berucap merasmikan seminar sehari Amalan Terbaik Kemahiran Insaniah di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, semalam.

Mohamed Khaled berkata, bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan kemahiran insaniah melalui kursus kokurikulum berkredit itu dapat dijalankan dengan berkesan, kementerian akan melancarkan bengkel 'Training of Trainers' (TOT), pada 12 Mac ini.

Beliau berkata, tiga elemen penting yang akan menjadi fokus utama dalam bengkel itu ialah aspek kandungan, kaedah penyampaian dan kaedah penaksiran.

"Untuk melancarkan perjalanan bengkel ini, kementerian bersetuju untuk melantik Pusat Kokurikulum UPM sebagai pejabat pengurusan operasi (OMO)," katanya.

"Bagaimanapun, kita harus akui bahawa pelaksanaan kemahiran insaniah di kalangan graduan tidak boleh disandarkan kepada penawaran kursus kokurikulum berkredit saja malah IPTA juga perlu melaksanakan usaha lain," katanya.

Sementara itu, pada sidang media, Mohamed Khaled menggesa lebih banyak industri tempatan supaya memberi peluang kepada graduan menjalani latihan amali di syarikat masing-masing.

"Saya sudah banyak kali menekankan bahawa industri juga perlu menyediakan lebih banyak tempat untuk membolehkan graduan menjalani latihan amali dan ia tidak seharusnya bertumpu kepada bidang tertentu saja.

"Hari ini pihak industri hanya cakap bahawa graduan tidak menepati kemahuan industri tetapi mereka tidak mendedahkan golongan terbabit kepada dunia pekerjaan," katanya.

- BERITA HARIAN

Dividen KWSP 5.65 peratus

by
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan kadar dividen lebih tinggi sebanyak 5.65 peratus bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2009, berbanding 4.50 peratus pada tahun sebelumnya.

Kadar dividen itu diumumkan setelah KWSP memperoleh pendapatan bersih tertinggi pernah dicapai sebanyak RM19.63 bilion tahun lepas.

KWSP dalam kenyataannya di sini berkata, pendapatan bersih itu merupakan peningkatan 34.82 peratus berbanding RM14.56 bilion yang dicatatkan pada 2008.

Kadar dividen 2009 menyaksikan peningkatan ketara sebanyak 115 mata asas berbanding kadar 4.50 peratus yang dibayar pada 2008.

"2009 merupakan tahun penting bagi KWSP kerana berjaya keluar daripada krisis kewangan global walaupun berdepan dengan persekitaran ekonomi yang kurang memberangsangkan. KWSP juga masih berupaya memberikan prestasi kukuh pada tahun ini," kata Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman di sini hari ini.

Menurut Samsudin, berikutan meningkatnya kadar dividen itu, KWSP memerlukan sejumlah RM3.43 bilion untuk membayar satu peratus dividen kerana jumlah ahli yang juga telah bertambah.

"Jumlah itu meningkat 7.86 peratus berbanding RM3.18 bilion yang diperlukan bagi membayar satu peratus dividen pada 2008," kata beliau.

Samsudin berkata, para pencarum KWSP boleh menyemak dividen 2009 yang dikreditkan ke dalam akaun mereka mulai Isnin ini.

Mengulas lanjut tentang pencapaian tahun kewangan itu, beliau berkata, pada 2009 sebanyak 72.53 peratus pelaburan KWSP dilaburkan dalam instrumen berpendapatan tetap selaras dengan pendekatan pelaburan berhemah yang diamalkan diikuti pelaburan ekuiti (27.05 peratus) dan selebihnya dalam hartanah.

Samsudin berkata, sehingga 31 Disember lalu portfolio pelaburan KWSP meningkat 8.55 peratus atau RM29.25 bilion kepada RM371.26 bilion berbanding RM342.01 bilion pada tahun sebelumnya.

Dana KWSP antara lain dilabur dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia sebanyak RM93.11 bilion, pinjaman dan bon (RM152.96 bilion), ekuiti (RM100.43 bilion), instrumen pasaran wang (RM23.21 bilion) dan hartanah (RM1.55 bilion).

Samsudin menambah, prospek 2010 bergantung kepada prestasi ekonomi negara dan global.

"Pada masa ini, keadaan pasaran kewangan global masih tidak stabil dan boleh memberi kesan kepada nilai pelaburan dan pendapatan masa depan KWSP.

"Bagaimanapun, KWSP akan terus memberi tumpuan kepada matlamat utamanya melindungi simpanan ahli dan memberikan pulangan nyata yang munasabah," tambah beliau.

- UTUSAN

Kopi atau viagra

by
PERNAHKAH anda menikmati kopi yang dijual di kedai mamak ataupun di mana-mana gerai dengan harga RM5 hingga RM6 secawan? Tidakkah anda terfikir bahawa harga tersebut jauh berbeza jika hendak dibandingkan dengan harga biasa iaitu sekitar RM1?

Apakah yang membuatkan perbezaan harganya begitu ketara? Adakah disebabkan kopi itu sendiri yang berkualiti ataupun bahan-bahan lain yang dicampur bersama?

Jika dilihat daripada senario tersebut, ternyata kopi yang dijual adalah kopi-kopi jenama tertentu yang dikatakan sebagai penguat tenaga batin atau syahwat.

Tetapi sejauh manakah kenyataan tersebut benar dan berasas dengan hanya campuran ekstrak herba tertentu?

Ia ternyata menimbulkan kekeliruan orang ramai. Malah bagi mereka yang gemar menikmati kopi ‘power’ yang dikatakan mampu meningkatkan tenaga batin ini, anda dinasihatkan agar berfikir dua tiga kali.

Ini kerana selain mengandungi bahan-bahan ekstrak herba tempatan seperti tongkat ali dan kacip fatimah (yang lazim terdapat di dalam kopi segera), ia juga sebenarnya telah dicampur dengan bahan terlarang yang mampu menyebabkan kematian.

Ia diakui benar oleh pakar pemakanan, Norul Hasliza Shams Hashim.

Menurut Norul, kopi ‘power’ yang dirampas di pasaran hari ini bukan sahaja mengandungi ekstrak herba-herba tempatan malah ia turut mengandungi bahan terlarang atau ubat terkawal iaitu Sildenafil.

Jelas Norul, Sildenafil bukan sahaja merupakan sejenis dadah atau ubat yang mahal harganya malah ia juga merupakan bahan terkawal di mana cara pengambilannya perlu mendapat preskripsi, pengesahan, kebenaran serta pengawasan daripada doktor.

‘‘Seperti umum ketahui, Sildenafil biasanya terdapat di dalam Viagra, sejenis ubat yang mampu memberi rangsangan seks kepada sesiapa sahaja yang mengambilnya terutama kaum lelaki.

‘‘Tetapi pengambilan yang tidak dikawal serta melebihi dos juga boleh mempercepatkan komplikasi kesihatan termasuk kematian jika peminumnya mempunyai penyakit kronik seperti sakit jantung serta buah pinggang,’’ ujar beliau ketika ditemui Utusan Malaysia di Shah Alam, baru-baru ini.

Menurut beliau lagi, Sildenafil tidak sepatutnya dicampurkan bersama makanan kerana ia merupakan sejenis ubat terlarang.

Penggunaannya perlu didaftarkan dan diisytiharkan dengan Biro Pengamalan Farmaseutikal Kebangsaan di bawah Kementerian Kesihatan.

Ulas Norul, bahagian penguat kuasa tidak mampu membendung penjualan kopi ‘power’ di pasaran kerana undang-undang di Malaysia sendiri tidak mewajibkan mana-mana pengusaha produk berasaskan makanan mengisytiharkan isi kandungan produk masing-masing.

Oleh yang demikian, penguatkuasaan hanya dilakukan sekiranya mendapat aduan daripada orang ramai dan itupun setelah pemeriksaan dilakukan ke atas produk-produk tersebut.

Jika dilihat daripada kopi itu sendiri, menurut Norul, ia sememangnya mengandungi kafein yang menjadikan peminumnya berasa segar dan sihat.

Selain itu, kafein tersebut juga dapat membantu individu-individu yang mengalami masalah penyakit seperti Parkinson dan kencing manis jenis 2.

Malah menurut Norul, terdapat kajian yang menyatakan kopi juga berkemungkinan dapat meningkatkan kesuburan lelaki dengan peningkatan pergerakan sperma (sperma lebih aktif).

Bagaimanapun segala kajian yang dilakukan memerlukan lebih penyelidikan untuk membuktikan atau mengesahkan penemuan tersebut.

Tidak dinafikan, kopi yang berasal daripada buah biji kopi yang berwarna kemerahan merupakan minuman yang paling digemari dan dikenali di seluruh dunia.

Ini kerana kopi mudah diperolehi selain sudah menjadi satu kemestian atau adat, menjadi ‘sajian’ kepada tetamu.

‘‘Jika dilihat daripada kandungan asalnya iaitu kafein, ia merupakan satu struktur kimia ataupun bahan aktif semula jadi yang secara amnya tidak memudaratkan kesihatan sesiapa sahaja yang meminumnya.

‘‘Ini kerana kafein tadi merupakan bahan perangsang semula jadi dan merupakan bahan makanan yang selamat dan ia telah pun disahkan oleh U.S Food and Drug Administration (USFDA) sebagai Generally Regarded As Safe’ (GRAS),’’ katanya.

Ulas beliau lagi, selain kafein, kopi turut mengandungi bahan antioksida yang dapat meneutralkan radikal bebas dan melindungi sel-sel tubuh daripada kerosakan.

Ini kerana kita terdedah kepada radikal bebas hasil semulajadi daripada metabolisma badan daripada oksigen yang disedut dan ia mampu mengundang pelbagai penyakit kronik.

Menurut beliau, ada juga kajian menyatakan bahawa antioksida yang terdapat di dalam kopi mampu melindungi peminumnya daripada penuaan selain mengurangkan tekanan darah tinggi, mengurangkan risiko penyakit kanser, penyakit jantung dan juga strok.

‘‘Hari ini, kopi yang terdapat di pasaran yang mengandungi pelbagai ekstrak herba sebenarnya adalah untuk memudahkan orang ramai untuk menikmatinya.

‘‘Ini kerana jika herba-herba tersebut direbus begitu sahaja ia mungkin susah untuk diminum kerana baunya serta rasanya yang pahit dan sekiranya dicampur di dalam kopi ia dapat dinikmati seperti kopi biasa,’’ katanya mengakhiri perbualan.

- UTUSAN

Semua kampung akan miliki akses Internet

by
JELEBU 5 Mac - Semua kampung dan pekan kecil di seluruh negara, termasuk di pedalaman akan mempunyai akses Internet berkelajuan tinggi menggunakan teknologi WiMax tidak lama lagi.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, kemudahan itu akan menjadi gandingan kepada penyediaan kemudahan Internet percuma yang akan dibekalkan kepada pejabat-pejabat Jabatan Penerangan di seluruh daerah yang diumumkan baru-baru ini.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat hasil mesyuarat bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dua hari lalu.

"Kita akan meneruskan pemasangan projek tersebut dan ini sekali gus akan merangkaikan kampung-kampung di pedalaman dengan kemudahan WiMax dan Wi-Fi.

"Bagi memanfaatkan lagi kemudahan itu, pihak SKMM akan bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk membekalkan komputer berharga serendah RM1,000 untuk kegunaan pelajar di kawasan kampung," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Bersama Pemimpin di Kampung Lakai di sini hari ini.

Menurut Rais, melalui projek itu, masyarakat kampung bakal menikmati capaian Internet jalur lebar dengan kelajuan di antara 1 Megabit sesaat (Mbps) hingga 2 Mbps.

Namun jelasnya, perkhidmatan yang disediakan itu tidak diberi secara percuma, sebaliknya penduduk kampung akan dikenakan kadar harga rendah yang akan diumumkan pada 24 Mac ini.

"Melalui perkhidmatan ini, rumah-rumah di kampung dijangka menikmati kemudahan Internet jalur lebar memandangkan teknologi WiMax mempunyai liputan seluas lapan hingga 12 kilometer," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan daerah yang bakal menerima kemudahan tersebut terlebih dahulu tetapi ia mungkin berjalan serentak dengan setiap negeri memilih satu gugusan kampung.

Menurutnya, ia bertujuan mengkaji keberkesanan projek dari aspek kelajuan, mutu, perkhidmatan dan kos capaian Internet yang bakal dinikmati.

- UTUSAN

Nabi Ibrahim meninggalkan Babylon

by
Raja Namrud berasa amat khuatir dan risau dengan kedudukan dan kekuasaannya. Dia risau peranannya sebagai penguasa negeri Babylon akan terancam. Walau bagaimanapun, Raja Namrud tidak menunjukkan kebencian kepada Nabi Ibrahim.

Dia sedar Nabi Ibrahim merupakan seorang yang cerdik dan pintar ketika berhujah dengannya. Kini dia berasakan bukan senang untuk mengalahkan Nabi Ibrahim. Dia perlu bijak mengatur strategi supaya tindakannya tidak diketahui oleh Nabi Ibrahim.

Raja Namrud masih membiarkan Nabi Ibrahim tinggal dalam negerinya dengan bebas. Tidak ada sedikit pun ditunjukkan tanda-tanda untuk mengusir Nabi Ibrahim. Kini Nabi Ibrahim masih mampu menyampaikan dakwahnya sesuka hati tanpa diganggu oleh sesiapa.

Namun begitu, dalam diam-diam Raja Namrud mengatur pelbagai rancangan untuk memusnahkan dakwah yang disebarkan oleh Nabi Ibrahim. Dia mula mengintip setiap pergerakan Nabi Ibrahim.

Dia tidak mahu semua rakyatnya terpengaruh dengan ajaran baru yang dibawa oleh Nabi Ibrahim dan meninggalkan ketaatan terhadapnya. Dia takut akan ditumpaskan.

Raja Namrud mula berasakan dia perlu mengambil langkah yang bijak jika ingin mengusir Nabi Ibrahim. Setiap langkah perlulah dijalankan dengan teliti agar tidak memberi kesan yang buruk terhadap kekuasaannya selama ini. Jika tersalah langkah pastinya akan membawa kesan yang buruk terhadap dirinya sendiri.

Oleh sebab itu, Raja Namrud tidak mahu menggunakan kekerasan ketika berhadapan dengan Nabi Ibrahim. Dia mahu menyingkirkan Nabi Ibrahim dengan cara yang bijaksana dan teliti.

Tindakan Raja Namrud sedikit sebanyak telah dapat dihidu oleh Nabi Ibrahim. Baginda mula berasa curiga dengan layanan dan kebebasan yang diberikan oleh Raja Namrud kepadanya selama ini. Segala gerakgerinya kini sentiasa mendapat perhatian pihak berkuasa.

Nabi Ibrahim juga sedar Raja Namrud sedang menunggu peluang yang baik untuk menyingkirkannya dari negeri itu. Raja Namrud bukan sahaja akan menyingkirkan Nabi Ibrahim, malah akan membunuhnya dengan kejam kerana menyampaikan dakwah yang bertentangan dengan anutan rakyatnya.

Setelah beberapa ketika berada di Babylon, Nabi Ibrahim berasa perbuatannya tidak membawa apa-apa manfaat kepada agama dan dirinya sendiri. Walaupun Babylon mempunyai penduduk yang ramai, namun mereka masih kuat berpegang teguh kepada agama anutan nenek moyang.

Nabi Ibrahim berasa dakwah yang disampaikan olehnya selama ini sia-sia sahaja. Kebanyakan hati penduduk Babylon telah tertutup rapat untuk menerima sesuatu yang baru.

Demi mengembangkan dakwah dan ajaran yang dibawanya itu, Nabi Ibrahim pun mengambil keputusan untuk keluar dari negeri berkenaan. Baginda benar-benar berharap agar bertemu dengan penduduk yang sanggup menerima ajaran yang dibawanya.

Baginda juga sentiasa berdoa kepada Allah agar ajaran yang dibawanya itu akan mendapat perhatian dan diterima oleh penduduk setempat.

- UTUSAN

Istiqamah lakukan kebajikan

by
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Al-Maraghi berkata: Dalam ayat ini, Allah SWT menyebut perkara-perkara yang memberi hiburan kepada mereka dan membuat hati mereka bersabar pada saat menghadapi kesengsaraan tersebut.

Di samping itu, Allah SWT menjelaskan betapa kecilnya kesenangan yang diberikan kepada orang kafir di dunia ini serta amat sedikit sekali lagi fana.

Oleh itu, orang yang mempunyai akal yang sihat tidak sepatutnya membandingkan apa yang ada di dunia ini dengan kenikmatan yang abadi di akhirat.

Ayat ke-199

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Sesungguhnya di antara ahli kitab, ada orang yang beriman kepada Allah dan (kepada) apa yang diturunkan kepada kamu (al-Quran) dan juga (kepada) apa yang diturunkan kepada mereka, sedang mereka khusyuk kepada Allah dengan tidak menukarkan ayat-ayat Allah untuk mengambil keuntungan dunia yang sedikit. Mereka itu beroleh pahalanya di sisi Tuhan mereka. Sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya.

Sebab nuzul ayat

Ibn al-Jauzi menyebut empat pendapat:

i. Ia diturunkan kepada raja Najashi kerana apabila dia mangkat, Rasulullah SAW solat ke atasnya. Lantas ada yang berkata: Dia solat ke atas orang Kristian sedangkan dia berada di negerinya. Maka turunlah ayat ini seperti yang dinyatakan oleh Jabir bin Abdullah, Ibn Abbas, Anas dan al-Hasan.

ii. Diturunkan kepada orang yang beriman di kalangan ahli kitab daripada Yahudi dan Nasara. Makna ini diriwayatkan oleh Abu Soleh daripada Ibn Abbas dan inilah pendapat Mujahid.

iii. Ayat ini diturunkan kepada Abdullah bin Salam dan rakan-rakannya. Inilah pendapat Ibn Juraiz, Ibn Zaid dan Muqatil.

iv. Diturunkan kepada 40 orang ahli Najran, 30 orang Habsyah, lapan orang Rom yang mereka beriman atas agama Isa dan kemudian beriman dengan Nabi SAW. Inilah pendapat Ata'.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: Allah menerangkan daripada nas ini pintu rahmat yang terbuka untuk mereka dengan menyebut penegasan sesungguhnya dan dikuatkan lagi sumpahan selepas daripada ayat tersebut. Ini kerana mereka yang beriman dan mendapat hidayat mempunyai lima sifat:

Pertama: Mereka beriman dengan sedalam-dalam dan seikhlasnya. Iman mereka menghilangkan ego dan kesombongan untuk mencari Tuhan yang sebenarnya.

Kedua: Mereka beriman dengan apa yang diturunkan kepada Nabi SAW dan mengetahui bahawa ia adalah Nabi yang terakhir.

Ketiga: Mereka beriman dengan hakikat apa yang diturunkan kepada mereka dan mengetahui pemimpin mereka telah mengubah dan meminda kalam Allah.

Keempat: Khusyuk dan takut kepada Allah SWT.

Kelima: Mereka tidak terkesan sesuatupun daripada dunia untuk menggadai atas ayat Allah yang menjadi tanda dan bukti.

ii. Al-Maraghi berkata, Allah SWT menjelaskan mengenai sifat-sifat mereka yang sepatutnya mendapat kemuliaan dan kehormatan:

lMereka beriman kepada Allah SWT dengan iman yang sebenar-benarnya tanpa dipengaruhi unsur kesyirikan.

lMereka mempercayai kitab suci yang diturunkan kepada umat Islam, iaitu apa yang diwahyukan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW.

lMereka beriman dengan kitab suci yang diturunkan kepada mereka, iaitu segala wahyu yang diberi oleh Allah SWT kepada nabi mereka.

lKhusyuk. Terhasil melalui keimanan yang benar dan rasa takut kepada Allah SWT melahirkan perasaan yang nyata taat kepada perintah Allah dan Rasul-Nya.

lMereka tidak menukar ayat-ayat Allah dengan kesenangan dunia.

iii. Muhammad Quraish Shihab berkata: Difahami oleh ulama dalam erti kesempurnaan ilmu-Nya, dan ada juga yang memahaminya dalam erti kata dekatnya waktu perolehan ganjaran itu.

iv. Al-Sonhaji berkata: Ayat ini menerangkan tentang sekumpulan ahli kitab yang telah tunduk mengikut petunjuk al-Quran padahal sebelumnya mereka tunduk mengikut petunjuk yang di bawa oleh Nabi mereka.

Ayat ke-200

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).

Sebab nuzul ayat

Abu Salamah bin Abdul Rahman berkata: Ayat ini diturunkan kepada golongan yang menanti solat selepas selesai solat dan bukan bermaksud peperangan.

Iktibar dan fiqh ayat:

Maksud mereka yang diperintah dengan sabar ada lima pendapat:

Pertama: Bala dan jihad. Inilah pendapat Ibn Abbas r.a.

Kedua: Agama. Inilah pendapat al-Hassan, al-Qurazi dan al-Zajjaj.

Ketiga: Segala musibah. Inilah pendapat al-Hassan juga.

Keempat: Segala fardu. Inilah pendapat Said bin Jubair.

Kelima: Taat kepada Allah SWT. Inilah pendapat Qatadah.

Adapun maksud dengan diperintahkan supaya menyabarkan diri ada dua pendapat:

Pertama: Musuh. Inilah pendapat Ibn Abbas r.a dan Jumhur.

Kedua: Janji yang Allah SWT janjikan kepada mereka. Inilah pendapat Ata' dan al-Qurazi.

ii. Al-Maraghi berkata: Bersabarlah kamu menghadapi segala penderitaan dan kesulitan dunia seperti sakit, ditimpa kemelaratan dan ketakutan. Sabar bermaksud tabah menghadapi sesuatu yang tidak berkenaan di hati yang datang daripada orang lain termasuk dalam pengertian ini ialah tabah menghadapi gangguan daripada ahli keluarga dan jiran tetangga serta tidak bersikap dendam terhadap orang yang berbuat tidak baik kepadamu.

iii. Muhammad Quraish Shihab berkata: Bermacam-macam sabar yang dituntut dari manusia, antaranya:

lBersabar menghadapi perbezaan pendapat atau keimanan.

lBersabar memelihara persatuan dan kesatuan.

lBersabar dalam mengerjakan solat dan berdoa.

lBersabar dalam pelbagai musibah.

iv. Al-Sonhaji berkata: Allah SWT menyeru orang-orang mukmin supaya bersabar di dalam sebarang usaha yang membawa kepada mentaati Allah dan melaksanakan kewajipannya.

Semoga Allah SWT memberi taufik kepada kita untuk mengerjakan amalan yang diredai-Nya sehingga kita mampu memperoleh kebahagiaan di dunia serta di akhirat dan berkata kemurahan-Nya, kebaikan-Nya, kurniaan-Nya dan dermawan-Nya.

Semoga ucapan salam sejahtera selalu diberikan kepada Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda dan semua para sahabat baginda.

Kena tindakan jika tak lapor kes dera

by
Ahli keluarga, pengasuh dan pengamal perubatan adalah tiga kategori utama yang boleh diambil tindakan undang-undang jika mereka mengetahui berlaku kes penderaan kanak-kanak, tetapi tidak melaporkannya kepada polis untuk diambil tindakan.

Tindakan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun dan denda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan dan dalam kes penderaan anak, ibu bapa menjadi orang paling bertanggungjawab.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata pihaknya tidak berkompromi dengan mereka yang terbabit melakukan penderaan kanak-kanak, sebaliknya mahu polis mengambil tindakan tegas bagi membendung perbuatan tidak berperikemanusiaan itu.

Beliau juga mengarahkan semua pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri bertindak segera jika ada kanak-kanak didera, terabai, teraniaya atau berada dalam persekitaran berbahaya untuk diambil dan diberi perlindungan JKM.

Katanya, langkah awal itu bagi menyelamatkan kanak-kanak terbabit daripada terus menjadi mangsa penderaan dan pada masa sama, polis boleh menjalankan siasatan.

"Saya nak bagi amaran jangan sesekali ibu bapa dan ahli keluarga mengambil perkara ini (kes dera) sambil lewa kerana mereka akan berdepan tindakan undang-undang jika tidak melaporkannya kepada pihak berkuasa," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Jalinan Rakyat peringkat negeri Terengganu dan majlis pelancaran Skuad Sayang Wanita Umno Terengganu di Dataran Bukit Payong di sini, semalam.

Shahrizat berkata, masyarakat perlu menggunakan talian Nur 15999 untuk membuat laporan kes dera terhadap kanak-kanak dan sikap tidak prihatin untuk berbuat demikian boleh menyebabkan kes itu terus berleluasa.

- BERITA HARIAN

Biografi Imam al-Bukhari

by

Biografi Imam al-Bukhari adalah buku sulung keluaran Institut Kajian Hadis Selangor (Inhad). Ia dirasmikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah al-Haj ibni alMarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sempena sambutan Maal Hijrah tahun 1432H bersamaan 18 Disember 2009.

Sultan Selangor telah mengilhamkan penghasilan buku ini atas titah baginda kepada KUIS setelah baginda pulang daripada lawatan mencemar duli ke Uzbekistan dua tahun lalu. Sementelahan baginda gagal menemukan satu buku biografi lengkap mengenai Imam al-Bukhari dalam Bahasa Melayu.

Buku biografi ini adalah persembahan sintesis kajian keperpustakaan terhadap himpunan data yang terdapat mengenai Imam al-Bukhari. Ia bersumberkan gabungan legasi ilmiah Islam berbahasa Arab klasik imam-imam muktabar dan penulis-penulis semasa.

Penterjemahan maklumat digarap dengan pendekatan prosa moden yang memudahkan para pembaca mengerti perjalanan hidup ilmiah tokoh hadis yang hidup pada abad ke-3 hijrah ini.

Imam al-Bukhari, Abu Abdullah, Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardizbah al-Ju'fi al-Bukhari (194H-256H) adalah seorang tokoh hadis yang paling unggul dalam sejarah perkembangan ilmu Hadis sehinggalah ke hari ini, ketokohan beliau masih tiada tolok bandingnya.

Anak kelahiran Wilayah Bukhara ini terkenal dengan karya agungnya Sahih al-Bukhari yang dinobatkan sebagai kitab kedua paling sahih selepas al-Quran.

Sehingga ke hari ini karya beliau masih berbisa dan relevan di kalangan cendekiawan Islam dan masih berdaya menjadi inspirasi penghasilan lebih banyak karya-karya ilmiah yang bermutu tinggi.

Justeru, Biografi Imam al-Bukhari diterbitkan dalam bahasa Melayu agar dapat mendedahkan keperibadian tokoh ini dengan lebih terperinci kepada lebih ramai pembaca di kalangan masyarakat Malaysia.

Dengan berbuat demikian diharapkan ia dapat menjadi idola inspirasi mereka dalam usaha menyuburkan jiwa penyelidikan sejati di era ledakan maklumat ini untuk membawa negara ke satu tahap yang lebih maju dengan menginovasikan teladan kaji selidik dan kaedah pemprosesan maklumat yang diaplikasikan oleh Imam al-Bukhari.

Jika beliau boleh mengkaji seterperinci itu lebih 10 kurun lalu dengan segala kepayahan dan segalanya secara manual, maka, adalah sesuatu yang mengaibkan bagi kita untuk berpeluk tubuh sedangkan kita hidup dalam progres kemajuan teknologi maklumat yang paling pantas.

Seharusnya, kita mampu berdaya saing dalam penghasilan ilmu pengetahuan dan teknologi global. Perkara yang paling memalukan ialah jika kita masih di takuk lama sebagai penerima maklumat pasif tanpa dikaji secara terperinci seperti yang mampu dilakukan oleh Imam al-Bukhari walaupun beliau hidup pada zaman yang serba-serbinya sangat terbatas.

Perkongsian maklumat mengenai beliau bermula dengan fakta asal-usul, kelahiran, sifat fizikal, aspek ibadah, keperibadian dan akhlak beliau. Kemudian fokus tertumpu kepada kekuatan mental beliau yang sangat mengagumkan sehingga tersenarai antara orang yang diiktiraf memiliki memori fotografi di dalam Wikipedia di bawah bab Photographic Memory.

Kemungkinan besar besar beliau seorang sinestetik yang biasa terjadi setelah seseorang sembuh daripada buta atau pekak sementara seperti yang dialami oleh beliau ketika masih kecil.

Keistimewaan ini banyak membantu beliau membentuk kaedah tersendiri dalam bidang pengajian dan pengkajian ilmu-ilmu Islam semasa yang wujud ketika itu. Ia lebih berasaskan pembelajaran langsung (face-to-face) terutamanya dalam bidang hadis yang sangat memerlukan kekuatan daya ingatan.

Beliau memanfaatkannya dengan berguru sebanyak mungkin ulama semasa pada zaman itu. Beliau dikatakan mempunyai 1018 orang guru; antara tokoh penting disenaraikan di dalam bab Guru-guru Imam al-Bukhari.

Kelebihan ini juga membuatkan beliau muncul sebagai seorang prodigi yang cukup luar biasa sehingga diberi kepercayaan untuk mengajar seawal usianya 17 tahun lagi oleh gurunya. Faktor-faktor ini juga telah menarik berpuluh-puluh ribu orang berguru dengannya. Sambil belajar dan mengajar, beliau gigih berkarya dalam pelbagai bidang agama terutamanya fikah, ilmu kalam dan hadis.

Karya teragung beliau sudah tentulah Sahih al-Bukhari. Keperibadian, kepakaran dan karya-karya beliau mendapat penerimaan baik dan pujian melambung dari kebanyakan ulama.

Harga kelebihan-kelebihan yang dianugerahkan kepadanya itu sangat tinggi. Seringkali beliau terpaksa menghadapi konflik-konflik yang sangat mencabar. Selain diuji dari pelbagai sudut ilmu pengetahuannya, beliau juga difitnah dek orang yang dengki kepadanya bahawa beliau adalah pendokong ideologi al-Muktazilah: al-Quran itu Makhluk agar sumbangannya ditolak kerana ia bertentangan dengan pendirian majoriti ulama. Namun, beliau tetap teguh mempertahankan akidah ahli al-Sunnah wal-Jamaah sepanjang hayatnya walaupun diusir dari kampung halamannya sendiri di atas ketegasannya dalam hal-hal yang berkaitan dengan kebenaran agama.

Pahit maung yang ditelan selama ini akhirnya membawa kepada ajal beliau di Khartank, Samarkand pada 1 Syawal 256H bersamaan 31 Ogos 870M. Begitu bermakna hidup beliau dan amal jariahnya terus berjalan menghasilkan pahala yang berterusan sehingga ke saat ini.

Secara keseluruhannya, buku ini merupakan satu penulisan akademik berbahasa Melayu yang berformat laporan kajian dengan fakta-fakta terperinci tetapi padat; tidak meleret-leret sehingga membosankan dan terdapat banyak foto-foto menarik yang menghiburkan sepanjang pembacaan anda.

- UTUSAN

Keputusan SPM, STAM diumumkan pada 11 Mac 2010 (Khamis)

by
Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2009 akan diumum pada Khamis ini, 11 Mac 2010.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, keputusan akan dikeluarkan di sekolah-sekolah mulai pukul 10 pagi.

Calon persendirian pula akan menerima keputusan masing-masing melalui pos yang dihantar oleh Jabatan Pelajaran Negeri, katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sejumlah 165,853 calon menduduki peperiksaan bertulis SPM di 3,569 pusat peperiksaan di seluruh negara yang bermula pada 18 November hingga 16 Disember lepas, katanya.

Seramai 6,920 calon pula menduduki peperiksaan STAM di 98 buah pusat peperiksaan yang berlangsung dari 19 hingga 27 Oktober lepas.

- Bernama

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90