Top Ad 728x90

Julia Gillard jadi Perdana Menteri wanita pertama Australia

by

CANBERRA - Australia semalam mempunyai Perdana Menteri wanita pertama, Julia Gillard, yang berjanji akan menamatkan perbezaan cukai perlombongan dan menghidupkan semula skim perdagangan karbon.

Beliau menjadi Perdana Menteri selepas Kevin Rudd berundur dalam suasana memalukan dan penuh emosi apabila beliau mengambil keputusan untuk meletak jawatan.

Tindakan itu dibuat hanya beberapa jam sebelum pemilihan Ketua Parti Buruh yang menguasai Parlimen diadakan pada pukul 9 pagi waktu tempatan.

Pada pemilihan Ketua Parti Buruh itu, Gillard menang tanpa bertanding selepas Rudd menarik diri.

Kemenangan yang dicapai oleh wanita itu diperoleh selepas 12 jam beliau mengejutkan rakan-rakannya dengan mencabar Rudd yang sehingga kini disifatkan sebagai pemimpin paling popular dalam sejarah Australia moden.

Pengunduran Rudd yang terkenal kerana mampu bertutur dalam bahasa Mandarin dan membantu merangka perjanjian perubahan iklim di Copenhagen dilakukan kerana anggota-anggota Parti Buruh telah hilang kepercayaan kepadanya ekoran dasar-dasarnya.

Rudd hanya sempat mentadbir Australia kurang tiga tahun selepas kemenangan besar parti berkenaan pada pilihan raya 2007.

Beliau membuat kejutan pada pilihan raya itu kerana partinya menewaskan sekutu kuat Amerika Syarikat (AS) dalam perang Iraq, John Howard.

"Saya meminta rakan-rakan seperjuangan melakukan pertukaran kepimpinan kerana saya percaya bahawa kerajaan yang baik telah hilang haluannya," kata Gillard pada satu sidang media.

Gillard yang dilahirkan di Barry, Wales pada 1961 merupakan anak kedua kepada sebuah keluarga yang berpindah ke Adelaide, Australia kerana mereka mahu tinggal di kawasan lebih panas selain masalah paru-paru yang dihidapinya. Ketika itu beliau baru berusia empat tahun.

Gillard yang merupakan bekas peguam kesatuan pekerja memberitahu media bahawa beliau memimpin Parti Buruh dengan penuh rendah hati, keazaman dan kesungguhan.

"Saya benar-benar komited untuk berkhidmat kepada negara. Saya akan memimpin sebuah kerajaan yang kuat dan yang bertanggungjawab bagi menentukan masa depan kita," kata Gillard.

Beliau yang memahami tidak dipilih secara terus oleh rakyat sebagai Perdana Menteri berjanji akan mengadakan pilihan raya dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Gillard, 48, merupakan antara wakil rakyat yang memiliki prestasi terbaik di Parlimen ekoran kebolehannya meyakinkan orang ramai mengenai dasar-dasar kerajaan selain kemampuannya mematahkan serangan politik pihak pembangkang.

Buat masa ini, beliau masih tidak berkahwin tetapi mempunyai seorang teman lelaki, Tim Mathieson.

- Agensi

Mi segera tetap pilihan

by

Setiap kali perkataan mi segera disebut, mungkin ramai antara kita terbayangkan pelbagai slogan iklan produk makanan itu yang sering dipaparkan di kaca televisyen. Ramai berpendapat walaupun terdapat banyak hidangan enak pelbagai bangsa, mi segera tetap menjadi pilihan ramai walaupun dimakan hanya sekali dalam sebulan.

Apakah sebenarnya rahsia perencah makanan yang berasal dari negara Matahari Terbit itu sehingga menyebabkan ramai rakyat di negara ini terus menyukai makanan ringkas ini?

Menurut Pengarah Eksekutif Unit Perniagaan Makanan Nestle Products Sdn. Bhd., Izham Mohamed, pada tahun lepas sahaja sebanyak 1.2 bilion paket hidangan mi segera dinikmati oleh rakyat Malaysia.

Ia menjadikan secara puratanya 38 paket bagi seorang penduduk di Semenanjung dan 44 paket bagi seorang penduduk di Sabah dan Sarawak.

Untuk mengekalkan prestasi mi segera sebagai antara makanan paling digemari bukanlah satu perkara mudah memandangkan mi segera mempunyai banyak saingan.

Izham berkata satu daripada perkara yang perlu dititikberatkan dalam memastikan keunggulan mi segera sebagai hidangan kegemaran ramai ialah daya usaha pengeluar mi segera dalam inovasi produk mereka.

"Pengubahsuaian dan inovasi adalah amat penting untuk mengekalkan pertumbuhan industri mi segera dalam jangka masa panjang. Sebagai pembuat mi segera, kita perlu sentiasa inovatif.

"Contohnya, mencipta perisa baru, meningkatkan khasiat mi segera atau memberikan produk berkualiti tinggi kepada pengguna," katanya pada Persidangan Persatuan Mi Segera Dunia (WINA) yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain itu, kecekapan pengusaha amat penting dalam memastikan peningkatan kos tambahan tidak ditanggung oleh pengguna yang sekaligus boleh menaikkan harga mi segera.

"Ini kerana faktor harga murah menjadi tarikan utama menjadikan mi segera mampu dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat," kata Izham.

Makanan global

Izham berkata mi segera terus digemari di seluruh dunia dan kerana itulah WINA mahu menjadikan mi segera sebagai makanan global seperti nasi dan roti pada masa hadapan. Ini disokong oleh Pengerusi WINA, Koki Ando, yang menyatakan industri mi segera dunia kini dianggarkan bernilai AS$25 bilion (RM80 bilion).

"Penggunaan mi segera juga dijangka meningkat kepada 100 bilion sajian dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi berbanding 92 bilion sajian tahun lepas," katanya pada persidangan yang sama.

Menurut Ando, mi segera kini boleh dikategorikan sebagai makanan dunia disebabkan ia selamat dari segi tempoh lupusnya yang panjang dan boleh dibawa ke mana sahaja dengan mudah.

Ando yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Nissin Foods Holdings Co. Ltd. dari Jepun adalah anak kepada pencipta mi segera, Momofuku Ando.

Isu sodium

Walaupun dilihat sebagai industri yang mempunyai masa hadapan yang cerah, industri mi segera juga tidak terlepas daripada cabaran yang perlu dihadapi oleh pengusaha.

Antara cabaran itu ialah penggunaan bahan perisa seperti sodium (garam) yang sering menjadi punca terhadap pelbagai dakwaan yang mengatakan mi segera tidak mempunyai zat yang secukupnya untuk menjadi makanan berkhasiat.

"Pengurangan sodium di dalam mi segera merupakan cabaran terbaharu industri ini. Kita tidak boleh mengurangkannya secara drastik, tetapi boleh melakukannya secara berperingkat," kata Ando.

Bagi Nestle pula, Izham berkata pihaknya sendiri berusaha mengurangkan penggunaan sodium sebanyak 15 peratus dalam kandungan perisa mi segeranya sejak lima tahun lepas.

Namun katanya, selepas menerima maklum balas daripada pengguna yang merungut akibat rasa mi segera yang kurang sedap menyebabkan Nestle mengurangkan kandungan sodium sebanyak lima peratus sahaja dalam perisa mi setiap tahun.

- Bernama

Penamat riwayat Penjara Pudu

by

Mulut dua buah jentolak itu dengan rakus memecahkan tembok tebal di hadapannya tanpa belas kasihan. Dalam sekelip mata tembok setinggi 4.5 meter itu runtuh menyembah bumi.

Sisa-sisa runtuhan yang terdiri daripada ketulan batu-bata itu kemudian berebut-rebut dikutip oleh orang ramai yang berada di kawasan tersebut untuk dibawa pulang.

Tindakan itu ada asasnya kerana tembok tebal yang dirobohkan itu bukan sebarangan bangunan. Ia merupakan sisa tembok Penjara Pudu yang satu ketika dahulu menjadi 'rumah' kepada sejumlah penjenayah yang antaranya paling terkenal dalam sejarah perundangan di Malaysia.

Antara yang diingati sudah pasti Botak Chin atau nama sebenarnya Wong Swee Chin, seorang ketua penjenayah bersenjata yang digeruni sekitar 1970-an. Dia akhirnya digantung sampai mati di Penjara Pudu pada 11 Jun 1981.

Seperti tamatnya riwayat hidup Botak Chin, begitulah juga yang akan dialami Penjara Pudu yang telah berusia lebih 100 tahun itu, apabila temboknya mula dirobohkan Isnin lalu oleh dua buah jentolak milik kontraktor Syarikat Pertama Makmur Sdn. Bhd.

Melibatkan 30 pekerja, syarikat tersebut merupakan pihak yang diberi tanggungjawab untuk merobohkan tembok penjara itu selepas keputusan dibuat untuk tidak mempertahankan bangunan berkenaan.

Ternyata, selepas berdiri teguh selama 118 tahun (dikira daripada tahun ia disiapkan pada tahun 1982), bangunan yang mempunyai nilai sejarah tersendiri kepada mereka yang tahu menilainya itu terpaksa 'tunduk' kepada sesuatu yang digelar pembangunan.

Selepas tembok, bangunan itu pula secara berperingkat-peringkat akan dirobohkan keseluruhannya.

Tapak Penjara Pudu selepas ini akan dilingkari dengan bangunan moden gah sekali gus memegang status sebagai Pusat Bandar Bukit Bintang (BBCC). Pembangunan kawasan itu akan dimajukan oleh UDA Holdings Berhad (UDA) dengan melibatkan nilai pembangunan kasar RM5 bilion.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dalam pembentangannya di Parlimen baru-baru ini memberitahu kawasan itu akan dibangunkan dengan projek pembangunan bercampur yang menempatkan pusat transit, servis apartmen, pejabat, pusat rekreasi, hotel dan premis perniagaan.

"Tapak Penjara Pudu ini bukan tapak warisan dan ia tidak akan dijadikan sebagai warisan. Penjara Pudu bukan sesuatu yang dibanggakan walaupun lama. Kerajaan juga tidak akan membangunkan muzium khas bagi penjara ini," katanya.

Projek itu dibahagikan kepada enam plot yang akan disiapkan dalam tempoh 10 tahun dan agihannya adalah 40 peratus untuk unit kediaman dan 60 peratus komersial di samping projek persimpangan bertingkat serta laluan bawah tanah.

Bernilai ekonomi

Apa yang pasti, rebahnya Penjara Pudu ternyata sedikit sebanyak menimbulkan polemik tersendiri lantaran wujud pro dan kontra daripada pembangunan di tapak itu.

Walaupun bernilai sejarah, namun berada dalam radius segi tiga emas Kuala Lumpur, ternyata nilai ekonomi kawasan itu terlalu tinggi untuk dikorbankan demi sebuah lokasi penempatan banduan.

Melihat dari sudut yang positif, pakar ekonomi, Datuk Mohd. Salleh Abdul Majid bersetuju dengan keputusan untuk memajukan tanah tinggalan Penjara Pudu.

"Kenapa perlu disimpan kalau ia tidak memberi sumber ekonomi dan manfaat kepada rakyat. Dengan status penjara, imej yang dibawa bukanlah sesuatu yang wajar dimegahkan untuk dikekalkan," ujarnya yang melihat pembangunan di kawasan tengah Kuala Lumpur itu akan membawa keuntungan ekonomi kepada negara.

Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia, Prof Dr. Jariah Masud pula memberitahu, tiada siapa yang boleh menyangkal Penjara Pudu mempunyai nilai sejarah, tetapi tiada siapa boleh menolak pembangunan.

Bagaimanapun pintanya, sebagai menghormati nilai sejarah seharusnya ada struktur-sturktur ditinggalkan agar generasi akan datang tidak melupakannya.

Lambang ketamadunan

Menyorot pandangan peribadi pencinta sejarah bagaimanapun ramai yang mengakui berdukacita dengan keputusan merobohkan bangunan itu.

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Muzium dan Antikuiti Malaysia, Datuk Dr. Adi Taha memberitahu, secara peribadi dia kurang bersetuju apabila melihat bangunan nostalgik itu diruntuhkan. Baginya Penjara Pudu boleh dianggap satu warisan lambang ketamadunan negara dalam sistem pentadbiran yang berusaha membanteras jenayah ketika itu.

"Jadi, tindakan ini sekali gus menyebabkan satu bangunan khazanah warisan negara telah hilang begitu sahaja. Memang dari segi hartanah ia mempunyai nilai yang tinggi tetapi dalam aspek warisan, ia harganya tidak ternilai," luahnya yang kini merupakan Felo Utama Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tokoh sejarawan negara, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim melihat tindakan tersebut sebagai sesuatu yang merugikan.

"Terus-terang saya memang sedih dengan keputusan tersebut. Situasi itu menunjukkan seolah-olah rakyat Malaysia kini sanggup mengorbankan sejarah demi mengejar pembangunan.

"Ini bukan cara terbaik dalam melaksanakan pentadbiran negara. Nilai-nilai murni mengenai bangsa dan kepentingan mempertahankan warisan serta sejarah negara semakin terhakis," tegas Khay Kim ketika dihubungi Kosmo!.


Pintu gerbang dikekalkan

Bagaimanapun Penjara Pudu bukanlah dirobohkan dengan sewenang-wenang tanpa tindakan dokumentasi dan langkah-langkah penting untuk mengekalkan ia sebagai satu tinggalan sejarah negara.

Timbalan Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara, Profesor Dr. A. Ghafar Ahmad memberitahu pihaknya telah membuat dokumentasi berbentuk gambar dan video sebelum tembok Penjara Pudu dirobohkan.

Proses dokumentasi itu bertujuan untuk dijadikan sebagai bahan rujukan pada masa akan datang oleh semua pihak.

"Malah, Jabatan Warisan sudah meminta agar pintu gerbang Penjara Pudu dan dua lukisan mural di bahagian kiri dan kanan pintu utama dikekalkan sebagai kesan tinggalan sejarah yang boleh dilihat oleh generasi masa depan.

"Perkara ini sudah dibincangkan dalam mesyuarat dan semua pihak bersetuju untuk mengekalkannya," jelas A. Ghafar.

- KOSMO!

Pelakon Anne dan Wafi sah bercerai talak tiga

by

KUALA LUMPUR: Pelakon, Anne Ngasri sah bercerai talak tiga dengan suaminya, Abdul Wafi Hassan, demikian diputuskan Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.

Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin memutuskan tiga lafaz cerai diucapkan Abdul Wafi, 29, di tempat dan masa berlainan terhadap Anne atau nama sebenarnya, Anne Ngasri, 26, sebagai sah dengan talak satu bagi setiap lafaz.

Shaiful berkata, plaintif (Anne) mendakwa diceraikan defendan (Abdul Wafi) di rumah mereka di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor, pada jam 11.20 pagi, 25 Mac lalu, dan ketika lafaz dibuat beliau mengandung dua bulan.

Katanya, kedua-dua pihak bersetuju tiada saksi lain mendengar lafaz itu dan mengakui pernah bercerai dua kali sebelum itu tetapi tidak pernah merujuknya ke mahkamah.

“Lafaz kali pertama adalah taklik dibuat pada awal Julai 2009 di Pesiaran Jawi, Pulau Pinang, dengan lafaz: ‘kalau kau keluar dari rumah jatuh talak’, plaintif bagaimanapun keluar dari rumah selepas itu.

“Lafaz kedua pada pertengahan Julai 2009 dalam perjalanan ke Pulau Pinang, manakala lafaz ketiga 25 Mac lalu (yang terbaru) dan defendan dalam keterangannya mengakui berniat menceraikan plaintif talak satu bagi setiap lafaz,” katanya.
Shaiful berkata, kedua-dua pihak mengakui berlaku rujuk bagi lafaz pertama dan kedua pada awal dan pertengahan Julai apabila defendan melafazkan: ‘Saya kembali kepada awak’ dan dipersetujui plaintif.

“Sebelum mahkamah membacakan keputusan, ingin saya nasihatkan kedua pihak walaupun kemelut berlaku dalam rumah tangga kamu janganlah pula keburukan menutup segala kebaikan, kekalkan keharmonian dalam hubungan demi kepentingan anak.

“Mahkamah sabitkan berlaku perceraian tanpa pengetahuan di luar mahkamah untuk kali pertama dengan talak satu dan lafaz kedua pula jatuh talak satu berjumlah dua talak, manakala lafaz ketiga berlaku talak satu yang berjumlah tiga talak,” katanya.

Mahkamah memerintahkan plaintif untuk beredah sehingga beliau melahirkan anak dikandungnya.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Anne yang kelihatan tenang berkata: “Saya sudah bersedia. Saya sudah tahu apa yang terjadi dan saya percaya masih ada hikmahnya.”

Abdul Wafi yang diwakili peguam Mohd Hamidullah Che Hassan pula berlalu meninggalkan pekarangan mahkamah tanpa sebarang komen.

Terdahulu sebelum prosiding bermula, Anne yang hampir pitam ketika berada dalam tandas sempat menghubungi telefon bimbit Abdul Wafi dan beliau kemudian menghantar sebotol air kepadanya.

Ketika disoal, Anne yang ditemani ibunya, Habibah Jaafar, 55, berkata beliau hampir pitam mungkin kerana sedang mengandung dan kurang selera makan.

Anne yang tidak diwakili peguam memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai itu pada 14 April lalu, dan usia kandungannya kini masuk lima bulan.

Pasangan yang pernah menyertai program Sehati Berdansa musim pertama itu bernikah pada 26 Mei 2006 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua anak, Abdul Warits, 4, dan Abdul Wafri, 2.

- BERITA HARIAN

KDN buka Klinik Pemulihan dan Prihatin 1Malaysia

by
Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) membuka sebuah Klinik Pemulihan dan Prihatin 1Malaysia bagi membolehkan penagih dadah tampil secara sukarela mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, konsep terbuka Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) itu mendorong orang ramai membawa ahli keluarga atau rakan mereka yang terlibat mendapatkan khidmat nasihat tanpa perlu melalui proses undang-undang.

Katanya, penubuhan klinik pertama seumpamanya sejajar dengan gagasan 1Malaysia bagi menyediakan perkhidmatan rawatan dan pemulihan kepada warganegara yang berdepan dengan masalah dadah.

"Pelanggan boleh datang ke pusat ini tanpa perlu melalui prosedur perundangan sebaliknya hanya perlu mendaftarkan diri untuk dinilai sebelum mendapatkan rawatan berdasarkan keperluan mereka.

"Ia turut memberi peluang kepada kakitangan awam dan swasta mendapatkan rawatan dan pemulihan tanpa berdepan sebarang implikasi dilucutkan jawatan atau dibuang kerja,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Hishammuddin, empat jenis rawatan ditawarkan di klinik tersebut iaitu secara residensi, pesakit luar, singgah dan masuk serta rujukan dan advokasi.

"Ia akan bertindak sebagai penyelia, pelaksana, perunding, penyelaras dan perujuk program rawatan dan pemulihan kepada pelanggan.

"Ruang kerjasama yang lebih tersusun juga diperluaskan dengan penyedia perkhidmatan lain seperti Kementerian Kesihatan, Jabatan Psikiatri, Hospital Kuala Lumpur, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta bekas penagih yang telah pulih," katanya.

Jelas Hishammuddin, klinik itu tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pelanggan khidmat singkat.

Klinik pertama akan dibuka di bangunan Puspen di Sungai Besi, Kuala Lumpur yang diubah suai untuk kemudahan Pejabat Pesakit Luar, temu duga dan penilaian serta bilik pakar perubatan dan Wad Detoksifikasi dengan keupayaan 104 pegawai.

- UTUSAN

MAS pertimbang perluas khidmat mesin kios

by

Malaysian Airline System Bhd. (MAS) akan mempertimbangkan untuk memperluaskan perkhidmatan mesin kios di lapangan terbang-lapangan terbang di negara ini dengan lebih meluas, bergantung kepada keperluan.

Setakat ini mesin itu hanya terdapat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tengku Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz berkata, penggunaan mesin berkenaan akan memudahkan para penumpang mendaftar masuk atau memeriksa tiket mereka dengan cepat dan tepat.

"Mesin ini mula digunakan pada Disember 2007 secara domestik, kemudian di peringkat wilayah pada Septermber 2008 dan peringkat antarabangsa pada April 2009," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran mesin kiosk MAS di Terminal 1, KKIA, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah MASWings Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Salleh Ahmad Tabrani.

Tengku Azmil berkata, penyediaan sistem tersebut termasuk dalam Sistem Perkhidmatan Pelanggan (PSS) MAS dengan peruntukan sebanyak RM480 juta dalam usaha memberi perkhidmatan yang terbaik.

Sementara itu, Mohd. Salleh berkata, MASWings akan melancarkan penerbangan antarabangsanya yang pertama iaitu ke Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Malaysia-Indonesia-Filipina (BMIP-EAGA) pada Oktober atau November ini.

"Destinasi-destinasi yang akan kita tawarkan ialah Brunei, Pontianak, Tarakan, Balik Papan di Indonesia dan di Cebu serta Davao di selatan Filipina.

"Sekarang ini kita sedang dalam penilaian dan perbincangan akhir sebelum diberi kebenaran itu. Ini adalah penerbangan antarabangsa pertama MASWings Sdn. Bhd.," katanya.

Salleh berkata, selain negara itu, MASWings juga berminat ke BMIP-EAGA lain tetapi mahu menumpu perhatian terhadap enam destinasi tersebut terlebih dahulu.

Katanya, perbincangan MASWings yang merupakan anak syarikat MAS, dengan pihak di negara terbabit sudah lama dilakukan tetapi baru kini mendapat kelulusan.

Sementara itu, melalui satu kenyataan yang dikeluarkan MASWings berkata, jumlah penumpang syarikat penerbangan itu ketika ini ialah kira-kira 88,000 sebulan.

Menurutnya kenyataan itu, MASWings yang beroperasi sejak 1 Oktober 2007, kini menyediakan perkhidmatan di 16 destinasi ke kawasan luar bandar di Sarawak, lima (Sabah) dan satu (Labuan).

- UTUSAN

Masjid Ahmaddiya Berlin

by

BERLIN yang satu ketika dahulu dikenali sebagai ibu negara Jerman Timur dan berada di bawah pemerintahan komunis. Tetapi ia tidak terlepas daripada kehadiran pengaruh Islam.

Selepas Jerman Timur dan Jerman Barat bersatu menjadi Jerman yang tunggal, Berlin tetap kekal sebagai salah sebuah ibu kota terkenal di Eropah.

Penyatuan itu turut membantu kepada perkembangan masyarakat Islamnya.

Dianggarkan terdapat 220,000 penduduk Islam di Berlin. Majoriti mereka ialah keturunan Turki (73 peratus). Malah penduduk Islam mewakili kira-kira sembilan peratus daripada keseluruhan penduduk Berlin.

Apabila ada masyarakat Islam maka sudah tentu akan wujud masjid.

Antara masjid yang terawal dibina di Berlin ialah Masjid Berlin yang juga di kenali sebagai Masjid Ahmadiyya.

Ia juga dikatakan masjid yang tertua di Jerman. Terletak di Berlin-Wilmersdorf, dibina antara tahun 1923 dan 1925.

Direka oleh K.A. Kermann ia yang mempunyai menara setinggi 30 meter menjadi lambang kelangsungan hidup masyarakat Islam di kota raya itu.

Batu asas masjid itu diletakkan pada 6 Ogos 1923 dan dirasmikan pada 26 April 1925.

Ketika Perang Dunia Kedua, Masjid Ahmadiyya mengalami kerosakan teruk kesan pengeboman tentera bersekutu.

Penyerang hendap Jerman telah diletakkan di menara masjid untuk menyerang tentera Russia. Ekoran itu menara tersebut telah dibom oleh tentera bersekutu.

Selepas perang ia dibangunkan semula untuk kegunaan masyarakat Islam di Berlin.

Pada peringkat awal, masjid itu diurus dan diselenggara oleh Pergerakan Lahore Ahmadiyya.

Disebabkan terpaksa diurus dan diselenggara secara persendirian, ia sering berhadapan dengan masalah kewangan.

Majid Ahmadiyya telah ditutup pada 2007 kerana masalah kewangan dan kekurangan tenaga kerja.

Sembahyang Jumaat terakhir di masjid itu ialah pada 13 Julai 2007.

Namun bangunan masjid itu kekal sebagai antara monumen bersejarah di kota raya Berlin.

Biarpun ia telah ditutup, namun terdapat beberapa masjid lain di Berlin untuk kegunaan umat Islam.

Antaranya Masjid Khadija yang terletak di timur Berlin.

Yang terbaru ialah Masjid Omar Ibnu Kattab yang dibuka kepada masyarakat Islam Mei lalu.

Masjid itu terletak di Pusat Mascari Berlin yang turut menempatkan sekolah dan kedai untuk orang Islam.

Berbeza dengan Masjid Ahmadiyya yang kini menjadi sejarah, masjid baru itu lebih moden.

Dengan keluasan 5,000 meter persegi, ia setinggi tiga tingkat dan mampu memuatkan 1,000 jemaah pada satu-satu masa di ruang sembahyangnya.

- UTUSAN

Piala Dunia dalam peti LV

by

Selepas 80 tahun dianjurkan iaitu sejak 1930, kejohanan Piala Dunia tahun ini menyaksikan pembabitan jenama tersohor, Louis Vuitton (LV) yang diberi kepercayaan oleh Persekutuan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi menghasilkan ‘peti’ atau bekas penyimpanan piala berprestij itu.

Pemilihan LV sebagai pereka peti penyimpanan itu dilihat sebagai satu penghormatan besar kepada syarikat gergasi berkenaan kerana ia adalah kerjasama julung kali yang diadakan FIFA.

Peti penyimpanan berkenaan akan digunakan mulai Piala Dunia tahun ini untuk menyimpan dan melindungi piala kejohanan berkenaan yang diperbuat daripada emas 18 karat dengan ketinggian 36 sentimeter (sm) serta berat 6.17 kilogram (kg).

Ketua Komunikasi LV, Antoine Arnault berkata, LV amat berbangga kerana dipilih dan diberi kepercayaan oleh FIFA untuk mencipta peti penyimpanan Piala Dunia itu.

“Pemilihan ini sesuatu yang benar-benar membanggakan kami dan apa yang lebih membuatkan kami berbangga apabila FIFA memberi kepercayaan sepenuhnya kepada kami untuk mencipta bekas ini mengikut kepakaran kami.

“Rekaan dan penghasilan peti penyimpanan piala itu dihasilkan pereka berpengalaman kami di kilang utama LV di Paris.

“Dilindungi kanvas dan logam dengan dikunci setiap penjurunya, peti ini mempunyai jaluran coklat gelap bagi melengkapkan lagi kehebatan piala berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

LV pada satu majlis mengumumkan ciptaan bekas penyimpanan itu awal bulan ini di Zurich turut mempamerkan hasil rekaan berkenaan.

Kepentingan menghasilkan peti penyimpanan itu dicetuskan Presiden FIFA, Joseph S. Blatter yang menganggap piala itu perlu disimpan dalam sebuah bekas bagi melindunginya ketika dibawa dari satu negara ke negara lain setiap kali penganjuran Piala Dunia.

Menurut Arnault, peti penyimpanan itu perlu dibuka di bahagian hadapan dan atas untuk memudahkan piala berkenaan dikeluarkan serta dipamerkan untuk tontonan jutaan orang ketika pertandingan akhir Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung di Johannesburg pada 11 Julai depan.

Selain itu, Pengarah Bahagian Pemasaran FIFA, Thierry Weil memberitahu, bekas penyimpanan itu perlu dihasilkan bagi menggambarkan betapa pentingnya Piala Dunia.

Ujarnya, dengan penghasilan beg penyimpanan itu, ia bukan sahaja menunjukkan ciri eksklusif dan personaliti Piala Dunia FIFA tetapi juga menjamin keselamatan serta melindungi piala berkenaan ketika dibawa mengelilingi dunia.

- UTUSAN

Jadual Perlawanan Piala Dunia (Pusingan 2 - 16 Pasukan) - 26/06/2010

by
10.00 PM : Juara A - Uruguay lwn Naib Juara B - Korea Selatan
(Siaran Langsung di TV1 jam 9.30 PM)

2.00 AM : Juara C - Amerika Syarikat (USA) lwn Naib Juara D - Ghana
(Siaran Tertunda di TV1 jam 4.30 AM)

* Waktu Malaysia

Kerajaan tidak akan keluar lesen judi sukan - PM

by
Kerajaan tidak akan mengeluarkan lesen judi sukan atas pertimbangan agama dan juga kesan politik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini.

Katanya, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno malam ini, dan keputusan tersebut disokong sebulat suara.

Menurut Najib, di peringkat awalnya, terdapat perbezaan pendapat mengenai perkara itu, tetapi selepas itu, semuanya akur dengan keputusan berkenaan.

Ditanya mengenai parti-parti komponen BN yang menyokong pemberian lesen judi sukan itu, Najib berkata:

"Saya percaya mereka terima kerana ini keputusan kerajaan. Kerajaan memikirkan sebaik-baiknya kepentingan masyarakat pada keseluruhannya."

Menjawab soalan, perdana menteri berkata, Ascot Sports Sdn Bhd telah dimaklumkan mengenai keputusan tersebut.

Perdana menteri turut ditanya sama ada kerajaan perlu membayar sebarang pampasan ekoran keputusannya untuk tidak mengeluarkan lesen berkenaan.

Menurutnya, kerajaan tidak perlu berbuat demikian kerana mengikut akta, menteri kewangan ada kuasa untuk menarik balik pada bila-bila masa.

Ditanya sama ada keputusan itu dibuat kerana kesan sosial dan pertimbangan ekonomi, perdana menteri berkata ia dibuat atas pertimbangan dari segi agama dan kesan politik.

Perdana menteri mengumumkan keputusan tersebut dalam satu sidang akhbar selepas mempengerusi mesyuarat MT di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.

Najib berkata, sebenarnya lesen tersebut telahpun bermula pada tahun 1989 tetapi syarikat berkenaan mengalami kerugiaan besar pada tahun 1990.

Sejak tarikh tersebut, katanya, syarikat berkenaan beberapa kali cuba untuk memperbaharui lesen itu.

Baru-baru ini, katanya, kerajaan telah mengeluarkan kelulusan pada dasarnya kepada Ascot Sports dengan syarat-syarat tertentu yang perlu dipenuhi oleh syarikat berkenaan.

Selain itu, tegasnya lagi, kerajaan pada masa yang sama, turut mendapatkan pandangan umum sebelum lesen tersebut dikeluarkan.

"Ini kerana memandangkan masyarakat Malaysia berbilang kaum dan mempunyai pandangan mereka tersendiri dalam melihat kewajaran pemberian lesen tersebut dari sudut agama, ekonomi dan sosial," tambahnya.

Katanya, daripada tinjaun yang dilakukan, ada pihak yang menyokong dan menentangnya dan "kita ambil kira semua pandangan ini".

"Jelas pada kerajaan bahawa sebilangan besar mereka tidak bersetuju dengan pemberian lesen judi sukan kepada Ascot Sports.

"Oleh itu, kerajaan mengambil keputusan bahawa lesen berkenaan tidak akan dikeluarkan kepada syarikat tersebut," tegas perdana menteri.

Menurut beliau, keputusan tersebut disokong penuh oleh MT dalam perbahasan dan perbincangan dalam mesyuarat malam ini kerana masing-masing telah mengambil kira pandangan masyarakat.

Selain pembangkang dan NGO, pemberian lesen judi sukan tersebut turut dibantah oleh Umno Johor, Kedah, Perak dan Pemuda Umno.

Malah, Gabungan Mansuhkan Judi (GMJ) akan mengadakan perhimpunan membantah pemberian lesen tersebut pada 3 Julai ini.

- MALAYSIAKINI

World Cup FIFA 2010 Result - 25 June 2010

by
Game 1 : Portugal 0 - 0 Brazil

Game 2 : North Korea 0 - 3 Ivory Coast (14'Y. Toure, 20' Romaric, 82' S. Kalou)

* Brazil & Portugal qualified to the second round (Group G)

Game 3 : (47' R. Millar) Chile 1 - 2 Spain (25' D.Villa, 37' A.Iniesta)

Game 4 : Switzerland 0 - 0 Honduras

* Spain & Chile qualified to the second round (Group H)

Azab pengikut Firaun

by
ALLAH SWT memerintahkan Nabi Musa supaya menyampaikan kepada Firaun bahawa sekiranya Firaun tidak berhenti melakukan kezaliman dan enggan beriman terhadap Allah, maka Allah SWT akan menurunkan seksa dan azab kepadanya.

Lalu Nabi Musa menghadap Firaun bagi menyampaikan perintah Allah itu kepadanya. Namun Firaun bersama pengikutnya enggan menurut perintah tersebut.

Beberapa hari selepas Nabi Musa menghadap Firaun, Allah menurunkan azab seperti yang telah dijanjikan. Allah mendatangkan kemarau yang berpanjangan ke atas bumi Mesir.

Ini mengakibatkan tanam-tanaman tidak tumbuh dan Sungai Nil yang besar dan luas menjadi kering kontang. Maka berkuranglah sumber makanan sehingga berlakunya kemarau dan kebuluran yang teruk.

Namun begitu, Firaun bersama pengikutnya tetap berdegil. Tidak sedikit pun mereka mengendahkan azab yang diturunkan oleh Allah SWT itu. Orang yang beriman telah menyuruh Nabi Musa memohon kepada Allah supaya diturunkan hujan, maka Allah menurunkan hujan kepada mereka.

Apabila Allah menurunkan hujan dan menyuburkan segala tanaman, Firaun dan pengikutnya mendakwa itu adalah hasil usaha daripada mereka. Sedangkan ketika berlakunya kemarau, mereka menyatakan bencana itu disebabkan oleh Nabi Musa. Firaun bersama pengikutnya semakin sombong.

Oleh kerana kesombongan mereka itulah, Allah SWT menurunkan pula taufan yang dahsyat sehingga menenggelamkan segala tanaman mereka. Disebabkan terdesak, para pengikut Firaun datang menemui Nabi Musa.

"Wahai Nabi Musa, selamatkanlah kami daripada azab ini. Sekiranya engkau menyelamatkan kami, kami akan menerima ajaranmu," janji pengikut Firaun. Mendengar kata-kata pengikut Firaun itu, Nabi Musa berasa amat gembira. Lalu baginda memohon kepada Allah agar dihentikan bencana itu.

Allah SWT telah memakbulkan doa Nabi Musa dan segala tanaman mereka kembali subur. Namun, mereka telah mengingkari janji.

Lantas Allah SWT menurunkan pula belalang dan kutu-kutu yang tidak terkira banyaknya untuk memusnahkan tanaman mereka. Sekali lagi mereka terpaksa meminta Nabi Musa. Namun memungkiri lagi.

Selepas itu mereka menderita pula menanggung pelbagai penyakit. Ada di antara mereka yang darahnya keluar bercucuran dari mulut dan ada mengalir dari hidung dan telinga. Tanpa segan silu mereka datang lagi menemui Nabi Musa. Sesungguhnya Allah SWT Maha Penyayang. Dia telah menghentikan azab itu. Namun mereka masih tidak mahu beriman.

Akhirnya Allah telah menukarkan pula air Sungai Nil menjadi darah. Air itu digunakan sebagai sumber keperluan mereka. Akan tetapi air itu hanya menjadi darah apabila kaum Qibti yang mengambilnya. Peristiwa itu berlaku selama tujuh hari. Sekali lagi mereka datang menemui Nabi Musa.

Dengan penuh kepercayaan terhadap mereka, maka Nabi Musa sekali lagi berdoa kepada Allah SWT. Kemudian Allah yang Maha Pengampun telah menghilangkan malapetaka ke atas mereka. Segala seksaan yang hebat itu lenyap. Namun, mereka masih lagi enggan menerima ajaran Nabi Musa.

Setelah Allah SWT menurunkan segala seksaan dan bala kepada mereka, namun ramai lagi yang tidak mahu beriman kepada ajaran Nabi Musa.

Walaupun begitu, terdapat sebahagian lagi yang telah menerima ajaran tersebut. Firaun tidak boleh menghalang mereka yang telah beriman ini kerana Allah telah menetapkan hati dan keimanan mereka kepada-Nya.

- UTUSAN

Rosyam Nor nafi RNG terbabit skim cepat kaya

by
Pelakon yang juga Duta Power Root, Rosyam Nor menegaskan Rosyam Nor Group (RNG) yang diketuainya cuma bertindak sebagai jenama kumpulan yang menggerakkan aktiviti keahlian untuk Power Impian International Sdn Bhd dan bukan syarikat skim cepat kaya.

Rosyam menjelaskan, RNG menyokong Power Impian yang berdiri di bawah Kumpulan Power Root dalam menjalankan aktiviti perniagaan jualan langsung (MLM) menerusi produk kesihatan yang memerlukan setiap ahlinya membayar RM1,160 sebagai yuran keahlian.

Sehubungan itu, Rosyam menafikan beliau cuba menipu ahli yang berdaftar di bawah RNG seperti didakwa pengirim e-mel, Iman seperti yang dilaporkan dalam B*Pop iaitu sisipan akhbar Berita Minggu pada 20 Jun lalu.

Menjelaskan situasi sebenar, Rosyam berkata, mereka bukannya menjual rangkaian atau downline, sebaliknya menjual produk dan setiap ahli perlu sama-sama menjana pendapatan untuk mendapatkan pulangan.

Saya pula melakukan semua ini bagi membalas jasa baik peminat serta berkongsi rezeki bersama mereka. Jika saya hendak menipu, saya boleh meletakkan 3,000 ahli berdaftar di bawah RNG di bawah nama saya seorang. Tetapi, saya tidak berbuat demikian kerana saya ingin berkongsi bersama mereka. Jadi, saya amat sedih apabila saya dituduh sedemikian, katanya.

Antara lain, pengirim e-mel berkenaan mendakwa pelakon itu gagal menunaikan janjinya memberikan pulangan kepada ahli kumpulan itu selepas dua minggu atau selewat-lewatnya sebulan setelah menjadi ahli.

Masalahnya, sebahagian peserta terus mendaftar tanpa mendengar keseluruhan ceramah yang saya berikan. Mereka tersilap pemahaman. Kami sebenarnya akan membayar bonus pada setiap dua minggu itu, bukannya mendapat duit pulangan. Bonus itu pula berdasarkan kemasukan ahli baru, katanya.

Mengenai pengirim e-mel, Rosyam mengaku beliau tidak mengenali penulisnya.

- BERITA HARIAN

La Nina dijangka landa Sabah Julai

by
Jabatan Meteorologi Sabah meramalkan fenomena La Nina melanda negeri ini mulai Julai hingga September dengan hujan lebat yang boleh menyebabkan banjir dan tanah runtuh.

Pengarahnya, Abdul Malek Tussin, berkata ada petunjuk fenomena itu akan berlaku dan pihaknya sentiasa memantau serta akan membuat pengumuman mengenainya dari semasa ke semasa.

Katanya, hujan, panas dan ribut petir bulan lalu dan sekarang adalah disebabkan peralihan Monsun Timur Laut kepada Monsun Barat Daya.

"Ada tanda La Nina akan berlaku dan kami akan memantau perkembangan ini. Kejadian tanah runtuh di Jalan Penempatan, Luyang dan tanah jerlus menyebabkan sebuah rumah runtuh di Kampung Tebobon, Menggatal baru-baru ini adalah akibat hujan berterusan kesan peralihan monsun," katanya kepada Berita Harian, semalam.

Abdul Malek berkata, hujan dan ribut petir pada waktu petang menyebabkan struktur tanah lemah dan kemungkinan runtuh.

Sehubungan itu, beliau meminta penduduk negeri ini berhati-hati bagi mengelak kejadian tidak diingini, terutama yang mengancam keselamatan.

Beliau berkata, pihak berkuasa perlu melakukan persiapan awal bagi menghadapi kemungkinan banjir, terutama menyediakan bot bagi memudahkan pemindahan mangsa banjir.
"Fenomena El Nino di Sabah sudah berakhir awal bulan ini. Selepas dilanda musim panas yang panjang, kita perlu bersedia menghadapi musim hujan sekarang.

"Saya yakin penduduk negeri ini sudah bersedia menghadapi perubahan cuaca dan sentiasa berjaga-jaga ketika musim banjir bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.

- BERITA HARIAN

Permudah pengambilan guru: KSN

by
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan mahu proses pengambilan guru dipermudahkan dan dilakukan secara terus oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), pada masa depan.

Mohd Sidek berkata, langkah ini perlu kerana semakin ramai siswazah berminat untuk mengikuti kursus Diploma Pendidikan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sekarang.

Beliau berkata, melalui kaedah ini calon guru tidak perlu lagi melalui proses lantikan Kementerian Pelajaran (KPM) sebagai Guru Sandaran Terlatih (GST) dan boleh terus menikmati manfaat sama seperti guru yang sudah disahkan jawatannya.

"Tindakan ini boleh dilaksanakan dulu dalam opsyen tertentu khususnya kepada calon yang mengikuti kursus Diploma Pendidikan di IPTA.

"Walaupun proses ini dipermudahkan, kita tidak boleh bertolak ansur dalam aspek kualiti dan perlu dipertingkatkan lagi," katanya berucap pada majlis penutupan Persidangan Perkhidmatan Pendidikan di Pusat Konvensyen Putrajaya di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Mohd Sidek berkata, beliau juga meminta SPP, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengintegrasikan sistem pangkalan data masing-masing bagi membolehkan perkongsian maklumat secara pintar dan memudahkan urusan masing-masing.

Mohd Sidek berkata, beliau percaya langkah itu akan memberi manfaat besar kepada ketiga-tiga agensi berkenaan untuk berkomunikasi tanpa sekatan dan menguruskan hal ehwal perkhidmatan pendidikan dengan lebih luas, cepat dan tepat.
Beliau berkata, sebagai contoh SPP boleh mengendalikan urusan pengambilan dan perkhidmatan dengan lebih cepat dan cekap memandangkan semua maklumat berkaitan guru pelatih dapat dicapai dengan lebih cepat daripada sistem pangkalan data Kementerian Pelajaran (KPM).

"Seterusnya KPM dan KPT boleh membuat analisis dan mengambil tindakan lebih proaktif berasaskan maklumat yang boleh dicapai daripada sistem pangkalan data SPP, katanya.

"Berikutan itu, saya berharap proses mengintegrasikan sistem pangkalan maklumat ketiga-tiga agensi berkenaan dapat dilaksanakan secepat mungkin dengan bantuan kepakaran dan nasihat daripada Unit Permodenan Tadbiran Malaysia (MAMPU)," katanya.

- BERITA HARIAN

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90