Top Ad 728x90

Persoalan Agama: Berzikir berkesan sembuhkan penyakit

by
Bersama Ustaz Zahazan Mohamed

Soalan:
SAYA ingin bertanya mengenai sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Perbanyakkanlah membaca La Haula Wa La Qawwata Illa Billah kerana sesungguhnya bacaan ini adalah ubat bagi penyakit, yang mana penyakit paling ringan adalah kebimbangan". Soalan saya: Apakah penyakit itu?

Jawapan:
ALHAMDULILLAH, wassholatu wassalam ‘ala rasulillah, waba’d. Hadis itu adalah riwayat at-Tabarani dalam al-Awsath dan al-Hakim yang berbunyi: “Man Qala La Haula wala Quwwata Illa Billahi Kana dawa’an min tis’atin wa tis’iina da’in, aisaruha al-Hammu. (Maksudnya: Siapa yang mengucapkan La Haula Wala Quwwata illa billahi, maka ia akan menjadi ubat kepada 99 penyakit. Yang paling ringan adalah kebimbangan).
Penyakit yang dimaksudkan itu ada terkandung dalam beberapa ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Contohnya seperti hadis riwayat Abu Daud, daripada Anas, bahawa Rasulullah SAW berdoa dengan doa: “Allahumma innii ‘auuzhu bika minal barashi wal junuuni wal-juzaami wa sayyi’il asqaam (yang bermaksud: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari penyakit sopak, gila, penyakit kusta dan penyakit-penyakit yang berat).”

Begitu juga hadis riwayat Abu Daud menyebut bahawa Rasulullah SAW berdoa: “Allahuamma Inni a’uuzu bika minal hammi wal hazan, wa ‘auuzhubika minal ‘ajzhi wal kasal, wa’auuzhu bika minal Jubni wal-Bukhl, wa’uuzhubika min ghalabatid daini wa qahrir rijaal (yang bermaksud: “Ya Allah, saya berlindung kepada-Mu daripada penyakit gelisah dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu daripada penyakit lemah dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada pengecut dan bakhil dan aku berlindung kepada-Mu daripada timbunan hutang dan penindasan orang.”

Saudara, apa yang penting pada hadis berkenaan ialah untuk menyatakan kelebihan dan manfaat besar kepada orang yang banyak menyebut ‘La Haula Wala Quwwata Illa Billah.’ Maksudnya tiada daya dan kekuatan (untuk menolak sesuatu kemudaratan dan mendatangkan suatu yang manfaat) selain Allah SWT.

Ucapan itu dinamakan Hauqalah. Apabila kita ditimpa sesuatu yang kita tidak sukai, banyakkan menyebut hauqalah. Imam a-Nawawi berkata: “La haula wa la quwwata illa billah”, itulah kalimah yang digunakan untuk menyerah diri dan menyatakan bahawa kita tidak mempunyai hak untuk memiliki sesuatu urusan. Ia kalimah yang menyatakan bahawa seseorang hamba tiada mempunyai daya upaya untuk menolak sesuatu kejahatan [kemudaratan] dan tiada mempunyai daya kekuatan untuk mendatangkan kebaikan kepada dirinya melainkan dengan kudrat iradat Allah SWT juga.

Dalam sebuah hadis menyebut daripada Abu Zar, beliau berkata: “Aku berjalan di belakang Rasulullah SAW, lalu Baginda berkata kepadaku: “Wahai Abu Zar, mahukah aku tunjukkan kepada kamu satu perbendaharaan daripada beberapa perbendaharaan syurga? Aku berkata: Mahu ya Rasulullah. Baginda bersabda: “La Haula wala Quwwata illa billah.”

Begitu juga hadis daripada Abu Musa, beliau berkata: “Rasulullah SAW bersabda kepadaku: “Mahukah aku tunjukkan salah satu perbendaharaan dari perbendaharaan syurga? Saya menjawab: “Mahu ya Rasulullah. Kemudian Baginda bersabda: La haula wala quwwata illa billah.”

Daripada Ibnu Mas’ud beliau berkata: “Rasulullah SAW bersabda: Wahai Muaz, adakah kamu tahu tafsir (maksud) La haula wala quwwata illa billah? Muaz menjawab: Allah dan rasul-Nya lebih mengetahui. Rasulullah SAW bersabda: La haula (tiada daya) dari menghindari maksiat kepada Allah melainkan dengan kekuatan Allah, wala quwwata (tiada kekuatan) atas mentaati Allah melainkan dengan pertolongan Allah SWT. Kemudian Rasulullah SAW menepuk bahu Muaz dan Baginda bersabda: “Demikianlah yang diberitahu oleh kekasihku Jibril daripada Tuhan.”

Sebenarnya apabila kita banyak menyebut Allah SWT atau berzikir mengingati-Nya sebanyak-banyaknya, ia mampu menjadi penyembuh, tetapi sekiranya kita banyak ingat kepada manusia ia boleh menjadi penyakit. Wallahua’lam.

- BERITA MINGGU

Keputusan Perlawanan Liga Super Malaysia - 35 & 26/02011 (Jumaat & Sabtu)

by
KEPUTUSAN PERLAWANAN LIGA SUPER - 25/02/2011 (JUMAAT)

Kuala Lumpur 1 - 2 Terengganu

Kedah 1 - 1 Kelantan


KEPUTUSAN PERLAWANAN LIGA SUPER - 26/02/2011 (SABTU)

Johor FC 0 - 0 Selangor

Negeri Sembilan 1 - 0 Sabah

Pahang 0 - 2 Perak

Harimau Muda 'A' 1 - 0 Felda United FC

T-Team 3 - 0 Perlis

PTPTN lanjut tempoh bayaran balik sehingga 30 bulan jika belum bekerja

by
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melanjutkan tempoh bayaran balik sehingga 30 bulan kepada mereka yang belum mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.

Pengerusinya Datuk Ismail Mohamed Said berkata PTPTN sebelum ini memberikan tempoh enam bulan kepada mereka yang terlibat untuk membayar balik pinjaman itu.

“Ia kemudiannya dilanjutkan kepada 24 bulan, dan kini kita telah lanjutkan kepada 30 bulan,” katanya kepada pemberita, di Temerloh.

Ismail yang juga Anggota Parlimen Kuala Krau berkata kadar faedah yang sebelum ini sebanyak lima peratus juga telah diturunkan kepada satu peratus.

“Mereka yang belum mendapat pekerjaan perlu menulis surat atau berhubung terus dengan pegawai PTPTN untuk memberitahu masalah yang mereka hadapi untuk dipertimbangkan.

“Kita bersedia berbincang dan bertimbang rasa,” katanya.

Beliau berkata sehingga kini seramai 1.67 juta pelajar menerima pinjaman PTPTN.

- BERNAMA 25/02/2011

RapidKL perkenalkan tiket tanpa kertas pada 27 Feb 2011

by

Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) akan memperkenalkan sistem tiket tanpa kertas mulai 27 Feb 2011 bagi mengurangkan transaksi tiket yang mengambil antara 25 hingga 50 peratus daripada keseluruhan waktu perjalanan pada masa ini.

Sistem baru itu yang hanya mengambil kurang lima saat akan dilaksanakan terlebih dulu di laluan depoh bas Jalan Klang Lama membabitkan kawasan Putra Perdana, Puchong, Jalan Klang Lama dan Subang.

Pengarah Kumpulan Divisyen Bas Prasarana Negara Berhad (PRASARANA), Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain, berkata pada masa ini, transaksi tiket memakan masa purata 15 saat bagi setiap penumpang, sekali gus sehingga 2.5 minit diambil di setiap hentian bas dengan 10 penumpang.

“RapidKL mempunyai purata 30 hentian dan penggunaan sistem tiket sebelum ini menyebabkan sehingga 50 peratus waktu perjalanan diperuntukkan hanya untuk transaksi tiket,” katanya kepada media selepas sesi penerangan di Pejabat RapidKL di Subang, semalam.

Sistem tiket tanpa kertas mempunyai empat komponen utama, Mesin Menjual Tiket (TVM); Pembaca Kad Pintar Tanpa Kontak; Mesin Tiket Elektronik serta Sistem Pengesanan Global Binaan Dalam (buit-in GPS) menawarkan ciri fleksibel, elektronik dan integrasi kerana boleh juga digunakan bagi perjalanan dengan monorel serta LRT.

Melalui sistem baru dikenali “Bit Sekali Masuk, Bit Sekali Keluar” itu, pengguna hanya perlu menyentuh kad pembayaran elektronik, Touch ‘n Go ketika menaiki bas dan jumlah maksimum tambang mengikut laluan dicaj akan dipaparkan.

Bagaimanapun, tambang sebenar akan ditolak dan baki akan dipulangkan secara kredit ke dalam kad Touch ‘n Go selepas penumpang menyentuh kad apabila keluar dari bas di destinasi dipilih.

Selain membeli lebih daripada satu tiket menggunakan kad sama, pengguna juga boleh menambah nilai dengan mudah di dalam bas dinaiki dan baki dalam kad akan dipulangkan berserta deposit RM2 sekiranya penumpang tidak mahu menggunakan kad Touch ‘n Go mereka lagi.

Penggunaan sistem baru akan dilaksanakan bagi laluan Kajang, Cheras dan Sungai Besi pada 8 Mac; Sentul, Segambut, Lembah Pantai (11 Mac); Keramat, Melawati, Gombak (14 Mac); Shah Alam, Puncak Perdana, Klang (17 Mac); Selayang, Batu Caves (19 Mac); Kepong Mah Sing, Damansara Jalan Duta (21 Mac); Kelana Jaya, SS2, Sea Park (23 Mac) dan Pandan, Ampang (26 Mac).

INFO: Laluan bas RapidKL tiket tanpa kertas
# Kajang, Cheras dan Sungai Besi (8 Mac).
# Sentul, Segambut, Lembah Pantai (11 Mac).
# Keramat, Melawati, Gombak (14 Mac).
# Shah Alam, Puncak Perda-na, Klang (17 Mac). Selayang, Batu Caves (19 Mac).
# Kepong Mah Sing, Damansara Jalan Duta (21 Mac).
# Kelana Jaya, SS2, Sea Park (23 Mac).
# Pandan, Ampang (26 Mac).

- BERITA HARIAN

Kursus Kenegaraan dimansuh

by
Kursus Kenegaraan yang menjadi syarat wajib kepada penjawat awam untuk menerima anjakan gaji, dimansuhkan selaras pemansuhan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Mengikut surat edaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 17 Februari lalu, kursus kenegaraan dikecualikan kepada pegawai yang lulus PTK di Tahap Kecekapan 1 (TK1) dan pegawai yang mendapat aras IV di TK1, sekali gus melayakkan mereka dipertimbangkan anjakan gaji tahun ini.

Surat edaran bertajuk ‘Pengecualian Syarat Kursus Kenegaraan di TK1 dan Urusan Kenaikan Pangkat Selepas Pemansuhan PTK’ ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah menjelaskan pelaksanaan urusan kenaikan pangkat mulai 1 Januari lalu perlu diselaraskan terutama membabitkan pencapaian PTK.

Katanya, tarikh kenaikan pangkat pegawai yang lulus PTK adalah berdasarkan tarikh memangku atau tarikh lulus PTK iaitu mana yang terkemudian, manakala bagi pegawai yang belum lulus PTK, kenaikan pangkat berkuat kuasa selepas 1 Januari 2011.

Ketetapan itu hendaklah digunakan dalam menetapkan tarikh kenaikan pangkat pegawai yang terbabit ketika memperakukan kepada Lembaga Kenaikan Pangkat yang berkenaan sehingga ketetapan baru dikeluarkan.

“Ketua perkhidmatan atau ketua jabatan dalam menimbangkan pegawai bagi urusan pemangkuan dan kenaikan pangkat boleh memberi keutamaan kepada pegawai yang lulus PTK tetapi ia juga tertakluk kepada syarat skim, merit, kesesuaian dan kepentingan perkhidmatan serta kriteria lain yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat,” katanya.
Awal bulan lalu, Berita Harian melaporkan dakwaan CUEPACS mengenai beratus penjawat awam yang berhak mendapat kenaikan gaji RM200 hingga RM400 sebulan selepas lulus PTK aras IV tahun lalu, tidak mendapatnya berikutan tindakan Biro Tatanegara (BTN) menghentikan Kursus Kenegaraan.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, dilaporkan berkata penjawat awam terbabit tidak menerima sebarang makluman daripada BTN berhubung kursus itu sehinggalah pihaknya menghubungi mereka dan dimaklumkan kursus berkenaan dihentikan sehingga Jun depan.

Lok yang menghubungi Berita Harian, kelmarin berkata pengecualian kursus kenegaraan akan memberi faedah kepada beribu penjawat awam yang sedang menunggu kenaikan pangkat, tetapi penjawat awam masih terikat dengan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) dan perakuan ketua jabatan untuk melayakkan mereka menerima anjakan gaji.

- BERITA HARIAN

Satu keluarga, tiga kenderaan

by
Dianggarkan setiap keluarga memiliki sekurang-kurangnya tiga kenderaan berdasarkan statistik terbaru Kementerian Pengangkutan menunjukkan sebanyak 21.2 juta kenderaan didaftarkan di negara ini sehingga tahun lalu.

Bilangan kenderaan berkenaan meningkat kira-kira 11.7 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala sebanyak 1.15 juta kenderaan baru didaftarkan pada 2010 meningkat 13.7 peratus berbanding 2009.

Anggaran pemilikan kenderaan berkenaan dibuat dengan mengambil kira bilangan penduduk negara seramai 27.5 juta manakala 6.3 juta adalah isi rumah dengan 7.3 juta tempat kediaman, dicatatkan tahun lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, yang mengumumkan statistik terbaru kenderaan itu dalam satu kenyataan semalam, berkata dengan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya, pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati bagi mengelak kemalangan daripada berlaku.

“Mengikut rekod, jumlah terkumpul kenderaan yang didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan jumlah yang tertinggi dicatatkan di Wilayah Persekutuan dengan 4.9 juta kenderaan diikuti Johor (2.9 juta) dan Selangor sebanyak 2.3 juta,” katanya.

Wilayah Persekutuan turut menjadi negeri paling tinggi mencatatkan jumlah kenderaan baru didaftarkan tahun lalu iaitu 306,513 buah diikuti Johor (145,040 kenderaan) dan Pulau Pinang (110,882).

Jenis kenderaan yang paling banyak didaftarkan pula adalah kereta (584,304), motosikal (498,041) dan kenderaan barang (40,887).

Kong berkata, pendaftaran pengangkutan awam pada 2010 turut menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya dengan pendaftaran bas meningkat sebanyak 5.24 peratus, teksi (22.9 peratus) dan kereta sewa pandu (53.49 peratus).

- BERITA HARIAN

Khidmat guaman percuma bagi gaji kurang RM2,000

by
PUTRAJAYA: Warga negara berpendapatan kurang RM2,000 sebulan yang menghadapi perbicaraan mahkamah kini boleh mendapatkan khidmat bantuan guaman percuma apabila Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), dilancarkan semalam.

Bantuan guaman itu termasuk pesalah kanak-kanak, tertuduh Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan tertuduh bagi jenayah syariah yang sebelum ini disediakan Majlis Peguam menerusi Pusat Bantuan Guaman.

PUTRAJAYA: Warga negara berpendapatan kurang RM2,000 sebulan yang menghadapi perbicaraan mahkamah kini boleh mendapatkan khidmat bantuan guaman percuma apabila Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), dilancarkan semalam.
Bantuan guaman itu termasuk pesalah kanak-kanak, tertuduh Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan tertuduh bagi jenayah syariah yang sebelum ini disediakan Majlis Peguam menerusi Pusat Bantuan Guaman.
Bagaimanapun, khidmat percuma itu tidak meliputi kesalahan yang membawa hukuman mati.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata yayasan usaha sama kerajaan dan Majlis Peguam berbentuk badan kebajikan itu sekali gus dapat memenuhi hasrat kerajaan untuk memastikan keadilan dinikmati sama rata oleh semua rakyat Malaysia, seperti diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.

“Menerusi YBGK, khidmat bantuan guaman dan khidmat nasihat boleh diberi kepada semua warga negara sama ada berkemampuan atau tidak bagi semua jenis kesalahan jenayah, pada peringkat tangkapan, reman dan permohonan ikat jamin.

"(Bagaimanapun) ujian kemampuan (membayar khidmat) hanya akan dijalankan untuk menentukan kelayakan penerima bantuan guaman pada peringkat perbicaraan mahkamah saja.
"Ini akan membantu golongan kurang mampu mendapatkan pembelaan kerana kesamarataan keadilan adalah prasyarat kepada negara serta rakyat yang maju dan berjaya," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran YBGK di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini semalam.

Perdana Menteri juga tersentuh apabila dimaklumkan kira-kira 80 peratus orang kena tuduh (OKT) dalam kes jenayah tidak mempunyai peguam untuk membela kerana tidak mampu membayar yuran guaman tinggi.

YBGK mempunyai 12 anggota lembaga pengarah yang dipengerusikan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Perdana Menteri berkata kerajaan memberi geran pelancaran RM5 juta kepada yayasan sebagai tanda sokongan untuk membiayai operasinya.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan, sembilan anggota Panel Penilaian Operasi (PPO) dan 12 anggota Panel Perunding dan Pencegahan Rasuah (PPPR) Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) menerima watikah pelantikan mereka daripada Najib di sini semalam.

Mereka termasuk bekas Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Datuk Seri Azman Ujang yang dilantik semula dan muka baru, penulis blog ''Outsyed The Box'' Syed Akbar Ali. Bagi PPPR, ada empat lagi muka baru iaitu Pengerusi Media Prima Bhd, Datuk Johan Jaaffar; Presiden Universiti Limkokwing Tan Sri Dr Lim Kok Wing dan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia, Datuk N Marimuthu, manakala dilantik semula ialah Ketua Pengarang Kumpulan Star Publications (M) Bhd, Datuk Seri Wong Chun Wai.

- BERITA HARIAN

Buku berpusing di hujung jari 30 minit

by

KATHMANDU - Seorang pemuda berusia 22 tahun, Thaneshwar Guragai mencipta rekod dunia apabila memusingkan senaskhah buku Guinness World Records dengan menggunakan jarinya selama 30 minit.

Dia mencipta aksi itu di sini semalam sekali gus mengatasi pemegang rekod, Aaaron Sass dari Amerika Syarikat yang membuat catatan masa selama 6.51 minit.

Pemuda itu memang terkenal dalam kalangan penduduk Nepal sebelum ini kerana dia pernah mencipta rekod melantunkan bola keranjang sebanyak 444 kali dengan tangannya dalam tempoh satu minit pada tahun lalu.

- Agensi

Rekod 17 PRK Penggal PRU-8 Masih Kekal

by
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

Sejak Pilihan Raya Umum (PRU) pada 8 Mac 2008, negara tidak pernah sunyi dengan rentetan beberapa siri pilihan raya kecil (PRK).

Memasuki edisi ke-16 menerusi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, fenomena PRK dalam tempoh penggal ke-12 kali ini sangat mencuri perhatian bukan sahaja di kalangan ‘pemain’ arena politik tanah air, malah peminat dan pemerhati tempatan.

Namun catatan angka ‘16’ bukanlah rekod terbanyak siri PRK yang pernah dicatatkan di negara ini kerana ia belum mengatasi jumlah tertinggi iaitu sebanyak 17 PRK diadakan dalam penggal PRU ke-8 pada 1990.

Menurut data yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 17 PRK berkenaan ialah di DUN Sipitang, Sabah; Sulabayan, Sabah (DUN); Bayu, Kedah (DUN); Jerlun, Kedah (Parlimen); Limbongan, Kelantan (DUN); Sungai Pinang, Kelantan (DUN); Seberang Prai, Pulau Pinang (DUN); Serkam, Melaka (DUN); Usukan, Sabah (DUN); Jerai, Kedah (Parlimen); Bukit Payung, Terengganu (DUN); Batu Kawah, Sarawak (DUN); Kampung Raja, Terengganu (DUN); Batu Talam, Pahang (DUN); Lundang, Kelantan (DUN); Sementa, Selangor (DUN) dan Shah Bandar Raya, Selangor (DUN).

Sungguhpun dua dekad lalu negara pernah berhadapan dengan 17 PRK dalam satu penggal pilihan raya, namun hakikatnya ia tidak memberikan dampak yang besar kepada landskap politik negara pada ketika itu.

Berbanding selepas PRU ke-12, kehadiran satu demi satu PRK cukup terkesan hinggakan ada yang sudah bosan malah tidak kurang juga yang mencadangkan supaya pindaan terhadap Perlembagaan dilakukan bagi menghalang lebih banyak PRK.

Bagi parti politik, PRK merupakan medan untuk menguji maruah serta mengukur sokongan semasa rakyat. Tetapi jika dilihat menerusi sisi yang berbeza, PRK mengundang perbelanjaan yang besar sama ada di pihak SPR mahupun parti politik.

Namun mengapa baru kini isu PRK begitu hangat diperkatakan? Mengapa baru sekarang isu bosan dibangkitkan sedangkan beberapa penggal PRU sebelum ini kita sudah berhadapan dengan situasi berkenaan?

Berdasarkan rekod, menerusi penggal PRU antara edisi ke-8 pada 1990 hingga yang ke-11 pada 2004, sebanyak 47 PRK diadakan.

Daripada jumlah itu 15 PRK diadakan sepanjang penggal ke-9 (1995), sembilan PRK dalam penggal ke-10 (1999) dan enam PRK menerusi penggal ke-11 (2004).

Jika dikaji dari segi situasi politik pada setiap edisi, ada beberapa faktor yang menyumbang kepada tahap kepekaan rakyat mengenai PRK.

Misalnya bagi edisi sebelum PRU ke-10 pada 1999. Walaupun begitu banyak PRK diadakan dalam tempoh berkenaan, namun ia bukanlah menjadi satu fenomena yang merisaukan atau merimaskan banyak pihak.

Dari satu sudut, kehadiran satu demi satu PRK ketika itu iaitu sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim dilucutkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada September 1998 tidak begitu dirasai kerana gelombang kekuatan pembangkang tidak dirasai.

Begitu juga menerusi PRK dalam dua penggal PRU sebelum gelombang Mac 2008 berlaku.

Walaupun tiga parti pembangkang utama iaitu PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP bergabung sebagai satu koalisi menjadi Barisan Alternatif (BA) pada PRU 1999, kehadiran mereka tidak memberi kesan kepada keadaan politik negara.

Justeru, kehadiran PRK pada setiap penggal juga tidak begitu menggemparkan kerana kebanyakan kemenangan akan berpihak kepada parti pemerintah.

Melainkan pada PRU 2008, secara kebetulan kekuatan pembangkang begitu meluap-luap hinggakan gabungan parti pembangkang berjaya menafikan penguasaan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Parlimen.

Secara kebetulan juga dalam penggal semasa kita berhadapan dengan 16 PRK - kurang satu untuk menyamai rekod yang berlaku pada penggal PRU ke-8.

- MSTAR

Perjalanan dunia IT Steve Jobs

by

Situasi ini berlaku pada empat tahun lepas. Beratus-ratus orang berkhemah di hadapan kedai alat telekomunikasi Apple Store yang beroperasi di sekitar Amerika syarikat (AS), selama dua hari berturut-turut.

Masing-masing enggan melepaskan peluang untuk menjadi antara kelompok pengguna terawal memiliki sebuah telefon pintar iPhone keluaran Apple.

Meskipun pengeluaran iPhone di pasaran tertunda selama enam bulan, ia sedikitpun tidak mematahkan semangat para pengguna. Apatah lagi pada hari berkenaan mereka terpaksa bersesak-sesak dan berebut-rebut antara satu sama lain.

Bermacam-macam gelagat pengguna diperhatikan. Ada yang sanggup membayar AS$200 (RM680) semata-mata untuk memotong barisan. Ada juga tegar bermalam di depan kedai dengan membawa tilam nipis serta membawa haiwan peliharaan sebagai peneman.

“Saya tidak tidur satu setengah hari,” cerita Grant Johnson, 41, dari Brooklyn, yang sanggup bersekang mata agar tidak terlepas peluang membeli iPhone.

Kemunculan telefon pintar iPhone mencipta fenomena luar biasa di AS, Eropah dan di Asia Tenggara. Bermula daripada pengeluaran iPhone, iPhone 3G, iPhone 3GS sehingga iPhone 4, sambutannya amat menggalakkan. Malah, tempias populariti iPhone turut melanda masyarakat Malaysia.

Apa yang pasti, kecemerlangan penjualan produk Apple Inc., secara tidak langsung melonjak nama Steve Jobs, 55. Dia merupakan tulang belakang yang memastikan agar alat telekomunikasi jenama Apple yang dijual di pasaran berkualiti dan menepati cita rasa pelanggan.

“Terharu dan gembira kerana pengguna menyukai produk yang kami tawarkan. Sebenarnya bukan mudah untuk mereka telefon pintar yang menarik. Bagi saya rekaan tertumpu pada reka bentuknya tetapi ia lebih pada kepuasan ketika menggunakannya. Jadi, kami sentiasa berusaha menghasilkan produk yang terbaik.

“Pada masa yang sama, kami mengelak bertanya kehendak pengguna kerana apabila kita menghasilkan apa yang mereka mahukan, barangkali pada waktu itu mereka mahukan sesuatu yang baru pula,” jelas Jobs yang turut merangkap pengasas bersama dan Ketua Eksekutif Apple dalam satu temu bual.

Laman berita Los Angeles Times, menyiarkan bahawa syarikat Apple Inc. berjaya mengaut keuntungan berlipat ganda selepas melancarkan produk iPhone dan iPad. Sehingga Apple Inc., tersenarai sebagai syarikat kedua di dunia yang mencecah nilai melebihi AS$300 bilion (RM912 bilion).

Penganalisis daripada Goldman Sachs, David Bailey, memberitahu, setiap tahun penjualan iPhone memperlihatkan peningkatan yang begitu drastik. Jika penghujung tahun 2007, sebanyak dua juta iPhone terjual, pada tahun 2008 pula ia meningkat sebanyak sembilan juta. Sementara pada tahun 2009 pula hasil jualan mencecah 20 juta manakala 30 juta pada tahun berikutnya.

Sementara itu, majalah Forbes menyatakan Jobs yang menyambut ulang tahunnya yang ke-55 semalam, memiliki nilai kekayaan berjumlah AS$6 bilion (RM18.26 bilion). Beliau juga disenaraikan oleh majalah terbabit sebagai individu ke-136 terkaya di dunia tahun lalu.

Jobs yang dilahirkan di San Francisco, AS, merupakan anak kepada pasangan Joanne Simpson dan Abdulfattah John Jandali berketurunan Arab Syria. Bagaimanapun bapa kepada empat cahaya mata itu tidak membesar bersama ibu bapa kandungnya.

Sebaliknya, dia dijaga sepenuhnya oleh keluarga angkat, Paul dan Clara Jobs di Silicon Valley, AS, yang sebahagian besar kawasannya dikelilingi ladang aprikot.

Diet ketat

Penggemar baju-T lengan panjang rona gelap dan seluar jean jenama Levi’s itu pernah menuntut di Sekolah Menengah Cupertino di Cupertino, California dan Sekolah Tinggi Homestead H.S di bandar yang sama. Tamat sesi persekolahan, Jobs melanjutkan pengajian di Reed College, Portland, Oregon. Namun tempoh pengajian di kolej seni liberal berkenaan bertahan selama satu semester saja.

Sebaik menamatkan pengajian meninggalkan kolej, Jobs mengambil keputusan merantau ke India untuk mendalami agama Zen Buddhism bersama rakannya, Daniel Kottke. Dalam proses kerohanian tersebut Jobs yang pada ketika itu berusia 19 tahun mempraktikkan diet ketat seperti berpuasa atau makan buah saja.

Tambah Jobs yang mengahwini Laurene Powell di Yosemite, AS, pada tahun 1991: “Saya pernah berniat untuk menjadi sami di biara Jepun daripada mengasaskan Apple. Tetapi guru saya, Kobun Chino menyakinkan bahawa saya masih boleh meneruskan anutan ini dan pada masa yang sama mengusahakan bisnes komputer.”

Sehubungan itu, sekembalinya dia ke Silicon Valley, pada tahun 1974, dia membawa agama Buddha dengan penampilan rambut botak dan menyarungkan pakaian tradisional India.

Menyentuh mengenai penglibatan Jobs dalam bidang komputer dan gajet semuanya bermula selepas perkenalannya bersama Stephen Wozniak atau Woz yang pintar dalam hal berkaitan komputer dan elektronik. Walaupun usia Jobs lima tahun lebih muda daripada Woz, tetapi bagaikan wujudnya keserasian antara mereka berdua.

Penglibatan dunia komputer

Persahabatan yang tersemai itu akhirnya menarik minat Jobs menyertai Kelab Homebrew Computer pada tahun 1975 bersama Woz. Sepanjang melibatkan diri dalam kelab berkenaan, Jobs mendapati, hasil kajian dan pengamatannya industri komputer mempunyai potensi terbaik untuk jangka masa yang panjang.

Hasil perbincangan yang dilakukan mereka berdua melancarkan syarikat Apple Inc. pada 1 April 1976.

“Pemilihan nama Apple cukup ringkas dan simbolik. Ia sentiasa mengingatkan saya pada memori memetik buah epal pada musim panas,” jelas Jobs yang memperoleh modal permulaan bisnes sebanyak AS$1,300 (RM3,963), hasil menjual microbus salah satu komponen komputer manakala Woz menjual kalkulator.

Walaupun berpejabat di dalam sebuah garaj dan fasa permulaan hanya menjual papan sirkit iaitu papan memegang salah satu komponen dalaman komputer, tetapi bisnes mereka berkembang baik selepas menjual komputer pertama Apple I yang bernilai AS$666.66 (RM2,026). Kemudian, diikuti pula dengan komputer Apple II dan rangkaian produk yang lain sehingga Apple Inc., mula menjual saham syarikat sekitar Disember tahun 1980.

Namun jodoh Jobs bersama Apple Inc. tidak bertahan lama. Gara-gara tidak berpuas hati dengan lembaga pengarah, akhirnya dia mengambil keputusan meninggalkan Apple Inc., lantas membuka syarikat sendiri, NeXT, pada tahun 1986.

“Jika Apple Inc., terkenal dengan penghasilan komputer peribadi tetapi NeXT pula sebaliknya. Kami lebih fokus pada pembangunan perisian untuk komputer.

“Menariknya, pada kemuncak bisnes NeXT, kami merupakan jenama yang memainkan peranan utama pada pembentukan e-mel dan jaringan sejagat (WWW),” ulas Jobs yang kemudian dilantik semula menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple Inc., selepas syarikat tersebut membeli NeXT yang hanya beroperasi selama sedekad.

Sehingga ke hari ini Jobs kekal menyandang kerusi CEO. Kebanyakan pakar IT dan penganalisis ekonomi menyifatkan rahsia jenama Apple Inc., yang hampir bankrap pada tahun 1990 terus kukuh kerana semangat dan etika kerja yang dipamerkan Jobs.

Inovasi dan kreativiti

“Saya mengikuti kisah Steve Jobs sewaktu menuntut di Universiti Iowa, AS dua dekad lepas. Pada waktu itu, orang ramai enggan melepaskan peluang memiliki komputer Apple II kerana Apple Inc., merupakan pengeluar tunggal menghasilkan komputer peribadi.

“Namun komputer Macintosh jenama Apple Inc., yang dikeluarkan pada tahun 1986, menarik minat saya untuk memilikinya. Ia merupakan sebuah komputer skrin hitam dan putih, meskipun orang ramai mengharapkan komputer skrin berwarna. Tetapi Jobs bertegas grafik lebih penting daripada warna,” jelas pakar teknologi komunikasi maklumat (ICT), Azli Paat yang turut memberitahu autograf Jobs turut tertera di dalam komputer berkenaan.

Tambah Ketua Pegawai Eksekutif Dapat Vista Sdn. Bhd., itu, Jobs merupakan individu yang berdisiplin, kreatif dan berwawasan. Setiap produk keluaran Apple Inc., mampu menarik minat pembeli dan ideal dengan trend semasa.

Dalam pada itu, Azli turut mengakui Jobs bijak dalam aspek pemasaran dan berinovasi tinggi.

“Misalnya, penggunaan tetikus. Ke banyakan individu berpendapat Apple Inc, yang bertanggungjawab mencipta tetikus padahal produk tetikus itu dihasilkan oleh jenama Xerox.

“Ini disebabkan pada awal penghasilkan tetikus, Xerox tidak yakin bahawa tetikus bakal disukai ramai, memandangkan masyarakat pada waktu itu sudah terbiasa menggunakan tetikus pada papan kekunci. Namun pemikiran Jobs berbeza. Ia melihat penggunaan tetikus secara berasingan memudahkan pengguna,” kata Azli.

- KOSMO!

Borang cukai pendapatan boleh dihantar 1 Mac 2011 ini

by
KUALA LUMPUR 25 Feb. – Penghantaran borang nyata cukai pendapatan tahun taksiran 2010 melalui e-Filing bagi borang BE, B, M, P dan E boleh dilakukan mulai 1 Mac ini.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, perkhidmatan itu boleh dicapai melalui laman web https://e.hasil.gov.my atau melalui laman web rasmi LHDN di www.hasil.gov.my.

“LHDN menyeru semua pembayar cukai supaya mengemukakan borang nyata cukai pendapatan mereka dengan segera dan tidak menunggu saat akhir bagi mengelakkan kesesakan talian,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu menjelaskan, tarikh akhir bagi penghantaran borang E (majikan) adalah pada 31 Mac ini manakala borang BE (pendapatan selain perniagaan individu bermastautin) dan borang M (pendapatan selain perniagaan individu tidak bermastautin) adalah pada 30 April ini.

Tarikh akhir penghantaran bagi borang B (pendapatan perniagaan individu bermastautin), borang M (pendapatan perniagaan individu tidak bermastautin) dan borang P (perkongsian) adalah pada 30 Jun ini.

Menurut kenyataan itu, pembayar cukai yang belum pernah menggunakan e-Filing perlu memohon nombor pin melalui e-mel pin@hasil.gov.my.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh menghubungi 1-300-88-3010 atau layari laman web www.hasil.gov.my

- UTUSAN

Tarikh mula pengajian 12 Mac bagi pelajar di Mesir

by
KUALA LUMPUR 25 Feb. - Kementerian Pengajian Tinggi dan kerajaan Mesir hari ini menetapkan tarikh kemasukan semula para penuntut Malaysia ke universiti-universiti di negara itu adalah bermula 12 Mac ini sehingga 8 April depan.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Universiti Kaherah merupakan antara universiti terawal menerima kemasukan semula penuntut khususnya bagi kursus perubatan apabila akan memulakan pengajian pada 12 Mac ini.

Menurutnya, turut memulakan pengajian pada tarikh yang sama ialah penuntut perempuan bagi kursus pergigian pradental.

"Penetapan tarikh tersebut dicapai selepas pasukan kementerian yang dianggotai wakil akademik, wakil kebajikan pelajar dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Mara mengadakan perbincangan dengan kerajaan Mesir sejak 19 Februari lalu sehingga semalam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Khaled seterusnya memaklumkan, bagi universiti yang akan memulakan pengajian pada 15 Mac 2011 pula terdiri daripada Universiti Mansurah bagi kursus perubatan tahun empat, lima dan enam dan Universiti Tanta bagi kursus perubatan dan pergigian.

Selain itu, kata beliau, Universiti Zagazig bagi kursus perubatan dan farmasi, Universiti Ain Shams bagi kursus perubatan dan Universiti Al-Azhar bagi kursus perubatan dan pergigian.

Sementara itu, katanya, universiti yang akan memulakan pengajian pada 17 Mac depan pula hanya penuntut farmasi tahun satu dan dua iaitu dari Universiti Iskandariah.

Menurut beliau, universiti yang akan memulakan pengajian pada 19 Mac pula ialah Universiti Iskandariah bagi kursus perubatan tahun empat, lima dan enam, Universiti Mansurah untuk kursus perubatan tahun satu, dua dan tiga serta Universiti Mansurah bagi kursus pergigian dan farmasi.

"Bagi penuntut perubatan tahun satu, dua dan tiga dari Universiti Iskandariah pula, mereka akan memulakan pengajian pada 26 Mac manakala penuntut pergigian tahun satu dan dua akan memulakan kuliah pada 2 April ini," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Khaled memberitahu, penuntut kursus pengajian Islam dari Universiti Al-Azhar untuk semua tahun termasuk matrikulasi dan kelas persediaan bahasa pula diminta mendaftar semula selewat-lewatnya pada 8 April 2011.

Beliau, bagaimanapun berkata, penuntut masih diminta menunggu pengumuman daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai tahap keselamatan di Mesir bagi membolehkan mereka kembali ke negara itu.

- UTUSAN

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90