Top Ad 728x90

JPJ Laksana Sistem e-Tukar November 2011

by
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dijangka melaksanakan sistem e-Tukar yang akan membolehkan orang ramai memeriksa maklumat berkaitan pembelian dan penjualan kereta secara online, pada November ini.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Solah Mat Hassan berkata maklumat online itu dibangunkan oleh eAuto Sdn Bhd dan disokong penuh JPJ, akan membolehkan orang ramai memeriksa maklumat mengenai kereta yang mereka mahu beli, terutamanya butiran mengenai pemilik asalnya dan butiran penting yang lain.

Menerusi sistem itu, seseorang boleh mengesan rekod dan status kewangan pemilik asal dan status kenderaan itu, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Ke-33 Persekutuan Persatuan Syarikat Motor dan Kredit Malaysia (FMCCAM) 2011 di sini, Ahad.

"Jika ada sesiapa yang memutuskan untuk menjual kereta mereka kepada syarikat kereta terpakai, syarikat berkenaan boleh memeriksa butiran kenderaan itu menerusi sistem e-Tukar sebelum melakukan penukaran hakmilik sementara.

"Sebaik sahaja kenderaan itu ditukarkan kepada nama syarikat kereta itu, pelanggan tidak lagi mempunyai hak ke atas kenderaan berkenaan selepas itu dan tidak sepatutnya berasa tertipu," katanya.

Solah berkata ini akan dapat menyelesaikan masalah saman dan isu pinjaman kereta apabila seseorang itu memutuskan untuk menjual keretanya kepada syarikat kereta terpakai.

"JPJ akan memberikan tempoh enam bulan kepada syarikat untuk mencari pembeli baru. Jika mereka gagal menjual kereta itu dalam tempoh itu, hakmilik kereta perlu ditukarkan kepada syarikat kereta terpakai itu," katanya.

Perkhidmatan e-Khidmat dijalankan secara usaha sama dengan FMCCAM yang mempunyai 3,000 anggota yang perniagaan teras mereka ialah membeli dan menjual kereta terpakai, katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif eAuto Sdn Bhd Ganesh Kumar Bangah berkata pelaksanaan perkhidmatan online itu akan dapat membantu meningkatkan jualan kereta terpakai.

Katanya syarikat itu sedang menjalankan program latihan untuk anggota FMCCAM di seluruh negara mengenai bagaimana menggunakan perkhidmatan online itu menerusi protal sehenti di www.eAuto.my.

Beliau berkata sistem e-Tukar juga akan membantu JPJ memperoleh maklumat terperinci mengenai hakmilik kenderaan dan pangkalan data jualan kereta terpakai yang lebih selaras menerusi penggunaan aplikasi sistem biometrik.

Katanya syarikat itu juga menawarkan pelbagai aplikasi berasaskan web bagi e-Khidmat seperti e-Pengumuman, e-Forum, e-Direktori dan e-Buletin Berita.

- BERNAMA

Astro lancar B.yond IPTV

by
Pertengahan tahun lalu, pengendali perkhidmatan televisyen satelit berbayar, Astro memperkenalkan servis Astro B.yond sebagai platform baru operasi penyiaran mereka.

Menerusinya, para pelanggan Astro berpeluang menikmati pengalaman tontonan siaran beresolusi definisi tinggi (HD) selain aplikasi canggih fungsi perakam video peribadi (PVR).

Terus mempertingkatkan operasinya, Astro kini menampilkan pula medium penyiaran televisyen moden melalui sokongan protokol Internet (IP) iaitu Astro B.yond IPTV.

Secara asasnya, platform Astro B.yond IPTV menawarkan tiga perkhidmatan utama iaitu Astro TV (HD, PVR dan video permintaan), gentian jalur lebar berkelajuan tinggi serta komunikasi suara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan, Astro telah menjalankan kerjasama dengan pihak TIME dotcom Berhad (TIME) bagi tujuan menyediakan infrastruktur servis berkenaan.

‘‘Perkhidmatan ini mengaplikasikan kemudahan pendawaian jalur lebar TIME bergentian seratus peratus dengan kelebihan kelajuan Internet terpantas serta komunikasi suara pada nilai terbaik.

‘‘Matlamat implementasi servis ini adalah untuk memberi peluang kepada hampir 320,000 pelanggan Astro di kediaman berpusat tinggi seperti pangsapuri dan kondominium yang tidak dapat menikmati servis Astro B.yond sebelum ini,’’ katanya pada pelancarannya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebagai permulaan, infrastruktur Astro B.yond IPTV dibangunkan secara beransur-ansur kepada 167,000 kediaman di 730 bangunan berbilang kediaman (MDU) sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang menjelang akhir tahun ini.

Ketika ini, ia tersedia di 60 buah kediaman tinggi sekitar kawasan Mont Kiara, KLCC, Bangsar, Sri Hartamas dan Georgetown.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TIME, Afzal Abdul Rahim berkata, kepakaran TIME yang digandingkan bersama kecekapan pengaturcaraan Astro pasti menjadikan produk IPTV itu yang terbaik di pasaran.

Daripada segi perkhidmatan, Astro B.yond IPTV hadir bersama sambungan kotak tri-bird yang mampu menyokong operasi dalam pelbagai mod.

Untuk itu, setiap kediaman akan dibekalkan dengan sambungan jalur lebar berkapasiti 100 megabit sesaat (Mbps) untuk sokongan operasi dua kotak Astro B.yond seperti rakaman, tontonan serta muat turun program VOD.

Tidak cukup dengan itu, sebanyak 30 Mbps lagi diperuntukkan untuk aktiviti mengakses Internet secara sambungan Wi-Fi melalui peranti seperti komputer riba, komputer tablet, telefon bimbit dan sebagainya.

Bagi program televisyen Astro pula, pelanggan boleh menikmati pelbagai program menarik menerusi 130 saluran, 12 saluran HD, rakaman PVR serta perpustakaan kandungan VOD yang sentiasa dikemas kini.

Pengguna boleh melanggan pakej Astro B.yond IPTV dengan harga serendah RM128 untuk kapasiti capaian Internet 3Mbps sebulan di samping langganan Astro semasa.

Untuk setiap langganan pakej berkenaan, pengguna akan dibekalkan dengan peralatan dan perkhidmatan pemasangan percuma bernilai sehingga RM3,000.

Antara peralatannya adalah seperti set dekoder HD dan PVR, kabel HDMI serta modem Wi-Fi.

Maklumat lanjut mengenai pakej tersebut, sila layari laman web www.astro.com.my/iptv atau telefon 03-9543 1543.

Berpada-pada Dalam Bersedekah

by
Hadith:

HAKIM Ibnu Hizam berkata, Nabi SAW bersabda maksudnya: "Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. Dan berilah lebih dahulu kepada orang yang engkau tanggungi.

Dan sebaik-baik sedekah ialah sedekah yang sesudah kita berikan masih ada sisa yang cukup bagi kita. Sesiapa yang memelihara diri daripada yang haram dan meminta-minta, nescaya Allah menjadikannya orang yang terpelihara.

Dan sesiapa yang memohon kepada Allah supaya diberi kecukupan, nescaya Allah memberikan kecukupan untuknya."

Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Huraian Hadith:

Sebaik-baik sedekah ialah sedekah yang tidak membuatkan kita ditimpa kesusahan akibat terlalu banyak memberi atau dengan perkataan lain pastikan masih ada sisa yang tinggal untuk kita meneruskan kehidupan.

Malah dalam bersedekah juga utamakanlah orang yang di bawah tanggungan kita terlebih dahulu daripada yang lain.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Maksud perisian sumber terbuka

by
Apabila berbincang berkenaan dengan perisian sumber terbuka, ramai yang mengaitkannya dengan perisian percuma.

Ia jauh sekali berbeza kerana perisian sumber terbuka atau open source mempunyai teori, model dan falsafahnya yang tersendiri.

Namun begitu, perisian berasaskan sumber terbuka ini sebahagiannya bercirikan perisian percuma.

Konsep perisian percuma dan perisian yang berasaskan komuniti sumber terbuka ini dimulakan oleh Richard Stallman.

Seterusnya, ia dikembangkan lagi dengan lebih spesifik dan tersusun dari segi konsep, perlesenan, perkongsian kod sumber, proses pembangunan perisian dan sebagainya oleh Bruce Perens dan Eric Raymond dalam tahun 1998.

Konsep perisian percuma yang diperkenalkan oleh Richard Stallman adalah perisian tersebut diedar secara percuma kepada sesiapa sahaja.

Konsep perisian sumber terbuka yang dipelopor oleh Bruce Perens dan Eric Raymond pula merujuk kepada perisian yang dibangunkan secara konsep yang sama diketengahkan oleh Richard Stallman.

Perisian berasaskan sumber terbuka merupakan perisian komputer yang boleh didapati dalam bentuk kod sumber asal dan para pengguna dibenarkan mempelajari, mengubah dan menambah baikan kod sumber perisian komputer tersebut.

Bagi definisinya yang lebih terperinci lagi boleh didapati di alamat URL, http://opensource.org. Ia jelas menunjukkan ciri-ciri lesen yang perlu dipenuhi oleh sesebuah perisian komputer untuk mencapai kepada status perisian berasaskan sumber terbuka ini.

Di antara ciri-ciri lesen perisian berasaskan sumber terbuka yang dikodkan adalah berkenaan dengan pengedaran semula perisian, kod sumber, perjalanan kerja pembangunan, integriti pemunya asal kod sumber dan tiada unsur-unsur diskriminasi ke atas sesebuah kumpulan atau individu.

Ciri-ciri lain ialah lesen pengedaran, pengkategorian pelbagai bentuk perlesenan dan tiada unsur-unsur diskriminasi terhadap suatu bidang kepakaran.

Apabila dikatakan perisian sumber terbuka ia bukan LINUX semata-mata. Terdapat banyak perisian sumber terbuka yang berkategori pelbagai platform atau untuk sistem pengoperasian Windows sahaja.

Bagi senarai perisian sumber terbuka yang berasaskan Windows, boleh semak di alamat URL, http://opensourcewindows.org.

Perisian sumber terbuka bukan selalunya disediakan secara percuma. Ini apa yang diperlukan sesebuah perisian sumber terbuka adalah kod sumbernya boleh didapati secara percuma.

Jadi, perisian tidak semestinya percuma. Terdapat banyak syarikat yang membuat keuntungan ke atas perisian sumber terbuka ini.

Keuntungan dijana dengan mengenakan bayaran ke atas penyediaan kemudahan sokongan atau penambahan fungsi-fungsi tambahan terhadap sesebuah perisian sumber terbuka.

Kebiasaannya perisian sumber terbuka tersebut akan ada versi percuma dan versi komersial. Sebagai contoh adalah seperti perisian e-mel dan kolaborasi iaitu Zimbra yang menyediakan versi perisian percuma dan versi perisian yang dikenakan bayaran.

Tidak semua perisian sumber terbuka mempunyai sokongan atau sistem bantuan dalam mengendalikan sesebuah perisian seperti mana perisian komersial yang mempunyai sistem sokongan korporat 24 jam.

Kadang kala ia memerlukan bayaran tambahan untuk dapatkan sistem sokongan tersebut.

Namun begitu, perisian sumber terbuka ini mempunyai komunitinya yang sangat cekap dan efektif.

Bantuan boleh didapati daripada komuniti ini menerusi blog-blog, forum, mailing list, e-mel dan sebagainya.

Apabila perisian sumber terbuka memberi capaian secara penuh kepada kod sumber, ia tidak bermakna kod sumber itu perlu dicapai untuk menggunakannya.

Sekiranya tiada kepentingan, kod sumber bagi sesebuah perisian tidak perlu dicapai.

Perisian tersebut boleh digunakan sampai bila tanpa perlu dicapai kod sumbernya atau pengaturcaraannya.

Namun demikian, sekiranya perlu untuk melakukan pengubahsuaian bagi sesebuah perisian sumber terbuka, kod sumber telah sedia ada untuk dipelajari dan diubah suai.

Apabila dikatakan perisian sumber terbuka ini boleh dicapai kod sumbernya, ia tidak bermakna digunakan oleh golongan pengaturcaraan atau pakar teknologi maklumat sahaja.

Ia boleh digunakan oleh orang biasa yang tahu menggunakan komputer mengikut keperluan perisian yang digunakan.

Salah satu kelebihan penggunaan perisian sumber terbuka ini adalah ia boleh digunakan, diubah suai dan disebarkan secara percuma. Ini mengelakkan daripada berlakunya perlanggaran undang-undang terhadap hak cipta, harta intelek dan sebagainya.

Kebanyakan perisian sumber terbuka ini mudah didapati dan dimuat turun daripada Internet. Ia juga menepati satu piawaian yang baik seperti mana perisian komersial. Pihak Microsoft juga ada menyediakan platform perisian sumber terbuka ini di alamat URL, http://www.microsoft.com/opensource.

Perisian yang dikenali sebagai perisian freeware dan shareware yang banyak didapati di Internet tidak dikatakan sebagai perisian sumber terbuka sekiranya ia tidak memenuhi ciri kebolehcapaian kod sumber perisian tersebut.

Ini jelas bertentangan dengan konsep perisian sumber terbuka. Ia hanya percuma digunakan. Kadang kala ia ada tempoh tertentu yang diberikan percuma penggunaannya.

Kadang kala, pengguna sendiri tidak menyedari yang mereka menggunakan perisian sumber terbuka.

Banyak perisian-perisian sumber terbuka yang digunakan sebagai alternatif kepada perisian yang memerlukan bayaran dan pembelian lesen seperti Mozilla Firefox, OpenOffice, WordPress, Thunderbird, Drupal, Ubuntu dan lain-lain.

Itulah beberapa perkara yang perlu diketahui sekiranya mahu menggunakan perisian sumber terbuka atau beralih daripada penggunaan perisian yang berasaskan komersial.

Terdapat banyak perisian sumber terbuka di pasaran.

Oleh itu, pilih perisian sumber terbuka yang stabil, ada kemudahan untuk sokongan, komuniti pengguna yang ramai dan sesuai dengan keperluan penggunaan.

Perisian sumber terbuka sudah berdiri lebih tinggi dan mantap di pasaran perisian dunia sama ada dari segi aspek mesra pengguna, kestabilan perisian dan keselamatan siber.

Malah, ada negara yang mesin wang ATM-nya menggunakan sistem pengoperasian Linux. Sesiapa sahaja boleh menggunakan, mengedar dan mengubah kod sumber perisian sumber terbuka ini.

- UTUSAN

Bubur kawah hospital - Makanan untuk orang sakit

by
Menyediakan sebanyak 10,400 hidangan kepada ribuan pesakit yang berbeza latar belakang kesihatan pada setiap waktu makan bukan cabaran yang kecil.

Apatah lagi jika penyediaan tersebut perlu mematuhi kualiti yang ditetapkan dan pada masa yang sama ia enak dan sihat untuk dinikmati oleh pesakit.

Jurnal baru-baru ini berpeluang memasuki dapur Hospital Kuala Lumpur (HKL), iaitu hospital yang mempunyai jumlah pesakit paling ramai di Asia Tenggara, untuk melihat lebih dekat bagaimana penyediaan makanan dilakukan di hospital yang berusia 149 tahun itu.

Bermula seawal pukul 6 pagi, 40 kakitangan Jabatan Dietetik dan Sajian (JDS) sudah turun ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi. Sebelum itu, data pesakit dikemas kini untuk memastikan hidangan yang bakal diagihkan nanti mencukupi.

“Terdapat dua jenis kelompok diet yang perlu disediakan setiap kali waktu makan bermula dengan sarapan sehingga makan malam.

“Kami menyediakan hidangan diet normal untuk semua pesakit yang tidak mempunyai masalah berkaitan pemakanan dengan tiada modifikasi dilakukan tetapi penyediaannya lebih mengutamakan cara yang lebih sihat.

“Tidak hairanlah jika pesakit mendapati rasa makanan tersebut sama dengan makanan di luar hospital,” ujar Ketua jabatan berkenaan, Ridzoni Sulaiman.

Jelasnya lagi, pesakit yang mempunyai penyakit berkaitan makanan seperti diabetes, darah tinggi, pesakit renal atau buah pinggang, tinggi kolesterol, mereka akan dihidangkan dengan makanan yang disediakan mengikut diet terapeutik.

“Beberapa modifikasi perlu dilakukan dalam penyediaan makanan bagi diet terapeutik untuk disesuaikan dengan keadaan penyakit pesakit seperti kandungan garam dikurangkan, tiada penggunaan bahan perasa dan santan digantikan dengan susu rendah lemak.

“Selain itu, JDS juga menyediakan diet vegetarian untuk pengamal sayur-sayuran dan diet kanak-kanak untuk pesakit cilik di sini,” katanya yang turut menyediakan pilihan makanan pedas atau biasa kepada semua pesakit kecuali kepada mereka yang menjalani diet terapeutik.

Dengan adanya seleksi pilihan makanan terdiri daripada lapan menu berbeza untuk kitaran lapan hari, JDS turut menawarkan pilihan menu kepada pesakit yang menghuni kelas satu di mana mereka boleh memilih untuk menikmati hidangan biasa atau hidangan ala Barat.

“Bukan itu sahaja, mereka turut diberi keistimewaan untuk memilih menu alakad seperti tomyam, sup ayam dan mi goreng mamak.

Cincang makanan

“Bagaimanapun, prosedur penyediaan makanan sihat masih dikekalkan untuk memastikan ia tidak mendatangkan kesan kepada perawatan pesakit,” jelas Ridzoni.

Bagi sebilangan kecil pesakit yang tidak boleh makan makanan biasa seperti pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU), bekalan makanan buat mereka turut disediakan.

“Kami menyediakan produk susu khas yang lengkap dengan semua zat dan nutrien yang diperlukan pesakit.

“Untuk pesakit kanser usus pula, JDS akan menyediakan diet lembut yang telah diubahsuai daripada diet normal mereka.

“Biasanya, mereka akan mengambil makanan yang dicincang atau dikisar sebelum boleh mengambil makanan pejal,” katanya.

Bermula daripada bekalan makanan basah dan kering yang diterima pada pukul 9.30 pagi, kakitangan JDS sudah mula sibuk.

Ada yang menimbang barang, ada yang mencuci sayur dan ada yang memotong buah. Setiap orang mempunyai tugas masing-masing.

Menurut Penolong Pegawai Penyediaan Makanan, Hamizal Amir Nordin, boleh dikatakan hampir semua kakitangan di dapur HKL sudah arif dengan jumlah garam atau gula yang perlu dimasukkan ke dalam masakan.

Bagaimanapun, setiap makanan akan diuji rasa terlebih dahulu sebelum dihidangkan kepada pesakit.

Hamizal ialah antara orang yang bertanggungjawab menentukan sama ada makanan tersebut mencapai kualiti yang ditetapkan atau tidak.

“Kualiti makanan ditetapkan berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama ( KPI ) di mana makanan yang dihidangkan kepada pesakit perlu bebas daripada pencemaran bahan asing.

Ayam tanpa kulit

“Selain itu, kajian kepuasan pelanggan terhadap penerimaan makanan di hospital perlu melebihi 80 peratus.

“Di HKL, kami mengamalkan tiga jenis kawalan iaitu kawalan amalan anggota pengendali makanan, kawalan operasi dan kawalan rasa.

“Uji rasa untuk hidangan diet normal dan terapeutik wajib dijalankan setiap kali waktu makan oleh pegawai bertugas.

“Ini penting untuk memastikan makanan dimasak mengikut rasa yang sepatutnya dan memberi peluang kepada kita untuk melakukan pembetulan segera sebelum makanan dihidang kepada pesakit,” jelas Hamizal yang memberitahu tahap kepuasan pelanggan terhadap makanan yang disediakan oleh hospital itu pada tahun lalu secara keseluruhannya ialah 84.7 peratus.

Tidak hanya meletakkan rasa sebagai penanda aras, kebersihan dan keselamatan makanan adalah perkara yang tidak boleh dipandang mudah.

Kata Hamizal, bermula daripada penerimaan bahan mentah, prapenyediaan, memasak sehinggalah menghidang ke katil pesakit, setiap langkah yang diambil perlu dilakukan dengan cermat dan teliti.

“Setiap bahan mentah, sama ada sayur, ikan atau ayam, akan dibasuh dengan garam, tepung atau asam jawa sebelum dibilas sebanyak tiga kali.

“Selepas itu, barulah ia dipotong,” katanya yang hanya menerima ayam tanpa kulit daripada pembekal.

Ramadan

Berkongsi pengalaman dengan seorang kakitangan JDS, Hishamuddin Shamsudin, 32, banyak maklumat yang dipelajarinya sepanjang lima tahun berkhidmat di dapur HKL.

“Sebelum ini saya adalah chef di atas kapal milik Syarikat Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) yang setiap hari belayar mengelilingi dunia.

“Namun, kesibukan di atas kapal serta sering berjauhan daripada keluarga menyebabkan saya ingin pulang di tanah air.

“Sebelum ini saya pernah bekerja sehari di HKL tetapi saya berhenti kerana beranggapan ia kurang menarik. Namun, kini ia adalah kerjaya yang sangat menyeronokkan.

“Di sini, saya belajar untuk memasak dengan cara yang lebih sihat walaupun menggunakan bahan alternatif. Rasanya masih juga enak,” katanya.

Antara cabaran yang dihadapi oleh Hishamuddin semasa tahun pertama kerjayanya di HKL ialah memasak pada bulan Ramadan.

“Memasak untuk ribuan pesakit ketika berpuasa memang mencabar, risau juga tentang kualiti rasanya tetapi dengan bantuan rakan-rakan yang bukan beragama Islam, kerja memasak lebih mudah.

“Secara peribadinya, kecur air liur juga bila aroma rempah kari ayam mamak yang sedang ditumis memenuhi ruang dapur,” katanya yang berasal dari Utara.

- KOSMO!

Masalah Komputer - Masalah untuk login Facebook

by
SOALAN:

Setiap kali saya masuk ke akaun Facebook saya tiba-tiba keluar perkataan ini pada skrin komputer:

INTERNET EXPLORER CANNOT OPEN THE INTERNET SITE http://www.facebook.com/home.php

Operation aborted

Apabila saya pangkah atau tekan OK di kekotak tersebut saya terpaksa log in semula. Kadang-kadang hingga 2 atau 3 kali berturut-turut.

Apa masalahnya dan bagaimana untuk mengatasi supaya masalah tersebut tidak berulang ?

Sekian,terima kasih.

JAWAPAN:

Bagi menjawab persoalan tersebut saya andaikan talian Internet anda baik, stabil dan tiada masalah. Ini berkemungkinan besar masalah tersebut berpunca daripada pelayar web Internet Explorer (IE) anda.

Langkah yang baik adalah kemas kini dan tingkatkan versi pelayar web Internet Explorer yang digunakan atau menggunakan pelayar web yang lain seperti Google Chrome, Mozilla Firefox, Opera dan lain-lain.

Sekiranya tidak berupaya berbuat demikian atau masalah tersebut masih berlaku, terdapat beberapa cara yang boleh diikuti untuk penyelesaiannya.

1. Masukan alamat URL Facebook ke dalam ruangan web yang dipercayai yang terdapat pada pelayar web IE. Ia boleh dicapai dengan anda masuk ke IE dan pergi ke Tools > Internet Options > Security > Trusted Sites. Nyah klik pada ruangan Require server verification sekiranya anda tidak menggunakan https pada laman Facebook.

2. Berkemungkinan terdapat beberapa perisian yang menyebabkan berlakunya penghalang ini terutama perisian anti virus atau sekuriti sama ada yang dipasang atau telah dinyahpasangkan. Jadi, untuk mengelakkan ia berlaku boleh lakukan beberapa perkara yang berikut.

* Start > Programs > Accessories > System Tools > IE with no Addons

* IE > Tools > Internet Options > Advanced Tab > klik Restore then click Reset > Apply / OK

* IE > Tools > Internet Options > Security Tab > klik reset all zones to default - Apply / OK

* IE > Tools > Internet Options > Advanced Tab. Nyah tanda bagi "Enable third-party browser extensions"

* IE > Tools > Manage Add-ons > Nyahkan SSV2 sekiranya ada kerana ia boleh menyebabkan masalah tersebut berlaku. Ia akan sentiasa dipasang kepada pelayar sekiranya kemas kini kepada Java dibuat.

* Tutup dan buka semula program IE

3. Lakukan penyelenggaraan pada Windows bagi membuang dan membaik pulih segala fail sistem yang hilang dan rosak. Dengan itu, boleh lakukan beberapa perkara penyelenggaraan pada Windows seperti langkah-langkah yang seterusnya.

* Larikan program DiskCleanup dengan klik Start > All Programs > Accessories > System Tools > Disk Cleanup.

* Klik Start > RUN. Kemudian taipkan perkataan

sfc /scannow. Klik butang OK.

* Larikan program checkdisk dan jadualkan program tersebut untuk beroperasi pada permulaan buka Windows seterusnya. Klik Apply > OK.

* Larikan perisian anti-virus yang dikemas kini. Boleh dapatkan ia secara percuma sekiranya tiada seperti Malwarebytes di URL, http://www.malwarebytes.org. Berkemungkinan juga ia disebabkan oleh virus seperti Trojan Vundo dan lain-lain.

* Sekiranya ada program Windows Defender, buka dan pergi ke Tools > Software Explorer. Lihat isu-isu berkaitan dengan perisian-perisian yang kelihatan bermasalah. Seterusnya, setkan ia kepada status, not permitted.

* Boleh dapatkan perisian BHOremover untuk membuang secara lebih baik perisian-perisian atau program komputer yang tidak diperlukan. Ia boleh diperolehi di URL, http://securityxploded.com/bhoremover.php.

4. Terdapat ralat untuk pelayar web IE versi 6 dan 7 untuk membaca laman web yang mengandungi skrip atau kod Site Meter. Ia akan memaparkan mesej ralat yang sama. Bagi mengatasi masalah ini, menaik taraf pelayar web IE ke versi yang terkini atau ikuti langkah yang diberikan seterusnya.

Buka pelayar web Internet Explorer.

Klik pada Tools > Internet Options.

Klik pada tab Security.

Klik pada ikon Restricted Sites.

Klik pada butang Sites.

Pada ruangan Add this website to the zone, taipkan perkataan '*.sitemeter.com '

Klik pada butang Add. Klik pada Close dan OK.

5. Boleh nyah aktifkan fungsi mesej ralat pada HTTP ini pada pelayar IE. Mesej ralat tersebut akan masih dipaparkan pada pelayar tetapi ia tidak akan ke laman yang lain dalam pelayar tersebut. Ini boleh dilakukan dengan cara-cara yang berikut:-

Buka menu Tools dan klik pada Internet Options.

Pada tab Advanced, biarkan kosong kotak tanda sebelah pilihan Show friendly HTTP error messages. Ia berada di bawah tajuk Browsing.

Klik butang OK.

6. Nyah aktifkan fungsi Active Scripting dalam pelayar web IE. Ia akan mengelakkan daripada mana-mana skrip berfungsi dalam pelayar IE. Ini boleh dilakukan dengan beberapa langkah seperti yang berikut.

Pada menu Tools, klik Internet Options.

Pada tab Security, pilih zon yang akan membaca laman web tersebut.

Cari bahagian Scripting, setkan Active Scripting kepada Disabled untuk halang mana-mana skrip atau kepada Prompt untuk maklumkan kepada kita terlebih dahulu sama ada untuk larikan atau tidak sesesuatu skrip yang dibaca oleh pelayar web IE.

l Klik OK.

7. Ia juga boleh disebabkan masalah konfigurasi perisian paparan komputer DirectX. Sila benarkan fungsi DirectX Features beroperasi dalam program DirectX tersebut. Ini boleh dilakukan dengan pergi ke Start > Run > taip dalam kotak perkataan dxdiag > dan klik OK.. Seterusnya pada tab Display di ruangan Direct X Features, benarkan atau ENABLED fungsi untuk Direct Draw Acceleration dan Direct 3D Acceleration.

Itulah di antara beberapa perkara yang berkemungkinan boleh menyelesaikan masalah tersebut.

Ia juga boleh disebabkan oleh pelayar web tersebut dipenuhi dengan terlalu banyak program plug-ins dan add-ons atau program-program tersebut tidak sesuai dengan versi atau pelayar web yang digunakan. Boleh juga dilakukan dengan mengosongkan ruangan cache pada pelayar web anda.

Bagaimanapun, cara yang terbaik adalah kemas kini pelayar web anda dan tingkatkan ia kepada versi yang paling terkini dan stabil.

- UTUSAN

Fahami pola politik orang muda

by
Oleh BUDIMAN MOHD. ZOHDI

Unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2010 mendapati jumlah belia berumur 15 hingga 39 tahun ialah seramai 11,614,735 orang.

Ia merupakan 43 peratus daripada jumlah rakyat di Malaysia.

Sehingga Disember 2010, seramai 11,811,452 belia yang berusia 21 tahun ke atas telah berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Manakala pengundi yang berusia 21 hingga 39 tahun mencecah 40 peratus daripada jumlah pengundi keseluruhan.

Ini menjadi golongan orang muda sebagai kelompok penting yang perlu diberi perhatian kerana ia berkait rapat dengan masa depan negara.

Imam al-Ghazali pernah menyatakan: "Jika kamu ingin melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah keadaan generasi mudanya yang ada sekarang".

Secara tidak langsung kelompok belia bukan sahaja boleh menjadi rakan pembangunan negara tetapi juga sebaliknya.

Orang muda tentunya membawa pola dan tingkahlaku politik yang berbeza. Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu saluran orang muda dikatakan penyebab tsunami politik di lima negeri.

Walaupun trend tersebut dikatakan berubah dalam siri-siri pilihan raya kecil kebelakangan ini namun dalam pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini, tingkahlaku politik orang muda berbeza mengikut geopolitik kawasan.

Terdapat dua aspek utama yang membentuk pola politik pengundi muda. Pertama tahap pendidikan dan yang kedua pengaruh media sosial.

Boleh dikatakan majoriti pengundi muda mendapat pendidikan minimum hingga peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ini bermakna mereka berada dalam ruang lingkup pengaruh pendidikan formal sehingga 11 tahun sebelum mereka mengundi.

Ia semakin melebar sekiranya mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Sehubungan itu pendidikan telah mengasah ketajaman daya fikir mereka. Kebanjiran maklumat menerusi Internet dan televisyen menyebabkan mereka mudah membuat perbandingan apabila timbul sesuatu isu yang menyentuh kepentingan dan peranan golongan muda.

Keterbukaan dan pendedahan kepada maklumat sudah tentu menuntut pendekatan yang berbeza dalam mengurus isu yang berkaitan dengan anak muda.

Pengaruh media sosial seperti blog, Facebook dan twitter juga telah mempengaruhi persepsi golongan muda.

Media sosial biar pun tidak bersemuka namun atas sifatnya yang segera, kos murah, tanpa tapisan dan kepayahan pendakwaan undang-undang menyebabkan maklumat masuk ke gajet elektronik bertali arus dan akhirnya berupaya membina pengaruh.

Siapa yang lebih kerap menghantar maklumat akan lebih berpeluang untuk mempengaruhi golongan ini.

Sesuatu perkara jika diasak berkali-kali akan diyakini benar.

Realitinya apakah keperluan kehidupan anak muda? Jika diamati isu golongan ini berkait rapat dengan '4P' - Pendidikan, Pekerjaan, Pendapatan dan Perumahan.

Bermula dengan pendidikan mereka akan mencari inisiatif melanjutkan pelajaran dengan kos yang minimum. Selepas memiliki pendidikan yang sempurna terfikir pula mengenai peluang pekerjaan untuk mereka.

Dengan memiliki pekerjaan mereka akan mempunyai pendapatan untuk menyara kehidupan dan peluang memiliki rumah sebagai tempat berlindung dan memiliki status sosial.

Model Ekonomi Baru (MEB) yang bertujuan meningkatkan pendapatan tahunan perkapita daripada RM21,000 kepada RM45,000 tentunya perlu mengambil kira peluang anak-anak muda untuk turut sama meningkatkan pendapatan.

Atas alasan itu, apa jua dasar, polisi dan pelan pembaharuan yang diperkenalkan oleh kerajaan mestilah dirasai oleh anak muda dari Perlis sampailah ke Sabah.

Ini kerana pandangan anak muda tentang politik adalah lebih terbuka. Ia diadun antara politik keperluan dan idealisme.

Pada mereka isu '4P' yang berkaitan dengan kelangsungan hidup perlu diambil berat oleh pihak kerajaan.

Mereka juga mahu urus tadbir negara dilakukan dengan sempurna seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Sebab itu, dasar semata-mata tidak menjamin sokongan mereka kepada kerajaan.

Untuk meneruskan kelangsungan hidup, ia tidak cukup dengan sekadar inisiatif.

Apa yang lebih penting adalah persediaan sikap dan minda anak muda dalam berhadapan dengan persekitaran yang semakin mencabar.

Kerajaan demi kelangsungan kuasa tentunya akan mengurus isu berkaitan anak muda melalui pelbagai dasar, polisi dan inisiatif.

Bagaimanapun, yang paling penting anak-anak muda juga mesti berusaha membantu diri mereka sendiri.

- UTUSAN

Zami Ismail Meninggal Dunia Akibat Masalah Jantung

by
KUALA LUMPUR: Pelawak veteran, Zami Ismail, 67, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) dekat sini, kira-kira pukul 10.30 pagi Ahad akibat kegagalan jantung.

Anak ketiga Allahyraham yang juga pelakon dan pengarah Mohd Soupi Zami (Opie Zami), 37, berkata, ayahnya sempat berpesan kepada semua anaknya agar berbuat baik sesama manusia.

"Keadaan dia (Allahyarham) berada dalam keadaan biasa saja dan pergi dengan tenang. Dia sempat berpesan kepada kami semua agar berbuat baik sesama manusia," katanya yang ditemui di perkarangan rumah mayat IJN, di sini, Ahad.

Menantu sulung Allahyarham, Azizah Amdih, 35, berkata, Allahyarham yang dimasukkan ke IJN sejak dua minggu lalu dilaporkan tenat pada malam Sabtu dan terpaksa bergantung hidup dengan bantuan mesin perubatan.

"Doktor memberitahu jantungnya sangat lemah dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Kritikal (CCU) sehinggalah pada malam tadi (Sabtu) keadaanya menjadi semakin tenat. Bagaimanapun Allah lebih sayangkan dia," katanya kepda mStar Online ketika dihubungi di sini, Ahad.

Azizah berkata, pihaknya reda dengan pemergian Allahyarham dan berharap semua peminat dapat mendoakan kesejahteraannya.

Allahyarham yang popular dengan sitkom Pi Mai Pi Pai Tang Tu pada tahun 1980-an hingga 1990-an turut berlakon hampir 20 buah filem termasuklah dua filem yang belum ditayangkan lagi iaitu Husin Mon Dan Jin Pakai Toncit (arahan Mamat Khalid) dan Shh...Dia Datang (Saiful Apek).

Allahyarham juga pernah memenangi anugerah Pelakon Komedi Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-9 (FFM9) pada tahun 1991 menerusi filem Mak Som.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang dan dikebumikan di kampung halamannya di Tapah, Perak dan dikebumikan selepas solat Asar.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Hanizan Ibrahim, 58, dan sembilan orang anak iaitu Mohd Hitler, 39, Ahmad Yamashita, 38, Mohd Soupi Zami, 37, Ismail Fahmi, 36, Khairul Affendi, 30, Aida Nurul Asyikin, 29, Aida Nurul Wahyu, 27, Mohd Firdaus, 24 dan Zahid Albukhman, 21.

- MSTAR

Tindakan PTPTN Henti Pinjaman Pelajar PNGK 2.0 Ke Bawah Wajar - Khaled

by
indakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menghentikan pinjaman pelajar yang memperolehi Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 2.0 ke bawah adalah wajar, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Ini katanya bagi mengelakkan ketirisan wang pembayar cukai.

"Sesiapa sahaja yang pencapaian PNGK mereka 2.0 ke bawah baik dihentikan pinjaman itu dan pelajar yang kurang komited patut menghentikan pengajian serta memilih untuk belajar semula dalam bidang yang bukan bercorak akademik," katanya kepada pemberita, di sini, Sabtu.

Beliau berkata dengan gred serendah itu, pelajar terbabit akan sukar memperolehi pekerjaan sekali gus menimbulkan masalah dalam pembayaran balik pinjaman PTPTN.

Khaled diminta mengulas kenyataan Anggota Lembaga Pengarah PTPTN Datuk Tajul Urus Md Zin yang dilapor berkata agensi itu tidak akan berkompromi dengan pelajar yang gagal mencatat keputusan memuaskan dan akan menghentikan pinjaman mereka yang mendapat PNGK 2.0 ke bawah secara automatik.

- BERNAMA

JPJ Tidak Akan Ambil Tindakan Terhadap Pesalah Trafik PBT Tanpa Bukti Lengkap

by
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan mengambil tindakan sewenang-wenangnya tanpa bukti yang lengkap terhadap pesalah trafik di bawah pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ketua Pengarah JPJ Datuk Solah Mat Hassan berkata PBT perlu mengemukakan butir-butir kesalahan secara tepat dan terperinci termasuk nama, alamat, jenis dan waktu kesalahan bagi membolehkan JPJ menjalankan penelitian. "Selagi tidak mempunyai bukti lengkap, JPJ tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya termasuk menyenarai hitam kenderaan atau pemandu terbabit," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Satu Komuniti Satu JPJ di Sekolah Menengah Purun, di Bera, Sabtu.

Beliau berkata, langkah itu perlu bagi mengelak pemandu teraniaya.

Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2010) membolehkan PBT mengemukakan permohonan kepada JPJ bagi menyenaraihitamkan pesalah trafik PBT atau kenderaan yang melakukan kesalahan trafik PBT.

Solah berkata ketika ini pihak JPJ masih dalam proses perbincangan dengan PBT di seluruh negara bagi memperkemas penguatkuasaan dan undang-undang trafik sebelum tindakan menyenarai hitam kenderaan boleh dilaksanakan.

Beliau berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan 74 daripada 154 PBT di seluruh negara dan akan melakukan perbincangan dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Perbadanan Putrajaya pada Isnin ini berhubung perkara itu.

Sementara itu, Solah berkata JPJ kini di peringkat akhir perbincangan dengan Kementerian Pelajaran bagi pengeluaran lesen memandu motor berkelompok kepada pelajar sekolah menengah berumur 17 tahun ke atas.

Katanya langkah itu bagi membolehkan pelajar memiliki lesen memandu yang sah dan mengetahui mengenai peraturan jalan raya.

- BERNAMA

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90