Top Ad 728x90

Memperkasa kualiti guru pelatih

by
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) buat julung kalinya akan mengadakan satu konvensyen khas untuk meningkatkan kualiti guru muda pada 8 hingga 10 Julai ini di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Pengarah Bahagian Pendidikan Guru (BPG) KPM, Datuk Mohd. Ghazali Ab. Rahman berkata, Konvensyen Guru-Guru Muda Kebangsaan (Kogum) ini merupakan salah satu usaha meningkatkan profesionalisme bakal guru atau guru pelatih melalui perkongsian idea, amalan terbaik dan pengalaman dengan tokoh pendidik dan guru cemerlang.

"Inisiatif ini diharap dapat meningkatkan pengetahuan, kemahiran, keyakinan serta menyediakan mereka untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan lebih berkesan apabila bertugas kelak," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

Konvensyen dengan tema "Guru Pemangkin Kecemerlangan Bangsa" itu dianjurkan dengan kerjasama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan UiTM.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikan konvensyen ini dan majlis penutup akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mohd. Ghazali memberitahu, konvensyen itu juga berhasrat untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran guru muda tentang peranan dan fungsi mereka sebagai penjana transformasi pendidikan negara.

Peranan guru, jelasnya, amat penting dalam melahirkan modal insan kelas pertama.

"KPM berharap dapat merealisasikan usaha ke arah menjadikan profesion keguruan lebih menarik di samping memberi lebih pendedahan, pengalaman, kemahiran dan percambahan ilmu di kalangan guru-guru pelatih di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM)," ujarnya.

Beliau berharap, konvensyen ini dapat memberi pendedahan dan memupuk sifat kepimpinan sejak di IPGM demi melahirkan warga pendidik yang mempunyai nilai kepimpinan ketika menjadi guru di sekolah kelak.

Sementara itu, Pengarah Kogum merangkap Exco GPMS Malaysia, Mohd. Zain Abu berkata, GPMS berhasrat untuk meningkatkan jati diri kepimpinan guru muda melalui penubuhan cawangan-cawangan GPMS di IPGM seluruh negara.

"GPMS juga berhasrat untuk menubuhkan Majlis Perundingan Pelajar IPG Kebangsaan (MPPIPGK) sebagai wadah untuk guru-guru muda di IPGM memberi sumbangan dan idea untuk pembangunan profesionalisme keguruan dan kualiti diri," katanya.

Menurutnya, Kogum mensasarkan 1,400 peserta terdiri daripada 866 orang pemimpin pelajar dan 54 pensyarah dari 27 IPGM seluruh negara, 60 pegawai KPM dan IPG, 130 ahli GPMS serta 150 orang pemerhati dan 100 orang urus setia program.

"Pelbagai pengisian bermanfaat telah disusun sepanjang tiga hari berlangsungnya konvensyen tersebut termasuklah sesi ceramah bersama Tokoh Pendidik, forum dan sesi motivasi pendidikan," katanya.

Antara panel yang terlibat menyampaikan ceramah pada konvensyen ini termasuklah Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Sahol Hamid Abu Bakar; Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Asariah Mior Shaharuddin; Pengarah BPG, Datuk Mohd. Ghazali Ab. Rahman; Ketua Pengarah Biro Tatanegara (BTN), Raja Ariff Raja Ali; Presiden GPMS, Jais Abd. Karim dan beberapa penceramah jemputan lain.

Katanya lagi, GPMS berharap agar jalinan hubungan kerjasama antara badan bukan kerajaan (NGO) dengan KPM dapat diteruskan dalam usaha melahirkan guru berkualiti untuk kepentingan bidang pendidikan di negara ini.

- UTUSAN

IKIM.fm setanding stesen lain

by
TAHUN 2011 adalah tahun penuh bergaya bagi warga Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Pada tahun ini sahaja, pelbagai peristiwa bersejarah lagi bermakna berlaku sepanjang 19 tahun kewujudannya.

Tambah-tambah lagi pada tarikh 6 Julai, stesen radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) meraikan sambutan ulang tahunnya yang ke-10.

Malah jauh sebelum itu, IKIMfm menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records sebagai radio Islam pertama yang menggunakan teknologi digital sepenuhnya (First Fully Digital Islamic Based Radio Station).

Kejayaan demi kejayaan yang diraih ini bukan sekadar omong kosong dan terhenti setakat itu sahaja.

Pada Karnival Inovasi Islam Peringkat Kebangsaan awal Jun lalu di Masjid Negara, IKIMfm diisytiharkan pemenang Anugerah Inovasi Islam bagi kategori Inovasi Perkhidmatan Agensi Agama Islam. Anugerah ini disandarkan kepada usahanya menyediakan perkhidmatan radio dalam talian (Internet streaming radio) yang beroperasi 24 jam sehari dan didengari sehingga 100 negara di seluruh dunia. Ia dilancarkan dengan rasminya pada 27 Januari 2011.

Menurut Ketua Pengarah IKIM, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan, radio Institut Kefahaman Islam Malaysia atau lebih dikenali sebagai IKIMfm dilancarkan dengan rasminya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed, pada 6 Julai 2001.

Sejak awal lagi IKIMfm merupakan radio Islami yang satu-satunya beroperasi selama 24 jam, tujuh hari seminggu.

Pada asalnya, ramai kalangan penyelidik di IKIM yang menyumbang secara kerap di saluran radio Suara Islam terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menteri Penerangan pada waktu itu, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat merasakan sudah sampai waktunya IKIM perlu ada radio mereka sendiri, kata Nik Mustapha.

Lantas mencadangkan kepada kerajaan agar IKIM diberi lesen mempunyai stesen radio Islam sendiri dan ia telah disokong oleh Dr. Mahathir.

Bermula dari situlah lesen dikeluarkan dan pada 6 Julai itulah tarikh keramat bagi warga IKIM kerana secara rasminya radio IKIMfm dilancarkan dengan tagline, 'Pilihan Utama Anda'.

Menurut Nik Mustapha, perlu difahami bahawa IKIM adalah institusi penyelidikan yang diwujudkan oleh kerajaan pada tahun 1992 untuk meningkatkan kefahaman semoga Islam dapat difahami sebagai agama menyusun kehidupan individu dan masyarakat sehingga wujudnya sebuah peradaban manusia yang mulia.

Justeru, radio IKIMfm adalah satu mekanisme untuk menyampaikan kefahaman tersebut. Sebab itulah tumpuan radio IKIMfm, berkonsep lebih kepada pendidikan yang bertujuan menyampaikan kefahaman Islam dan ini mewakili 70 peratus.

"Sementara 20 peratus penyampaian maklumat dan selebihnya adalah program Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris," tambah Nik Mustapha.

Sementara itu, Pengarah Radio IKIMfm, Nik Roskiman Abdul Samad berkata, kini, para pengguna iPhone juga boleh memuat turun secara percuma aplikasi mendengar IKIMfm yang boleh didapati di App Store.

Selain itu, kemudahan muat turun pelbagai program menarik yang bersiaran di IKIMfm melalui laman web IKIMfm di http://ikimfm.my juga merupakan inovasi dalam penyampaian dakwah Islam.

"Kita juga dalam proses membangunkan servis podcasting (penyiaran dalam talian) untuk membolehkan pendengar melanggan terus program yang diminati dan berkualiti di IKIMfm untuk dimuat turun secara automatik ke dalam media elektronik masing-masing," katanya dalam wawancara khas di pejabatnya, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Malah katanya, kemudahan ini dilihat sebagai suatu inovasi dalam penyampaian dakwah Islami yang membolehkan mesej Islam didengar seramai mungkin pendengar.

"Dalam usaha untuk terus relevan dan mampu bersaing dengan radio-radio swasta lain pewujudan laman web sosial Facebook IKIMfm menepati masa dan sasarannya iaitu untuk lebih mendekati golongan generasi muda hari ini.

"Kini Facebook IKIMfm sudah diminati oleh lebih 20,000 orang manakala Facebook Warna Pagi IKIMfm pula lebih 15,000 pendengar.

"Di samping itu, kita juga bergerak secara On Ground iaitu dengan turun padang bertemu dengan para peminat. Kalau boleh saya namakan sesetengah tempat yang pernah penyampai IKIMfm pergi seperti Sungai Petani, Alor Setar, Johor Bahru, Shah Alam, dan akan ke Terengganu, Sabah dan Sarawak," jelasnya.

Pada program Karnival Mahabbah IKIMfm di Bandar Dato' Onn di Johor Bahru, ia berjaya menarik 40,000 pengunjung.

Hakikatnya ujar Nik Roskiman, pihaknya sentiasa membuat penambahbaikan dalam segi persembahan para penyampai dan kualiti serta isi kandungan program-program yang ke udara daripada semasa ke semasa.

Ia dilakukan menerusi satu jawatankuasa penasihat yang dianggotai oleh pakar-pakar profesional sama ada melalui Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Radio, Mesyuarat Pengisian dan Pelaksanaan Program Radio, Kajiselidik syarikat Nielsen dan maklum balas lain. Yang pastinya, kata beliau, penambahbaikan ini adalah satu budaya dan ia dilakukan secara berterusan di IKIMfm.

"Alhamdulillah, IKIMfm terus memperbaiki kedudukannya (ranking) berdasarkan kajian Nielsen Wave 1/2011 apabila meraih 852,000 pendengar berbanding 786,000 pendengar sebelum ini.

"Bagaimanapun, pendengar sebenar IKIMfm dijangka melebihi anggaran tersebut kerana ia tidak mengambil kira pendengar dari Sabah, Sarawak, Singapura, Batam, Indonesia, Selatan Thailand dan juga mereka yang mendengar secara dalam talian di seluruh dunia.

"Secara keseluruhannya, kedudukan IKIMfm melonjak daripada tangga ke-13 ke tangga ke-11 daripada 34 stesen radio yang sedia ada di tanah air. Dalam kategori stesen radio saluran Bahasa Melayu pula, IKIMfm menduduki tangga ketujuh," jelasnya.

Lebih membanggakan kata Nik Roskiman, para pendengar IKIMfm adalah mereka yang sangat setia.

Mereka terdiri daripada pelbagai profil pendengar seperti; golongan belia, remaja, yang berpendapatan sederhana dan golongan profesional serta eksekutif.

- UTUSAN

BERSIH Setuju Teruskan Perhimpunan Di Stadium

by
KUALA LUMPUR: Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk S. Ambiga akhirnya akur dengan saranan kerajaan untuk membatalkan perhimpunan haram jalanan yang dijadual pada Sabtu ini.

Bagaimanapun beliau menerima tawaran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk menganjurkan perhimpunan berkenaan di dalamstadium.

"Sekarang kita ambil keputusan untuk tidak mengadakan demonstrasi dijalanan, tapi ubah ke stadium...stadium mana kita akan bincang dengankerajaan," katanya ketika ditemui di Istana Negara di sini, Selasa.

Beliau dilihat memasuki di Istana Negara untuk menghadap Yangdi-Pertuan Agong, Tunku Mizan Zainal Abidin kira-kira pukul 1.55petang.

Ambiga keluar pada pukul 3.20 petang.

Ahad lalu, Seri Paduka bertitah dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara, mereka diminta supaya tidak menjadikan tuntutan demokrasi itu membawa kemusnahan kepada negara.

Tuanku Mizan juga menyeru pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana.

Titah Seri Paduka, baginda selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Sehubungan dengan titah itu, Ambiga berkata gabungan Bersih yang terdiri daripada lebih 60 NGO, akan menghantar permohonan untuk mengadap Tuanku Mizan.

- MSTAR

Parti Thaksin menang besar pilihan raya Thai

by

BANGKOK - Parti pembangkang Thailand, Puea Thai yang mencalonkan adik Thaksin Shinawatra, Yingluck Shinawatra sebagai bakal perdana menteri wanita pertama menang besar dalam pilihan raya umum negara itu semalam.

Setakat pukul 8 malam tadi, parti Puea Thai memperoleh majoriti mudah dengan memperoleh 255 daripada 500 kerusi parlimen.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya dan Polis Diraja Thailand, sebanyak 83.69 peratus undi sudah dikira pada pukul 8 malam.

Parti Demokrat yang dianggotai Perdana Menteri Abhisit Abhisit Vejjajiva memperoleh 163 kerusi, parti Bhumjai Thai memenangi 35 kerusi, parti Chart Thai Pattana mendapat 21 kerusi dan parti Chart Thai Pattana Phea Pandin menang di 10 kerusi parlimen.

Parti-parti kecil seperti Palong Chan memenangi tujuh kerusi, Rak Thailand mendapat empat kerusi, parti Matubhum cuma membolot dua kerusi manakala Rak Santi dan Parti Demokrat Baharu masing-masing memperoleh satu kerusi.

Yingluck yang merupakan seorang ahli perniagaan berusia 44 tahun yang memperoleh status sebagai bintang rock berjaya menawan hati berjuta-juta pekerja dalam undi tersebut.

Wanita itu dianggap sebagai satu-satunya pemimpin yang akan membantu masalah penduduk miskin di negara tersebut.

"Yingluck telah membantu kita dan kini parti Puea Thai boleh menyelesaikan masalah kami dan mereka (ahli-ahli parlimen parti itu) akan menyelesaikan kemelut negara ini," kata seorang kakitangan kerajaan, Saiksa Chankerd.

"Orang ramai mahukan perubahan dan mereka memperolehnya," kata Ketua Pegawai Eksekutif Sekuriti Asia Plus di Bangkok.

Kemenangan parti itu mungkin dapat menstabilkan semula Thailand selepas enam tahun negara ini dilanda ketegangan termasuk keganasan sehingga para penunjuk perasaan menawan dua buah lapangan terbang utama di Bangkok.

- Agensi

Titah khas Yang di-Pertuan Agong mengenai BERSIH

by
KUALA LUMPUR 3 Julai — Istana Negara malam ini mengeluarkan Titah Khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini.

Berikut adalah teks penuh Titah Khas tersebut:

"Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

Namun Beta yakin kepimpinan negara di bawah Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin.

Beta menyeru di dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.

Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.

Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu “Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran”. Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.

Sebaliknya kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.

Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara".

— BERNAMA

Malaysia mara ke pusingan kedua

by

TAIPEI – Kejayaan Malaysia mara ke pusingan kedua pada Kelayakan Piala Dunia 2014 bagi Zon Asia malam tadi memberi makna yang cukup besar buat jurulatih Datuk K. Rajagobal.

Kejayaan itu boleh dianggap sebagai hadiah hari jadi buat Rajagobal yang akan menyambut hari ulang tahun ke-55 pada 10 Julai ini.

Sebelum ini, sentuhan magis Rajagobal telah membawa skuad kebangsaan memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 di Laos, sekali gus menamatkan penantian kilauan emas selama 20 tahun pada temasya dwitahunan tersebut.

Rentetan kejayaan anak-anak buah Rajagobal berterusan apabila mereka dinobatkan selaku juara Piala Suzuki AFF hujung tahun lalu.

Pada aksi malam tadi, meskipun tewas 2-3 kepada Taiwan pada pertemuan kedua di Stadium Majlis Perbandaran Taipei, skuad kebangsaan tetap mara berdasarkan kelebihan jaringan di tempat lawan selepas terikat dengan agregat 4-4.

Pada aksi pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil minggu lalu, skuad Harimau Malaya itu mencipta kemenangan 2-1.

Tonggak pertahanan, Aidil Zafuan Abdul Radzak menggamamkan seketika kira-kira 25,000 penyokong tuan rumah hasil jaringan menarik pada minit kelapan menerusi sepakan percuma dari jarak 35 meter.

Gol tersebut berpunca selepas kapten Safiq Rahim dijatuhkan pemain pertahanan Taiwan, Lin Cheng-Yi.

Anak-anak buah Rajagobal berpeluang menambah jaringan menerusi beberapa percubaan menarik selepas jaringan Aidil, namun ia dinafikan penjaga gol Taiwan, Lin Po-Cheng.

Peluang terbaik skuad kebangsaan menambah jaringan hadir pada minit ke-29, namun percubaan penyerang berbisa, Nor- shahrul Idlan Talaha sekadar melepasi palang gol tuan rumah.

Dua minit kemudian, Taiwan berjaya memperoleh gol pembukaan menerusi jaringan Chang Han pada minit ke-31 setelah berlaku situasi kelam-kabut di hada- pan pintu gol Harimau Malaya.

Bagaimanapun, gol penyamaan Taiwan itu tidak melunturkan semangat barisan negara dan hasil- nya mereka berjaya memperoleh gol kedua menerusi sepakan percuma Safiq pada minit ke-38.

Sepakan percuma itu terhasil selepas pemain pertahanan Taiwan, Xavier Tsan-Yuan menjatuhkan Abdul Hadi Yahaya di luar kotak penalti.

Seminit sebelum aksi babak pertama berakhir, Chen Po-Liang kembali menggamatkan stadium dengan gol kedua tuan rumah menerusi sepakan penalti.

Apabila babak kedua bersambung, kedua-dua pasukan dilihat menampilkan permainan lebih terbuka dengan masing-masing melancarkan serangan ke kubu lawan.

Pada minit ke-60, pengadil perlawanan dari Vietnam, Vo Minh Tri sekali lagi menghadiahkan sepakan penalti kepada Taiwan selepas pemain pertahanan, Mohd. Fadhli Shas mengasari Po-Liang. Bagaimanapun, Sharbinee muncul penyelamat apabila menafikan sepakan Po-Liang.

Menyedari Taiwan semakin ghairah melancarkan serangan ke kubu Harimau Malaya, Rajagobal membuat pertukaran dengan memasukkan S. Chanturu bagi menggantikan tempat Amirulhadi Zainal pada minit ke-65.

Minh Tri mencetuskan kemarahan kem Harimau Malaya apabila sekali lagi menghadiahkan sepakan penalti kepada Taiwan pada minit ke-73. Kali ini, Sharbinee gagal menyelamatkan gawangnya daripada dirobek Xa- vier.

- KOSMO!

Miliki rumah terlebih dahulu

by
Golongan muda yang baru bekerja lebih berminat untuk memiliki kereta, telefon pintar dan gajet terkini termasuk kamera digital yang menelan harga ribuan ringgit berbanding membuat pelaburan berupa rumah kediaman untuk pelaburan masa hadapan.

Jurulatih hartanah, Dr. Shah Razali berkata, nilai pembelian untuk produk-produk berkenaan dijangka susut dalam tempoh yang cepat ekoran peredaran masa dan keperluan pengguna serta pengenalan pelbagai produk terbaharu di pasaran.

Sebaliknya, golongan berkenaan beranggapan bahawa usaha untuk membeli rumah akan dilakukan sekiranya mereka memasuki fasa seterusnya dalam kehidupan mereka iaitu ketika sudah berkeluarga dan mempunyai anak.

"Pada awal bekerja, mereka mempunyai status kewangan yang sihat dan sepatutnya mereka perlu fokus kepada perkara yang boleh membantu meningkatkan pengembangan modal seperti membuat pelaburan hartanah dengan cara membeli rumah untuk disewakan.

"Ketika itu, mereka tidak perlukan modal yang besar dan membeli hartanah di lokasi yang menarik, tetapi cukup dengan sebuah rumah pangsapuri di lokasi strategik untuk disewakan.

"Sekiranya ia merupakan pelaburan yang tepat, maka ia akan mendatangkan aliran tunai yang positif," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran buku terbaharunya, Jejak Pelabur Hartanah yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

- KOSMO!

Salih Yaccob Kendalikan 'Salih Yaccob Show, I Follow'

by

Selepas tiga tahun tidak mengendalikan sebarang program bual bicara, kini pelawak Salih Yaccob muncul dengan program barunya, Salih Yaccob Show, I Follow.

Menurut Salih, tag line 'I Follow' diambil daripada slot Sinar Pagi yang dikendalikannya di Sinar FM dan apabila ia semakin dikenali, pihak Astro menerbitkan pula slot tersebut versi program bual bicara pula.

"Sebenarnya saya pun tidak sangka bahawa 'I Follow' mempunyai ramai pengikut da ia mampu menjadi fenomena buat pendengar-pendengar setia Sinar FM.

"Jadi saya percaya dengan kemunculan Salih Yaccob Show, I Follow, program ini dapat merapatkan lagi peminat-peminat dengan saya menerusi watak-watak yang sering saya bawakan dalam radio seperti Abang Jem, Mak Neng dan Wak Jawa," katanya.

Salih Yaccob Show, I Follow membincangkan topik-topik menarik secara santai dan bersahaja bersama tetamu-tetamu undangan bagi setiap episod dan pelakon Nik Sayyidah Fatiha (Mek) turut membantu dalam menjayakan program berkenaan.

Ia dibahagi kepada lima segmen menarik dimana segmen pertama dikenali sebagai I Follow iaitu sebuah persebahan pembuka tirai bagi setiap episod.

Segmen Betul Tak akan mewarnai segmen kedua program itu dimana Salik akan berceloteh dengan Mek mengenai topik-topik semasa yang dibincangkan yang antaranya seperti Rezeki Ramadhan, Susah Cari Kerja, Tiba-tiba Popular, Jarak Usia, Kaki Shopping dan Wanita Susah Cari Pasangan.

Selain itu, tiga lagi segmen yang ada pada program tersebut ialah Kembang Sa-Taman, Corat Coret dan Lagu Merapu.

"Harap-harap saya dapat menjayakan program ini dengan baik kerana ia satu tigas yang mencabar. Maklumlah, dah tiga tahun tak kendalikan program temubual sendiri.

"Bagaimanapun, saya gunakan peluang ini sebalik-baik mungkin untuk menghiburkan penonton. Alhamdulillah, apa yang lebih menyenangkan saya, pihak Astro memberi kebebasan kepada saya dalam mencari idea dan topik-topik yang ingin dibicarakan," katanya.

Progrm Salih Yaccob Show, I Follow ditayangkan setiap Jumaat, pukul 9 malam bermula 8 Julai menerusi saluran Astro Warna.

- MSTAR

300,000 Jurutera Menjelang 2020 - Menteri Pengajian Tinggi

by
Menjelang tahun 2020 negara mampu melahirkan antara 275,000 hingga 300,000 ribu jurutera, sekaligus mencapai tahap untuk sebuah negara maju iaitu seorang jurutera kepada setiap 100 orang penduduk, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, sehubungan itu kejuruteraan dipilih bersama tiga bidang pengajian lain iaitu perubatan, pergigian dan farmasi; sains kesihatan; serta hospitaliti dan pelancongan untuk melalui Sistem Penarafan Disiplin Pengajian (D-Setara).

"Eksais penarafan yang memberi fokus kepada kualiti pembelajaran dan pengajaran di peringkat ijazah Sarjana Muda itu akan dilaksanakan pada awal tahun depan dan hasilnya dijangka dapat diperoleh pada pertengahan tahun itu juga," katanya.

Mohamed Khaled berkata, buat masa ini jumlah bilangan jurutera adalah sekitar 140,000 orang atau nisbah seorang jurutera kepada setiap 192 penduduk.

Sehingga kini terdapat 15 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan 16 Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) menawarkan sejumlah 378 program dan bidang kejuruteraan.

Beliau menambah, melihat kepada keperluan melahirkan jurutera yang mencukupi dan berkualiti tinggi, bidang itu perlu dipantau dan diperkukuhkan menerusi Hala Tuju Pengajian Kejuruteraan Fasa Dua yang antara lain mewujudkan beberapa skim seperti Felo Kanan bertaraf Profesor Madya dan Felo Utama bertaraf profesor.

"Selain usaha melantik tenaga profesional yang mempunyai pengalaman dan unjuran yang tetap setiap tahun untuk geran penyelidikan dalam bidang kejuruteraan dan teknologi antara tahun 2006 hingga 2011 yang keseluruhan berjumlah RM108.9 juta," katanya.

Terdahulu, Mohamed Khaled melancarkan tiga buku iaitu Kajian Kes: Satu Kaedah Pengajaran-Pembelajaran Baru dalam Kejuruteraan Awam, Hala Tuju Bidang Kaunseling di Malaysia dan Hala Tuju Pendidikan Senibina di Malaysia di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini.

- BERNAMA

Wajib ganti setiap puasa ditinggalkan

by
Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagai mana diwajibkan atas orang-orang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.”

Sekiranya seseorang tertinggal beberapa hari puasa di bulan Ramadan, maka hendaklah dia menggantikannya sebelum tiba Ramadan yang baru. Dalam sebuah hadis yang riwayat al-Bukhari dan Muslim, daripada Aisyah r.a berkata: “Aku masih berhutang puasa Ramadan dan aku tidak dapat menggantikannya sehingga Syaaban tiba dan itu adalah kerana sibuk melayani Rasulullah SAW.”

Menurut al-Hafiz Ibn. Hajar rhm: “Keinginan Aisyah yang tinggi untuk berpuasa pada bulan Syaaban adalah kerana syarak tidak membenarkan menangguhkan ganti puasa sehingga Ramadan yang baru tiba.

Seseorang yang melengahkan ganti puasa terbahagi kepada dua golongan. Golongan pertama, iaitu golongan yang berlengah atas alasan yang sah di sisi syarak seperti sakit yang berpanjangan. Jika keadaan ini berlaku, maka seseorang itu boleh menggantikan puasa walaupun selepas Ramadan yang kedua.

Golongan yang kedua pula adalah golongan yang tidak mempunyai alasan untuk melengahkan perkara itu.

Contohnya, dia berupaya menggantikan puasa tetapi tidak melakukannya sebelum Ramadan baru bermula dengan sengaja.

Golongan kedua ini berdosa kerana gagal menggantikan puasa tanpa alasan yang sah. Kalangan ulama bersepakat bahawa dia hendaklah menggantikan puasa.
Namun mereka berbeza pandangan sama ada dia kena menggantikan puasa di samping membayar fidyah atau tidak.

Imam Malik, Syafi’I dan Ahmad berpendapat bahawa mesti membayar fidyah di samping menggantikan puasa. Pandangan ini berdasarkan riwayat daripada beberapa orang sahabat seperti Abu Hurairah dan Ibnu Abbas RHM.

Imam Abu Hanifah pula berpendapat bahawa tidak perlu membayar fidyah. Cukup hanya menggantikan puasa. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang memerintahkan agar orang yang tidak berpuasa, hendaklah menggantikannya sebagai dalil. Ayat ini tidak menyebutkan tentang pembayaran fidyah kepada orang miskin. Itulah pendapat yang dipegang beliau.

Imam al-Bukhari RHM. memilih pandangan yang kedua. Beliau berkata dalam kitabnya Sahih al-Jami’: “Ibrahim al-Nakha’i berkata bahawa jika seseorang lalai (tidak menggantikan puasa yang ditinggalkan) sehingga Ramadan baru, dia hendaklah menggantikan hari-hari yang tertinggal bagi kedua-dua tahun. Tetapi dia tidak berpendapat perlunya membayar fidyah bagi setiap hari yang tertinggal.

Ada juga petikan mursal daripada Abu Hurairah dan ibnu Abbas yang berkata bahawa dia perlu membayar fidyah.

Kemudian Imam al-Bukhari menyebut: “Tetapi Allah tidak menyebut mengenai membayar fidyah kepada orang miskin (melalui firman-Nya).”

Oleh itu, apa yang wajib ialah menggantikan puasa saja tetapi jika seseorang ingin lebih selamat dengan membayar fidyah di samping menggantikan puasa, itu lebih baik.

Jika anda melambatkan ganti puasa tanpa sebarang alasan, anda hendaklah bertaubat kepada Allah dan bertekad tidak akan mengulangi kesilapan ini akan datang. Demikianlah, wallahua’lam.

- BERITA MINGGU

Bersalin dalam air - Kaedah selamat atau tidak?

by
Menerusi penyebaran dokumentari dan maklumat tentang bersalin dalam air yang semakin meluas di internet, trend ini semakin mendapat perhatian orang ramai.

Tidak ketinggalan isteri Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, Dr. Halina Mohd. Yunos menyatakan keinginannya untuk bersalin dalam air pertengahan Julai ini.

Melahirkan anak sulung tentu sahaja menyuntik rasa teruja Dr. Halina tetapi dia mahu bersalin dalam keadaan lebih tenang dan selesa.

Justeru itu, Dr. Halina menyuarakan hasratnya untuk memilih kaedah ini kerana ia dapat mengurangkan rasa sakit sekali gus tidak memberi sebarang tekanan.

Popular

Kaedah bersalin dalam air sebenarnya satu perkara biasa dan popular di Amerika Syarikat dan United Kingdom sejak tahun 1980-an lagi.

Ramai yang beranggapan kaedah ini dapat memberi ketenangan kerana suhu air yang agak suam memberi kelegaan kepada sakit bersalin.

Jika ia menjadi trend di Malaysia, mungkin banyak perubahan segera perlu dilakukan termasuk memberi maklumat tepat kepada pakar-pakar yang terlibat, melahirkan golongan doktor atau bidan yang mahir kaedah ini dan kemudahan bersalin dalam air di setiap hospital.

“Kebanyakan maklumat yang ada kini menerangkan kaedah ini selamat, mengurangkan rasa sakit dan kadar kematian disebabkan bersalin. Tetapi satu kelahiran yang selamat menerusi kaedah ini belum cukup melengkapkan data bahawa ia benar-benar selamat. Banyak kajian serta langkah perlu dilakukan sekiranya permintaan kaedah bersalin cara ini meningkat,” ujar Pakar Sakit Puan Hospital Pantai Ampang, Kuala Lumpur, Dr. Suhaimi Isa.

Menurut Dr. Suhaimi, terdapat dua kaedah bersalin cara ini iaitu bersalin sepenuhnya di dalam air dan yang kedua, mengawal sakit di dalam air dan bersalin di luar.

Terdapat beberapa aspek yang perlu dititikberatkan sewaktu prosedur ini seperti penyediaan tab atau kolam air dengan suhu 37 darjah Celcius (tidak terlalu sejuk dan tidak terlalu panas).

Air steril

Selain itu, air yang digunakan perlu terpelihara daripada kuman atau steril dan tidak boleh digunakan semula.

Apa akan terjadi sekiranya air ini tidak bebas daripada kuman kemudian memasuki ruang vagina ibu?

“Kemungkinan ini masih lagi belum diketahui umum kerana mereka melihat daripada sudut proses bersalin menjadi mudah tanpa memikirkan risikonya. Air yang tercemar boleh memudaratkan kesihatan ibu. Bahkan kebarangkalian anak yang dilahirkan lemas masih belum diketahui. Ini kerana perkara pertama yang diperlukan seorang anak ialah udara,” ujar Dr. Suhaimi.

Dalam pada itu, Dr. Suhaimi menjelaskan air yang suam semasa berada dalam kolam tempat bersalin itu dikatakan memberi keselesaan kepada ibu seperti ketika melakukan rawatan spa.

Kaedah ini juga dapat mengurangkan penggunaan vakum, ubat tahan sakit seperti epidural dan kadar bersalin dalam tempoh yang singkat.

Penjagaan atau kesan pada vagina masih sama kerana masih terdapat kesan koyakan seperti bersalin normal.

“Saya tidak menolak mungkin ia menjadi trend atau pilihan pada masa akan datang. Namun, masih banyak kajian atau penyelidikan perlu dilakukan untuk memastikan ia benar-benar selamat untuk ibu dan anak. Selain itu, golongan wanita masih banyak pilihan lain untuk memudahkan proses bersalin,” ujarnya.

- MINGGUAN MALAYSIA

Fahami isu akidah dalam perubatan Islam

by
Oleh ZUARIDA MOHYIN

ISLAM mementingkan kebaikan dan kesihatan. Dalam aspek kesihatan, orang Islam disuruh menjaga tubuh badan supaya sentiasa berada dalam keadaan sihat.

Di samping itu, Islam menyuruh umatnya berikhtiar mengubat apabila mengalami sebarang penyakit.

Hakikatnya, terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis yang menyentuh penjagaan kesihatan dan mengubati penyakit. Antaranya Allah SWT berfirman: Dan kami turunkan Quran secara beransur-ansur yang terdiri daripada ayat-ayat suci yang menjadi ubat, penawar dan rahmat untuk orang yang beriman kepada-Nya. (al-Israk: 82)

Direkodkan daripada Jabir, Rasulullah SAW bersabda: Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila ubat itu sesuai dengan penyakit, ia sembuh dengan izin Allah. (riwayat Muslim dan Ahmad)

Islam adalah cara hidup. Kesihatan dan perubatan juga sebahagian daripada kehidupan manusia yang pastinya tidak terlepas daripada hukum-hukum syarak dan fikahnya yang tersendiri.

Fikah perubatan berguna dan bermanfaat dalam realiti kehidupan Muslim dewasa ini, apatah lagi pada zaman yang serba canggih ini. Di mana ia lebih mengkhususkan kepada isu-isu perubatan moden.

Antaranya isu halal dan haram ubat-ubatan, penggunaan ubat-ubatan dalam kaedah yang khusus ataupun prosedur perbuatan yang terkini dan sering kali mengundang tanda tanya bukan sahaja di kalangan kaki tangan kesihatan khasnya, bahkan di kalangan masyarakat Islam di seluruh dunia, amnya.

Justeru fikah dalam perubatan adalah bidang yang memerlukan kemahiran dan penelitian yang jitu. Kupasan hukum mengenai isu terkini semestinya mengikut kaedah-kaedah asas fikah seperti qawa'id fiqhiyyah dan usul fiqh.

Sungguhpun penjelasan berkenaan isu perubatan yang dikaitkan dengan fikah sudah banyak dibukukan oleh ulama muktabar seperti Dr. Muhammad Sulaiman Al-Asyqar dan Dr. Basri Ibrahim, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia atau Papisma telah mengorak langkah berkerjasama menerbitkan buku berjudul Fikah Perubatan yang bertujuan melengkapkan lagi bahan-bahan ilmiah yang sedia ada.

Presidennya, Dr. Suhazeli Abdullah di bahagian prakata buku terbitan PTS Millennia Sdn. Bhd. berkata, bahan-bahan yang cuba dipaparkan dalam buku ini adalah hasil daripada kajian dan telaah pakar yang mahir dalam bidang masing-masing.

"Mereka bukan sahaja mahir dalam teori keilmuan malah terlibat secara terus dalam mengendalikan pesakit di klinik masing-masing.

"Pengolahan bahan yang dipaparkan adalah lebih jelas dengan beberapa ilustrasi tambahan. Ia penting bagi memperincikan mana-mana ulasan," katanya yang mengharapkan penerbitan buku ini akan menambahkan bahan ilmiah di negara ini.

Buku setebal 303 muka surat ini mempunyai enam tajuk utama dengan pecahan 28 sub tajuk tidak termasuk glosari dan bibliografi. Antara tajuk utamanya ialah Perubatan Islam, Asas Fikah Perubatan, Hukum Berubat, Bendalir Badan, Aplikasi dan Taharah, Perlaksanaan Ibadat Semasa Sakit dan Puasa serta Isu-Isu Perubatan Moden.

Yang pastinya, Fikah Perubatan menyentuh segenap aspek perubatan dan Islam. Buku ini melihat bukan sahaja pada aspek hukum-hukumnya, malahan melihat teras akidah dalam perubatan dan aturan etika mereka yang terlibat.

Dengan isi yang tuntas dan bernas, Fikah Perubatan bukan hanya menawarkan teori dan pemahaman, malah membimbing kita terus dengan kaedah dan amalan yang sewajarnya.

- UTUSAN

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90